Wednesday, September 24, 2008

Bosannya Cuti Sekolah

Bersedia untuk ke sekolah, hari terakhir Penggal Ke-3 persekolahan (free dress)

Sekarang anak-anak sedang bercuti sekolah Penggal Ke-3 selama 2 minggu. Cutinya bermula hari Sabtu baru-baru ini, 20/09/2008 sehingga Ahad, 05/10/2008.

Baru 4 hari memerap di rumah, jelas kelihatan rona kebosanan di wajah mereka. Sesekali ada juga dibawa ke perpustakaan untuk meminjam buku-buku dan DVD. Adakala dibawa berkunjung ke rumah rakan-rakan mereka yang berdekatan. Pada petang Sabtunya pula dibawa menyertai Bazar Ramadhan dan berbuka puasa di Malaysia Hall. Namun rasa bosan hanya hilang seketika.

Nampak gaya kena mengorak langkah lebih sedikit, berkunjung dan melawat tempat-tempat menarik terutama di sekitar Melbourne. Cuma halangannya cuaca yang tidak menentu, hujan dan panas tanpa dijangka. Tambahan pula sekarang ni musim berpuasa, bila penat banyak pula ragamnya. Satu lagi bergantung kepada masa lapang ibunya yang sedang sibuk menyiapkan tugasan pembelajarannya.

Apa pun, mereka tetap akan dibawa keluar berjalan-jalan. Tarikhnya sahaja yang belum ditetapkan secara tetap. Pelbagai permintaan telah dibuat tetapi bagusnya mereka tidak mendesak. Mereka faham akan halangan yang ada.

Deretan tulip di Silvan
Izzuddin dan Hanisah berhajat ke Sciencework Museum di City. Mereka pernah ke sana mengikut rombongan excursion sekolah beberapa bulan lalu. Katanya, menarik sekali. Masih banyak yang tidak sempat diterokai. Solehah pula berhasrat ke Melbourne Aquarium. Dia cemburu kerana ibu dan datuk serta neneknya pernah ke sana. Imran pula kalau boleh nak ke tempat yang ada haiwan, itulah perhatiannya pada peringkat umurnya sekarang. Kami pula mempunyai perancangan ke Tessalaar Tulip Festival di Silvan untuk melihat keindahan warna-warni lautan bunga tulip mengembangkan kelompaknya, penanda hadirnya musim bunga.

Insya Allah akan diusahakan yang terbaik. Bukan sekadar menghilangkan kebosanan tetapi menjadi pelengkap kepada program Cuti-cuti Australia. Lebih penting lagi ada ilmu dan pengetahuan yang dapat diambil darinya. Moga tercapai.

No comments: