Saturday, October 26, 2013

Ekspo Buku Islam @ AU2

Kepada para pencinta buku sekitar Lembah Keramat dan Ulu Kelang, inilah kesempatan terbaik untuk 'memborong' buku-buku Islam bagi menambah koleksi sedia ada.

Bermula 24/10 sehingga 02/11/2013, Ekspo Buku Islam Kali ke-9 (EBI-9) sedang berlangsung di Dewan Serbaguna AU2, Jalan AU2a, Taman Sri Keramat (bersebelahan Klinik Kesihatan AU2). 

Bagi yang tinggal di sekitarnya, tiada masalah untuk mencarinya. Cuma pengunjung luar yang tiada bantuan GPS, mungkin sukar sedikit. Ini kerana lokasinya agak tersorok di sebalik pepohonan kayu yang merendang di sekelilingnya. Jika anda tahu AEON AU2, tidak jauhlah tu, Inshaa ALLAH bolehlah ketemu Klinik Kesihatan AU2 di mana dewan tersebut terletak di sebelahnya.

Ekspo ini dianjurkan oleh Sinergi Ilmu Resources Sdn Bhd dengan kerjasama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), bermula dari jam 10:00 pagi hingga 9:00 malam. Masuk adalah PERCUMA.

Dengan ruang dewan yang terhad, gerai bukunya juga terhad. Dengan kata lain, tidak semua pengusaha serta pengedar buku yang dapat menyertainya. Namun dengan penyertaan dari PTS, Galeri Ilmu dan Karangkraf serta Sinergi Ilmu dan POPULAR Bookstore dengan diiringi beberapa pengedar/ penjual buku, kemeriahan lambakan buku berserta tawaran potongan harga istimewa (purata 10%-20%) mampu membuatkan pengemar buku kelabu mata dibuatnya. 

Eloklah berbelanja untuk buku daripada entah kemana leburnya duit di tangan. Anggaplah ianya satu pelaburan demi masa hadapan yang lebih bermakna, bukan sahaja di dunia tetapi paling utama di akhirat nanti. Dengan ilmu di dada, itulah bekalan yang akan dibawa.

Jika diikutkan hati ini, banyak buku yang nak diangkut pulang tetapi kena berpada-padalah. Timbunan buku di rumah yang dibeli ketika Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang lalu serta beberapa tahun lepas masih ada yang belum dibaca. Itulah jadinya bila pantang tengok buku depan mata. Tak mengapalah, nanti bacalah tu....

Di samping pameran buku (sebenarnya jualan buku - itu tujuannya), pihak penganjur juga turut menyediakan pelbagai aktiviti harian (seperti jadual di atas) bertempat di khemah utama di hadapan dewan; antaranya sesi Motivasi dan Bedah Buku oleh Selebriti dan Penulis Buku seperti Sdr Hilal Asyraf, Ustazah Fatimah Syarha, Ustaz Don Daniyal, Ustaz Rohidzir Rais, Sdr Web Sutera dan ramai lagi. Tidak ketinggalan Demo Memasak oleh Chef Hanieliza, peraduan mewarna untuk kanak-kanak, pertandingan nasyid dan baaa....nyak lagi. Nak tahu lebih lanjut bolehlah berkunjung ke Facebook Sinergi Ilmu.

Saya dah pergi, anda bila lagi?

Monday, October 21, 2013

TAHNIAH Iddin

Pagi Sabtu, 19/10/2013 baru-baru ini telah berlangsung Majlis Graduasi MRSM Serting Kali Ke-19 khusus untuk para pelajar Tingkatan 3 dan 5. Anak sulung kami, Muhammad Izzuddin @ Iddin adalah pelajar Tingkatan 5, sekaligus penerima Sijil Graduasi pada majlis yang diadakan di dewan maktab, Dewan Gemilang.

Majlis Graduasi yang gilang-gemilang itu setara dengan pesta konvokesyen di institusi pengajian tinggi tanah air termasuk perarakan masuk graduan, guru dan senat maktab serta pemakaian jubah merah hati, suatu kemegahan bagi para pelajar sendiri. 

Bertolak dari Ulu Kelang sekitar jam 8:30 pagi, kami tiba di dewan ketika doa pembuka majlis mula dibacakan. AlhamduliLlah. Hilang kegusaran di hati Iddin yang ternanti-nanti ketibaan kami sedangkan dewan telah pun dipenuhi para ibu bapa dan para jemputan VIP telah pun berada di pentas utama.

Menerima Sijil Graduasi daripada Pengetua, En. Noor Hassan
Sehari sebelumnya Iddin menelefon, berpesan penuh mengharap; ibu dan ayah mesti datang kerana Iddin adalah salah seorang penerima hadiah utama. 

Terkesima kami dibuatnya kerana perancangan awal hanya ibu bertemankan Hanisah ke MRSM Serting, manakala ayah pula ke MRSM Kota Putra, Besut, Terengganu untuk menghantar Solehah pada hari yang sama. 

Akhirnya Allah melorongkan hati kami untuk ke Serting dahulu sebelum berkejar ke Besut. Ada hikmahnya terutama dari segi sokongan moral untuk anak-anak.

Menatap Buku Graduasi yang disertakan, kami amat berbangga dengan pencapaian akademik yang diperolehi Iddin yang mengungguli tempat teratas senarai Sijil Penghormatan Pengetua, sekaligus dinobatkan sebagai Graduan Terbaik Akademik. TAHNIAH Iddin.

Lebih terharu lagi, untuk anugerah graduan terbaik tersebut, ibu dan bapa turut sama dijemput naik ke pentas. Berdiri di hadapan khalayak ramai, biografi ringkas pelajar dibacakan diiringi tepukan gemuruh para hadirin. Sesuatu yang di luar jangkaan kami kerana ingatkan hanya Iddin yang akan naik ke pentas dan kami hanya menonton dari bawah. 

Bersama ibu-ayah selepas menerima anugerah
Sempoinya, saya hanya memakai selipar sahaja sedangkan bapa-bapa lain lengkap berkasut. Alahai... maafkan kami jika merosakkan kegemilangan majlis.

Ketika itu masa telahpun melewati jam 12:30 petang. Tanpa menunggu majlis tamat sambil berpesan kepada Iddin untuk sampaikan salam kepada para guru, kami terus bergegas keluar, bertolak ke Besut, mengejar waktu sebelum pintu pagar asrama MRSM Kota Putra ditutup sekitar jam 7:00 petang. 

Sememangnya kami amat berasa bersalah, seolah-olah tidak beradab kerana meninggalkan begitu sahaja para guru yang banyak mendidik Iddin selama 2 tahun berada di MRSM Serting. Namun ianya terpaksa dilakukan. Fahamilah situasi kami. Moga kita dipertemukan di lain kesempatan.

Untuk Iddin - Berusahalah demi kerana ALLAH, Inshaa ALLAH manisnya kejayaan akan lebih terasa.  

Sekali lagi, TAHNIAH. Moga ianya menjadi inspirasi dan motivasi kepada adik-adik.

Tuesday, October 15, 2013

Rindu Masyair Haram

Hari ini Hari Raya Haji @ Qurban di negara kita. Salam Eid Adha untuk semua.  Moga Eid Adha tahun ini mendekatkan lagi diri kita dengan al-Khaliq. Apatah lagi Qurban itu sendiri bermaksud 'dekat' yakni dalam erti kata hubungan dengan ALLAH SWT. 

Di Dataran Kaabah selepas dhuha
Semalam, 9 Zulhijjah; para jemaah haji berkumpul di Arafah untuk melaksanakan ibadah wukuf setelah berniat menunaikan haji. Sekaligus tertanggung larangan ketika berihram.

Aturan seterusnya mereka akan bergerak ke Muzdalifah, sekadar untuk singgah sebelum bermalam di Mina, sekurang-kurangnya 2 malam (Nafar Awal) atau tiga malam (Nafar Thani).

Di samping bermalam di Mina, mereka juga berkewajiban melaksanakan ibadah melontar di 3 jamrah - Aqabah, Ula dan Wusta. Pada masa sama, ibadah tawaf dan saie serta bergunting difardhukan. Secara umum, demikianlah ibadah haji dilaksanakan.

Kepada semua jemaah haji, setulusnya moga Allah menganugerahi haji mabrur. Ameen.

Selepas melontar di Jamratul Aqabah 10 Zulhijjah
Tika saat ini, kami amat merindui suasana ibadah haji yang kami lalui tahun lepas. Bagi setiap insan yang pernah ke Makkah bagi melengkapkan Rukun Islam kelima ini, kami pasti apa yang kami rasai turut sama dirasai mereka. Mungkin lebih hebat lagi. 

Oh, alangkah nikmatnya ibadah haji. Keinginan untuk ke sana lagi sentiasa mekar di jiwa. Di saat semua jemaah berada di Arafah dan Mina, gelodak hati semakin bergelora. Siaran langsung di kaca TV (terutamanya TV Al-Hijrah) sedikit sebanyak dapat mengubat rasa rindu kami.

Ya Allah, berilah kami peluang untuk ke sana lagi. Ameen.

Di Arafah dan Mina kami mempunyai pengalaman tersendiri yang pasti tidak dapat dilupakan. Lebih-lebih lagi di Mina di mana kami hanya berada di khemah di waktu malam semata-mata memenuhi syarat sah mabit di Mina. Sebelah siangnya, selepas melontar di Jamrah di waktu dhuha, kami terus berjalan kaki ke Masjidil Haram. Seharian di Haram, seusai solat Isyak, kami bertolak pulang ke khemah di Mina.

Berulang alik dari Mina ke Masjidil Haram
Sepanjang berada di Tanah Suci Makkah dan Medina, terlalu banyak dugaan dan cabaran yang dihadapi. Segalanya disimpul dan dirangkaikan menjadi untaian pengalaman dan pengetahuan yang amat berharga bagi kami. Bukan sahaja dari sudut ibadah tetapi juga dari sudut persabahatan dan persaudaraan sesama Muslim merentasi sempadan negara.

Namun, cabaran selepas ibadah haji itulah yang paling getir untuk dipertahankan seperti solat berjemaah di masjid, puasa sunat, membaca al-Quran, bertahajud di sepertiga akhir malam dan mengawasi jiwa, pancaindera dan anggota dari melakukan maksiat kepadaNYA.

Moga setiap amalan kita diterima oleh ALLAH SWT dan dihimpunkan di kalangan hamba-hambaNYA yang dirahmati sehinggalah dijemput ke alam baqa'. Ameen.

Salam Eid Adha dan selamat menunaikan ibadah qurban. 

Friday, October 4, 2013

Bazir Lagi...

Terus terang, saya cepat terasa @ sensitif apabila menyentuh soal pembaziran. Didikan ayahanda ketika kecil amat berbekas di hati. Walaupun adakala cara didikannya tampak kasar dan tidak masuk akal tetapi mesej yang ingin ditanam adalah jelas -  'berjimatlah, usah membazir'.

Mesej ini jugalah yang sentiasa diterapkan kepada anak-anak dan ahli keluarga yang lain terutama dalam soal perbelanjaan harian, pengunaan elektrik, air dan telefon. Mana-mana keperluan, gunakanlah sebaik mungkin dan jika tidak memerlukannya lagi, pastikan tiada pembaziran berlaku.

Justeru itu tidak hairanlah jiwa ini terasa amat sakit bercampur geram dan marah apabila Laporan Ketua Audit Negara 2012 dipaparkan kepada umum. Terlalu banyak pembaziran wang di dalam kerajaan - persekutuan dan negeri.

Lebih menyedihkan ianya melibatkan perbelanjaan yang amat tidak munasabah dan tidak masuk akal - berganda-ganda tingginya dari harga pasaran. Peningkatan kos projek, kelemahan pengurusan, salah laku pengendalian dan bermacam-macam sebab-musabab menyumbang kepada pembaziran yang tidak sepatutnya berlaku.

Itupun hanya sebahagian kes yang sempat diaudit, selebihnya belum pasti keadaannya. Malah begitulah keadaan laporan audit bagi tahun-tahun sebelum ini. Seolah-olah langsung tiada pengajaran dan usaha diambil untuk memastikan masalah yang sama daripada berulang. 

Saya tidak ingin mengulas panjang kerana masing-masing telah sedia maklum. Cuma sekadar melampiaskan rasa gusar di hati dengan segala macam kecuaian, pemborosan dan ketirisan dalam menguruskan kewangan negara mengakibatkan berbillion-billion ringgit mengalirkan bagaikan air tetapi hasilnya amat mengecewakan. 

Sedarlah... dana berkenaan bukannya milik individu atau kumpulan tertentu tetapi milik kita semua, rakyat jelata yang membayar cukai. Mereka hanya diamanahkan untuk menguruskannya.

Wahai, para penjawat awam sehinggalah pak menteri... ingatlah bahawa amanah yang diberikan pasti akan dipersoalkan oleh ALLAH SWT ketika berkumpul di Padang Mahsyar nanti.  Mampukah kita menjawabnya di saat mulut terkunci mati sedangkan segala anggota menjadi saksi. Secanggih manapun undang-undang yang dikuatkuasakan jika tiada iman di jiwa, tiada maknanya. Namun jika hati disaluti iman yang kental, tidak perlu kepada undang-undang untuk mengawalnya, Inshaa ALLAH segalanya terpelihara.

Jadi, berhemah dan jujurlah dalam melaksanakan setiap amanah. Moga kita semua sentiasa dirahmati olehNYA. Ameen.

Tuesday, October 1, 2013

Restu PMR

Masuk sahaja bulan Oktober, degupan jantung (debaran) para pelajar Tingkatan 3 semakin kencang. Esok, 02/10/2013 (Rabu), maka bermulalah ujian terbesar untuk mereka, Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). 

Ianya tidaklah lama, hanya 4 hari sahaja untuk pelajar biasa, manakala tambahan satu hari lagi bagi pelajar yang mengambil matapelajaran Bahasa Pilihan; iaitu Bahasa Arab, Cina, Tamil, Punjabi, Iban dan Kadazandusun. Insya Allah, PMR dijadualkan tamat pada 08/10 (Selasa) atau 09/10 (Rabu).

Walaupun hanya 4 atau 5 hari sahaja tetapi jadualnya amat padat dengan 3 kertas peperiksaan yang perlu dihadapi setiap hari - 2 kertas di sebelah pagi dan 1 lagi di sebelah petang.

AlhamduliLLah, rehatnya selama 3 hari di penghujung minggu (Jumaat - Ahad). Adalah juga rehatnya walaupun sebenarnya tidak dapat rehat sepenuhnya. Debaran untuk kertas-kertas seterusnya pasti membuatkan tidur pun boleh terganggu (walaupun diri merasakan telahpun bersedia). 

Rasanya itulah juga debaran yang dialami oleh anak kedua kami, Nur Hanisah serta sepupu-sepupunya, Ainul Farhah dan Siti Alia Syukrina. Diharapkan mereka dapat menghadapinya dengan penuh tabah dan tenang, moga segalanya dipermudahkan oleh ALLAH SWT dan beroleh kejayaan yang membanggakan. Ameen.

Bagi Hanisah dan Ainul, kedua-duanya tidak pernah mengalami suasana peperiksaan besar sebelumnya. Dengan kata lain, mereka tidak pernah menduduki peperiksaan UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah). Ini kerana ketika itu mereka berada di luar negara mengikut ibu-ibu mereka menyambung pelajaran di bumi Australia (Melbourne dan Sydney). 

Namun itu bukanlah masalahnya. Paling utama adalah usaha bersungguh-sungguh demi masa depan yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang di dunia dan di akhirat. Usah lupa berdoa padaNYA kerana itulah senjata paling ampuh kurniaNYA yang tiada tandingannya.

Selepas Hanisah dengan PMRnya, maka abangnya, Izzuddin pula akan bergelut dengan kertas-kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selama sebulan mulai 06/11/2013 nanti.

Sebagai ibu bapa, tidak lekang di sanubari kami mendoakan yang terbaik untuk mereka. Begitu juga kepada setiap khalayak pembaca semua, khususnya para pelajar dan ibubapa yang senasib dengan kami. Moga mereka semua dipermudahkan oleh ALLAH SWT dan dikurniakan kejayaan bagai yang diharapkan. Ameen.