Friday, December 28, 2007

Menyelami Perlombongan Emas di Ballarat

Hari ketiga, dari Peterborough kami meneruskan perjalanan ke Ballarat untuk melihat kesan-kesan sejarah perlombongan emas yang terkenal di Australia.

Koleksi gambar disertakan di sebelah kiri web page.

Hari Isnin (24/12/2007)

Berbanding hari-hari sebelum ini, cuaca pada hari ini agak baik, panas tanpa hujan. Kami meninggalkan motel penginapan di Peterborough kira-kira jam 10:00 pagi menuju ke Ballarat melalui Cobden dan Camperdown, seterusnya melalui Lismore kearah Glenelg Hwy di Scarsdale dan terus ke Ballarat City. Kami tiba di sana kira-kira jam 1:00 petang.

Sepanjang perjalanan kami melalui kawasan pinggir bandar dan desa dan sesekali melalui pekan-pekan kecil. Yang kelihatan hanyalah padang rumput yang perang rumputnya, adakala kelihatan ketulan-ketulan rumput jerami (hay) yang bergulung kemas (mungkin simpanan untuk musim sejuk) dan juga lembu serta biri-biri bebas meragut rumput.

Ballarat adalah inland city terbesar di Victoria, terkenal sebagai kawasan bersejarah perlombongan emas terbesar di Australia. Awalnya Ballarat (Ballaarat dari dialek Aboriginal bermaksud “tempat berehat”) sekadar kawasan perkampungan, bertukar begitu drastik menjadi bandar yang amat sibuk sejak emas ditemui pada September, 1851 dengan limpahan pendatang termasuk dari England, China dll. Terdapat banyak bangunan dibina terutama di sekitar Lydiard Street dan Sturt Streets, dan kini masih tersergam megah, antaranya Her Majesty’s Theatre (1875), Craig’s Royal Hotel (1859), Mining Exchange (1888), bank-bank dan banyak lagi.

"Murid-murid" bergambar bersama "guru-guru" mereka di hadapan National School
Pada 3 Disember 1854, berlaku satu pemberontakan besar-besaran para pelombong apabila kerajaan cuba mengenakan bayaran lesen yang tinggi ke atas mereka. Dengan mudah mereka dikalahkan di mana 22 nyawa pelombong melayang. Namun kerajaan berlembut, hanya mengenakan “Miner’s Right” dengan bayaran 1 pound setahun dan hak mengundi untuk pelombong. Peristiwa bersejarah ini dikenali Eureka Stockade atau lebih tepat lagi Eureka Rebellion di mana pentomennya, “Blood on the Southern Cross” boleh disaksikan di sebelah malam di Sovereign Hill.

Terdapat pelbagai kaedah perlombongan emas yang dipraktikkan sejak penemuannya, bermula dengan panning dan cradling, bertukar kepada horse-powered puddling machines, larger scale quartz reef mining dan crushing batteries.

Bergambar di hadapan bangunan-bangunan bersejarah
Manifestasi kehidupan era perebutan emas (atau lebih tepat “gold rush”) di Ballarat telah diadaptasi dengan pembinaan muzium di Sovereign Hill, lebih dikenali sebagai “a living museum”. Bandar emas Sovereign Hill seluas 25 hektar adalah tapak asal perlombongan emas dilengkapi lebih 60 bangunan bersejarah pelbagai bentuk, antaranya Blacksmith, Milliners, Confectionery store, Victoria Theatre, Hope Bakery, United States Hotel (saloon), Potters, Furniture Makers, Wheelwright, Tinsmith, cottages, gold diggings dan pelbagai lagi.

Kami mula melangkah masuk ke muzium kira-kira jam 2:00 petang selepas menjamu selera berhadapan tempat letak kereta bersama-sama keluarga Yusof dan Mariana. Tiketnya agak mahal, seorang dewasa sahaja berharga AUD 45.00, manakala family ticket pula berharga AUD 90.00 (dah pasti family ticket jadi pilhan).

Di hadapan rumah lama (kiri) dan bersama penduduk bandar (kanan)
Melangkah masuk sahaja kami terus terpisah secara total dari kehidupan moden di luar. Yang ada hanyalah bangunan kayu, khemah dan jika ada bangunan batu pun dengan konsep kolonial. Bandarnya seperti bandar koboi yang biasa ditonton. Baunya hapak dan hancing, tahi kuda dan kencing kuda dapat dilihat di merata tempat.“Penduduknya” berpakaian era 1850an dan dikatakan amat mudah ditemui di merata tempat terutama di kedai-kedai, tempat kerja dan di rumah-rumah residen dengan pelbagai aktiviti semasa zaman tersebut. Malangnya tidak banyak yang dapat kami terokai kerana ramai penduduknya bercuti Hari Krismas keesokan harinya. Rumah-rumah residen pelbagai bentuk dan konsep yang dilengkapi perabut dan perkakasan lama tiada tuan rumahnya, sekolah kebangsaan pula ditutup tanpa guru dan tidak ramai penduduknya mundar-mandir.

Salah satu pengalaman yang amat menarik yang sempat kami terokai adalah Red Hill Mine Tour di mana kami dibawa menjelajah terowong bawah tanah yang digunakan oleh pelombong dengan suara latar perlombongan dan tayangan holographic penemuan emas terbesar di bawah cahaya lampu yang suram. Anak-anak ketakutan kerana suasananya yang gelap dan adakala kedengaran bunyian yang menakutkan.

Mendulang emas di alur kecil
Kami juga sempat merasai bagaimana caranya mendulang emas di alur sungai kecil yang mengalir lemah di tengah bandar. Dan tidak terkecuali, mengambil gambar berpakaian era 1850an dengan warna foto keperang-perangan, seolah-olah gambar zaman kolonial. Harganya agak mahal AUD 70.00 untuk sekeping gambar berukuran 18cm x 10cm tanpa negatif. Tak mengapalah, sebagai kenang-kenangan.

Kepada yang berkesempatan ke sana, rancanglah penerokaan sebaik mungkin agar berbaloi dengan harga tiket yang mahal. Sebaiknya pergi dari awal pagi ketika cuaca yang baik tanpa hujan di musim panas, akhir musim bunga atau awal musim luruh. Jarak dari Melbourne City tak jauh, kira-kira 100 km, adalah 1 ½ jam perjalanan sahaja.
Tempat pertama yang perlu dituju adalah Red Hill Photographic Rooms kerana perlu buat temujanji terlebih dahulu untuk mengambil gambar era 1850an. Usah terlepas beberapa pertunjukan secara langsung yang dilangsungkan mengikut jadual seperti Redcoat Soldiers, Street Theatre, Candle Making, Wheelwrigting dll. Begitu juga dengan tour samada percuma atau berbayar, antaranya Red Hill Mine, Gold Mine, Chinese Goldfields dll. Selebihnya boleh rujuk pamplet yang diberikan di pintu masuk.

Sebelum pulang, kami sempat meninjau rentetan sejarah perlombongan emas dan kehidupan masyarakat pribuminya di Gold Muzium yang terletak bersebelahan Sovereign Hill.

Kami bertolak pulang kira-kira jam 06:00 petang, singgah di Turkish & Cyprus Islamic Centre (Masjid) yang terletak di Sunshine (di pinggir Melbourne City) untuk solat jamak. Malangnya kereta kami, Mitsubishi Nimbus menghadapi masalah dengan transmission (menurut kata petugas RACV – sama macam AAM di Malaysia) dan terpaksa ditarik balik ke Dandenong. Kami sampai di rumah agak lewat, kira-kira jam 10:30 malam.

Thursday, December 27, 2007

Menyusuri The Great Ocean Road - Day 02

Hari kedua menyusuri Great Ocean Road. Yusof sekeluarga tidak bersama kami hari ini, mereka terus ke The Grampians menikmati keindahan alam di kawasan tanah tinggi, seterusnya bermalam di sana.

Untuk melihat gambar-gambar yang dirakamkan, sila rujuk album foto di sebelah kiri web page.



Hari Ahad (23/12/2007)

Bergambar di Peterborough Frontbeach.
Cuaca hari ini agak baik. Matahari pun dah kelihatan walaupun sesekali mendung dengan rintikan hujan. Paginya kami ke pantai Peterborough Frontbeach, tak jauh dari motel di mana terdapat dataran peninjau menghadap laut yang dipenuhi batuan besar dengan ombak yang agak kuat menghempas batu. Dari info board yang terpacak di situ, diberitakan pada akhir tahun 1800an dan awal 1900an beberapa kapal telah karam di situ dan telah meragut banyak nyawa. Terdapat satu monumen peringatan untuk James Irvine yang kehilangan nyawa sewaktu menyeberanginya pada tahun 1919. Tidak menghairankan kerana bebayang tunggul-tunggul batu jelas kelihatan di permukaan laut.

Laili dan anak-anak di stesyen tinjau di Bay of Islands
Seterusnya kami menyusuri jalan beriringan dengan Bay of Islands Coastal Park sepanjang 33 km yang telah merakamkan banyak tragedi kapal karam. Kami di singgah di dua teluk iaitu Bay of Martyrs dan Bay of Islands untuk melihat secara dekat keunikan batunya yang terjonggol di pinggir laut serta pantainya yang cantik sebelum bergerak menuju ke Warrnambool. Di sini kami tak berkesempatan untuk berjalan-jalan kerana kesuntukan masa, sekadar singgah di Information Centre, di ATM dan isi minyak kereta sahaja. Mungkin ketika hendak ke Mt. Gambier di suatu hari nanti, kami akan singgah di Warrnambool.

Keindahan Lord Ard Gorge - dari atas (kiri) dan di pantainya (kanan)
Kami berpatah balik ke Peterborough menuju ke Port Campbell untuk melihat keunikan batuan di Lord Ard Gorge. Ianya dikaitkan dengan kapal Lord Ard yang telah karam pada tahun 1878, meragut 52 nyawa dengan 2 orang terselamat. Kapal Falls of Halladale juga karam di situ pada tahun 1908 yang sedang belayar dari New York ke Melbourne. Malah banyak lagi kapal yang tenggelam di sekitarnya.

Bentuk teluknya amat cantik dengan air yang beralun tenang. Muaranya pula mengecil di hujung dua batuan yang tersergam megah. Dinding di pantai melekuk dengan batu-batu berceracak bergantungan dari atas. Pengunjung dibenarkan turun ke pantai menggunakan tangga yang disediakan. Pantainya yang melandai dengan pasir halus yang memutih bersih benar-benar mendamaikan hati.
Memberi makan camar laut di Port Campbell Harbour (kiri) dan pemandangan Arch (kanan)
Seterusnya kami ke Port Campbell Harbour di mana jetinya terletak di teluk yang begitu tenang airnya. Di sini anak-anak seronok memberi makan camar laut (seagull) yang kelihatan amat jinak sekali. Kemudian kami singgah pula di Arch di mana terdapat bongkah batu di gigi air yang berlubang di tengahnya.
London Bridge di sebelah kiri dan The Grotto di sebelah kanan
Selepas itu kami singgah pula di London Bridge melihat bongkahan batu yang terputus dari daratan pada tahun 1990 membentuk seolah-olah jambatan yang runtuh. Lokasi terakhir adalah The Grotto, bongkah batu yang terdapat laluan di tengahnya menghala ke tepi pantai.

Petangnya, dalam sejuk angin mengigit tulang, anak-anak dengan selamba sahaja turun ke pantai berdekatan motel, berlari-lari ke sana-sini mengutip rumpai laut dan kulit siput/kerang dan adakala bermain pasir dan air. Malamnya semua tidur kepenatan.

Sesungguhnya setiap keindahan dan keunikan sesuatu itu menginsafkan kita, membuktikan betapa Allah SWT amat besar kekuasaanNya, cukup sekadar Kun Fa Yakun... Jadilah Maka Jadilah Ia.

Menyusuri The Great Ocean Road - Day 01

Hujung minggu dan awal minggu baru-baru ini kami sekeluarga berjalan lagi. Hari Sabtu dan Ahad kami menyusuri Great Ocean Road di selatan Victoria. Hari Isnin pula kami naik ke pendalaman menyelami perit-jerih perlombongan emas di Ballarat. Kami ke sana berkonvoi dengan Dr. Yusof dan Dr. Mariana sekeluarga.

Album gambar di The Great Ocean Road disertakan di sebelah kiri web page.

Hari Sabtu (22/12/2007)
Cuacanya agak kurang baik dengan hujan renyai-renyai sesekali lebat sejak awal pagi lagi. Suhu pula agak sejuk, sekitar 15 darjah Celcius, terasa seakan-akan musim sejuk pula sedangkan sekarang dalam musim panas. Itulah fenomena cuaca di Melbourne sehingga dikatakan “4 musim dalam sehari”.

Kami bertolak dari rumah Dr. Mariana di Clayton melalui Princess Hwy ke Geelong, seterusnya melencong ke Surf Coast Hwy ke Torquay di mana bermulanya Great Ocean Road. Mengikut perancangan awal, kami sepatutnya ke Mornington Peninsula untuk merasai pengalaman menaiki feri menyeberangi Port Phillip Bay dari Sorrento ke Queenscliff tetapi terpaksa dibatalkan kerana cuaca yang agak kurang baik. Mungkin di lain masa, ketika berjalan-jalan di Mornington Peninsula.

Menyusuri Great Ocean Road yang berliku-liku bagaikan ular kena palu, kami terpesona dengan pantainya yang amat cantik. Pasir memutih melatari pinggir laut diselang-seli dengan batu-batu yang berceracak di gigi air dan juga di tengah laut. Airnya yang membiru dengan ombak yang beralun lembut menghempas batu menambahkan lagi seri pantai. Jalan yang dilalui betul-betul di tepi pantai dan ada ketika pantainya nun jauh di bawah, terasa gerun pula di hati. Hujan masih turun di sepanjang jalan dan adakalanya agak lebat menghalang kami untuk singgah. Cukuplah sekadar menikmati keindahan alam ciptaan Allah melalui cermin kereta.

Hampir 2 jam perjalanan (kira-kira 170 km), kami singgah di Information Centre di Lorne kerana anak-anak nak ke tandas sebelum singgah kali ke dua di Information Centre di Appolo Bay untuk makan. Hujannya masih lebat, terpaksalah kami makan dalam kereta sahaja. Kami hanya sempat singgah sekali sahaja ketika hujan yang turun berhenti seketika.
Perjalanan seterusnya menyusuri Great Ocean Road lebih mencabar kerana perlu mendaki dan menuruni cerun merentasi Otway Rangers yang agak jauh. Laluannya berbengkang-bengkok dengan pokok-pokok di sekitarnya, tiada lagi pemandangan pantai. Anak-anak mengeluh terasa pening. Kami tiba balik di tepian pantai di Princetown sehinggalah tiba di Port Campbell National Park di mana terletaknya 12 batuan unik yang tertacak tegak di pinggir laut, lebih dikenali sebagai 12 Apostles. Di sepanjang pinggir laut dari Cape Otway ke selatan dikenali sebagai “threading the eye of the needle”. Ini kerana banyak kapal yang telah karam sehingga pesisirannya lebih terkenal sebagai Shipwreck Coast.
Gambar lama yang diambil sebelum bulan Jun 2005.
Keunikan 12 Apostles sememangnya menjadi tarikan utama pelancongan dan terkenal di merata tempat sehinggakan ianya sinonim dengan Great Ocean Road – sesuatu yang wajib dilawati. Sewaktu kami tiba di situ, hari dah pun petang, hujan telah pun reda tetapi anginnya agak kuat, menyejukkan lagi persekitaran yang sememangnya sejuk. Telinga terasa bengap dan sakit, manakala hidung pula berair.

Gambar menunjukkan apostle ke-9 (paling hadapan) patah pada 03 Jun 2005 meninggalkan tunggul batu.
Laluan peninjau dengan beberapa pusat tinjauan yang strategik dibina menghadap laut dan apostles di pinggir laut terasa begitu dekat sekali. Apostles terbentuk disebabkan pukulan angin dan ombak sejak berzaman, garisan beralun jelas tertera di permukaannya. Di setengah tempat, kelihatan bongkah batu besar di laut bagaikan pulau. Tidak mustahil suatu hari nanti ianya akan menjadi sebahagian daripada apostles sedia ada, mungkin juga menggantikan apostle yang hilang ditelan hukum alam. Diberitakan kini hanya tinggal 8 apostles sahaja akibat hakisan ombak dan angin di mana yang terakhir patah pada 03 Jun 2005.
Bergambar bersama Dr. Mariana dan anak-anaknya berlatarbelakangkan apostles.
Bunyi siulan jelas kedengaran setiap kali angin kencang melanda dinding batu di tepian pantai yang melekuk ke dalam kesan tujahan angin. Yang pasti para pengunjung tidak melepaskan peluang untuk bergambar dan merakamkan keunikannya. Malangnya kamera kami kehabisan bateri, tidak dapat kami rakamkan gambar mengikut kehendak hati, sekadar berkongsi kamera dengan Mariana (Jutaan terima kasih pada Mariana dan Yusof.…8)
Hampir sejam di 12 Apostles, kami beredar menuju motel yang disewa. Keluarga Yusof dan Mariana ke Port Campbell, manakala kami pula ke Peterborough. Jaraknya taklah jauh, kira-kira 20 minit perjalanan sahaja. Malamnya kami tak kemana-mana kerana semuanya dah kepenatan.

Friday, December 21, 2007

Hore... Cuti Sekolah

Jam hampir menunjukkan pukul 1:30 pm. Ibu bapa kelihatan mundar-mandir di hadapan kelas. Tiba-tiba kedengaran lantang suara kanak-kanak mengira… 5, 4, 3, 2, 1… dan bunyi siren… diikuti suara sorakan. Ya.. hari ini murid-murid Dandenong North Primary School balik awal dan sekaligus menandakan bermulanya cuti sekolah akhir tahun yang panjang sehinggalah akhir Januari tahun hadapan.

Guru-guru melepaskan mereka pulang di muka pintu dengan ucapan Happy Christmas dan Happy New Year. Tahun hadapan kesemua anak didik mereka akan naik gred dan secara automatik mendapat guru kelas yang baru. Murid-murid di Grade 6 lebih terasa kesedihan kerana tahun hadapan mereka akan melangkah ke sekolah menengah (secondary) sekaligus meninggalkan guru-guru serta sekolah yang mereka sayangi.

Tahun hadapan Izzuddin akan naik ke Grade 6, Hanisah ke Grade 5 dan Solehah ke Grade 2. Manakala Imran pula mula melangkah ke Kindergarten.

Cuti sekolah yang panjang ini perlu dirancang sebaik mungkin agar mereka semua tidak merasa terlalu bosan, lebih-lebih lagi jika sentiasa berkurung di rumah sahaja. Apa yang pasti Dandenong Library menjadi tumpuan utama untuk meminjam buku-buku, majalah-majalah dan audio-video CDs/ tapes. Selama ini seminggu sekali adalah satu kemestian tetapi sepanjang cuti sekolah ini mungkin lebih kerap lagi.
Menariknya, sepanjang cuti sekolah ini setiap pemegang kad dibenarkan meminjam sehingga 40 buah buku (biasanya 20 buah) selama 3 minggu berserta 2 CD/VCD/DVD dan 2 VHS tape untuk tempoh 1 minggu. Dan kami ada 5 kad, setiap orang satu kad kecuali Imran. Jadi tiada masalah dari segi bilangan item yang boleh dipinjam.

Di samping itu, mereka juga akan dibawa “melancung” ke tempat-tempat menarik di sekitar Melbourne samada balik hari atau menginap sekurang-kurangnya semalaman kiranya tempatnya agak jauh dari Dandenong. Sekarang adalah musim panas dan dijangka cuacanya agak baik dan elok untuk berjalan-jalan (namun, adakala tanpa dijangka boleh berubah). Insya Allah pagi esok kami akan bertolak ke Great Ocean Road yang terkenal dengan pemandangan alam semulajadinya seperti pantai, 12 Apostles, Lord Ard, London Bridge dll. Kami akan menginap 2 malam di sana sebelum meninjau kawasan perlombongan emas cara tradisional di Ballarat.

Pada hari-hari yang tertentu mungkin akan diaturkan pertemuan sesama mereka di mana-mana padang berdekatan untuk mereka bermain bersama terutama kriket dan bolasepak yang sentiasa menjadi pilihan utama.

Diharapkan sepanjang cuti sekolah ini mereka tidak meninggalkan langsung buku-buku untuk dibaca sekurang-kurangnya untuk mempertingkatkan kefahaman dan penguasaan mereka dalam Bahasa Inggeris.

OK… selamat bercuti anak-anak. Gunakanlah setiap masa yang ada dengan sebaik-baiknya. Moga cuti sekolah ini meninggalkan kenangan yang menarik dan tidak membosankan… 8)

Eid Adha di Rantauan

Eid Adha di Victoria disambut pada hari Rabu, 19/12/2007 setelah kerajaan Arab Saudi mengisytiharkan Hari Wukuf jatuh sehari sebelumnya. Begitulah seperti yang diwartakan oleh Islamic Council of Victoria (ICV). Akan tetapi masyarakat Turki di Dandenong (dan juga di lain-lain tempat di Victoria) meraikannya pada hari Khamis, 20/12/2007. Masing-masing mempunyai authoriti dan kriteria tersendiri untuk menentukan tarikhnya.

Secara peribadi terasa terkilan kerana nampak seolah-olah tiada kesatuan di kalangan komuniti umat Islam hatta dalam satu negeri malah di satu tempat yang sama. Dibimbangi ianya menjadi sinis di mata masyarakat bukan Islam melihat isu sekecil itu pun orang Islam tak bersatu sedangkan orang Kristian dari pelbagai fahaman pun boleh meraikan Christmas pada tarikh yang sama, 25 Disember setiap tahun. Apatah lagi dalam isu yang lebih besar. Mungkin isunya kecil bagi kita tetapi besar bagi bukan Islam lebih-lebih lagi yang memusuhi Islam.

Berbalik pada sambutan Eid Adha pada tahun ini. Rasanya sedikit hambar berbanding Eid Fitri. Mungkin juga bagi kami tetapi tidak pada orang lain. Apatah lagi kami langsung tidak mengenakan pakaian raya, sut baju Melayu, jadi mood raya pun tak timbul. Terdapat pelbagai aturcara diatur oleh para pelajar Malaysia di Victoria tetapi tidak dapat kami turuti kerana cuaca yang agak kurang baik.

Solat Eid Adha pada 19/12/2007 dilangsungkan di padang Monash Uni, kira-kira jam 08:15 pagi. Juga diadakan di Dewan Malaysia di City pada jam 09:00 pagi. Kedua-duanya kami tak pergi kerana anak-anak nak ke sekolah, ada jamuan katanya, tambahan pula hujan renyai-renyai mulai turun. Tapi adalah kami pergi beraya ke rumah Anang Hudaya di Wellington Rd, Clayton pada sebelah tengaharinya. Ramai yang datang terutama di kalangan rakan-rakan yang tinggal di Clayton dan Dandenong, setengahnya lengkap berpakaian sut baju Melayu, pasti semangat raya mereka mekar segar sesegar warna-warni pakaian yang dipakai. Jamuan raya dan pembahagian daging korban pula diadakan di Dewan Malaysia petang semalam tetapi kami tak pergi kerana hujan turun agak lebat.

Solat Eid Adha dilaksanakan pada keesokan harinya di Masjid Emir Sultan, Dandenong kira-kira jam 06:50 pagi (waktu Syuruk jam 05:50 pagi) mengikut komuniti Muslim Turki, rasanya bermazhab Hanafi. Caranya agak berbeza dari kebiasaan dilakukan pengikut Mazhab Shafie (seperti di Malaysia dan komuniti Islam di Monash Uni) tetapi dalam soal furuk sahaja, asasnya tetap sama, solatnya 2 rakaat berserta 2 khutbah selepasnya.

Takbir raya dilafazkan bersama beramai-ramai tanpa diselang-seli oleh naqib. Hanya rangkap biasa sahaja tanpa rangkap penutup yang dilafazkan 3 kali setiap sesi. Tiada takbir sebelum solat sunat raya tetapi dimulai selepas selesai solat sunat, seawal imam berkhutbah dan selepas imam berkhutbah. Intonasinya sama seperti yang biasa kita lagukan tetapi tidaklah mendayu-dayu tetapi mampu menyentap rasa sayu di hati, teringat betapa bertuahnya mereka yang sedang bertakbir megah di bumi Mekah, seterusnya melengkapkan rukun ke lima sebagai umat Islam. Moga kami pun berkesempatan untuk ke sana. Doakan. Ameen.

Umumnya solat raya yang biasa kita amalkan disertai 7 takbir dengan 6 tasbih pada rakaat pertama sebelum bacaan surah Al-Fatihah oleh imam dan 5 takbir dengan 4 tasbih sejurus bangun pada rakaat kedua. Akan tetapi mereka lakukan hanya 3 takbir berserta 2 kali tasbih sebelum bacaan Al-Fatihah pada rakaat pertama. Manakala pada rakaat kedua sedikit berbeza, takbir sebanyak 3 kali disertai 2 tasbih dilafazkan selepas bacaan surah oleh imam, yakni sebelum rukuk. Namun ianya tidak mencacatkan kerana menurut seorang ustaz, jika dilakukan solat sunat raya sama seperti solat sunat biasa pun tak mengapa.

Akan tetapi alangkah baiknya setiap amalan Islam boleh disepakati oleh sekian ulama muktabar dari kesemua mazhab dilaksanakan secara sama sahaja. Maaf, bukan bermaksud menafikan keilmuan setiap ulama mazhab yang tiada tandingannya, apatah lagi untuk menyanggahnya. Perlu diingat, setiap mazhab yang dikategorikan Ahli Sunnah wal Jamaah adalah diyakini betul, jadi tiada salahnya mencari kesepakatan di dalam beberapa amalan yang tidak sama. Difahamkan usaha mencari kesepakatan dalam hukum hakam dan amalan Islam sedang giat diusahakan oleh sebahagian ulama diketuai oleh ulama terkenal Yusof Al-Qardhawi. Moga usaha murni mereka membuahkan hasil yang diberkati Allah SWT dan membawa kesejahteraan kepada semua umat Muhammad SAW. Ameen.

Tuesday, December 18, 2007

Minum Petang Keluarga Dandenong - 02

Keluarga Dandenong berkumpul lagi, sama seperti minggu lepas, petang Ahad selepas solat Asar. Kali ini di rumah warga baru, Mohd Nor dan Suriati di 113, Ann St, Dandenong. Rumahnya taklah jauh sangat, sekitar 1 - 2 km sahaja dari rumah kami. Suriati adalah postgraduate student (PhD) di Melbourne Uni. Mereka mempunyai 2 anak lelaki berusia 12 tahun dan 10 tahun (rujuk foto sebelah, yang duduk berbaju biru berlengan putih dan yang berbaju putih sedang mengelecek bola dengan Iddin).

Rumah 3 bilik tidur mereka kelihatan simple sekali dengan beranda di belakang rumah dan backyardnya yang mengunjur luas ke belakang serta tempat BBQ berpangkin teduh.

Anak-anak kelihatan tak senang duduk apabila melihat ruang belakang yang luas. Tiada apa yang difikirkan mereka selain main tanpa menghiraukan hidangan yang disediakan. Sedar-sedar kedengaran suara riuh-rendah di belakang, yang lelaki dengan kriket dan bolasepaknya, manakala yang perempuan dengan Hide-and-Seek dan Pukul Berapa Datuk Harimau. Imran pun tak terkecuali turut seronok bermain dengan kumpulan kanak-kanak perempuan.

Kaum ibu pula berkumpul di dapur. Mereka ada agenda tersendiri, belajar memasak dendeng dengan sifunya Laili. Manakala kaum bapanya pula berkumpul di ruang tamu, makan-makan sambil berbual. Pelbagai hal dan topik yang diperkatakan samada isu-isu semasa di persekitaran mahupun di tanah air.

Menjelang 8:30 malam, masing-masing mula beredar. Kaum ibu dibekalkan dendeng yang siap dimasak dan sedikit juadah yang masih berbaki. Anak-anak pula nampak begitu gembira dan puas sekali dapat bermain dan berjumpa dengan kawan-kawan. Insya Allah kita berjumpa sebulan lagi, mungkin majlis khusus untuk keluarga Aznan dan Su yang akan pulang ke Malaysia pada awal tahun hadapan.

Saturday, December 15, 2007

Imran Mengikuti Induksi Kindergarten

Pagi semalam Imran ke sekolahnya, Dandenong North East Kindergarten yang terletak di seberang jalan hadapan rumah untuk mengikuti sesi induksi selama sejam (10:30 am - 11:30 am) sebelum sesi persekolahan sebenarnya pada awal Februari tahun hadapan.

Surat jemputan telah diterima sejak 2 minggu lalu atas namanya sendiri, Imran Ropidi. Gembiranya dia apabila dapat tahu surat tu untuknya sebab selama ini setiap surat yang diambilnya dari peti surat semuanya untuk ibunya (esp. bil-bil).

Sebenarnya kami tak menyangka akan dapat tempat di kindergarten ini kerana kami dimaklumkan oleh pengarahnya, Mrs Powney hampir 2 bulan lalu bahawa tiada lagi kekosongan dan disaran mencuba di kindergarten lain yang kebanyakannya agak jauh dari rumah. Kami rasa sedikit terkilan kerana tidak menyedari ianya dah fully booked kerana langsung tiada kain pemidang Open for Enrolment.

Dalam merancang untuk mencuba di tempat lain, tiba-tiba kami dihubungi oleh Mrs. Powney pada akhir bulan lepas memaklumkan bahawa mereka telah mendapat tambahan guru dan sekaligus diluluskan pengambilan tambahan pelajarnya. AlhamduliLlah Imran adalah salah seorang daripadanya. Akan tetapi kelasnya hanya 3 kali seminggu sahaja (harinya belum pasti) dari jam 09:00 pagi hingga 12:00 tengahari. Waktu dan hari lain dikhususkan untuk kumpulan pelajar yang lain pula. Tak mengapalah, yang penting adalah pendedahan sosial untuk Imran sebagai persediaan masuk ke Preparation Class pada tahun berikutnya.

Selama sejam di sekolah dengan dikelilingi oleh guru-guru dan rakan-rakan baru, Imran kelihatan agak susah untuk bergaul dan lebih suka melakukan halnya sendiri. Mungkin belum kenal lagi kerana Imran sebenarnya suka berkawan. Satu persatu aktiviti yang disukainya dicuba… main puzzle, belek buku, lekat sticker, atur blok warna dan bentuk serta tekat warna pada kertas sehingga tiada apa lagi yang nak dibuatnya. Tetapi dia tak suka aktiviti mewarna dan membuat dekorasi – sekejap disentuhnya terus ditinggalkan. Waktu sesi terakhir, berkumpul sambil menyanyi, Imran tidak memberikan tumpuan, nampak kurang berminat.

Pada 30 Jan 2008, satu temuduga untuk menilai tahap keupayaan Imran akan diadakan di sekolahnya. Dari situ mungkin mereka ada program untuk membentuk personaliti dan jati dirinya selari dengan minatnya. Di Malaysia sebelum datang ke Melbourne, Imran pernah masuk tadika di Keramat tetapi adakalanya dia tak nak ke sekolah. Mungkin minatnya belum ada atau sistem pembelajarannya membosankan... Harap-harap di sini tidak begitu.

Friday, December 14, 2007

Tetamu Dari Malaysia - 04

Petang semalam, untuk kali keduanya, kami dikunjungi oleh keluarga Shahrir termasuk ibu bapanya, Pakcik Awang dan Makcik Noraine berserta 3 orang adiknya. Kali pertama mereka bertamu ke rumah kami pada petang Rabu minggu lepas, pada hari mereka tiba di Melbourne.

Mereka datang untuk menghadiri konvokesyen Shahrir yang baru tamat pengajian Medical Degree di Monash Uni yang berlangsung pada hari Khamis minggu lepas. Kesempatan menjejakkan kaki di Australia diteruskan dengan agenda melancung ke beberapa tempat menarik di sekitar Melbourne. Dengar khabar mereka sempat pusing-pusing sekitar Melbourne City menaiki tram, menikmati keindahan alam di Great Ocean Road dan juga singgah membeli-belah di DFO Morrabbin.

Mereka tiba di rumah kami kira-kira jam 7:00 petang. Sempat mereka bergambar di beranda belakang rumah serta di backyard berlatarkan pepohon tin, lemon dan plum yang baru nak memerah buahnya sebelum menjamah hidangan makan malam ala kadar yang disediakan. Selepas Maghrib, mereka bertolak balik ke Clayton di mana mereka tinggal sepanjang berada di Melbourne.

Sesuatu yang tidak dapat dilupakan adalah kemesraan yang terjalin dalam kekangan waktu yang singkat amat dirasai bagaikan telah lama saling kenal mengenali. Kami sempat bertukar-tukar alamat di tanah air. Moga silaturahim yang baru terjalin ini akan terus berkekalan untuk selama-lamanya. Itulah harapan kami. Dan berbanyak-banyak terima kasih dan amat kami hargai atas huluran cenderahati yang tak disangka-sangka.

Pagi ini mereka akan bertolak pula ke Sydney untuk beberapa hari sebelum berlepas balik ke tanah air. Manakala Shahrir pula akan ke Adelaide, melapor diri di Queen Elizabeth Hospital untuk menjalani houseman ship selama setahun.

Moga ketemu kita di lain masa, jika tidak di bumi Australia, Insya Allah ketika di tanah air nanti. Rumah mereka hanya di Kelana Jaya manakala kami pula di Hulu Kelang sahaja ataupun kita berjumpa di Terengganu di Lorong Tekukur di mana keluarga terdekat mereka masih tinggal di sana.

Monday, December 10, 2007

Minum Petang Keluarga Dandenong - 01

Keluarga Malaysia di Dandenong kini bertambah satu keluarga lagi menjadi tujuh keluarga semuanya sejak Mohd Noor berserta isterinya, Su (Su ke-4 selepas 3 Su sedia ada, agaknya kena ada nickname tersendiri untuk senang membezakannya…8) dan 2 orang anak lelakinya mula menyewa di Ann Street, tak jauh dari rumah kami.

Setiap orang nampaknya sibuk dengan urusan masing-masing, berjumpa pun tanpa dirancang samada di garage sale, pasar, sekolah atau sekadar berselisih di jalanan. Terasa semakin jauh pula hubungan silaturrahim yang sedia terjalin. Kali terakhir kami berkumpul bersama kira-kira 1 ½ bulan lalu sewaktu meraikan rakan-rakan dari utara beraya di rumah Aznan. Rasanya perlu ada usaha untuk aturkan perjumpaan secara tetap. Atas sebab itu, kami mengambil inisiatif awal untuk menjemput semua keluarga berkaitan untuk hadir minum petang di rumah kami pada petang Ahad semalam (09/12/2007), selepas waktu Asar (05:30 petang).

AlhamduliLlah semua keluarga datang. Keluarga Lajiman paling awal sampai, seterusnya diikuti keluarga Kak Siti, Mohd Noor, Su Aznan, Rashdan dan Wafir. Abang Nordin tak datang kerana balik ke Malaysia atas urusan keluarga. Manakala Aznan pula agak sibuk mengejar masa menyiapkan tesisnya. Tak mengapa, yang penting komitmen dan sokongan dari mereka tetap ada. Tak ketinggalan Kak Yati turut sama datang. Pelbagai juadah yang dibawa, antaranya meehoon goreng, bubur pulut hitam, kuih-muih dan buah-buahan di samping nasi dagang yang disediakan oleh Laili.

Apabila bersua sahaja maka riuh rendahlah jadinya. Di samping bertanya khabar, masing-masing kelompok ada alkisahnya tersendiri. Kaum ibu dengan cerita kekeluargaanya, manakala kaum bapa pula dengan isu-isu semasa dan sukan (esp. tenis dan golf). Dan paling teruja adalah anak-anak yang tak sabar-sabar lagi untuk turun ke padang di seberang jalan hadapan rumah untuk bermain kriket.

Selepas makan sahaja, mereka terus berkejar ke padang dengan peralatan kriket yang dibawa oleh Lajiman dan juga set kriket kepunyaan Iddin. Selepas penat bermain kriket, mereka beralih pula kepada bola sepak. Anak-anak perempuan pula berjalan-jalan di tepi padang atau bermain- kejar-kejar. Riuh rendah suara mereka menceriakan petang yang sedikit sejuk dengan cuaca yang redup dan berangin sambil ditemani oleh kaum bapa di tepi padang.

Kaum ibu di rumah pula sibuk dengan sesi membuat kuih bom berlenga sambil mengelilingi sifunya Su Aznan. Elok juga diteruskan sesi buat kuih ni, bolehlah kami turut merasa. Yang lain pula sibuk berbual-bual sambil menjamu selera di meja makan. Sesekali kedengaran suara gelak ketawa apabila timbul sesuatu hal yang melucukan.

Tanpa disedari masa begitu cepat berlalu, tanda-tanda malam menjelma semakin jelas di ufuk barat. Anak-anak nampak kecewa apabila diminta berhenti kerana belum puas bermain. Kaum ibu yang ralit di rumah pun terpaksa diperingatkan. Sebelum pulang mereka dijamu dengan aiskrim Malaysia. Seronok melihat anak-anak menghisap ais berperisa oren, lime dan milo dari plastik panjang sambil berehat di beranda belakang rumah.

Sebagai buah tangan, mereka dibekalkan dengan makanan berbaki yang dibawa dengan harapan perjumpaan seumpamanya terus diadakan di lain masa, berselang seli dari rumah ke rumah, sekurang-kurangnya 2 atau 3 minggu sekali ataupun sebulan sekali. Kita tunggu rumah siapa yang akan menjadi lokasi perjumpaan seterusnya.

Saturday, December 8, 2007

Tetamu Dari Malaysia - 03

Dr. Rosdiani, bertudung hitam duduk di belakang, di sebelah kanannya Dr. Suryani dan Dr. Azhar
Petang Rabu (05/12/2007), kami dikunjungi oleh rakan-rakan pensyarah dari Sydney iaitu Dr. Rosdiani dan keluarga serta Dr. Azhar dan isteri, Dr. Suryani sekeluarga. Dr. Rosdiani adalah kenalan Laili, sama-sama sebagai pensyarah Fakulti Perubatan, cuma universiti sahaja berbeza. Manakala Dr. Azhar dan Dr. Suryani adalah kenalan baru dikenali.

Mereka adalah pensyarah perubatan dari USM Kubang Kerian yang sedang mengikuti kursus pengajaran anjuran bersama USM dan Sydney University (dikenali sebagai USMUS) untuk tempoh 3 bulan sejak bulan Oktober yang lalu. Dan mereka mengambil kesempatan untuk melancung ke Melbourne sebelum pulang ke Malaysia. Mereka tiba di Melbourne tengahari Selasa dan menginap di Caravan Park berdekatan Dandenong.

Pagi Rabu, mereka sempat membeli-belah di DFO Morrabin dibawa oleh Laili sebelum singgah menjamu nasi ayam ala kadar di rumah kami. Maaflah ya, itu sahaja yang sempat kami hidangkan. Sambil makan sambil berbual-bual dan yang penting dapat merehatkan diri setelah kepenatan seharian di jalanan sehari sebelumnya dan paginya pula berjalan-jalan mencari buah tangan.

Kira-kira pukul 7:00 petang mereka mula beredar untuk mengejar agenda melancung seterusnya, ke Phillip Island untuk melihat dan bergambar dengan deretan penguin yang terkedek-kedek berjalan keluar menjelang matahari tenggelam. Keesokan harinya pula dengar khabar mereka ke Great Ocean Road melihat fenomena alam yang unik terutama 12 Apostles yang tercacak teguh di pinggir laut sebelum berangkat pulang ke Sydney pada petangnya.

Terima kasih atas kunjungan kalian. Insya Allah ketemu lagi.

Tuesday, December 4, 2007

Tetamu Dari Malaysia - 02

Dari kiri; Fairuz, Marini, Laili, Ruzanna dan Yan bergambar sebelum balik ke apartment
Petang Jumaat baru-baru ini kami berbesar hati menerima kunjungan rakan sekerja Laili di HUKM; Achik Ruzanna, Marini, Fairuz dan Tuty Iriani. Mereka berempat berserta beberapa orang lagi pakar psikiatrik dari Malaysia sedang mengikuti Persidangan Psikiatrik Sedunia di Melbourne dan tamat keesokan harinya sebelum berangkat pulang ke Malaysia pada hari Ahad. Dalam kesibukan dan kepenatan dengan jadual kursus yang padat, kami amat-amat hargai kerana masih sempat menggagahi diri bertamu ke rumah kami.
Mereka menaiki keretapi dari City dan turun di Dandenong Station selepas tamat sesi ceramah pada petangnya. Tak disangka-sangka mereka dapat tip dari seorang tua yang menyarankan mereka ambil tiket selepas jam 06:00 petang kerana boleh digunakan untuk tempoh lebih panjang (hingga jam 03:00 pagi keesokan harinya) berbanding tiket biasa hanya laku dalam tempoh 2 jam sahaja. Satu tip yang menarik lebih-lebih lagi kami sendiri pun tak pernah naik keretapi tetapi sememangnya berhajat untuk menaikinya di suatu hari nanti, terutama untuk ke Melbourne City yang terkenal sibuknya itu (takut nak bawa kereta..8)
Bila dah berjumpa, macam-macam berita dan cerita yang diperbualkan. Sambil menjamu selera sambil bercerita. Begitulah lumrahnya bila dah lama tak bersua sehinggakan masa yang berjalan pun terasa begitu cepat sekali berlalu. Malam menjelma. Selepas solat Maghrib mereka bertolak balik ke apartment tumpangan di City menaiki keretapi.

Sekali lagi, terima kasih kerana sudi menjenguk kami. Insya Allah ketemu lagi di lain kesempatan. Usah lupa, sampaikan salam ingatan mesra dari kami di Australia kepada rakan dan kenalan di tanah air.
Insya Allah esok lusa dijangka pensyarah USM yang sedang mengikuti kursus di Sydney akan datang melancung ke Melbourne dan juga dikhabarkan keluarga Shahrir dari Terengganu pun akan datang ke rumah kami. Dan minggu berikutnya diberitakan rakan-rakan Post-Graduate dari Adelaide pula akan turun ke Melbourne. Insya Allah akan dimuatkan dalam entri berikutnya... 8)

Monday, December 3, 2007

Tetamu Dari Malaysia - 01

Dari kiri, Ija, Kak Mus dan Dr. Nursiah berlatarbelakangkan deretan pohon anggur
Dua minggu lepas, kami dikunjungi oleh adik dan kakak Dr. Norhayati, Ija dan Kak Mus yang datang selama 4 hari menziarahi Kak Yati yang menjalani pembedahan bawah lidah di Box Hill Hospital. (Didoakan moga Kak Yati cepat sembuh. Ameen)
Sementara menunggu waktu melawat di sebelah petangnya, mereka sempat berjalan-jalan di sekitar Melbourne di sebelah paginya dibawa oleh Dr. Nursiah. Mereka amat bernasib baik kerana kebetulan Dr. Nursiah sendiri sedang bersiap-siap untuk pulang ke tanah air setelah tamat kursus sub-speciality-nya di Monash Uni.
Mereka berkunjung ke Healesville Wildlife Sanctuary melihat haiwan tipikal Australia terutama kangaroo, tenggelam dalam lautan pelbagai jenis bunga ros yang mekar berkembang di Magic Garden Roses dan memetik ceri di Cherry Haven di Yarra Valley di mana kami pun serta. Dengar khabar sempat juga mereka ke DFO dan Victoria Market untuk membeli buah tangan untuk dibawa pulang ke Malaysia.
Walaupun baru bersua, tetapi kemesraan yang terjalin bagaikan telah lama saling mengenali. Begitulah indahnya silaturrahim kiranya dibina atas dasar ukhwah. Insya Allah ketemu lagi di lain ketika.