Saturday, December 31, 2011

Imran Khatam Quran

AlhamduliLlah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadhrat Illahi. Malam ini pada tanggal 31 Dis 2011, menjelang masuknya waktu Isyak, anak bongsu kami, Muhammad Imran akhirnya khatam 30 juz Al-Quran. Mengekori pencapaian kakaknya, Nur Solehah yang khatam Al-Quran beberapa minggu lalu. Satu pencapaian yang amat membanggakan. Tahniah Imran. Tahniah Solehah.

Imran mula membaca Iqra' pada usia 6 tahun iaitu pada tahun lepas, ketika kami masih di Melbourne, Australia. Sekembalinya ke tanah air pada awal tahun ini, Imran telah pun lancar membaca Muqaddam, seterusnya bersambung dengan kitab Al-Quran.

Setiap hari, selepas solat Subuh dan selepas solat Maghrib, Imran tidak pernah culas/ tinggalkan rutin membaca Al-Qurannya. Tidak kiralah di mana ia berada.

Jika kebetulan di rumah saudara mara mahupun kenalan ataupun di masjid, pasti diminta mushaf Al-Quran untuk dibaca. Begitu juga jika terlepas waktu kerana sesuatu halangan, maka akan diganti waktu tersebut. Demikianlah keprihatinan Imran dalam menjaga rutin bacaan Quran hariannya.

AlhamduliLlah, Imran juga dikurniakan kelebihan lancar dan tepat tajwid Al-Quran yang dibaca. Dari itu cepatlah ia berpindah dari satu muka surat kepada muka surat berikutnya. Tidak sampai setahun, Imran mampu menamatkan 30 juzuk Al-Quran. Itulah salah satu hikmahnya jika rajin berdampingan dengan Al-Quran.

Walaupun telah khatam, rutin membaca Al-Quran akan tetap diteruskan. Mungkin kaedahnya sedikit berbeza, antaranya dibaca secara bertadarus, diselitkan dengan hafazan, mengenali hukum-hukum tajwid dan juga mempelajari terjemahan serta tafsiran ayat-ayat Al-Quran.

Doa kami, moga kami sekeluarga akan sentiasa membudayakan Al-Quran di dalam kehidupan seharian, berterusan selama-lamanya. Ameen.

Friday, December 23, 2011

Keputusan PMR

Sebenarnya entri ni telah ditulis pada hari keputusan PMR diumumkan tetapi tidak berkesempatan untuk diposkan. Tanpa edit, ianya diposkan.

Hari ini keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 telah diumumkan. Menjelang jam 10:00 pagi, para pelajar Tingkatan 3 berpusu-pusu membanjiri perkarangan sekolah masing-masing untuk mengetahui apa keputusan yang diperolehi. Ibu bapa pun turut sama menyesakkan lagi perkarangan sekolah. Bukan hanya nak tahu keputusan anak-anak tetapi paling penting untuk memberi sokongan moral mereka.

Muhammad Izzuddin, anak sulung kami antara pelajar yang menunggu penuh debaran di perkarangan sekolahnya, SMK Lembah Keramat. Kami tidak turut serta kerana memberi peluang padanya menerima seadanya apa-apa keputusan yang dicapai.

Tulus ikhlas kami katakan, sesungguhnya kami tidak menaruh harapan tinggi untuk Izzuddin mencapai kejayaan yang cemerlang kerana sedar bebanan dan cabaran yang perlu dilaluinya. Ini kerana Izzuddin telah lama meninggalkan alam persekolahan di Malaysia, hampir 5 tahun lamanya. Malah UPSR pun tidak pernah didudukinya, begitu juga pembelajaran di Tingkatan 1 dan 2.

Sekembalinya dari Australia pada awal tahun ini, Izzuddin terus masuk ke Tingkatan 3. Dengan kata lain, terlalu banyak pelajaran yang tertinggal lebih-lebih lagi subjek Bahasa Melayu, Sejarah, Geografi, Kemahiran Hidup dan Pendidikan Islam. Subjek Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik sekurang-kurangnya telah dipelajari semasa di luar negara.

Namun kami amat kagum dengan kesungguhan yang ditunjukkan Izzuddin. Ada ketikanya dugaannya amat berat sehingga boleh membuatkan dirinya berputus asa. Sebagai ibu bapa, kami sentiasa mengingatkannya agar berusaha setakat terdaya, selebihnya berserahlah kepada Allah SWT.

Keputusan yang diperolehi oleh Izzuddin adalah 7A 1B (B di dalam Bahasa Melayu). Tahniah Iddin. Bagi kami ianya kejayaan yang amat cemerlang. Lebih cemerlang dari mereka yang mendapat 8A yang sejak kecil dibesarkan dalam sistem pendidikan negara. Walaupun hanya 7 bulan belajar, Izzuddin berjaya mengatasi rakan-rakan yang belajar 3 tahun.

Tumpuannya sekarang adalah untuk mengungguli Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal menentukan arah tujunya di dalam pembentukan kerjayanya di masa hadapan. Semoga segalanya dipemudahkan oleh Allah SWT. Ameen.

Sekali lagi, sekalung TAHNIAH untuk Izzuddin. Kami semua bangga denganmu.

Monday, December 19, 2011

Khatam Quran

Khatam Quran lazimnya merujuk kepada tamatnya bacaan satu mashaf Al-Quran yang berjumlah 30 juzuk: 114 surah: 6,236 ayat. Jika hanya tamat kitab Iqra', belum lagi dikatakan khatam. Begitu juga jika hanya habis baca Muqaddam pun belum boleh dikatakan khatam.

Demikianlah pemakaian kata 'khatam Quran' yang selalunya digunakan. Tidak tahulah jika ada penafsiran yang lebih tepat lagi. Maaflah kami bukan pakar bahasa, sekadar pengguna bahasa yang umum sahaja. Apa-apa pun buat sementara waktu ini kita terimalah penakrifan yang diguna pakai ramai tentang khatam Quran ini.

Bagi pembaca Quran, khatam Quran adalah suatu kepuasan yang amat menyeronokkan. Apatah lagi bagi kanak-kanak (mahupun orang dewasa) yang pertama kali khatam Quran.

Di kampung saya di Terengganu dahulu, apabila anak-anak khatam Quran, maka diadakan majlis kesyukuran ringkas dengan hidangan nasi pulut kuning (dipanggil nasi kunyit). Sekarang ini jarang ditemui lagi. Kami sendiri pun tidak meneruskan tradisi tersebut apabila anak-anak kami khatam Quran. Hanya dibacakan doa khatam Quran sahaja bersama rasa syukur kepadaNya yang telah mengizin dan memudahkan usaha pembacaan sehingga tamat.

Beberapa hari lepas, anak ketiga kami Nur Solehah telahpun khatam Quran. Seronoknya dia tidak terkira. Rona-rona kepuasan jelas terpancar di wajahnya. Tahniah Solehah. Syukur kehadrat Illahi.

Bagi adiknya Muhd Imran pula, Insya Allah akan khatam 30 juzuk Al-Quran dalam beberapa minggu lagi. Abangnya, Muhd Izzuddin dan kakaknya, Nur Hanisah telahpun lama tamat, kurang lebih 5 tahun lalu.

Kesemua anak-anak kami bimbing sendiri di rumah. Abang dan kakak mereka pun turut menunjuk ajar ketika kami tidak berkesempatan. Adakala datuk dan nenek pun turut membantu. AlhamduliLlah, syukur atas setiap kurniaan dan anugerahNya.

Walaupun telah khatam Quran, tidak bermakna anak-anak tidak perlu lagi membacanya. Sekurang-kurangnya sekali sehari mereka wajib bertadarus, biasanya selepas solat Maghrib dan selepas Solat Subuh ketika hari cuti. Di bulan Ramadhan pula biasanya kami bertadarus sehingga khatam satu mashaf Al-Quran.

Pada masa yang sama anak-anak digalakkan untuk menghafal seberapa banyak surah/ ayat yang termampu. Tidak dilupakan juga untuk meneliti terjemahan dan tafsirannya secara bersendirian mahupun bersama.

Hikmahnya amat banyak, lebih-lebih lagi dalam mengharungi pancaroba kehidupan sekarang yang amat melalaikan. Insya Allah barangsiapa yang menyayangi Al-Quran akan sentiasa disayangi oleh Allah SWT. Itulah harapan kami. Ameen.. ameen... ameen... Ya Rabbal 'alameen.

Monday, December 12, 2011

Kini 15 Tahun

Pada tanggal 10 Disember, 2011; meningkat setahun lagi usia abang long, Muhammad Izzuddin @ Iddin kepada 15 tahun Masihi. Happy Belated Birthday Iddin.

Tiada sambutan khusus diatur. Cukup sekadar berkumpul bersama keluarga sebagai tanda kesyukuran. Berkebetulan kami berada di kampung halaman nenek di Kg. Bukit Bangkong. Turut serta atuk-nenek dan ibu-bapa saudaranya, Cik Eus-Ayah Fahimey sekeluarga.

Harapan dan doa kami untuk Iddin, moga redha Allah SWT sentiasa mengiringi setiap tindakan yang diambil serta beroleh kejayaan dan kebahagian hidup di dunia dan diakhirat. Ameen.

Hadiah untuk Iddin pun simple aja, sesuai untuk kegunaan harian. Moga ada manafaatnya.

Begitulah lazimnya untuk semua anak-anak apabila tiba ulang tahun kelahiran mereka. Paling utama mereka menyedari dan menginsafi hakikat kejadian dan kehidupan yang dianugerahkan oleh Allah SWT sebagai khalifah di muka bumi ini.

Tuesday, December 6, 2011

Cuti-cuti Di Kuala Kubu Bharu

Cerita ini lebih seminggu lepas telah berlalu. Sedikit terlewat kerana ada gangguan capaian internet di rumah yang berlarutan kira-kira seminggu. Baru sehari dua ini ianya kembali pulih. AlhamduliLlah.

Sebagaimana Cuti-cuti Sabah, kisah percutian kami ini dalam 3 kronologi perjalanan - Kuala Kubu Bharu, Bukit Fraser dan Tanjong Malim. Harap maklum.


Pada awal minggu lepas (Awal Muharram) kami sekeluarga berkunjung ke Kuala Kubu Bharu (KKB). Ianya satu tempat yang kerap kami kunjungi antara 5 - 10 tahun lalu. Ketika itu adik bongsu Laili, Nasrul Hadi bersekolah di SAMT Kuala Kubu Bharu. Selepas itu anak saudara saya pula, Muhd Sopiyuddin belajar di Darul Quran JAKIM.

Kali ini kunjungan kami juga bersebab. Anak sulung kami, Muhd Izzuddin menduduki ujian kemasukan ke Tingkatan 4 MRSM dan MRSM Kuala Kubu Bharu menjadi lokasi ujiannya. Itulah satu-satunya MRSM yang terdekat.

Di KKB, kami menginap 3 hari 2 malam di Ain's Homestay yang terletak di kawasan perumahan Taman Juta, bersebelahan Bandar KKB. Rumah teres setingkat milik Cikgu Noraini yang simple dan selesa. Terima kasih Cikgu Safiah @ Cik Safiah, ibu saudara Laili yang tolong tempahkan.

Kami bertolak ke KKB pada hari Ahad, Izzuddin menjalani ujian pada hari Selasa dan kami pulang ke Hulu Kelang pada hari yang sama. Emak dan abah pun turut serta. Mereka tiba di KKB pada pagi Isnin.

Di waktu senggang, kami berjalan-jalan di sekitar KKB dan mendaki laluan sehingga ke Bukit Fraser. Pada hari Isnin kami ke Tanjong Malim, mengunjungi keluarga Cik Safiah dan kenalan kami ketika di Melbourne dahulu, keluarga Dr. Lajiman.

Beberapa keping foto di Kuala Kubu Bharu terdapat di Album Foto Kami, atau klik sahaja di sini untuk capaian terus ke album.

Sejarah Kuala Kubu Bharu

Ringkasnya, Kuala Kubu Bharu di Hulu Selangor ini adalah bandar baru menggantikan Bandar Kuala Kubu yang musnah ketika Tragedi Kuala Kubu akibat banjir besar yang melanda pada bulan Februari, 1883; berpunca daripada Empangan Kuala Kubu yang pecah. Bandar lama tersebut kini dikenali sebagai Ampang Pecah.

Lagendanya, banjir besar melanda disebabkan oleh sikap bongkak pegawai British pada masa itu, Sir Cecil Ranking yang membunuh buaya putih yang dikatakan menjaga empangan tersebut. Akibatnya Ranking turut terkorban dalam tragedi tersebut.

Demikianlah bagai yang dikisahkan orang. Perlu diingat, ianya sekadar lagenda. Usahlah dipercayai sehingga merosakkan keimanan kita. Kepercayaan kita, Allah SWT lebih berkuasa. Mungkin kerana kemungkaran bermaharajalela maka bala Allah SWT mendatangi sebagai peringatan dan pengajaran daripadaNya. Ianya boleh berlaku juga di zaman sekarang.

Bandar Kuala Kubu Bharu

Umumnya bandar kecil ini sama seperti kunjungan kami dahulu. Sibuk di siang hari, malap di waktu malam - hanya kedai-kedai makan sahaja yang dibuka. Menariknya KKB ini, masih kelihatan bangunan/ rumah lama yang mempunyai sejarahnya yang tersendiri terutama ketika era perlombongan bijih di Kuala Kubu.

Deretan kedai, pejabat kerajaan dan pelbagai badan berkanun dan bank tertumpu di tengah-tengah bandar. Pusat-pusat pengajian dan latihan pula terletak berhampirannya; antaranya Darul Quran, PLKN, IKBN, Akademi Bomba, MRSM dan sekolah harian.

Paling seronok apabila kami berpeluang rukuk dan sujud di Masjid Ar-Rahimah yang tersergam megah di tengah bandar. Ruang solatnya luas terbentang. Bagi jemaah wanita, tempat wuduknya kurang selesa - perlu naik turun tangga dan ada yang terpaksa melintas lalu ruang solat lelaki. Sesuatu yang banyak kedapatan di masjid-masjid tertentu, kurang diberi perhatian di peringkat rekabentuknya lagi.

Menurut catatannya, masjid ini telah dirasmikan oleh Sultan Selangor, DYMM Sultan Sharifuddin Idris Shah pada 1 Nov 2002 (25 Syaaban 1423).

Empangan Sungai Selangor

Ianya siap dibina pada tahun 2002, merangkumi kawasan lembah seluas 600 hektar dengan ketinggian sekitar 115 meter, menjadikannya antara empangan terbesar dan tertinggi di Malaysia. Asalnya sebahagian lembah ini adalah perkampungan Orang Asli Temuan iaitu Kg. Pertak dan Kg. Gerachi Jaya yang telah dianugerahkan perkampungan moden di sekitar empangan tersebut.

Empangan ini dekat sahaja dari Bandar KKB, di pertengahan jalan menuju ke Bukit Fraser. Kami berpeluang 2 kali singgah di sini; pada hari Ahad, ketika dalam perjalanan ke Bukit Fraser dan pada hari Selasa, ketika menunggu Izzuddin menduduki ujian di MRSM.

Pemandangan kawasan empangan amat indah dan menawan sekali, berlatarkan banjaran gunung, pepohonan menghijau dan gumpalan awan memutih ketika langit terang. Air tasiknya tenang, berwarna biru kehijauan melingkungi pulau-pulau kecil. Benar-benar mendamaikan bagi pencinta alam.

Air Terjun Pertak

Air terjun ini terletak di hujung Kg. Pertak, bersebelahan Empangan Sungai Selangor. Keaslian persekitarannya masih kekal asli dengan kehijauan hutan yang masih terpelihara. Malah tiada langsung kemudahan asas yang disediakan seperti tandas, bilik persalinan, tempat letak kereta, tong sampah, tempat memasak dan seumpamanya. Pandai-pandai sendirilah. Entahlah, mungkin tidak diwartakan sebagai kawasan pelancongan pun.

Kami menyinggah di air terjun ini tanpa dirancang selepas menghantar Izzuddin ke MRSM Kuala Kubu Bharu. Jadi tiada persalinan pun untuk turun ke air. Hanya Imran yang turun berseluar dalam dan Solehah yang mempunyai pilihan memakai kain pelikat sebagai persalinan. Oklah, asalkan mereka seronok.

Di air terjun, hati amat teruja melihatkan keindahannya. Deburan air bagaikan alunan muzik aromaterapi yang mengasyikkan, mengalir sejuk menuruni alur menuju empangan. Bonggolan batu besar di pinggir alur menjadi tempat kami melepak sambil mengawasi anak-anak yang gembira sekali mengutip batuan kecil di dasarnya.

Demikianlah sedikit sebanyak tentang kunjungan kami di Kuala Kubu Bharu. Sememangnya banyak lagi tempat yang boleh dilawati tetapi tidak sempat disinggahi seperti Monumen Tragedi Kuala Kubu di Ampang Pecah, Stesen Keretapi Lama, Air Terjun Chilling, Santuari Ikan Kelah dan banyak lagi. Mungkin di lain kesempatan kami berpeluang menerokai lebih jauh lagi.

Cuti-cuti Di Bukit Fraser

Kami tiba di Ains' Homestay di Kuala Kubu Bharu pada hari Ahad, sekitar jam 12:30 tengahari. Setelah check-in, kami berjalan-jalan di sekitar bandar Kuala Kubu Bharu - makan tengahari di Restoran Sri Melayu dan bersolat di Masjid Ar-Rahimah.

Dari Bandar KKB, kami bergerak ke Empangan Sungai Selangor. Kata orang, jika ke KKB usah lupa ke empangan yang amat indah sekali pemandangannya. Benar bagai dikata. Kami berhajat singgah di Pusat Penerangan SPLASH di pinggir empangan tetapi ditutup.

Laluan empangan adalah menuju terus ke Bukit Fraser dengan jarak sekitar 30 km sehingga ke Pintu Masuk Utama (The Gap). Dari The Gap ke pekan Bukit Fraser pula sekitar 10 km jaraknya. The Gap dibuka setiap hari dari jam 7:00 pagi - 7:00 petang. Sebagai makluman, jam ganjil untuk naik dan jam genap pula untuk turun.

Ketika waktu menghampiri jam 3:00 petang, kami masih di empangan. Jika ingin ke Bukit Fraser, masanya telah agak suntuk. Dianggarkan sebelum jam 3:30 petang kami perlu tiba di The Gap. Melalui laluan yang berliku-liku dan pemanduan yang perlu berhati-hati, kami sekadar mencuba nasib. AlhamduliLlah akhirnya kami tiba di The Gap sekitar jam 3:25 petang, pintu penghadangnya masih dibuka.

Di sepanjang jalan dari empangan dan mendaki pula laluan sehala ke Bukit Fraser yang lebih banyak liku dan selekohnya, kepala terasa berpusing-pusing dan tekak pula meloya. Anak-anak melepek lesu dan sering mengeluh, 'Bilalah nak sampai ni'. Jika ditanyakan pada mereka, 'Lain kali nak datang lagi tak?', pasti jawabannya boleh dijangka.

Bukit Fraser dinamakan sempena nama Louis James Fraser dari Scotland yang mengusahakan perlombongan bijih timah pada tahun 1890an. Di sebalik sumbangan fizikalnya, dikatakan Fraser seorang yang kurang bermoral kerana aktif terlibat di dalam perjudian, pemerasan, pengedaran dadah dan banyak lagi. Jika benar, elok sekali jika nama bukit peranginan dan pelancongan yang terkenal itu ditukar nama kepada yang lebih baik, seeloknya nama tempatan.

Sebahagian foto terdapat di Album Foto Kami atau klik di sini.

Bukit Fraser ini sebenarnya terletak di daerah Raub, Pahang. Suhunya sejuk, sekitar 17 - 24 Celcius dengan puncak tertingginya kira-kira 1,280 meter dari aras laut. Suasana di pekannya bagaikan perkampungan Scotland dengan bangunan bergranit kelabu dengan gaya Tudor. Paling menonjol adalah menara jam disaluti pepohonan menjalar di tengah bulatan jalan yang menjadi tumpuan pengunjung untuk bergambar kenang-kenangan.

Melihatkan kepada banyaknya rumah dan hotel penginapan yang terdapat di Bukit Fraser, pasti begitu ramai sekali pelancong yang berkunjung ke Bukit Fraser ini. Di samping merasai suasana sejuk di kawasan tanah tinggi, tarikan utama ke sini adalah kegiatan menjejaki dan memerhati burung serta menerokai kawasan hutan melalui trek dan denai yang disediakan.

Oleh kerana kami tiba di Bukit Fraser telah pun agak petang, tambahan pula hujan, tidak banyak tempat yang sempat kami singgahi. Di samping pekannya, banyak masa kami habiskan di sekitar Food Garden, bersebelahan Masjid Sultan Mahmud - makan sambil membeli cenderahati. Tengoklah, jika berpeluang, lain kali kami boleh datang lagi.

Kami beredar turun dari Bukit Fraser jam 6:30 petang melalui jalan baru yang telahpun dibuka, bermula dari The Glen sehingga ke The Gap. Sebenarnya jalan ini telahpun siap pada tahun 2001 tetapi terpaksa ditutup kerana kerap berlaku tanah runtuh. Ketika kunjungan kami ianya telah dibuka tetapi untuk turun sahaja.

Begitulah perancangan awalnya di mana laluan asal sekarang digunakan untuk naik sahaja manakala laluan baru untuk turun sahaja. Bermakna naik dan turun dibuka sepanjang hari tanpa ditetapkan waktunya seperti sekarang.

Meredah laluan suram dengan tabir malam mula menjengah, AlhamduliLlah kami selamat tiba di Bandar KKB sekitar jam 7:30 malam. Anak-anak telah pun lena di kerusi belakang. Makan malam pun berbungkus, dijamah seadanya selepas bersolat jamak sebelum menyambung kembali tidur mereka.

Cuti-cuti Di Tanjong Malim

Hari kedua di Kuala Kubu Bharu lebih menyeronokkan. Paginya, emak dan abah tiba dari kampung. Kami bersama-sama melangkah lebih jauh sehingga ke Tanjong Malim - menziarahi keluarga Cik Safiah, adik kepada emak di Taman Bernam Jaya dan keluarga kenalan rapat kami ketika di Melbourne dahulu, Lajiman-Suraya di Proton City.

Kami bertolak dari KKB sekitar jam 10:00 pagi dan tiba di Bernam Jaya kira-kira setengah jam selepasnya. Melalui Kalumpang, kelihatan gerai durian tempatan banyak berjualan di tepian jalan utama. Hajat hati berhenti makan ketika balik dari Tanjong Malim, malangnya tidak kesampaian kerana hujan lebat. Tiada rezeki di jalanan, Insya Allah adalah di tempat lain.

AlhamduliLlah, di rumah Cik Safiah kami dijamu sarapan pagi pelbagai juadah yang amat menyelerakan - demikianlah aturannya. Tambahan pula perut dah berkeroncong kerana makan pagi yang sedikit terlewat dari kebiasaan. Berbanyak-banyak terima kasih pada Cik Safiah sekeluarga.

Seronok dapat bertemu muka setelah sekian lama tidak bersua hingga terlupa nak bergambar bersama tuan rumah dan keluarganya. Maaflah...

Tengaharinya kami 'merayau' di kawasan sekitarnya sambil memerhatikan pembangunan dan penyediaan kemudahan infrastruktur yang masih belum pesat membangun. Mungkin menunggu masa Proton City dan beberapa taman berdekatan dikerumuni penghuninya.

Memasuki kawasan perumahan Taman Bernam Jaya, pandangan kami tertumpu pada pelbagai tumbuhan meliar di tepian jalan. Di celah-celah pepohonan renek termasuk senduduk dan lalang, kedapatan juga pepohon orkid liar yang amat cantik bunganya. Malah pokok periuk kera pun banyak sekali tumbuh menyelit. Tertarik dengannya kami singgah mencabutnya untuk dicuba tanam di Hulu Kelang nanti. Harap-harap boleh tumbuh subur.

Selepas solat jamak Zohor-Asar di rumah Cik Safiah, kami terus bergerak ke Proton City pula, ke rumah Lajiman-Suraya - undangan ziarah dan makan tengahari (terima kasih tuan rumah). Dari lebuh raya, Proton City menjauh ke dalam, melintasi deretan memanjang kilang Proton dan beberapa bangunan yang unik bentuknya.

Setelah bersua, AlhamduliLlah terlerai segala kerinduan. Teringat akan zaman berkampung di Dandenong, Victoria, Australia selama hampir 4 tahun lalu. Moga keakraban lalu bagaikan keluarga sendiri akan terus kekal selamanya. Ameen.

Menariknya rumah Cik Safiah dan Lajiman-Suraya ini, di laman hadapan rumah mereka dipenuhi pelbagai jenis bungaan dan sayuran. Memang dia orang ni sukakan keindahan dan rajin bertanam. Kita orang lain sedikit, sukakan keindahan tetapi malas nak bertanam. Silap-silap semak samun di hadapan rumah pun boleh dikatakan suatu keindahan alam semulajadi.

Hampir 2 jam di Proton City, kami bergerak pulang menuju Taman Juta, Kuala Kubu Bharu di mana kami menginap sehingga keesokan harinya. AlhamduliLlah dikurniakan keselamatan sehingga tiba ke destinasi yang dituju.