Sunday, November 29, 2009

Sembang-sembang Petang

Hari Jumaat adalah Hari Raya Haji. Petangnya, kami ke rumah Hisham-Zurida di Olive St, Dandenong. Memenuhi jemputan Eid Adha bersama beberapa keluarga Dandenong. Di samping dapat menjamu selera, keseronokan berjumpa mengatasi segalanya. Terlebih lagi bagi anak-anak, peluang yang amat ditunggu-tunggu. Tak makan pun tak apa, asalkan dapat bersua muka.

Petang semalam, kami berkumpul di rumah kami pula. Agenda utamanya, yang lelaki ke rumah Dr. Siti, memunggah barang turun ke garaj untuk diangkut ke rumah kami. Dr. Siti perlu mengosongkan rumahnya sebelum hari Isnin ini sebelum bertolak pulang ke tanah air pada petang Selasanya. Lori yang ditunggu-tunggu tidak tiba-tiba. Rupa-rupanya Pak Cik Leslie (tuan punya lori) lupa nak masukkan temu janjinya dalam diari. Petang ini (Ahad) baru diangkat. Terus sahaja bergerak ke rumah kami.

Di rumah kami, kaum wanita ada agendanya sendiri... sesi belajar mengacau dodol microwave, sifunya Laili, diikuti sesi belajar membuat kueh keria, gurunya Dr. Harlina. Aktiviti rutin kaum ibu yang telah lama terhenti. Perkongsian ilmu dan kemahiran yang amat baik sekali. Berada di perantauan bersama komuniti yang akrab tidak secara langsung dapat menambahkan pengetahuan sampingan. Ada benarnya.

Keadaan cuaca di sebelah petang kurang baik. Hujan lebat membantutkan perancangan untuk makan-makan di laman belakang. Tak kisahlah, di dalam rumah pun tidak mengapa. Cuma sesak sedikit. Makan-makan sambil bersembang.
Keseronokan anak-anak untuk bermain juga sedikit terencat. Tanpa menghiraukan hujan, mereka tetap bermain di padang Oasis, di seberang jalan. Basah lecun. Begitulah anak-anak, suasana yang telah lama ditinggalkan. Kini masa mereka pula dan kita pula berada di posisi ibu dan bapa kita dahulu. Terasa cepat sekali pusingan roda-roda kehidupan. Semakin tualah kita.

Friday, November 27, 2009

Eid Adha di Dandenong

Hari ini Hari Raya Haji @ Eid Adha. Hari nan mulia disambut di serata dunia. Berkebetulan pula pada hari Jumaat, hari penuh barakah, dikatakan ganjarannya Haji Akbar (maaf, tersilap faham - bukannya Haji Akbar kerana wukufnya pada hari Khamis - TK Kak WanMalaya atas info yang amat berguna). Moga mereka dikurniakan Haji Mabrur. Ameen.
Berita hujan lebat dan banjir kilat di Mekah sehari dua sebelumnya benar-benar menginsafkan. Bukan senang untuk mengejar Haji Mabrur. Itu baru sedikit dugaan dariNya.
Meredah hujan di Mekah (Foto dari blog Sdr Azlie @ Mekah)
Kami, rakyat Malaysia di Dandenong mengerjakan solat sunat Eid Adha di Masjid Emir Sultan, Dandenong. Tidak seperti solat sunat Eid Fitr yang dilaksanakan di Monash University di Clayton. Bukannya tiada di sana tetapi lebih selesa untuk bersolat di qariah sendiri.

Solat sunat Eid Adha di Masjid Emir Sultan dilakukan kira-kira jam 6:50 pagi, sejam selepas terbitnya matahari. Anak-anak yang bersekolah pun dapat turut sama mengerjakannya. Izzuddin pun tidak terkecuali. Begitu juga bagi yang bekerja. Masih ada masa.

Majoriti jemaah masjid adalah warga Turki bermazhab Hanafi. Perlaksanaan solat dan takbir rayanya sedikit berbeza dari kebiasaan kita bermazhab Shafie. Perbezaan yang tidak mencacatkan solat dan sambutannya tetapi membuka minda.

Takbir sunat di rakaat pertama solat hanya 3 kali, selepas doa iftitah. Begitu juga pada rakaat kedua, 3 kali takbir selepas bacaan surah sebelum rukuk. Lafaz takbir raya pula sama sahaja. Bezanya ia dilafazkan bersama-sama tanpa ada tukang takbir dan tiada takbir raya penutup (takbir al ahzab).

Oleh kerana Eid Adha nya jatuh pada hari Jumaat, terdapat pandangan yang menggugurkan kewajiban bersolat Jumaat termasuk di kalangan ulama mazhab Shafie. Cukup sekadar solat zohor sahaja. Namun tiada masalah jika ingin mengerjakannya.
Di Masjid Emir Sultan, solat Jumaatnya dikerjakan seperti biasa. Secara peribadi, adalah lebih baik untuk ke masjid dan tunaikan secara berjemaah. Lebih afdhal.. sama-sama berjemaah, menceduk ilmu dari khutbah dan berukhwah sesama Muslim. Menoleh ke belakang, kelihatan banyak saf kosong di bahagian belakang, tidak seperti solat Jumaat setiap minggu. Mungkin itulah pegangan mereka, lebih mudah terutama bagi yang bekerja.

Masjid Emir Sultan, Dandenong (asalnya gereja)
Walaupun hari raya, bagi yang bekerja tetap bekerja seperti biasa. Bagi yang bersekolah pun serupa. Bercuti dibenarkan terutama untuk para pelajar sekolah tetapi permohonan rasmi perlu dibuat oleh ibu bapa atau penjaga. Mereka menghormati hari perayaan komuniti lain walaupun berbeza kepercayaan.
Di kalangan warga Turki, ramai anak-anak sekolah yang bercuti. Namun bagi kami, rakyat Malaysia, anak-anak ke sekolah seperti biasa. Cukuplah mereka merasai kemeriahannya ketika di masjid; bertakbir, bertahmid dan bertasbih memuji Allah SWT. Jika bercuti di rumah pun tidak ke mana perginya.

Teringatkan akan suasana kemeriahan sambutan Eid Adha di tanah air. Selepas solat raya, maka bermulalah aktiviti penyembelihan korban di masjid atau di belakang rumah, melapah, memasak dan menjamu para tetamu. Berhari-hari tidak makan di rumah, ada sahaja jemputannya dari pagi hinggalah ke malam. Jika di Terengganu, masakan gulai kawah adalah hidangan utama. Amat menyelerakan. Tidak jemu dimakan walaupun hampir setiap rumah menyediakan masakan yang serupa.

Salam Eid Adha dari kami sekeluarga di Dandenong, Victoria, Australia.

Tuesday, November 24, 2009

Loquat

Di belakang rumah kami ada beberapa batang pokok buah-buahan. Ada pokok lemon – lebat buahnya. Ada pokok plum kecil – masih putik lagi. Ada pokok fig @ tiin – hairan pula buahnya kurang menjadi tahun ini. Dan sebatang pokok yang ingin saya sentuh kali ini, pokok loquat.

Pokok loquat ini tidaklah berapa tinggi, kira-kira 15 kaki. Pernah juga dilihat pokok tersebut di laman rumah orang, rendah sahaja. Mungkin masih muda lagi. Daunnya berbentuk tirus berwarna hijau gelap, merimbun lebat.

Biasanya pokok ini berbunga di akhir musim sejuk, menghasilkan buah yang berwarna jingga (orange) ketika masak di pertengahan musim bunga. Buahnya besar sedikit daripada guli, berbulu halus, bergugusan di hujung ranting. Isinya manis dan sedap ketika ranum. Tidak hairanlah digemari burung yang banyak di sekitar rumah. Bijinya pula bulat dan licin. Rakan-rakan Malaysia mengatakan buahnya seperti buah remia. Entahlah, kami sendiri pun tak kenal macam mana rupa buah remia tu…8)

Telah lama kami berusaha mendapatkan namanya yang sebenar tapi tidak ketemu. Pernah bertanya kepada tuan rumah, mereka tak pasti. Begitu juga kepada beberapa kenalan Australia.
Setelah 3 tahun bermain-main di fikiran, beberapa hari lalu barulah terjawab persoalannya setelah dimaklumkan oleh Kak Arifah, rakyat Malaysia yang kini menetap di Endervour Hills. Disahkan pula dengan pencarian di internet. Loquat…begitulah namanya. Pelik sekali bunyinya.

Kini buah loquat di pokok hanya tinggal sedikit, itu pun di hujung julai yang tinggi. Sebahagiannya telah pun diambil (panjat dan kait) dan dibahagi-bahagikan kepada rakan-rakan Malaysia di Dandenong dan juga jiran sebelah.

Tidak lama lagi musimnya akan berakhir. Tunggulah setahun lagi, itupun jika kami masih ada di sini. Nampak gayanya kenalah makan sepuas-puasnya kerana buahnya tidak pernah ditemui dijual di mana-mana. Nanti kempunan pula..8)

Monday, November 23, 2009

Scienceworks @ Melbourne

Scienceworks, letaknya di Booker St, Spotswood, kira-kira 40 km dari Dandenong. Dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 4:30 petang. Bayaran masuknya hanya $8.00 untuk dewasa. Kanak-kanak dan mereka yang layak konsesi (antaranya warga emas, OKU dan pelajar – tunjukkan kad pelajar) adalah percuma. Bayaran tambahan dikenakan untuk masuk ke Melbourne Planetarium, Lightning Room dan pameran khas. Itupun ada potongan konsesi ataupun potongan istimewa untuk ahli MV (Museum Victoria. Nota : Scienceworks juga di bawah MV)

Pada hari Sabtu baru-baru ini kami sekeluarga berkunjung ke sana. Bersama kami adalah Dr. Siti Aminah dan anak-anaknya; Ali Imran, Omar dan Azizah serta Dr. Zaiton yang baru tiba di Melbourne. Sememangnya telah lama kami berhasrat untuk mengunjungi Scienceworks ini. Izzuddin telah pernah ke sana bersama rombongan sekolahnya. Katanya, “Menarik sekali”. Teringin juga kami untuk menerokai “apa yang menariknya”.

Bangunan 1 ½ tingkat dengan pintu masuk utama berbentuk kubah kelihatan ringkas sahaja. Di Ground Floor terdapat Main Exhibiton Gallery yang memuatkan pelbagai exhibit dengan konsep sainsnya yang tersendiri. Antaranya Mathamazing yang mengenengahkan konsep matematik, Sportsworks berkaitan dengan keupayaan kendiri tubuh badan dan House Secrets yang merungkaikan barangan biasa dalam rumah.

Di Mezzanine Floor pula terdapat Nitty Gritty Super City di mana kanak-kanak berpeluang menjelajah sains dalam persekitaran perbandaran. Terdapat model Melbourne City, kapal kontena, mesin pengaut, aktiviti di kafeteria, habitat haiwan, barangan kitar semula dan bermacam-macam lagi.

Kesemua exhibitnya mempunyai hubungkait yang rapat dengan kehidupan seharian kita. Tanpa disedari setiap perlakuan kita ada intipati sainsnya. Segalanya diterangkan secara mudah di dalam placard di sebelah exhibit. Hampir kesemuanya kita dapat mencubanya. Anak-anak kelihatan begitu seronok sekali.
Seharian berada di dalam Scienceworks tiada rasa jemunya. Malah tidak semuanya dapat dihayati. Teringin juga untuk datang lagi di lain ketika. Koleksi foto dapat diakses di Album Foto Kami (Scienceworks) atau klik di sini.

Jam 1:00 petang kami masuk ke Melbourne Planetarium yang terletak bersebelahan Sportsworks Corner. Ruangan teater dengan kerusi rebah belakang menghadap bumbung yang berbentuk dalaman kubah, skrin melengkung 180 darjah berukuran 16 meter. Persembahan 40 minitnya berkonsep cerita pendek yang sesuai untuk kanak-kanak, Tycho To The Moon. Kisah sang anjing yang berpeluang menjelajah ke bulan bersama Ruby dan Michael. Diikuti penerangan ringkas beberapa jenis bintang dan kedudukannya di cakerawala.

Menghampiri jam 2:00 petang, kami ke Lightning Room pula. Bangunan terpisah di luar bangunan utama Scienceworks yang dijanakan dengan aliran arus eletrik bervoltan tinggi (difahamkan kira-kira 2 juta Volt). Slot 30 minit bertajuk Amps, Arcs & Sparks tidak menjemukan. Secara mudah diterangkan tentang konsep bunyi dan cahaya serta kaitannya dengan elektrik. Bagaimana gitar eletrik berfungsi, kadar gelombang bunyi (decibel) yang mampu didengari dan kelajuan bunyi vs cahaya petir antara yang dipertontonkan.
Di belakang Scienceworks, menghadap Arena Grounds terdapat Spotswood Pumping Station. Bangunan bersejarah yang menjadi pusat sistem kumbahan utama Victoria di akhir abad ke-19. Malangnya kami tidak dapat masuk kerana ada acara sampingan lain di dalamnya.

Menghampiri jam 3:00 petang kami beredar meninggalkan Scienceworks menuju rumah Dr Zamberi-Dr. Harlina di Blackburn South, memenuhi jemputan dari mereka. AlhamduliLlah, sekurang-kurangnya selamat makan tengahari dan terjaga waktu solat Zohor dan Asar. Terima kasih tuan rumah..8)

Saturday, November 21, 2009

Prep Transition Program

Muhammad Imran, anak bongsu kami kini bersekolah di Kindergarten. Tahun hadapan Imran akan melangkah masuk ke Preparatory Class (Prep) di Dandenong North Primary School (DNPS). Sekolah yang sama dengan kakaknya, Nur Solehah. Juga sekolah Nur Hanisah yang akan ke Dandenong High School (DHS) pada tahun hadapan. Juga sekolah lama Muhammad Izzuddin yang kini bersekolah di DHS.

Petang semalam Imran ke DNPS untuk Prep Transition Program, khusus untuk bakal pelajar cilik DNPS. Program kearah memberi pendedahan awal kepada mereka akan persekitaran dan konsep pembelajaran di sekolah rendah. Kelasnya hanya sejam, dari jam 2:15 hingga jam 3:15 petang. Semalam adalah sesi terakhir dari 3 sesi yang diadakan setiap petang Jumaat sejak 3 minggu lalu.

Bersama 3 guru kelas yang bergilir-gilir menggendalikannya, jelas kanak-kanak begitu bersemangat sekali untuk mencuba setiap aktiviti yang dijalankan. Imran sendiri pun amat teruja untuk ke kelas tersebut setiap minggu. Malah tidak sabar untuk ke sekolah pada tahun hadapan seperti kakak-kakak dan abangnya.

Ketika Information Session, para guru mengingatkan ibu bapa usah bebankan anak-anak ini dengan pencapaian akademik. Biarkan mereka dengan dunia keanak-anakan. Sekolah yang akan berusaha membentuknya.

Malah Kindergarten sendiri pun langsung tidak menekankan keupayaan pandai membaca, menulis dan mengira. Setiap hari anak-anak diberikan berus lukisan, gunting, gam, alat permainan dan digalakkan berkomunikasi sesama sendiri. Pembentukan sahsiah diri ini berjaya meningkatkan keyakinan diri mereka sebelum melangkah ke sekolah rendah.
Amat berbeza dari kaedah yang diguna pakai di Malaysia, hatta di peringkat Pra Sekolah. Segalanya berbentuk pencapaian akademik, hinggakan mereka merasa tertekan. Inilah pengalaman yang dialami oleh Imran ketika bersekolah di tanah air selama 3 bulan di awal tahun ini.

Wednesday, November 18, 2009

Berkelah di Cardinia Reservoir Park

Impian untuk berkumpul di taman sesama ahli keluarga Dandy Group akhirnya menjadi kenyataan. Sebelum ini hampir kesemua majlis diadakan di perkarangan rumah. Sememangnya telah kerap kali kami merancangnya tetapi sering terbantut akibat keadaan cuaca yang tidak menentu.
Sebahagian foto ada di Album Foto Kami (Picnic @ Cardinia Park) atau klik di sini.

Pada pagi Ahad baru-baru ini kami berpiknik di Cardinia Reservoir Park, Narre Warren East. Majlis yang diadakan khusus untuk keluarga Dr. Siti Aminah yang akan pulang ke tanah air pada awal Disember nanti. Disekalikan juga dengan sambutan ulang tahun kelahiran di bulan November, antaranya Solehah Ropidi, Nabil Noh dan Marsya Hanif. Juga untuk ibu bapa yang menyambutnya (tahu-tahu sendiri).

Perancangan awal kami untuk mengadakannya di Lysterfield Park yang terletak tidak berapa jauh dari Dandenong tetapi berubah lokasi di saat-saat akhir. Pegawai Victoria Parks yang ditemui di Lysterfield Office menyarankan kami ke Cardinia Reservoir Park, lebih sesuai untuk perkumpulan yang besar. Dari pemantauan kami, ianya saranan yang amat baik sekali. Lysterfield Park agak kecil dan tiada padang permainan. Dikatakan ianya sentiasa penuh di hujung minggu kerana adanya pantai untuk bermandi-manda, terlebih lagi dengan cuaca panas seperti sekarang ini.

Cardinia Reservoir Park letaknya kira-kira 7 km dari Lysterfield Park. Ianya dibuka dari jam 9:00 pagi – 6:00 petang setiap hari. Cardinia Dam dan kangaroo adalah antara tarikan utama ke sini. Udara persekitaran yang segar dilingkungi pepohonan menghijau amat sesuai untuk tempat beristirehat bersama keluarga. Bagi yang menggemari kegiatan lasak, terdapat denai untuk diredahi.

Keadaan cuaca pada hari tersebut amat baik. Bahang panas mentari dengan suhu sekitar 23 darjah Celcius dengan angin berhembus lembut terasa begitu nyaman sekali. Apatah lagi dapat duduk-duduk di bawah teduhan pokok.

Kawasan berkelah yang dipilih adalah Crystal Brook Picnic Area yang terletak hanya beberapa rantai dari tembok empangan. Satu kawasan padang luas yang turut dilengkapi taman permainan kanak-kanak dan 2 buah wakaf berbumbung.

Konvoi kami tiba sedikit terlewat, setelah singgah di Dam Lookout berdekatan untuk menikmati keindahan persekitarannya sambil bergambar. Kedua-dua wakaf telahpun dipenuhi pengunjung berkumpulan. Mereka pun ada sambutan tersendiri. AlhamduliLlah, keluarga Huzaizi-Zainah yang tiba lebih awal sempat memilih satu sudut yang selesa di bawah teduhan pepohonan rimbun berhadapan taman permainan kanak-kanak. Terima kasih Zi dan Zai.

Dalam kesibukan ibu bapa memunggah juadah sarapan pagi dari kereta, anak-anak pula berkejaran ke taman permainan ataupun padang berdekatan. Tidak kira yang besar mahupun kecil sama sahaja. Saat yang amat ditunggu-tunggu, dapat bersama dengan rakan-rakan sebaya. Untuk bersarapan pun terpaksa dipanggil.

Malah ibu bapa pun turut merasa keseronokannya. Berbual, bercerita dan saling bertanya khabar ibarat telah lama tidak bersua. Cuma yang kurang seronoknya terutama bagi anak-anak adalah padangnya dipenuhi najis kangaroo yang lepas bebas ketika tiada pengunjung.

Pelbagai juadah yang dibawa (pot luck) memenuhi segenap penjuru meja. Nasi lemak, roti jala, mee goreng, nasi beriani, nasi goreng, lasagna, bubur pulut hitam dan bermacam-macam lagi termasuklah kueh-mueh serta kek-kek hari jadi. Semuanya sedap. Peluang yang tidak seharusnya dilepaskan. Kalah selera dengan nafsu.

Selepas sambutan ulangtahun kelahiran yang diadakan secara ringkas, majlis diteruskan dengan ucapan pengenalan diri oleh Dr. Zaiton dan Dr. Shahril. Kedua-duanya baru tiba di Melbourne untuk mengikuti latihan kerja antara 3 hingga 9 bulan.
Diikuti pula ucapan perpisahan oleh Dr. Siti Aminah serta penyampaian cenderahati, album foto kenang-kenangan dari Dandy Group. Jarak waktu hampir setahun dirasakan begitu cepat sekali berlalu. Sedar-sedar telah pun sampai ketikanya berangkat pulang ke tanah air. Moga silaturrahim yang terjalin terus kekal subur sepanjang zaman.

Melewati jam 1:00 petang, masing-masing beredar meninggalkan Cardinia Reservoir Park sambil membawa bungkusan bekal makanan. Harapan semua agar pertemuan seumpamanya dapat diadakan lagi. Insya Allah.
Ketika meninggalkan kawasan berkelah, para pengunjungnya masih lagi ramai. Malah yang baru tiba pun masih lagi bertali arus. Begitulah nikmatnya panas apabila sekian lama alam diselimuti hawa sejuk. Segalanya ketentuan Illahi. Sewajarnya kita yang mengimaninya bersyukur atas anugerah dariNya. AlhamduliLlah.

Saturday, November 14, 2009

Sleep Over

Malam semalam rakan-rakan rapat Solehah (juga rakan kepada kakaknya, Hanisah) datang bertandang ke rumah kami. Mereka diajak bermalam (sleep over) oleh Solehah. Permintaan Solehah kepada kami pada pagi Jumaat. Bolehlah dianggap sebagai hadiah Hari Jadi untuknya. Tiada masalah. Setiap ibu/ bapa dihubungi untuk memohon restu mereka. AlhamduliLlah, dengan senang hati dipenuhi. Terima kasih.

Apabila anak-anak perempuan berkumpul bersama, anak lelaki pula dihantar bermalam bersama rakan mereka pula. Adillah tu. Izzuddin dihantar ke rumah Lajiman-Suraya untuk bersama-sama Ashraf Lajiman dan Nazhan Hanif.

Lewat petang Jumaat, kesemuanya telahpun berkumpul. Ameera Huzaizi, Azizah Abdul Manaf, Nadhirah Hanif dan adiknya Farihah. Seronoknya mereka apabila dapat bersama. Lebih-lebih lagi Solehah kerana tanpa disangka-sangka mendapat hadiah kek hari jadi daripada Sham (ibu Nadhirah dan Farihah). Juga hadiah daripada rakan kenalannya.

Bermain, membaca, menonton, melukis dan pelbagai aktiviti lagi dilakukan penuh mesra. Gurau senda dan gelak ketawa dalam suasana harmoni. Ada ketikanya mengikut kelompok minat dan permainan masing-masing samada di ruang tamu ataupun di bilik tidur.
Solehah lebih rapat dengan Nadhirah, rakan sekelasnya. Ameera dan Azizah pula lebih banyak masanya bersama Hanisah. Farihah pula lebih senang bersendirian di ruang tamu, menonton video Barbie, sesekali bermain bersama Imran.

Setiap detik yang dilalui dirasai amat berharga dan pantas sekali berlalu. Tidur malam pun agak lewat, itupun kena bersuruh. Keesokan harinya pun sama. Selepas solat Subuh berjemaah, aktiviti malamnya disambung kembali.

Ketika dihantar pulang di sebelah petangnya, kelihatan masing-masing berat hati untuk berpisah. Bagi kami tiada masalah untuk terus bersama. Namun kerisauan ibu bapa mereka perlu juga diambil kira. Insya Allah ketemu lagi pagi esoknya (Ahad) di Cardinia Reservoir Park, sama-sama meraikan Majlis Kesyukuran Dandenong.

Friday, November 13, 2009

Birthday Girl : Solehah

Hari ini Ulang Tahun Kelahiran anak ketiga kami, Nur Solehah yang ke-9 (Masihi). Tiada kek dan lilin yang disediakan. Sekadar sekeping kad ucapan yang sama-sama dicoretkan kata-kata perangsang dan harapan (doa) untuknya oleh setiap ahli keluarga.
Hadiahnya majalah Disney’s Fairies (Tinker Bell) yang diminatinya. Bukan hanya untuknya seorang tetapi turut boleh dikongsi bersama. Bermanafaat untuk semua. Seronok sekali apabila mendapat ciuman dan pelukan mesra berserta ucapan terima kasih daripadanya.

Paginya, satu beg besar memuatkan 25 beg kecil berisi goodies digalasnya ke sekolah. Setiap satu untuk rakan-rakan sekelasnya. Begitulah lazimnya setiap tahun yang dilakukan oleh anak-anak di sekolah rendah ketika hari lahir mereka.

Petangnya, anak-anak perempuan sebayanya diajak datang tidur di rumah (sleep over). Tidak disangka Sham Hanif menghadiahkan sebiji kek yang cantik (dan amat-amat sedap), tertera ucapan Happy Birthday Solehah di atasnya. Terima kasih Sham. Seronoknya mereka dapat sama-sama merasa. Tambahan pula ada hadiah istimewa dari rakan-rakannya.

Hujung minggu ini telah diaturkan Majlis Kesyukuran bersama beberapa orang lagi Birthday Girl dan Birthday Boy di kalangan keluarga Dandenong Group bertempat di Cardinia Reservoir Park. Majlis yang diadakan bersekali dengan Majlis Perpisahan untuk keluarga Dr. Siti Aminah yang akan pulang ke tanah air pada awal Disember nanti.

Happy Birthday Solehah. Moga Solehah benar-benar menjadi anak yang solehah. Ameen.

Wednesday, November 11, 2009

Skim Basikal Awam

Berbasikal beramai-ramai di tengah bandar/ kota raya adalah pemandangan biasa di sebahagian besar negara di Eropah, Amerika dan United Kingdom. Tidak terkecuali di negara-negara di sebelah timur seperti Jepun, China, Vietnam dan Kemboja. Di Australia, ianya tidak ketara, hanya sebilangan sahaja menunggangnya terutama untuk tujuan beriadah. Begitu juga di tanah air kita, Malaysia.
Melbourne Public Bicycle Hire Scheme diwar-warkan akan dilaksanakan di Melbourne CBD mulai pertengahan tahun hadapan. Keadaan di mana basikal disediakan di hentian tertentu untuk kegunaan mereka yang memerlukannya terutama untuk perjalanan jarak dekat. Idea yang amat menarik. Bukan sahaja dapat mengurangkan kesesakan serta pencemaran udara dan bunyi dari kenderaan bermotor tetapi baik untuk kesihatan.

Kerajaan Brumby (John Brumby adalah Victoria Premier sekarang) telah meluluskan peruntukan $5 juta untuk projek terbaru ini yang akan dikendalikan oleh RACV (seakan AAM di Malaysia). Dikatakan sebanyak 600 basikal akan disediakan di 50 rak basikal di lokasi-lokasi yang strategik di tengah Bandaraya Melbourne. Setiap rak ini akan dibina sekitar 50 meter antara satu sama lain.
Setiap pengguna diwajibkan berdaftar dengan yuran keahlian $2.50/ sehari atau $50/ setahun. Penggunaan basikal adalah percuma dalam masa setengah jam sebelum meletakkannya kembali di hentian berikutnya. Denda akan dikenakan bagi yang lewat memulangkannya dengan mengenakan cajnya pada kad kredit pengguna. Begitulah secara ringkas konsep Public Bicycle yang dicadangkan.

Sebenarnya projek seumpamanya telah pun banyak dilaksanakan di lain-lain negara, antaranya di Perancis, Sweden, Kanada, Sepanyol, United Kingdom dan Amerika Syarikat. Menurut Laili yang pernah ke Paris baru-baru ini, jelas dapat dilihat ramai penunggang basikal ke hulu ke hilir di tengah kota yang sibuk. Malah basikal yang digunakan kelihatan agak menarik dan tahan lasak. Difahamkan lebih 16,000 basikal disediakan di ratusan hentian di kota Paris, menjadikannya kota paling besar melaksanakan skim ini di dunia.

Persoalan besar yang timbul adalah keupayaannya untuk bertahan di Melbourne CBD. Pencerobohan (vandalism) dan kecurian adalah antara cabaran yang perlu diterima hakikatnya. Di Paris ketika tahun pertama perlaksanaannya (2007), lebih separuh basikal telah dirosakkan atau dicuri. Malah kira-kira 1,500 basikal perlu dibaiki setiap hari ketika itu. Statistik terkini tidak dapat dipastikan, mungkin telah berkurangan kerana sehingga kini ia mampu bertahan.

Pemakaian topi kaledar basikal juga turut dipersoalkan. Situasi di Melbourne, adalah satu kesalahan jika tidak memakainya. Apakah setiap pengguna perlu membawa topi kaledar sendiri ke mana-mana sahaja? Begitu juga dengan laluan khas untuk penunggang basikal juga perlu disediakan untuk mengelakkan kemalangan dengan kenderaan bermotor dan pejalan kaki. Dari segi penguatkuasaan peraturan jalan raya juga perlu diberi perhatian.

Apa-apa pun setiap program yang dijalankan pasti ada masalah dan cabarannya tersendiri. Sekiranya baik untuk semua, sewajarnya ia diteruskan. Bukan sahaja menyentuh perlaksanaan Public Bicycle Hire Scheme ini tetapi juga dalam setiap apa yang dilakukan oleh kita.

Continuous improvement, ungkapan yang biasa digunakan dalam sesebuah organisasi amat relevant dalam kehidupan seharian. Terlebih lagi dalam proses muhasabah diri. Beranjak kepada nilai hidup duniawi dan ukhrawi yang lebih baik dari sebelumnya selaras dengan ketetapan Illahi.

Tuesday, November 10, 2009

Peraturan Baru Jalan Raya

Mulai semalam (09/11/2009), beberapa peraturan baru jalan raya (tambahan) telah dikuatkuasakan oleh VicRoads (umpama JPJ di Malaysia). Tujuannya adalah untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan jalan raya, juga penyeragaman dengan peraturan seumpamanya di lain-lain negeri di Australia. Kerajaan Victoria melalui VicRoads telah meletakkan sasaran pengurangan kadar kemalangan jalan raya sehingga 30% menjelang tahun 2017 melalui Arrive Alive Campaigns 2008-2017.

Sebagai makluman, kaedah pemanduan di sebelah kanan di Australia adalah menyamai caranya seperti di Malaysia. Tidak secara langsung memudahkan pemandu Malaysia memandu di sini. Cuma dari segi peraturan jalan rayanya ada sedikit kelainan. Ini yang perlu diambil perhatian kerana penguatkuasaannya amat ketat dengan kadar saman yang dikenakan agak tinggi.

Peraturan baru yang diperkenalkan ini kebanyakannya melibatkan pengguna kereta, antaranya menyentuh kaedah penggunaan telefon bimbit dan alat paparan visual, penyelarasan tanda garisan, laluan tram, kaedah meletak kenderaan dan juga pemakaian tali pinggang kaledar serta tempat duduk kanak-kanak.

Telefon Bimbit & GPS

Penggunaan telefon bimbit dilarang keras walaupun sekadar diletakkan di atas peha. Pengecualian sekiranya digunakan tanpa menyentuhnya seperti terletak kemas di tempat berpemegang, menggunakan Bluetooth ataupun earpiece. Begitu juga GPS dan skrin pandang belakang yang perlu tetap berada di tempatnya tanpa disentuh.

Tanda Garisan

Ketika di laluan single continuous line, pemandu dilarang menukar laluan, memotong atau membuat U-turn. Tetapi dibenarkan membelok masuk/ keluar untuk ke jalan tepi atau laluan susur yang bertentangan. Namun tidak dibenarkan keluar/ masuk di double continuous line. Tiada halangan untuk melakukannya di single broken line.

Memandu di petak bergaris di tengah jalan (painted islands) yang dilingkungi garisan bersambung (continuous line) juga dilarang kecuali untuk masuk/ keluar dari jalan utama atau menuju laluan membelok yang bermula selepas painted islands.

Umumnya peraturan ini menyamai peraturan yang diguna pakai di Malaysia.

Laluan Tram

Tram di Melbourne seumpama keretapi di tengah bandar, berkongsi laluan tengah jalan raya bersama kenderaan lain. Laluannya ditandakan dengan garisan kuning.

Ketika tram berhenti di hentian tram, pemandu di laluan tepi mesti berhenti selari dengan belakang tram. Setelah pintu tram ditutup dan pejalan kaki telahpun melintas jalan, barulah kenderaan lain boleh bergerak melepasinya dengan kelajuan tidak melebihi 10 km/jam.

Meletakkan Kenderaan

Kenderaan boleh diletakkan di tepi jalan yang dibenarkan di mana terdapat single/double continuous line atau dividing strip di sebelah kanannya. Syaratnya, jaraknya mestilah lebih 3 meter dari tanda garisan berkenaan. Meletak kenderaan di slip lane dan painted islands adalah dilarang.

Perlu diingat, setiap kenderaan yang diletak di tepi jalan mestilah menghadap sama arah dengan kenderaan yang melaluinya. Ini adalah peraturan sedia ada yang berlainan dengan kaedah meletak kenderaan di tepi jalan di Malaysia.

Tali Pinggang & Kerusi Kanak-Kanak

Pemandu bertanggungjawab memastikan setiap penumpang memakai tali pinggang termasuk kanak-kanak di kerusi khasnya. Lebihan penumpang dari bilangan tali pinggang yang tersedia adalah satu kesalahan.

Kanak-kanak 4 – 7 tahun (berat maksimum 26 kg) mesti menggunakan booster seat atau child restraint yang dilengkapi safety harness.

Kanak-kanak 6 bulan – 4 tahun (berat maksimum 18 kg) mesti menggunakan child restraint atau rear-facing capsule.

Kanak-kanak bawah 6 bulan (berat maksimum 9 kg – 12 kg) diwajibkan menggunakan rear-facing capsule.

Kanak-kanak di atas dilarang duduk di kerusi hadapan bersebelahan pemandu kecuali kesemua kerusi di tempat duduk belakang dipenuhi kanak-kanak sebaya. Itupun hanya kanak-kanak antara umur 4 – 7 tahun sahaja dibenarkan.

Demikianlah sebahagian peraturan baru yang diperketatkan, tambahan kepada peraturan sedia ada. Moga ada manafaatnya. Tidak kiralah samada bagi orang lama, mahupun orang baru di Melbourne. Paling tidak pun sebagai pengetahuan am, kot-kot suatu hari nanti akan datang berkunjung ke Melbourne dan turut sama menjadi salah seorang pemandu kenderaan di jalan-jalan raya di Victoria khususnya ataupun di Australia amnya.
Untuk maklumat yang lebih jelas, kunjungilah http://vicroads.vic.gov.au/roadrules

Monday, November 9, 2009

Panas Terik Di Musim Bunga

Cuaca hari ini panas sekali. Semalam pun serupa. Begitu juga kelmarin. Esok dan hari-hari menjelang hujung minggu ini pun diramalkan sama. Suhunya antara 30 – 35 darjah Celcius. Panasnya kering tidak seperti panas lembab di kawasan khatulistiwa. Angin pula seakan segan bertiup menyebabkan persekitaran lebih terasa panasnya.

Ini baru di pertengahan musim bunga, suhunya sudah seakan musim panas. Gelombang panas yang sememangnya tidak dapat dijangka. Dikatakan fenomena ini akan lebih ketara ketika musim panas nanti. Amat dikhuatiri peristiwa hitam, Black Saturday 07 Februari, 2009 berulang kembali. Moga-moga dijauhi olehNya. Ameen.

Teriknya panas sehingga kulit terasa perit. Telinga dan pipi memerah, apatah lagi bagi mereka yang berkulit putih (walaupun berketurunan Melayu). Kulit cepat sekali kekeringan. Kanser kulit adalah antara akibat yang amat ditakuti. Justeru itulah sunscreen cream dengan SPF sekurang-kurangnya 30+ amat disarankan untuk disapu di permukaan kulit terdedah. Di sekolah pula, para pelajar diwajibkan memakai topi ala koboi ketika berada di luar kelas.

Ketika berurusan di luar, tidak menghairankan kiranya ketemu sebilangan orang yang hanya berkaki ayam berjalan di tepi jalan mahupun di pusat-pusat membeli belah. Kanak-kanak tanpa baju dengan seluar pendek adalah pemandangan biasa. Wanita dengan pakaian singkat dan terdedah ‘tak cukup kain’ usah dihiraukan, terlebih lagi di negara orang putih seperti Australia. Kain di jemuran pula sekejap sahaja kering.

Apabila panas seumpamanya, banyak saranan yang diutarakan. Keluar rumah ke kawasan terbuka sebaiknya dielakkan kecuali ada keperluan mendesak. Pencahayaan terus ke dalam rumah juga sebaiknya diminimakan. Langsir dan bidai hanya dibuka ala kadar sahaja.
Itulah yang kami lakukan tetapi bahang panas di dalam rumah tidak dapat dielakkan. Bacaan termometer di ruang tamu mencecah sehingga 35 darjah Celcius. Kesan udara panas yang terperangkap di dalam rumah. Udara sejuk dari air conditioner dan kipas benar-benar terasa nikmatnya terutama di malam hari.

Terdetik di hati... panas di dunia hanya sedikit, di Padang Mahsyar nanti terlebihlah lagi. Mataharinya hanya sejengkal di atas ubun-ubun kepala. Peluh mereneh keluar membanjiri persekitaran. Apatah lagi di dalam neraka dengan api marak meratah jasad yang dihumbankan ke dalamnya. Ya Allah... terasa amat gerun sekali apabila mengingatkannya...

Justeru itu terimalah kepanasan dengan kesyukuran. Anggaplah ianya sebahagian daripada anugerahNya. Pasti ada hikmah di sebaliknya. Sekurang-kurangnya menginsafi diri sebelum dipanggil menghadapNya.

Sunday, November 8, 2009

Jalan-jalan Pagi

Pagi ini cerah sekali. Cahaya matahari bersinar terang dari awal pagi lagi. Suhu sekitarnya begitu nyaman, tiada rasa sejuk mahupun panas berbahang. Telah lama dipendam hasrat hati untuk berjalan-jalan memanaskan badan dan merenggangkan urat-urat dan otot-otot kaki. Senaman mudah tanpa kos. Cukup sekadar kemahuan dan kerahan tenaga untuk menggerakkannya. Akhirnya pagi ini ianya menjadi kenyataan.

Bandar Dandenong di waktu pagi minggu
Hampir sejam menyusuri laluan pejalan kaki di Cleeland Street menuju ke Dandenong Market, seterusnya melalui tepian Clow Street dan Stud Road kembali ke rumah. Perjalanan santai sejauh kira-kira 7 km tidak terasa jauhnya. Jalan rayanya masih lenggang lebih-lebih lagi di tengah Bandar Dandenong. Hairannya, tiada pula berselisih dengan mereka yang sentiasa aktif berjogging dan berjalan di setiap pagi. Mungkin ramai yang masih bermalas-malas di bilik tidur di pagi Ahad, hari cuti hujung minggu. Dan mungkin juga pagi masih awal.

Peluh yang membasahi baju terasa segar sekali. Penatnya tidaklah seberapa tetapi sedikit terasa kejang di kaki. Mungkin kerana telah lama dimanjakan dengan kenderaan bermotor. Namun keseronokannya melebihi segalanya. Moga ianya dapat dipraktikkan lebih kerap dan konsisten.

Lenggang jalan raya di hadapan Dandenong Library
Ketika usia telah pun melewati angka 40 ditambah pula dengan kurangnya aktiviti-aktiviti seumpamanya amat merisaukan hati. Dengan ketahanan antibodi badan yang semakin menurun, pelbagai penyakit lebih mudah untuk menyinggah. Sistem pemakanan yang kurang sihat, ditambah pula dengan lambakan bahan-bahan berkimia lebih memburukkan keadaan.

Kesibukan sering menjadi alasan sedangkan semuanya aturan diri sendiri. Jika hendak seribu daya, jika tidak hendak seribu dalih. Bukannya orang lain tetapi itulah hakikatnya pada diri ini. Tepuk dada, tanyalah diri….

Wednesday, November 4, 2009

Sarapan Pagi Dandenong

Kira-kira sebulan lalu warga Malaysia di Dandenong bersama-sama berkumpul menganjurkan Rumah Terbuka Raya Dandenong di rumah Lajiman-Suraya. Pagi Ahad beberapa hari lalu kami berkumpul lagi. Kali ini di rumah kami pula, jemputan untuk bersama-sama bersarapan pagi.

Pada masa yang sama meraikan kepulangan keluarga Huzaizi-Zainah dan keluarga Noh-Rafidah ke Melbourne setelah kira-kira 2 – 3 bulan berada di tanah air atas urusan pengajian. Keluarga Huzaizi-Zainah tiba pada awal pagi Rabu baru-baru ini, manakala keluarga Noh-Rafidah pula pagi kelmarin (Sabtu). Sememangnya masa yang sesuai untuk kembali berkumpul sambil mengeratkan lagi ikatan persahabatan yang sedia terjalin.

Keadaan cuaca di sebelah paginya kurang memberangsangkan. Hujan renyai-renyai dibayangi mendung berpanjangan. Berlainan sekali keadaannya dari hari-hari sebelumnya yang sentiasa panas cuacanya. Perancangan kami untuk duduk-duduk makan sambil beramah mesra di luar rumah terpaksa dipindahkan ke dalam rumah. Kita sekadar merancang, selebihnya terserahlah kepada ketentuanNya. AlhamduliLlah, segalanya berjalan lancar.

Hidangan dari kami hanya nasi lemak berserta dendeng daging sahaja. Namun meja makan dipenuhi pelbagai juadah yang dibawa oleh setiap keluarga yang hadir. Begitulah semangat setiakawan dan ukhwah setempat sesama kami. Lontong, laksa utara, mee goreng, kueh keria, kueh kasturi, kerepek bawang dan bermacam-macam lagi. Fuhh… semuanya amat menyelerakan. Tidak terlarat rasanya untuk menjamah kesemuanya.

Seawal jam 09:00 pagi, rakan-rakan Dandenong dan Noble Park serta beberapa tetamu jemputan mula tiba. Penuh sesak ruang tamu serta dapur. Terpaksalah kaum bapa bergerak ke luar rumah, makan-makan sambil bersantai di tempat letak kereta berbumbung di hadapan rumah.

Kemesraan dan keseronokan dapat bersama tidak dilepaskan begitu sahaja. Tidak kira kaum bapa mahupun kaum ibu. Pelbagai perkara diperbualkan, diselangi gurau senda dan gelak ketawa. Anak-anak terlebih lagi seronoknya. Ruang sempit di sebelah rumah pun dimanafaatkan sepenuhnya untuk bermain bola sebelum bergerak ke padang di seberang jalan di ketika hujan mulai berhenti.

Melewati jam 12:00 tengahari, para ibu bapa mulai bergerak pulang ke rumah. Namun sebahagian anak-anak perempuan dan lelaki masih enggan bergerak. Terpaksalah ditinggalkan. Sememangnya mereka sentiasa mencari peluang untuk bersama. Biarkanlah, asalkan mereka gembira dengan jaminan bersama rakan kenalan yang dipercayai.

Penatnya amat terasa. Tapi kaum ibu dan anak-anak perempuan ada program susulan mereka sendiri di sebelah petangnya… sesi berendam di Oasis Swimming Pool berhadapan rumah. Sesi khusus untuk wanita sahaja setiap petang Ahad dari jam 6:15 petang – 8:15 malam. Kata mereka, alang-alang penat biarlah penat betul, malamnya bolehlah tidur lena…8)
Sebahagian foto ada di Album Foto Kami (Breakfast Dandenong) atau klik di sini.