Tuesday, September 30, 2008

Salam Eid ul Fitr

Esok Hari Raya. Buat kali ketiganya kami beraya di perantauan. Tahun 2006, Laili dan anak-anak serta abah dan emak beraya di Adelaide, South Australia. Tahun 2007 dan tahun ini, 2008, kami bersama-sama beraya di Melbourne, Victoria pula, juga di bumi Australia.

Di Dandenong, masyarakat Turki yang mendominasi komuniti Muslim di sini telah meraikan Eid Fitr pada hari ini (29 Sept 2008). Sama seperti tahun lepas. Mereka mengikut ketetapan di negara asal mereka. Manakala di kalangan Muslim lain biasanya mengikut ketetapan oleh pihak berkuasa Islam di Victoria. Hebahannya telah diterima (disertakan di bawah) beberapa hari lalu, Eid Fitr jatuh pada 1 Okt 2008.

Dari kejauhan, kami sekeluarga

> Mohd Ropidi Mohd Noor

> Noorlaili Mohd Tauhid

> Muhammad Izzuddin

> Nur Hanisah

> Nur Solehah

> Muhammad Imran

seikhlas hati mengucapkan
Selamat Menyambut Eid ul Fitr 1429 H
Maaf Zahir dan Batin

terutama untuk keluarga di Hulu Kelang dan Kuala Terengganu.
Diharapkan kehadiran Syawwal benar-benar memberi sinar baru dalam kehidupan kita untuk hari-hari mendatang, hasil tarbiyyah Ramadhan yang kita lalui. Moga segala amalan kita selama ini diterima oleh Allah SWT. Ameen.


~~~~~ * ~~~~~


Pengumuman Eid ul-Fitr oleh Lembaga Imam-imam Victoria


Board of Imams Victoria is pleased to announce that Eid ul-Fitr will be on Wednesday, October 1st 2008. Insha Allah.

The Astronomical New Moon is on Monday, September 29, 2008 at 8:12 GMT, 4:12 am EDT, 1:12 am PDT).

It will not be visible on September 29th 2008 except small possibility in Polynesian Islands. On Tuesday, September 30, it will be visible in New Zealand Australia, Indonesia, South Asia, Africa and Americas and thus the first day of Shawwal is on Wednesday, October 1st 2008.

Board of Imams Victoria wishes the Muslims all over Australia a happy and memorable Eid ul-Fitr. May Allah Subhanahu wa taala accept our fasts, our prayers, and all the charitable deeds that we have performed in this blessed month.
Wassalam.

Sheikh Mohamadu Saleem
Public Relations Officer

Monday, September 29, 2008

Khatam Al-Quran

Syukur AlhamduliLlah. Pagi ini selepas Subuh kami sekeluarga khatam Al-Quran 30 juz, menyamai kejayaan tahun lepas. Rencam tadarus yang dimulakan sejak awal Ramadhan dilakukan secara tetap selepas solat Maghrib dan Subuh, sekurang-kurangnya 1 juz sehari.

Bersama Laili dan anak-anak, Izzuddin dan Hanisah, kami bergilir-gilir membacanya sambil disemak oleh yang lain. Setinggi-tinggi perhargaan kepada semua terutama anak-anak yang bersemangat jitu, lebih-lebih lagi berjaya melawan ngantuk selepas bangun sahur dan solat Subuh.

Diharapkan agar amalan tadarus ini akan diteruskan di bulan-bulan lain selepas Ramadhan dengan lebih terancang. Sebelum ini mereka juga bertadarus tetapi agak perlahan. Natijahnya agak lambat pula untuk khatam. Insya Allah, moga dipermudahkan oleh Allah.

Teringat akan tazkirah Ustaz Khairul Anuar selepas solat tarawikh-witir di Malaysia Hall pada hujung minggu baru-baru ini.
Al-Quran bersifat “cemburu”. Kiranya sehari kita tinggalkan, maka seminggu kita akan dilupakan. Jika seminggu ditinggalkan, maka sebulan pula kita akan dilupakan. Jika sebulan, maka setahun kita akan dilupakan. Kiranya setahun tidak pernah kita membacanya, maka selamanya kita akan dilupakan oleh Al-Quran.

Moga ianya menjadi pedoman untuk kita semua. Bukan sekadar untuk dibaca tetapi dikurniakan kekuatan untuk mengamalkannya. Ameen.

Wednesday, September 24, 2008

Bosannya Cuti Sekolah

Bersedia untuk ke sekolah, hari terakhir Penggal Ke-3 persekolahan (free dress)

Sekarang anak-anak sedang bercuti sekolah Penggal Ke-3 selama 2 minggu. Cutinya bermula hari Sabtu baru-baru ini, 20/09/2008 sehingga Ahad, 05/10/2008.

Baru 4 hari memerap di rumah, jelas kelihatan rona kebosanan di wajah mereka. Sesekali ada juga dibawa ke perpustakaan untuk meminjam buku-buku dan DVD. Adakala dibawa berkunjung ke rumah rakan-rakan mereka yang berdekatan. Pada petang Sabtunya pula dibawa menyertai Bazar Ramadhan dan berbuka puasa di Malaysia Hall. Namun rasa bosan hanya hilang seketika.

Nampak gaya kena mengorak langkah lebih sedikit, berkunjung dan melawat tempat-tempat menarik terutama di sekitar Melbourne. Cuma halangannya cuaca yang tidak menentu, hujan dan panas tanpa dijangka. Tambahan pula sekarang ni musim berpuasa, bila penat banyak pula ragamnya. Satu lagi bergantung kepada masa lapang ibunya yang sedang sibuk menyiapkan tugasan pembelajarannya.

Apa pun, mereka tetap akan dibawa keluar berjalan-jalan. Tarikhnya sahaja yang belum ditetapkan secara tetap. Pelbagai permintaan telah dibuat tetapi bagusnya mereka tidak mendesak. Mereka faham akan halangan yang ada.

Deretan tulip di Silvan
Izzuddin dan Hanisah berhajat ke Sciencework Museum di City. Mereka pernah ke sana mengikut rombongan excursion sekolah beberapa bulan lalu. Katanya, menarik sekali. Masih banyak yang tidak sempat diterokai. Solehah pula berhasrat ke Melbourne Aquarium. Dia cemburu kerana ibu dan datuk serta neneknya pernah ke sana. Imran pula kalau boleh nak ke tempat yang ada haiwan, itulah perhatiannya pada peringkat umurnya sekarang. Kami pula mempunyai perancangan ke Tessalaar Tulip Festival di Silvan untuk melihat keindahan warna-warni lautan bunga tulip mengembangkan kelompaknya, penanda hadirnya musim bunga.

Insya Allah akan diusahakan yang terbaik. Bukan sekadar menghilangkan kebosanan tetapi menjadi pelengkap kepada program Cuti-cuti Australia. Lebih penting lagi ada ilmu dan pengetahuan yang dapat diambil darinya. Moga tercapai.

Tuesday, September 23, 2008

Bazar dan Iftor Ramadhan @ Malaysia Hall

Setiap petang Sabtu, sepanjang Ramadhan ini, kami bertandang ke Malaysia Hall. Bukan sekadar berbuka dan bertarawikh, tetapi turut sama memeriahkan Bazar Ramadhan yang diadakan di perkarangan letak kereta. Kami berjual dendeng (daging lembu ketuk bersambal) yang kami namakan Dendeng Dandy, sempena nama tempat yang kami tinggal, Dandenong.
Resepi dendeng ini dari emak Laili, yang diperturunkan dari orang-orang tua sebelumnya. Rasanya enak sekali dan boleh bertahan lama. Amat sesuai untuk simpanan dan kegunaan sepanjang Ramadhan. Lebih-lebih lagi pembuka selera ketika bersahur.

Pada awalnya hanya sekadar cuba-cuba sahaja, tak sangka pula berlanjutan setiap minggu. Minggu pertama, pengunjung dan penjual tidak ramai, mungkin kerana awal bulan. Minggu kedua, rakan penjual bertambah mendadak tetapi pengunjungnya hanya sedikit penambahannya. Hujung minggu baru-baru ini pengunjungnya agak ramai, kebetulan diadakan majlis jamuan aqiqah anak Sdr Nizam-Ruby dari Clarinda, Clayton. Turut kelihatan rakan-rakan dari Dandenong; keluarga Abang Nordin-Kak Siti, Wafir-Suharti, Lajiman-Suraya dan Badrul.

Majlis berbuka pada hari berkenaan mendapat sambutan hebat, penuh sesak ruang dalam Malaysia Hall. Dianggarkan sekitar 200 orang yang hadir, sekali ganda dari minggu-minggu sebelumnya. Kurma yang diedarkan tidak sempat sampai ke tangan. AlhamduliLlah dapat secubit kuih sebagai penanda berbuka puasa. Nasi dan biri-biri aqiqah + ayam habis licin. Syukur… dapat juga merasa walaupun sekadar kuah dan cebisan daging.
Solat Maghrib terpaksa bersesak-sesak. Hampir semua ruang kosong dijadikan tempat bersujud. Malah ada yang terpaksa menunggu giliran berikutnya. Solat tarawikh juga ramai, kira-kira separuh dari hadirin berbuka puasa. Cukup-cukup memuatkan ruang solat yang disediakan.

Oya.. tentang dendeng. Jualan minggu pertama kurang memuaskan, mungkin kurang pengunjung. Minggu kedua tidak mencukupi setelah diserbu rakan-rakan dari Thomastown dan Bundorra. Hari Sabtu baru-baru ini boleh tahan. Walaupun tak habis tapi memuaskan kerana kami buat lebih sedikit. Sabtu mendatang belum pasti lagi.

Satu meja jualan bersama kami adalah sahabat lama dari Thomastown, Shaharuddin-Azizah yang menjual pelbagai kueh-mueh. Bersebelahan kami adalah Khairuddin-Azliza dari Clayton menjual aneka kek. Lain-lain juadah dan kueh-mueh yang boleh didapati di Bazar Ramadhan antaranya, nasi ayam, ayam percik, ikan bakar, kueh keria, roti jala, tau fu fa, lompat tikam, kueh pelita, bubur lambuk dan macam-macam lagi kueh tradisional Melayu.

Tidak hairanlah Bazar Ramadhan menjadi tumpuan ramai. Inilah masanya dapat melihat dan merasa ole-ole cita rasa Melayu yang dibuat sendiri oleh orang-orang Melayu, bezanya mereka kini berada di Melbourne. Sekurang-kurangnya terubat juga rasa rindu dan nostalgia terhadap tanah air tercinta.

Friday, September 19, 2008

Puasa Anak-Anak

Bulan Ramadhan adalah bulan ibadah. Dikenali juga sebagai bulan kesabaran. Secara praktiknya itulah yang menjadi pegangan dan amalan Izzuddin, Hanisah dan Solehah.

Sehingga semalam, hari ke-18 Ramadhan, sehari pun mereka tidak miss puasa. Setiap hari mereka bangun bersahur dan menahan lapar dan dahaga sehinggalah ke petang. Bagi Izzuddin dan Hanisah, tiada masalah kerana telah membiasakan diri setiap tahun sejak di tanah air lagi. Lain pula bagi Solehah. Tahun lepas, sehari pun tidak berpuasa. Tak tahan lapar katanya. Tut.. tut.. tahun ini dengan penuh semangat larat bertahan setiap hari, sehari penuh. Sehinggalah kini masih belum tinggal lagi. Cuma bangun sahur agak liat sedikit, terpaksa melawan ngantuk dan sejuk pagi.

Menurut Solehah, di kelasnya, Grade 1/2 P; dari beberapa pelajar Muslim, hanya dia seorang sahaja yang berpuasa. Malah mampu menahan diri melihat rakan-rakan sekelas makan ketika waktu rehat. Begitu juga mampu bertahan walaupun terlibat sama dalam kegiatan sukan. Awal puasa, makanan dan minuman dibekalkan seperti biasa tapi langsung tidak disentuh. Kini tiada lagi bekalan seumpamanya, malah menolak jika ditawarkan. Tabik untuk Solehah.

Tidak terkecuali Izzuddin yang terlibat dalam perlawanan sukan mewakili sekolah di peringkat inter-school setiap minggu. Juga Hanisah dengan kegiatan hariannya di sekolah. Lebih menyedihkan ramai di kalangan rakan-rakan Muslim mereka di peringkat usia 10 – 12 tahun tanpa segan silu tidak berpuasa.

Setiap hari, selepas solat Maghrib dan selepas solat Subuh, mereka bersama kami bertadarus. Tekad kami sama seperti tahun lepas, sama-sama khatam Al-Quran sebelum berakhirnya Ramadhan. Insya Allah, moga dipermudahkan olehNya.

Tiada sebarang ganjaran mahupun ikatan janji sebagai upah untuk mereka. Sebelum Ramadhan, telah dijelaskan akan tujuan sebenar berpuasa dan ganjaran tidak bertepi yang bakal dianugerahkan oleh Allah. AlhamduliLlah mereka faham akan tanggungjawab mereka. Moga mereka terus istiqamah melaksanakannya, selamanya. Ameen.

Tuesday, September 16, 2008

Suasana Ramadhan di Melbourne

Pejam celik, pejam celik, tak sedar masa berlalu begitu cepat sekali. Rupa-rupanya dah 15 hari kita berpuasa Ramadhan. Insya Allah, tinggal separuh bulan lagi untuk dihabiskan.

Berpuasa di Australia, dengan suasana awal musim bunga yang masih lagi sejuk, diselangi panas yang menyegarkan kurang terasa hausnya. Suhu sekarang sekitar 15 darjah Celcius, panasnya adakala mencecah 25 darjah Celcius dan sejuknya pula sesekali di bawah 7 darjah Celcius.

Waktu imsak dan berbukanya beranjak memanjang biasanya seminit setiap hari. Permulaan puasa waktu imsaknya kira-kira jam 05:09 pagi dan berbuka jam 06:01 petang. Pada akhir Ramadhan, waktu imsaknya beranjak ke jam 04:23 pagi dan berbukanya pula pada jam 06:25 petang. Bermakna sehari berpuasa kira-kira 13 hingga 14 jam.

Berpuasa di rantauan amat berbeza dengan Malaysia. Ramai di kalangan rakan-rakan bukan Muslim tidak mengetahui akan Ramadhan dan kaedah berpuasa yang diamalkan. Menjadi kewajipan kami untuk menerangkan semudah mungkin untuk kefahaman mereka. Dugaan puasa pula lebih sedikit terutama bagi kaum Adam. Dengan cuaca yang adakala panas menyebabkan kaum wanitanya mula bergaya dengan pakaian ala musim panas yang lebih terdedah. Soal makan minum tiada bezanya dari hari-hari biasa. Bagi yang berpuasa, sabar sahajalah melihatnya, terutama anak-anak di sekolah.

Di sini tiada Bazar Ramadhan di merata tempat yang menjual pelbagai juadah seperti di tanah air. Namun atas usaha persatuan pelajar, Badan EHSAN; diadakan bazaar seumpamanya di Malaysia Hall, Melbourne City pada setiap petang Sabtu. Pelbagai makanan citra-Malaysia seperti badak berendam, laksa penang, bubur lambuk, bubur kacang, karipap, rendang, kuih sago, ayam percik dan bermacam-macam lagi boleh diperolehi, diusahakan sendiri oleh para pelajar dan keluarga mereka. Kami tidak ketinggalan membuka gerai menjual dendeng, dikenali Dendeng Dandy (Dandy, short form Dandenong). AlhamduliLlah, 2 minggu berjual hasilnya memuaskan.

Ketika berbuka, terkenang akan suasana di tanah air. Masjid Ulu Klang pasti menjadi tumpuan saya setiap petang. Mudah dan selesa. Berbuka ala kadar terus bersolat Maghrib, seterusnya makan nasi berlauk yang disediakan. Di Melbourne, kami berbuka di rumah bersama keluarga. Sesekali memenuhi jemputan kenalan. Di masjid pun ada tapi tidak pernah ke sana. Lebih selesa di rumah lagi.

Walaupun jauh di rantaun, amalan bertukar-tukar juadah masih diamalkan di kalangan kami rakyat Malaysia. Begitu juga jemputan berbuka berpuasa. Ada di kalangan rakan-rakan di sebelah utara yang mengadakan solat tarawikh dan tadarus secara bergilir-gilir rumah. Malah majlis berbuka puasa, solat tarawikh dan tazkirah turut diadakan di Malaysia Hall setiap hari di Malaysia Hall. Kami hanya ke sana seminggu sekali sahaja iaitu pada hari Sabtu, bersekali dengan Bazar Ramadhan. Anak-anak pula berpeluang mengikuti program Asuhan Ramadhan yang diadakan ketika ibu bapa mengerjakan solat tarawikh.

Solat tarawikh juga dilaksanakan di Masjid Emir Sultan berdekatan rumah kami. Amalannya sedikit berbeza daripada yang biasa dilakukan di tanah air. Mereka adalah dari mazhab Hanafi. Bilangan rakaatnya tetap 20 rakaat tarawikh tetapi dikerjakan 4 rakaat dengan 1 salam. Selepas salam dibaca selawat Rasul seperti intro Jejak Rasul di TV3. Solat witir pula juga 3 rakaat tetapi dengan 1 salam. Pada rakaat ke-3 sebelum rukuk, dilafazkan sekali takbir dengan masing-masing membaca doa (tak pasti doa apa yang dibaca). Tiada doa qunut pada 15 malam terakhir Ramadhan seperti diamalkan oleh pengikut mazhab Shafie. Menarik, tidak secara langsung kita dapat mengenali dan memahami amalan lain-lain mazhab dalam Ahlu Sunnah wal Jamaah. Namun kebanyakan masa kami mengerjakan solat tarawikh dan witir berjemaah di rumah dengan kaedah seperti di tanah air.
Di samping itu, bersama ibu Laili, Izzuddin dan Hanisah, kami bertadarus setiap selepas solat Maghrib dan solat Subuh, sekurang-kurangnya 1 juzuk sehari. Matlamat kami khatam Quran pada Ramadhan tahun ini, sama seperti tahun lepas.

Dalam melalui hari-hari terakhir di bulan Ramadhan yang mengandungi barakah dan fadilat yang tidak terperinya, diharapkan kita semua dikurniakan kekuatan iman dan semangat. Tambahan pula dengan adanya anugerah Lailatul Qadar yang dijanjikan fadilatnya seumpama amalan hampir 84 tahun. Amat rugi kiranya ianya terlepas begitu sahaja. Moga kita dipermudahkan olehNya. Ameen.

Tuesday, September 9, 2008

Ingatan Hari Bapa

Dua hari lepas , Ahad, 07/09/2008 adalah Hari Bapa di Australia. Beberapa hari sebelumnya anak-anak maklumkan ada Father’s Day Stall kat sekolah. Pelbagai cenderamata dijual khusus untuk bapa. Anak-anak tidak ketinggalan. Pulang sahaja dari sekolah, masing-masing sorokkan apa yang dibeli kat bilik mereka. Malah masa dalam kereta pun masing-masing bercakap sesama mereka secara berlapik. Langsung tidak disebutkan apa yang dibeli.

Pada petang Hari Bapa, dengan didahului oleh Solehah, diikuti oleh Hanisah, seterusnya Izzuddin, masing-masing menyerahkan hadiah yang dibeli.
Solehah menghadiahkan tuala muka dan rantai kunci pen berserta kad ucapan hijau. Hanisah pula hadiahkan saputangan dan pen. Manakala Izzuddin pula screw driver berlampu. Beberapa hari sebelum itu, Imran pun turut sama menyerahkan hadiah yang dibuatnya di kindergarten, penyangkut baju berserta kad ucapan biru. Pandai betul mereka memilih hadiah.
Terharu dibuatnya. Walaupun nilai harganya tidak seberapa tetapi nilai sentimentalnya amat mahal. Sesungguhnya ingatan dan pantulan kasih sayang yang ditunjukkan amat menyentuh perasaan.

Terima kasih Imran.
Terima kasih Solehah.
Terima kasih Hanisah.
Terima kasih Izzuddin.


Ayah amat-amat menyayangi kalian semua. Tiada bandingan yang mampu diluahkan. Moga kalian dirahmati Allah sentiasa. Ameen.

Monday, September 1, 2008

Ramadhan Datang Lagi

Ramadhan al Mubarak datang lagi. Hari ini kita mula berpuasa. Tahun ini 1 Ramadhan 1429 H bersamaan 1 September 2008.

"Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kamu, moga-moga kamu bertaqwa" (Surah Al-Baqarah ayat 183)

Bagi para ahli ibadah (abid), kedatangan bulan penuh berkat ini amat ditunggu-tunggu, manakala pemergiannya akan ditangisi. Jika diselusuri akan hikmah dan kelebihan yang ada padanya, maka tidak menghairankanlah ianya amat dirindui.

RasuluLlah SAW bersabda, "Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang diberkati. Allah mewajibkan kepadamu puasa di dalamnya; pada bulan ini pintu-pintu Syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan para syaitan dirantai; juga terdapat pada bulan ini malam yang lebih baik daripada seribu bulan, barangsiapa tidak memperoleh kebaikannya maka dia tidak memperoleh apa-apa” (Hadis riwayat Ahmad dan An-Nasa'i)

Malah banyak lagi hadis seumpamanya yang mengisahkan kelebihan bulan Ramadhan ini. Dengan kata lain, bulan Ramadhan adalah bulan beribadah, bulan rahmah, bulan ganjaran berlipat ganda, bulan perjuangan, bulan kesabaran, bulan pengampunan dan bulan pelepasan azab akhirat. Lebih tepat lagi bulan nan mulia ini adalah bulan Allah. Pemurahnya Allah melebihi bulan-bulan lainnya asalkan kita benar-benar beriman kepadaNya.

Diriwayatkan dari Salman r.a. melalui satu hadis yang panjang, “…. Inilah bulan yang pada permulaannya membawa rahmat Allah, pada pertengahannya memperolehi keampunanNya dan pada akhirnya mendapat pembebasan dari api Neraka Jahanam…” (Diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah)

Ya Allah, jadikanlah Ramadhan tahun ini sebaik-baik Ramadhan bagi kami. Kurniakanlah kekuatan kepada kami dalam beribadah kepadaMu. Ampunilah akan segala dosa-dosa kami dan golongkanlah kami di kalangan hamba-hambaMu yang diredhai. Ameen. Ya Rabbal aalamin.
Kepada semua, kami sekeluarga mengucapkan Selamat Berpuasa dan Selamat Meraikan Kehadiran Ramadhan al Mubarak.