Wednesday, September 29, 2010

Great Ocean Road - Bhg 1

Pagi semalam tetamu kami; Cik Kamal (Siti Kamalia, ibu saudara Laili), Hafizi, Kak Ijan (Rohizan, sepupu Laili), Wandah dan rakan Kak Ijan, Ros (Siti Roswany) telah berangkat pulang ke Malaysia setelah lebih 10 hari bertamu di rumah kami. AlhamduliLlah... petangnya khabar diterima semuanya selamat tiba di tanah air.

Mereka tiba di Melbourne pada pagi Ahad, 19/09/2010 menaiki Penerbangan Air Asia. Kami menjemput mereka di Melbourne Airport, terus dibawa memenuhi jemputan raya di rumah Rozali-Zai, kenalan warga Singapura yang telah lama menetap di sini. Terima kasih Zali dan Zai.

Pada hari Isnin dan Selasa, mereka hanya dibawa berjalan-jalan di sekitar Dandenong; Dandenong Market, Dandenong Plaza, DFO Morrabbin dan beberapa kedai barangan terpakai (Savers, Salvos dan Vinnies). Tambahan pula Laili ada temu janji dengan penyelia pengajiannya di universiti. Elok juga... dapatlah mereka berehat dan menyesuaikan diri dengan perubahan masa dan cuaca yang sejuk di Melbourne.
Sebahagian foto di Great Ocean Road terdapat di Album Foto Kami (Great Ocean Road 01).

Perjalanan ke Aireys Inlet
Tengahari Rabu, menaiki 2 buah kereta kami memulakan perjalanan ke Torquay, di mana bermulanya The Great Ocean Road. Keadaan cuaca baik sekali, panas dan mendung silih berganti.

Setibanya di Geelong kami menyinggah di Rippleside Park untuk makan tengahari. Sempatlah masing-masing bergambar di Rippleside Quay yang menghadap ke Corio Bay. Begitu juga di sepanjang jalan pesisir pantai Great Ocean Road. Banyak tempat singgahan strategik disediakan menghadap Bass Strait.

SubhanaLlah, betapa indah dan uniknya alam ciptaan Allah. Lautnya membiru, ombak tenang membadai pantai yang berbatu-batu, cerun dan jurang beralur-alur kesan hakisan angin dan ombak.

AlhamduliLlah, kami tiba di Lightkeeper Inn, Aireys Inlet kira-kira jam 3:30 petang. Itulah tempat menginap kami. Petangnya dan keesokan paginya kami berjalan kaki ke pantai di mana letaknya mercu tanda Aireys Inlet, Split Point Lighthouse setinggi 34 meter yang dibina pada tahun 1891, sehingga kini masih beroperasi. Table Rock dan Eagle Rock jelas kelihatan berhampiran pantai. Menariknya terdapat juga Blowhole di tebing tinggi.

Menunggang Kuda @ Blazing Saddle
Agenda kami pada pagi Khamis adalah ke Blazing Saddle, tidak jauh dari motel, khusus untuk sesi menunggang kuda. Hanisahlah yang paling teruja, sesuatu yang telah lama diimpikannya. Turut serta adalah saya, Izzuddin, Solehah dan Ros. Masing-masing dengan kuda sendiri.

Hampir 2 jam kami dibawa melalui laluan hutan, mendaki dan menuruni bukit sambil diberi tunjuk ajar oleh para pengajarnya. Gerun juga di hati, bimbang tersilap bagi arahan/reaksi kepada kuda yang ditunggangi, nanti lain pula aksinya. Imran dan Wandah pula menaiki kuda kecil, pony sambil dibawa berjalan oleh Laili dan Kak Ijan meredah denai yang ditetapkan.

Pengalaman pertama yang tidak mungkin dilupakan. Pakaian yang dipakai pun berbau kuda. Nasiblah...

Perjalanan ke Port Campbell
Menghampiri waktu tengahari kami meneruskan perjalanan melalui Great Ocean Road. Singgahan makan tengahari kami adalah di Lorne Surf Centre, berhampiran pantai yang digemari oleh para peluncur air. Di sepanjang jalan pesisir pantai menuju Port Campbell, keindahan alamnya masih kekal terpelihara, memukau pandangan mata setiap pengunjung.

AlhamduliLlah, kami tiba di Port Campbell Holiday Park di mana kami bermalam kira-kira jam 4:00 petang. Bersebelahannya adalah Port Campbell Jetty yang terletak di teluk kecil, Port Campbell Bay yang berpantai, tempat singgahan wajib kami sebelum ini setiap kali ke Great Ocean Road.

Great Ocean Road - Bhg 2

Port Campbell National/Marine Park seluas 1,750 hektar bermula dari Princetown sehinggalah ke Springvale. Pesisiran pantainya juga dikenali sebagai Shipwreck Coast di mana banyak merakamkan sejarah silam kapal karam. Sejarahnya dipaparkan di setiap singgahan yang diwartakan.
Koleksi foto terdapat di Album Foto Kami (Great Ocean Road 02).

Twelve Apostles
Tumpuan utama kami di Port Campbell National Park adalah Twelve Apostles. Di gigi air tersergam teguh beberapa bongkah batu (apostle), berlatarkan tebing-tebing tinggi yang beralur-alur dan curam serta beralaskan pepasir pantai dan air laut. Deburan air laut kuat menghempas batu, sesekali percikannya melonjak tinggi menyapu muka kami.

Keindahan alam yang amat kami kagumi walaupun sekadar batu sahaja. Namun di sebaliknya ada peringatan Allah yang amat digeruni. Apostle tampak begitu kental sekali menahan asakan demi asakan; angin, ombak dan hujan. Sampai ketikanya tumbang juga, diganti pula oleh apostle baru yang terbentuk hasil fenomena alam. Begitu juga kehidupan kita. Maka ni’mat Tuhan yang manakah yang ingin kamu dustakan? Sanggupkah kita menjadi apostle?

Lorc Ard Gorge & London Bridge
Seterusnya kami menyinggah di Loch Ard Gorge yang indah di mana terakam sejarah kapal Loch Ard yang karam pada tahun 1878. Daripada 54 penumpang, hanya 2 orang sahaja yang terselamat, kelasi kapal dan wanita muda Irish. Singgahan kami selepas itu adalah London Bridge, pelantar batu yang menjulur ke laut, sebahagiannya telah pun terputus dilanda ombak. Segala-galanya mengambarkan kekuasaan Allah SWT yang tiada tandingannya.

Terdapat masih banyak lokasi menarik di Port Campbell dengan keunikannya tersendiri, antaranya Gibson Steps, The Island Archway, Thunder Cave, Sentinal Rock, Point Hesse, Grotto dan The Arch. Di Petersborough pun tidak kurang menariknya dengan pantai-pantainya yang landai berserta bongkahan batunya seperti di Bay of Martyrs, Halldale Point dan Bay of Islands. Namun kami kesuntukan masa, perjalanan kami perlu diteruskan.

Warrnambool
Tumpuan kami berikutnya adalah ke Warrnambool. Jarak perjalanan dari Port Campbell ke Warrnambool hampir 70 km, kira-kira 1 ½ jam perjalanan. Singgahan kami adalah di Information Centre di mana terdapatnya muzium sejarah, Flagstaff Hill bersebelahannya. Untuk makan tengahari dan solat jamak, kami berhenti di Lake Pertobe Park, tidak jauh dari Lady Bay.

Mengejar masa, kami bertolak pulang ke Melbourne kira-kira jam 3:30 petang melalui Princess Hwy menuju ke Queenscliff. Matlamat kami adalah menaiki feri ke Sorento di Mornington Peninsula. Sayangnya kami terlewat 10 minit sahaja sebelum feri terakhir jam 6:00 petang berlepas.

Begitulah aturanNya. Rupa-rupanya bumi Queenscliff menjadi saksi kami bersolat jamak di tempat letak kereta dengan dikerumuni nyamuk-nyamuk Maghrib yang kelaparan.

AlhamduliLlah, kami selamat tiba di Dandenong menghampiri jam 8:00 malam. Semuanya kepenatan. Hanya tilam, bantal dan selimut menjadi idaman.

Salam Kemaafan

Sejak beberapa minggu ini saya amat kurang menekuni internet. Jika ada pun sekadar membaca emel dan juga selembar dua berita tanah air di akhbar maya.

Akhir-akhir ini saya sibuk sedikit. Tambahan pula bila cuti sekolah tiba, komputer sememangnya lebih banyak didominasi oleh anak-anak. Untuk menulis dan mengemaskini blog pun tidak berkesempatan. Entri yang ada pun ditulis secara tergesa-gesa.

Sesekali menjenguk blog Salam Monash ini, terkesan juga di hati melihat masih ramai pengunjung yang sudi menyinggah. Sayangnya tiada al kisah baru yang dipaparkan. Malah selitan foto yang dijanjikan pun tidak kunjung tiba.

Maaf dipinta.

Sejak 10 hari lalu kami ada tetamu dari tanah air di rumah; ibu saudara Laili, Cik Kamal bersama anaknya Hafizi; sepupu Laili, Kak Ijan dan anaknya Wandah Hanim serta rakan Kak Ijan, Ros. Mereka dibawa berjalan-jalan ke Great Ocean Road, Phillip Island, Silvan dan juga sekitar Dandenong. Kebetulan anak-anak sedang bercuti sekolah dan Laili pula dapat meluangkan sedikit masanya. AlhamduliLlah petang semalam mereka selamat kembali ke Malaysia.

Sebelum Hari Raya, kami juga ada tetamu; emak-abah Laili berserta adik Laili, Nita Hanani sekeluarga serta Nasrul Hakim. Mereka datang kira-kira 10 hari sebelum hari Raya. Selepas seminggu mereka ke Sydney, beraya bersama keluarga Eusni Rahayu di Carlton. Ketika di Melbourne mereka dibawa ke Phillip Island, Lake Mountain dan Melbourne City, di samping Dandenong sendiri.

Seminggu selepas Raya pula kami sibuk dengan persediaan Majlis Sambutan Raya Dandenong yang telah diadakan di Jells Park.

Insya Allah, blog ini akan dikemaskini sekadar termampu. Terima kasih kepada semua.

Tuesday, September 21, 2010

Cuti Penggal Ke-3

Hari Jumaat (17/9/2010) adalah hari terakhir persekolahan Penggal Ke-3 di Victoria, Australia. Anak-anak sekolah kelihatan begitu seronok sekali. Inilah saat yang ditunggu-tunggu untuk melepaskan lelah bersekolah. Keesokan harinya, Sabtu bermulalah cuti persekolahan untuk jarak waktu 2 minggu.

Panjang atau pendeknya cuti selama 2 minggu itu adalah sesuatu yang subjektif – bergantung bagaimana ianya diisi. Jika ianya dimanafaatkan secara bijak pasti hari-hari yang dilalui dirasakan amat menyeronokkan. Begitu juga sebaliknya.

Kepada anak-anak, diharapkan cuti persekolahan kali ini tidak membosankan. Isilah setiap waktu yang ada dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah. Moga sentiasa dirahmati Allah SWT.

Monday, September 20, 2010

Sambutan Raya Dandenong


Koleksi foto Raya terdapat di Album Foto Kami (Raya Dandy 2010).
Setiap tahun warga Kg Dandy tidak pernah ketinggalan menganjurkan Sambutan Raya Eid ul Fitr. Di samping untuk meraikannya sesama orang kampung, kami turut menjemput rakan-rakan lain dari kampung berjiran, terutamanya ahli keluarga South Eastern Families dan juga rakan-rakan dari utara Melbourne, Gippsland dan juga sekitarnya. Juga kenalan dari kalangan pemastautin tetap di Melbourne.

Untuk kali ini, program berkenaan telah diadakan pada hari Sabtu baru-baru ini bertempat di Jells Park. Satu kelainan dari segi tempat berbanding tahun-tahun sebelumnya di mana rumah-rumah menjadi pilihan.

Malah Sambutan Raya kali ini adalah yang terakhir untuk kami sekeluarga di perantauan setelah 5 kali berturutan tahun menyambutnya di Australia sejak tahun 2006 di Adelaide.

Cuaca di sebelah pagi amat menggusarkan hati. Hujan gerimis berserta angin bertiup menyebabkan persekitaran dirasakan begitu sejuk sekali. AlhamduliLlah, mulai jam 9:00 pagi sehinggalah majlis berakhir sekitar jam 4:00 petang, mentari kerap bersinar terang, sesekali mendung mengiringinya. Begitulah ketentuanNya. Moga itu tandanya ada rahmat Allah di sebaliknya.

Menu utama program kami kali ini adalah nasi kerabu, BBQ kambing-ayam-sosej, sup kambing dan daging masak hitam manis. Juadah sampingan seperti cocktail, kueh mueh, mee hoon, dendeng dan bermacam-macam lagi memenuhi setiap penjuru meja.

Sehari sebelumnya, sebahagian kaum ibu berkumpul di rumah Suraya untuk menyiapkan rencah dan ulaman nasi kerabu. Teringat pada tahun lepas di mana kaum bapa berkumpul di rumah yang sama untuk menyediakan sate dengan diketuai oleh pakar sate, Mokhtar.

Kehadiran para jemputan kali ini memuaskan walaupun sebahagiannya tidak dapat datang. Ramai yang tidak sihat, kesan perubahan musim dan keadaan cuaca yang tidak menentu sejuk dan panasnya. Namun kemeriahannya masih menyerlah. Ibu bapa dengan rakan-taulan, anak-anak pula dengan kelompok umur masing-masing. Kegembiraan dan keseronokan jelas terpancar dari setiap wajah.

Sebelum kami berpisah di sebelah petangnya, kesempatan diambil untuk meraikan Zura sekeluarga yang akan berpindah ke New Castle, NSW di penghujung bulan ini. Merekalah antara keluarga terawal di Dandenong selepas Dr. Aznan dan Dr. Nordin yang telah pun pulang ke tanah air. Moga persahabatan yang sedia terjalin terus berpanjangan selamanya. Ameen.
Tidak dilepaskan juga peluang untuk merakamkan foto keluarga Kg Dandy sebagai kenang-kenangan. Ramai di antara kami akan berpisah di akhir tahun ini, kembali ke tanah air setelah menamatkan pengajian masing-masing.

Berbanyak-banyak terima kasih kepada rakan-rakan Kg Dandy yang menunjukkan semangat berkerjasama yang mengkagumkan dalam menjayakan Sambutan Raya pada kali ini.

Friday, September 17, 2010

Ziarah Raya

Hari Raya dah pun seminggu berlalu. Masih terbayang lagi kemeriahan sambutan raya di perantauan Melbourne, khususnya di Dandenong. Walaupun tidak sama seumpama di tanah air tetapi keceriaannya tetap ada. Saling kunjung mengunjungi sambil bermaaf-maafan.

Hari Raya jatuhnya pada hari Jumaat, hari bekerja di Melbourne. Sedia maklum, tiada cuti umum yang diperuntukkan tetapi setiap yang bekerja, belajar dan bersekolah mengambil cuti pada hari berkenaan.

Sejak pertengahan Ramadhan lagi ahli keluarga Kg Dandy sepakat mengatur Program Ziarah Raya. Bergerak dari rumah ke rumah bagi yang sudi mengadakan rumah terbuka, samada secara bersendirian mahupun berkongsi juadah di rumah-rumah tertentu.
Sebahagian foto terdapat di Album Foto Kami (Ziarah Raya).

Seusai menunaikan Solat Raya bersama-sama komuniti Melayu di Mt. Waverley Youth Hall, kami terus pulang ke Dandenong. Bermulalah program Ziarah Raya. Rumah pertama dikunjungi adalah rumah Kafi-Yati di Deakin Cresent dengan juadah istimewa nasi kerabu dan nasi dagang. Selepas solat Jumaat, kami menyinggah di rumah Ustaz Zain-Saliza di Latham Ave. Kasihan... mereka sekeluarga demam sejak beberapa hari lalu. Sememangnya hawar demam-selsema-batuk cepat sekali merebak di permulaan musim bunga ini.

Kunjungan seterusnya adalah ke rumah Dr. Asmadi-Dr. Fatimah di Sylvan Ave, Keysborough. Wow... penuh meja makan dengan pelbagai juadah tradisional dan juga moden. Emm, bersemangat betul tuan rumah menyiapkannya.

Keesokan harinya (Sabtu), Ziarah Raya bermula dengan rumah Wafir-Suharti di Menzies Ave. Serawa durian bersama pulut adalah antara menu yang tidak pernah ketinggalan. Tengaharinya kami ke Clayton, memenuhi jemputan Sambutan Raya Clayton bertempat di rumah Azwardi-Shada. Suasana Raya yang amat menyerlah dengan masing-masing melaram dengan pakaian raya masing-masing.

Petangnya pula kami berkumpul di rumah Rashdan-Rohani di Shelton Cresent sehinggalah lewat petang barulah kami beredar pulang.

Pada hari Ahad, rumah kami adalah singgahan pertama Ziarah Raya. Kami berkongsi bersama Lajiman-Suraya, Ku Dan-Azura, Noh-Rafidah dan Azidah. AlhamduliLlah, juadahnya juga boleh dipelbagaikan. Tengaharinya pula kami ke rumah Hanif-Sham. Mereka juga berkongsi rumah terbuka bersama Hisham-Zurida dan Ajit-Amy.

Demikianlah Program Ziarah Raya kami bersama rakan-rakan sekampung. Walaupun diadakan secara ala kadar tetapi adab dan adat beraya tidak luntur ditelan budaya asing di negara orang. Cuma bezanya, di sini tiada budaya angpau atau duit raya.

Friday, September 10, 2010

Solat Raya

Hari ini Hari Raya Eid ul Fitr. Ianya disambut oleh umat Islam dikebanyakan negara termasuk di Malaysia dan juga oleh kami di Victoria, Australia. Sambutan yang menandakan berakhir sudah bulan Ramadhan dan kini bermula pula bulan Syawal.

Solat sunat Eid ul Fitr adalah antara tumpuan utama sambutan perayaan ini. Di sekitar Dandenong, terdapat beberapa tempat mengadakannya mengikut komuniti masing-masing.
Di masjid juga dilangsungkan solat sunat ini tetapi bukannya pada hari ini tetapi semalam. Ini kerana majoriti masjid di sini biasanya didominasi oleh masyarakat Turki yang merayakannya semalam.

Setiap tahun, biasanya kami bersolat sunat Eid ul Fitr di Monash University, Clayton. Berkumpul bersama rakan-rakan pelajar Malaysia serta masyarakat Muslim dari pelbagai bangsa, keturunan dan warna kulit.

Pada kali ini kami mengubah lokasi di mana terdapat komuniti Melayu (Khairat Melayu Islam Victoria – KMIV) menganjurkannya, bertempat di Mt Waverley Youth Centre.

Bagi kami, ini adalah tahun terakhir kami di Melbourne. Amat baik sekali jika dapat bersua muka dan berkumpul bersama-sama dengan mereka yang sebangsa dan sebahasa. Malah ramai di antaranya amat kami kenali dan rapat sekali. Melalui pertemuan ini dapatlah kami menyampaikan ungkapan perpisahan kiranya tidak bertemu lagi selepasnya.

Solat sunatnya sedikit lewat, melepasi jam 10:00 pagi baru dimulakan. Mengikut perancangan akan diteruskan pula dengan solat Jumaat kira-kira jam 12:30 tengahari.

Kami tiba sekitar jam 9:00 pagi. Ruang dewan yang disewa selesa sekali walaupun hanya dihampari tikar dan kanvas.
Menghampiri jam 10:00 pagi, ruang solat dipenuhi para jemaah. Dianggarkan hampir 500 orang yang turut serta. Alunan-alunan takbir dengan lengok kemelayuan yang dikumandangkan benar-benar meruntun jiwa, menghimbau kenangan di tanah air.

Intipati khutbah yang disampaikan oleh imam selepas solat sunat ringkas sahaja tetapi amat menyentuh perasaan. Pesanannya... jagalah solat pada setiap waktu, Insya Allah solat akan menjaga kita ketika di akhirat.

Seusai solat, masing-masing bersalaman dan berpelukan mesra sambil melafazkan ampun maaf atas segala salah dan silap yang dilakukan. Betapa indahnya Islam jika disebatikan dalam diri dan masyarakat.

Kami tidak menunggu lama walaupun bermacam-macam jenis juadah terhidang di meja, sama-sama memberi sama-sama merasa. Kami ada jemputan ziarah raya yang perlu dipenuhi sebelum masuknya waktu solat Jumaat, begitu juga selepasnya.

Takbir Raya

Malam Raya... ahli keluarga Kg Dandy berkumpul di rumah Sdr Norizam/Zulaiza di Grant St, Dandenong untuk Program Berbuka Puasa dan Takbir Raya. Majlis bermula dengan sama-sama berbuka puasa, diikuti solat Maghrib berjemaah dengan diimamkan oleh Sdr Mubarak.

Menu berbuka puasa kali ini sedikit berbeza daripada program seumpamanya sebelum ini. Istimewanya, ia lebih berkonsepkan makanan tradisional Melayu seperti nasi impit, soto, sup mee hoon dan nasi dengan pelbagai jenis lauk pauk. Tidak ketinggalan kueh-mueh sebagai pembuka selera.

Alunan takbir raya yang dilagukan sesudah solat Maghrib oleh imam dan bergiliran sesama rakan Kg Dandy selepas solat Isyak benar-benar meruntun jiwa. Terimbau segala nostalgia ketika di tanah air. Terasa pilu di hati mengingatkan ahli keluarga, sanak saudara dan rakan taulan yang jauh di mata tetapi amat dekat di sanubari.

Namun segala kerinduan terubat sudah, malah pasrah dengan ketentuanNya. Masing-masing tidak sendirian. Semua rakan-rakan di sekeliling adalah senasib. Malah merekalah ahli keluarga di perantauan, bak ungkapan lagu... Kita Serupa...

Di samping bertakbir raya, turut diselangi tahlil ringkas untuk arwah ibu Zurida yang meninggal dunia seminggu lalu, juga untuk arwah ibu Dr. Zamberi yang menyahut panggilan Illahi beberapa minggu sebelumnya. Al-Fatihah.

Juga sambutan hari jadi seadanya untuk ibu-ibu dan anak-anak yang lahir pada bulan September. Happy Birthday.

Dalam kesibukan ibu bapa di ruang tamu, anak-anak pula mempunyai agenda mereka tersendiri di halaman belakang, bermain bunga api.

Sebelum beredar pulang kira-kira jam 10:30 malam (dah lewat, anak-anak pun dah ketiduran), kami sempat mengadakan perbincangan ringkas Program Rumah Terbuka Dandenong, acara tahunan kami yang bakal diadakan pada 18-Sept-2010 nanti.

Segala puji untuk Allah SWT dan berbanyak-banyak terima kasih kepada tuan rumah yang sudi menjadi hos program yang diatur. Moga sentiasa dirahmati Allah. Ameen.

Thursday, September 9, 2010

Salam Eid ul Fitr

Semalam pihak Board of Imams telah mengumumkan tarikh sambutan Eid ul Fitr di Victoria adalah pada esok hari, Jumaat, 10 September 2010.

