Friday, July 27, 2012

Muhasabah Diri

Salam Ramadhan al Mubarak untuk semua.

Setinggi-tinggi penghargaan atas kunjungan kalian semua ke blog ini. Melihat kepada statistik capaian (statcounter) yang telah pun melebihi 50,000 capaian, bolehlah ia dikatakan memberangsangkan juga. AlhamduliLlah. Terima kasih.

Jika anda perasan, di kebanyakan entri kami, sering kali disentuh perkara berkaitan agama kita (Islam) samada secara langsung mahu pun sepintas lalu. Adakalanya dinyatakan secara spesifik yakni sebagai peringatan untuk diri kami yang sering alpa akan tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT dan umat Nabi Muhammad SAW.

Namun pada masa yang sama ingin sekali dikongsi bersama para pengunjung semua. Moga ada manafaatnya untuk kebaikan kita - dunia dan akhirat. Insya Allah. Ameen.

Terus terang, kami tidak bermaksud untuk menunjuk ajar orang lain tetapi lebih kepada muhasabah diri di atas segala kekurangan yang ada. Lebih-lebih lagi untuk anak-anak kami yang sedang meningkat usia remaja di tengah-tengah pancaroba keduniaan yang sering dipandang indah pada kulitnya tetapi isinya belum tentu menepati acuan Illahi.

Tambahan pula masing-masing berkeupayaan mengakses sebarang bahan dari internet dengan mudah. Tidak secara langsung mereka dapat membaca luahan hati kami dan harapan yang ingin dicapai. Tiada yang lain hanyalah redha Allah yang diharapkan.

Sesuatu yang baik itu adalah dari Allah SWT, manakala yang buruk itu adalah dari kekurangan diri sendiri (moga diampuniNya). Mohon maaf kiranya tersilap bicara.

Saturday, July 21, 2012

Salam Ramadhan Kareem

Ahlan wa Sahlan ya Ramadhan al Mubarak.

AlhamduliLlah, setinggi-tinggi kesyukuran selayaknya untuk Allah SWT kerana diizinkan kita bertemu lagi dengan Ramadhan tahun ini. Moga kita semua dirahmatiNya di sepanjang Ramadhan dan dikurniakan ampunanNya setelah berakhirnya Ramadhan. Ameen.

Setiap kali tibanya Ramadhan, terasa gementar jauh di sudut hati ini. Bercampur baur antara gembira dan takut. Gembira kerana masih berpeluang meraih sebanyak mungkin kelebihan yang ada di bulan nan barakah ini. Manakala takut pula kerana khuatir tidak dapat mengimarahkan Ramadhan dengan sewajarnya.

Apakah Ramadhan tahun ini mampu menjadi yang terbaik berbanding Ramadhan-Ramadhan terdahulu? Itulah yang sering berlegar-legar di fikiran.

Sedia maklum, Ramadhan bukan sekadar menahan lapar-dahaga serta perkara yang membatalkannya tetapi lebih daripada itu. Ianya adalah bulan ibadah, bulan kebajikan dan bulan keberkatan yang berganda-ganda melebihi bulan-bulan lain.

Betapa pemurahnya Allah SWT pada bulan ini. Amat malang kiranya kita tidak merebut setiap ganjaran yang ditawarkanNya.

Segala peluang terbentang luas di sekeliling kita. Tepuk dada tanya iman, mana satu yang menjadi pilihan - meningkatkan ilmu, iman dan amal ataupun leka dan mengeluh dengan sedikit dugaan.

RasuluLlah SAW bersabda,"Barangsiapa mendirikan Ramadhan penuh keimanan dan berkira-kira mencari keredhaan Allah, maka akan diampuni dosa-dosanya yang lepas" - Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Ya Allah, kurniakanlah kami kekuatan, kesungguhan dan keikhlasan dalam beribadah kepadaMu. Permudahkanlah kami dalam setiap urusan harian kami.

Ya Allah, anugerahkanlah kami puasa yang terbaik serta amal kebaikan yang terbaik. Jadikanlah kami hambaMu yang terbaik di sepanjang Ramadhan tahun ini. Dan jadikanlah Ramadhan kali ini yang terbaik buat kami.

Itulah harapan kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pemurah lagi Maha Memperkenankan. Ameen Ra Rabbal 'alameen.

Thursday, July 12, 2012

Nostalgia Salji di Australia

Facebook - amat jarang saya membukanya. Sesekali dijenguk hanya untuk mengetahui khabar berita rakan-rakan yang sering mengemaskini FB masing-masing.

Beberapa hari ini didapati ramai rakan yang begitu seronok sekali menyiarkan foto-foto terkini mereka sekeluarga sedang bermain salji di kawasan pergunungan di selatan benua Australia. Tidak kira rakan-rakan yang masih di Australia, mahupun yang berkunjung ke sana.

Dengan pakaian tebal membalut badan, snow boot kemas di kaki, muffler lembut membelit leher dan beanie menyerkup kepala - tampak bergaya sekali dengan berlatarkan persekitaran bersalji memutih. Sahlah fotonya di kawasan salji, bukannya sekadar super impose.

Barulah kami teringat, kini musim sejuk di sana. Sekaligus terimbas di ruang mata akan nostalgia selama hampir 4 tahun (2007-2010) kami 'bermastautin' di Australia, khususnya di Melbourne, Victoria.

Musim sejuk di Australia bermula dari bulan Jun sehingga Ogos. Kini adalah bulan Julai, masa yang sesuai untuk berkunjung ke kawasan bersalji di pergunungan tertentu. Manakala bagi Muslim, inilah waktunya kerana tidak sampai seminggu lagi bermulalah bulan Ramadhan. Bukannya apa, kot-kot tidak larat diselimuti kesejukan salji, salah satu penyebab cepat terasa lapar dan dahaga.

Selama 'tinggal' di bumi Aussie, kami tidak pernah ketinggalan bermain salji. Sekurang-kurangnya sekali setiap tahun tetapi biasanya berulang-ulang kali. Apatah lagi ketika membawa tetamu samada dari tanah air mahu pun dari pelusuk lain tanah Australia yang tiada salji (antaranya South Australia).

Lake Mountain adalah destinasi salji yang amat kami gemari. Lokasinya hanya 100 km dari kediaman kami di Dandenong. Malangnya pada tahun 2009, kebakaran hutan telah memusnahkan kawasan tersebut menyebabkan salji langsung tidak 'lekat' pada tahun-tahun berikutnya. Dari foto-foto yang diposkan di FB, nampaknya Lake Mountain kembali berseri dengan salji memutih.

Mount Buller juga antara destinasi salji yang menarik. Kawasannya jauh sedikit dari rumah kami, sekitar 200km jaraknya. Pilihan kami adalah bermalam di sekitarnya dan bermain salji seharian di puncaknya pada keesokan harinya. Tidak silap kami, hanya 2 kali kami ke Mt. Buller.

Mount Baw-Baw, letaknya tidaklah jauh sangat dari rumah, sekitar 135km sahaja. Akan tetapi kami tidak suka ke sana kerana jalannya berliku-liku - kepala cepat terasa pening dan tekak meloya. Tidak sesuai untuk kami. Hanya sekali kami ke sana, itu pun pada tahun pertama kami di Melbourne. Selepas itu 'tobat' tidak pernah menjejakkan kaki walaupun diajak oleh rakan sekampung.

Lain-lain kawasan di sekitar Melbourne yang tidak kurang popularnya adalah Mt. Hotham dan Falls Creek. Berhajat juga kami untuk ke dua-dua tempat tersebut tetapi tidak kesampaian. Salah satu sebabnya adalah lokasinya agak jauh dari kediaman kami. Cukuplah dengan apa yang ada berdekatan kami. Salji tetap salji, cuma pemandangannya berbeza.

Sebilangan besar pengunjung kawasan bersalji adalah peminat ski dan papan luncur. Tidak untuk kami. Memang ada hasrat untuk belajar bermain ski melalui kelas-kelas yang dianjurkan tetapi kosnya mahal. Cukuplah sekadar bermain toboggan dan snowtube meluncur menuruni cerun ataupun melayan anak-anak membina snowman dan snowcastle atau saling membaling snowball.

Jika bernasib baik, kami dihujani snowflake yang turun bagaikan gerimis melekat pada pakaian. Untuk meninjau keindahan persekitaran yang memutih bak hamparan permaidani putih, biasanya kami menaiki chairlift yang bergerak dari satu stesen ke stesen berikutnya.

Sebenarnya, musim sejuk adalah musim yang paling kami tidak gemari. Suasana sejuk menyebabkan kami menjadi pasif - malas bergerak. Namun dek kerana mengingatkan seronoknya bermain salji dan itulah peluang yang ada, maka segala yang pasif tiba-tiba menjadi aktif.

Sejuknya salji memang terasa, apatah lagi jika pakaian mulai basah dan salji mencair di dalam kasut. Pilihannya hanya satu - berhenti sahaja dan duduk diam-diam di dalam kereta atau di ruangan menunggu yang panas.

Walaupun sejuk, namun kewajiban bersolat tidak pernah dikesampingkan. Biasanya lokasi yang sedikit terlindung dengan beralaskan kanvas/ tikar, cukup untuk kami menzahirkan rasa syukur atas setiap nikmat yang dianugerahkanNya. Bermain salji jugakan satu nikmat daripada Allah.

Cuma kami merasa amat sedih melihat sebilangan rakan yang memandang ringan akan kewajiban yang satu ini dengan pelbagai alasan yang direka-reka. Kata pak guru, hukumnya mudah, jika kerana bermain salji menjadi sebab solat ditinggalkan, maka aktiviti bermain salji serta perjalanannya itu jatuh haram walaupun hukum asalnya harus. Maka jadilah keseluruhannya haram. Begitu juga pada kegiatan seharian kita yang lain. NauzubiLlahi min zaalik. Ameen.

Wednesday, July 11, 2012

Di Ambang Ramadhan

[Catatan ini adalah sebagai peringatan untuk diri ini yang sering alpa. Moga ada manafaat bersama]

Bulan Sya'aban kini semakin menghampiri penghujungnya. Seterusnya berganti pula dengan bulan Ramadhan - bulan yang sinonim dengan amalan sebulan berpuasa. Itulah yang terpahat di sanubari kita sejak zaman kanak-kanak lagi.

Tiada salahnya tetapi pengertiannya kurang tepat.

Bagi mereka yang berusaha mendekatkan diri kepada Allah SWT, hadirnya Ramadhan amat menggembirakan. Inilah bulan kemuliaan yang tiada tandingannya. Dipenuhi dengan kebaikan, keberkatan dan rahmat Allah yang berlipat ganda. AmpunanNya terbuka luas. Doa munajat amat mustajab. Malah dianugerahi pula malam nan istimewa yang terlebih baik daripada seribu bulan. Betapa pemurahnya Allah di bulan nan satu ini.

Justeru itu, apa lagi yang sewajarnya kita lakukan? Apakah ingin kita lepaskan kesempatan yang amat lumayan ini? Allahu akbar. Wahai hati, muhasabahlah diri...

Dari itu, saya berpesan lebih kepada diri sendiri, anak-isteri dan rakan-taulan semua - marilah sama-sama kita hidupkan Ramadhan tahun ini dengan sebanyak mungkin amal ibadah serta kebaikan. Marilah sama-sama kita berusaha melakukan yang terbaik yang selayaknya sebagai hamba Allah dengan mengharapkan redha dan rahmat dariNya.

Dengan Sya'aban yang masih berbaki ini, marilah kita melatih diri kita untuk mendekatkan diri kepadaNya dengan amalan puasa sunat, solat malam, baca Qur'an dan menghayati kandungannya, bersedekah, beriktikaf dan bersolat jemaah di masjid, bertaubat nasuha, berbuat baik sesama insan, menjaga tutur bicara dan perbuatan serta sentiasa bermunajat kepadaNya. Moga apabila tibanya Ramadhan kita telah pun terbiasa dengannya, maka mudahlah untuk kita meningkatkan lagi nilai amalan.

Moga kita semua dikurniakan kesihatan, kekuatan dan dipermudahkan olehNya. Ameen Ya Rabbal 'aalameen.

Marhaban Ya Ramadhan al Mubarak.