Tuesday, August 28, 2012

Pra Haji : Jadual Penerbangan

Bermulanya Syawal, aura haji yang 'terpinggir' seketika dek kesibukan meraih keberkatan Ramadhan kembali dirasai oleh para bakal jemaah haji.

Debarannya semakin ketara - menanti khabar Jadual Penerbangan Haji (JPH) ke Tanah Suci. Terutama bakal jemaah dalam kategori terpilih. Demikian juga bagi bakal jemaah haji dalam senarai menunggu dan rayuan. Tidak kiralah secara pakej (kendalian Pengelola Jemaah Haji swasta) atau muassasah (kendalian Tabung Haji).

Sepertimana yang pernah disentuh di dalam beberapa entri sebelum ini, kami berdua telah terpilih untuk menunaikan haji pada tahun ini. AlhamduliLlah, setinggi-tinggi kesyukuran hanya untuk Allah SWT.

Pilihan kami adalah secara muassasah walaupun ditawarkan pakej haji. Bagi kami, bukan keselesaan yang kami cari tetapi redha Allah SWT yang diharapkan.

Rindunya kami pada BaitulLlah dan Masjid Nabawi selepas kembali dari ibadah umrah pada bulan April lalu sentiasa segar di ingatan. Kini dijemput kembali olehNya sebagai tetamu agungNya. Terubat rasa rindu. AlhamduliLlah.

Surat tawaran haji telahpun kami terima sejak awal tahun lagi. Beberapa kursus haji yang ditetapkan oleh pihak Tabung Haji telahpun kami ikuti. Bermula dengan Kursus Asas Haji (KAH) sebanyak 19 siri yang diadakan setiap hujung minggu sejak akhir Februari hingga akhir Jun, 2012.

Disusuli pula Kursus Intensif Haji (KIH) selama 2 hari (pertengahan Jun) bertempat di Masjid Negara. Dan Insya Allah, Kursus Perdana Haji (KPH) pula akan dilangsungkan selama 2 hari (bermalam) pada awal September ini di Masjid Putra, Putrajaya.

Manakala urusan pemeriksaan kesihatan, penyerahan pasport (PMA) dan kutipan Gelang Pengenalan Haji (GPH) telahpun selesai mengikut tarikh yang ditetapkan.

AlhamduliLlah, beberapa hari lalu, Jadual Penerbangan Haji (JPH) telahpun diterima. Insya Allah kami dikehendaki melaporkan diri di Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya pada pagi 17/09/2012 dan berlepas ke Madinatul Munawwarah pada hari yang sama. Nombor penerbangan kami adalah KT03.

Sebagai makluman, tarikh 17/09/2012 merupakan hari pertama keberangkatan bakal jemaah haji ke Tanah Suci. Dan penerbangan kami adalah yang ke-3.

Insya Allah kami akan berada di kedua-dua Tanah Suci selama 46 hari sehingga 01/11/2012 dan dijadualkan tiba kembali ke tanah air pada pagi 02/11/2012, kira-kira seminggu selepas 'Eidil Adha.

Kepada semua pelawat Salam Monash, mohon doakan kami - moga segalanya dipermudahkan oleh Allah SWT dan dianugerahi Haji Mabrur yang menjadi idaman setiap jemaah haji. Ameen.

Monday, August 27, 2012

Muhasabah Syawal

[Muhasabah diri pasca Ramadhan. Moga ada manafaat bersama]

Ramadhan 1433H telahpun berlalu pergi. Hadirnya Syawal disambut penuh syukur.

Di dalam keseronokan menyambut Syawal, marilah sama-sama kita merenung dan mengingati kembali perjuangan kita selama sebulan penuh di bulan Ramadhan. Kita menahan lapar dan dahaga, menahan pancaindera dan anggota tubuh serta hati dari perkara maksiat dan perkara dilarang... bagaimanakah agaknya dengan puasa dan ibadah kita itu?

Jika kesempurnaan (mabrur) ibadah haji seseorang lazimnya dinilai dari perlakuannya setelah pasca haji. Begitu jugalah kesempurnaan ibadah puasa kita dinilai setelah pacsa Ramadhan. Tidak perlu orang lain menilainya, kita sendiri mampu melakukannya - bertanya sahaja pada hati.

Sekurang-kurangnya terdetik di hati, seronokkah kita meninggalkan Ramadhan? Jika kita amat sedih bagaikan satu kehilangan, Insya Allah madrasah Ramadhan telah berjaya mentarbiah hati kita. Selebihnya kita perlu istiqamah dalam meneruskan amal kebajikan yang dilakukan sepanjang Ramadhan. Moga kita dirahmati dan diampuni Allah SWT.

Namun kiranya kita merasa amat gembira bagaikan terlepas satu seksaan batiniah, maka bermohonlah keampunanNya. Ini kerana Allah SWT telah menempelak dengan ungkapan kasar seperti yang didoakan oleh malaikat Jibril dan diaminkan oleh RasuluLlah SAW, "CELAKAlah kepada mereka setelah tamatnya Ramadhan langsung tidak mendapat keampunan Allah SWT. Nauzubillah - moga kita bukannya dari golongan tersebut.

Ya Allah, kami ini hambaMu yang amat lemah, ampunilah kami dan limpahilah rahmatMu.

Ya Allah, terimalah amal ibadah kami di sepanjang Ramadhan dan kekalkanlah kami dalam kebaikan di sepanjang hayat kami.

Ameen Ya Rabbal 'alameen.

Dengan Syawal yang masih berbaki, usah dilupakan Puasa Enam. Pahalanya amat besar, ibarat berpuasa sepanjang tahun (disekalikan dengan puasa Ramadhan).

Tidak terliurkah kita kerana ianya mampu menghindarkan diri dari seksaan neraka. SubhanaLlah.

Tahniah kepada yang telah pun sempurna puasa enamnya. Bagi yang belum, marilah kita berusaha untuk melaksanakannya dengan segera.

Tidak dinafikan cabaran dan dugaannya amat berat tetapi segalanya terletak pada kemahuan diri sendiri. Insya Allah dengannya setiap yang besar menjadi kecil dan remeh. Moga-moga kita dipermudahkan olehNya. Ameen.

Sunday, August 19, 2012

Salam Eidul Fitr

Sebulan Ramadhan yang penuh barakah telah pun berlalu pergi. Ditinggalkan penuh kepiluan. Mungkinkah Ramadhan tahun hadapan bisa ketemu lagi? Moga-moga kita dipanjangkan usia dan dikurniakan kekuatan rohani dan jasmani untuk kembali meraih rahmat Illahi. Ameen.

Tenggelamnya mentari di ufuk barat di akhir Ramadhan, maka bermulalah gemerlapan cahaya Syawal. Takbir raya mula berkumandang memecah hening malam. Riuh rendah suara kanak-kanak diselangi dentuman mercun dan memercik indah cahaya bunga api. Tua muda semuanya bergembira menyambut hadirnya 1 Syawal.

Kepada para pengunjung Salam Monash,

Selamat Hari Raya Eidil Fitr
Maaf Zahir dan Batin

ikhlas daripada kami sekeluarga:-
- Mohd Ropidi
- Noorlaili
- Muhd Izzuddin
- Nur Hanisah
- Nur Solehah
- Muhd Imran

Insya Allah pada Hari Raya ini kami pulang ke 2 destinasi. Hari Raya pertama kami di Kg. Bukit Bangkong, Sepang - beraya bersama keluarga emak-abah serta Atuk Sulaiman.

Pada Hari Raya kedua, Insya Allah kami bertolak pulang ke Terengganu di Kg. Teluk Menara, Manir untuk beraya bersama keluarga ayah di sana. Sebak di hati mengenangkan Cik tiada lagi sedangkan pada tahun lepas kami menyambut bersama-samanya penuh gembira. Moga rohnya aman di alam sana. Ameen.

Salam Eidul Fitr untuk semua.

Thursday, August 16, 2012

Nostalgia Ramadhan di Australia

Ramadhan telah pun sampai ke penghujungnya.

Melalui detik-detik Ramadhan, seringkali terbayang di mata suasana Ramadhan ketika di luar negara, khususnya di Dandenong, Melbourne, Australia di mana kami bermukim selama hampir 4 tahun. Berada di bumi asing dari budaya kemelayuan dan dengan persekitaran majoriti non-Muslim, suasana Ramadhannya ternyata amat berbeza. Namun aura Islamnya masih dirasai tatkala berada di kalangan umat Islam setempat dengan majoritinya berketurunan Turki bermazhab Hanafi.

Bulan Ramadhan yang kami lalui biasanya di akhir musim sejuk membawa ke awal musim bunga. Suhunya di sekitar 15C-20C. Hawa sejuknya masih terasa. Justeru itu maksiat mata masih terkawal kerana rata-rata wanita di sekeliling masih memakai pakaian musim sejuk, membungkus diri dari hujung kaki hingga ke leher. Lazimnya hanya rambut yang kelihatan ketika berurusan di premis perniagaan. Kecualilah pada hari bercuaca panas, pandangan mata sedikit tergugah.

Waktu siang di musim sejuk/bunga biasanya lebih pendek, kira-kira 11 jam sahaja. Namun tiada masalah kerana lapar dan dahaga tidak terasa dek suasana persekitaran yang sejuk. Dari pemerhatian kami, anak-anak Turki di peringkat sekolah rendah (5-11 tahun) kurang diberi penekanan kewajiban puasa berbanding anak-anak warga Malaysia. Cuma dugaannya lebih sedikit kerana para pelajar non-Muslim bebas makan di hadapan anak-anak. Namun tiada masalahnya bagi mereka... alah bisa tegal biasa.

Pada malam hari suhunya lebih sejuk, biasanya di bawah 15C. Di Masjid Emir Sultan berdekatan rumah kami selalunya memasang alat pemanas untuk memberi keselesaan kepada para jemaah. Solat tarawih bagi masyarakat Turki sedikit berbeza yakni setiap 4 rakaat 1 salam, manakala 3 rakaat 1 salam pula untuk solat witir. Selawat Nabi antara rakaat juga berbeza tetapi mudah untuk diikuti.

Di Dandenong, terdapat hampir 20 komuniti Muslim warga Malaysia. Hubungan kami amat rapat sekali. Merekalah teman, merekalah saudara dan ahli keluarga. Tradisi berbalas-balas juadah berbuka adalah satu kelaziman yang masih terpelihara. Seronok sekali. Adakalanya pelbagai juadah memenuhi meja berbuka.

Pada setiap petang hujung minggu selalunya kami berkumpul di rumah-rumah tertentu secara bergilir-gilir. Kami berbuka puasa bersama sambil menikmati pelbagai juadah tradisional Melayu hasil air tangan rakan-rakan. Terubat rasa rindu pada tanah air. Seterusnya kami solat Maghrib berjemaah, diikuti solat Isyak-Tarawih dan Witir.

Bazaar Ramadhan pula hanya terdapat pada hujung minggu sahaja di rumah-rumah tertentu mengikut lokasi ramai dihuni oleh warga Malaysia dan juga di perkarangan Malaysia Hall. Ianya dikendalikan sendiri oleh mereka yang rata-ratanya para pelajar universiti. Kami pun turut sama berjual dengan juadah istimewa kami, dendeng.

Demikianlah sepintas lalu suasana Ramadhan yang kami lalui ketika di perantauan Australia dahulu. Kini hanya tinggal kenangan yang pasti tidak dilupakan sepanjang hayat di kandung badan.

Monday, August 13, 2012

Berbuka Puasa

Berbuka puasa khususnya di bulan Ramadhan ini adalah saat yang amat ditunggu-tunggu. Bagi yang tidak berpuasa pun turut sama merasakan nikmatnya - tidak kiralah kerana uzur syarie' ataupun 'uzur ciptaan sendiri'.

RasuluLlah SAW bersabda,"Bagi orang yang berpuasa, ia memperolehi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka puasanya dan ketika menemui Tuhannya". - HR Bukhari.

Disyarahkan oleh para ulama', kegembiraan yang disebutkan di dalam hadis tersebut adalah bagi orang yang puasanya dapat menghalangnya dari melakukan kemungkaran dan perkara keji.

Bagaimana dengan agenda berbuka puasa harian kalian semua? Apa cara sekalipun moga ianya tidak mengundang kepada pembaziran, keterlaluan dan terjaga batasan syariaatnya. Ameen.

Saban tahun agenda berbuka puasa saya mudah sahaja - berbuka di masjid. Setelah melaluinya, dirasakan amat banyak fadhilat dan faedahnya, antaranya :-

- (Paling utama) Bersolat di awal waktu secara berjemaah di masjid/surau.
- Makan sederhana, makan apa yang ada - jimat belanja, jimat masa.
- Duit belanja berbuka bolehlah disedekah/diinfakkan.
- Berukhuwah sesama jemaah satu qariah yang juga jiran tetangga.
- Bertahlil dan berdoa sebelum berbuka (antara waktu mustajab doa).
- Beriktikaf selepas berbuka sehingga selesai solat tarawih/ witir.
- Bertadarus/ baca Quran, solat sunat dan berzikir.

Lazimnya saya akan membawa sekali anak-anak lelaki, manakala isteri dan anak-anak perempuan pula berbuka di rumah. Namun pada tahun ini, kesemuanya berbuka puasa di masjid. AlhamduliLlah sehingga kini tidak pernah kami berbuka di rumah.

Soal makan tiada masalahnya. Apa yang dihidangkan itulah rezeki kami. Sekaligus dapat menyumbang pahala untuk para penyumbangnya atau kita sendiri turut menyumbang.

Bersabda RasuluLlah SAW,"Barangsiapa memberi makan orang yang berpuasa, maka baginya ganjaran pahala seumpama orang berpuasa itu, tidak dikurangkan sedikit pun" - HR Termizi dan Ibn Majah.

Bagi kami juadah berbuka di masjid amat menyelerakan (perut kosong semuanya sedap). Malah amat mewah sekali seperti kurma, bubur lambuk, pelbagai kueh-mueh, buah, nasi berlauk (sesekali pekena nasi Arab dan nasi beriani) dan bermacam-macam lagi. Ada kalanya naik semput juga dibuatnya.

Maka Bazaar Ramadhan tolak ke tepi kecuali untuk mencari kelainan citarasa juadah untuk bersahur. Sekaligus dapat mengekang nafsu membeli dan menjaga pancaindera serta hati.

Sehingga kini kami merasakan ianya satu keseronokan yang tidak dapat digambarkan. Insya Allah, jika ada usia; ianya akan diteruskan di tahun-tahun mendatang. Ameen Ya Rabbal 'alameen.

Friday, August 10, 2012

Rally Ilmu @ Hulu Kelang

RasuluLlah SAW bersabda,"Barangsiapa menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah SWT akan melorongkan baginya jalan ke syurga"

Lebih bermakna lagi, dinukilkan bahawa majlis-majlis ilmu itu adalah taman-taman syurga yang turut disertai para malaikat. Alangkah mulianya majlis seumpamanya.

Di sepanjang Ramadhan ini, hampir semua masjid dan surau giat mengimarahkannya dengan kegiatan keilmuan. Betapa mudah dan banyaknya peluang untuk menimba ilmu.

Di Hulu Kelang pun tiada bezanya. Kuliah Subuh, Kuliah Zohor, Kuliah Asar dan Tazkirah Tarawih adalah satu kebiasaan. Pada hari tertentu pula dimeriahkan pula dengan Qiamullail (terutama di 10 malam akhir Ramadhan), Kuliah Dhuha dan Forum Perdana.

Insya Allah, pada hujung minggu ini (Ahad - 12/08/2012), bertempat di Masjid Al-Ridhuan, Hulu Kelang akan berlangsung 'Rally' Ilmu dengan pengisian yang amat menarik. Bermula dengan Qiamullail sekitar jam 3:30 pagi sehinggalah kemuncak Kuliah Asar bersama Ust. Azhar Idrus.

Malamnya pula seperti biasa, solat tarawih-witir 23 rakaat : 1 juz Al-Quran. Dan masjid pula dibuka 24 jam sepanjang 10 hari terakhir bagi jemaah yang ingin beriktikaf dan berqiamullail.

Sorotan majlis seperti pada banner di bawah :-


Cuma ingatan daripada pihak masjid, untuk mengikuti Kuliah Asar bersama Ust. Azhar Idrus, datanglah lebih awal bagi mengelakkan kesesakan meletak kenderaan. Sebaiknya datang waktu Zohor dan tunggu sehinggalah ke waktu Asar. Kiranya khalayak terdahulu menjadi bandingan, tidak kurang daripada 5,000 orang dijangka akan hadir.

Untuk berbuka puasa, tiada juadah berat disediakan, Insya Allah sekadar buah kurma dan air mineral sahaja. Juadah yang lebih berat boleh dibeli di gerai jualan atau dibawa bersama.

Marilah sama-sama kita meriahkan setiap majlis ilmu, moga dengannya kita telah mengisi ruang kewajiban menuntut ilmu yang telah difardhukan ke atas setiap insan yang bergelar Muslim.

Sabda RasuluLlah SAW,"Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap orang Muslim"

Tuesday, August 7, 2012

Pemurahnya ALLAH

[Peringatan khusus untuk diri dan keluargaku. Untuk semua, moga ada manafaat untuk kita bersama. Insya Allah]

Jika hendak dihitung akan anugerah dan nikmat daripada Allah SWT kepada hambaNya, amatlah banyak. Tidak terhitung oleh kita. Malah setiap satu kebaikan yang dilakukan telah dijanjikan oleh Allah SWT gandaan 10 kali kebaikan sepertinya.

Apatah lagi di bulan Ramadhan nan barakah ini. Gandaan pahalanya berlipat-lipat kali ganda. Pemurahnya Allah SWT di bulan ini mengatasi pemurahnya Ia pada bulan-bulan lain. Semuanya untuk hamba-hambaNya yang beriman dan beramal soleh.

Umumnya pada bulan Ramadhan ini, Allah menjanjikan pahala setiap amalan sunat menyamai pahala amalan fardhu, manakala pahala bagi setiap amalan fardhu pula diganjari pahala sehingga 700 kali ganda amalan setaranya. SubhnaLlah... tawaran yang amat-amat mewah.

Bayangkan, setiap pahala yang dianugerahkan Allah SWT diterima dalam bentuk duit atau kebendaan... pasti penuh sesak masjid dibuatnya, melimpah ruah setiap hari dan setiap waktu tanpa mengira siang mahu pun malam.

Lihat sahaja tawaran bantuan persekolahan RM100 dan BR1M sebanyak RM500, sanggup para penerimanya bersesak-sesak dan berbaris panjang di tengah panas kerananya.

Entahlah, bagaimana keadaannya jika tawaran RM puluhan ribu ditawarkan untuk mereka yang hanya bersolat, bersedekah, membaca Qur'an, beriktikaf, saling bermaafan, berbaik sangka sesama Muslim dan bermacam-macam amal kebaikan lagi.

Apatah lagi kiranya tawaran lebih lumayan diberikan kepada sesiapa yang ketemu dengan Lailatul Qadar... Allahu akbar, tidak dapat dibayangkan bagaimana situasinya pada masa itu.

Demikianlah sorotan ganjaran pahala dan suasana pada bulan Ramadhan jika dilihat dari kacamata kebendaan.

Yakinlah akan janji-janji Allah SWT. Ganjaran pahala tidak dapat diukur dengan wang ringgit. Namun ia pasti diberikan kepada hamba-hambaNya selagi dilakukan penuh ketaqwaan, semata-mata kerana Allah SWT. Itulah antara bekalan kita untuk menghadap Allah Azza wajalla di Padang Mahsyar nanti.

Daku berseru pada diriku sendiri dan ahli keluargaku serta umat Muhammad SAW, marilah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakan setiap amal kebaikan walau sekecil mana sekalipun di bulan Ramadhan penuh barakah ini. Lebih-lebih lagi di sepuluh terakhir Ramadhan ini. Marilah kita berusaha meraih penuh syukur setiap ganjaran yang ditawarkanNya.

Insya Allah, masa masih ada. Amatlah rugi kiranya kita terlepas begitu sahaja kerana Ramadhan tahun hadapan belum tentu kita temui lagi.

Moga-moga kita termasuk di kalangan hamba-hamba yang diredhaiNya di dunia dan di akhirat. Ameen.

Friday, August 3, 2012

Bagaimanakah Puasa Kita?

[Muhasabah diri khusus untuk diri ini yang sering lupa dan tewas akan kewajiban kepada al-khaliq. Moga ada manafaat bersama]

Sedar atau tidak, Ramadhan telah pun menghampiri separuh bulan. Begitu cepat masa berlalu. Walaupun masih berbaki hampir 15 hari lagi tetapi percayalah ianya akan tetap pantas meninggalkan kita. Apatah lagi apabila semakin dekat dengan 1 Syawal.

Persoalannya bagaimanakah dengan puasa kita sehingga kini dan seterusnya? Apakah ianya mengikut acuan agama atau sebaliknya? Seronokkah kita dengannya? Di manakah tahap puasa kita untuk kita bawa sebagai bekalan menghadap Allah azza wajalla nanti?

Puasa adalah suruhan Allah SWT. Kita sebagai hambaNya wajib patuh dan taat kecuali tergolong di kalangan yang dibenarkan secara bersyarat yang ketat.

Sedih hati tatkala terlihat dan terbaca kisah mereka yang segar bugar dengan 'muka tak malu' tidak berpuasa. Dengan kata lain mereka telah menderhakai Allah SWT. Untuk mereka ini Allah memberi satu pilihan sahaja iaitu carilah bumi lain jika merasa diri terlalu hebat. NauzubiLlahi minzalik.

Bagi yang mengimani akan ibadah puasa, marilah kita perhatikan apa yang telah dinukilkan oleh Imam al-Ghazali di dalam kitab Ihya' Ulumuddin. Puasa dibahagikan kepada 3 darjat iaitu puasa umum, puasa khusus dan puasa khususul khusus (lebih khusus).

Puasa umum adalah puasa orang lalai iaitu sekadar menahan lapar dan dahaga serta anggota sulit daripada syahwat.

Lazimnya, mereka tidak kisah dengan pelbagai suruhan dan larangan Allah SWT seperti culas bersolat, mendedahkan aurat (termasuk dikatakan berpakaian tetapi telanjang), melakukan rasuah, berdusta dan sebagainya. Apa yang diperolehi mereka hanyalah lapar dan dahaga... amat rugi sekali.

RasuluLlah SAW bersabda,"Ramai orang berpuasa tetapi tiada memperolehi dari puasanya melainkan lapar dan dahaga" (HR Ibn Majah, Ahmad dan Baihaqi)

Puasa khusus pula adalah puasa orang soleh yakni mengekang telinga, mata, lidah, hidung dan anggota badan lain daripada perkara-perkara haram dan berdosa. Ingin disentuh di sini termasuklah dalam cara berpakaian yang memenuhi syariat dan menjaga perut daripada tuntutan nafsu makan.

Di samping menjaga amalan puasa, amalan harian lain juga terpelihara seperti solat wajib dan sunat, banyak bersedekah, membaca dan memahami kandungan al-Quran, beriktikaf di masjid, menghadiri majlis-majlis ilmu, beribadah di sepertiga malam, memperbanyakkan zikir, doa dan istighfar serta lain-lain amal kebajikan.

Inilah tahap yang sewajarnya bagi kita. Sentiasa terdetik di hati rasa khauf (takut) akan puasa ditolak oleh Allah SWT dan rasa roja' (harap) agar amalan kita itu diterima olehNya. Marilah kita berusaha sedaya mungkin untuk melaksanakannya sebaik mungkin dengan keimanan yang jitu agar kita menjadi insan terbaik di sisiNya.

Sabda RasuluLlah SAW,"Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kerana keimanan (kepada Allah) dan mengharap ganjaran pahala, maka diampunkan dosa-dosa yang lepas dan akan datang" (HR Bukhari)

Manakala puasa khususul-khusus adalah puasa orang yang amat-amat dekat dengan Allah SWT. Puasanya bukan sekadar puasa khusus tetapi hatinya juga berpuasa dari segala cita-cita yang kotor dan pemikiran keduniaan di mana perhatiannya hanya tertumpu pada Allah semata-mata.

Bagi kita berstatus orang awam ianya mungkin 'jauh panggang dari api' tetapi tidak salah untuk kita mengidamkannya dengan menjadikan amalan golongan ini sebagai teladan dalam beribadah.

Moga pada Ramadhan tahun ini kita dirahmati dan diredhai Allah SWT. Kita tidak mahu apabila tamatnya Ramadhan barulah kita tersedar betapa kita telah pun terlepas akan tawaran maha lumayan dari Allah SWT terutamanya anugerah paling diimpikan iaitu pengampunan dosa dan keberkatan Lailatul Qadar.

Ya Allah, terimalah setiap amal kebaikan yang kami lakukan, rahmatilah kami dan jadikanlah kami hambaMu yang terbaik di sisiMu. Ameen Ya Rabbal 'alameen.