Thursday, December 27, 2007

Menyusuri The Great Ocean Road - Day 01

Hujung minggu dan awal minggu baru-baru ini kami sekeluarga berjalan lagi. Hari Sabtu dan Ahad kami menyusuri Great Ocean Road di selatan Victoria. Hari Isnin pula kami naik ke pendalaman menyelami perit-jerih perlombongan emas di Ballarat. Kami ke sana berkonvoi dengan Dr. Yusof dan Dr. Mariana sekeluarga.

Album gambar di The Great Ocean Road disertakan di sebelah kiri web page.

Hari Sabtu (22/12/2007)
Cuacanya agak kurang baik dengan hujan renyai-renyai sesekali lebat sejak awal pagi lagi. Suhu pula agak sejuk, sekitar 15 darjah Celcius, terasa seakan-akan musim sejuk pula sedangkan sekarang dalam musim panas. Itulah fenomena cuaca di Melbourne sehingga dikatakan “4 musim dalam sehari”.

Kami bertolak dari rumah Dr. Mariana di Clayton melalui Princess Hwy ke Geelong, seterusnya melencong ke Surf Coast Hwy ke Torquay di mana bermulanya Great Ocean Road. Mengikut perancangan awal, kami sepatutnya ke Mornington Peninsula untuk merasai pengalaman menaiki feri menyeberangi Port Phillip Bay dari Sorrento ke Queenscliff tetapi terpaksa dibatalkan kerana cuaca yang agak kurang baik. Mungkin di lain masa, ketika berjalan-jalan di Mornington Peninsula.

Menyusuri Great Ocean Road yang berliku-liku bagaikan ular kena palu, kami terpesona dengan pantainya yang amat cantik. Pasir memutih melatari pinggir laut diselang-seli dengan batu-batu yang berceracak di gigi air dan juga di tengah laut. Airnya yang membiru dengan ombak yang beralun lembut menghempas batu menambahkan lagi seri pantai. Jalan yang dilalui betul-betul di tepi pantai dan ada ketika pantainya nun jauh di bawah, terasa gerun pula di hati. Hujan masih turun di sepanjang jalan dan adakalanya agak lebat menghalang kami untuk singgah. Cukuplah sekadar menikmati keindahan alam ciptaan Allah melalui cermin kereta.

Hampir 2 jam perjalanan (kira-kira 170 km), kami singgah di Information Centre di Lorne kerana anak-anak nak ke tandas sebelum singgah kali ke dua di Information Centre di Appolo Bay untuk makan. Hujannya masih lebat, terpaksalah kami makan dalam kereta sahaja. Kami hanya sempat singgah sekali sahaja ketika hujan yang turun berhenti seketika.
Perjalanan seterusnya menyusuri Great Ocean Road lebih mencabar kerana perlu mendaki dan menuruni cerun merentasi Otway Rangers yang agak jauh. Laluannya berbengkang-bengkok dengan pokok-pokok di sekitarnya, tiada lagi pemandangan pantai. Anak-anak mengeluh terasa pening. Kami tiba balik di tepian pantai di Princetown sehinggalah tiba di Port Campbell National Park di mana terletaknya 12 batuan unik yang tertacak tegak di pinggir laut, lebih dikenali sebagai 12 Apostles. Di sepanjang pinggir laut dari Cape Otway ke selatan dikenali sebagai “threading the eye of the needle”. Ini kerana banyak kapal yang telah karam sehingga pesisirannya lebih terkenal sebagai Shipwreck Coast.
Gambar lama yang diambil sebelum bulan Jun 2005.
Keunikan 12 Apostles sememangnya menjadi tarikan utama pelancongan dan terkenal di merata tempat sehinggakan ianya sinonim dengan Great Ocean Road – sesuatu yang wajib dilawati. Sewaktu kami tiba di situ, hari dah pun petang, hujan telah pun reda tetapi anginnya agak kuat, menyejukkan lagi persekitaran yang sememangnya sejuk. Telinga terasa bengap dan sakit, manakala hidung pula berair.

Gambar menunjukkan apostle ke-9 (paling hadapan) patah pada 03 Jun 2005 meninggalkan tunggul batu.
Laluan peninjau dengan beberapa pusat tinjauan yang strategik dibina menghadap laut dan apostles di pinggir laut terasa begitu dekat sekali. Apostles terbentuk disebabkan pukulan angin dan ombak sejak berzaman, garisan beralun jelas tertera di permukaannya. Di setengah tempat, kelihatan bongkah batu besar di laut bagaikan pulau. Tidak mustahil suatu hari nanti ianya akan menjadi sebahagian daripada apostles sedia ada, mungkin juga menggantikan apostle yang hilang ditelan hukum alam. Diberitakan kini hanya tinggal 8 apostles sahaja akibat hakisan ombak dan angin di mana yang terakhir patah pada 03 Jun 2005.
Bergambar bersama Dr. Mariana dan anak-anaknya berlatarbelakangkan apostles.
Bunyi siulan jelas kedengaran setiap kali angin kencang melanda dinding batu di tepian pantai yang melekuk ke dalam kesan tujahan angin. Yang pasti para pengunjung tidak melepaskan peluang untuk bergambar dan merakamkan keunikannya. Malangnya kamera kami kehabisan bateri, tidak dapat kami rakamkan gambar mengikut kehendak hati, sekadar berkongsi kamera dengan Mariana (Jutaan terima kasih pada Mariana dan Yusof.…8)
Hampir sejam di 12 Apostles, kami beredar menuju motel yang disewa. Keluarga Yusof dan Mariana ke Port Campbell, manakala kami pula ke Peterborough. Jaraknya taklah jauh, kira-kira 20 minit perjalanan sahaja. Malamnya kami tak kemana-mana kerana semuanya dah kepenatan.

No comments: