Thursday, September 19, 2013

Musim Buah

Hujung minggu baru-baru ini saya berada di Kuala Terengganu - menjenguk Solehah di MRSM Kota Putera, Besut dan bawa balik bermalam ke rumah keluarga di Manir.

Menariknya pulang ke kampung kali ini, didapati deretan gerai buah-buahan di tepian jalan  tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Begitu juga halnya di pasar-pasar dan pinggiran jalan di tengah pekan dan bandar.

Durian, rambutan dan duku; antara yang menjadi tumpuan utama. Sememangnya buah-buahan ini sedang menjadi-jadi di Terengganu. Maka tidak hairanlah gerai-gerainya juga mudah ditemui, hatta di hadapan rumah sekali pun.

Itulah nikmat kurniaan Illahi untuk rakyat Terengganu. Ketika buah-buahannya mudah diperolehi dan pastinya harga pula amat murah, inilah masanya untuk kita berkenduri sakan - setakat terdaya tanpa memudaratkan diri. Bersyukurlah dengan apa yang diperolehi.


Kami tiada dusun buah-buahan, cuma beberapa batang pokok di sekitar rumah. Sayangnya duku tidak berbuah, mungkin telahpun 'menopous' (berhenti berbuah). Durian pula tiada pokoknya. Yang ada pun pokok rambutan. Dapatlah diperolehi sedikit sebanyak hasilnya. Itupun bergantung kepada jenisnya seperti rambutan gading, anak sekolah dan gula batu.

Namun, AlhamduliLlah... kami (saya dan Solehah) dapat makan durian dan duku sepuas-puasnya. Durian dijual secara longgok, menunjukkan bahawa durian amat banyak di pasaran. Jika tidak, pasti mengikut harga per kilogram atau pun secara paket.

Manakala duku pula dijual sekitar RM1.50 - RM2.00/kg. Sekiranya rajin, bolehlah beli di pokok dengan harga RM1.00/kg - syaratnya kenalah panjat sendiri. Jika bernasib baik boleh sahaja dapat secara percuma.

Bagi yang mempunyai dusun buah-buahan, pasti sahaja suasananya lebih meriah. Apatah lagi dengan kehadiran ahli keluarga serta sanak saudara yang tinggal berjauhan. Inilah masanya masing-masing tersenyum lebar sambil lunak berbahasa - kata orang 'saudara buah'.

Tempias musim buah ini turut dirasai di seluruh tanah air. Di mana-mana sahaja buah-buahan ini mudah diperolehi. Malah di sesetengah tempat, diadakan pesta makan buah terutamanya durian. Jadi, jangan lepaskan peluang jika diberi peluang. Jika tidak, beli sahaja tika buah-buah tersebut sedang membanjiri pasaran. Usah ditunggu-tunggu. Ini kerana musim buah durian dan duku telahpun di penghujungnya.

Wednesday, September 11, 2013

Dhuyuf Al-Rahman

Beberapa hari lalu, para bakal jemaah haji mulai berangkat meninggalkan tanah air menuju ke Tanah Suci Madinah dan Mekah. Merekalah Dhuyuf al-Rahman yakni Tetamu ALLAH.

Wahai para Tetamu ALLAH - Alangkah bertuahnya kalian kerana mendapat undangan khusus daripada ALLAH SWT untuk bertandang ke rumahNYA. Ingatlah, betapa ramai yang mengimpikan peluang yang amat istimewa ini tetapi masih lagi belum mendapat keizinanNYA. Lebih-lebih lagi dengan pengurangan kuota sebanyak 20% berbanding tahun sebelumnya. Bertambahlah lagi keistimewaan yang kalian perolehi.

Justeru itu, PESAN KAMI - Bersyukurlah kepada ALLAH SWT. Persembahkanlah rasa syukur itu dengan menggunakan setiap detik peluang yang ada untuk mengabdikan diri kepadaNYA. 

Ketika di Madinah, carilah peluang untuk berlama-lamaan di Masjid Nabawi dan berusaha untuk beribadah di Raudhah serta mengunjungi maqam RasuluLLAH SAW - Mohon disampaikan salam kerinduan kami kepada baginda SAW, moga kami berkesempatan untuk ke sana lagi (Ameen).

Apatah lagi sewaktu di Mekah - rebutlah peluang untuk sentiasa berada di Masjidil Haram dengan mengatur waktu dengan sebaik-baiknya. Usah lupa menyibukkan diri dengan ibadah umrah. Ambillah peluang untuk melakukan tawaf sunat di BaituLLAH terutama di awal pagi. Perbanyakkan amalan sunat dan bermunajat kepadaNYA.

Fadhilat berada di kedua-dua Tanah Suci ini berganda banyaknya. Alangkah ruginya jika dilepaskan begitu sahaja.

Daripada Abdullah ibnu Zubbair, bahawa RasuluLLAH SAW telah bersabda,"Solat di masjidku ini (Masjid Nabawi) lebih baik daripada 1000 kali solat di masjid lain kecuali Masjidil Haram di mana ianya lebih afdhal daripada 100 kali solat di masjidku ini (iaitu 100,000 kali di masjid lain)".

Sewaktu ibadah haji pula - laksanakanlah setiap amalan dengan sepenuh hati dan sebaik mungkin berdasarkan ilmu bukannya ikut-ikutan. Jika keliru, bertanya terus kepada para pembimbing haji. Moga kalian semua dikurniakan haji mabrur, impian setiap insan yang menjadi Tetamu AgungNYA. Ameen.

Thursday, September 5, 2013

Reunion Geng Haji 1433H

Beberapa hari lagi bakal jemaah haji Malaysia akan mula berangkat ke Tanah Suci. Lazimnya singgahan awal mereka di Jeddah sebelum ke Madinah atau pun penerbangan terus ke Madinah.

Nostalgia: Menjamu selera di D'Saji @ Safwa Tower, Mekah
Pada musim haji tahun lepas, kami adalah antara jemaah haji terawal berlepas daripada KLIA. Penerbangan KT3 yang kami naiki terus menuju ke Lapangan Terbang Prince Mohammed di Madinah. AlhamduliLlah. Jika turun di Jeddah, kami perlu menaiki bas kira-kira 7 jam lagi sebelum tiba di Madinah.

Di Madinah, kami ditempatkan di Anwar al-Madinah Movenpick - hotel 5 bintang, sekitar 50 m sahaja dari Masjid Nabawi. Satu bilik untuk 4 orang. Setiap ahli bilik adalah pasangan kepada ahli bilik di sebelahnya. Selain kami, mereka adalah Hj Daud-Hjh Azizah, Hj Shaharul-Hjh Zira dan Hj Shukor-Hjh Shahiza.

Manakala di Mekah pula kami di tempatkan di Abraj al-Janadriyah yang juga ibu pejabat Tabung Haji, sekitar 1 km daripada Masjidil Haram.  Bagi wanita, mereka masih lagi kekal sebilik dengan tambahan lagi 3 orang, menjadikan 7 orang kesemuanya. Setiap pasangan pula diletakkan sebilik kecuali Hj Shaharul dikongsikan dengan jemaah lelaki lain. Ini menjadikan bilik lelaki hanya untuk 6 orang sahaja.

Berkumpul di rumah Hj Daud-Hjh Azizah @ Hulu Langat
Tambahan rakan sebilik kami ketika di Mekah adalah Hj Aziz-Hjh Zila, Hj Mutalib (Brigadier Dato')-Hjh Norma (Datin) dan Hj. Rizal-Hjh Zuraidah. Ini menjadikan geng haji kami adalah 7 pasangan kesemuanya.

Dari sini, kami menjadi akrab dan saling mengambil tahu antara satu sama lain. Sekembalinya daripada Tanah Suci, keakraban kami masih utuh, cuma kesibukan dengan urusan harian masing-masing membatasi perhubungan kami.

Demi meneruskan jalinan persaudaraan haji, kami berusaha menganjurkan pertemuan demi pertemuan secara bergilir-gilir. Tiada ketetapannya, terserahlah kepada yang berkesempatan dan berkelapangan.

Julung-julung kalinya, kami pernah menjemput rakan-rakan haji datang ke Majlis Kesyukuran Keluarga yang kami adakan sekembalinya dari Tanah Suci bertempat di Ulu Kelang. Selanjutnya dijemput pula berkumpul di rumah Hj Daud-Hjh Azizah di Hulu Langat. Seterusnya ke Majlis Perkahwinan anak Hj Mutalib-Hjh Norma di TUDM Sungai Besi. 

Bertandang ke rumah Hj Rizal-Hjh Odah @ Kajang

Dan di hujung minggu baru-baru ini, kami bertandang pula ke rumah Hj Rizal-Hjh Zuraidah di Saujana Damai, Kajang.

Ralatnya, kami sekeluarga mempunyai agenda jemputan rumah terbuka rakan kenalan dan undangan perkahwinan saudara mara yang perlu dihadiri. Jadi kami hanya sempat beramah mesra dengan tuan rumah sahaja kerana perlu berkejar pula ke Salak Tinggi sedangkan sahabat haji yang lain belum lagi tiba. 

Untuk meraka dititipkan ucapan salam melalui tuan rumah. Hanya foto-foto yang diposkan oleh tuan rumah menjadi pengubat rindu. Insya Allah ketemu lagi di lain ketika dengan lebih ceria dan penuh santai.

Cuma terasa kehilangan Hj Mutalib-Hjh Norma yang baru sahaja berangkat ke Beijing atas urusan pengajian selama 2 tahun di sana. Moga beroleh kejayaan bagai dicita-citakan - duniawi dan ukhrawi. Ameen.

Jua untuk semua, moga sentiasa dilimpahi rahmat Illahi. Ameen.

Sunday, September 1, 2013

Pasrah Banjir

Rumah Abah-Emak di Ulu Kelang letaknya bersebelahan Sungai Kelang. Di situlah kami sekeluarga tinggal bersama abah dan emak serta beberapa orang adik ipar.

Lautan banjir di hadapan rumah
Setiap kali hujan lebat turun, air sungai cepat sekali naik dan arusnya amat deras. Lazimnya, jika hujan berterusan lebat selama setengah jam, maka kawasan di sekitar rumah kami akan mula dinaiki air.

Mana-mana rumah di kawasan rendah pasti akan mula dilanda banjir. Termasuklah jiran tetangga di sekitar rumah kami. Jika lebihan limpahan air, maka rumah kami yang terletak sedikit tinggi juga akan turut sama dinaiki air. 

Retoriknya dikatakan empangan tertua di Selangor (bina 1958) iaitu Empangan Klang Gates di Melawati melepaskan limpahan airnya. Kini dikatakan pula berpunca daripada kerja-kerja naik taraf aliran sungai dan pembinaan perangkap sampah. Apa-apa pun kesannya akan dirasai oleh semua. Terimalah seadanya dengan penuh redha. Kami pasrah namun perlu sentiasa waspada atas setiap kemungkinan.

Lazimnya apabila air melimpah ke halaman rumah, sehingga takat anak tangga bawah sahaja selepas itu kembali surut. Kenderaan di hadapan rumah pun setakat separuh tayar sahaja tanpa masuk ke dalam kereta mahupun bahagian engin. Demikianlah yang berlaku hampir 28 tahun lalu. 

Air bertakung di dalam kereta
Namun, ujian ALLAH pada pagi Jumaat baru-baru ini adalah di luar jangkaan kami. Hampir semua kereta di laman rumah dimasuki air dan perlu dibawa ke bengkel untuk dibaik-pulih kerosakannya. Purata kos pembaikannya boleh tahan, antara RM600 hingga RM1,000. Itu untuk kereta biasa. 

Paling terasa adalah kereta hibrid yang baru berusia 8 bulan. Dimaklumkan oleh mekanik di pusat servis, bateri utamanya telah dimasuki air, tiada jalan lain kecuali menggantikannya dengan yang baru. 

Aduhai... hibrid, seketul bateri sahaja kosnya ribuan RM. Belum masuk lagi penggantian lain dan caj servis yang dikenakan. Entahlah... tiada pilihan lain lagi jika ingin kereta tersebut kembali bergerak. Kami pasrah. Itulah sebahagian daripada natijahnya berkampung di tepian sungai.

Di sebalik setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Muhasabah diri sendiri. Apakah ertinya dugaan ini?