Monday, March 28, 2011

Kembali Bersama

Hujung minggu yang amat menyeronokkan bagi anak-anak. Rumah atuk-nenek di Hulu Kelang riuh rendah dengan suara mereka.

Apa ketidaknya, empat beradik; Ainul, Aiin, Arif dan Adam baru sahaja tiba dari Sydney, Australia pada hari Sabtu. Selama setahun di sana mengikut ibu mereka yang belajar sambil bekerja dan kini pulang ke tanah air.
Bersua muka dengan anak-anak kami yang sebaya; Izzuddin, Hanisah, Solehah dan Imran serta sepupu-sepapat yang lain; Abid, Kaisah, Hawa, Zahra dan Wafi menjadikan suasananya meriah dan ceria sekali.

Begitulah hubungan mereka. Walaupun lama tidak berjumpa namun kemesraannya tidak lekang dek perubahan masa.

Anak-anak lelaki dengan kelompok lelakinya. Manakala anak-anak perempuan dengan dunia mereka tersendiri. Terlelap tidur pun tidak disedari. Walaupun seronok apabila bersama, kewajiban pada Yang Esa tidak dilupakan. Dilaksanakan bersama secara berjemaah. AlhamduliLlah.

Cuma kasihan pada Solehah kerana terpaksa mengorbankan keseronokan bersama. Lebih banyak masanya diperuntukkan bagi menyiapkan lambakan kerja sekolah. Tidak mengapalah, Insya Allah masih banyak masa lagi kerana kini masing-masing telah pun kembali meneruskan perjuangan hidup di tanah air tercinta.

Setelah bertahun-tahun di perantauan Melbourne dan Sydney, kini semua adik beradik Laili kembali bersatu. Kami sekeluarga hampir 4 tahun di Melbourne dan keluarga Eusni bersama Nasrul Hadi selama setahun di Sydney. Menariknya kepulangan semua dalam jarak waktu hanya berbeza kurang lebih 2 bulan sahaja.

Selamat Pulang. Kita kembali bersama.

Friday, March 25, 2011

Culas Bersolat

Masih lagi soal solat.

Semua orang Islam mengakui kewajiban bersolat 5 waktu sehari semalam. Pedihnya azab bagi yang tidak bersolat tidaklah terbayang. Itupun diketahui semua.

Namun alangkah sedihnya masih ramai yang culas menunaikan solat dengan pelbagai dolak dalih dan seribu alasan yang direka-reka. Adakalanya rela berbohong semata-mata melayan nafsu malas dan rasa enggan diulik keseronokan duniawi. Lebih menyedihkan, yang duduk-duduk di rumah pun culas solat, apatah lagi jika berada di luar rumah.

Di tanah air tercinta ini, soal tempat solat tiada masalahnya. Di mana-mana sahaja boleh ditemui masjid, surau mahupun mussalla. Di stesyen minyak, kawasan rehat dan rekreasi, pejabat, tempat letak kereta, shopping complex dan di merata ceruk mudah sahaja ditemui ruangan untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Ibarat kata, kiranya Allah SWT menarik balik perintah solat jamak, tiada masalahnya untuk kita mengerjakan solat pada setiap waktunya. Namun ni'mat Allah itu masih dikekalkan semata-mata memberi kemudahan kepada hambaNya. SubhanaLlah.

Teringat akan komentar yang disampaikan oleh YBhg. Ustaz Wan Sohor Bani Leman ketika berceramah di Masjid Al-Ridhuan pada minggu lepas, "Untuk membentuk jiwa pejuang yang tulen, perkara paling utama adalah menjaga solat. Lebih-lebih lagi sebagai ketua keluarga dan contoh terbaik untuk anak-anak."

Tepuk dada tanyalah iman - antara mahu ataupun tidak sahaja. Itupun masih ramai yang memilih bujukan nafsu dan syaitan. Pernahkah mereka yang culas solat ini terfikir, betapa seronoknya iblis dan syaitan mengalu-alukan kita menemani mereka di neraka nanti. NauzubiLlah...

Pesanan ini khusus untuk diriku sendiri dan juga kepada rakan-rakan semua. Semoga diredhai Allah SWT. Ameen.

Thursday, March 24, 2011

Didikan Solat

"Solat adalah tiang agama. Kiranya tidak dijaga maka akan runtuhlah agama. Tanpa solat yang sempurna tiada gunanya sebarang amalan dan kebaikan lain yang dilakukan".
"Di akhirat kelak, solatlah yang pertama yang akan dihisab. Jika lepas hisabnya, maka amalan lain akan menjadi lebih mudah pengadilannya. Ini kerana, manifestasi dari solat yang dikerjakan akan memandu diri untuk melakukan segala suruhan dan meninggalkan segala tegahan Allah SWT".

"Walau di mana sahaja, tanpa ibu ayah yang menyuruh solat, jangan sekali-kali lupa untuk menunaikan solat. Solatlah kerana Allah bukannya kerana ibu-ayah".

Demikianlah peringatan yang sering diperingatkan kepada anak-anak terutama ketika sesi tazkirah selepas solat Maghrib dan Subuh.

AlhamduliLlah, dari pemerhatian kami kesemua anak-anak amat prihatin soal solat. Izzuddin, Hanisah dan Solehah amat menjaga solat mereka. Setiap waktu, 5 kali sehari tidak pernah alpa. Imran yang kini di Tahun 1 pun serupa. Cuma solat Subuhnya perlu dilatih untuk bangun awal. Lain-lain waktu Insya Allah tiada masalah.

Baru-baru ini saya mendapat kiriman emel tentang ketegasan Wardina Safiyyah (artis bertudung litup) mendidik anak perempuannya seusia Imran menunaikan solat. Jika anaknya tidak solat akan dikenakan hukuman sambil menyatakan dengan penuh kasih sayang apa sebabnya. Natijahnya, anaknya sentiasa menjaga solatnya walaupun ketika beliau bersendirian ataupun di bawah jagaan orang lain.

Betapa pentingnya anak-anak dididik dan dibiasakan dengan amalan solat sedari kecil. Apa-apa pun ibu bapalah yang perlu menjadi contoh dan pendidik yang paling baik. Anak-anak sememangnya menjadikan ibu bapa sebagai idola mereka. Jika ibu bapa menjaga solat mereka termasuk solat berjemaah, Insya Allah anak-anak juga akan mengikutnya. Paling penting dan utama adalah ketegasan ibu bapa.

Teringat saya akan penyataan seorang ustaz ketika menyampaikan ceramah Maulidul Rasul baru-baru ini, katanya, "Orang Islam sanggup bergaduh jika dikatakan tidak sayangkan Allah SWT dan RasuluLlah SAW. Akan tetapi ramai yang buat tak kisah apabila tidak melaksanakan suruhan Allah dan RasulNya, antaranya ibadah solat".
Ustaz itu menambah, "Jadi di manakah nilai kasih sayang tersebut?"

Atas nama dakwah, saya berpesan kepada diri sendiri dan kepada rakan-rakan semua, marilah kita mendidik anak-anak kita dengan solat sejak mereka kecil lagi. Moga dengannya menjadikan anak-anak kita anak-anak yang soleh dan solehah di dunia dan di akhirat. Sekaligus menjadi saham dan bekalan untuk kita apabila kubur kata mari, dunia kata pergi...

Sunday, March 20, 2011

Sepupu Sepapat

Mohd Wafi Rayyan. Itulah nama 'orang baru' dalam keluarga Pisal-Fairuz yang dilahirkan pada 5/3/2011 baru-baru ini. Kini dalam keluarga kami, ada 2 orang anak saudara bernama Wafi. Seorang lagi anak kepada adik saya yang menetap di Kuala Terengganu iaitu Suhaila.

Selepas seminggu bersalin, Wafi berserta ibu dan kakak-kakaknya; Hawa dan Karimah dibawa oleh Emak dan Abah pulang ke Hulu Kelang dari rumah mereka di Kulim, Kedah. Telah lama emak-abah berhasrat untuk menjaga cucu ke-14 mereka ini. Tercapai juga hajat di hati.

Anak-anak kami begitu seronok sekali apabila ada baby di rumah. Imran dan Solehahlah yang paling teruja. Kalau boleh setiap masa nak ditenung, diusap dan dipangkunya. Sememangnya mereka amat sukakan 'budak kecil'. Apatah lagi yang ada pertalian darah dengan mereka.

Sebelum ini Dahlia Az-Zahra, anak Pak Tam-Mak Tam yang tinggal di Putrajaya sentiasa dirindui, kini telah ada pengganti sementara. Namun Zahra masih diingati. Jika ketemu Pak Tam mahupun Mak Tam tanpa Zahra bersama, soalannya masih sama, "Bila Zahra nak datang?"

Karimah yang sebaya dengan Hanisah dan Solehah kini ada di rumah kami. Ke mana sahaja mereka bersama. Tambahan pula telah lama tidak bersua muka. Tunggulah bila anak-anak Fahimey-Eusni; Ainul, Aiin, Arif dan Adam pulang dari Sydney pada hujung minggu hadapan. Bayangkanlah 14 hero dan heroin berjumpa setelah lama saling tidak bertemu.

Seronok melihat hubungan anak-anak sesama sepupu sepapat mereka yang begitu akrab.

Saturday, March 19, 2011

Kerja Sekolah

Maaflah, telah lama blog ini tidak dikemaskini mahupun diposkan entri baru. Tidak berkesempatan. Tambahan pula ketika cuti persekolahan. Komputer sentiasa menjadi rebutan. Apa nak dikata, zaman internet...

Cuti persekolahan Penggal 1 selama seminggu telahpun hampir ke penghujungnya. Hari Isnin ini (lusa) sekolah mula dibuka kembali. Maka bermulalah musim persekolahan Penggal Ke-2.

Selama seminggu bercuti, anak-anak sentiasa mengeluh panjang. Banyak homework (kerja sekolah kena buat kat rumah) yang dibagi cikgu. Malah ada anak yang mengalirkan air mata kerana merasa tertekan dengan bermacam perkara yang perlu dibuat. Apatah lagi mereka masih lagi lemah dalam penguasaan bahasa Melayu dan tulisan Jawi serta bahasa Arab. Namun ada baiknya juga. Walaupun terpaksa melakukannya dalam keadaan tertekan, hasilnya memuaskan. Akan tetapi kami kenalah sentiasa di sebelah mereka untuk menunjuk ajar.

Apa nak dikata, memang begitu sistem pendidikan di Malaysia ini, masih lagi terikat dengan peperiksaan (exam oriented). Banyak bezanya dengan sistem pendidikan yang pernah mereka lalui di Australia dahulu. Ketika di sana, homeworknya ada tetapi tidaklah seberat di sini. Kerja rumah harian diberi masa beberapa hari untuk disiapkan berbanding kerja rumah di sini perlu disiapkan pada malamnya juga. Bukan satu tetapi lebih dari itu.

Tidak perlu lagi untuk dikenang. Semuanya itu telah ditinggalkan. Suka atau tidak, terpaksalah dituruti juga. Mana-mana yang dapat dielakkan ataupun dikompromi, bolehlah dilakukan agar tekanan perasaan dapat dikendurkan semaksima mungkin. Toleransi dari guru-guru juga amat diharapkan agar faham situasi yang dialami oleh anak-anak.

Monday, March 7, 2011

Kelahiran

Birthday

Semalam, 06/03/2011 adalah ulangtahun kelahiran yang ke-13 anak kedua kami, Nur Hanisah (bercermin mata). Happy Birthday Hanisah.
Betapa cepat masa berlalu. Tup..tup dah 13 tahun Hanisah dilahirkan. Sudah menginjak usia remaja. Usia yang penuh cabaran dan dugaan dengan pelbagai pancaroba kehidupan yang tidak dapat dijangkakan.
Didoakan moga Hanisah dapat melalui segalanya penuh tabah berpandukan ketaqwaan kepada Allah SWT. Insya Allah bahagia dan selamat di dunia dan di akhirat. Ameen.
Berbanyak terima kasih kepada Pak Tam Bakhtiar, Mak Tam Suraya dan si comel lote, Zahra yang menaja kek.

Orang Baru

Kira-kira jam 11:58 malam semalam (05/03/2011), Euslita Fairuz, adik kepada Laili yang tinggal di Kulim telah selamat melahirkan anak lelaki. Tahniah Pisal dan Fairuz atas kehadiran orang baru (anak ketiga) dalam keluarga. Tahniah kepada Karimah dan Hawa Sakinah yang mendapat adik lelaki. Moga semuanya sentiasa dalam lindungan dan rahmat Allah SWT. Tahniah juga kepada Abah dan Mak yang mendapat cucu yang ke-14 (cucu lelaki yang ke-6).
Di sebelah petangnya Fairuz ada menelefon Laili memaklumkan air tubannya mulai mengalir keluar, namun rasa sakitnya sedikit sahaja. Beliau dinasihatkan bersedia untuk ke hospital.
Dalam nada bergurau,"Kalau boleh tahan dulu sampai esok hari barulah bersalin. Bolehlah sambut birthday sama hari dengan Hanisah".
Kun fa yakun... tiada siapa dapat menghalang. Dua minit menjelang tengah malam, bayi lelaki dilahirkan. AlhamduliLlah, semuanya selamat.

Thursday, March 3, 2011

Minat Buku

Dunia buku (terangkum bersamanya majalah, makalah, akhbar dan seumpamanya) sememangnya satu dunia yang kami sekeluarga amat minati dan sayangi. Kami tidak lokek mengeluarkan duit semata-mata kerana buku. Berbanding keperluan semasa yang lain seperti pakaian, alat dandanan dan bermacam benda lagi, buku sentiasa menjadi keutamaan.

Salah sebuah buku yang diminati karya Prof Dr. Hj. Muhd Kamil
Mengingati masa lalu, naluri meminati buku ini telah tumbuh di sanubari saya sejak kecil lagi. Saya sanggup mencuri duit ayah semata-mata ingin membeli akhbar harian dan majalah serta komik yang digemari. Setelah dibeli, ianya akan disembunyikan di mana-mana tempat yang tersorok. Adakalanya tidak sedar ianya rosak dimakan bubuk atau pun anai-anai. Pernah juga tertangkap dek ayah, apalagi kena marahlah.

Namun saya tidak pernah serik. Ketagihan pada buku atau bahan bacaan menjadikan saya anak yang tidak mendengar kata. Ayah marah bukan kerana sayangkan duitnya tetapi bimbang saya lupakan pelajaran sekolah. Saya tidak menyalahkan ayah kerana demikianlah pemikiran orang-orang tua di kampung di tahun 70an yang menganggap pelajaran hanya diperolehi dari buku-buku sekolah.

Ketika di sekolah menengah, seterusnya ke menara gading, naluri minatkan buku tidak pernah padam. Di saat rakan-rakan lain lebih senang membuat fotokopi buku-buku pengajian, saya lebih suka membeli buku baru ataupun terpakai. Ianya memberi lebih kepuasan dan menimbulkan semangat belajar yang lebih kepada saya. Bukannya saya mempunyai banyak duit tetapi saya sanggup berkorban makan-minum serta kehendak lain semata-mata kerana buku.

Setelah bekerja dan mempunyai duit saku sendiri, kedai-kedai buku dan pameran buku sentiasa menjadi destinasi yang wajib disinggahi. Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang diadakan setiap awal tahun di PWTC sentiasa dinanti-nantikan. Sanggup saya mengambil cuti kerananya. Ketika berada beberapa tahun di luar negara, saya amat terasa kehilangannya. Sekarang saya serta keluarga telah pun kembali ke tanah air, Insya Allah kali ini tidak akan dilepaskan.

Naluri meminati buku ini turut sama dikongsi bersama isteri yang sememangnya mempunyai minat yang sama sejak sekian lama. Kini anak-anak kami yang sedang meningkat remaja pun sudah sebati dengan buku. Mereka telah dibiasakan dengan buku sejak dalam kandungan lagi. Kemana pergi, buku/majalah yang dicari, alat mainan langsung tidak diendahkan. AlhamduliLlah.

Koleksi buku-buku kami semakin hari semakin bertambah. Buku-buku sedia ada di rumah ditambah pula berkotak-kotak buku yang dibawa pulang dari Melbourne (foto di atas - masih di dalam kotak). Telah lama kami mengimpikan untuk mengadakan perpustakaan mini di rumah. Satu ruang khusus untuk menempatkan kesemua buku-buku tersebut berserta ruang belajar untuk anak-anak. Tempatnya telah pun ada tetapi belum dilengkapi kemudahan dan tiada kesempatan masa. Insya Allah akan diusahakan dalam masa terdekat.

Kami amat mengharapkan moga naluri minatkan buku di dalam keluarga kami ini terus segar mekar sepanjang zaman selagi hayat dikandung badan, berterusan selamanya. Ameen.