Thursday, December 31, 2015

Melbourne > Di mana Kami Menginap?

Selama seminggu di Melbourne, kami menginap di beberapa tempat mengikut keperluan, kesempatan dan kekosongan yang ada.

Bersama Sdr Edy di hadapan an-Naim Melb Home
Untuk 3 hari pertama, kami menginap di an Naim Melb Home – homestay milik rakan lama, pasangan Melayu Kelantan-Singapura; Sdr Asmadi (Edy) dan Mazni yang terletak di tepian Princess Hwy di Springvale. Dekat sahaja dengan Dandenong yang menjadi tumpuan kami. Tak sampai pun 10 km.

Urusan sewaan telah dibuat sejak beberapa bulan yang lalu. Asalnya kami berhajat menyewanya selama seminggu tetapi telah ada penyewa untuk hari-hari berikutnya.

Kepada yang berhajat kepada rumah sewa ketika bercuti di Melbourne, bolehlah search an-Naim Melb Home dan buat tempahan melalui laman berkenaan. Cuma jaraknya dengan Melbourne City kira-kira 30 km – jarak yang tidaklah jauh bagi sebuah negara/negeri yang luas.

Bertrampolin di laman belakang
Rumah 3 bilik tidur dengan ruang tamu, dapur berserta kelengkapan memasak, laundry dan bilik air yang terpisah daripada tandas kering. Perlu diingat, semua tandas di Australia (persendirian dan awam) sememangnya tiada disediakan air untuk bersuci. Jadi pandai-pandailah gunakan air yang dibawa tanpa membasahkan lantai.

Satu lagi, setiap sampah perlu diasingkan antara recycle items dan sisa makanan. Jangan dibuang sebarangan ke dalam tong sampah. Natijahnya pemilik rumah lazimnya akan disaman.

Laman hadapan dan belakang an-Naim luas. Terdapat beberapa pokok buah-buahan di bahagian belakang rumah, antaranya buah tin (fig), goose berry, limau nipis dan lemon.

Bagi kami, buah tin dan lemon mengundang memori indah pada rumah sewa kami di Dandenong dahulu. Buah tinnya lebat sekali, menunggu masak di akhir musim panas ini atau awal musim gugur nanti (Jan-Mac). Buahnya jenis besar,  boleh dimakan begitu sahaja. Rasanya, emm.. sedap sekali.

Inilah buah tin... sedap!
Dua hari terawal suhu di Melbourne amat sejuk, sekitar 17C. Lebih-lebih lagi di malam hari menurun di bawah 10C. AlhamduliLLAH ada pemanas elektrik disediakan di setiap bilik dan juga di ruang tamu.

Setiap pagi kami akan dapatkan dahulu ramalan suhu dan cuaca harian yang tersiar di kaca TV sebagai persediaan sebelum keluar berjalan.

Selama 3 hari di an-Naim, sempat juga kami memasak seadanya di rumah ini. Malah banyak sekali keperluan dapur seperti rempah ratus dan bahan makanan serta minuman yang disediakan atau ditinggalkan oleh para penyewa yang bersilih ganti sebelum kami. Majoritinya dari Malaysia. Daging halal, makanan laut dan pelbagai keperluan memasak rasa Malaysia mudah diperolehi di Halal Mart dan Asian Grocery di Dandenong atau pun Clayton.

Selepas itu kami menginap semalam di Clayton Monash Motor Inn, berdekatan dengan Monash University. Apartment 2 bilik yang amat selesa, ditempah beberapa hari sebelum berlepas ke Melbourne. Keesokan harinya, selepas majlis konvokesyen, bermulalah perjalanan kami ke Mt. Gambier, South Australia dan Port Campbell, Victoria. 

Untuk kedua-dua tempat tersebut, penginapannya secara walk-in sahaja. Kami tidak membuat tempahan awal kerana khuatir perjalanan kami berubah rancangan di saat-saat akhir. Pengalaman kami, ianya suatu tindakan yang amat besar risikonya jika tiba di waktu malam kerana lazimnya reception mula ditutup sekitar jam 8:30 malam. Begitu juga ketika peak season seperti musim cuti sekolah di Australia. 

Namun kami bernasib baik. Syukur kepada ALLAH SWT atas rahmat dan perlindunganNYA. Di Mt. Gambier, kami menginap di Arkana Motor Inn, manakala di Port Campbell pula di Summer's Rest Units. Kesemua tempat bermalam amat memuaskan hati kami terutama dari segi kekemasan dan kebersihan luarannya.

Di rumah Rasydan-Rohani
Malam terakhir sebelum bertolak pulang ke tanah air, kami menerima jemputan bermalam di rumah rakan lama, Sdr Rasydan-Dr. Rohani yang juga tinggal di Springvale, tidak jauh dari rumah Asmadi-Mazni. Terima kasih daun keladi, lain kali bolehlah tumpang lagi... ;)

Nasihat kami kepada rakan-rakan yang ingin berkunjung ke Australia, rancangkan sebaik mungkin pengembaraan kalian. Dapatkan jarak dan masa perjalanan dari satu lokasi ke satu lokasi dan buat tempahan penginapan lebih awal.

Dapatkan juga ramalan cuaca dan suhu setempat serta waktu solat bagi setiap lokasi berkaitan. Soal makanan juga penting, boleh sahaja search tempat makanan halal yang ada atau pastikan ramuan makanan yang dibeli tidak mengandungi sumber haram atau syubhah. 

Seronok jika dapat memandu sendiri, apatah lagi jika berkeluarga. Akan tetapi bagi yang mengikuti pakej pelancongan, seeloknya dapatkan pakej Muslim, banyak perkara berkaitan hukum hakam Inshaa ALLAH lebih terpelihara.

Thursday, December 24, 2015

Melbourne > TAHNIAH Laili

Tujuan utama kami ke Melbourne kali ini bukanlah untuk melancong tetapi bagi meraikan Laili di pentas konvokesyen Monash University bertempat di kampus Clayton.

Di Monash University, Laili mengikuti pengajian di dalam bidang Geriatrics, pengkhususan kajiannya berkaitan Healthy Ageing.

Selepas Majlis Konvokesyen
Jarak waktu yang panjang dalam menyiapkan tesis dek bebanan tugasan harian yang saling bertindihan bagaikan tiada penghujungnya. Usaha yang berterusan tanpa menghiraukan sebarang rintangan dan tabah menghadapi setiap cabaran akhirnya membuahkan kejayaan yang membanggakan. Ibarat sebatang pokok yang dibajai penuh tekun sedari tunas akhirnya menatijahkan buah yang manis. 

AlhamduliLLAH, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Illahi, di pertengahan tahun baru-baru ini pihak Monash University telah memperakui tesis yang ditulis dan menganugerahkan Doktor Falsafah (PhD) kepada Laili. TAHNIAH Laili.

Setelah bertangguh bagi menghadiri beberapa majlis konvokesyen yang diadakan sebelum ini, akhirnya telah ditetapkan istiadat graduasi pada sesi Disember 2015 bagi sesi pagi 15 Dis 2015.

Tarikh ini dipilih kerana bersekali musim cuti persekolahan di Malaysia. Tambahan pula musim panas di Australia - amat sesuai untuk membawa anak-anak berjalan-jalan makan angin.

AlhamduliLLAH... pagi 15 Dis yang terang. Kami tiba awal di kampus, kira-kira jam 8:00 pagi. Suasananya masih lenggang lagi. Ada hikmahnya. Banyak urusan dapat dilakukan dalam keadaan senang dan tenang. Bermula dengan pendaftaran, tuntutan tiket (AlhamduliLLAH semuanya dapat tiket) dan ambilan jubah + bonnet (topi konvokesyen), diikuti pengambilan foto berbayar dapat dilakukan tanpa menunggu lama. Bagi yang datang lewat, terpaksa berdiri lama menunggu giliran.

Menunggu majlis konvokesyen yang bakal berlangsung di Robert Blackwood Hall pada jam 11:00 pagi, kami berjalan-jalan di sekitarnya sambil mengambil beberapa foto sebagai kenangan-kenangan. Hadirin mula melangkah masuk ke dewan setengah jam sebelum majlis bermula. Para jemputan dibenarkan mengambil foto sepanjang majlis tetapi dari tempat duduk sahaja. Pelbagai bangsa, agama dan warna kulit hadir memberi sokongan moral pada ahli keluarga masing-masing.

Perjalanan majlis istiadat konvokesyen ringkas sahaja. Bermula dengan perarakan masuk ke dewan dikepalai pembawa cokmar, diikuti oleh delegasi tertinggi universiti, para pensyarah/penyelia dan para penerima PhD. Selingan muzik hanya dipermulaan majlis dan di akhirnya sahaja.

Tiada raptai khusus, cukup dengan penerangan ringkas. Tiada juruacara khusus. Timbalan Canselor dan Naib Cancelor serta Dekan bersilih ganti menjadi juruacaranya. Ucapannya bersahaja dan tidak terlalu panjang.

Begitu juga dengan istiadat graduasinya juga ringkas. Hampir 500 penerima anugerah Bachelor dan PhD megah melangkah menerima sijil daripada Cancelor. Menghampiri jam 12:30 petang, semuanya selesai. Alangkah selesanya jika perkara seumpamanya berlaku di universiti-universiti tanah air kita yang amat memberatkan protokol.

Kami amat berbangga melihat Laili dengan jubah hitam berselendang hitam merah dan bonnet hitam berambu merah. Itulah manifestasi sebuah kejayaan yang amat bermakna bagi kami sekeluarga. Sayangnya Izzuddin tiada bersama tetapi keceriaannya masih dapat dirasai bersama. Lebih-lebih lagi ketika melihat Laili berada di pentas - dikalungkan selendang dan dianugerahkan sijil PhD. Apatah lagi dengan berbaju kurung... tampak benar kelainan budaya - juga amat dibanggakan.

Sekali lagi... AlhamduliLLAH dan TAHNIAH. Moga sentiasa dirahmati ALLAH SWT dan menjadi inspirasi dan motivasi untuk anak-anak. Aameen.

Tuesday, December 22, 2015

Melbourne > KUL-MEL-KUL

Musafir kami di Melbourne bermula dengan penerbangan pada 10 Dis dari KLIA ke Melbourne Airport dan berakhir pada petang 18 Dis ketika penerbangan pulang. Ditolak campur adalah dalam seminggu kami berkelana di bumi kangaroo.

Untuk entri kali ini, kami kongsikan pengalaman yang kami lalui ketika di lapangan terbang dan sepanjang penerbangan pergi dan balik.  

KUALA LUMPUR - MELBOURNE 

Kami tiba di KLIA kira-kira jam 7:00 petang 10 Dis. Sedikit gusar ketika check-in di kaunter kerana salah satu visa (ETA) kami tersilap maklumat dan perlu diperbetulkan oleh pihak imigresen Australia. Kesilapan yang tidak disedari ketika permohonan visa secara online. Lebih sejam menunggu, sempatlah kami solat jamak Maghrib-Isyak terlebih dahulu. 

Penerbangan MAS MH149 (KUL-MEL) berlepas dari KLIA kira-kira jam 10 malam. Majoriti para penumpangnya adalah berbangsa Cina dan juga 'orang putih'.  

Menjenguk di luar tingkap tika matahari pagi bersinar terang, terpana kami dengan keindahan alam ciptaan ALLAH SWT -  gumpalan awan bagaikan kapas putih bersih terapung-apung di udara. Daratan coklat pula berbalam-balam kelihatan di sebaliknya. SubhanaLLAH.

AlhamduliLLAH MH149 selamat mendarat di Melbourne Tullamarine Airport sekitar jam 8:10 pagi (waktu tempatan). Perbezaan masa adalah 3 jam di hadapan (Daylight Saving Time - tambahan 1 jam dari Okt-Mac). Persekitarannya panas tetapi suhunya rendah, 14 C.

Mengikut aturan musim, sekarang adalah musim panas di Melbourne. Akan tetapi suhunya tidak menentu - adakalanya sejuk walaupun di musim panas. Itulah Mebourne yang kami kenali sehingga mendapat jolokan four season in one day.
 
Setelah memungut bagasi, langkah seterusnya melalui pemeriksaan kastam. Perlu diingatkan, pengawasan masuk barangan ke Australia amat ketat. Bahan tenusu, sayuran, buah-buahan dan tumbuhan adalah antara barang larangan ke Australia. 

Berpandukan kepada Incoming Passenger Card (IPC) di mana tertera barangan yang diisytiharkan dibawa, kami sekeluarga telah diminta berbaris bersama beg dan kotak sambil dihidu oleh anjing pengesan. Puncanya ada makanan berasaskan ikan (serunding ikan dan bilis kopek). Tiada sebarang masalah. Malah tidak perlu melalui mesin pengimbas mahu pun diselongkar bagasi. AlhamduliLLAH.

Begitu juga tiada masalah di kaunter imigresen. Berbaris di Family Lane, barisannya lebih pendek, maka lebih cepat mendapat giliran. Tambahan pula layanan petugasnya amat mesra menyambut kehadiran kami di negara mereka.

Melangkah keluar dari Bangunan Terminal, kami tercanggak-canggak mencari laluan melintas untuk ke Park Royal Hotel di seberang jalan terminal bagi mengambil kereta Mitsubishi ASX yang disewa di Thrifty Car Rental. Maka bermulalah musafir menjejaki kenangan di Melbourne dengan lokasi pertama yang ditujui adalah an-Naim Home Melb - homestay milik kenalan lama, Sdr Asmadi-Mazni yang terletak di Springvale, daerah berjiranan dengan Dandenong.

MELBOURNE - KUALA LUMPUR

Penerbangan MAS MH 148 dari Melbourne Airport ke KLIA (MEL-KUL) dijadualkan berlepas pada jam 2:50 petang.

Bertolak dari rumah Sdr Rasydan-Rohani di Springvale di mana kami menginap di sebelah malamnya, AlhamduliLLAH kami tiba di Melbourne Airport kira-kira jam 12:00 tengahari dan terus dihantar kereta sewa ke Thrifty Car Rental. Urusan check-in selesai sekitar jam 1:15 petang dek panjangnya barisan walaupun banyak kaunter yang dibuka. AlhamduliLLAH, sempat kami bersolat jamak Zohor-Asar di Prayer Room di tingkat bawah. Itulah salah satu kelebihan yang amat kami gemari yang ada pada Melbourne Airport.

Urusan pemeriksaan kastam kami tersangkut kerana salah satu beg dikesan mempunyai barangan terlarang. Tak disangka-sangka, rupa-rupanya kotak hadiah sebagai buah tangan daripada teman di Springvale untuk adiknya di tanah air adalah puncanya. Jika kami tahu isinya sudah pasti kami masukkannya ke ruangan bagasi. Apa nak buat, tiada rezeki. Maafkan kami. 

Seterusnya tersangkut pula di bahagian imigresen. Urusan kaunter amat perlahan di mana hanya 3 kaunter dibuka sedangkan barisan penumpang agak panjang. Kami mulai risau kerana masa berlepas hanya tinggal 20 minit lagi sedangkan giliran kami masih jauh. Setelah ditambah lagi 7 petugas, maka cepat sahaja barisan menjadi pendek. Terkejar-kejar kami menuju Gate 8. AlhamduliLLAH.

Selamat Tinggal Melbourne...

Sepanjang penerbangan, masing-masing tidak lepaskan peluang menonton filem dan mendengar alunan nasyid dan ayat-ayat al-Quran. Setelah penat, tidurlah jawabnya. 

Sesekali arahan kembali ke tempat duduk diberikan kerana keadaan cuaca yang kurang baik. Gegaran demi gegaran pada kapal terbang menimbulkan kengerian di hati. Hanya padaNYA kami berserah sambil memohon keampunan dan keselamatan dari segala mala petaka

AlhamduliLLAH, MH 148 selamat mendarat di KLIA kira-kira jam 7:45 malam. "Selamat Pulang". Demikianlah sapaan daripada pramugara/i ketika melangkah keluar dari perut kapal terbang. Maka rutin hidup di bumi Malaysia kembali berpusing seumpama roda.

Maka tinggallah Melbourne dengan deretan kenangan terbaru. Jika berpeluang, ingin lagi kami ke sana. Siapa tahu... Segalanya tiada mustahil bagiNYA. Aameen.

Sunday, December 20, 2015

Melbourne > Musafir Menjejaki Kenangan

Dahulu... dari pertengahan tahun 2007 hingga akhir tahun 2010, kami pernah bermukim di bumi Melbourne. Lebih khusus lagi di Dandenong, salah sebuah daerah terbesar di Victoria, Australia. Sebelum itu kira-kira 6 bulan di akhir tahun 2006 kami berkelana di bumi Adelaide, South Australia. Ketika itu Laili menyambung pengajian di kedua-dua tempat tersebut. Kesemua enam beranak turut serta. Kini, segalanya tinggal kenangan setelah kami berangkat pulang ke tanah air pada awal tahun 2011.

Seringkali juga kami merindui suasana kehidupan di Melbourne. Terpahat kemas di hati, Inshaa ALLAH kami akan ke sana lagi sekaligus menjejaki kembali kenangan pahit manis hampir 4 tahun di negara orang.


Setelah sekian lama bertangguh dek bebanan kerja dan kekangan masa yang terbatas, akhirnya impian kami menjadi kenyataan. AlhamduliLLAH, pagi 11 Disember, 2015 kami selamat tiba di Melbourne Airport dan pada petang 18 Disember kami terbang meninggalkan Melbourne.

Seminggu di Melbourne, terubat sudah rindu di hati. Cuma kurang cerianya kerana kunjungan kami kali ini tidak disertai sama Izzuddin yang sedang berada di California, Amerika Syarikat.

Tujuan utama kami ke Melbourne adalah bagi meraikan Laili di pentas konvokesyen Monash University yang berlangsung pada pagi Selasa, 16 Disember. TAHNIAH Laili. Kami sekeluarga amat-amat bangga dengan kejayaan yang dicapai. Moga ianya menjadi motivasi terbaik untuk anak-anak serta ahli keluarga lain.

Selebihnya misi kami adalah berjalan-jalan makan angin ke lokasi-lokasi pelancongan yang pernah disinggahi suatu ketika dahulu sambil mengutip setiap helaian kenangan, pengalaman dan pengetahuan yang pernah dilalui. Walaupun tidak semua dapat dijejaki tetapi memadai dalam ruang lingkup waktu yang terbatas.

Inshaa ALLAH segalanya akan dikongsi pada entri seterusnya. Moga dipermudahkanNYA dan ada manafaatnya. Aameen.

Thursday, December 10, 2015

The Big Bad Wolf Datang Lagi

Inilah pesta jualan buku terbesar di bawah satu bumbung yang pernah kami kunjungi khususnya dengan majoriti buku berbahasa Inggeris. Ianya adalah acara tahunan pada setiap akhir tahun bertempat di MIECC @ The Mines, Seri Kembangan, Kuala Lumpur.

Sejak pertama kali menjejakkan kaki ke BBW Book Sale kira-kira 4 tahun lalu, setiap tahun kami tidak pernah terlepas peluang ke BBW.

Pertama kali ke BBW, kami berbelanja hampir RM800. Semuanya begitu teruja terutama anak-anak yang amat menggemari buku-buku bahasa Inggeris.  Sayang untuk meminggirkan setiap buku yang dipilih. Semuanya amat menarik. Kali kedua dan seterusnya semakin kurang berbelanja. Semuanya berhati-hati, hanya yang benar-benar terpilih yang menjadi pilihan hati.

Untuk tahun ini, BBW Book Sale bermula pada 04/12/2015 dan akan berakhir pada 14/12/2015. Ruangan jualan ini dibuka 24 jam setiap hari sehinggalah ditutup menjelang tengah malam pada 14/12 nanti.

Harga setiap buku amat-amatlah murah, apatah lagi bagi buku-buku keluaran luar negara. Bayangkan harga asalnya sekitar RM40 - RM60 dijual dengan harga RM10 sahaja. Malah mudah sahaja ditemui buku-buku dengan harga RM3 - RM8 sebuah. Terdapat juga buku yang ditawar potongan harga sehingga 95%.

Cuma satu... hampir semua buku adalah buku lama, bermaksud telah lama berada di pasaran. Tidak dinafikan, sebahagiannya adalah buku 'tak laku' yang memenuhi gudang penerbit. Namun, yang penting adalah ilmu pengetahuan dan 'hiburan' yang terdapat di dalamnya. Pandai-pandailah membuat pilihan terbaik.

Koleksi Terbaru Kami
Dilaporkan lebih 3.5 juta buku 'dilonggokkan' pada tahun ini. Dari pemerhatian kami, jumlah buku berbahasa Melayu semakin banyak dipamerkan dengan pertambahan penyertaan daripada para penerbit tempatan, antaranya PTS, Karangkraf dan Galeri Ilmu. Bagi peminat buku pixi/ indie, banyak juga pilihan untuk mereka.

Ratusan meja pameran disediakan. Lebih menarik lagi, pada tahun ini disediakan troli bakul untuk memudahkan para pengunjung membawa buku-buku pilihan. Sebenarnya ini satu perubahan positif yang baik, sekaligus diyakini dapat meningkatkan jualan.

Pada tahun lepas, dek kekangan masa yang terbatas, kami berkunjung ke BBW pada jam 3:00 pagi. Pada tahun ini pula kami melangkah masuk ke ruang jualan sekitar jam 7:15 pagi hari Ahad baru-baru ini. Pengunjungnya belum ramai lagi tetapi tidak lama. Ketika kami beredar keluar sekitar jam 10:00 pagi, ruangan dalaman semakin dipenuhi para pencinta buku.

Kali ini kami tidak banyak berbelanja, hanya sekitar RM200 sahaja. Bukannya tiada buku menarik... teramat banyak... tetapi semuanya berpada-pada. Buku yang dibeli sebelum ini pun masih ada yang belum dibaca. Lebih parah lagi, tiada lagi ruang penyimpanan di rak-rak buku yang semakin sendat, padat dan ketat. Segalanya perlu disusun atur kembali dan diisihkan mana yang tidak/ kurang diperlukan.

Matlamat kami, sedaya mungkin habiskan dahulu apa yang ada. Inshaa ALLAH akhir tahun hadapan pergi lagi. Malah banyak pesta jualan buku di merata-rata tempat yang boleh dikunjungi, cuma bezanya buku bahasa Inggerisnya tidaklah semewah dan semurah di The Big Bad Wolf Book Sale.

Monday, December 7, 2015

Cuti Akhir Tahun 2015

Sekarang musim cuti sekolah di akhir tahun. Cuti yang panjang... menjangkau 6 minggu sehingga munculnya tahun baru 2016. 

Inilah cuti yang amat dinanti-nantikan oleh anak-anak sekolah. Banyak perkara yang boleh mereka lakukan. Lebih bebas daripada ketika cuti pertengahan penggal atau cuti semester. Lazimnya tiada kerja sekolah yang dibebankan. 

Berbeza dengan Solehah yang bakal melangkah ke Tingkatan 4 tahun hadapan... bertimbun kerja sekolah yang dibawa pulang. Segalanya persediaan untuk peperiksaan Cambridge IGCSE (International General Certificate of Secondary Education) yang bakal didudukinya pada tahun hadapan. Malah rutin hafazan al-Qurannya masih perlu diteruskan. Pesan kami, hadapilah dengan tabah dan tenang. Usah dihiraukan orang lain yang 'bersenang-lenang'. Jalur perjuangan adalah berbeza. Moga dikurniakan kekuatan. Aameen.

Manakala Hanisah pula baru sahaja meraikan 'kemerdekaan' daripada alam persekolahan menengahnya setelah tamat SPM pada awal Disember ini. Masa untuk berehat daripada penat-lelah dan perit-jerih. Moga berjaya cemerlang. Aameen.

Kebiasaannya apabila bercuti, adalah tempat yang akan dikunjungi. Semalam mereka dibawa ke pesta jualan buku terbesar di Malaysia yang menjadi idaman mereka setiap hujung tahun, The Big Bad Wolf Book Fair bertempat di The Mines, Seri Kembangan. 

Pada minggu lepas mereka ke berhari keluarga di Alang Sendayu, Gombak. Sebelum itu mereka telah pun menyinggah ke PTS Book Cafe di Dolomite Business Park, Batu Caves - beberapa buah komik dan buku menjadi milik mereka sebagai tambahan koleksi sedia ada.

Inshaa ALLAH, di penghujung minggu ini kami akan terbang ke Melbourne, Victoria, Australia bagi menghadiri Majlis Konvokesyen di Monash University @ Clayton. Tahniah Laili atas kejayaan yang diperolehi. Majlis yang tertangguh dek kesibukan kerja setelah pulang ke tanah air.

Kenangan di Lake Mountain, Victoria
Kami dijadualkan berada di Australia selama seminggu. Sambil menyelam minum air. Bolehlah dikatakan sebagai Misi Menjejaki Kenangan di Bumi Kangaroo. 

Segala yang dilalui selama 4 tahun bermukim di Melbourne, khususnya di Dandenong masih segar dalam ingatan.

Beberapa lokasi pelancongan yang pernah disinggahi akan dilawati. Beberapa kenalan akan diusahakan untuk dikunjungi. Beberapa rutin harian akan kami rasai kembali. Inshaa ALLAH segala kerinduan yang terpendam bakal terungkai tidak lama lagi.

Menjelmanya tahun 2016,  Inshaa ALLAH kami akan pulang ke Terengganu, menjengah keluarga di kampung. Seterusnya menghantar Solehah balik ke asrama MRSM Kota Putera. Jika berkesempatan, mahu juga melebarkan langkah ke bumi Serambi Mekah, Kelantan - menyingkap sejarah pahlawan Islam seperti Tok Janggut dan Mohammad al-Fateh di Muzium Negeri. Bermanafaat sebagai asas pentarbiyahan dan muhasabah diri.

Moga tercapai apa yang dirancang dan perjalanan kami sentiasa terpelihara di bawah payungan rahmat Illahi. Aameen.