Saturday, May 17, 2008

Famili Dari Malaysia - Eusni Rahayu

Dua minggu yang lepas, Khamis malam Jumaat (01/05/2008), kami dikunjungi oleh adik Laili, Dr. Eusni Rahayu. Beliau adalah pensyarah perubatan di Fakulti Perubatan, UPM. Datang ke Sydney beberapa hari sebelumnya kerana menghadiri persidangan perubatan di Sydney Convention Centre. Sebelum pulang ke tanah air, beliau mengambil peluang singgah di Melbourne, menjenguk kami serta abah, mak dan Hadi yang sekarang bercuti di sini.

Eus berangkat pulang menaiki MAS Airlines pada hari Sabtu malam Ahad (03/05/2008). Tidak banyak tempat yang sempat dibawa “merewang”. Pagi Jumaat, beliau dibawa ke Dandenong Library sebelum ke Dandenong Market, membeli cenderahati untuk dbawa pulang. Lewat petang, menaiki 2 kereta kami ke pantai di Frankston, kira-kira 30 km dari Dandenong. Kami solat Maghrib di satu sudut bangunan berhadapan pantai, berwudukkan air laut. Walaupun dah malam tapi masih kedapatan mereka yang bersiar-siar di sekitarnya, tambahan pula tidak jauh dari deretan kedai makan dan restoran.

Menjelang tengahari Sabtu, kami keluar menuju Melbourne City. Singgah solat Zohor di Islamic Centre @ masjid di Baedou St, Clayton tidak jauh dari Monash University. Seterusnya kami makan tengahari dengan bekal yang dibawa di Albert Park, di pinggir tasik dilatari bangunan pencakar langit di sekitarnya. Black swan dan itik bebas berenang menunggu habuan dari kami. Deretan perahu layar dengan para pelatihnya memenuhi dada tasik. Di sana sini kelihatan ramai yang sedang beriadah; berbasikal, berjalan dan berlari termasuk anak di dalam stroller.

Bagi peminat lumba kereta Grand Prix Formula 1, di Albert Park inilah menjadi salah satu lokasi tumpuan pertarungan setiap tahun. Sempat kami memusing tasik merasai trak perlumbaan yang berprestij tersebut. Sepatutnya Malaysia menauladani Australia dalam hal ini.

Di tengah city, kami sempat mengelilingi city dengan menaiki tram percuma, City Circle, menggunakan laluan sama seperti kenderaan lain. Di sepanjang laluan dan hentian, diceritakan setiap tempat dan bangunan menarik serta sejarah yang berkaitan dengannya. Kami juga sempat singgah di Victoria Market di mana tumpuan pelancong untuk barangan murah. Untuk barangan cenderahati, dirasai harga yang ditawarkan di Dandenong Market adalah lebih murah, cuma kepelbagaiannya lebih banyak di Victoria Market.

Kami solat Asar dan Maghrib di Islamic Centre di Jefcott St di mana kami parkirkan kereta sebelum ke rumah Dr. Intan Hakimah di Pascoe Vale untuk berehat sebelum bertolak ke Melbourne Aiport tidak jauh dari rumahnya. Intan adalah pensyarah perubatan di UPM, kenalan Eus dan juga Laili.

Salam mesra dari kami di Dandenong untuk keluarga, saudara mara serta kenalan di tanah air. Terima kasih Eus. Sehingga ketemu lagi. Insya Allah.

No comments: