Sunday, October 14, 2018

Pameran Artifak RasuluLLAH SAW @ TTC

Di penghujung minggu lepas (Jumaat - 05/10/2018), bersama-sama dengan Imran dan 2 sepupunya, Izat dan Iqlima, AlhamdulILLAH... kami telah bersempatan berkunjung ke Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di Hiliran di mana sedang berlangsung Pameran Artifak RasuluLLAH SAW dan Para Sahabat RA.

Pameran ini telah bermula sejak 23 September lalu dan bakal berakhir pada 22 Oktober nanti. 

"Assalamualaikum... Jangan lupa beri salam dan banyakkan berselawat kepada RasuluLLAH SAW, keluarganya dan para sahabat Baginda SAW"

Itulah pesanan utama yang dilontarkan tanpa jemu oleh para petugas kepada setiap pengunjung ketika kami melangkah masuk ke dewan pameran.

Benar sekali... itulah tanda kecintaan dan peghormatan kita kepada Baginda SAW yang amat dikasihi. Ganjarannya amat besar, bakal dirasai ketika di akhirat nanti.

Rambut RasuluLLAH SAW
Darah Bekam Baginda SAW
Dewan pameran artifak ini tidaklah luas mana tetapi setiap khazanah tinggalan RasuluLLAH SAW amatlah berharga sekali. Terasa amat sayu di hati apabila dapat melihat secara dekat sesuatu yang berkait rapat dengan Baginda SAW... antaranya janggut, rambut, darah bekam, bekas tapak kaki, capal, busur-panah, serban, tongkat, tanah maqam, kain penutup maqam, cop mohor dan bekas air zam-zam. 

Wahai RasuluLLAH SAW, syafaatilah kami dengan syafaat agungmu.... Aamiin
Serban RasuluLLAH SAW
Bekas Tapak Kaki Nabi SAW

Di samping itu terdapat juga pedang-pedang para sahabat dan para pejuang Islam, batu dinding Masjid Quba', batu dinding Kaabah, kiswah Pintu Kaabah, kunci Kaabah, permaidani Taman Raudah dan banyak lagi. Difahamkan semuanya ini dibawa terus dari Mekah, Madinah, Syria, Jordan dan India.

Bagi setiap artifak ada keterangan yang disertakan. Ringkas tetapi bermanafaat, sekurang-kurangnya sebagai asas pengetahuan. Selebihnya boleh diselongkar di internet atau pun makalah.
Bekas Kemenyan Uthmani

Kiswah Pintu Kaabah
Kami tiba awal, sebelum pintu dewan dibuka jam 10:00 pagi. Sudah ramai pengunjung berbaris menunggu giliran untuk membeli tiket... RM10 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak. Tiada sepadannya dengan nilaian khazanah tinggalan RasuluLLAH SAW dan para Sahabat RA. Juga sebagai sumber inspirasi dan pendidikan serta pengetahuan bagi mengenali secara lebih dekat kegemilangan tamadun Islam terutama kepada generasi muda sekarang.

Tidak sedar, satu jam setengah begitu cepat berlalu. Bagi Imran... ianya satu kepuasan yang tidak terhingga. Apatah lagi Imran amat meminati bidang sejarah, terlebih lagilah yang berkaitan dengan tamadun Islam.

Lebih menarik lagi, Imran tersua teman baiknya, Asyraf yang telah berpindah sekolah dari Imtiaz Besut ke Imtiaz Kuala Terengganu sejak awal tahun lepas.

Akhirkata... sama-samalah kita berselawat ke atas Baginda SAW dan keluarganya serta para sahabatnya, Moga kita semua sentiasa dirahmati dan diberkati ALLAH SWT. Aamiin.

Bagi yang berada di sekitar Kuala Terengganu, rugi rasanya kalau tak pergi....

No comments: