Sunday, August 12, 2018

California > Penerbangan SFO-HKG-KUL

Penerbangan Cathay Pacific dari San Francisco International Airport (SFO) ke Hong Kong International Airport (HKG) dijadualkan berlepas jam 1:00 pagi, 19-Jun-2018. 

Kami tiba di SFO sekitar jam 6:30 petang. Bagasi yang dibawa telah beranak-pinak - dari 2 beg 1 kotak menjadi 3 beg 5 kotak - sebahagiannya barangan Iddin dan kawannya. Tidak mengapa... masih tidak melangkaui berat keseluruhan yang dibenarkan (150 kg). Hanya 2 beg besar yang dibungkus plastik kerana cajnya sedikit mahal, USD 11/beg. Selebihnya tawakal sahaja, moga semuanya sampai dalam keadaan baik. Aamiin.

Menunggu dan menunggu,,,,
Jam 9:00 malam, kaunter check-in ke HKG dibuka. Kami telah pun check in lebih awal di kiosk dan boarding pass pun telah pun di tangan. Hanya bagasi yang ditolak masuk...

AlhamdulILLAH tiada lagi beban untuk dibawa. Solat jamak qasar juga telah ditunaikan. Tiada apa yang nak dilakukan, sekadar duduk-duduk bersama Iddin yang juga sedang menunggu masa untuk berlepas ke Chicago pada jam 12:30 pagi.

Jam 11:00 malam, kami mula berbaris panjang untuk melepasi pemeriksaan kastam yang agak cerewet. Kasut/ alas kaki serta sweater/ pakaian luar perlu ditanggalkan dan diletakkan bersama barangan yang perlu diimbas. Kaum hawa pula diperiksa oleh petugas wanita termasuk imbasan tudung. AlhamdulILLAH tiada halangan. Begitu juga dengan pemeriksaan imigresen.

Bye-bye Iddin... In shaa ALLAH 3 minggu lagi ketemu di tanah air.

San Francisco - Hong Kong

Hong Kong dari udara
Penerbangan Cathay Pacific A350-900 (seat 3+3+3) berlepas sekitar jam 1:00 pagi 19/06/2018 (waktu California). AlhamdulILLAH penerbangan hampir 14 jam selamat tiba di Hong Kong International Airport kira-kira jam 5:30 pagi 20/06/2018 (waktu Hong Kong/Malaysia). Rata-rata penumpangnya berwajah Cina.

Berselera... MMO
Menariknya penerbangan kami adalah menongkah masa. Sehingga tiba di Hong Kong kami hanya perlu tunaikan solat Subuh sahaja kerana masuknya waktu Subuh selepas 4 jam berlepas.  AlhamdulILLAH... itu rezeki namanya.

Tentang makanan pula, kami dihidangkan dengan 2 kali makan. Istimewanya diberikan layanan terawal kerana menempah Muslim Meals (MMO). AlhamdulILLAH...

Di sepanjang penerbangan, beberapa kali kapal terbang bergegar sehingga diarahkan berada di tempat duduk masing-masing. Hanya kepada ALLAH SWT kami berdoa dan berserah agar semuanya selamat.

Hong Kong - Kuala Lumpur

Ralit dengan gajet...
Di Hong Kong Airport, hampir 2 jam 'terconggok' di kawasan menunggu terasa amat membosankan. Syukurlah ada Wifi percuma sebagai penghibur diri.

Ramai betul penumpangnya sehinggakan barisan mengarah ke Gate 521 bagaikan ular dipalu. Majoritinya adalah warga emas keturunan Cina. Tidak hairanlah Malaysia menjadi tumpuan mereka kerana seringkali kami tersua pelancong Cina di merata lokasi pelancongan di sekitar Putrajaya.

Penerbangan Cathay Dragon A330 (seat 2+3+2) selama 3 jam 20 minit berlepas kira-kira jam 8:30 pagi, AlhamdulILLAH selamat mendarat di KLIA pada jam 11:50 pagi. Tiada layanan istimewa untuk hidangan makanan - perlu ikut giliran kerana semuanya halal.

Syukur... setinggi-tinggi kesyukuran tidak terhingga ke hadrat ILLAHI. Semuanya selamat.

Berbanyak terima kasih kepada ipar, Eusni dan anaknya, Arif yang datang menjemput kami. Penatnya amat terasa. Sampai di rumah @ Hulu Kelang, semuanya terlelap...zzZZzz... sedar-sedar dah pun pukul 8:00 malam. Bergegas bangun untuk solat Maghrib dan Isyak.

No comments: