Friday, May 30, 2008

Cuti-cuti Australia > Adelaide (Wildlife Park)

Pagi Ahad yang lenggang. Sebelum ke asrama sewaan Nita dan Saliza di Flinders University, kami berpusing-pusing di Adelaide City. Mengamit nostalgia 2 tahun yang lepas. Melewati Victoria Square dan Central Market sebelum singgah di hadapan University of Adelaide. Tiada perubahan yang ketara kecuali tram kini telah pun melalui laluan jalanraya, sama seperti di Melbourne City. Dahulu tram ini melalui terowong bawah tanah dan berhenti di hentian berhadapan Victoria Square. Kini hentian tersebut tiada lagi.

Kami bertolak pulang ke Melbourne petangnya, kira-kira jam 02:00 petang selepas makan tengahari di rumah Azami. Melalui Dukes Hwy bersambung dengan Western Hwy. Singgah di Nhill kra-kira jam 07:00 malam untuk solat jamak di tempat letak kereta bersebelahan tandas awam yang diterangi lampu. Suhunya amat sejuk sekali, sekitar 8 darjah Celcius. AlhamduliLlah, kami tiba di Dandenong jam 11:30 malam.

Sabtu (26/04/2008)

Petang Sabtu, selepas makan tengahari di rumah Pak Uka-Kak Ros di Ascot Park, kami ke masjid di Marion Rd untuk solat jamak. Masjid ini asalnya adalah gereja. Malah majoriti masjid di seluruh Australia berasal dari gereja. Abah amat teringin untuk ke sana. Masjid yang biasa dikunjungi ketika tinggal di Sturt dahulu. Kini dalam proses pembinaan bangunan tambahan di hadapannya.

Seterusnya kami ke Cleland Wildlife Park yang terletak di Mt. Lofty Ranges, kira-kira 20 km dari Adelaide City. Cuaca pada petang tersebut kurang baik. Sesekali hujan turun renyai-renyai dan adakala lebat. Sejuknya amat terasa. Tidak banyak kereta di tempat letak kereta.

Memasuki kawasan terbuka kangaroo, kami mulai diserbu dek kangaroo yang kelaparan. Mungkin kerana kurang pengunjung bermakna kurang makan. Berbekalkan makanan haiwan yang dibeli di kaunter tiket, tangan disuakan. Basah dan sedikit melekit terkena air liur dan lidah kangaroo yang kasar. Makin kerap dihulurkan makanan, semakin banyak kangaroo yang berkerumun di sekeliling. Anak-anak ketakutan, apatah lagi apabila diserbu kangaroo yang besar dan nampak garang. Lebih-lebih lagi turut sama dihampiri burung emu yang besar dan tinggi.

Terdapat beberapa jenis kangaroo di Park ini, antaranya Red Kangaroo, Western Grey, Euros dan juga spesis dari Kangaroo Island yang terkenal. Menariknya, terdapat juga kangaroo putih, dikatakan kangaroo balar. Kangaroo jantan dikenali dengan warnanya merah/ coklat, manakala kangaroo betina pula berwarna biru/ kelabu. Terdapat juga wallabi, seakan-akan kangaroo tetapi bersaiz lebih kecil diletakkan dalam kawasan yang sama dengan kangaroo, antaranya Rock Wallaby, Dama Wallaby dan Swamp Wallaby. Begitu juga burung emu dan lain-lain burung seakan-akan itik/ angsa dilepaskan bebas bersama-sama kangaroo.

Laili dan anak-anak serta mak dan abah dah biasa kerana pernah ke sini dahulu. Akan tetapi bagi Hadi dan Khalil, ianya adalah pengalaman baru dan amat ditunggu-tunggu. Inilah saat paling berharga yang amat sukar ditemui. Di Melbourne pun setakat ini hanya di Warrook Farm sahaja yang pernah ditemui para pengunjung dapat memberi makan kangaroo dari tangan (hand feeding) tetapi bilangannya tidak banyak. Itulah tujuan kami membawa mereka ke Cleland Wildlife Park agar dapat berinteraksi secara bebas. Seronok sekali nampaknya Hadi dan Khalil melayan kerenah haiwan-haiwan tersebut, tak menang tangan dibuatnya.

Di Koala Close-up, kami diberikan penerangan ringkas berkaitan koala sambil mengosok mesra di belakang haiwan pemalu tersebut. Kami bernasib baik kerana sesi tersebut hanya diadakan sekali sehari sahaja dari jam 02:00 – 04:00 petang. Ketika suhu melebihi 32 darjah Celcius, peluang seumpamanya tidak dibenarkan kerana koala kerimasan panas ketika itu.

Di samping itu terdapat juga haiwan lain yang terletak di kurungan masing-masing, antaranya dingo, Tasmanian devil, wombat, echidna dan burung-burung. Haiwan seakan-akan tikus mondok yang besar; potoroo, bettong dan bandicoot pula kelihatan bebas bergerak di merata tempat.

Sesungguhnya pengalaman di Cleland Wildlife Park ini amat berharga sekali. Jika berpeluang ke Adelaide, inilah antara tempat yang seharusnya dikunjungi.

Thursday, May 29, 2008

Cuti-cuti Australia > Rezeki di Adelaide

Kami berada di Adelaide selama 2 hari 2 malam. Tiba pada hari Jumaat malam Sabtu (25/04/2008) dan bertolak balik ke Melbourne pada petang Ahad (27/04/2008).

Di rumah Dr. Jali-Dr. Nita
Soal makan minum tidak merisaukan. Jemputan makan penuh sedari awal, beberapa hari sebelum bertolak ke Adelaide lagi. Begitulah seronoknya rakan-rakan apabila mendapat khabar kami akan ke sana. Apatah lagi turut disertai Abah dan Mak yang amat dikenali oleh mereka kerana pernah tinggal di Adelaide hampir 2 tahun yang lalu.

Bukan sahaja soal makan, tempat bermalam pun telah sedia diatur. Penyewanya sanggup berkorban meminjamkan apartment sewaan 2 bilik mereka untuk diinapi, sehinggakan mereka pula yang menumpang di rumah sewa Rohana. Apartment mereka di English Avenue, Clovelly Park, sekitar 1 km dari rumah Rohana di Wilson St, Cowandilla. Terima kasih Yaya dan Julie.

Jemputan wajib sememangnya dari Rohana Hassan, kenalan lama dan akrab keluarga kami. Beliau menyewa bersama 2 lagi rakan pelajar selepas suami dan anak-anaknya pulang ke tanah air pada akhir tahun lepas. Setibanya di Adelaide, ke rumah merekalah tempat pertama yang ditujui untuk makan malam. Hidangan yang amat sedap dan menyelerakan. Malah bertambah nasi dan lauk yang dimakan. Burr… burr… (sendawa kekenyangan). AlhamduliLlah.

Pagi Sabtu kami bersarapan di rumah Sapura-Jai di First Avenue, Klemzig. Bersua kenalan baru, keluarga Roslan (Kelantanese) dan pasangannya, Rabiah (Australian converted) berserta 3 anaknya. Juga Sdr. Azman, pelajar Master bersama isterinya.

Di rumah Pak Uka-Kak Ros
Makan tengahari pula di rumah Pak Uka-Kak Ros di Charles St, Ascot Park. Keduanya adalah warga Indonesia yang telahpun lama menetap di Australia. Mereka memang mudah mesra dengan semua orang. Rumahnya sering menjadi tempat singgahan para pelajar terutama dari Indonesia dan juga Malaysia. Malah turut sama dikunjungi para diplomat Indonesia. Pak Uka sendiri pernah digelar sebagai “Pejuang Yang Dilupai Jasanya” di kalangan rakan-rakannya.

Seterusnya kami minum petang di rumah baru Dr. Jali-Dr. Nita di Balranald St, Ferryden Park, kira-kira 5 minit dari Masjid Khalil, masjid terbesar di South Australia. Rumah sebuah 4 bilik yang amat luas sekali ruang dalamnya, baru sahaja dibelinya kira-kira 5 bulan yang lalu. Asalnya dijemput makan malam tetapi kami tak nak menyusahkan Nita kerana sedang sarat mengandung anak ke-3. Mereka adalah PR di Australia.

Di rumah Jabbar-Fadilah, bersama Syidee, Salina dan Nazri
Makan malam pula kami mendapat jemputan dari Jabbar-Fadilah berserta Syidee-Salina di Unley Road. Dua pasangan muda anak seorang yang banyak membantu terutama Jabbar ketika di peringkat awal kami tiba di Adelaide 2 tahun yang lalu. Berjumpa dengan Nazri selepas beliau habis kerja sambilannya.

Hari Ahad pula kami bersarapan pagi di asrama sewaan Nita-Saliza di Flinders University. Manakala makan tengahari pula di rumah Azami, kenalan baru yang tiba di Adelaide selepas Laili dan anak-anak pulang ke tanah air.

Terima kasih tidak terhingga kepada semua. Insya Allah baik budi kalian semua akan sentiasa diingati. Moga dirahmati oleh Allah SWT hendaknya. Amiin.

Monday, May 26, 2008

Cuti-cuti Australia > Naracoorte Caves

Jumaat (25/04/2008) - Petang

Kami tiba di Naracoorte Caves National Park, kira-kira 12 km dari Naracoorte City sekitar jam 03:30 petang. Lokasinya jauh ke dalam dari Riddock Hwy yang kami lalui.

Bersama replika wombat gergasi di hadapan tempat letak kereta

Seimbas pandang di persekitarannya tiada apa-apa yang istimewa. Tiada bukit bukau atau kawasan tanah tinggi yang boleh dikaitkan dengan gua. Yang ada hanyalah tanah rata ditumbuhi pepohonan berserta 2 bangunan yang dijadikan Information Centre dan Café serta replika haiwan megafauna yang telah pupus, wombat gergasi. Rupa-rupanya kesemua gua berada di bawah tanah yakni di bawah tempat letak kereta, jalan raya dan taman yang kami singgahi untuk makan dan solat. Pintu gua pula adalah lubang berserta tangga untuk turun ke bawah. Berlainan sekali daripada kebanyakan gua di negara kita. Bagi abah, Hadi dan Khalil mungkin ianya perkara biasa tetapi bagi kami sekeluarga, ianya adalah pengalaman baru.

Naracoorte Caves National Park yang berkeluasan kira-kira 60 hektar telah disenaraikan dalam World Heritage List pada Disember 1994 bersama-sama dengan Riversleigh di Lawn Hill National Park, Queensland membentuk Australian Fossil Mammals Sites World Heritage Area. Walaupun jarak antara kedua-duanya lebih 2000 km tetapi amat bermakna dalam pembentukan evolusi haiwan di Australia.

Pemandangan di dalam Alexander Cave

Difahamkan Naracoorte Caves inilah satu-satunya kawasan di dunia yang mempunyai rekod kesinambungan fossil melebihi 500,000 tahun. Sehingga kini lebih 100 kawasan penemuan fossil telah dikesan di 26 buah gua dari puluhan gua yang diterokai. Penemuan tulang temulang haiwan yang telahpun pupus seperti wombat bersaiz badak air, kangaroo gergasi, singa marsupial dll menjadikan kawasan ini amat dihargai oleh para pencinta sejarah, ahli sains, arkeologis dan tidak terkecuali mereka yang menghargainya.

Dari puluhan gua tersebut, hanya 4 buah sahaja yang dibuka kepada umum iaitu Victoria Fossil Cave, Bat Cave, Alexander Cave dan Wet Cave. Penerokaan masuk adalah secara berjadual dan berbayar. Disebabkan kesuntukan masa, kami hanya berkesempatan masuk ke Alexander Cave dan Wet Cave sahaja (2 in 1 pass).

Pemandangan di dalam Wet Cave

Terdapat 3 ruang berasingan di dalam Alexander Cave dengan dekorasi lantai, stalactites, stalagmites dan jejarum kesan aliran air sejak berzaman. SubhanaLlah... amat cantik dan menarik sekali. Pergerakan kami dipandu oleh seorang petugas dengan kawalan lampu mengikut ruang lawatan. Lawatan ke Wet Cave pula secara persendirian tanpa pemandu, mungkin kerana ianya gua yang agak terbuka dan ruang dalaman yang lebih luas. Pemandangan yang tidaklah secantik di Alexander Cave tapi tidak kurang menariknya.

Victoria Fossil Cave letaknya sedikit terkeluar dari kelompok gua di atas, kira-kira 1.5 km jaraknya. Sekiranya ada masa, kunjungan berjadual selama sejam ke gua ini tidak seharusnya dilepaskan. Replika haiwan pra sejarah dan kawasan penemuan fossil adalah tarikan utamanya. Begitu juga dengan kunjungan ke Wonambi Fossil Centre yang terletak di bahagian bawah Information Centre seharusnya dimasukkan dalam senarai wajib kunjungan. Para pengunjung dibawa ke zaman pra sejarah di mana haiwan-haiwan megafauna yang ditemui fossilnya dipamirkan berserta simulasi habitat kehidupannya.
Bat Cave pula menjadi tumpuan lebih 40,000 kelawar Southern Bentwing di setiap musim bunga untuk melahirkan anak. Dengan teknologi terkini tanpa menggangu kelawar, para pengunjung dapat melihat kehidupan semulajadi haiwan ini.

Indahnya pemandangan tika mentari tenggelam
Sekitar jam 05:00 petang, kami bertolak menuju Adelaide melalui Riddoch Hwy sebelum memasuki Dukes Hwy di Keith dan South Eastern Fwy. AlhamduliLlah, kami tiba di rumah sewa Rohana, kawan karib Laili di Cawarinda hampir jam 08:00 malam. Terasa bagaikan balik kampung pula. Terima kasih Ana dan rakan-rakan serumah atas jamuan makan malam yang disediakan. Amat sedap dan menyelerakan. Tambahan pula kami semua pun sedang kelaparan. Dan terima kasih tak terhingga juga pada Yaya dan rakan serumahnya yang menyerahkan apartment sewaan mereka untuk kami menginap selama 2 malam. Syukur atas kurniaanNya.

Friday, May 23, 2008

Cuti-cuti Australia > Mt. Gambier

Jumaat (25/04/2008) - Pagi
Selepas bersarapan, kami keluar dari Pine Country Caravan Park menuju ke Blue Lake. Letaknya tidak jauh, kira-kira 3 km sahaja dari tempat kami bermalam. AlhamduliLlah, cuacanya agak baik melancarkan perjelajahan kami.

Mt. Gambier asalnya adalah gunung berapi yang telahpun tidak aktif lagi. Letusannya di zaman dahulu meninggalkan beberapa kawah yang akhirnya membentuk 4 gugusan tasik; Blue Lake, Leg of Mutton Lake, Valley Lake dan Brownes Lake. Manakala larva dan abu dari letusan ini dikatakan dalam radius 8 km pula mengeras di sekitar kawah membentuk batuan seakan-akan tanah dan batu bersimen.

Leg of Mutton Lake dan Brownes Lake kini telahpun kekeringan airnya, yang tinggal hanyalah kesan lekukan tasik yang dipenuhi pepohonan yang kebanyakkannya kekuningan dan kemerahan daunnya di musim luruh ini. Pemandangan yang amat cantik sekali.

Blue Lake dan Valley Lake masih kekal digenangi air dan menjadi tumpuan ramai terutama Blue Lake yang berubah airnya kepada warna kebiruan di musim panas (sekitar Disember setiap tahun). Fenomena alam yang menakjubkan. Dikatakan berpunca dari kepanasan cahaya matahari menyebabkan bahan calcite di dalam air membentuk kristal kebiruan. Di musim luruh ini fenomena seumpamanya tidak dapat dilihat sepenuhnya.

Selepas menikmati keindahan di sekitar Valley Lake, Leg of Mutton Lake dan Browns Lake, kami berkunjung pula ke Umpherstone Sinkhole, kira-kira 7 km dari Blue Lake. Satu lagi fenomena menarik hukum alam ciptaan Allah SWT. Ianya adalah satu lubang besar kesan mendapan tanah. Kini dijadikan sebuah taman dengan tumbuhan menghijau dan bunga-bungaan yang berwarna warni di musim bunga dan musim panas (September – Februari). Kami tidak sempat menikmati sepenuhnya keindahan taman terutama bungaannya kerana telahpun masuk musim luruh (autumn). Laluan bertangga disediakan untuk turun ke bawah. Masuk percuma dan dibuka juga pada waktu malam untuk melihat possum keluar mencari makan.

Terdapat banyak lagi tempat menarik di Mt. Gambier, antaranya Cave Gardens di tengah bandar yang dipenuhi bunga ros, Engelbrecht Cave, Lady Nelson Discovery Centre, Centenary Tower, Mount Schank, Kongorong dan lain-lain. Mungkin di lain ketika jika ada kesempatan.

Kira-kira jam 01:30 tengahari kami meneruskan perjalanan kami ke Naracoote Caves National Park, hampir 160 km dari Mt. Gambier melalui Riddoch Hwy. Di Penola dan Coonawara, kami terpegun melihat lautan deretan pepohonan anggur di tepian jalan. Tidaklah menghairankan kerana di sinilah hub penanaman anggur dan pengeluaran arak terkenal di Australia dengan pelbagai estet dan syarikat pengeluaran di sekitarnya. Pemandangan musim luruh amat terserlah sekali dengan dedaunan anggur yang telah bertukar kekuningan dan kemerahan, menunggu masa untuk gugur ke bumi. Itulah keseronokan berjalan-jalan di musim luruh.

Monday, May 19, 2008

Cuti-cuti Australia > Port Campbell

Pada akhir bulan lepas (24/04 - 27/04), untuk kali ketiganya sejak berada di Victoria, kami sekeluarga diluangkan masa oleh Allah SWT untuk berkunjung ke Adelaide, ibu negeri South Australia (SA). AlhamduliLlah.

Umumnya, Adelaide bukanlah tempat asing bagi kami kerana Laili dan anak-anak pernah tinggal di sana selama hampir 7 bulan pada akhir tahun 2006. Malah masih ramai kenalan rakyat Malaysia di sana samada rakan pelajar mahupun penduduk tetap. Di waktu itu Laili mengikuti kursus medical sub-speciality di Flinders University dan anak-anak pula bersekolah di Boulevue High Primary School. Kini Laili mengikuti pengajian peringkat PhD di Monash University dan anak-anak bersekolah di Dandenong North Primary School.

Mak dan abah sedang memberi makan camar di Port Campbell Harbour
Kali pertama kami ke Adelaide adalah pada 13/08/2007, selepas 2 minggu tiba di Melbourne dan baru sahaja mendapat rumah sewa yang diduduki kini di Dandenong. Tujuannya mengambil kereta Peugeot Wagon, kelengkapan rumah dan kain baju yang disimpan di rumah sewa lama di Sturt, SA yang kini disewa oleh Kak Dariah. Kali ke dua kami ke sana, atas tujuan yang sama (masih ada yang tidak muat diangkut sebelumnya) pada bulan Ramadhan tahun lepas, kira-kira sebulan selepas kunjungan pertama. Kedua-dua kalinya kami merentasi kawasan kontang, Western Hwy.

Perjalanan kami ke Adelaide pada kali ini turut sama disertai oleh abah, mak, Hadi dan kawannya, Khalil, lebih bermotifkan percutian keluarga. Kami bertolak pada hari Khamis melalui laluan pantai, singgah di Port Campbell, Mt. Gambier, Naracotte sebelum ke Adelaide. Kami bertolak pulang ke Melbourne pada hari Ahadnya melalui Western Hwy. Kebetulan anak-anak bercuti, Curriculum Day pada hari Khamis dan Anzac Day pada hari Jumaat.

Khamis (24/04/2008) - Berkunjung ke Port Campbell

Kami tiba di Port Campbell Harbour kira-kira jam 12:30 tengahari setelah hampir 3 jam perjalanan melalui Princess Hwy. Tak disangka-sangka terserempak Dr. Norhayati Nordin berserta ibu serta ibu saudaranya yang baru berkunjung ke Great Ocean Road serta Twelve Apostles. Makan tengahari bersamalah jawabnya. Burung-burung camar kelihatan terbang bebas dan hinggap jinak memagut rezeki yang ditabur pengunjung. Air lautnya berombak tenang menghempas pepasir pantai. Di tengah-tengah teluk, mengunjur jeti dengan beberapa bot teroleng-oleng dimain ombak. Pemandangan nan indah dan mengasyikkan ciptaanNya.

Seterusnya kami menuju ke Port Campbell National Park, kira-kira 8 km darinya untuk melihat keajaiban batuan Twelve Apostles yang dikaitkan dengan pengikut setia Jesus. Tercapai hasrat kami untuk melihatnya dalam suasana cuaca yang lebih baik dari kunjungan kami sebelum ini, terutama mak dan abah yang hanya sempat melihatnya dalam kelam awal malam ketika bersama Bakhtiar dan Suraya sebulan yang lalu. Untuk Hadi dan Khalil, ianya dikira bertuah.

Sebelum bertolak ke Mount Gambier, kami singgah di Lord Ard Gorge, satu teluk yang tenang airnya dan amat cantik pemandangannya. Lord Ard adalah nama kapal yang karam dilanda ribut pada tahun 1878 di hadapan teluk tersebut yang menyaksikan 52 orang terkorban dan hanya 2 orang sahaja terselamat, anak kapal dan penumpangnya.

AlhamduliLlah kami tiba di Pine Country Caravan Park di Mount Gambier, South Australia kira-kira jam 08:00 malam melalui Great Ocean Road dan Princess Hwy. Perjalanan yang jauh dan amat memenatkan. Kabin 1 biliknya agak selesa dengan 1 double bed dan 1 double decker. Turut sama dilengkapi pemanas, dapur, peti ais dan televisyen. Cadar, selimut dan bantal dibawa sendiri kerana kosnya lebih mahal kiranya termasuk dalam sewaan. 2 kabin disewa untuk 2 keluarga. Sejuk musim luruh menghampiri musim sejuk amat terasa. AlhamduliLlah sedikit hangat dengan adanya pemanas.

Saturday, May 17, 2008

Famili Dari Malaysia - Eusni Rahayu

Dua minggu yang lepas, Khamis malam Jumaat (01/05/2008), kami dikunjungi oleh adik Laili, Dr. Eusni Rahayu. Beliau adalah pensyarah perubatan di Fakulti Perubatan, UPM. Datang ke Sydney beberapa hari sebelumnya kerana menghadiri persidangan perubatan di Sydney Convention Centre. Sebelum pulang ke tanah air, beliau mengambil peluang singgah di Melbourne, menjenguk kami serta abah, mak dan Hadi yang sekarang bercuti di sini.

Eus berangkat pulang menaiki MAS Airlines pada hari Sabtu malam Ahad (03/05/2008). Tidak banyak tempat yang sempat dibawa “merewang”. Pagi Jumaat, beliau dibawa ke Dandenong Library sebelum ke Dandenong Market, membeli cenderahati untuk dbawa pulang. Lewat petang, menaiki 2 kereta kami ke pantai di Frankston, kira-kira 30 km dari Dandenong. Kami solat Maghrib di satu sudut bangunan berhadapan pantai, berwudukkan air laut. Walaupun dah malam tapi masih kedapatan mereka yang bersiar-siar di sekitarnya, tambahan pula tidak jauh dari deretan kedai makan dan restoran.

Menjelang tengahari Sabtu, kami keluar menuju Melbourne City. Singgah solat Zohor di Islamic Centre @ masjid di Baedou St, Clayton tidak jauh dari Monash University. Seterusnya kami makan tengahari dengan bekal yang dibawa di Albert Park, di pinggir tasik dilatari bangunan pencakar langit di sekitarnya. Black swan dan itik bebas berenang menunggu habuan dari kami. Deretan perahu layar dengan para pelatihnya memenuhi dada tasik. Di sana sini kelihatan ramai yang sedang beriadah; berbasikal, berjalan dan berlari termasuk anak di dalam stroller.

Bagi peminat lumba kereta Grand Prix Formula 1, di Albert Park inilah menjadi salah satu lokasi tumpuan pertarungan setiap tahun. Sempat kami memusing tasik merasai trak perlumbaan yang berprestij tersebut. Sepatutnya Malaysia menauladani Australia dalam hal ini.

Di tengah city, kami sempat mengelilingi city dengan menaiki tram percuma, City Circle, menggunakan laluan sama seperti kenderaan lain. Di sepanjang laluan dan hentian, diceritakan setiap tempat dan bangunan menarik serta sejarah yang berkaitan dengannya. Kami juga sempat singgah di Victoria Market di mana tumpuan pelancong untuk barangan murah. Untuk barangan cenderahati, dirasai harga yang ditawarkan di Dandenong Market adalah lebih murah, cuma kepelbagaiannya lebih banyak di Victoria Market.

Kami solat Asar dan Maghrib di Islamic Centre di Jefcott St di mana kami parkirkan kereta sebelum ke rumah Dr. Intan Hakimah di Pascoe Vale untuk berehat sebelum bertolak ke Melbourne Aiport tidak jauh dari rumahnya. Intan adalah pensyarah perubatan di UPM, kenalan Eus dan juga Laili.

Salam mesra dari kami di Dandenong untuk keluarga, saudara mara serta kenalan di tanah air. Terima kasih Eus. Sehingga ketemu lagi. Insya Allah.

Monday, May 12, 2008

Salam Takziah - Cik Usin Meninggal Dunia

InnaliLlahi wainna ilaihi rajiun….Khabar duka diterima petang semalam, Pak Cik Sabaruddin Abdullah (lebih mesra Cik Usin), adik ipar Abah yakni suami kepada Mak Cik Sainah telah kembali ke rahmatuLlah di rumahnya disebabkan sesak nafas kira-kira jam 05:00 petang semalam waktu di Malaysia.

Begitulah ketentuanNya, hidup dan mati adalah pasangan kehidupan, sampai saatnya semua insan akan tiba gilirannya, hanya Dia yang mengetahuinya.

Cik Usin, dari kacamataku adalah seorang yang pendiam dan tak banyak cakap tapi amat cepat mesra orangnya. Seronok apabila dapat berbual dengannya. Banyak cerita dan alkisah yang dapat dikongsi bersama. Dulu tubuhnya agak berisi tetapi semakin susut beberapa bulan sebelum kami datang ke Australia kerana sakit kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung yang dihidapinya. Malah dikhabarkan beberapa kali telah ditahan di wad hospital.

Menariknya, menurut abah, Cik Usin pernah tinggal di Darwin, Australia beberapa tahun ketika mudanya, bekerja sebagai penyelam mutiara. Malah sehingga kini ramai keturunan Melayu di Darwin di mana mereka terus menetap di sana selepas berhenti bekerja sebagai penyelam.

Salam Takziah daripada kami sekeluarga berserta Abah, Mak dan Hadi yang masih bersama kami di Melbourne, khusus untuk Mak Cik Sainah sekeluarga. Moga roh Cik Usin dihimpunkan di kalangan hambanya yang solehin. Amiin. Al-Fatihah.

Cuti-cuti Australia > Great Ocean Road

Penggal ke-2 persekolahan di Victoria bermula pada 08/04/2008 (Isnin). Pada hari Khamisnya, 11/04/2008, mak, abah, Bat dan Aya dengan ditemani Laili dan Imran telah ke Great Ocean Road. Dikatakan tidak lengkap kiranya datang ke Melbourne jika tidak ke sini. Mungkin ada betulnya.

Pesisiran pantai di sepanjang laluan Great Ocean Road memang terkenal dengan keindahan pantai yang memutih pasirnya, lautan tanpa tepian, teluk yang pelbagai bentuk, unjuran batu tegak di permukaan air serta dinding batu yang melengkung di hakis angin. Udaranya yang nyaman dengan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa makin melekakan pandangan. Tambahan pula dengan pelbagai kisah-kisah menarik berkaitan dunia pelayaran di zaman lampau turut sama mewarnai keterujaan para pelancung untuk berkunjung ke Great Ocean Road ini.

Mereka bertolak dari Dandenong menjelang tengahari ke Monington Peninsula untuk merasai pengalaman menaiki feri menyeberangi Port Phillip Bay dari Sorento ke Queenscliff di Bellarine Peninsula. Tambang kenderaan dan tambang penumpang adalah berbeza, kedua-duanya perlu dibayar, berbeza dengan feri ke Langkawi di tanahair, tambang kenderaan dan penumpang disekalikan.

Perjalanan diteruskan sehingga memasuki Great Ocean Road di Torquay menuju ke Anglesea. Bermulalah laluan menyusuri pesisiran pantainya. Sesekali singgah di tempat tinjauan yang disediakan untuk menikmati keindahan alam ciptaan Allah SWT. Memang cantik apatah lagi di bawah sinaran mentari yang cerah tidak seperti kunjungan kami pada akhir tahun lepas di mana hujan turun di sepanjang jalan.

Mereka berhenti di Apollo Bay untuk makan dan solat jamak sebelum merentasi Banjaran Otways menuju ke Port Campbell Park. Ketika tiba di sana, matahari telah pun tenggelam dan pemandangannya kelam sahaja. Batuan Apostles kelihatan samar-samar sahaja di sinari cahaya matahari yang semakin suram. Tak mengapalah, sekurang-kurangnya telah dapat melihat sendiri Twelve Apostles yang sering diperkatakan oleh mereka yang pernah berkunjung ke Australia. Mungkin di lain ketika akan ada kesempatan yang tidak dijangka-jangka. Siapa tahu… segalanya ketentuan dariNya.

Sunday, May 11, 2008

Cuti-cuti Australia - Phillip Island

Sabtu (05/04/2008)

Penat seminggu menjelajah timur Australia masih lagi terasa. Malamnya baru tiba dari Canberra, hari ini kami meneruskan lagi misi Cuti-cuti Australia, kini di Melbourne pula. Menjelang tengahari, kami bertolak ke Phillip Island, kira-kira 100 km dari Dandenong melalui South Gippsland Hwy dan Bass Hwy.

Mengikut sejarah, Phillip Island ditemui oleh George Bass pada bulan Januari, 1798 dan dinamakan sempena nama Kapten Arthur Phillip, gabenor yang pertama. Pulau ini berkeluasan sekitar 1,000 hektar (26km x 9km) dengan 97km pesisiran pantai.

Kami singgah sebentar di Information Centre di San Remo sebelum bertolak ke destinasi yang dirancang, bermula dengan Churchill Island, diikuti oleh Koala Conservation Centre dan seterusnya Penguin Parade menggunakan tiket 3 Parks Pass. Nobbies Park di mana terdapatnya singa laut dan tempat tinjauan pemandangan tidak sempat kami terokai, mungkin di lain kesempatan. Tambahan pula masuknya percuma.

Churchill Island Heritage Farm memaparkan sejarah pendudukan terawal masyarakat Eropah di Victoria semenjak Lt. James Grant mendarat dari kapal Lady Nelson pada tahun 1801. Beliau menamakan pulau kecil ini “Churchill” mengambil nama seorang lelaki yang menberikannya bijian untuk ditanam.

Samuel Amess, bekas datuk bandar Melbourne telah membeli pulau ini pada tahun 1872 dan menjadikannya pulau percutian dan perladangan. Kesan peninggalannya dikekalkan sehingga kini, antaranya rumah Amess, taman, pokok besar penghias laman, kebun, ladang serta konsep kehidupan di zaman tersebut. Terdapat juga haiwan ternakan seperti kuda Clydesdale, lembu tanah tinggi, biri-biri, ayam dan juga itik.

Kami makan tengahari dan solat jamak di taman berhadapan Koala Convention Centre sebelum masuk meninjau koala, haiwan yang dikatakan paling kuat tidur, lebih 20 jam sehari. Pokok gum di mana daunnya menjadi makanan koala memenuhi kawasan. Terasa sakit tengkuk melangut ke atas mengintai kedudukan koala di celah-celah dedahan pokok. Di samping warna koala yang menyerupai batang pokok, koala pula kurang bergerak menyebabkan pencariannya seolah-olah bergantung kepada nasib atau penglihatan yang tajam. Terdapat juga laluan aras pokok (treetop boardwalk) di mana koala lebih senang ditemui tetapi tidak dibenarkan memberi makan atau menyentuhnya.

Menjelang lewat petang, kami bergegas pula ke destinasi terakhir, Penguin Parade untuk melihat keletah Little Penguin naik dari laut di waktu senja menuju sarangnya (sand dune burrow) di daratan. Pengunjungnya amat ramai sekali memenuhi tempat duduk bertangga dengan lampu limpah menyuluh pantai. Para ranjer kelihatan di merata sudut. Tidak dibenarkan mengambil gambar dan pengunjung mestilah diam ketika penguin naik ke pantai. Suasananya amat sejuk sekali, masing-masing lengkap berpakaian tebal seperti musim sejuk.

Penguin mula naik ke pantai ketika cahaya merah matahari hampir lenyap dan malam mulai kelam. Dapat dilihat kelompok demi kelompok penguin berkumpul di gigi air sebelum terkedet-kedet berjalan dalam barisan mengikut kelompok masing-masing menuju daratan. Hampir sejam kami memerhatikan gelagat penguin sebelum beredar keluar. Di tepi laluan kayu yang dilalui, jelas dapat dilihat beberapa ekor penguin masih lagi terkedek-kedek mencari sarangnya.

Teringat akan kemasyhuran penyu bertelur di pantai Rantau Abang, Terengganu di sekitar tahun 1980an dulu. Kini tiada lagi kerana mereka kerap diganggu, akhirnya merajuk mencari pantai baru untuk bertelur. Jika langkah pengawasan yang seumpamanya seperti ke atas penguin diambil pasti generasi sekarang akan masih dapat memerhatikan fenomena menarik tersebut.

Selepas solat jamak di tempat letak kereta, kami terus beredar pulang ke rumah meredah malam nan gelap.

Thursday, May 8, 2008

Cuti-cuti Malaysia - Canberra

Jumaat (04/04/2008)
Kami bertolak keluar dari Big4 Caravan Park di Golburn jam 09:30 pagi menuju ke Canberra, kira-kira 100 km jaraknya. Golburn secara umum adalah bandar kecil yang menyimpan banyak khazanah bersejarah seperti kediaman lama dan bangunan bersejarah. Di Golburn kami hanya singgah di shopping centre sahaja sebelum meneruskan perjalanan.

Canberra adalah ibu negara Australia. Canberra berasal dari perkataan Kamberra dalam bahasa penduduk asli bermaksud tempat bertemu. Mengikut sejarah, pada tahun 1908 berlaku pertembungan untuk memilih ibu negara Australia antara Sydney ataupun Melbourne. Jalan tengahnya, dipilih Canberra yang terletak antara keduanya sebagai ibu negara.

Setibanya di Canberra, kami terus menuju ke Capital Hill di mana terletaknya Parliament House. Melintasi kawasan kedutaan UK, Canada, Papua New Guinea, Brazil, Singapura, Mexico dan juga kedutaan Malaysia yang terletak setentang dengan Masjid Canberra (Abu Bakr Mosque). Seterusnya melalui State Circle mengelilingi Capital Hill sebelum singgah di Acton Peninsula, menghadap Lake Burley Griffith untuk makan tengahari.

Sememangnya tiada rancangan untuk mengunjungi mana-mana tempat menarik di Canberra seperti Parliament House, Old Parliament House, Botanical Garden, War Memorial, National Zoo & Aquarium dan National Museum. Tambahan pula kami dah kepenatan setelah seminggu di jalanan. Mungkin di lain kesempatan.

Kami bertolak pulang ke Melbourne kira-kira jam 03:30 petang setelah bersolat jamak di Masjid Canberra. Masjidnya agak kecil sahaja tetapi kawasan sekitarnya agak luas juga. Di sepanjang jalan, telah banyak kelihatan pepohonan yang telah kekuningan atau kemerahan daunnya, menandakan sekarang adalah musim gugur (autumn). Satu fenomena alam yang amat menarik dan cantik.

Untuk solat jamak malam, kami singgah di rumah Shaharuddin di Thomastown. Terima kasih Din & Gee (siap makan lagi). AlhamduliLllah kami selamat tiba di rumah kira-kira jam 12:45 malam.