Thursday, May 8, 2008

Cuti-cuti Malaysia - Canberra

Jumaat (04/04/2008)
Kami bertolak keluar dari Big4 Caravan Park di Golburn jam 09:30 pagi menuju ke Canberra, kira-kira 100 km jaraknya. Golburn secara umum adalah bandar kecil yang menyimpan banyak khazanah bersejarah seperti kediaman lama dan bangunan bersejarah. Di Golburn kami hanya singgah di shopping centre sahaja sebelum meneruskan perjalanan.

Canberra adalah ibu negara Australia. Canberra berasal dari perkataan Kamberra dalam bahasa penduduk asli bermaksud tempat bertemu. Mengikut sejarah, pada tahun 1908 berlaku pertembungan untuk memilih ibu negara Australia antara Sydney ataupun Melbourne. Jalan tengahnya, dipilih Canberra yang terletak antara keduanya sebagai ibu negara.

Setibanya di Canberra, kami terus menuju ke Capital Hill di mana terletaknya Parliament House. Melintasi kawasan kedutaan UK, Canada, Papua New Guinea, Brazil, Singapura, Mexico dan juga kedutaan Malaysia yang terletak setentang dengan Masjid Canberra (Abu Bakr Mosque). Seterusnya melalui State Circle mengelilingi Capital Hill sebelum singgah di Acton Peninsula, menghadap Lake Burley Griffith untuk makan tengahari.

Sememangnya tiada rancangan untuk mengunjungi mana-mana tempat menarik di Canberra seperti Parliament House, Old Parliament House, Botanical Garden, War Memorial, National Zoo & Aquarium dan National Museum. Tambahan pula kami dah kepenatan setelah seminggu di jalanan. Mungkin di lain kesempatan.

Kami bertolak pulang ke Melbourne kira-kira jam 03:30 petang setelah bersolat jamak di Masjid Canberra. Masjidnya agak kecil sahaja tetapi kawasan sekitarnya agak luas juga. Di sepanjang jalan, telah banyak kelihatan pepohonan yang telah kekuningan atau kemerahan daunnya, menandakan sekarang adalah musim gugur (autumn). Satu fenomena alam yang amat menarik dan cantik.

Untuk solat jamak malam, kami singgah di rumah Shaharuddin di Thomastown. Terima kasih Din & Gee (siap makan lagi). AlhamduliLllah kami selamat tiba di rumah kira-kira jam 12:45 malam.

No comments: