Sunday, November 25, 2007

Kevin Rudd, PM Baru Australia


Labor triumphs as an era ends

KEVIN Rudd scored an historic victory over Prime Minister John Howard last night, taking Labor to power for the first time since 1996.

Across the nation, Labor rode to power on a swing of about 6 per cent, winning at least 24 seats from the Coalition. Labor needed 16 seats to win government on a swing of 4.8 per cent. At 11pm, they were ahead with 53 per cent of the two-party preferred vote, scoring 44 per cent of the primary vote.

Prime Minister-elect Mr Rudd vowed to be a leader for all Australians after thanking Mr Howard for his congratulations.

The new face of the 150-seat House of Representatives will show Labor with at 83 seats. The Liberals won 48 seats, the Nationals 10, for a Coalition total of 58 seats. There will be two Independents, Tony Windsor and Bob Katter. Seven seats are still undecided.

Mr Rudd's extraordinary triumph will deliver the Labor Party power in every Australian government, state and federal, for the first time.

Begitulah petikan dari The Sunday Herald Sun hari ini, salah satu akhbar harian popular di Australia, mengulas tentang kemenangan Labor Party mengalahkan parti pakatan Coalition (Liberal & National) pimpinan ex-PM John Howard dengan menguasai kesemua kerajaan samada di peringkat persekutuan dan negeri.

Malah lebih tragis lagi, John Howard kalah di kubu kuatnya, Bennelong, Sydney yang dikuasainya sejak tahun 1974 lagi kepada calon wanita Labor Party, Maxine McKew.
Sememangnya bahang perubahan begitu terasa di sepanjang 1 bulan masa berkempen setelah parlimen dibubarkan pada 24 November lalu. Menariknya, kempen yang dijalankan tampak begitu profesional dan terancang. Tiada kelihatan sebarang poster bergantungan di sepanjang jalan dan tiada markas dan pondok parti di mana-mana. Dengan kata lain, tiada pembaziran dan pandangan yang menyemakkan. Akhbar dan televisyen pula menyiarkan laporan, ulasan dan sesi bersama pemimpin dengan seimbang dengan masing-masing mengenengahkan manifesto parti yang diperjuangkan. Selebihnya terserah kepada pengundi untuk membuat pilihan.

Secara umumnya, perubahan dasar-dasar yang menyentuh kebajikan rakyat dan pembangunan negara menjadi tumpuan utama, antaranya pendidikan, kesihatan, kemudahan infrastruktur dan perancangan ekonomi negara. Kritikan terhadap setiap dasar sedia ada serta yang dirancangkan oleh mana-mana parti dilakukan secara profesional, adakala agak keras tetapi masih ada batasannya. Serangan peribadi langsung tidak mendapat tempat walaupun ada usaha ke arah itu.

Secara peribadi, dapat dilihat proses pilihanraya di Australia dijalankan dengan kaedah demokrasi yang telus. Undi posnya ada dan biasanya dikhususkan kepada mereka yang tak dapat mengundi pada hari pengundian termasuk yang berada di luar negara tetapi tiada kedengaran dipertikaikan oleh mana-mana pihak. Begitu juga tiada kedengaran pengundi hantu dan seumpamanya. Rakyat pula secara automatik mendaftar sebagai pengundi apabila mencapai usia 18 tahun tanpa perlu mendaftar secara formal.
Alangkah indahnya jika kaedah seumpamanya dapat dilaksanakan di tanah airku, Malaysia. Rakyatnya berani membuat perubahan untuk melihat kemajuan negara dan rakyat yang lebih terjamin dan berdaya maju. Kiranya peluang yang diberikan kepada pemerintahan baru tiada perubahan, di lain ketika tukar lagi. Diyakini, setiap kelompok pemerintah akan berusaha menyumbang bakti yang terbaik agar mereka dipilih lagi di penggal berikutnya. Di sinilah ada check and balance yang menguntungkan rakyat. Isu-isu rasuah, kronisme, nepotisme dan pelbagai lagi kelemahan akan berkurangan dan tidak mustahil indeks ketelusan negara akan naik mencacak.
Ayuh, kita lakukan perubahan. Masa depan kita dan generasi kita adalah terletak di tangan kita sendiri. Mengapa takut untuk berubah kearah kebaikan, sedangkan itulah juga suruhan Allah SWT.

Wednesday, November 21, 2007

Memetik Ceri di Cherry Haven

Pada hari Sabtu kami ke Healesville Sanctuary, kemudian singgah di Magic Garden Roses. Keesokan harinya, hari Ahad (18/11/2007) kami berkunjung pula ke Cherry Haven di Wandin yang juga terletak dalam Yarra Valley untuk merasai pengalaman memetik buah ceri segar terus dari pokoknya.

Cherry Haven adalah milik penuh keluarga Rod dan Christine yang diusahakan sejak tahun 2002 menggunakan konsep U-Pick (terbuka untuk dipetik sendiri sahaja). Terdapat lebih daripada 20 jenis ceri yang ditanam kemas dalam susunan barisan memanjang mengikut jenisnya, antaranya Sweet Georgia, Sandra Rose, English Morello, Vista dan Royal Rainer.

Sepanjang tahun hanya dibuka 20 hari sahaja dan pada tahun ini dibuka mulai 17-Nov hanya pada hujung minggu sahaja sehingga akhir tahun. Selepas itu selama 2 minggu dibuka setiap hari sebelum ditutup pada minggu kedua Januari 2008. Untuk masuk, kami dikenakan bayaran $3.00 seorang (usia lebih 12 tahun) dan harga ceri yang dipetik adalah $9.00/kg.

Mengikut perancangan, kami bercadang pergi pada sebelah paginya tetapi cuaca agak kurang baik dengan hujan turun berserta angin menderu, menambahkan sejuk suasana pagi. Nursiah, Ija dan Kak Mus mengambil peluang pergi membeli-belah di Melbourne City untuk bekalan balik ke Malaysia pada hari Selasanya. Sebelah petangnya baru tertunai hajat kami.

Perjalanan ke Cherry Haven mengambil masa kira-kira 45 minit dengan jarak hampir 42 km melalui Burwood Rd, Silvan - Monbulk Rd, seterusnya menyusuri Queens Rd hampir 5 km sebelum tiba di ladang ceri tersebut. Membelok masuk aja, kami terpesona melihat pemandangan persekitaran yang amat cantik dengan pepohonan menghijau di cerunan bukit berserta kolam membiru airnya di kaki bukit.

Sewaktu tiba, kelihatan beberapa keluarga begitu asyik sekali bergerak dari satu pokok ke satu pokok dan dari satu barisan ke satu barisan lain sambil mengelek baldi plastik yang dibekalkan sewaktu masuk. Kami sendiri pun terasa tak sabar-sabar lagi lebih-lebih lagi apabila melihat deretan pokok ceri dengan buahnya yang memerah melayuti dahan.

Nursiah, Ija dan Kak Mus terus lesap di celah-celah pokok sambil diikuti oleh anak-anak. Begitu seronok sekali mereka, petik sebiji terus masuk mulut, petik lagi masuk mulut lagi. Puas sekali mereka makan sambil mencuba ceri di setiap pokok yang disinggahi. Ada ketika mereka memanjat tangga yang disediakan untuk memetik buah di puncak yang tinggi. Teringat Laili dan anak-anak akan pengalaman memetik ceri di Adelaide pada akhir tahun lepas.

Dari pemerhatian, buah-buah cerinya agak kecil saiznya dari yang biasa ditemui dan tidak semua pokoknya telah masak buahnya. Nampaknya jika masih berminat, kenalah datang di lain ketika. Diakui ada juga yang masih mengguning tetapi rasanya sedap, mungkin ianya dari jenis seumpamanya. Terdapat juga barisan pokok yang rendah dan tiada tanda akan berbuah, agaknya baru ditanam.

Memandangkan buahnya tidak berapa menarik, kami hanya petik sedikit sahaja untuk dibawa balik. Selebihnya kami dah makan sepuasnya di setiap pokok yang kami petik buahnya. Emm, $3.00 bayaran masuk cukup berbaloi kiranya makan terus tetapi $9.00/ kg rasanya agak mahal berbanding harga pasaran yang lebih murah lagi, ada ketika hanya $5.00/kg sahaja. Akan tetapi yang paling bernilai adalah pengalaman memetik buah ceri yang susah untuk dialami, lebih-lebih lagi di tanah air sendiri.

Tuesday, November 20, 2007

Ke Healesville Santuary & Magic Garden Roses

Dua hari di hujung minggu baru-baru ini, tanpa perancangan awal, tak disangka-sangka kami berkesempatan berkunjung ke Healesville Sanctuary dan Magic Garden Roses di Healesville, Yarra Valley serta Cherry Haven di Wandin, juga di Yarra Valley (petik ceri dipaparkan dalam entri berikutnya).

Nak dijadikan musababnya, Dr. Norhayati yang baru balik dari Malaysia pada pagi Khamis minggu lepas dengan bengkak di bawah lidah tiba-tiba terpaksa menjalani pembedahan di Box Hill Hospital. Adiknya, Ija dan kakaknya, Kak Mus dari Malaysia berkunjung ke Melbourne. Kesempatan yang ada mereka berhajat mengunjungi di mana ada kangaroo dan jalan-jalan sekadar termampu sementara menunggu waktu melawat pada sebelah petangnya. Kebetulan Dr. Norsiah yang baru tamat sub-speciality course di Monash Uni akan balik ke Malaysia pada minggu hadapan dan ada masa untuk bawa mereka berjalan. Kami juga tidak ketinggalan turut serta kerana ianya sememangnya termasuk dalam senarai tempat yang akan kami kunjungi sepanjang berada di Victoria, khususnya tempat-tempat tarikan pelancung.

Berkunjung ke Healesville Sanctuary

Pagi Sabtu, kira-kira jam 11:00 pagi menaiki 2 buah kereta kami bertolak dari Dandenong ke Healesville melalui Lilydale dan Maroondah Highway, seterusnya masuk ke Badger Creek di mana terletaknya Healesville Sanctuary. Tak sangka pula tempatnya agak jauh, hampir 60 km memakan masa kira-kira sejam perjalanan. Healesville Sanctuary ini pernah dikunjungi oleh Solehah kira-kira sebulan yang lalu bersama rombongan sekolahnya, tak dengar pulak dia mengeluh jauh.

Memasuki kawasan sanctuary kami sedikit teruja melihat habitat haiwan yang menghijau termasuk semak kecil di kiri-kanan laluan denai yang tidak berturap, sesekali melalui laluan jambatan papan yang disusun kemas. Sayangnya pengunjung tidak dibenarkan memberi makan kepada haiwan, dikhuatiri boleh memudaratkan kesihatan mereka.

Haiwan pertama ditemui adalah burung emu, kelihatan berjalan-jalan di celah-celah pokok. Seterusnya kami membelok ke kiri ke kawasan koala. Comel sekali koala yang memeluk dedahan pokok sambil mengunyah dedaunan. Sudah pasti para pengunjung tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar. Kangaroo pula diletakkan di dalam kawasan berpagar dan pengunjung dibenarkan memasukinya setakat kawasan bertali sahaja, agak jauh dari kelompok kangaroo yang sedang bersantai di hujung kandang. Kesian kat Kak Mus dan Ija yang tak dapat menyentuh dan memberi makan sambil bergambar bersama ikon kebanggaan Australia untuk ditunjukkan pada anak-anak.

Seterusnya kami bersua dengan burung Cackatoo, menyusuri “dunia gelap” Platypus, mengintai Wallaby, Echidna dan Wombat yang pemalu serta Tasmanian Devils yang mempunyai wajah yang menakutkan.

Hujan renyai-renyai sesekali lebat mulai turun tetapi penerokaan kami perlu diteruskan juga. Kami masuk ke kawasan Reptilia di mana ular, katak, biawak dan spesis seumpamanya di letakkan di dalam sangkar kaca. Dingo (sejenis anjing) adalah haiwan terakhir yang dilewati tetapi sebelum itu kami lalui dahulu kawasan burung merak (dipanggil Lyrebird bukannya Peacock) dan Kookaburra.

Sebelum bertolak keluar dari Healesville Sanctuary, tidak lengkap kiranya tidak singgah membeli cendera hati di Souvenir Shop sebagai kenang-kenangan. Kira-kira jam 03:00 petang, kami bertolak balik tetapi sempat singgah hampir setengah jam di Magic Garden Roses, kira-kira 3 km dari sanctuary.
Komen : Healesville Sanctuary menyerupai zoo kecil di mana haiwannya dikurung tanpa dibenarkan berinteraksi dengan pengunjung. Jadi tiada banyak keistimewaan dan bezanya dengan zoo yang lebih besar. Kiranya kunjungan sekadar untuk melihat haiwan semata-mata, rasanya lebih baik mengunjungi Zoo Melbourne di mana ianya lebih luas dan haiwannya lebih banyak dan pelbagai, apatah lagi bayaran masuknya sama sahaja ($58.40 untuk family ticket dan $17.30 concession ticket dengan Student Card). Akan tetapi kiranya hanya ingin melihat haiwan-haiwan kebanggaan Australia, inilah tempatnya.
Berkunjung ke Magic Garden Roses

Magic Garden Roses, satu kawasan penanaman, pembiakan dan penjualan bunga ros yang dikatakan terluas di Melbourne, diusahakan oleh Peter dan Trish. Dianggarkan terdapat hampir 1,000 spesis bunga ros dengan warna yang pelbagai ditanam dan dijaga dengan begitu teliti.

Masuk sahaja ke kawasan tersebut (masuk percuma), setiap mata terutama yang meminati bunga ros pasti akan terpegun melihat deretan bunga ros yang ditanam memanjang di atas batas-batas yang tersusun rapi. Warna bunga ros yang bermacam-macam dengan bentuk yang tersendiri berselang seli di antara satu sama lain sememangnya menceriakan kawasan serta memukau pandangan.

Kami tidak melepaskan peluang untuk berjalan menyusuri batas-batas bunga sambil mencium serta yang pasti mengambil gambar dilatari bunga-bunga yang menjadi pilihan. Nursiah, Ija dan Kak Mus kelihatan begitu terpesona sekali sehingga tidak menyedari memori kamera dah sampai ke penghujungnya.

Walaupun tidak membelinya seperti satu keluarga rakyat Malaysia yang kami temui tetapi dapat mencium dan menyentuh kuntuman bunga yang mekar berkembang serta mengabadikan gambarnya sudah cukup memberi kepuasan kepada kami.
Komen : Bagi peminat bunga ros khususnya yang suka menanam, inilah tempatnya di mana banyak pilihan mengikut selera masing-masing. Manakala sekadar suka-suka, tidak rugi meluangkan masa seketika merasai aroma ketenangan dikelilingi bunga-bungaan yang amat cantik mekar berkembang, sekurang-kurangnya untuk dirakamkan sebagai kenang-kenangan.

Tuesday, November 13, 2007

Berkunjung ke Dandenong Show

Hujung minggu baru-baru ini (Sabtu – 10/11/2007), kami sempat berkunjung ke Dandenong Show yang berlangsung selama 2 hari, Sabtu dan Ahad dan diadakan di Greaves Reserve, Bennet St, kira-kira 7 km dari rumah. Ianya adalah acara tahunan kali ke -136 anjuran Dandenong Agricultural and Pastoral Society (DAPS) , memberi peluang kepada masyarakatnya membawa keluarga untuk berhibur dan mengenali aktiviti di persekitaran mereka terutama berkaitan dengan pertanian, penternakan dan serta sejarah kehidupan setempat.
Secara umumnya Dandenong Show dapat dibahagikan kepada 3 bahagian. Main Arena yang berkonsepkan funfair dipenuhi dengan pelbagai bentuk permainan seperti Euroslide, Thunderbolt, Dodgem Cars dan macam-macam lagi, tak terkecuali permainan mencuba nasib seperti baling bola dan teka nombor serta rumah hantu. Suasana di persekitaran Main Arena amat membingitkan telinga, lebih-lebih lagi ketika sesuatu permainan meluncur laju atau menongkah angkasa. Anak-anak sempat mencuba permainan Marry Go Round dan sebelum pulang menaiki The Chants (seperti Eye of Malaysia).

Khusyuk mendengar penerangan pemintalan bulu biri-biri menggunakan kaedah tradsional

Bahagian kedua tertumpu kepada pameran barangan kraf dan rekacipta (termasuk robotik dan sulaman) yang terletak di dalam satu dewan besar. Manakala dewan kedua pula menempatkan binatang ternakan terutama biri-biri serta perusahaan yang berkaitan dengannya. Kami ditunjukkan cara mencukur bulu biri-biri serta bagaimana bulu tersebut dipintal menjadi benang menggunakan peralatan tradisional, seterusnya dikait menjadi barangan siap. Antara kedua dewan pula ditempatkan lembu pelbagai jenis dan warna di mana pertandingan lembu terbaik juga diadakan. Malah pelbagai lagi acara menarik berkaitan haiwan diadakan. Sedikit mengecewakan, tarikan utama iaitu kuda (horse & pony) terpaksa dkeluarkan dari acara pertunjukan dikhuatiri merebaknya horse flu/ equine influenza yang menyerang kuda baru-baru ini.

Di Scout Booth, anak-anak berkesempatan menyertai acara melukis di atas beg, mewarna topeng dan layang-layang serta meniti titi gantung. Pertunjukan puppet juga diadakan di bahagian ini.

Bahagian ketiga adalah kawasan jualan barangan. Memandangkan matahari yang agak terik dan musim panas juga tak berapa lama lagi, maka topi menjadi tumpuan kami, antaranya topi Jepun dan topi Koboi.

Umumnya acara pesta seumpamanya mampu menarik ramai pengunjung bukan sahaja untuk berhibur tetapi sebagai tempat rujukan susur galur kehidupan dan kebudayaan yang kurang dipedulikan. Soal hiburan sememangnya tidak boleh dipisahkan malah kiranya tiada funfair diyakini hanya segelintir sahaja yang sanggup menjengahkan diri.

Thursday, November 8, 2007

Lawatan ke Warrock Cattle Farm

Semalam, kami tiga beranak termasuk Imran (abang & kakaknya ke sekolah) berkesempatan mengikuti program lawatan sambil belajar (excursion) ke Warrock Cattle Farm. Program ini dianjurkan oleh komuniti setempat, Dandenong Neighbourhood House yang turut disertai oleh komuniti dari Springvale dan Noble Park. Hampir 150 orang menyertainya dengan menaiki bas dari 3 lokasi berasingan tersebut. Perjalanan dari Dandenong ke Warrock Farm mengambil masa kira-kira 45 minit.

Laili dan Imran duduk di atas hay dalam hayride

Memasuki kawasan ladang, kami sempat melihat burung emu yang berkeliaran di dalam kawasan berpagar rendah, anjing pengawal melepak sederet bersebelahan rumah anjing dan lembu yang sedang bersantai di kandang. Ketibaan kami disambut oleh para petugas ladang yang bertopi koboi yang amat peramah. Agenda pertama, kami dibawa menaiki hayride yang ditarik oleh traktor. Hayride ini dimuatkan dengan hay (rerumput kasar makanan lembu dan kuda yang diikat) dan ianya dijadikan tempat duduk para pengunjung yang menaikinya.
Demonstrasi mencukur bulu biri-biri
Tempat pertama ditujui adalah Shearing House di mana demonstrasi mencukur bulu biri-biri ditunjukkan oleh salah seorang pekerjanya. Menurut beliau, seekor biri-biri dibayar $2.00 dan beliau mampu mencukur antara 200 – 300 ekor sehari. Menghairankan, biri-biri yang dicukur langsung tidak meronta walaupun badannya dipusing ke kiri ke kanan sambil mata cukur menyentuh kulitnya. Kami berpeluang menyentuh badan togel biri-biri yang telah siap dicukur, terasa sedikit berminyak dan berpasir. Sedikit bulu tersebut diambil sebagai kenang-kenangan (dengan kebenaran).

Ada gaya... Imran sedang melibas tali cemeti

Seterusnya kami ditunjukkan demonstrasi bagaimana 2 ekor anjing ditugaskan mengawal pergerakan sekumpulan biri-biri dari terlepas dari kawanan (pack). Selepas itu ditunjukkan cara-cara menggunakan tali cemeti bagi mengawal pergerakan lembu terutama mengarahkanya masuk ke kandang. Tali cemeti ini diangkat ke atas dan dilibaskan kehadapan sehingga menghasilkan bunyi “crack”. Kami tak melepaskan peluang cuba melakukan libasan, malangnya tak menjadi, malah tangan dan badan sendiri pula yang dilibas. Imran juga tidak ketinggalan mencuba melakukan libasan.

Selepas itu kami dibawa masuk ke kawasan kolam yang berpagar. Di sana kami diberi peluang bergerak bebas memberi makan kangaroo, angsa, itik dan ayam yang berkeliaran di sekitarnya. Paling menyeronokkan kangaroonya amat jinak dan mudah sekali menjilat makanan di tangan kami. Imran pun dah makin berani, adakala mengosok-gosok badan kangaroo, tidak seperti semasa melawat Cleeland Wildlife di Adelaide pada akhir tahun lepas. Bersebelahan kolam, Imran dan ibunya sempat bergambar dengan wombat yang diletakkan dalam sangkar serta ayam dan merak yang juga diletakkan dalam sangkar.

Menjelang tengahari, kami dijamukan dengan makan tengahari di Warrock Café, menunya nasi dan ayam bakar bersekali dengan kentang, kacang peas dan baby carrot. Oh, ya… ayamnya dijamin halal kerana permintaan telah dibuat sebelum lawatan, tambahan pula sebahagian daripada peserta adalah muslim Afghanistan.

Kami amat tertarik dengan persekitaran kafeterianya yang dipenuhi bunga-bungaan dari pelbagai jenis dan warna… amat cantik dan sejuk mata memandang. Umumnya lawatan ini amat menarik dan banyak perkara yang boleh dipelajari dan ditauladani. Cuma sedikit terkilan kerana tidak berpeluang mendekati lembu (cattle) dan melihat proses-proses yang berkaitan dengannya. Menurut petugas di ladang tersebut, ianya tidak termasuk di dalam pakej yang diambil. Tak apalah, jika ada kesempatan kami boleh berkunjung di lain ketika bersama ahli keluarga yang lain.

Kami bertolak pulang kira-kira jam 2:00 petang. Sepanjang jalan Imran tidur dengan lenanya. Satu pengalaman yang menarik untuknya.

Bersantai di Mother's Beach

Anak-anak bergambar sebelum pulang

06hb. November 2007 adalah hari cuti umum di Victoria sempena Melbourne Cup (pertandingan lumba kuda). Petangnya, atas undangan Dr. Mariana, kami berkunjung ke Mother’s Beach yang terletak di Mornington, kira-kira 40km dari Dandenong. Pantainya amat cantik dan bersih dengan pasir halus yang melandai hingga ke laut. Jeti tersergam indah di gigi air dan perahu layar beroleng-oleng mengikut alunan ombak yang menderu lembut. Rumpai laut (seaweed) pula kelihatan bertompok hitam di sana sini menambahkan lagi seri laut yang kelihatan tenang sekali airnya. Kawanan seagull pula terbang rendah dan ada yang terkedek-kedek menyusur pantai, kelihatan begitu jinak sekali mengejar roti yang dicampak dek pengunjung.

Cuaca petang agak baik dengan suhu sekitar 25 darjah Celcius dan matahari bersinar terang. Walaupun begitu, pengunjungnya tidaklah berapa ramai dan amat selesa untuk bersantai bersama keluarga.

Tiba sahaja di pantai, anak-anak dah tak sabar-sabar lagi terus turun ke gigi air terutama anak-anak Mariana, Fikri dan Fahmi yang telah siap sedia berpakaian mandi. Seterusnya dituruti sama Iddin, Hanisah, Solehah, Imran dan 2 lagi anak Mariana. Mereka berendam dan berkejaran dengan penuh kegembiraan. Penat bermain air, mereka bermain pasir pula. Suara gelak ketawa dan jeritan memeriahkan lagi suasana petang. Laili dan Mariana serta Nora pula rancak berbual berhampiran hamparan. Sesekali kedengaran suara mereka menegur perlakuan anak-anak.

Hampir sejam bermain air dan pasir, masing-masing berkejaran naik, bukan sahaja kerana kesejukan tetapi kerana kelaparan. Semuanya makan penuh selera. Kira-kira jam 06:00 pm, kami pun beredar pulang dan tiba di rumah kira-kira 45 minit selepas itu.

Saturday, November 3, 2007

Takziah & Tahniah

Pagi ini mendapat emel dari Eusni, dikhabarkan Atuk Ahmad Bajuri, adik kepada Atuk Sulaiman telah djemput pulang olehNya (meninggal dunia) tengahari semalam, Jumaat 02/11/2007 setelah 4 hari koma disebabkan serangan angin ahmar (stroke). InnaliLlahi wainna ilaahi rajiun... Itulah ketentuan Illahi, setiap yang hidup pasti akan merasai mati. Moga rohNya dirahmati Allah. Al-Fatihah.... Amiin. Hari ini hari mereka, bila pula hari kita... mungkin esok, mungkin lusa dan mungkin juga seketika nanti....
Berkumpul sempena jamuan keluarga pada awal tahun ini
Pada 15/11/2007 bersamaan 05 Zulkaedah 1428H, Eusni dan suami, Fahimey akan berangkat ke tanah suci untuk menunaikan rukun Islam ke lima. Tahniah untuk mereka. Ya Allah, anugerahkanlah kepada mereka haji yang mabrur, perjalanan yang dirahmati, dipermudahkan segala urusan, diperkenankan segala doa dan harapan serta sentiasa di bawah lindungan Illahi. Amiin. Doakan untuk kami kehidupan yang harmoni dan dirahmatiNya serta diberikan kesempatan untuk turut ke sana. Sampaikan salam kami kepada RasuluLlah SAW dan keluarganya.
Untuk Abah Tauhid, selamat menyambut ulangtahun kelahiran pada 08 Nov nanti. Moga sentiasa dikurniakan kesihatan dan rahmat dariNya. Amiin.

Thursday, November 1, 2007

Beraya di Northern Melbourne

Di laman belakang rumah Yazah di Fawkner, Coburg - foto sumbangan Nizam
Hujung minggu baru-baru ini (Sabtu), kami beraya sakan lagi, memenuhi jemputan balas rumah terbuka warga Malaysia di North Melbourne terutama di Coburg dan Preston. Warga Malaysia di Dandenong diketuai oleh keluarga Aznan dengan disertai sama oleh keluarga Abg Nordin dan Wafir sekeluarga bergerak ke Monash Uni untuk bergabung dengan konvoi warga Malaysia di Clayton yang sedia menunggu di sana. Perjalanan konvoi lebih 15 kereta seterusnya bergerak ke destinasi dengan diketuai oleh Nizam.

Jarak perjalanan agak jauh melalui jalan yang agak sibuk, beberapa kali kereta kami terpisah dari konvoi kerana tersangkut sewaktu lampu merah atau tertinggal sewaktu melintas jalan, terpaksalah mendapat panduan jalan melalui Melway dan telefon dari rakan-rakan lain. Cuaca pula agak panas dengan suhu sekitar 31 darjah Celcius menyebabkan anak-anak kerimasan.
Kaum ibu dan anak-anak di hadapan rumah Ustaz Nushi di Glenroy, Coburg - foto sumbangan Nizam
Rumah pertama dikunjungi adalah rumah Yazah, diikuti rumah Ustaz Nushi, Istas, Rahmat dan rumah Ihsan. Juadah yang dihidangkan amat menyelerakan, antaranya rojak buah, rojak pasembor, nasi dagang, lompat tikam, nasi beriani, mee bandung, mee sop, sotong pulut dan macam-macam lagi. Yang paling menjadi tumpuan adalah air minuman kerana cuaca yang agak panas. Tak disangka-sangka kami dihidangkan dengan cendol dan aiskrim Malaysia yang menjadi rebutan tak kira mak bapak budak apatah lagi anak-anak.

Selepas solat Asar di rumah Ustaz Razak (yang lelaki aja), semuanya beredar pulang tetapi kami mengikut Aznan bersama keluarga Abg Nordin dan Zamzuri meneruskan perjalanan ke rumah Mejar Khairuddin di Laverton. Kami tiba di rumahnya menjelang masuknya waktu Maghrib.

Selepas Maghrib, kami berkunjung pula ke rumah Ahmad, warga Singapura kenalan Zamzuri yang dah 18 tahun menetap di Melbourne. Rumahnya selang beberapa rumah sahaja dari rumah Mejar Khairuddin. Menurut Ahmad, warga Melayu Singapura di Melbourne dah hampir 200 keluarga dan akan terus bermastautin di Australia. Kasihan mereka terpinggir di negara sendiri, terpaksa merantau mencari tapak untuk kehidupan yang lebih selesa, terjamin dan selamat.

Kami beredar pulang tika jam menunjukkan angka 10 dengan penuh kepenatan tapi puas kerana dapat melebarkan ukhwah dan silaturahim sesama Muslim. Anak-anak semuanya dah terlentok lena di sepanjang jalan pulang. Kami tiba di rumah kira-kira jam 10:30 malam.