Monday, July 31, 2017

Salam Untuk Tetamu ALLAH

Musim haji datang lagi. Setiap tahun, pada tanggal 1 Zulkaedah, para jemaah haji Malaysia akan mula berangkat menuju ke Tanah Suci Madinah al Munawwarah dan Mekah al-Mukarramah. 

Pada tahun ini, 24 Julai adalah tarikhnya. Selama sebulan ini, seramai 30,200 jemaah bertali arus meninggalkan bumi Malaysia semata-mata menyahut jemputan istimewa dari ALLAH SWT sebagai tetamuNYA untuk menunaikan ibadah haji. ALHAMDULILLAH atas anugerah yang tiada tandingan nilainya ini. TAHNIAH... kalian adalah hamba-hambaNYA yang terpilih.

Rindukan Baitullah...
Di saat ini, terimbaulah segala kenangan pahit-manis kami ketika berada di Tanah Suci pada musim haji tahun 2012M. Dengan Penerbangan KT03, kami adalah antara jemaah haji Malaysia terawal tiba di Madinah. Juga antara yang terawal meninggalkan Mekah.

Selama 8 hari di Madinah, diikuti 38 hari pula di Mekah, terlalu banyak pengetahuan, pengalaman dan pengajaran yang dilalui. Segalanya menambahkan lagi rasa rindu untuk bertandang lagi ke bumi nan barakah tersebut. Moga impian kami tertunai hendaknya. Ameen.

Kepada para jemaah haji semua, didoakan moga kalian dikurniakan kesihatan yang baik, kekuatan jasmani dan rohani untuk merebut setiap peluang dan ruang yang ada bagi mendekatkan lagi diri kepada ALLAH SWT.

Masih segar di ingatan kami akan pesanan para ustaz dan ulama' apabila menyentuh soal ibadah termasuk Haji. Kata mereka, MATLAMAT IBADAH adalah untuk mendapat REDHO ALLAH SWT yang menghasilkan TAQWA. Maka jalannya adalah dengan ILMU dan AMAL.

Dataran Masjid Nabawi - Pintu Wanita
Benar apa yang dikatakan... Tanpa ilmu, amalnya menjadi songsang dan tiada nikmatnya. Jika beramal pun sekadar ikut-ikutan atau mengikut selera sendiri.. dikhuatiri sesat jadinya. Pandangan kami, berusahalah mendalami ilmu terutama berkaitan haji, umrah, solat dan seumpamanya walau di mana berada hatta di Tanah Suci. Moga kalian dipermudahkan... Ameen.

Ketika di Tanah Suci, pertingkatkanlah segala amal kebaikan dan kebajikan seperti berlama-lamaan beriktikaf di Masjidil Nabawi dan Masjidil Haram, berebut saf hadapan, mengambil peluang menuntut ilmu, perbanyakkan solat sunat-tawaf sunat-puasa sunat, kerap mengerjakan umrah, berusaha khatam Al-Quran sebanyak mungkin termasuk terjemahannya, sentiasa bersedekah, saling bantu membantu walaupun di kalangan jemaah yang tidak dikenali dan apa sahaja amalan baik yang mampu dilakukan. 

Elakkan diri daripada bermalas-malasan, membuang masa termasuk di tempat membeli belah, bersolat di bahagian belakang atau di dataran, bercampur lelaki perempuan di dalam saf dan berbagai lagi perkara-perkara yang lagho dan syubhah, apatah lagi yang membawa kepada haram.

Seusai Tawaf Umrah Pertama
Ingatlah... kalian berada di bumi barakahnya berganda... maka usah dipersia-siakan. Amat-amat-amatlah rugi kiranya tidak direbut. Mungkin inilah kali terakhir kalian mendapat peluang keemasan yang amat didambakan oleh orang lain.

Tidak dinafikan banyak kesulitan yang bakal timbul. Itulah cabaran dan ujiannya. Berusahalah untuk mengatasinya sedaya mungkin. Jadikan imbalan pahala berganda sebagai motivasi dan inspirasi diri. Inshaa ALLAH segalanya akan dipermudahkanNYA. Akhirannya adalah kepuasan diri yang membahagiakan. Jika tidak, hanya penyesalan yang tiada gunanya lagi.

Akhir kalam... Selamat Beribadah.. Moga kalian dirahmati dan diredhoi ALLAH SWT, selanjutnya dianugerahi dengan Haji dan Umrah Nan Mabrur. Ameen.

Jika sudi... mohon sampaikan salam takzim kami kepada junjungan mulia, RasuluLLAH SAW dan mohon doakan moga tercapai segala hajat, permohonan dan impian kami.

Usah dilupakan doa kesejahteraan untuk saudara-saudara kita dan para pejuang Islam di negara-negara bergolak seperti Palestine, Syria, Mesir, Myanmar dan lain-lain negara. Moga Islam menjadi Rahmat Seluruh Alam (Rahmatallil 'aalameen). Ameen.

Friday, July 21, 2017

Cuti2 Malaysia > Muzium Telekom

Beredar dari Pameran Raja Kita di Muzium Diraja, kami terus ke Muzium Telekom di persimpangan Jalan Raja Chulan dan Jalan Gereja. Itulah antara idaman Imran sejak dahulu. Akhirnya termakbul juga. AlhamduliLLAH.

Kami menjangkakan ada ruangan parkir yang disediakan untuk pelawat muzium, rupa-rupanya tiada. Berpusing-pusing kami mencari tempat parkir di sekitarnya.. jumpalah yang paling dekat... RM5.00/jam. Aduhai mahalnya..! Apakan daya... inikan Bandaraya Kuala Lumpur..! Target kami.. sesi lawatan perlu dihabiskan dalam masa sejam untuk mengelakkan tambahan caj parkir yang pastinya juga mahal..

Muzium Telekom, asalnya bangunan ibusawat telefon manual jenis central battery yang mula beroperasi pada tahun 1928. Ianya dilengkapi ruang kabel bawah tanah dan susun atur lantai bagi memuatkan kelengkapan peralatan telekomunikassi di zaman itu.

Bangunan 3 tingkat bercirikan senibina Greek dengan gaya binaan neo klasik kurun ke-19 ini tampak agak unik dengan adanya deretan  8 tiang ionia yang diapit oleh 2 menara. Ianya dibuka secara rasmi sebagai Muzium Telekom pada 3 Jun 1994.

Terdapat 2 galeri utama iaitu Galeri Sejarah di Aras 1 dan Galeri Moden di Aras 2 yang dipersembahkan secara interaktif, unik dan menarik bagi menggambarkan kewujudan sistem komunikasi sejak era pra sejarah sehinggalah berkembang ke era moden.

Hakikatnya sistem komunikasi telah pun bermula sejak diciptakan alam ini di mana ianya berlaku secara tabii. Setelah terciptanya manusia, maka terciptalah juga sistem komunikasi sesama mereka. Semuanya itu aturan ALLAH SWT.

Namun untuk catatan sejarah, sistem komunikasi mula dikesan dengan terjumpanya lakaran-lakaran pada dinding-dinding gua.

Di Malaysia, ianya ditemui di Gua Tambun, Perak sekitar 500 Tahun Sebelum Masihi. Begitu juga dengan Batu Bersurat di Terengganu (Tahun 1303 Masihi). Sampan, gajah dan merpati juga sebahagian daripada sistem komunikasi awal, termasuklah juga ketuk-ketuk.

Sistem telekomunikasi moden mula bertapak di negara kita sekitar tahun 1870an dengan terciptanya telegraf (Morse Code).

Seterusnya perkhidmatan telefon semakin berkembang mulai tahun 1928 setelah terbinanya ibu sawat telefon manual. Ketika ini khidmat telefonis digunakan untuk menyambung panggilan sebelum era telefon digital mengambil tempat selepas tahun 1985.

Era penyiaran melalui sistem radio pula diperkenalkan pada tahun 1936 dan diperkemaskan lagi dengan sistem gelombang mikro pada tahun 1958, seterusnya stesen televisyen pertama mula beroperasi pada tahun 1963.

Kesemua imbauan sejarah secara berperingkat ini dapat diselusuri seawal kaki melangkah masuk ke Aras 1. Perhatikan dengan teliti perkembangannya untuk mendapat gambaran yang jelas sejarah telekomunikasi, khususnya di negara kita dan di dunia amnya. Apatah lagi sebahagian besarnya tidak sempat dilalui oleh generasi muda sekarang.

Di Galeri Moden pula suasananya amat berbeza sekali. Para pengunjung pasti terpegun melihat persekitarannya yang tampak hidup dan meriah. Turut dipamerkan di sini ialah produk-produk dan perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan oleh Telekom Malaysia.

Dengan teknologi telekomunikasi (termasuklah internet) yang terus berkembang pesat, terciptalah perlbagai inovasi canggih yang segalanya bagaikan di hujung jari sahaja. Selebihnya tidak perlulah diperincikan kerana masing-masing sedang terkesan dengan tempiasnya.

Tidak dinafikan, kini sistem telekomunikasi adalah suatu keperluan. Cuma ledakan maklumat tanpa sempadan ini memerlukan jati diri dan keimanan yang jitu. Baik dan buruk bercampur baur. Ianya boleh membawa kita ke syurga atau menjerumuskan kita ke neraka. Tepuk dada tanyalah apa yang diinginkan... Segalanya terletak pada diri sendiri.

Renung-renung dan fikir-fikirkanlah...

AlhamduliLLAH... walaupun sedikit tergesa-gesa kerana mengejar masa tetapi banyak perkara yang boleh dipelajari dan diimbas kembali. Sebahagian tinggalan sejarahnya sempat saya lalui dan alami. Segalanya tinggal kenangan. Itulah perlunya muzium seumpamanya.

Moga ada manafaatnya...

Thursday, July 20, 2017

Cuti2 Malaysia > Pameran Raja Kita

Sempena pertabalan Sultan Muhammad V sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke-15 pada 24 April lalu, bertempat di Balairong Seri, Muzium Diraja telah diaturkan Pameran Raja Kita. Tujuannya bagi memperkenal dan merapatkan lagi hubungan Baginda Tuanku dengan rakyat jelata.

Turut sama dipaparkan adalah Sistem Pemerintahan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang mempunyai kuasa, fungsi dan ciri-ciri istimewa yang tersendiri. 

Pameran ini berlangsung dari 2-Mei-2017 hingga 4-September-2017. Bagi yang belum berkesempatan singgah, masa masih ada.... dipersilakan. 

AlhamduliLLAH... ketika cuti persekolahan di awal bulan Jun baru-baru ini, berdua dengan Imran... kami berpeluang menyaksikan pameran ini. Sekaligus singgah di Muzium Diraja buat kali kedua. Di muzium tiada apa kelainannya... cuma di lobi utama dipindahkan sementara kelengkapan dari Balairong Seri sempena Pameran Raja Kita ini.

Sultan Muhammad V, Tuanku Sultan Kelantan amat dikenali sebagai seorang raja yang amat sederhana corak kehidupan hariannya dan sentiasa dekat kepada rakyat. Turut sama diketengahkan penglibatan Tuanku Sultan dalam sukan dan rekreasi serta sumbangan baginda dalam bidang pendidikan.

Sebahagian koleksi peribadi Tuanku Sultan juga turut disajikan seperti Al-Quran, rehal, jubah, set sukan menyelam, peralatan memanah, pelana kuda sukan polo, go kart dan basikal riadah.

Sebahagiannya lagi adalah berkaitan dengan sejarah institusi raja, kaedah pemilihan dan perlantikan, istiadat pertabalan, perkembangan Majlis Raja-Raja dan tugas-tugas rasmi Yang Di-Pertuan Agong.

Juga dipamerkan Alat-Alat Kebesaran Diraja, antaranya cokmar, cogan alam, cogan agama, keris pendek dan keris panjang serta Pakaian Istiadat Pertabalan seperti muskat, tengkolok, pending dan keris.

Koleksi Setem Pertabalan, Surat Pengisytiharan Majlis Raja-Raja, Surat Sumpah Jawatan, Cop Mohor Diraja, Peti Undi, Kertas Undi, Tempayan Pembakaran Kertas Undi, manuskrip Misa Melayu dan Taj Al-Salatin serta Sejarah Negeri Kelantan  adalah sebahagian lagi bahan pameran yang turut diketengahkan.

Walaupun Pameran Raja Kita ini agak ringkas tetapi banyak ilmu pengetahuan yang mampu dicedok ke arah lebih memahami sistem beraja di negara kita.

Bagi Imran, ianya suatu perkara yang baharu. Selama ini hanya digambarkan dari bacaan buku teks atau makalah tetapi kini dapat dilihat secara realiti dengan penerangan yang lebih jelas dan terperinci.

Moga-moga ada manafaatnya.

Wednesday, July 19, 2017

Penutup Program Asasi Ulul Albab SM Imtiaz

Anak bongsu kami, Imran sekarang di SM Imtiaz Besut.  Baru 6 bulan di Tingkatan 1. Selama 6 bulan tersebut, semua pelajar diwajibkan mengikuti Program Khas Asasi  Ulul Albab. Bukan sahaja di SM Imtiaz Besut tetapi di kesemua 8 buah SM Imtiaz Yayasan Terengganu di seluruh Terengganu (setiap daerah sebuah SM Imtiaz).

Imran Bersama Guru-Guru dan Rakan-Rakan SM Imtiaz Besut Di Ruangan Pameran
Program Khas Asasi Ulul Albab ini bertujuan memberikan penekanan kepada para pelajar dalam aspek Al-Quran, Bahasa Arab dan Personaliti bagi pembentukan Anak-anak Soleh Pintar.  Ketiga-tiga aspek ini adalah teras kepada 3 komponen utama dalam visi dan misi melahirkan Generasi Ulul Albab iaitu Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik.

Pada awal minggu lepas, kesemua 625 pelajar Tingkatan 1 SM Imtiaz berkumpul di SM Imtiaz Kemaman bagi meraikan Majlis Penutup Program Khas Asasi Ulul Albab bagi tahun 2017. 

Di samping ucapan oleh Pengarah Yayasan Terengganu dan perasmian oleh Exco Pendidikan, Sains dan Teknologi Negeri, turut sama berlangsungnya Majlis Anugerah Untuk Para Pelajar dan Guru yang dikategorikan mengikut sekolah masing-masing.

Anugerah Hafazan Terbaik (L)
AlhamduliLLAH... dan TAHNIAH untuk Imran kerana berjaya mendapat salah satu anugerah - Anugerah Hafazan Terbaik (Lelaki). Moga ALLAH sentiasa mengurniakan yang terbaik untuk Imran, bukan sahaja dalam hafazan tetapi di semua bidang lainnya... Aameen.

AlhamduliLLAH... kami berdua berkesempatan turut sama meraikan kejayaan Imran di SM Imtiaz Kemaman. Ianya sebagai sokongan moral untuk Imran atas setiap pengorbanannya selama ini terutama terpaksa berjauhan daripada keluarga di saat rakan-rakan sepengajian lain saban minggu dapat bersua muka dengan ibu bapa mereka.

Dari Puchong, kami bertolak sebelum Subuh, menyinggah solat di Hulu Kelang sebelum meneruskan perjalanan ke Kemaman dan tiba sekitar jam 9:15 pagi. Masih awal... dapatlah kami berjumpa dengan Imran yang sedang bersiap sedia di meja pameran serta beramah mesra bersama guru-guru pengiring dan rakan-rakan sepengajiannya.

Selepas melepaskan kepulangan Imran ke Besut bersama rombongan 3 buah bas sekitar jam 4:00 petang, kami bertolak pulang ke Puchong. AlhamduliLLAH... kami selamat tiba kira-kira jam 8:00 malam, manakala rombongan SM Imtiaz Besut pula dimaklumkan tiba sebelum masuknya waktu Maghrib.

Monday, July 17, 2017

Tinggal Berdua...

Salam Syawal untuk semua pengunjung Salam Monash. 

Macam mana dengan puasa sunat 6 hari di bulan Syawal ni... dah cukup ke belum? Seminggu lagi berbaki... usahakanlah yang terbaik. Jadikan ganjaran pahala yang menyamai setahun berpuasa (lanjutan daripada puasa sebulan Ramadhan) sebagai motivasi dan inspirasi demi mendapatkan redha ILLAHI. Tidak nampak di dunia tetapi yakinlah akan keberuntungannya di akhirat. Itukan janji ALLAH SWT...

Kenangan... Raya 2016
MAAF... lama kami tidak bersiaran. Bukan tiada masa tapi tiada semangat untuk menulis. Setiap kali teringatkan blog ni kosong tanpa entri... maka timbullah keinginan untuk mencoretkan sesuatu tetapi sering kali itu pula tewas dek semangat yang merudum jatuh... Aduhai semangat... semangat...!

Sejak awal tahun ini kami telah pun berpindah rumah... berhijrah dari Hulu Kelang ke Puchong... berjarak sekitar 40km. Selama ini kami tinggal bersama emak dan abah serta adik-adik.

Sememangnya telah lama kami menyimpan hasrat tinggal di Puchong... di rumah sendiri tetapi tertangguh selama 6 tahun... semata-mata bagi memastikan pembelajaran anak-anak di sekolah asal mereka di Hulu Kelang tidak terganggu dek persekitaran yang baru.

Setelah seorang demi seorang tamat persekolahan mereka di Hulu Kelang dan meneruskan pengajian di sekolah berasrama penuh/ institusi pengajian tinggi, barulah tercapai hajat untuk berpindah rumah. AlhamduliLLAH...

Kenangan.... Dandenong, Australia
Cuma kini kami terasa kesunyian tanpa anak-anak bersama. Semuanya tiada di depan mata. Izzuddin kini di California, USA... In shaa ALLAH setahun lagi tamatlah pengajiannya. Hanisah pula baru mendaftar masuk ke Program Ijazah di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS). 

Solehah kini di MRSM Kota Putera, Besut.. sedang menghitung hari bagi menghadapi SPM di penghujung tahun ini. Manakala Imran juga di Besut... baru 6 bulan (Tingkatan 1) di SM Imtiaz Besut.

Terasa cepatnya zaman kanak-kanak mereka berlalu. Itulah roda kehidupan.

Maka setiap hari tinggallah kami berdua di rumah. Tidak dinafikan akan hadir rasa sunyi dan rindu kepada anak-anak. Maka telefon, WhatsApp dan Skype-lah yang menjadi pengubatnya. AlhamduliLLAH.... Di penghujung minggu pula adalah teman tambahan... Hanisah.

Semuanya ini adalah pengorbanan dalam mencorak rencah kehidupan yang lebih bermakna di masa hadapan anak-anak terutama dari sudut disiplin diri, berdikari dan ketahanan diri. Dengan kehidupan persekitaran berasrama penuh dan jauh dari keluarga, In shaa ALLAH kami yakin ianya mampu mengubah diri. Memanglah terasa pilu di hati tetapi segalanya perlu dilalui. Itulah pandangan dan pegangan kami... 

Moga rahmat ALLAH SWT sentiasa bersama kita... Aamiin.