Announcement for Eid-ul-Fitr 1431/2010
Tuesday, 07 September 2010

The Board of Imams have announced that Eid ul Fitr for 2010 will be on Friday September 10.
Bagi kami komuniti Islam rakyat Malaysia di perantauan Melbourne dan sekitarnya sememangnya mengikut ketetapan dari pihak berkuasa agama berkenaan. Namun sebahagian komuniti Islam di sini, kebanyakannya masyarakat Turki telahpun menyambut Eid ul Futr semalam di mana mereka berpuasa awal sehari.

Di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung.

Universiti Ramadhan banyak mengajar kita erti kehidupan serta hubungan akrab dengan Allah dan sesama insan. Moga amalan kita selama sebulan Ramadhan diganjari keberkatan oleh Allah SWT.
Juga moga setiap kebaikan yang dilakukan sentiasa melekat kemas di sanubari kita, tidak sekadar bersemangat di bulan Ramadhan. Moga-moga. Ameen.

Kepada semua, salam Eid ul Fitr - Maaf Zahir dan Batin.

Ikhlas dari kami sekeluarga di Dandenong, Victoria, AUSTRALIA.

Friday, September 3, 2010

Tetamu Malaysia : Emak Abah

Sekarang ini ada tetamu di rumah kami. Insan-insan yang istimewa dan amat dekat dengan kehidupan kami terutama bagi Laili. Mereka adalah ibu bapa/ emak abah Laili dan adik-adiknya iaitu Nita Hanani bersama suami, Redzuan dan anak-anak; Abid dan Kaisah. Juga adik bongsu Laili, Nasrul Hakim.

Mereka selamat tiba di Melbourne pada pagi Rabu lalu. Insya Allah mereka akan berada di Melbourne selama seminggu sebelum berangkat ke rumah Eusni Rahayu di Sydney, New South Wales pada hari Rabu hadapan. Bermakna mereka akan berhari raya di sana.

Insya Allah Nita sekeluarga dan Hakim akan berada selama seminggu di Sydney sebelum berangkat pulang ke Melbourne, seterusnya terbang balik ke Malaysia.

Manakala emak dan abah pula akan tinggal di Sydney selama beberapa minggu sebelum kembali ke Melbourne. Mereka berdua dijadualkan pulang ke tanah air di akhir November nanti.

Menjelang hari ketibaan mereka, anak bongsu kami, Imran amat teruja sekali terutama untuk bertemu datuk dan nenek. Kerap kali diluahkan rasa hatinya.

“Ayah-ibu, Yan excited-lah nak jumpa atuk dan nenek”. Rindu yang teramat sangat. Malah dipesannya agar atuk menjemputnya di sekolah pada hari mereka tiba di Melbourne. Anak-anak lain pun tampak turut seronok menyambut kedatangan insan-insan yang disayangi.

Setelah beberapa hari di Dandenong, mereka telah dibawa berjalan-jalan ke Dandenong Market dan Dandenong Plaza serta bertarawikh di Masjid Emir Sultan.

Pada hari Khamis pula mereka dibawa berkunjung ke Phillip Island; antaranya menyuap makanan kepada kangaroo di Wildlife Park, menyaksikan petugas memberi makan burung pelican di San Remo Jetty dan juga menyinggah di Woolamai Beach.

Insya Allah, jika berkesempatan mereka akan dibawa mengunjungi beberapa tempat menarik lagi di sekitar Melbourne sebelum mereka berangkat ke Sydney. Dengan adanya mereka di rumah, dapatlah kami mengubah selera juadah berbuka dan bersahur terutama hasil tangan Chef Redzuan.

Kehadiran setiap ahli keluarga terdekat menziarahi kami di negara orang amat-amat kami hargai. Dalam kesibukan mereka dengan tugasan seharian, masih sempat mereka luangkan masa.

Begitulah ketentuan Allah SWT. Kurniaan ni’matnya tidak terjangka. Bagi kami ianya satu anugerah. Demikian juga bagi mereka. Sudah selayaknya dipanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepadaNya. SubhanaLlah. AlhamduliLlah. Allahuakbar.