Friday, September 17, 2010

Ziarah Raya

Hari Raya dah pun seminggu berlalu. Masih terbayang lagi kemeriahan sambutan raya di perantauan Melbourne, khususnya di Dandenong. Walaupun tidak sama seumpama di tanah air tetapi keceriaannya tetap ada. Saling kunjung mengunjungi sambil bermaaf-maafan.

Hari Raya jatuhnya pada hari Jumaat, hari bekerja di Melbourne. Sedia maklum, tiada cuti umum yang diperuntukkan tetapi setiap yang bekerja, belajar dan bersekolah mengambil cuti pada hari berkenaan.

Sejak pertengahan Ramadhan lagi ahli keluarga Kg Dandy sepakat mengatur Program Ziarah Raya. Bergerak dari rumah ke rumah bagi yang sudi mengadakan rumah terbuka, samada secara bersendirian mahupun berkongsi juadah di rumah-rumah tertentu.
Sebahagian foto terdapat di Album Foto Kami (Ziarah Raya).

Seusai menunaikan Solat Raya bersama-sama komuniti Melayu di Mt. Waverley Youth Hall, kami terus pulang ke Dandenong. Bermulalah program Ziarah Raya. Rumah pertama dikunjungi adalah rumah Kafi-Yati di Deakin Cresent dengan juadah istimewa nasi kerabu dan nasi dagang. Selepas solat Jumaat, kami menyinggah di rumah Ustaz Zain-Saliza di Latham Ave. Kasihan... mereka sekeluarga demam sejak beberapa hari lalu. Sememangnya hawar demam-selsema-batuk cepat sekali merebak di permulaan musim bunga ini.

Kunjungan seterusnya adalah ke rumah Dr. Asmadi-Dr. Fatimah di Sylvan Ave, Keysborough. Wow... penuh meja makan dengan pelbagai juadah tradisional dan juga moden. Emm, bersemangat betul tuan rumah menyiapkannya.

Keesokan harinya (Sabtu), Ziarah Raya bermula dengan rumah Wafir-Suharti di Menzies Ave. Serawa durian bersama pulut adalah antara menu yang tidak pernah ketinggalan. Tengaharinya kami ke Clayton, memenuhi jemputan Sambutan Raya Clayton bertempat di rumah Azwardi-Shada. Suasana Raya yang amat menyerlah dengan masing-masing melaram dengan pakaian raya masing-masing.

Petangnya pula kami berkumpul di rumah Rashdan-Rohani di Shelton Cresent sehinggalah lewat petang barulah kami beredar pulang.

Pada hari Ahad, rumah kami adalah singgahan pertama Ziarah Raya. Kami berkongsi bersama Lajiman-Suraya, Ku Dan-Azura, Noh-Rafidah dan Azidah. AlhamduliLlah, juadahnya juga boleh dipelbagaikan. Tengaharinya pula kami ke rumah Hanif-Sham. Mereka juga berkongsi rumah terbuka bersama Hisham-Zurida dan Ajit-Amy.

Demikianlah Program Ziarah Raya kami bersama rakan-rakan sekampung. Walaupun diadakan secara ala kadar tetapi adab dan adat beraya tidak luntur ditelan budaya asing di negara orang. Cuma bezanya, di sini tiada budaya angpau atau duit raya.

No comments: