Thursday, December 10, 2009

Happy Birthday Iddin

Tanggal 10-Dec-1996, anak sulung kami, Muhammad Izzuddin dilahirkan. Hari ini usianya meningkat ke angka 13. Bermulanya era usia remaja. Pemikiran, perwatakan, tindakan dan pembawakan diri mula berubah. Gemar kepada cabaran dan banyak berinteraksi dengan persekitaran. Lebih matang dari sebelumnya.

Perubahan normal tetapi masih perlu perhatian ibu bapa agar tidak tersilap dalam membuat pertimbangan dan keputusan. Apatah lagi sebagai seorang Muslim. Moga-moga Iddin sentiasa di bawah peliharaan dan lindungan Allah SWT. Ameen.

Tiada yang istimewa untuk sambutan ulangtahun kelahiran Iddin. Sekadar sekeping kad ucapan ringkas yang dicoretkan oleh setiap ahli keluarga, mengandungi harapan dan doa, moga hidupnya sentiasa dirahmati Allah. Juga sebagai peringatan dan motivasi diri bahawa ada keluarga yang sentiasa menyayanginya.

Hadiah untuk Iddin telahpun diperolehinya sejak minggu lepas : Surf Camp @ Phillip Island. Itulah permintaan Iddin sebagai hadiah harijadinya.

Terima kasih dari ayah dan ibu kerana menjadi anak yang baik. Juga dari adik-adik kepada abang tersayang. Happy Birthday Iddin.
ps.. Kad ucapan berlatarkan peralatan kriket, sukan kegemaran Iddin.

Tuesday, December 8, 2009

Izzuddin : Surf Camp

Muhammad Izzuddin, anak sulung kami amat menggemari kegiatan sukan. Banyak jenis sukan telah dicubanya dan sentiasa berusaha mendalaminya; antaranya kriket, Australian football (footy), bola sepak (soccer), allrounders, renang, tenis dan juga tae kwon do.
Pada minggu lepas selama 4 hari Iddin mengikuti Surf Camp yang dianjurkan oleh sekolahnya, Dandenong High School di Phillip Island. Pengalaman baru bagi Iddin; mempelajari surfing di laut.

Bimbang dan risau juga untuk membenarkan Iddin pergi. Kesemua pesertanya adalah non-Muslim yang kurang atau langsung tidak memahami Islam. Apatah lagi budaya hidup mereka jauh berbeza.
Bimbang samada solatnya terjaga atau tidak. Risau tentang soal halal haram dalam pemakanan. Namun keinginan Iddin amat tinggi untuk turut serta. Kasihan pula. Berkali-kali diperingatkan agar solat 5 waktunya jangan ditinggal dan makanannya dijaga. Malah guru pengiring program pun turut dimaklumkan akan keperluan Iddin melaksanakan amalan Islamnya.

AlhamduliLlah, segalanya berjalan lancar. SMS yang dikirim semasa program amat melegakan hati. Solat dan makanannya terjamin. Untuk solat siang dan malam, gurunya menyediakan ruang di dalam kabin gurunya sendiri untuk bersolat. Manakala solat Subuh pula dilakukan di suatu sudut bersebelahan kabin yang didudukinya. Makanannya pula fish & chips dan juga seafood. Setinggi-tinggi penghargaan kepada gurunya yang amat memahami.

Begitulah sikap toleransi yang ditunjukkan mereka jika kita menyatakannya secara baik. Bukannya permintaan yang besar tetapi kecil sahaja. Bukannya susah untuk dipenuhi tetapi mudah sahaja. Yang penting usah didiamkan, lebih-lebih lagi dalam melaksanakan sesuatu kewajiban kepada Allah SWT. Insya Allah akan dipermudahkan olehNya.

Di samping belajar surfing, para pelajar juga dibawa mengunjungi beberapa tempat menarik di Phillip Island; antaranya Pelican feeding di San Remo, Penguin Parade, Nobbies, Amaze ‘n’ Things dan menyusuri pantai. Terdapat juga beberapa aktiviti berkumpulan dalam membentuk semangat berpasukan.

Diharapkan banyak pengalaman hidup yang dapat dipelajari oleh Iddin dari Surf Camp tersebut. Secara langsung dan juga tidak langsung. Yang tersurat mahupun tersirat. Moga-moga.

Friday, December 4, 2009

Aduhai... Mengantuknya

Disember… bermulanya musim panas di Australia terutama di selatan benua terkecil ini termasuklah Victoria. Namun panasnya telahpun dirasai sejak sebulan lalu. Pernah suhunya mencecah hampir 37 darjah Celcius. Diramalkan kepanasan pada tahun ini lebih berbahang daripada musim panas nan lalu yang mencatatkan bacaan suhu sehingga 48 darjah Celcius.

Ketibaan musim panas menandakan jarak masa siangnya lebih lama daripada malamnya, kontra kepada musim sejuk. Kini matahari terbit sekitar jam 5:45 pagi, manakala terbenamnya pula kira-kira jam 8:30 malam. Waktu siangnya dalam 15 jam dan malamnya 9 jam.

Dalam keadaan siang yang panjang, memberi masa yang lebih untuk melakukan aktiviti-aktiviti siangnya. Keaktifan di siang hari menyebabkan malamnya cepat sekali terasa mengantuk. Lebih-lebih lagi bagi anak-anak, seharian memerah tenaga dan minda di sekolah. Apatah lagi dalam suasana cuaca yang panas, penatnya amat dirasai.

Selepas solat Maghrib dan membaca Al Quran, mata pun mula layu dan kuyu. Menunggu masuknya Isyak sekitar jam 10:15 malam terasa amat berat sekali. Adakalanya dapat bertahan, namun kerap kali terlelap di sejadah ataupun di sofa. Terpaksalah dikejutkan untuk bangun mengerjakan solat Isyak ataupun bangun sendiri di tengah malam atau awal pagi sebelum terbitnya fajar Sadiq.

Izzuddin dan Solehah terlena di sejadah selepas mengaji Quran
Masuknya waktu solat Subuh kira-kira jam 4:00 pagi. Untuk bangun awal pagi menyentuh air seakan satu penyiksaan. Tambahan pula tidur pun belum terasa puasnya lagi. Hanya kekuatan iman menjadi perangsangnya. Selepas solat Subuh berjemaah biasanya masing-masing kembali semula ke katil. Menyambung nikmatnya tidur sehinggalah jam 7:00 pagi, bersiap diri untuk ke dapur, ke bilik air dan seterusnya ke sekolah.

Begitulah dugaannya di musim panas di perantauan, terlebih bagi seorang Muslim. Kewajiban bersolat tidak mengenal tempat dan suasana. Segalanya bergantung kepada diri sendiri terutama bagi ibu bapa dalam mendidik anak-anak melaksanakan suruhan Allah. Letih, mengantuk dan belas kasihan ada batasannya, bak kata peribahasa Melayu, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Maksudnya, jika sudah menjadi buluh amat susah untuk dibentuk, silap-silap patah jadinya.
Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian,
Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.

Wednesday, December 2, 2009

Balik Malaysia : Dr. Siti Aminah

AlhamduliLlah... Dr. Siti Aminah dan anak-anaknya; Ali Imran, Omar dan Azizah selamat tiba di KLIA kira-kira jam 8:00 malam tadi (waktu Malaysia). Mereka berlepas pulang dari Melbourne Airport jam 3:00 petang (waktu Victoria) menaiki Penerbangan MAS. Kegembiraan yang pasti kerana dapat bertemu suami/ ayah serta anak/ saudara perempuan mereka. Begitulah ketentuanNya.

Bergambar sebelum berpisah. Kak Siti bertudung oren
Jarak waktu hampir setahun bersama terasa begitu cepat sekali berlalu. Disember tahun lepas mereka tiba, seterusnya tinggal sekampung di Dandenong.
Kak Siti mengikuti latihan kerja di Monash University, Nottinghill, satu jabatan dengan Laili. Ali Imran dan Omar bersekolah di Dandenong High School (DHS) di Year 12 dan Year 7. Manakala Azizah pula bersekolah di Dandenong North Primary School (DNPS) di Grade 4. Ali Imran kini sedang menunggu keputusan peperiksaan Victoria Certificate of Education (VCE), peperiksaan yang setaraf dengan STP/ Matrikulasi di Malaysia. Moga berjaya cemerlang hendaknya.

Malam kelmarin mereka bermalam (transit) di rumah kami. Tengahari semalam, mereka bertolak dari rumah kami ke lapangan terbang menaiki teksi. Bukan tiada yang ingin menghantar mereka tetapi ada kemudahan free cab voucher dari Monash University, guna sahajalah. Lebih selesa dan memudahkan semua.

Mereka sekeluarga dilepaskan pergi berserta lambaian kepiluan. Turut bersama beberapa rakan taulan, jiran terdekat yang sudah ibarat keluarga sendiri. Sedih untuk berpisah. Namun segalanya perlu diterima penuh redha. Insya Allah ketemu lagi terutama ketika bertandang ke Kuala Terengganu. Moga persahabatan dan persaudaraan yang sedia terjalin terus kekal selamanya. Itulah harapan semua. Ameen.

Bersama Azhar dan Noma di meja makan
Sebulan sebelumnya, dua keluarga yang baru dikenali pun telah pun berangkat pulang ke tanah air. Keluarga Azhar-Noma yang tinggal di Bandar Bukit Puchong, berlepas pulang pada awal November. Manakala keluarga Talib-Zehan yang tinggal di Bukit Antarabangsa, Hulu Kelang pula pulang di pertengahan bulan November.

Perkenalan yang sedikit terlewat, beberapa bulan sebelumnya, tanpa disangka begitu cepat sekali mesra. Belum sempat mengenali lebih dekat, masing-masing perlu meninggalkan Melbourne, kembali ke tanah air. Harapannya moga dapat bertemu kembali. Moga-moga. Ameen.

Tuesday, December 1, 2009

Hari Keluarga VMPGA

VMPGA adalah singkatan kepada Victoria Malaysian Post Graduate Association. Persatuan khusus untuk para pelajar pascasiswazah Malaysia (Master dan PhD) serta keluarga mereka di Victoria. Ianya ditubuhkan sejak 3 tahun lalu di mana Presidennya sekarang adalah Prof Madya Ustazah Nur Hidayah, pensyarah UiTM Shah Alam.

Puan Presiden sedang menyampaikan ucapan alu-aluan
Pagi Ahad baru-baru ini, VMPGA berjaya menghimpunkan sebahagian besar ahli keluarganya di Jack Roper Reserve Park, Broadmeadows, hampir 60 km dari Dandenong. Perjumpaan Hari Keluarga terbesar yang julung-julung kali ini, dilangsungkan bersekali dengan Sambutan Eid Adha dengan kerjasama perkumpulan komuniti pelajar setempat, antaranya KgVicNth, Desa Bundoora serta Southeastern Group. Majlis dimulakan dengan ucapan Presiden dan bacaan doa oleh Ustaz Khairul Anuar.

Keadaan cuaca yang tidak menentu; hujan, panas, mendung dan angin bersilih ganti sedikit membimbangkan. Namun kehadirannya amat menggalakkan. Perjumpaan yang amat bermakna dalam usaha mengeratkan sillaturahim sesama warga Malaysia di perantauan terutama di kalangan ahli keluarga baru mahupun rakan kenalan yang telah lama tidak bersua muka.

Makan-makan sambil saling kenal mengenali dan beramah mesra tidak kira orang lama mahupun baru, yang jauh ataupun dekat. Dalam kesibukan ibu bapa berukhwah, anak-anak pula disediakan wadah untuk mereka, acara Sukaneka. Ibu bapa pun turut sama menumpang keseronokannya.

Difahamkan lebih 40 ekor lamb telah dikorbankan. Sebahagian besarnya dibahagi-bahagikan, manakala sebilangannya dijadikan BBQ untuk sambutan Hari Keluarga. Sumbangan rakan-rakan KgVicNth yang amat memberangsangkan. Di samping BBQ lamb, nasi beriani ayam-lamb serta pelbagai pilihan kueh mueh adalah antara hidangan yang menjadi rebutan. Konsep kerjasama dan gotong-royong yang sememangnya telah sebati di jiwa orang Melayu direalisasikan penuh semangat kekeluargaan.

Melewati tengahari, hujan lebat turun secara tiba-tiba, berserta angin yang menderu kencang. Kesemuanya berlindung setempat sambil mendengar ucapan penutup dari penghulu setiap kampung/ group dan bacaan doa.
Tahniah kepada VMPGA dan semua yang terlibat dalam menjayakan program Hari Keluarga ini. Moga ada kesimbungannya. Perkembangan semasa Hari Keluarga ini ada disentuh oleh Puan Presiden di dalam blognya, Sekadar Pendapat Hidayah.

Petangnya ada jemputan Sambutan Eid Adha dari KMIV (Kesatuan Melayu Islam Victoria) di Jells Park tetapi kami mempunyai agenda lain. Bersama Azidah, kami ke Austin Hospital menjenguk Kak Rokiah Daud yang sedang mengikuti sesi rawatan fisioterapi selepas menjalani pembedahan paru-paru beberapa bulan lalu. Kak Kiah, antara warga tua Melayu di Victoria yang menjadi responden untuk program penyelidikan Laili, Healthy Ageing amat rapat dengan Laili. Moga Kak Kiah dikurniakan kekuatan untuk mengharungi setiap dugaan dari Allah. Dan didoakan Kak Kiah cepat sembuh. Ameen.

Sunday, November 29, 2009

Sembang-sembang Petang

Hari Jumaat adalah Hari Raya Haji. Petangnya, kami ke rumah Hisham-Zurida di Olive St, Dandenong. Memenuhi jemputan Eid Adha bersama beberapa keluarga Dandenong. Di samping dapat menjamu selera, keseronokan berjumpa mengatasi segalanya. Terlebih lagi bagi anak-anak, peluang yang amat ditunggu-tunggu. Tak makan pun tak apa, asalkan dapat bersua muka.

Petang semalam, kami berkumpul di rumah kami pula. Agenda utamanya, yang lelaki ke rumah Dr. Siti, memunggah barang turun ke garaj untuk diangkut ke rumah kami. Dr. Siti perlu mengosongkan rumahnya sebelum hari Isnin ini sebelum bertolak pulang ke tanah air pada petang Selasanya. Lori yang ditunggu-tunggu tidak tiba-tiba. Rupa-rupanya Pak Cik Leslie (tuan punya lori) lupa nak masukkan temu janjinya dalam diari. Petang ini (Ahad) baru diangkat. Terus sahaja bergerak ke rumah kami.

Di rumah kami, kaum wanita ada agendanya sendiri... sesi belajar mengacau dodol microwave, sifunya Laili, diikuti sesi belajar membuat kueh keria, gurunya Dr. Harlina. Aktiviti rutin kaum ibu yang telah lama terhenti. Perkongsian ilmu dan kemahiran yang amat baik sekali. Berada di perantauan bersama komuniti yang akrab tidak secara langsung dapat menambahkan pengetahuan sampingan. Ada benarnya.

Keadaan cuaca di sebelah petang kurang baik. Hujan lebat membantutkan perancangan untuk makan-makan di laman belakang. Tak kisahlah, di dalam rumah pun tidak mengapa. Cuma sesak sedikit. Makan-makan sambil bersembang.
Keseronokan anak-anak untuk bermain juga sedikit terencat. Tanpa menghiraukan hujan, mereka tetap bermain di padang Oasis, di seberang jalan. Basah lecun. Begitulah anak-anak, suasana yang telah lama ditinggalkan. Kini masa mereka pula dan kita pula berada di posisi ibu dan bapa kita dahulu. Terasa cepat sekali pusingan roda-roda kehidupan. Semakin tualah kita.

Friday, November 27, 2009

Eid Adha di Dandenong

Hari ini Hari Raya Haji @ Eid Adha. Hari nan mulia disambut di serata dunia. Berkebetulan pula pada hari Jumaat, hari penuh barakah, dikatakan ganjarannya Haji Akbar (maaf, tersilap faham - bukannya Haji Akbar kerana wukufnya pada hari Khamis - TK Kak WanMalaya atas info yang amat berguna). Moga mereka dikurniakan Haji Mabrur. Ameen.
Berita hujan lebat dan banjir kilat di Mekah sehari dua sebelumnya benar-benar menginsafkan. Bukan senang untuk mengejar Haji Mabrur. Itu baru sedikit dugaan dariNya.
Meredah hujan di Mekah (Foto dari blog Sdr Azlie @ Mekah)
Kami, rakyat Malaysia di Dandenong mengerjakan solat sunat Eid Adha di Masjid Emir Sultan, Dandenong. Tidak seperti solat sunat Eid Fitr yang dilaksanakan di Monash University di Clayton. Bukannya tiada di sana tetapi lebih selesa untuk bersolat di qariah sendiri.

Solat sunat Eid Adha di Masjid Emir Sultan dilakukan kira-kira jam 6:50 pagi, sejam selepas terbitnya matahari. Anak-anak yang bersekolah pun dapat turut sama mengerjakannya. Izzuddin pun tidak terkecuali. Begitu juga bagi yang bekerja. Masih ada masa.

Majoriti jemaah masjid adalah warga Turki bermazhab Hanafi. Perlaksanaan solat dan takbir rayanya sedikit berbeza dari kebiasaan kita bermazhab Shafie. Perbezaan yang tidak mencacatkan solat dan sambutannya tetapi membuka minda.

Takbir sunat di rakaat pertama solat hanya 3 kali, selepas doa iftitah. Begitu juga pada rakaat kedua, 3 kali takbir selepas bacaan surah sebelum rukuk. Lafaz takbir raya pula sama sahaja. Bezanya ia dilafazkan bersama-sama tanpa ada tukang takbir dan tiada takbir raya penutup (takbir al ahzab).

Oleh kerana Eid Adha nya jatuh pada hari Jumaat, terdapat pandangan yang menggugurkan kewajiban bersolat Jumaat termasuk di kalangan ulama mazhab Shafie. Cukup sekadar solat zohor sahaja. Namun tiada masalah jika ingin mengerjakannya.
Di Masjid Emir Sultan, solat Jumaatnya dikerjakan seperti biasa. Secara peribadi, adalah lebih baik untuk ke masjid dan tunaikan secara berjemaah. Lebih afdhal.. sama-sama berjemaah, menceduk ilmu dari khutbah dan berukhwah sesama Muslim. Menoleh ke belakang, kelihatan banyak saf kosong di bahagian belakang, tidak seperti solat Jumaat setiap minggu. Mungkin itulah pegangan mereka, lebih mudah terutama bagi yang bekerja.

Masjid Emir Sultan, Dandenong (asalnya gereja)
Walaupun hari raya, bagi yang bekerja tetap bekerja seperti biasa. Bagi yang bersekolah pun serupa. Bercuti dibenarkan terutama untuk para pelajar sekolah tetapi permohonan rasmi perlu dibuat oleh ibu bapa atau penjaga. Mereka menghormati hari perayaan komuniti lain walaupun berbeza kepercayaan.
Di kalangan warga Turki, ramai anak-anak sekolah yang bercuti. Namun bagi kami, rakyat Malaysia, anak-anak ke sekolah seperti biasa. Cukuplah mereka merasai kemeriahannya ketika di masjid; bertakbir, bertahmid dan bertasbih memuji Allah SWT. Jika bercuti di rumah pun tidak ke mana perginya.

Teringatkan akan suasana kemeriahan sambutan Eid Adha di tanah air. Selepas solat raya, maka bermulalah aktiviti penyembelihan korban di masjid atau di belakang rumah, melapah, memasak dan menjamu para tetamu. Berhari-hari tidak makan di rumah, ada sahaja jemputannya dari pagi hinggalah ke malam. Jika di Terengganu, masakan gulai kawah adalah hidangan utama. Amat menyelerakan. Tidak jemu dimakan walaupun hampir setiap rumah menyediakan masakan yang serupa.

Salam Eid Adha dari kami sekeluarga di Dandenong, Victoria, Australia.