Tuesday, January 31, 2017

Cuti2 Malaysia > Muzium Daerah Dungun

Pada petang 06 Disember, 2016 lalu kami turun ke Dungun, Terengganu dan menginap di Teluk Lipat Seaview Inn - betul-betul menghadap ke laut lepas. Tujuan kami ke Dungun adalah mengiringi Imran menghadiri temuduga kemasukan ke SM Imtiaz Yayasan Terengganu bertempat di SM Imtiaz Dungun pada keesokan paginya.

Muzium yang lenggang...
Sebenarnya Dungun bukanlah yang tempat asing bagi kami berdua. Dahulu saya pernah belajar di SM Sains Dungun dan ITM (Institut Teknologi MARA) - kini UiTM. Manakala Laili pula pernah berkerja di Bandar Dungun dan Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) juga di Dungun. Itu lebih 20 tahun lalu. Sekarang telah banyak perubahan ketara... lebih moden dan tersusun.

Jadi, hadirnya kami ke Dungun bagaikan mengamit kenangan silam. Lebih manis lagi, Laili sempat berjumpa dengan rakan karibnya yang berpisah kira-kira 20 tahun lalu, Adibah yang kini telah pun menetap di Teluk Lipat, Dungun. AlhamduliLLAH... kami makan malam di Medan Ikan Bakar di muara Sungai Dungun Terima kasih Adib..!

Antara tarikan di Dungun
Sesi temuduga di SM Imtiaz Dungun berakhir sekitar jam 11:30 pagi. Masih ada masa untuk memenuhi permintaan Imran untuk berkunjung ke Muzium Daerah Dungun yang terletak beriringan Jalan Pantai Sura menuju ke Kuala Dungun.

Muzium Daerah Dungun adalah sebuah muzium yang terdapat di daerah Dungun, Terengganu. Sebagaimana lain-lain muzium, fungsinya sama - memberi penerangan dan mempamerkan artifak sejarah daerah Dungun dam sekitarnya.

Muzium ini telah dibuka secara rasmi pada 19 Ogos, 2008. Asalnya ia sebuah rumah kediaman Penasihat British yang dibina pada tahun 1941. Seterusnya menjadi kediaman rasmi Pegawai Daerah. Sememangnya ada nilai sejarah tersendiri tetapi perlu diberikan perhatian khusus kerana tampak agak suram dan uzur. Ada baiknya jika dapat dipindahkan ke bangunan yang lebih cantik dan menarik minat pengunjung.

Antara artifak lama
Lebih menyedihkan, ketika kunjungan kami, langsung tiada pengunjung selain kami. Malah tiada penjaga kaunter yang mengalu-alukan pelawat. Yang ada hanya seorang pengawal keselamatan.

Terdapat 2 tingkat di Muzium Daerah Dungun. Di Tingkat Bawah terdapat kisah sejarah muzium, penemuan unik di Dungun; antaranya pokok cengal terbesar dan spesis ikan terkecil di dunia serta tempat-tempat menarik di Dungun. 

Manakala di Tingkat Atas pula berkaitan dengan sejarah awal Dungun, aktiviti arkeologi di Ulu Dungun dan Kg. Pasir Raja, penemuan pelbagai artifak lama, perlombongan bijih besi di Bukit Besi, perkembangan pendidikan, pengangkutan air dan seni budaya hidup masyarakat setempat.

Teruja dengan penemuan Kapal Wanli
Bagi kami, barangan yang paling menarik dipamerkan di Muzium Daerah Dungun adalah artifak yang diambil dari bangkai kapal Wanli yang telah dijumpai di luar Pantai Tanjung Jara pada tahun 1997 oleh nelayan tempatan. 

Hasil kajian mendapati kapal yang membawa artifak ini berasal dari Jingdezhen, China dan digunakan semasa Dinasti Ming oleh pemerintahan Maharaja Wanli  antara tahun 1573-1620 Masihi.

Tidak lama kami di Muzium Daerah Dungun ini. Namun terlalu banyak nilaian sejarah kehidupan yang dapat dihayati dan dipelajari. Segalanya aturan ALLAH SWT yang akhirnya terserlah keagunganNYA yang Maha Berkuasa dan betapa kerdilnya kita sebagai hambaNYA. 

SubhanaLLAH... ALLAHu Akbar...!

Saturday, January 28, 2017

Cuti2 Malaysia > Lumut, Perak

Percutian kami di Swiss-Court Holiday Apartment Damai Laut adalah selama 3 hari 2 malam, dari 24 Disember hingga 26 Disember 2016. 

Sebelum ini, kami pernah beberapa kali menginap di sini, juga di Swiss Garden Hotel... tidak jauh daripadanya. Dah jadi ahli, kenalah gunakan peluang dan kemudahan yang diberikan. Cuma perlu dibuat tempahan awal untuk mengelakkan kekecewaan dan melancarkan perancangan.

Sebelum ini, di samping bersantaian di Swiss Garden, kami akan jelajah kawasan persekitaran Lumut, di mana sahaja tempat-tempat menarik untuk dilawati. Kali ini sedikit mengecewakan kerana terdapat beberapa tempat ditutup.

Sebagai peminat bahan sejarah, kami teruja sekali singgah di Muzium Siput, Teluk Batik tapi kelihatan terbiar sahaja. Rupa-rupanya telah tidak beroperasi sejak 5 tahun lalu. Sementara Muzium TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia) yang terletak di atas kapal KD Rahmat di Lumut Waterfront juga ditutup - mungkin kerana cuti Hari Krismas. Aduhai... tiada rezeki kali ini. Namun... terhibur juga hati berjalan-jalan di sekitar waterfront dengan pelbagai ukiran yang menggambarkan Lumut sebagai Bandar Tentera Laut.

Panorama Hutan Paya Bakau
AlhamduliLLAH... Taman Paya Bakau di Jalan Ipoh-Lumut tidak ditutup. Banyak sekali kelibat monyet-monyet yang bergayutan mahupun bersantaian di dahan pokok dan di palang laluan pejalan kaki yang dibina merentasi hutan berpaya ini. Kepada para pengunjung, diperingatkan jangan sesekali menyuakan makanan kepada monyet dan setiap barangan seperti beg tangan perlu diawasi  daripada dicapai sang monyet.

Difahamkan Taman Paya Bakau yang dibuka sejak tahun 1995 ini mempunyai laluan sepanjang kira-kira 360 meter. Malangnya tidak sampai pun 100 meter dibuka. Mungkin atas sebab-sebab keselamatan atau sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Itu pun sudah memadai untuk menghayati suasana hutan paya bakau seperti jenis pokok, keadaan akar dan pelbagai hidupan lain yang turut menyumbang kepada pengekalan ekosistemnya.

Suasana Jeti Awam Damar Laut
Pada kali ini kami sempat juga menyinggah di Jeti Awam Damar Laut - penemuan yang tidak disangka-sangka kerana lokasinya jauh dari jalan besar.

Terdapat perkhidmatan bot untuk ke Pekan Lumut. Dari jeti jelas kelihatan pelabuhan dan pangkalan Tentera Laut. Pemandangan sekitarnya juga amat tenang dengan olengan sampan di dada air yang tenang beralun.

Kami juga berpeluang menghirup kedamaian Pantai Teluk Senangin di saat matahari mula terbenam di penghujung laut. Cahaya kemerah-merahan yang beransur-ansur hilang berganti malapnya benar-benar memukau pandangan. SubhanaLLAH... betapa agung dan indahnya ciptaanMU.

Ketika di apartment, Imran tidak lepaskan peluang ke kolam renang. Ayah yang temankan Imran pun turut sama. Seronok sekali berendam, berenang dan menyelam. Namun cepat sekali terasa letihnya dek dah lama tidak ke kolam.

Mengorek Remis di Pantai Swiss Garden
Menurut Imran, saat paling seronok ketika percutian ini adalah bersantaian di Pantai Swiss Garden bersebelahan hotel. Bukannya seronok bermain air laut tetapi seronok mengumpul remis di gigi air. Banyak sekali. Tidak payah beralih tempat, korek sahaja pasir pasti ada. Tidak sampai pun sejam telah pun penuh 4 botol air mineral - 1 botol 1.5L dan 3 botol 500ml = 3L. Semuanya dimasak di dapur apartment, AlhamduliLLAH... murah rezeki.

Beredar pulang menuju ke Kuala Lumpur, kami cuba bertanyakan 'Uncle Waze'... mengejutkan.. dari Swiss Garden, Lumut diarahkan ke Taiping melalui Jln Terong sebelum melencong ke Lebuhraya PLUS di Changkat Jering. Ikut sahajalah...mungkin ada hikmahnya.

AlhamduliLLAH... kami ditemukan dengan Musolla Darul Solehah di Batu 8, Changkat Jering. Difahamkan di sekitarnya dibangunkan pondok-pondok moden untuk anak-anak tahfiz dan juga orang dewasa yang ingin mendalami agama. Di seberang jalannya terdapat Restoran Hassanida, antara menunya adalah Nasi Arab. Di situlah kami singgah untuk makan tengahari sebelum solat jamak qasar di musolla.

AlhamduliLLAH... kami selamat tiba di rumah sekitar jam 10 malam. Perjalanan yang agak perlahan dek kesesakan teruk di Lebuhraya PLUS.

Wednesday, January 25, 2017

Cuti2 Malaysia > Menara Condong Teluk Intan

Ketika cuti Krismas baru-baru ini, kami sekeluarga telah ke Lumut, Perak. Kami bergerak dari rumah di Saujana Puchong sekitar jam 10:30 pagi. Sebelum tiba di Lumut, hasrat kami adalah ke Teluk Intan, Perak - bandar kecil di Hilir Perak di mana Laili pernah bermukim ketika di awal alam pekerjaannya kira-kira 25 tahun dahulu.

Sekitar jam 12:00 tengahari, kami tiba di Masjidut Taqwa di Kg Padang Tembak, Teluk Intan. Menurut seorang teman WhatsApps, di belakang masjid terdapat Warung Cendol Teluk Intan yang terkenal dengan pelbagai cita rasa cendol, laksa dan sup. Itulah juadah makan tengahari kami.  Ianya dibuka setiap hari (kecuali Isnin) dari jam 11:30 pagi - 6:00 petang sahaja dan ditutup ketika waktu solat. AlhamduliLLAH... ada barakahnya.

Sedikit Condong ke Barat Laut
Menjengah masuknya waktu Zohor, kami singgah solat jamak-qasar di Masjid Daerah Sultan Idris II. Menariknya... bersebelahan masjid adalah Gereja St. Paul... pandangan yang harmoni dalam masyarakat berbeza agama, budaya dan cara hidup.

Tumpuan utama kami di Teluk Intan adalah mercu tanda kebanggaannya - Menara Jam Condong Teluk Intan ibarat Menara Condong Pisa di Itali. Menara yang berketinggian 25.5 meter ini dibina pada tahun 1885 berbentuk pagoda (senibina Cina) kerana majoriti penduduknya ketika itu berbangsa Cina.

Pada pandangan luaran, ianya adalah bangunan 8 tingkat tetapi hakikatnya hanya 3 tingkat sahaja. Setiap tingkat berketinggian 5 meter dan terdapat kira-kira 110 anak tangga kesemuanya.  Pada dindingnya terutama di Tingkat 1 dihiasi gambar-gambar bersejarah berkaitan Menara Condong dan juga Bandar Teluk Intan yang dahulunya dikenali sebagai Teluk Anson. 

Masuklah... tiada sebarang bayaran dikenakan. Cuma dialu-alukan untuk menulis nama pada Buku Pelawat di pintu masuk.

Di tingkat paling atas di tempatkan sebuah tangki air yang besar, berukuran 15 meter tingginya dengan kadar muatan air 18.4 meter padu. Tujuannya untuk kecemasan seperti kemarau dan kebakaran.

Galeri Sejarah Menara Jam Condong
Difahamkan punca kecondongan menara jam ini adalah disebabkan oleh tanahnya yang lembut dan juga pernah ditenggelami banjir besar antara tahun 1889 dan 1895. Apakah fenomena condong ini masih berlaku walaupun perlahan? Ditambah pula oleh  beratnya tangki air yang ditampung.

Apabila dibayangkan... terasa amat menggerikan... Moga-moga segalanya di bawah pengawasan dan pemantauan berterusan dari pihak berkuasa.

Kami berkesempatan menapak ke setiap tingkat sambil meninjau persekitaran Bandar Teluk Intan dari beranda di tingkat-tingkat berkenaan. Diharapkan bangunan bersejarah ini akan terus terpelihara sebagai salah sebuah monumen terkenal di tanah air - kekal terus selamanya sebagai warisan kepada generasi akan datang.

Hampir setengah jam di Menara Condong, kami meneruskan perjalanan kami ke Swiss Garden Apartment, Damai Laut di mana kami akan menginap selama 3 hari 2 malam. 

Tuesday, January 24, 2017

Terima Kasih Cikgu..!

Guru adalah insan yang teramat banyak berjasa dalam kehidupan setiap orang. Walau siapa pun kita, jasa bakti seorang guru tiada taranya. Tiada siapa dapat menafikannya. Tanpa guru tiada ertinya kehidupan ini.

Secara umum, guru merujuk kepada sesiapa sahaja yang memberi didikan dan tunjuk ajar dengan tujuan menjadikan diri seseorang itu lebih baik di masa hadapan. Secara khususnya, guru merujuk kepada para pengajar atau pendidik di semua peringkat pengajian pendidikan yang bersilibus termasuklah di sekolah rendah, sekolah menengah mahu pun kolej/ universiti. 

Fokus kami kali ini adalah kepada guru-guru di Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang (SKHK). Sekolah rendah di pinggiran Middle Ring Road II yang sinonim dengan filem Masam Masam Manis arahan Almarhum Tan Sri P. Ramlee pada tahun 1965.

Keempat-empat orang anak kami; Izzudin, Hanisah, Solehah dan Imran - semuanya bersekolah di SKHK. Izzuddin dari Tahun 1 hingga 4 (2003-2006). Hanisah pula dari Tahun 1 hingga 2 sahaja (2005-2006). 

Setelah hampir 4 tahun di perantauan Adelaide dan Melbourne, kami kembali ke tanah air. Izzuddin dan Hanisah memasuki sekolah menengah. Warga SKHK diganti pula oleh Solehah selama 2 tahun pada Tahun 5 dan 6 (2011-2012). Paling lama Imran, dari Tahun 1 hingga 6 (2011-2016).

Selama anak-anak belajar di SKHK, kami amat berpuas hati dengan prestasi pembelajaran mereka. Jika diukur dari segi peperiksaan, semuanya memuaskan - kedudukan yang baik di dalam kelas dan meraih keputusan cemerlang dalam UPSR masing-masing. AlhamduliLLAH...Semuanya anugerah ALLAH... atas kegigihan para guru yang tiada penat lelahnya dalam memberikan yang terbaik kepada anak-anak. TAHNIAH dan Terima kasih Cikgu.

Sekian lama kami berhasrat meraikan para guru SKHK ini secara khusus, istimewa untuk mereka sahaja. Tambahan pula anak-anak kami semuanya telah pun meninggalkan alam sekolah rendah. Hajat ini terlaksana akhirnya pada tengahari 29 Disember 2016 iaitu ketika para guru ini datang bermesyuarat di sekolah sebelum bermulanya sesi persekolahan 2017. Mereka dijemput untuk makan tengahari di rumah kami, hanya bersebelahan SKHK.

AlhamduliLLAH... hampir 40 orang guru hadir termasuklah Guru Besar yang baru sahaja mendaftarkan diri di SKHK (maaf.. jika tidak silap Cikgu Azmi namanya..;). 

Paling seronok apabila dapat bersama-sama dengan beberapa orang guru yang turut mendidik keempat-empat anak kami sejak tahun 2003 lagi (hampir 15 tahun lamanya); antaranya Cikgu Radzi dan Cikgu Suzana. 

Kemuncak sambutan adalah acara belahan kek 'Terima Kasih Cikgu' yang disempurnakan oleh anak bongsu kami, Imran. Simboliknya... kini anak-anak pula berbakti kepada guru walaupun sekadar menghulurkan sepotong kek. 

AlhamduliLLAH... moga semuanya berpuas hati. Jamuan yang diatur bukanlah untuk membalas budi tetapi sekadar untuk menghargai. Moga para guru SKHK terus istiqamah penuh sabar dalam mendidik anak-anak agar menjadi insan yang membawa erti dalam kehidupan di dunia dan akhirat.

Terima Kasih Cikgu...!

Monday, January 23, 2017

Big Bad Wolf 2016

Inilah Pesta Jualan Buku terbesar di penghujung tahun. Saban tahun ianya berlangsung di MIECC @ The Mines Seri Kembangan. Dibuka 24 jam setiap hari dengan potongan harga yang meruntun jiwa. Bagi peminat buku keluaran luar negara, acara ini lazimnya akan tercatat kemas di dalam diari tahunan. Peluang yang tidak sewajarnya dilepaskan.

Untuk tahun lepas (2016), ianya berlangsung dari 09-Disember sehingga 19-Disember. Sebanyak 4 juta buku dilambakkan dengan potongan mencecah 95%.

Inilah tambahan koleksinya...
Pada tahun sebelumnya, dek kesuntukan masa, kami telah terjah ke Pesta Jualan Buku pada jam 3:00 pagi dan tiba di rumah ketika azan Subuh berkumandang.

Pada tahun lepas pula kami pergi seusai solat Subuh, dua hari sebelum tirainya dilabuhkan. AlhamduliLLAH... suasananya masih lenggang, maka dapatlah kami bersantaian bergerak dari booth ke booth sambil memilih mana-mana buku yang diminati.

Kami berlima beranak (tanpa Izzuddin) berpecah membawa diri masing-masing. Lebih mudah begitu kerana minatnya tidak sama. Biarkanlah... ambil sahaja mana-mana buku yang menarik hati, selepas itu berkumpul di suatu sudut untuk membuat pilihan terakhir sambil diawasi ayah dan ibu.

Untuk kali ini, buku yang dibeli tidaklah sebanyak tahun-tahun sebelumnya. Masing-masing tahu dan sedar apa yang diperlukan. Pengalaman terdahulu banyak mengajar. AlhamduliLLAH.

Sunday, January 22, 2017

Atuk Leman... Perginya Tidak Akan Kembali

Atuk Leman (Hj Sulaiman Hj Harun)... datuk kami yang tinggal di Kg. Bukit Bangkong, Sepang, Selangor selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Lama Bkt Bangkong seusai solat Zohor pada 07-Januari lalu. Bersebelahan persemadian isterinya yang tercinta, Nenek Hjh Siti Aminah yang mendahuluinya lebih 10 tahun lalu.

Atuk Leman dilahirkan pada 25 April 1914 di Bkt Bangkong. Bermakna telah pun hampir 103 tahun usianya. Walaupun telah melewati 100 tahun, secara umumnya beliau tampak masih sihat dengan daya ingatan yang masih baik. Mampu menguruskan diri sendiri walaupun bertongkat. Wajahnya sentiasa ceria di kelilingi anak-cucu-cicit-piut yang sentiasa memberi perhatian dan penjagaan yang terbaik.

Atuk Leman Di Usia 101 Tahun
Dalam usia seumpamanya. Atuk Leman kerap juga keluar masuk hospital akibat komplikasi beberapa penyakit yang dialaminya, antaranya kencing manis dan lemah jantung. Namun segalanya diterima penuh redha dan syukur tanpa langsung berkeluh kesah. Mungkin kerana itulah ALLAH SWT kurniakan umur yang panjang kepadanya. SubhanaLLAH.

Di pagi Sabtu, tanggal 07-Januari-2017... ketika itu beliau bermalam di rumah anaknya di BB Salak Tinggi. Rutinnya selalu bangun awal, sekitar jam 4:30 pagi. Terdetik rasa rindunya yang teramat pada rumah pusakanya lalu menelefon anaknya di Klang agar membawanya pulang ke kampung pada hari berkenaan.

Rupa-rupanya itulah tanda pemergiannya. Ketika diurut kepalanya kerana mengadu sakit kepala, beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan aman sekitar jam 6:20 pagi... Tidak sempat Atuk Leman menapak ke rumahnya tetapi jasadnya tetap dibawa pulang dan dimandikan di kampung serta disolatkan ratusan jemaah di Masjid al-Ulum berhadapan rumahnya.
"Ya ALLAH Tuhan Yang Maha Mengasihani... Ampunilah segala dosa dan kesalahan Atuk Leman. Cucurilah rahmatMU ke atas rohnya dan tempatkan ia di kalangan para solehin yang dianugerahi syurga tanpa hisab. Ameen Ya Rabbal 'alameen."

Demikianlah ketentuan ILLAHI. Yang hidup pasti mati... cuma bila, di mana dan bagaimana keadaannya tiada siapa yang tahu. Segalanya milik ALLAH SWT. Berdoa dan berharaplah moga kita semua diakhiri hayat dalam keadaan yang baik dan di tempat yang baik dengan akhiran syurga yang hakiki. Ameen.

Saturday, January 21, 2017

IGCSE > TAHNIAH Solehah..!

Menjelang jam 2:00 petang pada 17 Januari, 2017 lalu... para pelajar Tingkatan 5 yang menduduki Cambridge IGCSE (International General Certicate of Secondary Education) Examination pada akhir tahun lepas mula dilanda gelora jiwa... Debaran berganda menanti keputusan peperiksaan berkenaan disiarkan di internet. Hanya masukkan username dan password, maka terpaparlah hasil usaha selama ini.

AlhamduliLLAH... bersyukurlah dengan apa yang diperolehi. Tidak kiralah keputusan yang baik atau kurang baik. Inshaa ALLAH ada hikmah di sebaliknya.

Bagi anakanda kami, Nur Solehah yang sedang menuntut di MRSM Ulul Albab Kota Putera adalah antara calon IGCSE dari kelompok MRSM.

Beberapa hari sebelumnya Solehah telah pun memberikan username dan password untuk kami lihat sendiri keputusannya. Beliau berharap kami dapat menerima apa sahaja yang diperolehinya. Tambahan pula dirasakan peperiksaan tersebut agak sukar untuk mendapat yang terbaik. Tidak perlu khuatir... sedari dulu kami sentiasa pasrah menerimanya. Kami hargai setiap penat lelah yang telah dilalui selama ini.

TAHNIAH Solehah...! Keputusannya amat membanggakan... cuma kekurangan * (star) sahaja. AlhamduliLLAH... setinggi-tinggi kesyukuran atas anugerahNYA. Pesan kami... "Jangan lupa sujud syukur kepadaNYA". Terima kasih Ya ALLAH.

Kami Boleh..! Hari Terakhir IGCSE Exam
Dalam tekanan mendepani jujukan kurikulum 3 in 1... Hafazan, IGCSE dan SPMRSM... Solehah mampu melaluinya dengan baik. Sememangnya akan ada kekurangan di sana sini... Itukan lumrah sebagai seorang insan. Tiada yang sempurna segalanya...

Apa perancangan selepas ini? Tunggu dan lihat sahaja. Buat masa ini.. tumpuannya hanya pada persediaan menduduki SPM pada akhir tahun ini.

Secara umumnya, MRSM Ulul Albab Kota Putera mengungguli tempat ke-3 daripada 13 buah MRSM yang mengikuti program IGCSE. Tempat pertama adalah MRSM Langkawi, diikuti pula MRSM Tun Abdul Razak, Pekan. Namun bagi kami... MRSM Ulul Albab Kota Putera adalah yang terbaik kerana hanya satu-satunya MRSM yang berkonsepkan  3 in 1 yang turut mengambil IGCSE.

TAHNIAH warga MRSM Ulul Albab Kota Putera. TAHNIAH para pelajar yang berhempas pulas berjuang menggapai kejayaan. TAHNIAH kepada para pendidik yang tidak mengenal penat lelah demi anak-anak pelajar. TAHNIAH para ibu bapa yang begitu bersungguh-sungguh memberikan sokongan moral dan material kepada anak-anak semua... ibarat anak-anak sendiri.

AlhamduliLLAH... selayaknya hanya untuk ALLAH SWT. Segalanya adalah milikNYA.

Friday, January 20, 2017

Imran ke SM IMTIAZ Besut

AlhamduliLLAH... setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat ILLAHI... anak bongsu kami, Muhammad Imran berjaya menyambung pengajian ke Tingkatan 1 di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (SM Imtiaz YT) Besut.. sekolah 'elit' pilihan rakyat Terengganu dan antara yang terbaik di tanah air.

Berlatarkan Bangunan Utama SM Imtiaz Besut
Dikatakan 'elit' kerana syarat kemasukannya agak ketat. Di sebalik prestasi yang cemerlang dalam UPSR dan UPKK, para pelajar perlu melepasi sesi temuduga yang melibatkan Hafazan dan Tilawah Al-Quran, Penulisan Jawi dan keterampilan diri. AlhamduliLLAH.. Imran mampu melepasinya.

Sistem pendidikan di SM Imtiaz menggabungkan KBSM dan Pengajian Al-Quran dengan visi Melahirkan Generasi Ulul Albab yang bercirikan Quranik (faham tuntutan agama), Ensiklopedik (rujukan pelbagai bidang ilmu) dan Ijtihadik (pandangan berpandukan syariat) demi melahirkan profesional Muslim.

Terdapat 8 buah SM Imtiaz di Terengganu, yakni di setiap daerah. SM Imtiaz Besut yang dibuka pada tahun 1999 adalah yang pertama dan yang terbaru dibuka pada tahun ini iaitu di Daerah Marang.

SM Imtiaz Besut - pandangan atas
SM Imtiaz Besut.. letaknya di Bkt Keluang... hanya 2 km daripada MRSM Ulul Albab Kota Putera di mana kakaknya Nur Solehah sedang menuntut di Tingkatan 5. OKlah tu... dekat tapi jauh. Sekurang-kurangnya terasa ada ahli keluarga yang berdekatan...

Pertama kali melihat bangunan baru SM Imtiaz Besut yang dirasmikan pada tahun 2015 ini, terpana seketika pandangan kami... betapa besar dan cantiknya ibarat al Hambra di Andalusia, Sepanyol ataupun al-Qarawiyyin University di Fes, Morocco.

Semakin teruja Imran dibuatnya dan berharap agar terpilih masuk ke sini.. AlhamduliLLAH impian menjadi kenyataan.

Pada pagi Ahad baru-baru ini (15/01/2017)... dengan rasminya Imran mendaftar masuk ke SM Imtiaz Besut bersama-sama sekitar 120 orang pelajar baru Tingkatan 1.

Seusai mendaftar di hadapan Koop
Maka bermulalah perjuangan Imran sebagai pelajar sekolah menengah dan pada masa yang sama melalui detik-detik sebagai pelajar sekolah berasrama penuh yang terpisah daripada pandangan mata ibu ayah. Segalanya perlu berdikari dan berusaha mendisiplinkan diri dengan segala peraturan. Bagi kami... itulah yang terbaik untuknya.

Terasa berat di hati untuk berpisah dengan Imran. Ya lah... selama ini dialah kawan ketika di rumah di saat abang dan kakak-kakaknya di kolej/ maktab. Kini giliran Imran pula merantau. Tinggallah ayah dan ibu berdua di rumah. Semakin sunyilah jawabnya...

Kepada Imran... laluilah segalanya dengan tabah dan kuatkan tekad. Untuk menjadi al-Fateh bukannya mudah. Perlu berkorban demi menggapai kejayaan di dunia apatah lagi di akhirat. Lakukanlah yang terbaik. Inshaa ALLAH segalanya akan dipermudahkanNYA. Ameen.