Friday, May 23, 2008

Cuti-cuti Australia > Mt. Gambier

Jumaat (25/04/2008) - Pagi
Selepas bersarapan, kami keluar dari Pine Country Caravan Park menuju ke Blue Lake. Letaknya tidak jauh, kira-kira 3 km sahaja dari tempat kami bermalam. AlhamduliLlah, cuacanya agak baik melancarkan perjelajahan kami.

Mt. Gambier asalnya adalah gunung berapi yang telahpun tidak aktif lagi. Letusannya di zaman dahulu meninggalkan beberapa kawah yang akhirnya membentuk 4 gugusan tasik; Blue Lake, Leg of Mutton Lake, Valley Lake dan Brownes Lake. Manakala larva dan abu dari letusan ini dikatakan dalam radius 8 km pula mengeras di sekitar kawah membentuk batuan seakan-akan tanah dan batu bersimen.

Leg of Mutton Lake dan Brownes Lake kini telahpun kekeringan airnya, yang tinggal hanyalah kesan lekukan tasik yang dipenuhi pepohonan yang kebanyakkannya kekuningan dan kemerahan daunnya di musim luruh ini. Pemandangan yang amat cantik sekali.

Blue Lake dan Valley Lake masih kekal digenangi air dan menjadi tumpuan ramai terutama Blue Lake yang berubah airnya kepada warna kebiruan di musim panas (sekitar Disember setiap tahun). Fenomena alam yang menakjubkan. Dikatakan berpunca dari kepanasan cahaya matahari menyebabkan bahan calcite di dalam air membentuk kristal kebiruan. Di musim luruh ini fenomena seumpamanya tidak dapat dilihat sepenuhnya.

Selepas menikmati keindahan di sekitar Valley Lake, Leg of Mutton Lake dan Browns Lake, kami berkunjung pula ke Umpherstone Sinkhole, kira-kira 7 km dari Blue Lake. Satu lagi fenomena menarik hukum alam ciptaan Allah SWT. Ianya adalah satu lubang besar kesan mendapan tanah. Kini dijadikan sebuah taman dengan tumbuhan menghijau dan bunga-bungaan yang berwarna warni di musim bunga dan musim panas (September – Februari). Kami tidak sempat menikmati sepenuhnya keindahan taman terutama bungaannya kerana telahpun masuk musim luruh (autumn). Laluan bertangga disediakan untuk turun ke bawah. Masuk percuma dan dibuka juga pada waktu malam untuk melihat possum keluar mencari makan.

Terdapat banyak lagi tempat menarik di Mt. Gambier, antaranya Cave Gardens di tengah bandar yang dipenuhi bunga ros, Engelbrecht Cave, Lady Nelson Discovery Centre, Centenary Tower, Mount Schank, Kongorong dan lain-lain. Mungkin di lain ketika jika ada kesempatan.

Kira-kira jam 01:30 tengahari kami meneruskan perjalanan kami ke Naracoote Caves National Park, hampir 160 km dari Mt. Gambier melalui Riddoch Hwy. Di Penola dan Coonawara, kami terpegun melihat lautan deretan pepohonan anggur di tepian jalan. Tidaklah menghairankan kerana di sinilah hub penanaman anggur dan pengeluaran arak terkenal di Australia dengan pelbagai estet dan syarikat pengeluaran di sekitarnya. Pemandangan musim luruh amat terserlah sekali dengan dedaunan anggur yang telah bertukar kekuningan dan kemerahan, menunggu masa untuk gugur ke bumi. Itulah keseronokan berjalan-jalan di musim luruh.

No comments: