Tuesday, December 31, 2013

Umrah Anak Cucu

Kini abah dan emak sedang berada di Tanah Suci Makkah al-Mukarramah bagi menyempurnakan ibadah umrah serta berziarah ke tempat-tempat bersejarah di sekitarnya. Mereka diiringi sama oleh anak-menantu, cucu-cucu, keluarga biras dan rakan kenalan, antaranya Hadi, Hakim, Eusni-Fahimey sekeluarga dan biras kepada emak-abah, Hj. Sahaudin-Hjh Robiah (ibu bapa Fahimey).

Kenangan umrah April 2012
Turut serta adalah anak sulung kami, Izzuddin yang baru sahaja tamat menduduki SPM. Akhirnya tertunai juga hajat kami untuknya. Ini kerana, ketika kami menunaikan umrah 2 tahun yang lalu bersama adik-adiknya serta emak dan abah, Iddin tidak dapat turut serta kerana tidak mendapat perlepasan daripada pihak sekolah berasrama penuh yang baru dimasukinya. AlhamduliLlah.

Mengikut perancangan asal, rombongan umrah di bawah kendalian Tiram Travel ini dijadualkan menaiki Penerbangan Saudi Arabia yang terus ke Jeddah dan Makkah pada 25 Disember lalu. Namun atas sebab-sebab tertentu, ianya tertangguh dan ditukarkan kepada Penerbangan Air Asia dan tarikhnya  berubah kepada 28 Disember (Sabtu) jam 4:30 petang dengan singgahan awalnya di Medina al-Munawwarah. 

AlhamduliLlah... setinggi-tinggi kesyukuran kepada ALLAH SWT atas nikmat yang dianugerahkan sebagai Tetamu ALLAH SWT dan RasuluLlah SAW. 

Moga segalanya dipermudahkan oleh ALLAH SWT serta dilimpahi rahmat dan barakah dengan dikurniakan umrah yang mabrur. Ameen... Ameen... Ameen... Ya Rabbal 'alameen.

Alangkah bertuahnya mereka... 

Rindunya hati ini pada RasuluLlah SAW dan BaituLlah. Bilakah lagi peluang seumpamanya dapat kami kecapi?

Thursday, December 19, 2013

Kegemilangan Tamadun Muslim @ PSN

Kini sedang berlangsung Pameran 1001 Inventions: Kegemilangan Tamadun Muslim di Pusat Sains Negara (PSN). Inshaa ALLAH, pameran yang bermula pada awal Oktober, 2013 lalu ini akan berakhir pada bulan Februari, 2014. Ianya dibuka dari jam 9:00 pagi hingga 5:00 petang.

Bayaran masuk ke pameran 1001 Inventions ini adalah RM 20 untuk dewasa, RM 15 untuk pelajar + warga emas dan RM 60 untuk keluarga (2 dewasa + 2 kanak-kanak). Manakala bagi kanak-kanak kecil pula tiketnya hanya RM 6 sahaja. Harga tiket ini turut meliputi keseluruhan exhibit umum di PSN yang biasanya dikenakan bayaran masuk RM 6 (dewasa) dan RM 3 (kanak-kanak + warga emas).

OK, itu pengenalannya. Penting untuk diketahui sebagai perancangan awal sebelum bertolak ke PSN.

Berbalik kepada Pameran 1001 Inventions: Kegemilangan Tamadun Muslim.

Cuti hujung minggu baru-baru ini kami sekeluarga berkesempatan berkunjung ke PSN. Ianya kunjungan kali kedua buat kami. Di pertengahan tahun lepas kami ke PSN untuk 'menziarahi' dinosaur dalam Pameran Dinosaur Live! Kali ini pula 'menziarahi' tokoh-tokoh ilmuan Islam di dalam Pameran 1001 Inventions.

Bagi kami, pameran kali ini amat ringkas dengan ruangan pameran yang tidak berapa luas tetapi nilaian ilmunya amat berharga. Bersesuaian dengan tema Kegemilangan Tamadun Muslim, ianya berkisar tentang bagaimana Tamadun Muslim membina asas yang kukuh kearah pembinaan dunia moden pada hari ini.

Di saat negara-negara Eropah berada di Era Kegelapan di sekitar abad ke-7 hingga ke-17, dunia Islam pula menyerlah dengan pelbagai inovasi dalam pelbagai bidang kehidupan, kebudayaan dan penciptaan, digelarkan sebagai Era Keemasan. Dari sini lahir ramai para ilmuan dan cendekiawan Islam seperti al-Jazari, Ibn al-Haytham, Abdul Qassim al-Zahrawi, Zheng He, Abbas Ibn Firnas, Meriam al-Astrulabi dan ramai lagi.

Penerokaan ke Era Keemasan ini bermula dengan tayangan dokumentari kehebatan tokoh-tokoh ilmuan Islam yang dimulai dengan watak al-Jazari yang dilakonkan oleh Ben Kinsley. Seterusnya para pengunjung di bawa ke dunia keunggulan Tamadun Muslim yang dibahagikan mengikut zon, antaranya Kejuruteraan, Perubatan, Pendidikan, Geografi, Astronomi dan sebagainya.

Pameran bertaraf antarabangsa dari United Kingdom yang dibawa khas oleh MOSTI ini telah diiktiraf sebagai The World's Best Touring Exhibition melalui Anugerah Kecemerlangan Warisan dan Muzium 2011 dan mendapat sambutan lebih 3 juta pelawat di London, New York, Los Angeles, Doha, Istanbul dan beberapa bandar besar lain.

Di samping layanan mesra daripada para petugas pemeran, para pengunjung juga boleh berinteraksi dengan tokoh-tokoh ilmuan Islam (watak lakonan) melalui deretan panel maklumat (kiosk). Tarikan utama pemeran ini adalah replika Jam Gajah yang direka oleh al-Jazari di mana ianya menjadi titik tolak kepada penciptaan jam sekitar 84 tahun selepasnya.

Terlalu banyak maklumat yang diketengahkan sehingga tidak larat untuk meneroka dan mengingatkan kesemua fakta yang dipaparkan. Alternatifnya, beli sahaja salah sebuah daripada 2 buku 1001 Inventions yang dijual di kedai cenderamata. Harganya mahal sedikit, RM 99 dan RM 180 tetapi amat bernilai sebagai koleksi di sudut bacaan keluarga.

Selepas solat Zohor dan makan tengahari, anak-anak meneruskan penerokaan mereka dengan pelbagai permainan bermotifkan sains di tingkat bawah sehinggalah masuk waktu Asar.

Seusai solat di Surau An-Nur (Wanita) dan Surau Al-Amin (lelaki) di Tingkat 4, terdengar pengumuman bahawa PSN akan ditutup jam 5:00 petang dan para pengunjung diminta beredar.

Bagi anak-anak mereka belum puas lagi bermain. Apakan daya... mungkin pihak PSN boleh melanjutkan waktu lawatannya di masa akan datang.

Tuesday, December 10, 2013

Tuaian BBW Book Fair 2013

Kini sedang berlangsung The Big Bad Wolf Book Sale di MIECC @ The Mines, Seri Kembangan. Pesta jualan buku yang menawarkan harga yang amat murah. Bagi peminat buku, amat rugi kiranya tidak menyinggah. Datanglah bila-bila masa yang terluang kerana ianya dibuka 24 jam tanpa tutup sehinggalah jam 9:00 malam 15/12/2013 nanti. Semua kategori buku ada dijual tanpa mengira peringkat umur.

Aduhai beratnya...
Pagi semalam, akhirnya hajat kami sekeluarga tertunai juga. Sekitar 4 jam kami tenggelam di celah-celah jutaan buah buku. Kami anak beranak berpecah mengikut haluan masing-masing. Setiap orang ada minat akan genre bacaannya tersendiri. Jadi lebih mudah dan selesa kiranya mereka bergerak sendirian.

Masing-masing berjalan perlahan dari sebuah meja pameran ke meja berikutnya sambil membelek-belek helaian buku yang menarik hati dan pandangan. Mana-mana buku yang disukai dimasukkan terus ke dalam shopping bag yang disandang. Setelah penuh beg atau terasa berat untuk dibawa, maka buku-buku tersebut dipindah masuk ke 2 buah troli yang ditarik oleh ibu dan ayah.

Kepada para pengunjung yang tidak membawa beg mahupun troli, mereka boleh mengambil kotak-kotak buku yang disediakan oleh penganjur. Cuma seksa sedikit untuk mengusung/ menyorongnya ke sana-sini. Itulah pengalaman kami pada tahun lepas, jadi tahun ini kami beringat.

Pening nak pilih, akhirnya 70 buah terpilih
Menjelang tengahari, kaki pun terasa senggal dan kebas kerana banyak berjalan dan berdiri. Perut pun mula berkeroncong. Walaupun belum puas memilih buku, kami perlu berehat dan makan. 

AlhamduliLlah pihak penganjur ada menyediakan Storage Station secara percuma, bersebelahan escalator ke tempat makan dan kiosk makanan di tingkat atas dewan.

4 jam berlalu terasa begitu pantas sekali. Itupun tidak semua meja pameran yang disinggahi. Masing-masing hanya tertumpu pada lokasi yang digemari. Jika semuanya ingin dilawati, sehari suntuk barulah berbaloi. 

Dari pemerhatian kami, majoriti buku-buku adalah dalam bahasa Inggeris dari penerbit luar negara. Buku-buku dalam bahasa Melayu pula lebih tertumpu kepada terbitan PTS, itupun hanya melibatkan buku-buku lama yang bolehlah dikatakan sebagai jualan murah penghabisan stok. Lain kali diharapkan lain-lain penerbit tempatan akan turut serta memeriahkan pesta buku ini.

Koleksi buku @ BBW 2013
Untuk menyisih buku-buku mengikut keperluan, para pengunjung disediakan Books Sorting Area, berdekatan dengan Storage Station. Pilihlah buku-buku dengan aman sambil berbincang dengan ibu bapa/ adik beradik samada perlu atau tidak membeli setiap buku yang diambil.

Seterusnya susun setiap buku mengikut kategori harga yang tertera pada buku. Ianya ternyata mempercepatkan proses pembayaran di kaunter, apatah lagi jika kuantitinya agak banyak.

Anak-anak pulang penuh kegembiraan. Kira-kira 70 buah buku dibawa pulang. Cukuplah sebagai bahan bacaan tambahan sepanjang cuti persekolahan ini, juga sebagai koleksi kesayangan untuk tatapan di masa terluang.

Friday, December 6, 2013

Pesta Buku Serigala...

Bagi pencinta buku @ peminat buku, pesta buku adalah tempat untuk berpesta. Susah payah mereka sanggup pergi. Walaupun jauh mereka akan usahakan juga untuk sampai. Apatah lagi jika pesta buku berkenaan sesuatu yang besar dengan longgokan buku yang menimbun berserta potongan harga yang menyilaukan pandangan. Dari mata turun ke hati. Tanpa disedari bukunya telah melimpahi troli.


Kini, The Big Bad Wolf Book Sale datang lagi ke Lembah Kelang. Ianya berlangsung selama 10 hari, bermula hari ini, Jumaat (06/12/2013) hinggalah Ahad depan (15/12/2013). Tempatnya masih sama seperti tahun sebelumnya iaitu di The Mines, Seri Kembangan. 

Sebahagian ruangan pesta buku BBW 2012 @ MIECC
Menariknya, pesta buku yang dikatakan terbesar di dunia yang dianjurkan oleh BookXcess ini dibuka 24 jam setiap hari (tanpa tutup) sehinggalah jam 9:00 malam pada hari terakhir.

Lebih menarik lagi adalah lebih 3 juta buku ditawarkan dengan potongan harga antara 75% - 95% pasti membuatkan hati begitu teruja untuk berkunjung ke Mines.

Pelbagai genre buku ditawarkan, majoritinya dalam bahasa Inggeris terbitan luar negara. Buku-buku dalam bahasa Melayu juga ada tetapi pilihannya terhad kepada beberapa penerbit tertentu sahaja. Yang pasti harganya amat murah, sebilangannya sekitar RM3 sahaja. Itulah makluman yang diperolehi daripada laman web bigbadwolfbooks.com.

Inshaa ALLAH, seperti tahun lepas, kami sekeluarga akan usahakan untuk sampai ke sana. Anak-anaklah yang paling tidak sabar. Mereka adalah pengemar buku paling utama terutama buku-buku bahasa Inggeris yang sukar diperolehi, apatah lagi harganya amat murah.

Biarkanlah mereka seronok dengan buku daripada leka menghadap permainan berkomputer yang melalaikan. Itulah sebahagian daripada aktiviti mereka di musim cuti panjang ini.

Cuma kali ini, harap-harap tidak lupa untuk dibawa troli bersama - tak larat lagi nak mengendong beg dan kotak ke hulu ke hilir seperti tahun lepas. Walaupun penat tetapi hati puas. Itulah nikmatnya berada di dalam dunia buku.

Makluman tambahan:-

Parking: RM2 per entry (weekday), RM3 per entry (weekend/public holiday)
GPS Coordinates: 3.029612, 101.718289

Monday, November 25, 2013

Program Cuti Sekolah

Cuti persekolahan Penggal 3/2012 telah pun lebih seminggu berlalu. MRSM pula bercuti seminggu awal. Manakala bagi pelajar Tingkatan 5, SPM mula melabuhkan tirainya.

Inilah cuti panjang yang amat ditunggu-tunggu oleh setiap pelajar sekolah - menandakan mereka telahpun MERDEKA dari alam persekolahan. Walaupun hanya untuk sementara waktu.

Bagi anak-anak kami, keseronokan bercuti hanya bertahan seminggu dua sahaja. Selepas itu akan timbul rona wajah bosan jika tiada program khusus untuk mereka. Apatah lagi jika saban hari hanya memerap di rumah sahaja. Bahan bacaan yang bertimbun dan rancangan televisyen yang pelbagai sekadar melalaikan mereka buat seketika sahaja. Rasa bosan akan tetap bertandang akhirnya.

Program IkramTeens yang disertai Hanisah
Emm... nak buat macam mana? Seharian mereka telah terbiasa dengan pagi-petang ke sekolah, tiba-tiba rutinnya berubah. Maka perlulah diaturkan program bagi menggembirakan mereka. Pada masa yang sama mendatangkan manafaat yang berpanjangan.

Salah satunya adalah menyertai kem yang banyak dianjurkan oleh pelbagai pihak. Sukar untuk dipilih mana yang terbaik. Khuatir juga jika tersalah pilih.

Klinik-klinik hafazan dan pengukuhan ibadah juga baik untuk diikuti. Bukan sekadar menghafal ayat-ayat Al-Quran tetapi turut sama diisikan dengan slot motivasi, latihan berkumpulan, didikan fardhu ain, latihan berqiamulail dan ketahanan fizikal serta mental.

Jika berpeluang, elok juga dibawa berkunjung ke perpustakaan - biarkan mereka terleka di sebalik longgokan buku-buku. Itukan minat mereka.

Pada masa yang sama perlu juga dibawa mereka melancong ke tempat-tempat yang menarik di tanah air agar lebih mengenali inilah negara kita, Malaysia. Tidak kiralah bermalam atau balik hari. Ianya baik untuk melepaskan tekanan, sekaligus mempereratkan silaturrahim sesama ahli keluarga.

Imran di Taman Wetland, Putrajaya
Apa perancangan kami untuk anak-anak? Inshaa ALLAH akan dirancangkan secara berkala bergantung kepada kesesuaian masa dan kelapangan yang ada. Paling utama, libatkan anak-anak dalam perancangan yang dibuat kerana ianya untuk mereka. Sebagai ibu bapa kita sekadar pelaksana sahaja.

Buat masa ini kami mewajibkan mereka meningkatkan hafazan mereka setiap hari di samping rutin amalan membaca al-Quran selepas Subuh dan Maghrib. Sesekali jika berkelapangan mereka dibawa berjalan-jalan makan angin di sekitar Lembah Kelang.

Inshaa ALLAH setelah si abang tamat SPMnya, langkah kami akan lebih panjang sedikit. Keseronokan dapat berkumpul adik beradik dan anak beranak sewajarnya dinikmati bersama.

Moga segalanya dirahmati ALLAH SWT. Ameen.
"Memperolehi ilmu dunia yang dimanafaatkan sehingga membawa kepada rahmat dan hidayah ALLAH adalah satu kemenangan yang paling utama dan tiada tolak bandingannya dalam hidup ini" - Ibnu Khaldun.

Saturday, November 16, 2013

TAHNIAH Aida dan Wafi

Aida (foto 2011)
Siti Aida Husna Zakaria dan Wafi Udin adalah sepupu kepada anak-anak kami yakni bagi keluarga sebelah Terengganu. Kedua-duanya berusia 12 tahun dan baru sahaja tamat sekolah rendah, juga di Terengganu.

Semalam telah diumumkan keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). TAHNIAH dan SYABAS kepada kedua-duanya atas kejayaan cemerlang memperolehi 5A.

Wafi (foto 2011)
Demikianlah lumrahnya jika sentiasa berusaha tanpa mengenal penat dan jemu. Diiringi pula doa dan sokongan moral ibu bapa serta ahli keluarga lain, Insya ALLAH kejayaan yang dikecapi akan terasa lebih manis. Apatah lagi kecemerlangan abang-abang dan kakak-kakak menjadi antara faktor pendorong kearah mencapai kejayaan yang diimpikan.

Namun disebalik setiap kejayaan, jangan sesekali lupa bahawa ianya adalah anugerah daripada ALLAH SWT. Segalanya adalah milik ALLAH. Bersyukurlah kepadaNYA.

Diharapkan kejayaan yang diperolehi menjadi titik tolak bagi meraih kejayaan yang lebih bermakna di kemudian hari. Bukan sahaja di dunia tetapi paling utama di akhirat. Ameen.
Diriwayatkan oleh abu Bakrah r.a., "Jika RasuluLlah mendapat sesuatu yang menyenangkan atau disampaikan khabar gembira, maka baginda terus sujud dalam keadaan bersyukur kepada ALLAH SWT". (HR Abu Daud, Tirmidzi dan Ibn Majah) 

Friday, November 15, 2013

Cemerlang Sekolah Agama

Pagi ini Imran dapat anugerah lagi - Tempat Pertama bagi Darjah 3 (sesi petang) di sekolah agamanya, KAFA (Integrasi) Al-Ridhuan. Sepupunya, Siti Hawa pun dapat hadiah yang sama bagi Darjah 1 (sesi petang). Markah keseluruhan yang mereka perolehi agak baik, sekitar 95%, sekaligus mencapai tahap Mumtaz.

TAHNIAH Imran dan Hawa.

Secara peribadi kami amat bersyukur kepada ALLAH SWT dan berterima kasih kepada para pendidik atas kejayaan yang mereka perolehi.

Melalui sekolah agama seumpamanya, terlalu banyak ilmu keagamaan yang dipelajari sebagai bekalan hidup di dunia dan di akhirat. Sebagai ibu bapa, kami tidak mampu memberi tunjuk ajar secara mendalam dalam serba-serbi berkaitan agama seperti Ilmu Tauhid, Imlak, Akhlak, Fekah, Al-Quran, Hafazan, Bahasa Arab, Sirah RasuluLlah SAW dan pelbagai lagi.

Dari pemerhatian kami, ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi menjadikan proses pembelajaran di sekolah kebangsaan menjadi mudah terutama melibatkan subjek Bahasa Arab, Tulisan Jawi dan Pengetahuan Agama Islam.

Lebih utama lagi, pengetahuan agama mereka lebih terkehadapan berbanding usia mereka. Itulah kelebihan sekolah agama, tidak kiralah Sekolah Agama Rakyat (SAR) ataupun KAFA (Integrasi). Untuk mengharapkan didikan agama di sekolah kebangsaan, rasanya masa yang diperuntukkan amatlah minima, apatah lagi dengan jumlah pelajar yang ramai.

Justeru itu, kepada para ibu bapa, usah abaikan pendidikan anak-anak melalui sekolah agama. Biarlah mereka penat kerana pagi-petang bersekolah. Paling penting jiwa terisi dengan ilmu.
"Dan barangsiapa mencari deen (agama) selain Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi". (al-Imran:85)

Monday, November 11, 2013

TAHNIAH Imran



Pelajar Terbaik Tahun 3
Muhammad Imran adalah anak bongsu kami. Kini di Tahun 3 di Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang (SKHK). Sekolah ditepi Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) yang juga dikenali sebagai sekolah Almarhum P. Ramlee kerana salah sebuah filem popular P. Ramlee bertajuk Masam Masam Manis telah dilakukan penggambaran di sekolah ini.

Ini cerita lama dan nostalgianya masih kekal sehingga kini. Betapa hebatnya aura P. Ramlee walaupun telah lebih 40 tahun berlalu. 

Semalam telah diadakan Hari Apresiasi Kecemerlangan 2013, khusus untuk para pelajar cemerlang SKHK bertempat di dewan sekolah, Dewan Bisikan Kalbu. Ianya dikategorikan mengikut kelas, matapelajaran dan diakhiri dengan Pelajar Terbaik mengikut aliran/ tahun pengajian (Tahun 1 - Tahun 6).

Ingin dicadangkan, ada baiknya diadakan juga anugerah kecemerlangan sukan dan kokurikulum serta anugerah pelajar terbaik keseluruhan (akademik, sukan, sahsiah diri dan seumpamanya).

Pelajar Terbaik Tahun 1
AlhamduliLlah, sehingga kini Imran masih mengungguli tempat pertamanya di dalam kelas dan sekaligus dianugerahi sebagai Pelajar Terbaik Tahun 3 selama 3 tahun berturut-turut. TAHNIAH dan SYABAS Imran.

Setinggi-tinggi kesyukuran selayaknya untuk ALLAH SWT atas kurniaanNYA selama ini. Tidak dilupakan juga penghargaan dan terima kasih tidak terhingga kepada para guru yang berdedikasi di dalam mendidik anak-anak murid mereka.

Ucapan TAHNIAH dan SYABAS juga kepada sepupu Imran, Siti Hawa Sakinah yang belajar di Tahun 1 atas kejayaan cemerlang di kelasnya dan juga atas anugerah Pelajar Terbaik Tahun 1.

Moga kejayaan yang diperolehi kini sentiasa digilap secara berterusan demi kejayaan yang lebih baik di kemudian hari. Bukan hanya kejayaan di dunia tetapi paling utama kejayaan di akhirat. Itulah kejayaan yang sebenarnya.
Berkata Imam al-Ghazali,"Anak yang dididik dengan harta akan subur nafsunya, anak yang dididik dengan kasih sayang dan agama akan subur jiwanya".

Wednesday, November 6, 2013

SPM - Salam Perjuangan

Pemidang Motivasi Pelajar MRSM Serting 2013
Bermula hari ini para pelajar Tingkatan 5 mula melangkah ke dewan peperiksaan untuk memulakan perjuangan mereka menghadapi SPM (Sijil Peperiksaan Malaysia). 

Bagi yang bersekolah, inilah medan peperiksaan terakhir yang wajib mereka harungi sebelum menentukan hala tuju sebenar bidang kerjaya di masa hadapan. 

Kejayaan cemerlang, gemilang dan terbilang adalah idaman semua. Bagi yang mengambil peperiksaan, sewajarnya itulah yang menjadi impian. Bukan sahaja bagi pelajar tetapi turut menjadi harapan ibu bapa dan keluarga serta para pendidik. 

Kepada para pelajar SPM... Ayuh! Lakukanlah yang terbaik demi merealitikan setiap impian dan harapan mereka yang tersayang.

Pada tahun ini, turut sama menghangatkan perjuangan SPM adalah anak sulung kami, Muhammad Izzuddin yang bersekolah di MRSM Serting, Negeri Sembilan. Semangatnya begitu tinggi untuk melakukan yang terbaik demi mencapai cita-citanya di kemudian hari. Moga tercapai apa yang diimpikan. Ameen.

Sebagai ibu bapa, kami sekadar mampu berdoa di samping memberikan sokongan moral dan kata-kata semangat. Selebihnya adalah usaha Iddin yang berterusan dan istiqamah dalam bergantung harap kepada ALLAH SWT. Sesungguhnya setiap kejayaan itu adalah milik ALLAH, bukannya milik kita. DIAlah yang berkuasa atas setiap sesuatu. Moga ALLAH sentiasa bersamamu. Ameen.
Ya Allah, bukakanlah ke atas mereka hikmahMU, limpahilah mereka dengan rahmatMU, permudahkanlah akan segala urusan mereka dan kurniakanlah mereka kejayaan yang cemerlang. Wahai Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Ameen.

Tuesday, November 5, 2013

Hijrah 1435

Berlalu sudah tahun 1434 Hijrah, kini kita berada di awal tahun baru 1435 Hijrah. Salam Maal Hijrah untuk semua. Moga tahun ini bakal membawa sinar baru yang dirahmati dan diberkati oleh ALLAH SWT. Ameen.

Menurut Ustaz Haslin Bollywood ketika berforum santai di Masjid al-Ridhuan malam tadi, "Hijrah membawa maksud berpindah daripada keburukan kepada kebaikan atau pun daripada yang baik kepada yang lebih baik"

Ditambah pula oleh Ustaz Badlishah Alauddin,"Hijrah adalah satu keperluan untuk meningkatkan taraf kehidupan dan potensi diri kearah yang lebih baik. Malah sesetengah haiwan seperti burung migrasi dan penyu pun berhijrah untuk meneruskan kehidupan."

Forum berkenaan turut menampilkan 2 orang selebriti hiburan tanah air sebagai ahli panel iaitu Hj. Shamsul Ghau-Ghau dan Ali XPDC yang meng-alkisah-kan penghijrahan mereka dari kehidupan glamour kepada kehidupan penuh makna.

Sebenarnya konsep hijrah kepada kebaikan tiada sempadan waktu dan tempat. Ketika kesedaran, keinsafan dan keinginan untuk berubah mula terdetik di hati, maka ketika itulah tindakan perlu diambil. Apatah lagi jika dalam soal mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

Marilah kita sama-sama berusaha agar hari ini menjadi yang lebih baik daripada hari sebelumnya kerana itulah golongan yang beruntung. Malah dikatakan celakalah kepada mereka yang hari selepasnya lebih buruk daripada hari sebelumnya. NauzubiLlahiminzalik.

Moga kita semua di bawah peliharaan dan redhai Illahi - di dunia dan di akhirat. Ameen.

Saturday, October 26, 2013

Ekspo Buku Islam @ AU2

Kepada para pencinta buku sekitar Lembah Keramat dan Ulu Kelang, inilah kesempatan terbaik untuk 'memborong' buku-buku Islam bagi menambah koleksi sedia ada.

Bermula 24/10 sehingga 02/11/2013, Ekspo Buku Islam Kali ke-9 (EBI-9) sedang berlangsung di Dewan Serbaguna AU2, Jalan AU2a, Taman Sri Keramat (bersebelahan Klinik Kesihatan AU2). 

Bagi yang tinggal di sekitarnya, tiada masalah untuk mencarinya. Cuma pengunjung luar yang tiada bantuan GPS, mungkin sukar sedikit. Ini kerana lokasinya agak tersorok di sebalik pepohonan kayu yang merendang di sekelilingnya. Jika anda tahu AEON AU2, tidak jauhlah tu, Inshaa ALLAH bolehlah ketemu Klinik Kesihatan AU2 di mana dewan tersebut terletak di sebelahnya.

Ekspo ini dianjurkan oleh Sinergi Ilmu Resources Sdn Bhd dengan kerjasama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), bermula dari jam 10:00 pagi hingga 9:00 malam. Masuk adalah PERCUMA.

Dengan ruang dewan yang terhad, gerai bukunya juga terhad. Dengan kata lain, tidak semua pengusaha serta pengedar buku yang dapat menyertainya. Namun dengan penyertaan dari PTS, Galeri Ilmu dan Karangkraf serta Sinergi Ilmu dan POPULAR Bookstore dengan diiringi beberapa pengedar/ penjual buku, kemeriahan lambakan buku berserta tawaran potongan harga istimewa (purata 10%-20%) mampu membuatkan pengemar buku kelabu mata dibuatnya. 

Eloklah berbelanja untuk buku daripada entah kemana leburnya duit di tangan. Anggaplah ianya satu pelaburan demi masa hadapan yang lebih bermakna, bukan sahaja di dunia tetapi paling utama di akhirat nanti. Dengan ilmu di dada, itulah bekalan yang akan dibawa.

Jika diikutkan hati ini, banyak buku yang nak diangkut pulang tetapi kena berpada-padalah. Timbunan buku di rumah yang dibeli ketika Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang lalu serta beberapa tahun lepas masih ada yang belum dibaca. Itulah jadinya bila pantang tengok buku depan mata. Tak mengapalah, nanti bacalah tu....

Di samping pameran buku (sebenarnya jualan buku - itu tujuannya), pihak penganjur juga turut menyediakan pelbagai aktiviti harian (seperti jadual di atas) bertempat di khemah utama di hadapan dewan; antaranya sesi Motivasi dan Bedah Buku oleh Selebriti dan Penulis Buku seperti Sdr Hilal Asyraf, Ustazah Fatimah Syarha, Ustaz Don Daniyal, Ustaz Rohidzir Rais, Sdr Web Sutera dan ramai lagi. Tidak ketinggalan Demo Memasak oleh Chef Hanieliza, peraduan mewarna untuk kanak-kanak, pertandingan nasyid dan baaa....nyak lagi. Nak tahu lebih lanjut bolehlah berkunjung ke Facebook Sinergi Ilmu.

Saya dah pergi, anda bila lagi?

Monday, October 21, 2013

TAHNIAH Iddin

Pagi Sabtu, 19/10/2013 baru-baru ini telah berlangsung Majlis Graduasi MRSM Serting Kali Ke-19 khusus untuk para pelajar Tingkatan 3 dan 5. Anak sulung kami, Muhammad Izzuddin @ Iddin adalah pelajar Tingkatan 5, sekaligus penerima Sijil Graduasi pada majlis yang diadakan di dewan maktab, Dewan Gemilang.

Majlis Graduasi yang gilang-gemilang itu setara dengan pesta konvokesyen di institusi pengajian tinggi tanah air termasuk perarakan masuk graduan, guru dan senat maktab serta pemakaian jubah merah hati, suatu kemegahan bagi para pelajar sendiri. 

Bertolak dari Ulu Kelang sekitar jam 8:30 pagi, kami tiba di dewan ketika doa pembuka majlis mula dibacakan. AlhamduliLlah. Hilang kegusaran di hati Iddin yang ternanti-nanti ketibaan kami sedangkan dewan telah pun dipenuhi para ibu bapa dan para jemputan VIP telah pun berada di pentas utama.

Menerima Sijil Graduasi daripada Pengetua, En. Noor Hassan
Sehari sebelumnya Iddin menelefon, berpesan penuh mengharap; ibu dan ayah mesti datang kerana Iddin adalah salah seorang penerima hadiah utama. 

Terkesima kami dibuatnya kerana perancangan awal hanya ibu bertemankan Hanisah ke MRSM Serting, manakala ayah pula ke MRSM Kota Putra, Besut, Terengganu untuk menghantar Solehah pada hari yang sama. 

Akhirnya Allah melorongkan hati kami untuk ke Serting dahulu sebelum berkejar ke Besut. Ada hikmahnya terutama dari segi sokongan moral untuk anak-anak.

Menatap Buku Graduasi yang disertakan, kami amat berbangga dengan pencapaian akademik yang diperolehi Iddin yang mengungguli tempat teratas senarai Sijil Penghormatan Pengetua, sekaligus dinobatkan sebagai Graduan Terbaik Akademik. TAHNIAH Iddin.

Lebih terharu lagi, untuk anugerah graduan terbaik tersebut, ibu dan bapa turut sama dijemput naik ke pentas. Berdiri di hadapan khalayak ramai, biografi ringkas pelajar dibacakan diiringi tepukan gemuruh para hadirin. Sesuatu yang di luar jangkaan kami kerana ingatkan hanya Iddin yang akan naik ke pentas dan kami hanya menonton dari bawah. 

Bersama ibu-ayah selepas menerima anugerah
Sempoinya, saya hanya memakai selipar sahaja sedangkan bapa-bapa lain lengkap berkasut. Alahai... maafkan kami jika merosakkan kegemilangan majlis.

Ketika itu masa telahpun melewati jam 12:30 petang. Tanpa menunggu majlis tamat sambil berpesan kepada Iddin untuk sampaikan salam kepada para guru, kami terus bergegas keluar, bertolak ke Besut, mengejar waktu sebelum pintu pagar asrama MRSM Kota Putra ditutup sekitar jam 7:00 petang. 

Sememangnya kami amat berasa bersalah, seolah-olah tidak beradab kerana meninggalkan begitu sahaja para guru yang banyak mendidik Iddin selama 2 tahun berada di MRSM Serting. Namun ianya terpaksa dilakukan. Fahamilah situasi kami. Moga kita dipertemukan di lain kesempatan.

Untuk Iddin - Berusahalah demi kerana ALLAH, Inshaa ALLAH manisnya kejayaan akan lebih terasa.  

Sekali lagi, TAHNIAH. Moga ianya menjadi inspirasi dan motivasi kepada adik-adik.

Tuesday, October 15, 2013

Rindu Masyair Haram

Hari ini Hari Raya Haji @ Qurban di negara kita. Salam Eid Adha untuk semua.  Moga Eid Adha tahun ini mendekatkan lagi diri kita dengan al-Khaliq. Apatah lagi Qurban itu sendiri bermaksud 'dekat' yakni dalam erti kata hubungan dengan ALLAH SWT. 

Di Dataran Kaabah selepas dhuha
Semalam, 9 Zulhijjah; para jemaah haji berkumpul di Arafah untuk melaksanakan ibadah wukuf setelah berniat menunaikan haji. Sekaligus tertanggung larangan ketika berihram.

Aturan seterusnya mereka akan bergerak ke Muzdalifah, sekadar untuk singgah sebelum bermalam di Mina, sekurang-kurangnya 2 malam (Nafar Awal) atau tiga malam (Nafar Thani).

Di samping bermalam di Mina, mereka juga berkewajiban melaksanakan ibadah melontar di 3 jamrah - Aqabah, Ula dan Wusta. Pada masa sama, ibadah tawaf dan saie serta bergunting difardhukan. Secara umum, demikianlah ibadah haji dilaksanakan.

Kepada semua jemaah haji, setulusnya moga Allah menganugerahi haji mabrur. Ameen.

Selepas melontar di Jamratul Aqabah 10 Zulhijjah
Tika saat ini, kami amat merindui suasana ibadah haji yang kami lalui tahun lepas. Bagi setiap insan yang pernah ke Makkah bagi melengkapkan Rukun Islam kelima ini, kami pasti apa yang kami rasai turut sama dirasai mereka. Mungkin lebih hebat lagi. 

Oh, alangkah nikmatnya ibadah haji. Keinginan untuk ke sana lagi sentiasa mekar di jiwa. Di saat semua jemaah berada di Arafah dan Mina, gelodak hati semakin bergelora. Siaran langsung di kaca TV (terutamanya TV Al-Hijrah) sedikit sebanyak dapat mengubat rasa rindu kami.

Ya Allah, berilah kami peluang untuk ke sana lagi. Ameen.

Di Arafah dan Mina kami mempunyai pengalaman tersendiri yang pasti tidak dapat dilupakan. Lebih-lebih lagi di Mina di mana kami hanya berada di khemah di waktu malam semata-mata memenuhi syarat sah mabit di Mina. Sebelah siangnya, selepas melontar di Jamrah di waktu dhuha, kami terus berjalan kaki ke Masjidil Haram. Seharian di Haram, seusai solat Isyak, kami bertolak pulang ke khemah di Mina.

Berulang alik dari Mina ke Masjidil Haram
Sepanjang berada di Tanah Suci Makkah dan Medina, terlalu banyak dugaan dan cabaran yang dihadapi. Segalanya disimpul dan dirangkaikan menjadi untaian pengalaman dan pengetahuan yang amat berharga bagi kami. Bukan sahaja dari sudut ibadah tetapi juga dari sudut persabahatan dan persaudaraan sesama Muslim merentasi sempadan negara.

Namun, cabaran selepas ibadah haji itulah yang paling getir untuk dipertahankan seperti solat berjemaah di masjid, puasa sunat, membaca al-Quran, bertahajud di sepertiga akhir malam dan mengawasi jiwa, pancaindera dan anggota dari melakukan maksiat kepadaNYA.

Moga setiap amalan kita diterima oleh ALLAH SWT dan dihimpunkan di kalangan hamba-hambaNYA yang dirahmati sehinggalah dijemput ke alam baqa'. Ameen.

Salam Eid Adha dan selamat menunaikan ibadah qurban. 

Friday, October 4, 2013

Bazir Lagi...

Terus terang, saya cepat terasa @ sensitif apabila menyentuh soal pembaziran. Didikan ayahanda ketika kecil amat berbekas di hati. Walaupun adakala cara didikannya tampak kasar dan tidak masuk akal tetapi mesej yang ingin ditanam adalah jelas -  'berjimatlah, usah membazir'.

Mesej ini jugalah yang sentiasa diterapkan kepada anak-anak dan ahli keluarga yang lain terutama dalam soal perbelanjaan harian, pengunaan elektrik, air dan telefon. Mana-mana keperluan, gunakanlah sebaik mungkin dan jika tidak memerlukannya lagi, pastikan tiada pembaziran berlaku.

Justeru itu tidak hairanlah jiwa ini terasa amat sakit bercampur geram dan marah apabila Laporan Ketua Audit Negara 2012 dipaparkan kepada umum. Terlalu banyak pembaziran wang di dalam kerajaan - persekutuan dan negeri.

Lebih menyedihkan ianya melibatkan perbelanjaan yang amat tidak munasabah dan tidak masuk akal - berganda-ganda tingginya dari harga pasaran. Peningkatan kos projek, kelemahan pengurusan, salah laku pengendalian dan bermacam-macam sebab-musabab menyumbang kepada pembaziran yang tidak sepatutnya berlaku.

Itupun hanya sebahagian kes yang sempat diaudit, selebihnya belum pasti keadaannya. Malah begitulah keadaan laporan audit bagi tahun-tahun sebelum ini. Seolah-olah langsung tiada pengajaran dan usaha diambil untuk memastikan masalah yang sama daripada berulang. 

Saya tidak ingin mengulas panjang kerana masing-masing telah sedia maklum. Cuma sekadar melampiaskan rasa gusar di hati dengan segala macam kecuaian, pemborosan dan ketirisan dalam menguruskan kewangan negara mengakibatkan berbillion-billion ringgit mengalirkan bagaikan air tetapi hasilnya amat mengecewakan. 

Sedarlah... dana berkenaan bukannya milik individu atau kumpulan tertentu tetapi milik kita semua, rakyat jelata yang membayar cukai. Mereka hanya diamanahkan untuk menguruskannya.

Wahai, para penjawat awam sehinggalah pak menteri... ingatlah bahawa amanah yang diberikan pasti akan dipersoalkan oleh ALLAH SWT ketika berkumpul di Padang Mahsyar nanti.  Mampukah kita menjawabnya di saat mulut terkunci mati sedangkan segala anggota menjadi saksi. Secanggih manapun undang-undang yang dikuatkuasakan jika tiada iman di jiwa, tiada maknanya. Namun jika hati disaluti iman yang kental, tidak perlu kepada undang-undang untuk mengawalnya, Inshaa ALLAH segalanya terpelihara.

Jadi, berhemah dan jujurlah dalam melaksanakan setiap amanah. Moga kita semua sentiasa dirahmati olehNYA. Ameen.

Tuesday, October 1, 2013

Restu PMR

Masuk sahaja bulan Oktober, degupan jantung (debaran) para pelajar Tingkatan 3 semakin kencang. Esok, 02/10/2013 (Rabu), maka bermulalah ujian terbesar untuk mereka, Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). 

Ianya tidaklah lama, hanya 4 hari sahaja untuk pelajar biasa, manakala tambahan satu hari lagi bagi pelajar yang mengambil matapelajaran Bahasa Pilihan; iaitu Bahasa Arab, Cina, Tamil, Punjabi, Iban dan Kadazandusun. Insya Allah, PMR dijadualkan tamat pada 08/10 (Selasa) atau 09/10 (Rabu).

Walaupun hanya 4 atau 5 hari sahaja tetapi jadualnya amat padat dengan 3 kertas peperiksaan yang perlu dihadapi setiap hari - 2 kertas di sebelah pagi dan 1 lagi di sebelah petang.

AlhamduliLLah, rehatnya selama 3 hari di penghujung minggu (Jumaat - Ahad). Adalah juga rehatnya walaupun sebenarnya tidak dapat rehat sepenuhnya. Debaran untuk kertas-kertas seterusnya pasti membuatkan tidur pun boleh terganggu (walaupun diri merasakan telahpun bersedia). 

Rasanya itulah juga debaran yang dialami oleh anak kedua kami, Nur Hanisah serta sepupu-sepupunya, Ainul Farhah dan Siti Alia Syukrina. Diharapkan mereka dapat menghadapinya dengan penuh tabah dan tenang, moga segalanya dipermudahkan oleh ALLAH SWT dan beroleh kejayaan yang membanggakan. Ameen.

Bagi Hanisah dan Ainul, kedua-duanya tidak pernah mengalami suasana peperiksaan besar sebelumnya. Dengan kata lain, mereka tidak pernah menduduki peperiksaan UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah). Ini kerana ketika itu mereka berada di luar negara mengikut ibu-ibu mereka menyambung pelajaran di bumi Australia (Melbourne dan Sydney). 

Namun itu bukanlah masalahnya. Paling utama adalah usaha bersungguh-sungguh demi masa depan yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang di dunia dan di akhirat. Usah lupa berdoa padaNYA kerana itulah senjata paling ampuh kurniaNYA yang tiada tandingannya.

Selepas Hanisah dengan PMRnya, maka abangnya, Izzuddin pula akan bergelut dengan kertas-kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selama sebulan mulai 06/11/2013 nanti.

Sebagai ibu bapa, tidak lekang di sanubari kami mendoakan yang terbaik untuk mereka. Begitu juga kepada setiap khalayak pembaca semua, khususnya para pelajar dan ibubapa yang senasib dengan kami. Moga mereka semua dipermudahkan oleh ALLAH SWT dan dikurniakan kejayaan bagai yang diharapkan. Ameen.

Thursday, September 19, 2013

Musim Buah

Hujung minggu baru-baru ini saya berada di Kuala Terengganu - menjenguk Solehah di MRSM Kota Putera, Besut dan bawa balik bermalam ke rumah keluarga di Manir.

Menariknya pulang ke kampung kali ini, didapati deretan gerai buah-buahan di tepian jalan  tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Begitu juga halnya di pasar-pasar dan pinggiran jalan di tengah pekan dan bandar.

Durian, rambutan dan duku; antara yang menjadi tumpuan utama. Sememangnya buah-buahan ini sedang menjadi-jadi di Terengganu. Maka tidak hairanlah gerai-gerainya juga mudah ditemui, hatta di hadapan rumah sekali pun.

Itulah nikmat kurniaan Illahi untuk rakyat Terengganu. Ketika buah-buahannya mudah diperolehi dan pastinya harga pula amat murah, inilah masanya untuk kita berkenduri sakan - setakat terdaya tanpa memudaratkan diri. Bersyukurlah dengan apa yang diperolehi.


Kami tiada dusun buah-buahan, cuma beberapa batang pokok di sekitar rumah. Sayangnya duku tidak berbuah, mungkin telahpun 'menopous' (berhenti berbuah). Durian pula tiada pokoknya. Yang ada pun pokok rambutan. Dapatlah diperolehi sedikit sebanyak hasilnya. Itupun bergantung kepada jenisnya seperti rambutan gading, anak sekolah dan gula batu.

Namun, AlhamduliLlah... kami (saya dan Solehah) dapat makan durian dan duku sepuas-puasnya. Durian dijual secara longgok, menunjukkan bahawa durian amat banyak di pasaran. Jika tidak, pasti mengikut harga per kilogram atau pun secara paket.

Manakala duku pula dijual sekitar RM1.50 - RM2.00/kg. Sekiranya rajin, bolehlah beli di pokok dengan harga RM1.00/kg - syaratnya kenalah panjat sendiri. Jika bernasib baik boleh sahaja dapat secara percuma.

Bagi yang mempunyai dusun buah-buahan, pasti sahaja suasananya lebih meriah. Apatah lagi dengan kehadiran ahli keluarga serta sanak saudara yang tinggal berjauhan. Inilah masanya masing-masing tersenyum lebar sambil lunak berbahasa - kata orang 'saudara buah'.

Tempias musim buah ini turut dirasai di seluruh tanah air. Di mana-mana sahaja buah-buahan ini mudah diperolehi. Malah di sesetengah tempat, diadakan pesta makan buah terutamanya durian. Jadi, jangan lepaskan peluang jika diberi peluang. Jika tidak, beli sahaja tika buah-buah tersebut sedang membanjiri pasaran. Usah ditunggu-tunggu. Ini kerana musim buah durian dan duku telahpun di penghujungnya.

Wednesday, September 11, 2013

Dhuyuf Al-Rahman

Beberapa hari lalu, para bakal jemaah haji mulai berangkat meninggalkan tanah air menuju ke Tanah Suci Madinah dan Mekah. Merekalah Dhuyuf al-Rahman yakni Tetamu ALLAH.

Wahai para Tetamu ALLAH - Alangkah bertuahnya kalian kerana mendapat undangan khusus daripada ALLAH SWT untuk bertandang ke rumahNYA. Ingatlah, betapa ramai yang mengimpikan peluang yang amat istimewa ini tetapi masih lagi belum mendapat keizinanNYA. Lebih-lebih lagi dengan pengurangan kuota sebanyak 20% berbanding tahun sebelumnya. Bertambahlah lagi keistimewaan yang kalian perolehi.

Justeru itu, PESAN KAMI - Bersyukurlah kepada ALLAH SWT. Persembahkanlah rasa syukur itu dengan menggunakan setiap detik peluang yang ada untuk mengabdikan diri kepadaNYA. 

Ketika di Madinah, carilah peluang untuk berlama-lamaan di Masjid Nabawi dan berusaha untuk beribadah di Raudhah serta mengunjungi maqam RasuluLLAH SAW - Mohon disampaikan salam kerinduan kami kepada baginda SAW, moga kami berkesempatan untuk ke sana lagi (Ameen).

Apatah lagi sewaktu di Mekah - rebutlah peluang untuk sentiasa berada di Masjidil Haram dengan mengatur waktu dengan sebaik-baiknya. Usah lupa menyibukkan diri dengan ibadah umrah. Ambillah peluang untuk melakukan tawaf sunat di BaituLLAH terutama di awal pagi. Perbanyakkan amalan sunat dan bermunajat kepadaNYA.

Fadhilat berada di kedua-dua Tanah Suci ini berganda banyaknya. Alangkah ruginya jika dilepaskan begitu sahaja.

Daripada Abdullah ibnu Zubbair, bahawa RasuluLLAH SAW telah bersabda,"Solat di masjidku ini (Masjid Nabawi) lebih baik daripada 1000 kali solat di masjid lain kecuali Masjidil Haram di mana ianya lebih afdhal daripada 100 kali solat di masjidku ini (iaitu 100,000 kali di masjid lain)".

Sewaktu ibadah haji pula - laksanakanlah setiap amalan dengan sepenuh hati dan sebaik mungkin berdasarkan ilmu bukannya ikut-ikutan. Jika keliru, bertanya terus kepada para pembimbing haji. Moga kalian semua dikurniakan haji mabrur, impian setiap insan yang menjadi Tetamu AgungNYA. Ameen.

Thursday, September 5, 2013

Reunion Geng Haji 1433H

Beberapa hari lagi bakal jemaah haji Malaysia akan mula berangkat ke Tanah Suci. Lazimnya singgahan awal mereka di Jeddah sebelum ke Madinah atau pun penerbangan terus ke Madinah.

Nostalgia: Menjamu selera di D'Saji @ Safwa Tower, Mekah
Pada musim haji tahun lepas, kami adalah antara jemaah haji terawal berlepas daripada KLIA. Penerbangan KT3 yang kami naiki terus menuju ke Lapangan Terbang Prince Mohammed di Madinah. AlhamduliLlah. Jika turun di Jeddah, kami perlu menaiki bas kira-kira 7 jam lagi sebelum tiba di Madinah.

Di Madinah, kami ditempatkan di Anwar al-Madinah Movenpick - hotel 5 bintang, sekitar 50 m sahaja dari Masjid Nabawi. Satu bilik untuk 4 orang. Setiap ahli bilik adalah pasangan kepada ahli bilik di sebelahnya. Selain kami, mereka adalah Hj Daud-Hjh Azizah, Hj Shaharul-Hjh Zira dan Hj Shukor-Hjh Shahiza.

Manakala di Mekah pula kami di tempatkan di Abraj al-Janadriyah yang juga ibu pejabat Tabung Haji, sekitar 1 km daripada Masjidil Haram.  Bagi wanita, mereka masih lagi kekal sebilik dengan tambahan lagi 3 orang, menjadikan 7 orang kesemuanya. Setiap pasangan pula diletakkan sebilik kecuali Hj Shaharul dikongsikan dengan jemaah lelaki lain. Ini menjadikan bilik lelaki hanya untuk 6 orang sahaja.

Berkumpul di rumah Hj Daud-Hjh Azizah @ Hulu Langat
Tambahan rakan sebilik kami ketika di Mekah adalah Hj Aziz-Hjh Zila, Hj Mutalib (Brigadier Dato')-Hjh Norma (Datin) dan Hj. Rizal-Hjh Zuraidah. Ini menjadikan geng haji kami adalah 7 pasangan kesemuanya.

Dari sini, kami menjadi akrab dan saling mengambil tahu antara satu sama lain. Sekembalinya daripada Tanah Suci, keakraban kami masih utuh, cuma kesibukan dengan urusan harian masing-masing membatasi perhubungan kami.

Demi meneruskan jalinan persaudaraan haji, kami berusaha menganjurkan pertemuan demi pertemuan secara bergilir-gilir. Tiada ketetapannya, terserahlah kepada yang berkesempatan dan berkelapangan.

Julung-julung kalinya, kami pernah menjemput rakan-rakan haji datang ke Majlis Kesyukuran Keluarga yang kami adakan sekembalinya dari Tanah Suci bertempat di Ulu Kelang. Selanjutnya dijemput pula berkumpul di rumah Hj Daud-Hjh Azizah di Hulu Langat. Seterusnya ke Majlis Perkahwinan anak Hj Mutalib-Hjh Norma di TUDM Sungai Besi. 

Bertandang ke rumah Hj Rizal-Hjh Odah @ Kajang

Dan di hujung minggu baru-baru ini, kami bertandang pula ke rumah Hj Rizal-Hjh Zuraidah di Saujana Damai, Kajang.

Ralatnya, kami sekeluarga mempunyai agenda jemputan rumah terbuka rakan kenalan dan undangan perkahwinan saudara mara yang perlu dihadiri. Jadi kami hanya sempat beramah mesra dengan tuan rumah sahaja kerana perlu berkejar pula ke Salak Tinggi sedangkan sahabat haji yang lain belum lagi tiba. 

Untuk meraka dititipkan ucapan salam melalui tuan rumah. Hanya foto-foto yang diposkan oleh tuan rumah menjadi pengubat rindu. Insya Allah ketemu lagi di lain ketika dengan lebih ceria dan penuh santai.

Cuma terasa kehilangan Hj Mutalib-Hjh Norma yang baru sahaja berangkat ke Beijing atas urusan pengajian selama 2 tahun di sana. Moga beroleh kejayaan bagai dicita-citakan - duniawi dan ukhrawi. Ameen.

Jua untuk semua, moga sentiasa dilimpahi rahmat Illahi. Ameen.

Sunday, September 1, 2013

Pasrah Banjir

Rumah Abah-Emak di Ulu Kelang letaknya bersebelahan Sungai Kelang. Di situlah kami sekeluarga tinggal bersama abah dan emak serta beberapa orang adik ipar.

Lautan banjir di hadapan rumah
Setiap kali hujan lebat turun, air sungai cepat sekali naik dan arusnya amat deras. Lazimnya, jika hujan berterusan lebat selama setengah jam, maka kawasan di sekitar rumah kami akan mula dinaiki air.

Mana-mana rumah di kawasan rendah pasti akan mula dilanda banjir. Termasuklah jiran tetangga di sekitar rumah kami. Jika lebihan limpahan air, maka rumah kami yang terletak sedikit tinggi juga akan turut sama dinaiki air. 

Retoriknya dikatakan empangan tertua di Selangor (bina 1958) iaitu Empangan Klang Gates di Melawati melepaskan limpahan airnya. Kini dikatakan pula berpunca daripada kerja-kerja naik taraf aliran sungai dan pembinaan perangkap sampah. Apa-apa pun kesannya akan dirasai oleh semua. Terimalah seadanya dengan penuh redha. Kami pasrah namun perlu sentiasa waspada atas setiap kemungkinan.

Lazimnya apabila air melimpah ke halaman rumah, sehingga takat anak tangga bawah sahaja selepas itu kembali surut. Kenderaan di hadapan rumah pun setakat separuh tayar sahaja tanpa masuk ke dalam kereta mahupun bahagian engin. Demikianlah yang berlaku hampir 28 tahun lalu. 

Air bertakung di dalam kereta
Namun, ujian ALLAH pada pagi Jumaat baru-baru ini adalah di luar jangkaan kami. Hampir semua kereta di laman rumah dimasuki air dan perlu dibawa ke bengkel untuk dibaik-pulih kerosakannya. Purata kos pembaikannya boleh tahan, antara RM600 hingga RM1,000. Itu untuk kereta biasa. 

Paling terasa adalah kereta hibrid yang baru berusia 8 bulan. Dimaklumkan oleh mekanik di pusat servis, bateri utamanya telah dimasuki air, tiada jalan lain kecuali menggantikannya dengan yang baru. 

Aduhai... hibrid, seketul bateri sahaja kosnya ribuan RM. Belum masuk lagi penggantian lain dan caj servis yang dikenakan. Entahlah... tiada pilihan lain lagi jika ingin kereta tersebut kembali bergerak. Kami pasrah. Itulah sebahagian daripada natijahnya berkampung di tepian sungai.

Di sebalik setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Muhasabah diri sendiri. Apakah ertinya dugaan ini?

Monday, August 26, 2013

Banjir Kilat

Banjir kilat. Ianya amat merungsingkan kami setiap kali hujan turun dengan lebatnya.

Air bergenang di halaman rumah
Itulah yang kami alami pada dinihari Jumaat beberapa hari lalu. Sekitar jam 5:00 pagi hujan turun sederhana lebat membasahi bumi Ulu Kelang berserta angin, kilat dan guruh.

Terdetik di hati, "Jika berterusan, air sungai di hadapan rumah mungkin akan melimpah. Rumah-rumah jiran tetangga pasti dimasuki air. Silap-silap rumah kami pun turut terkena." Begitulah lazimnya jika hujan turun berterusan tanpa henti.

Benar bagai yang dijangka. Dalam jarak waktu setengah jam, air sungai telah pun memasuki jalan di tepi rumah. Sekejap sahaja halaman rumah kami bergenang air, seterusnya pantas sekali memanjat anak-anak tangga terus masuk ke dalam rumah.

Kejadian yang tidak dijangka dan disangka-sangka. Kelam kabut kami dibuatnya kerana menurut Abah, sejak 28 tahun menetap di rumah tersebut inilah pertama kali air melimpah masuk sehingga ke dalam rumah. Paling teruk pun sebelum ini sehingga anak tangga sahaja.

Limpahan air di dalam rumah
Lebih mengharukan, 9 buah kereta di laman rumah tidak sempat dialihkan. Natijahnya hampir semua kereta dimasuki air. Beberapa kereta terpaksa dibawa ke bengkel dan perlu disenggara dan dibaikpulih kerosakan yang dialami. Berayalah mekanik nampaknya...8). Selebihnya di bawah pemantauan, moga-moga tiada kerosakan yang dialami.

Ledakan airnya tidak lama. Datangnya cepat, perginya juga cepat. Namanya pun banjir kilat. Maka tinggallah tempelan lumpur di merata tempat yang disinggahi air. Alahai... kenalah dibersihkan segera.

Apakah puncanya banjir kilat tersebut? Kata orang kesan daripada kerja-kerja penaiktarafan sungai di AU2 yang masih dalam pembinaan menyebabkan laluan air menjadi sempit dan tersekat, mengakibatkan aliran deras air melimpahi kawasan sekitarnya dan laluan air sebelum tiba di tempat pembinaan tersebut. Maka kawasan rumah kami antara yang merasai bahananya.

Lumpur tebal tinggalan banjir
Persoalannnya, apakah projek berkenaan mengambil kira kesan yang mungkin timbul di kemudian hari? Moga pihak berkaitan terutamanya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dapat melakukan post mortem yang telus dan tulus bagi mencari jalan yang terbaik daripada berulang kembali.

Dalam susah kami, jiran-jiran di belakang rumah dan yang berdekatan sungai lebih merasa peritnya. Rumah mereka habis ditenggalami air. Perkakas rumah dan pakaian tidak sempat diselamatkan. Sebahagiannya terpaksa dibuang atau dibersihkan. Begitu juga sebahagian sekolah rendah dan tadika bersebelahan rumah kami turut ditenggalami air.

Emm... dah ketentuan Illahi - qada' dan qadar yang perlu diterima dengan redha.

Insya ALLAH, di sebalik setiap kesulitan pasti ada kesenangan dan hikmahnya yang tersurat dan tersirat. Sekurang-kurangnya sebagai pengajaran kepada kami - "Usah diambil mudah akan setiap kemungkinan walaupun ianya tidak pernah berlaku."

Wednesday, August 21, 2013

Raya Cuti Sekolah

Tahun ini Cuti Penggal ke-3 persekolahan dipercepatkan di mana dilanjutkan daripada Cuti Aidil Fitri yang jatuh di penghujung minggu sebelumnya. Di sesetengah sekolah, mereka telahpun bercuti seawal minggu raya lagi, bermakna mereka dapat bercuti selama 2 minggu. Ini biasanya di negeri-negeri di mana cuti hujung minggunya pada hari Sabtu-Ahad. Manakala di negeri-negeri cuti hujung minggu pada hari Jumaat-Sabtu, pada hari Ahad dan Isnin mereka masih lagi bersekolah.

Di rumah Nenek Munah (adik Atuk Sulaiman)
Hari Raya pertama - kami bersolat sunat di Ulu Klang. Seterusnya beramah mesra dengan ahli keluarga Abah yang tidak putus-putus bertandang ke rumah seusai solat sunat sehinggalah ke petang.

Begitulah adat dan adabnya - yang tua dikunjungi, yang muda mendatangi. Ini kerana Abah adalah yang tertua di dalam keluarganya. Tambahan pula sebilangan besar adik beradik Abah seramai 10 orang bermastautin di sekitar Ampang dan KL.

Petangnya kami bergegas pula pulang ke kampung halaman Abah-Emak di Kg. Bukit Bangkong, bersebelahan kawasan pelancongan Bagan Lalang. Dua hari di kampung, sempatlah kami menyinggah di rumah Atuk Sulaiman (ayah kepada Emak yang kini berusia 99 tahun) dan juga beberapa rumah keluarga Abah-Emak yang 'wajib ziarah' (taraf nenek dan emak/bapa saudara).

Mana-mana rumah saudara-mara yang belum sempat disinggahi, Insya Allah akan diusahakan di sebelah malam ataupun hujung minggu. Begitulah lazimnya saban tahun bagi sanak saudara yang tinggal di Lembah Kelang dan sekitarnya.

Di rumah Nenek Su @ Batu Laut, Sepang
Hari-hari berikutnya anak-anak memerap di rumah sahaja sambil menyiapkan lambakan kerja kursus/ sekolah yang perlu disiapkan di sepanjang cuti sekolah. Alahai cikgu, kasihan kat para pelajar, musim raya pun masih dibebankan dengan kerja sekolah yang bertimbun.

Terpaksalah kami mengalah. Ada hikmahnya kerana kami dapat tunaikan puasa enam Syawal dengan aman.

Seminggu selepas raya, kami bertolak pulang ke Terengganu pula untuk menziarahi keluarga di sana. Sebenarnya projek 2 dalam 1 - beraya dan hantar anak-anak pulang ke asrama. Tidak semua rumah yang dihajati yang dapat dikunjungi kerana kekangan masa yang suntuk. Sekurang-kurangnya dapatlah kami menjenguk kesemua bapa dan emak saudara yang amat jarang ditemui.

Petang Sabtu, kami ke Besut menghantar Solehah pulang ke asrama di MRSM Kota Putera. Pagi Ahadnya pula kami bertolak ke Jempol, Negeri Sembilan menghantar Izzuddin ke MRSM Serting melalui LPT-Temerloh-Triang-Kemayan-Jempol. Lima jam perjalanan yang lancar - awalnya bimbang juga jalan sesak kerana hari Ahad adalah hari terakhir cuti sekolah.

Jika tidak silap ingat, inilah pertama kali kami merentasi Pahang ke Negeri Sembilan melalui Temerloh. Di pesisiran Sungai Pahang kelihatan deretan bangsal jualan ikan patin-talapia menjadi tumpuan pengemar ikan sungai - itulah ikon Temerloh. Cuma yang menghairankan, air sungainya bak teh tarik warnanya - macam tu ke selalunya ataupun bermusim?

Perjalanan hujung minggu yang amat memenatkan tetapi perlu dilalui demi memenuhi tuntutan ukhuwah dan tanggungjawab terhadap anak-anak.

Salam Aidil Fitri untuk semua. TaqabalaLlahu minna wa minkum.