Friday, February 29, 2008

Sibuk Memanjang...

Dalam seminggu dua ini agak sibuk sikit, tak sempat nak tulis entri baru. Siangnya ke hulu ke hilir membantu Dr. Ramli yang baru tiba mencari rumah sewa. Juga menguruskan anak-anak yang bersekolah, tambahan pula Imran pun dah masuk Kindergarten. Malamnya pulak "tengok" anak-anak buat homework. Hujung minggu pulak dengan agenda keluarga. Kesempatan mengadap komputer pun sekadar buka emel dan baca berita-berita hangat pilihanraya di tanah air.
Sebenarnya banyak perkara yang nak dicoret dan diceritakan. Tentang keseronokan anak-anak berkunjung ke Melbourne Zoo kira-kira 2 minggu lepas. Juga kunjungan kami ke Victoria State Library berkonsepkan bangunan kolonial tersergam megah di tengah City. Tentang majlis minum petang keluarga Dandenong di rumah Sdr Wafir & Suharti 2 minggu lepas. Diikuti majlis seumpamanya yang diadakan di rumah kami pada hujung minggu lepas.
Teringat juga nak sentuh sikit sebanyak tentang kehidupan di rantauan ini. Juga tentang ramai kenalan baru yang baru tiba melanjutkan pengajian di sekitar Melbourne. Tak terkecuali berita-berita semasa di Australia ini, khususnya di surburb kami, Dandenong.
Insya Allah, jika ada kesempatan akan ditulis secara berperingkat-peringkat. Ketemu lagi di entri seterusnya.

Friday, February 15, 2008

PRU 12 - Harapan Kami

Pengumuman pembubaran parlimen oleh Pak Lah di Putrajaya
“Parlimen Bubar”. Begitulah info yang diperolehi dari rakan melalui emel pada petang 13/02/2008. Begitu jugalah lebih kurang tajuk akhbar online dalam berita terkini/ mutaakhir mereka. Bermakna semua Dewan Undangan Negeri (DUN) di setiap negeri (kecuali Sarawak) juga dibubarkan. Sekaligus 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi DUN kembali menjadi rebutan dalam Pilihanraya Umum Ke-12 ini.

Awalnya tak percaya juga. Paginya baru sahaja terbaca berita di akhbar online, PM Datuk Sri Abdullah Ahmad Badawi menafikan Parlimen akan dibubarkan pada hari tersebut. Tut… tut… petangnya berubah bicara pulak. Apa nak buat, sebagai PM, kuasa ada pada tangannya.

Apa pun, kini gendang perang PRU-12 telah pun dipalu. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula telah menetapkan tarikh 22 Februari sebagai Hari Pencalonan dan 13 hari selepasnya, 08 Mac sebagai Hari Mengundi.

Setiap parti politik dan calon mula menyusun langkah untuk memenangi hati pengundi. Pelbagai janji dan habuan pasti menjadi santapan harian. Provokasi dan kontroversi pula akan dimainkan tanpa batasan. Media massa tidak ketinggalan, sentiasa mencari ruang untuk mensensasikan setiap isu. Barisan Nasional dengan manifesto ala-Islam Hadhari dan janji pembangunan. Manakala Barisan Alternatif pula dengan tawaran Negara Kebajikan dan janji perubahan.

Terserah kepada rakyat jelata untuk membuat pilihan. Setiap undi amat berharga dan usah tersalah membuat perhitungan. Undilah menggunakan mata hati dan bukannya sekadar rasa hati. Pilihlah mereka yang diyakini mampu membawa perubahan ke arah kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Fikirkan masa hadapan yang lebih gemilang.
Dari kejauhan di bumi Australia, kami mengharapkan rakan-rakan di tanah air tercinta, Malaysia berani membuat perubahan. Berubah kearah kebaikan, bukannya berubah kepada keburukan. Usah takut untuk berubah kerana itulah yang dituntut. Setiap orang berkemampuan untuk memimpin, bukan hanya segolongan manusia sahaja yang lebih baik.

Malaysia akan disegani dan bergerak maju kiranya pimpinan negara di kalangan mereka yang berwibawa, berakhlak tinggi serta bermaruah. Rakyat juga akan merasa selamat dan terjaga kebajikannya. Contohilah arus perubahan yang dilakukan oleh rakyat di Australia di dalam Pilihanraya Umum baru-baru ini. Liberal Party pimpinan John Howard yang dilihat agak ego telah digantikan dengan pentadbiran Labor Party pimpinan Kevin Rudd yang dikatakan lebih prihatin.

Selamat mengundi kepada rakan-rakan di tanah air. Kalian adalah harapan kami.

Thursday, February 14, 2008

Sorry Day

Semalam, 13 Februari mencatatkan sejarah yang bakal dikenang terutama oleh warga pribumi/ orang asli (aborigines) di Australia. Kevin Rudd, Perdana Menteri yang baru memegang tampuk pemerintahan memecah sikap ego pemerintah terdahulu.

Sokongan padu warga pribumi menyambut permohonan maaf PM Kevin Rudd
Di parlimen, dengan dihadiri warga pribumi serta ahli parlimen dan disaksikan secara langsung di serata dunia, dengan intonasi sayu beliau melafazkan berulang kali ungkapan SORRY. Maaf atas kesilapan polisi terdahulu yang menyaksikan timbulnya apa yang dikatakan “stolen generation” yang menyayat hati warga pribumi. Keperitan dan penderitaan yang ditanggung sekian lama akhirnya terungkai dalam suasana penuh emosi, disaluti tangisan pilu dan gembira oleh semua.

Selama hampir 60 tahun (1910 – 1969), kononnya atas dasar kebajikan dan pendidikan, lebih 10,0000 anak-anak warga pribumi telah dirampas dan diculik secara rahsia dan diserahkan kepada keluarga kulit putih. Hakikat sebenarnya, ianya adalah usaha terancang untuk menghapuskan keturunan warga pribumi atas kepercayaan mereka adalah “keturunan celaka” (doomed race). Betapa parahnya penderitaan yang ditanggung oleh ibu bapa dan juga anak-anak, terpisah penuh tragis. Orang tua meninggal dalam tangisan sengsara manakala anak-anak membesar dengan dendam membara. Tak dinafikan ramai antara mereka yang berjaya dalam hidup tapi kesan traumanya amat terasa.
Malah warga pribumi sendiri, Aborigines dan Torres Strait Islanders tidak bersetuju dengan sambutan Australia Day pada setiap 26 Januari. Ini kerana ianya merujuk kepada hari kemasukan lebih 1200 warga England yang diketuai oleh Captain Arthur Phillip dengan 11 kapal yang dikenali First Fleet pada tahun 1788 di Sydney Cove, NSW. Sedangkan warga pribumi telah pun menetap sekian lama di situ.
Setelah 40 tahun berlalu dan PM baru dilantik, barulah ada usaha di peringkat kerajaan untuk mengakui kesilapan generasi terdahulu. Kerajaan-kerajaan terdahulu sekadar memandang sepi usaha seumpamanya dan tiada kekuatan untuk mereka melaksanakannya. Pelbagai alasan direka, antaranya atas faktor ekonomi dan tiada sebab untuk memohon maaf atas kesilapan mereka yang terdahulu. Banyak usaha yang perlu dilakukan oleh kerajaan Kevin Rudd untuk menebus dosa generasi terdahulu terutamanya berkaitan hak-hak asasi, pendidikan, perumahan dan penglibatan warga pribumi dalam pembangunan negara. Itulah cabarannya tetapi itulah yang sepatutnya.
Jika dilihat dari sudut yang lebih luas dan akal yang sihat, tiada siapa pun yang akan merasa senang melihat ibu bapa dan anak-anak dipisahkan secara paksa. Apatah lagi jika ianya berlaku pada diri kita sendiri. Jadi, permohonan maaf tersebut amat besar ertinya. Begitu juga dalam kehidupan harian kita

Wednesday, February 13, 2008

Yang Datang dan Yang Pergi

Datang dan pergi bersilih-ganti. Begitu halnya dengan rakan-rakan Post Graduates yang datang “mengaji” di bumi kangaroo ini. Orang baru datang dengan semangat yang berkobar, pasrah menempuh segala onak dan duri yang mendatang. Orang lama pula bersengkang mata dan naik turun tangga Uni mengejar masa yang terasa amat singkat untuk menyiapkan tesis. Sampai ketikanya perlu pulang ke Malaysia. Itulah lumrah kehidupan.

Di awal tahun ini ramai rakan-rakan baru yang datang dan ramai juga yang berangkat pulang ke tanah air. Yang baru datang amat dialu-alukan dengan sokongan moral setakat yang termampu. Manakala yang akan/ telah pulang diiringi dengan ucapan terima kasih atas segalanya dan mohon maaf atas salah dan silap, Insya Allah ketemu lagi kita.

Jika dirujuk pada laman web Victoria Malaysia Post Graduates (VMPG), kedapatan ramai rakan-rakan baru yang baru tiba dan akan tiba dalam masa terdekat ini. Malah yang datang lebih ramai daripada yang berangkat pulang terutama para pensyarah universiti yang melanjutkan pengajian di peringkat PhD.

Yang Datang

Din (baju kuning) dan Azizah (tudung kuning) ketika bertamu ke rumah Kak Yati di Ringwood
Sdr Shaharuddin (Din) sekeluarga (isteri, Azizah dan 4 anak perempuan) tiba pada 14/01/2008 lalu. Din adalah kenalan lama lebih 10 tahun lalu, ketika berkerja di MIMOS Berhad. Beliau kini pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM – dahulu dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIS) belajar di La Trobe University dalam bidang IT. Mereka tinggal di Thomastown.

Keluarga Zainah ketika berkunjung ke rumah kami pada hari baru tiba di Melbourne

Sdr Zainah (Zai) bersama suaminya, Huzaizi dan 3 anak (2 perempuan, 1 lelaki) tiba pada 20/01/2008. Mereka bernasib baik mendapat rumah sewa yang diduduki keluarga Aznan yang baru sahaja mengosongkan rumah di Suzanne St, Dandenong – mengekalkan komuniti Dandenong kepada 7 keluarga. Zai mengikuti pengajian PhD dalam bidang Human Resource di Victoria University. Beliau adalah kakitangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Sdr Amira dan suami, Azril berserta 2 anak perempuan tiba akhir tahun lepas. Mereka tinggal di Clayton. Amiza melanjutkan pengajian peringkat PhD di Monash University.

Sdr Norhaini tiba beberapa hari lalu dan kini tinggal di Frankston. Beliau dari HUKM dan belajar Master dalam bidang Nursing.

Dengar khabar ramai “orang baru” yang telah pun sampai. Ramai lagi yang akan menyusul kemudian. Insya Allah akan dimaklumkan dari masa ke semasa terutama melibatkan kenalan-kenalan baru.

Yang Pergi @ Pulang

Bersama keluarga Dr. Yusof & Dr. Mariana di rumah Haidar-Nor, sehari sebelum berangkat pulang

Hujung minggu baru-baru ini (08/02/2008), kami menghantar Dr. Mariana Daud diiringi suaminya, Dr. Yusof dan 4 anaknya; Fikri, Fahmi, Faizi dan Fazli serta pembantu rumahnya, Nora ke airport. Mereka berlepas pulang jam 12:45 pagi keesokan harinya. Dr. Mariana mengikuti Paediatric sub-speciality course selama hampir 10 bulan di Monash Medical Centre. Dr. Yusof pula datang menjenguk sekali sekala ketika ada cuti kerana turut sama mengikuti Surgery sub-specialty course di Singapura. Dr. Mariana adalah kenalan lama Laili sejak belajar di peringkat ijazah lagi di UKM. Ditakdirkan mereka berjumpa di Melbourne. Beliau akan kembali bertugas di Hospital Kubang Kerian, Kelantan.

Bersama keluarga Aznan-Su di rumah Lajiman sewaktu majlis perpisahan Dandenong

Pada hujung minggu lepas pula, terdapat 2 keluarga yang pulang. Yang pertama, keluarga Aznan Che Ahmad yang dikenali sebagai “Penghulu Dandenong” berserta isteri, Sulina dan anak-anak; Nurshafinaz @ Along, Nurshafika @ Angah dan rakan baik (sekelas) Iddin, Muhammad Shafaiz. Mereka telah berlepas pulang pada pagi 02/02/2008 setelah lebih 3 ½ berada di sini. Kata Along, mereka dah 4 kali merasa sambutan raya di rantauan, pasti rindunya akan suasana raya di Malaysia amat terasa… 8). Sdr Aznan adalah pensyarah di USM dan melanjutkan pengajian di University of Melbourne di peringkat PhD dalam bidang pendidikan.

Bersama Zamzuri (baju biru) dan isterinya, Aziah (berbaju belang) pada petang hari bertolak ke airport

Yang kedua adalah keluarga Zamzuri dan isteri, Aziah serta 4 orang anaknya telah pun pulang ke tanah air sehari selepas keluarga Aznan. Sdr Zamzuri juga pensyarah di USM, mengambil PhD di Swinburne University. Sebelum datang ke Australia, mereka berada di Sweden kerana Zamzuri menyambung pengajian di sana. Menurut Aziah, mereka dah 7 tahun tidak pulang ke tanah air, satu jangkamasa yang agak lama. Diharapkan tiada kejutan budaya yang bakal dihadapi oleh anak-anak terutama dalam persekolahan kerana sistemnya amat berbeza. Mereka tinggal di Clayton.

Sdr Istas dan isteri berserta 3 anaknya telah pulang ke tanah air pada 05/02/2008. Istas mengikuti pengajian peringkat PhD di RMIT. Mereka tinggal di Preston, hampir 30 km dari Dandenong.

Dr. Asmahan berserta 2 anaknya telahpun pulang ke tanah air pada akhir Jan 2008 baru-baru ini. Beliau di sini hanya 9 bulan sahaja, mengikuti sub-speciality course di Monash Medical Centre. Mereka tinggal di Clayton. Suaminya berkerja di Ranhill Corp. di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur, kerap datang tika kelapangan.

Sdr Mahazan yang juga tinggal di Clayton pula telah berangkat pulang pada 23/01/2008 yang lalu. Beliau adalah tutor di USIM dan mengikuti pengajian peringkat Master di Monash University. Katanya, jika diizinkan beliau akan datang kembali ke Melbourne untuk meneruskan pengajian di peringkat PhD. Moga tercapai bagai yang dicita.

Sdr Saiful dan orang rumahnya juga pulang ke tanah air pada awal tahun ini. Kedua-duanya adalah pensyarah UIA Cawangan Kuantan, sama-sama belajar di peringkat Master di University of Melbourne. Nampaknya mereka agak bersemangat sekali untuk menerapkan konsep pembelajaran di sini. Moga dipermudahkan oleh Allah.

Untuk semua, selamat maju jaya.

Thursday, February 7, 2008

Hujung Minggu Yang Sendat

Hujung minggu baru-baru ini terasa amat singkat sekali. Bukan sahaja kerana ada tetamu di rumah, keluarga Shaharuddin dan Azizah (Din & Gee) tetapi aktiviti harian kami sendat dengan pelbagai urusan.

Petang Jumaat kami berkumpul di rumah Mohd Noor di Ann St. Keluarga Aznan dan Sulina akan bertolak pulang ke tanah air setelah 3 ½ tahun berada di sini. Aznan baru sahaja menamatkan pengajiannya peringkat PhD-nya di University of Melbourne. Ramai yang datang terutama rakan-rakan di Dandenong dan juga dari Clayton. Tak menghairankan kerana Nan & Su amat akrab dan baik dengan semua orang. Mereka bertolak ke Melbourne Airpot kira-kira jam 08:00 petang disertai 5 buah kereta.

Pagi Sabtu, aktivitinya seperti biasa, membeli belah di pasar dan pasaraya dan juga membawa anak-anak ke perpustakaan. Petangnya kami berkunjung ke rumah Abg Hamzah di Lynbrook untuk menemui keluarga Zamzuri dan Aziah yang juga akan pulang ke Malaysia pada malamnya. Zamzuri telah menamatkan pengajiannya di Swinburne University hampir 3 bulan lalu. Tak ramai yang datang, mungkin mereka dah berjumpa sebelum ini, sedangkan kami baru sahaja mengetahuinya semalam.

Di rumah Abg Hamzah, kami bersua dengan kenalan baru, pasangan Singapura - Indonesia, Abg Yahya dan Kak Azizah yang telah lama menetap di Victoria. Sekarang mereka tinggal di Endevour Hill, bersebelahan Dandenong. Juga keluarga Abg Yusof yang datang belajar di sini dan tinggal di Broadmeadows, tidak jauh dari lapangan terbang.

Hari Ahad amat memenatkan, membantu Din & Gee berpindah masuk ke rumah sewa mereka di Thomastown, kira-kira 60 km dari rumah kami. Kami menyewa trak 2 tan dari Avis Truck dengan dipandu oleh Nizam, sahabat dari Clayton (Thanks Nizam).

Din & Gee amat bertuah kerana mendapat “durian runtuh”, barangan rumah yang tidak diperlukan dari keluarga Aznan dan Dr. Mariana yang perlu mengosongkan rumah sewa mereka kerana akan pulang ke tanah air. Penatnya kurang terasa kerana turut sama dibantu oleh rakan-rakan dari Clayton; Radin, Hanip, Fahmi dan Naquib. Mereka memunggah naik barangan di rumah Dr. Mariana dan turut sama membantu ketika memunggah turun ketika di rumah Din-Gee. Berbanyak terima kasih pada semua. Kami sampai balik ke Dandenong kira-kira jam 07:00 petang. Malamnya selepas solat Isyak terus terlelap.

Walaupun badan terasa amat lesu dan masa yang berlalu terasa amat singkat tetapi terasa amat puas sekali. Kepuasan yang tidak dapat dinukilkan dengan kata-kata melihat keintiman, sikap toleransi dan ikatan ukhwah sesama insan. Betapa pentingnya memupuk dan membajai hubungan silaturahim kerana buah kemanisannya akan dirasai tanpa kita sedari.

Saturday, February 2, 2008

Salam Takziah > Dato' Ishak Baharom

InnaliLlahiwainna iLlahirajiun…. Darinya kita datang dan kepadaNya kita dikembalikan.

Salam Takziah untuk keluarga Almarhum Dato’ Ishak Baharom, mantan Mufti Selangor atas kembalinya Almarhum kerahmatuLlah pada petang Rabu - 30/01/2008, kira-kira jam 02:50 petang di Hospital Sungai Buloh akibat pendarahan dalam kepala (strok) ketika usianya 80 tahun.

Berita mengenainya diperolehi ketika melayari Harakah Online. Tiba-tiba sahaja dada terasa sebak dan pilu mengenangkan seorang ulama yang begitu tawaduk dan tegas pendiriannya kini telahpun tiada. Pemergiannya adalah satu kehilangan besar kepada masyarakat Islam lebih-lebih lagi kepada pencinta syariaat Islam. Terbayang akan wajahnya yang sentiasa kelihatan tenang dengan serban putih tanpa ekor meliliti kepala dan janggut putih kemas dijaga. Tutur bicaranya amat lembut penuh hemah tetapi amat tegas dan tiada kompromi apabila menyentuh soal hukum-hakam dalam Islam.

Almarhum teguh berpegang kepada prinsip kebenaran walaupun amat pahit untuk ditelan sehingga menimbulkan beberapa kontroversi dengan pihak pemerintah. Rentetan dari peristiwa penahanan 3 wanita Islam ketika menyertai pertandingan ratu cantik di sebuah hotel di Subang Jaya menyaksikan kontrak perkhidmatannya sebagai Mufti Selangor telah ditamatkan pada bulan Oktober 1997.

Atas perkenan Sultan Selangor, jasad Almarhum telah disemadikan di Makam Diraja di Shah Alam kira-kira jam 10:50 pagi Khamis sebagai pengiktirafan atas jasa-jasa dan ketokohan Almarhum. Amat terkesan sekali melihat ribuan rakyat mengerjakan solat jenazah, betapa Almarhum amat disayangi. Moga roh Almarhum sentiasa dirahmati Allah SWT dan ditempatkan di kalangan para pejuang fisabiliLlah. Al-Fatihah.