Thursday, December 27, 2007

Menyusuri The Great Ocean Road - Day 02

Hari kedua menyusuri Great Ocean Road. Yusof sekeluarga tidak bersama kami hari ini, mereka terus ke The Grampians menikmati keindahan alam di kawasan tanah tinggi, seterusnya bermalam di sana.

Untuk melihat gambar-gambar yang dirakamkan, sila rujuk album foto di sebelah kiri web page.



Hari Ahad (23/12/2007)

Bergambar di Peterborough Frontbeach.
Cuaca hari ini agak baik. Matahari pun dah kelihatan walaupun sesekali mendung dengan rintikan hujan. Paginya kami ke pantai Peterborough Frontbeach, tak jauh dari motel di mana terdapat dataran peninjau menghadap laut yang dipenuhi batuan besar dengan ombak yang agak kuat menghempas batu. Dari info board yang terpacak di situ, diberitakan pada akhir tahun 1800an dan awal 1900an beberapa kapal telah karam di situ dan telah meragut banyak nyawa. Terdapat satu monumen peringatan untuk James Irvine yang kehilangan nyawa sewaktu menyeberanginya pada tahun 1919. Tidak menghairankan kerana bebayang tunggul-tunggul batu jelas kelihatan di permukaan laut.

Laili dan anak-anak di stesyen tinjau di Bay of Islands
Seterusnya kami menyusuri jalan beriringan dengan Bay of Islands Coastal Park sepanjang 33 km yang telah merakamkan banyak tragedi kapal karam. Kami di singgah di dua teluk iaitu Bay of Martyrs dan Bay of Islands untuk melihat secara dekat keunikan batunya yang terjonggol di pinggir laut serta pantainya yang cantik sebelum bergerak menuju ke Warrnambool. Di sini kami tak berkesempatan untuk berjalan-jalan kerana kesuntukan masa, sekadar singgah di Information Centre, di ATM dan isi minyak kereta sahaja. Mungkin ketika hendak ke Mt. Gambier di suatu hari nanti, kami akan singgah di Warrnambool.

Keindahan Lord Ard Gorge - dari atas (kiri) dan di pantainya (kanan)
Kami berpatah balik ke Peterborough menuju ke Port Campbell untuk melihat keunikan batuan di Lord Ard Gorge. Ianya dikaitkan dengan kapal Lord Ard yang telah karam pada tahun 1878, meragut 52 nyawa dengan 2 orang terselamat. Kapal Falls of Halladale juga karam di situ pada tahun 1908 yang sedang belayar dari New York ke Melbourne. Malah banyak lagi kapal yang tenggelam di sekitarnya.

Bentuk teluknya amat cantik dengan air yang beralun tenang. Muaranya pula mengecil di hujung dua batuan yang tersergam megah. Dinding di pantai melekuk dengan batu-batu berceracak bergantungan dari atas. Pengunjung dibenarkan turun ke pantai menggunakan tangga yang disediakan. Pantainya yang melandai dengan pasir halus yang memutih bersih benar-benar mendamaikan hati.
Memberi makan camar laut di Port Campbell Harbour (kiri) dan pemandangan Arch (kanan)
Seterusnya kami ke Port Campbell Harbour di mana jetinya terletak di teluk yang begitu tenang airnya. Di sini anak-anak seronok memberi makan camar laut (seagull) yang kelihatan amat jinak sekali. Kemudian kami singgah pula di Arch di mana terdapat bongkah batu di gigi air yang berlubang di tengahnya.
London Bridge di sebelah kiri dan The Grotto di sebelah kanan
Selepas itu kami singgah pula di London Bridge melihat bongkahan batu yang terputus dari daratan pada tahun 1990 membentuk seolah-olah jambatan yang runtuh. Lokasi terakhir adalah The Grotto, bongkah batu yang terdapat laluan di tengahnya menghala ke tepi pantai.

Petangnya, dalam sejuk angin mengigit tulang, anak-anak dengan selamba sahaja turun ke pantai berdekatan motel, berlari-lari ke sana-sini mengutip rumpai laut dan kulit siput/kerang dan adakala bermain pasir dan air. Malamnya semua tidur kepenatan.

Sesungguhnya setiap keindahan dan keunikan sesuatu itu menginsafkan kita, membuktikan betapa Allah SWT amat besar kekuasaanNya, cukup sekadar Kun Fa Yakun... Jadilah Maka Jadilah Ia.

No comments: