Wednesday, May 23, 2012

Catatan Mekah : Berangkat Pulang

[Terkilan di hati, foto-foto yang diambil di sepanjang perjalanan dari Mekah ke Jeddah sehingga tiba di tanah air tersilap padam dari kamera tanpa disedari. Justeru itu tiada foto kami sekeluarga untuk entri ini]

Hari ke-7 di bumi barakah, Mekah al-Mukarramah adalah hari terakhir kami sebelum berangkat pulang ke tanah air. Mengikut jadual, penerbangan kami akan berlepas sekitar jam 1:00 pagi keesokan harinya. Dan kami perlu check out dari Asian Golden Palace Hotel kira-kira jam 12:00 tengahari dan bertolak ke Lapangan Terbang Jeddah seusai solat Zohor dan makan tengahari.

Kami diperingatkan,"Jangan lupa tawaf wida' (yakni tawaf perpisahan)". Ianya amalan wajib yang dikenakan dam jika ditinggalkan tanpa uzur. Sewajarnya dilakukan selewat mungkin sebelum meninggalkan Masjidil Haram. Ramai jemaah yang memilih melakukannya di sebelah pagi, seterusnya menunaikan solat Zohor di bilik hotel atau masjid lain yang berhampiran. Pilihan kami, lakukannya selepas solat Zohor.

Tidak disangka-sangka, penerbangan balik ditangguhkan ke 7:00 pagi keesokan harinya. AlhamduliLlah kami semua dibenarkan tinggal di bilik sehingga waktu bertolak iaitu selepas solat Maghrib.

Persoalannya bagaimana dengan tawaf wida' kami? Mengikut pemahaman kami ianya terbatal dan wajib diulang kerana masa menunggu yang lama. Itulah yang kami lakukan seusai solat Asar di Masjidil Haram. Hairannya ramai jemaah yang memilih mengekalkan tawaf wida' sedia ada dengan tidak pergi ke Masjidil Haram. Kami tidak pasti apakah tindakan seumpamanya dibolehkan. Itulah masalahnya apabila tiada mutawwif/ pembimbing bersama rombongan.

Ketika bas bertolak meninggalkan perkarangan hotel, hati ini diragut sayu untuk berpisah dengan BaitulLlahil Haram. Selamat Tinggal Kaabah. Insya Allah ketemu lagi ketika musim haji nanti. Ameen.

Dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Jeddah, rombongan kami berhenti tidak jauh dari Masjid ar-Rahmah atau lebih dikenali sebagai Masjid Terapung atau Masjid Putih yang terletak di pinggir Laut Merah. Ketika itu waktunya telah pun melewati jam 10:00 malam, semuja pintu telah pun ditutup. Jadi kami sekadar dapat melihatnya dari luar sahaja. Walaupun dibayangi kelam malam, namun kesyahduan rumah Allah tetap terasa di hati. SubhanaLlah.

AlhamduliLlah, untuk makan malam kami dibekalkan dengan nasi bungkus. Maka di benteng jalan menjadi tempat kami menjamu selera. Anak-anak tidak turut serta. Semuanya tidur kepenatan di dalam bas.

Kami tiba di Lapangan Terbang Jeddah sekitar jam 11:30 malam. Sekilas pandang didapati lapangan terbangnya kecil sahaja. Kesemua barangan (termasuk botol-botol 5L air zam-zam) diturunkan dari bas, terus ditolak masuk ke satu sudut di ruang menunggu. Terdetik di hati "Di sinilah nanti tempat kami melelapkan mata sementara menunggu waktu berlepas". Apa yang penting selesaikan dahulu solat Isyak yang masih belum ditunaikan. Ruang solatnya (masjid?) amat luas tetapi wuduknya perlu diambil di tandas. Sewajarnya disediakan bersebelahan tempat solat bagi memudahkan jemaah.

Baru sahaja kami merancang untuk melepaskan lelah, tiba-tiba dimaklumkan bahawa rombongan kami telah tersilap lapangan terbang. Ianya lapangan terbang domestik bukannya antarabangsa. Sepatutnya di Terminal Haji @ Lapangan Terbang Raja Abdul Aziz. Jaraknya jauh juga, perlukan bas untuk ke sana sedangkan bas yang membawa kami tadi telah lama meninggalkan kami. Timbul rasa geram dan marah di kalangan ahli rombongan. Kiranya ada mutawwif Al-Fajr Travel bersama, Insya Allah kesilapan terminal ini pasti tidak berlaku.

Ketua kumpulan, Hj Zulkarnaian dan rakan-rakan berusaha menghubungi mutawwif kami di Mekah tetapi tiada apa yang dapat dilakukan. Akhirnya mereka mengambil inisiatif berkira dengan pemandu bas lain yang menghantar penumpang ke lapangan terbang berkenaan. Hasilnya kami terpaksa mengeluarkan SR 11 seorang untuk menampung kos tambang yang diminta, SR 500 ++. Alahai... tiada beban batu digalas. Maka berangkut kami menaiki bas menuju ke Terminal Haji. Ketika itu jam telahpun melewati jam 2:00 pagi.

Umumnya Terminal Haji kelihatan luas dan besar tetapi tidaklah seluas dan canggih seperti KLIA. Setibanya di Terminal Haji, kami dipujuk pula oleh pekerja am Bangladesh, menawarkan khidmat satu troli SR10. Mereka cuba mengaut untung segera, sedangkan trolinya percuma sahaja. Kami cuba mencari troli di merata ceruk lapangan terbang yang besar tetapi tidak kelihatan. Apakah ianya disorokkan? Akhirnya ketemu juga di bahagian berlepas dan juga diperolehi dari penumpang baru tiba yang sedang memindahkan barangan dari troli ke kereta.

Seterusnya kami berbaris panjang pula untuk check in. Di kiri kanan kami kesemuanya rombongan jemaah umrah Malaysia dari pelbagai agensi umrah tempatan. Jelaslah kami termasuk dalam penerbangan khas umrah seperti kami datang dahulu.

Ketika check in, timbul beberapa kekalutan. Pertama, pekerja Bangladesh yang bertugas memasang tag pada beg cuba meminta 'upah'. Seakan berbisik dimintanya upah tambahan sebanyak 30 Riyal. Apabila melihat kami sekeluarga mempunyai bilangan beg yang banyak, dinaikkan upahnya kepada 50 Riyal. Amat menyakitkan hati. Kami terus bertanya kepada pegawai kaunter bertugas, "Apakah kami perlu bayar upah yang diminta?" Natijahnya pekerja Bangladesh tersebut ditegur oleh pegawai berkenaan.

Kekalutan kedua berkait dengan air zam-zam yang diuruskan check-in secara pukal. Ketua yang menguruskan pengeluaran tag air zam-zam berkeras meminta kesemua botol air zam-zam dimasukkan ke beg plastik tebal yang disediakan dengan kos SR 8 sebotol sebelum dikeluarkan tag. Kami membantah kerana kesemua air zam-zam telah sedia dimasukkan ke dalam beg plastik yang dibekalkan oleh pihak pembekal.

Setelah berhempas pulas mempertahankan pendirian kami, tiba-tiba syaratnya berubah; jika ingin lepas bayar SR 5 sebotol tanpa perlu dimasukkan ke beg plastik sepertimana diarahkan sebelumnya. Lagilah hangat hati kami. Jelas ianya satu komplot/ sindiket mengaut untung atas angin @ rasuah. Amat menyedihkan perkara seumpamanya berlaku di bumi Arab Saudi yang sinonim dengan 2 Tanah Suci.

Ketika itu, kumpulan jemaah dari agensi umrah lain telah pun lama beredar melepasi pemeriksaan imigresen dan kastam. Akhirnya dengan campur tangan pegawai Penerbangan Malaysia (MAS), semuanya dapat diselesaikan tanpa perlu membayar walau sesen sekalipun. AlhamduliLlah, terlepas kami dari perangkap rasuah kerana mengingatkan dosa yang amat besar bagi pemberi dan penerimanya.

Sekali lagi terasa geram kerana dibiarkan kami terkuntang kanting menguruskan segalanya secara bersendirian. Maklum balas dari kenalan dari agensi umrah lain jelas, segala urusan telah pun diuruskan oleh agensi umrah masing-masing yang turut disertai mutawwif dari mula bertolak di KLIA sehingga kembali ke KLIA.

Di imigresen timbul kekalutan seterusnya kerana kami tidak diberitahu perlu mengisi borang keluar. Terpaksalah kami keluar dari barisan untuk mendapatkan borang berkenaan dan mengisinya. Diketahui selepasnya, sebahagian ahli rombongan tidak perlu mengisinya.

Entahlah... masalah yang diterima dirasakan bertimpa-timpa. Muhasabah diri, anggaplah semuanya ujian dari Allah SWT sebagai persediaan sebelum menghadapi cubaan dan dugaan yang lebih mencabar ketika menunaikan haji nanti. AstaghfiruLLahal 'azim.

Oleh kerana telahpun masuk waktu Subuh, perkara utama adalah menunaikan solat. Sedihnya tiada ruang khas/ surau. Kami bersolat bersebelahan tandas, berdekatan farmasi dan tempat makan beralaskan tikar yang sedia terhampar. Bagi kami tiada masalah kerana telah biasa bersolat di ruangan terbuka hatta beralaskan tanah, kerikil dan salji ketika di Australia dahulu.

Memasuki ruang menunggu, hampir segenap penjuru dan kawasan telah pun dipenuhi ratusan jemaah umrah Malaysia. Di sana sini ramai yang sedang melayan mengantuk dan letih, lena tidur beralaskan lantai dan berbantalkan beg. Begitu juga dengan anak-anak dan sebahagian daripada kami.

Menghampiri jam 6:30 pagi, masing-masing melangkah masuk ke kapal terbang MAS. Kebanyakan tempat duduk terpisah-pisah sesama ahli keluarga termasuklah kami sekeluarga. Dengan semangat persaudaraan, mudah sahaja bertukar tempat. AlhamduliLlah. Leganya apabila dapat duduk dengan selesa. Melihat ke serata tempat duduk, ramai yang mula melelapkan mata.... mudah sahaja untuk lena dalam keadaan mengantuk dan letih menguasai badan dan minda. Hinggakan makan pun terpaksa dikejutkan...

AlhamduliLlah, kami dapat menunaikan solat secara baik di beberapa sudut yang dibenarkan di dalam kapal terbang. Terima kasih MAS. Hairan dan pilunya hati melihat ramai penumpang yang tidak mengambil peluang yang dibenarkan itu. Apatah lagi masing-masing baru sahaja melaksanakan ibadah umrah. Berbaik sangka, mereka telah tunaikan solat tanpa kami sedari ataupun sebilangannya dalam uzur syari'e dan sebahagiannya lagi melakukan solat menghormati waktu (apakah dibolehkan dalam keadaan tiada halangan menunaikannya secara tunai?).

AlhamduliLlah, kami selamat tiba di KLIA sekitar jam 9:00 malam. Tindakan utama kami, singgah di surau pertama ditemui untuk melangsaikan hutang dengan Allah; solat Maghrib dan Isyak. Seterusnya kami beredar ke ruangan bagasi. Ramai penumpang yang telah pun beredar meninggalkan lapangan terbang setelah mengambil barangan. Masing-masing tidak sabar untuk bertemu ahli keluarga yang setia menunggu.

Berbanyak terima kasih kepada ipar, Bakhtiar dan Nita yang sudi menjemput kami sekeluarga berserta emak, abah dan Hadi.

Hingga kini keseronokkan bertamu di bumi kecintaan RasuluLlah SAW; Mekah dan Madinah sentiasa segar di ingatan. Keinginan untuk kembali ke sana tidak pernah padam di sanubari. Moga dimurahkan rezeki, dikurniakan kesihatan dan dipermudahkan segala urusan. Ameen.

Thursday, May 17, 2012

Catatan Mekah : Ziarah Luaran

Mekah telah dipilih oleh Allah SWT sebagai tempat yang paling mulia. Dimuliakan lagi dengan terdirinya Masjidil Haram dan Kaabah. Ia menjadi tumpuan hamba-hambaNya dari seluruh pelusuk dunia. Malah sewajarnya setiap insan bergelar mukmin berazam untuk menjejakkan kaki masing-masing ke bumi nan barakah ini.

Umumnya, bumi Mekah terbahagi kepada 2 bahagian iaitu Tanah Haram dan Tanah Halal - suatu ketetapan Allah SWT sejak azali, berkekalan dari waktu bumi dijadikan sehinggalah hari kiamat.

Tanah Haram Mekah

Tanah Haram Mekah merujuk kepada kawasan yang mempunyai beberapa kemuliaan Allah SWT dan beberapa laranganNya yang tidak terdapat di tempat lain.

Tanah Haram ini melingkungi Masjidil Haram dari segenap penjuru dengan panjang sempadannya kira-kira 127 km dengan keluasan sekitar 550 km persegi. Jika para jemaah prihatin, mereka akan ketemui binaan tanda sempadan Tanah Haram tertulis "Beginning of Haram Boundary" atau "End of Haram Boundary" di beberapa tempat tertentu.

Beberapa lokasi di sempadan ini pula diisytiharkan sebagai miqat makani bagi jemaah/ penduduk Mekah yang ingin menunaikan umrah, antaranya Tana'im (7.5 km dari Masjidil Haram), Hudaibiah (23km), Ja'ranah (27 km), Sempadan Arafah (22km) dan Adhaat Libn (16km). Ketika dibawa menziarahi sekitar Mekah, kami berkesempatan berniat ihram di Ja'ranah, Hudaibiah dan Tana'im. Syukur AlhamduliLlah.

Selama 8 hari di bumi Mekah, rombongan jemaah Al-Fajr Travel telah dibawa 2 kali keluar menziarahi tempat-tempat menarik dan bersejarah di bumi Mekah. Ada tempat yang disinggahi dan ada tempat sekadar lalu dan dikhabarkan fungsi tempat berkenaan oleh mutawwif Al-Fajr, Ustaz Dhofir dan pembantunya (lupa pula namanya).

Jabal Thur

Jabal Thur letaknya hanya 4 km ke selatan Masjidil Haram dengan ketinggian kira-kira 458 meter. Di puncaknya terdapat Gua Thur di mana junjungan mulia, RasuluLlah SAW bersama Saidina Abu Bakar as-Siddiq bersembunyi selama 3 hari ketika berhijrah ke Madinah. Dengan rahmat Allah SWT, mereka terselamat daripada ditemui oleh puak kafir Quraisy.

Untuk naik hingga ke pintu gua, pendakian dikatakan mengambil masa sekitar 1 jam setengah. Kami sekadar melihat dari tepi jalan sahaja. Di satu sudut kelihatan para jemaah Indonesia tekun mendengar kisah hijrah RasuluLlah yang disampaikan oleh mutawwif mereka.

Padang Arafah

Inilah tempat berwukuf bagi jemaah haji. Wukuf adalah rukun haji, yakni berada di bumi Arafah walaupun seketika mulai waktu gelincir matahari 9 Zulhijjah sehingga sebelum terbit fajar 10 Zulhijjah. Inilah antara tempat paling mustajab doanya.

Padang Arafah yang berkeluasan hampir 18,000 km2 terletak di luar Tanah Haram. Persekitarannya lapang sahaja, yang kelihatan hanyalah bangunan tandas di banyak lokasi. Ketika musim haji ianya akan dipenuhi khemah putih khusus untuk para jemaah.

Singgahan kami di Padang Arafah adalah berhadapan Jabal Rahmah, bukit batu yang terbentuk daripada bongkahan batu besar. Di puncaknya tertacak tiang putih bersegi empat setinggi 8 m, menjadi tumpuan utama para pengunjung (dan jemaah di musim haji).

Dikhabarkan di sinilah RasuluLlah SAW menyampaikan khutbah wida' (terakhir) dan di sini jugalah bertemunya Nabi Adam a.s. dengan Siti Hawa setelah berpisah kira-kira 40 tahun ketika diturunkan dari syurga. Malah Jabal Rahmah digemari untuk memohon dipermudahkan jodoh. Allahu a'lam.

Di luar musim haji, tanah lapang berhadapan Jabal Rahmah menjadi tempat riadah - menaiki unta dan motorsport. Dengan bayaran SR10, Laili dan Solehah berpeluang merasai pengalaman mengenderai unta tetapi sekejap sahaja, tak sampai pun 5 minit.

Tidak jauh dari Jabal Rahmah, berdiri megah masjid berwarna kuning pinang, Masjid Namirah yang memiliki 6 menara dan 3 kubah. Difahamkan RasuluLlah SAW dan nabi-nabi sebelumnya bersolat di sini. Merentasi hadapan masjid adalah Wadi 'Uranah yang menjadi pemisah antara Tanah Haram dan Tanah Halal.

Muzdalifah & Mina & Jamrah

Kami hanya melihat Muzdalifah dan Mina, dua kawasan bermalam (mabit) yang diwajibkan bagi jemaah haji ini dari cermin bas sahaja sambil diberikan penerangan oleh mutawwif. Ditunjukkan juga dari kejauhan kawasan melontar bertingkat; Jamratul Kubra, Wusta dan Sughra.

Di musim haji, khemah-khemah berwarna putih yang kalis api dan berhawa dingin akan didirikan untuk keselamatan dan keselesaan para jemaah.

Walaupun ketika kunjungan kami suasana di Arafah, Muzdalifah dan Mina kelihatan lenggang sahaja tetapi jauh bezanya ketika musim haji nanti. Bagi yang pernah menunaikan ibadah haji, pasti dapat merasainya.

Ladang Unta

Kami tidak pasti apakah nama tempatnya. Yang pasti, kami melalui kawasan penempatan nomad kaum Badwi - rumah/khemah kecil di kaki-kaki bukit yang tandus.

Tidak jauh daripadanya terdapat banyak kelompok unta yang dikandangkan, diuruskan secara persendirian. Setiap kandang dihuni sekitar 10-15 ekor unta, sebahagiannya anak-anak yang sedang galak menyusu. Dan susu itu jugalah menjadi sumber pendapatan utama mereka, khususnya daripada para pengunjung.

Rombongan kami singgah di salah sebuah daripadanya, disambut mesra oleh penjaganya. Unta-untanya amat jinak, dipegang dan ditepuk tidak membantah. Kami juga ditunjukkan demonstrasi memerah susu unta. Kaedahnya agak kasar, berebut dengan si anak unta. Ketika mulut si anak mula menghisap puting ibunya, maka dirampas puting tersebut dan diperahkan susu masuk ke mangkuk besar.

Kami turut membeli beberapa botol susu yang masih segar dan suam ini. Sebotol kecil harganya SR 5. Rasanya sedap dan Imran amat menyukainya.

Malah dikatakan air kencing unta boleh diminum sebagai ubat - ada yang membelinya. Entahlah... kami tidak pasti apa hukumnya, lebih-lebih lagi mengingatkan bahawa asalnya adalah najis. Wallahu a'lam.

Masjid Miqat

Dalam kesempatan yang ada, AlhamduliLlah kami diluangkan oleh Allah SWT untuk berniat ihram umrah di 3 miqat iaitu di Masjid Ji'ranah, Masjid Hudaibiah dan Masjid Tana'im.

Masjid Ji'ranah

Masjid ini terletak di perkampungan Wadi Sarif, kira-kira 22km dari Masjidil Haram. Malah dikatakan Ji'ranah adalah tempat terbaik untuk berniat ihram umrah bagi penduduk Mekah dan sekitarnya kerana RasuluLlah SAW pernah melakukannya.

Di sini jugalah turunnya ayat ke-196 dari Surah al-Baqarah,"Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah".

Ianya adalah umrah kedua buat kami sekeluarga. Imran, Solehah dan Hanisah pun turut sama berniat ihram umrah, bersama-sama ahli rombongan lain.

Masjid Hudaibiah

Jarak masjid ini dari Masjidil Haram sekitar 24km. Kawasan masjid ini merupakan tempat para sahabat melakukan baiah (akujanji) kepada RasuluLlah SAW untuk memerangi kafir Quraisy pada tahun 6H. Rentetan daripadanya lahir kegerunan di hati pemuka Quraisy sehingga termeterainya Perjanjian Hudaibiah.

Di belakang masjid terdapat kesan tinggalan tembok batu bata yang tampak masih utuh. Berkemungkinan ianya musnah akibat kebakaran kerana ada kesan-kesan hitam pada tembok.

Menurut ustaz mutawwif, itulah Masjid Uthman yang mengambil nama Sayyidina Uthman bin Affan, wakil RasuluLlah SAW bertemu puak kafir Quraisy sebelum perjanjian berkenaan dipersetujui bersama.

Untuk umrah ketiga ini, Imran dan Solehah tidak turut serta setelah tidak tahan dengan himpitan dan tolakan ketika melakukan tawaf pada umrah kedua selang sehari sebelumnya. Tidak mengapalah, ianya satu pengalaman yang amat bernilai bagi mereka.

Masjid Tana'im

Masjid ini juga dikenali sebagai Masjid Sayyidah Aisyah setelah beliau disuruh oleh RasuluLlah SAW ke Tana'im untuk berniat ihram umrah ketika melakukan Haji Wada' pada tahun 9H. Masjid ini letaknya sekitar 7 km sahaja dari Masjidil Haram - lokasi berniat ihram umrah yang paling dekat.

Kami ke Tana'im di sebelah pagi menaiki kereta sewa (SR 50 pergi-balik) bersama abah, Hadi dan Hanisah. Emak tidak ikut serta kerana diserang lelah. Solehah dan Imran ditinggalkan bersama emak di bilik hotel. Ini adalah umrah terakhir kami sebelum berangkat pulang ke tanah air pada keesokan harinya.

Sebenarnya banyak lagi tempat-tempat menarik di Mekah al-Mukarramah. Insya Allah kiranya berpeluang di lain kesempatan ingin sekali kami menziarahi Jabal Noor, Gua Hira', Perkuburan Ma'la (jasad Siti Khadijah disemadikan), kilang pembuatan Kelambu Kaabah, Muzium Mekah, Mata Air Zubaidah, Telaga Thuwa, Maktabah Mekah (tapak kelahiran RasuluLlah SAW) dan juga masjid-masjid yang merakamkan sejarah berkaitan RasuluLlah SAW. Moga dipermudahkan olehNya. Ameen.

Wednesday, May 16, 2012

Catatan Mekah : Masjidil Haram

Catatan ringkas kali ini berkisar tentang Masjidil Haram dan Kaabah.

Umumnya, Masjidil Haram meliputi Kaabah, kawasan tawaf di sekelilingnya serta semua bangunan, dataran dan halaman untuk bersolat termasuklah ruangan pembesaran sejak dahulu sehinggalah kini. Difahamkan luas keseluruhannya telah mencapai 644,000 meter persegi dan boleh menampung lebih sejuta jemaah. SubhanaLlah, betapa luasnya...

Tentang sejarah Masjidil Haram dan Kaabah, rasanya tidak perlulah disentuh - kisahnya terlalu panjang. Boleh sahaja dirujuk melalui internet atau bahan bacaan lain. Malah telah ramai yang mengetahuinya.

Aura Masjidil Haram dan Kaabah

Gambar Masjidil Haram dan Kaabah mudah sahaja dapat dilihat di mana-mana. Namun aura dan keterujaannya tidak sama dengan melihatnya tersergam indah dan gagah di hadapan mata sendiri. Apatah lagi dapat melihat dan menyentuh binaan Kaabah. Terdetik di hati,"Ya Allah kini kami menjadi tetamu di rumahMu, rahmatilah kami".

SubhanaLlah... tidak terungkap oleh kata-kata. Perasaan halus menyebak jiwa. Bagi sesetengah orang bisa mengalirkan air mata kegembiraan, keinsafan dan ketakjuban. Apatah lagi dapat bersujud di hadapan Kaabah. Itulah yang kami rasai dan alami.

Di sekitar Masjidil Haram, projek pembangunan hotel baru dan pusat perniagaan giat dijalankan - bagi menampung bilangan jemaah haji/umrah yang semakin bertambah setiap tahun. Banyak kawasan berhampiran telah ditutup dan bangunan sedia ada dalam proses untuk diruntuhkan.

Sebagai panduan untuk kami, jam besar berhadapan Pintu 1 sentiasa menjadi penanda arah bagi mengelakkan dari tersesat jalan pulang ke hotel.

Ziarah Solat

Lazimnya tiada ziarah khusus ke Masjidil Haram. Maka kunjungan ke masjid di setiap waktu solat boleh dimanafaatkan sebaik mungkin untuk mengenali Masjidil Haram dan Kaabah. Dengan ratusan pintu besar dan kecil di sekelilingnya, pilihlah yang mana suka.

Rasailah kelainan setiap ruangan solat yang disediakan; samada di dataran Kaabah, di anjung masjid menghadap Kaabah, di tingkat atas atau bawah, di ruangan berhawa dingin atau berkipas angin ataupun di dataran masjid beratapkan langit dengan simbahan cahaya bulan atau matahari.

Banyak ruangan yang telah kami cuba. Paling seronok adalah beriktikaf menghadap terus ke arah Kaabah walaupun terpaksa sesak berhimpitan. Namun dalam banyak keadaan, kami selalunya berada di ruangan berhawa dingin di tingkat bawah untuk memberi keselesaan kepada anak-anak untuk membaca Al-Quran dan berehat (biasanya tidur) terutama ketika berlama-lamaan di masjid dari waktu Asar sehingga selepas solat Isyak.

Sesuatu yang menarik di Masjidil Haram adalah saf solat yang melengkung kerana arah kiblatnya adalah Kaabah yang berada di tengah-tengah masjid. Juga tiada waktu larangan untuk bersolat sunat. Dan paling utama, ganjaran 100,000 pahala bersolat di Masjidil Haram mengatasi solat-solat di masjid biasa. Siapa yang mampu menolak anugerah yang amat mewah ini?

Solat Jumaat dan Jenazah

Kami berpeluang menunaikan solat Jumaat di Masjid Haram. Juga pengalaman menarik bagi Laili dan anak-anak perempuan. Jemaahnya melimpah ruah, memenuhi setiap penjuru ruang solat sehingga ke kaki lima di luar Masjidil Haram. Malah dalam panas terik yang memeritkan, dataran Kaabah yang terbuka dan dataran luar masjid pun tidak terkecuali. Rupa-rupanya demikianlah lazimnya kerana ianya hari cuti umum. Maka jemaah dari Tanah Halal pun turut berjemaah di Masjidil Haram.

Ketika melangkah keluar, tidak disangka himpitan dan tolakan para jemaah begitu kuat sekali. Imran yang dipimpin sentiasa tersepit dan kesesakan bernafas, maka terpaksalah diangkat ke atas. Untuk keluar dari dataran masjid pun sama. Fuhh... dahsyat sekali. Di sana sini kedengaran, "Sobar ya Sheikh, Sobar... Sobar...".

Di samping itu solat jenazah berlangsung hampir setiap kali selepas solat. Cuma lewat sedikit dari suasana di Masjid Nabawi, Madinah. Sempat lagi untuk bersolat sunat sementara menunggu lafaz takbir dari imam. Alangkah beruntungnya sesiapa yang meninggal di Mekah dan Madinah...ditakdirkan pula pada hari Jumaat. SubhanaLlah.

Air Zam-Zam

Di segenap penjuru masjid tong-tong air zam-zam mudah sahaja ditemui. Itulah hidangan utama kami apabila tiba di masjid dan sebelum melangkah keluar. Juga ketika sebelum dan selepas tawaf serta sewaktu bersaie. Air mulia yang penuh barakah diteguk dengan doa-doa tertentu, moga diperkenankan oleh Allah SWT. Ameen. Betapa bertuahnya para tetamu Allah SWT yang berkunjung ke Mekah dan Madinah dapat minum sepuas-puasnya secara percuma.

Untuk bekalan minum, biasanya kami masukkan ke botol mineral sahaja. Air zam-zam ini juga digunakan untuk berwuduk. Terdapat beberapa lokasi stesyen air pancur yang dibolehkan, antaranya di tingkat bawah dan bersebelahan Kaabah. Bagi Laili dan anak-anak perempuan pula mereka menggunakan penyembur wuduk yang dibawa bersama.

Usah terkejut jika terlihat jemaah yang menyorong kerusi roda yang dipenuhi botol-botol besar air zam-zam. Bagi sesetengah negara, jika ingin dibawa pulang perlu diuruskan sendiri samada dibeli dengan harga sekitar SR15/botol (5L) atau dapatkan secara percuma di Masjidil Haram. Pandai-pandailah jika tidak ingin berkonfrontasi dengan pengawal masjid.

Wakaf Al-Quran

Seperti mana di Masjid Nabawi, di Masjidil Haram pun kami turut menyumbang beberapa naskhah Al-Quran, di samping kiriman daripada rakan-rakan di tanah air. Harganya masih sama, SR 50 untuk saiz kecil (hijau) dan SR 100 untuk saiz besar (biru). Perlu dimaklumi hanya mushaf Madinah sahaja diperakui untuk dikekalkan tempatnya di Masjidil Haram, selain daripadanya akan dikeluarkan oleh petugas masjid. Dan hanya melalui Pintu Al-Malik Fahd sahaja dibenarkan untuk dibawa masuk.

Penjual Jalanan

Di laluan-laluan menuju ke Masjidil Haram selalunya menjadi lokasi jualan para penjual jalanan. Biasanya di kalangan warga berkulit hitam - tidak pasti mana asalnya. Malah terdapat segelintir warga Indonesia yang turut mengambil kesempatan. Di tengah-tengah sesak para jemaah bergerak keluar dari masjid, mereka mula menebarkan hasil jualan mereka. Dahlah sesak, makin bertambah sesaklah jadinya.

Harganya memang murah berbanding kedai-kedai di sekitarnya tetapi perlu berhati-hati. Ketika serbuan mengejut pihak berkuasa, mereka akan segera bungkus kain dan terus melarikan diri. Jika duit kita masih berbaki di tangan mereka akan turut sama dibawa lari.

Peminta Sedekah

Pada masa yang sama para peminta sedekah turut sama beroperasi menadah simpati jemaaah. Lazimnya ibu-ibu yang bercadur hitam dengan anak-anak kecil dan paling menyedihkan deretan kanak-kanak yang kudung tangan/kaki. Diperhatikan kanak-kanak ini ada penjaganya yang sempurna sifatnya. Kerap kali juga kanak-kanak ini dimarahi di tengah khalayak ramai. Adakah mereka ini satu sindiket?

Jadi terserahlah bagaimana ingin bersedekah kerana pahala melakukan kebaikan di bumi Mekah tiada tara balasannya di sisi Allah SWT. Malah, ada baiknya juga jika dihulurkan sedekah (dan dam) kepada para pekerja am Masjidil Haram yang bertungkus lumus menjaga rumah Allah SWT.

Dataran Kaabah

Di dataran Kaabah, jemaahnya pasang surut - adakala ramai adakala kurang. Yang pasti ketika solat malam (Maghrib-Isyak-Subuh), para jemaah suka berada di dataran. Tidak seperti ketika matahari di atas kepala sehingga waktu Asar.

Para jemaah yang bertawaf tidak putus-putus, tidak kira masa bagaikan jarum jam yang sentiasa berpusing - samada tawaf umrah/wajib atau tawaf sunat.

Terdapat beberapa tempat di sekitar Kaabah yang menjadi tumpuan jemaah, mengakibatkan kesesakan yang luar biasa. Masing-masing berusaha meraih ganjaran pahala berganda dan mustajabnya doa yang dipohon.

Paling utama di Hajarul Aswad, para jemaah bertolakan untuk mengucupnya. Saya pernah mencuba tetapi tidak berjaya. Malah pernah beberapa kali saya dipelawa dengan lembut oleh 2 jemaah Indonesia,"Pak...silakan pak, kami bantu". Saya menolak sambil tersenyum kerana sedar ianya satu sindiket yang meminta upah ratusan Riyal. Malah terdapat kenalan yang terkena. Masya Allah... di depan Kaabah pun ada yang sanggup melakukannya.

Di Multazam (antara Hajarul Aswad dan pintu Kaabah) dan berdekatan maqam Ibrahim juga menjadi tumpuan ramai. Malah ada yang bersolat di situ (juga laluan tawaf.) Begitu juga terdapat jemaah wanita bersolat di ruangan yang dikhaskan kepada jemaah lelaki, semata-mata ingin bersama suami atau mahram terdekat. Suatu sikap mementingkan diri yang tidak sepatutnya ada. Teguran para jemaah lain serta petugas Kaabah tidak diendahkan, malah ada yang membantahnya.

Hijr Ismail (lengkungan kecil di bawah pancur emas) juga bersesak-sesak dan berhimpitan para jemaah masuk untuk bersolat dan berdoa. Dikatakan, memasuki Hijr Ismail seumpama memasuki dalam Kaabah. AlhamduliLlah, kami berdua berserta Hanisah diberi ruang dan peluang oleh Allah SWT berada di Hijr Ismail ini.

Demikianlah sepintas lalu pemerhatian dan pengalaman yang kami lalui. Sebenarnya masih banyak lagi yang ingin dikisahkan tetapi rasanya cukup sekadar itu. Mohon diampunkan oleh Allah SWT atas segala salah dan silap.

Tuesday, May 8, 2012

Catatan Mekah : Umrah

Umrah adalah ibadah khusus yang menjadi keutamaan para jemaah yang berkunjung ke Tanah Haram Mekah al-Mukarramah terutama di luar musim haji. Terdapat 2 pandangan berbeza dari segi hukumnya samada wajib atau sunat, yakni bagi yang berkemampuan. Apatah lagi bagi mereka yang mudah sahaja 'makan angin' ke luar negara. Renung-renungkanlah...

Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 196,"Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah Taala".

Kunjungan umrah kami ini adalah yang pertama kali. Ramai di kalangan jemaah lain yang telah berkali-kali mengerjakannya. Dengan pengalaman sedia ada, pasti tiada masalah bagi mereka. Malah setiap ibadah dan ziarah dapat dilaksanakan dengan lebih terancang. Beruntungnya mereka.

Insya Allah, coretan di bawah akan menyentuh secara ringkas perlaksanaan umrah yang kami lakukan. Hanya sekadar panduan sahaja terutama bagi pengunjung yang tidak pernah ke Mekah.

Berihram Umrah

Bagi jemaah umrah yang bergerak dari Madinah ke Mekah, mereka disarankan bersiap-siap mandi sunat ihram dan memakai pakaian ihram di hotel. Tujuannya untuk menjimatkan masa apabila tiba di Masjid Bir 'Ali (lokasi miqat umrah).

Lebih-lebih lagi bagi jemaah lelaki yang perlu memakai 2 helai kain putih tidak berjahit dan tidak bercantum hujungnya bagi menutup bahagian bawah pinggang dan bahagian atas badan. Tanpa seluar dalam dan penutup kepala serta selipar yang menampakkan jari-jari kaki. Itulah kaedahnya. Ianya pengalaman pertama bagi saya dan Imran. Amat menyeronokkan dan teruja sekali untuk sampai ke Masjidil Haram.

Bagi jemaah wanita mudah sahaja. Pakailah seumpama ingin bersolat, cuma ada baiknya memakai seluar panjang agar mudah untuk bergerak terutama ketika bertawaf dan bersaie.

Ringkasnya, rukun umrah ada 5 perkara iaitu niat ihram umrah, tawaf, saie, bergunting/ bercukur dan tertib. Manakala wajib umrah pula 2 perkara iaitu niat ihram umrah di miqat dan meninggalkan 13 larangan semasa ihram. Mudah sahaja tetapi dugaannya amat besar.

Di Masjid Bir 'Ali, setiap jemaah disunatkan menunaikan solat sunat ihram, diikuti memasang niat mengerjakan umrah. Maka bermulalah 13 larangan dalam berihram sehinggalah tahallul (selesai bergunting); antaranya tidak dibenarkan memakai pakaian berjahit/bersarung (lelaki), menutup kepala (lelaki), menutup muka (wanita), memakai sarung tangan, memakai bauan, memakai minyak, menanggalkan rambut/bulu, mengerat kuku, memotong pokok, memburu binatang buruan, berakad nikah dan apa-apa yang berkaitan persetubuhan.

Perjalanan ke Mekah

Menyambung perjalanan ke Mekah, kami bertalbiah beramai-ramai di bawah pimpinan Hj. Zakaria dan Hj. Zulkarnaian. Satu amalan yang amat digalakkan oleh RasuluLlah SAW. Namun hanya bertahan sekitar 10 minit sahaja, akhirnya senyap sunyi. Benarlah kata ustaz pembimbing ketika di tanah air, lazimnya ramai yang akan terkulai layu diulit mimpi.

Kami tiba di Asia Golden Palace Hotel sekitar jam 11:00 malam. Namun terpaksa bermalam di apartmen berdekatan kerana bilik yang dikhaskan masih berpenghuni. Melewati jam 12:00 malam, jemaah Al-Fajr Travel dibawa ke Masjidil Haram untuk menyelesaikan tuntutan umrah; tawaf, saie dan bergunting. Kami sekeluarga bersama abah, emak, Hadi dan 4 orang mak saudara memilih tidur dahulu dan bertolak ke Masjidil Haram sekitar jam 3:00 pagi. Bersambung terus dengan waktu solat Subuh kira-kira jam 4:55 pagi.

Bergerak ke Masjidil Haram


Menyusuri al-Hijrah St, perjalanan kami terus menuju ke dataran Masjidil Haram. Walaupun di awal pagi, laluannya meriah dengan para jemaah pergi dan balik. Dari kejauhan jelas kelihatan cahaya lampu menerangi persekitaran dengan menara masjid tinggi menongkah langit. Akhirnya kami tiba di datarannya. SubhanaLlah, besarnya Masjidil Haram. AlhamduliLlah, akhirnya sampai juga kami ke masjidMu yang penuh barakah ini.

"Ya Allah, permudahkanlah segala urusan kami selama bertamu di Tanah SuciMu ini. Ameen".

Dengan dipandu oleh abah, kami melangkah masuk ke Masjidil Haram melalui Pintu 1: Pintu Raja Abdul Aziz terus menuju ke arah Kaabah yang tersergam megah dan gagah dibaluti selimut hitam dengan lilitan tinta emas di bahagian atasnya, menghadap ke Penjuru/ Rukun Yamani.

SubhanaLlah... kelu lidah untuk berkata-kata. Sendu di hati menyelinap tanpa dipaksa-paksa. Sekaligus terdetik di sanubari,"Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar. Tiada Tuhan melainkan Engkau. Terimalah kami sebagai tetamuMu di KaabahMu yang mulia ini. Ya Allah, golongkanlah kami di kalangan hambaMu yang diredhai. Ameen".

Ibadah Tawaf

Di Dataran Kaabah, kebanyakan para jemaah sedang khusyuk mengelilingi Kaabah samada menunaikan tawaf umrah atau pun sekadar tawaf sunat. Sementara sebahagian lagi sedang khusyuk bersolat dan berwirid menghadap Kaabah.

AlhamduliLlah, jemaahnya tidaklah ramai sangat, memudahkan kami mengerjakan tawaf. Di awal tawaf, kelompok kami berjalan-jalan bersama, namun akhirnya terpisah kepada kumpulan tersendiri. Saya bersama Imran, makala Laili bersama Hanisah dan Solehah. Begitu juga abah, emak, Hadi dan emak saudara lain.

Tawaf bermula di Penjuru Hajarul Aswad, penandanya lampu hijau di tembok masjid bertentangan dengannya. Inilah kawasan yang paling padat kerana di sinilah jemaah memperlahankan pergerakan. Tawaf di awal pagi lebih selesa lebih-lebih lagi bersama anak-anak. Kali kedua bertawaf, kami lakukan selepas solat Asar, kasihan Imran tersepit kena himpit akibat tolakan daripada belakang. Sememangnya ada jemaah yang agak kasar tetapi bersabar sahajalah. Ingatlah bahawa kita sedang melakukan ibadah.

Sepanjang bertawaf, kami perlu menjaga kedudukan badan agar bahu kiri sentiasa menghadap Kaabah dan niat tawaf tidak berubah. Malah untuk mengambil gambar pun kami bimbang tersasar niat dan arah badan. Maka Imran dipeluk bahunya agar berjalan beriringan. Kami memilih laluan yang sedikit menjauh, lebih terbuka dan selesa.

Setiap masa, bibir melafazkan wirid dan doa berpandukan buku panduan umrah yang tergantung di leher. Ianya juga menjadi rujukan bagi bilangan pusingan yang telah dilakukan. Sebahagian jemaah bergerak berkumpulan dengan diketuai bacaan wirid dan doa oleh pembimbing mereka. Selalunya kami berusaha menjarakkan diri kerana khuatir dilanggar oleh mereka.

Tamat 7 pusingan tawaf, kami beredar ke belakang sedikit, menghadap ke Multazam, yakni antara Hajarul Aswad dan Pintu Kaabah. Di sinilah kami bersolat sunat tawaf dan berdoa.

Melewati Hijr Ismail, kelihatan para jemaah berpusu-pusu dan bertolak-tolakan untuk keluar dan masuk Hijr Ismail. Bersama-sama dengan Imran, tidak payahlah kami menyusahkan diri. Insya Allah, akan tiba saatnya nanti. AlhamduliLlah, ketika bertawaf sendirian untuk umrah kali ke-3, saya berpeluang masuk untuk bersolat sunat dan berdoa di dalamnya. Begitu juga Laili dan juga Hanisah.

Selesai bertawaf, kami menunggu seketika di Pintu Umrah, menghadap ke Penjuru Syami di mana kami berjanji untuk berkumpul sebelum mengerjakan saei. Sementara menunggu, air zam-zam diteguk penuh ni'mat sambil memohon barakah dari Allah SWT. Yang ditunggu-tunggu tidak kunjung tiba. Tidak semuanya ada. Malah emak sendiri pun terpisah daripada abah. Tidak mengapalah kerana emak dan makcik-makcik lain telah pun biasa dengan haji dan umrah.

Ibadah Saei dan Bergunting


Dengan dibawa oleh abah, kami sekeluarga berserta Hadi terus ke Bukit Safa, yang terletak tidak jauh dari Penjuru Hajarul Aswad. Maka bermulalah ibadah saei dari Bukit Safa ke Bukit Marwah sebanyak 7 kali berulang-alik iaitu 4 kali dari Safa ke Marwah dan 3 kali dari Marwah ke Safa. Inilah yang disukai Imran, terutama ketika berlari-lari anak-anak antara lampu hijau. Tambahan pula laluan saei amat cantik dan selesa dengan sistem penghawa dinginnya.

Saei dilakukan penuh santai. Jika dahaga boleh sahaja menyinggah minum air zam-zam yang disediakan. Untuk mengambil berkat ibadah saei, wirid dan doa di dalam buku panduan umrah sentiasa dilafazkan penuh sedar. Pelengkap kepada umrah, kami bergunting di Bukit Marwah setelah selesai perjalanan ke-7. Maka terlerailah 13 larangan dalam ihram. AlhamduliLlah.

Ketika umrah pertama, seusai bergunting, azan Subuh dilaungkan. Tidak sempat kami ke ruang solat di Masjidil Haram. Ianya ditunaikan di laluan saei sahaja. Arah kiblatnya (Kaabah) berpandukan kepada garisan melengkung yang ada pada laluan.

Ketika solat, semua jemaah berhenti untuk bersolat. Ibadah saei diteruskan lagi selepasnya termasuklah emak dan emak saudara yang masih tinggal 2-3 arah pergerakan lagi.

Selama 8 hari di Mekah, kami sempat menunaikan umrah sebanyak 4 kali sahaja - dilakukan secara berselang hari. Umrah pertama bermiqat di Bir 'Ali, umrah kedua miqatnya di Ja'aranah, umrah ketiga miqatnya di Hudaibiyah dan kali keempat bermiqat di Tana'im. Bagi sesetengah jemaah pula mereka mengerjakan 7 kali, katanya itu yang dianjurkan. Terserahlah pada keupayaan masing-masing. Cuma lebih banyak umrah dilakukan, lebih banyak perkara dipelajari dan lebih banyak amalan dapat dipertingkatkan.
Justify Full
Secara puratanya, untuk mengerjakan tawaf masa yang diambil kira-kira 20-30 minit, manakala bagi saei pula sekitar 45 min - 1 jam. Senang cerita 1 jam 30 minit. Jadi pandai-pandailah merancang masa, sebaiknya diselesaikan sebelum tiba waktu solat berikutnya.

Malah kami amat menyarankan kepada bakal jemaah haji, (jika berkemampuan) usahakanlah agar dapat menunaikan umrah. Banyak amalan, pelajaran dan pengajaran yang dapat diambil sebagai persediaan haji nanti.

Dari sudut kesihatan, rupa-rupanya diri ini kurang fit - senggal-senggal lutut dan betis/peha dek berjalan ulang alik dari hotel ke masjid, bertawaf dan saei. Itulah dugaannya dan ada pengajaran dan ingatan dari Allah agar lebih bersedia untuk ibadah haji yang lebih mencabar nanti.

Namun, ianya bukan satu halangan ataupun membuatkan diri ini merasa serik. Teringin dan rindu sekali untuk pergi lagi ke Mekah dan melakukan ibadah umrah/haji sebaik yang mungkin. Moga kita semua dipermudahkan Allah SWT. Ameen.

Catatan Mekah : Perjalanan

Kembali kita ke Madinah.....

Ziarah Perpisahan

Hari ke-4, hari terakhir di Madinah. Dikhabarkan bas yang membawa jemaah umrah Al-Fajr Travel akan bergerak ke Mekah selepas solat Zohor. Di sebelah pagi, beg-beg telah dilonggokkan di lobi hotel. Seterusnya masing-masing mengambil kesempatan berjalan-jalan di sekitar hotel penginapan, membeli belah ataupun beriktikaf di Masjid Nabawi.

Sebelum meninggalkan Masjid Nabawi, kami meluangkan masa seketika di maqam RasuluLlah SAW demi melaksanakan ziarah wada'. Sebak hati dibuatnya apabila salam perpisahan dilafazkan...

"Selamat tinggal Ya RasuluLlah (SAW). Bilakah lagi kita akan bertemu?"

"
Ya Allah, panjangkanlah usia kami untuk dapat bertemu lagi dengan kekasihMu, Insya Allah ketika menunaikan ibadah haji nanti. Ameen".

Miqat Bir 'Ali

Selepas makan tengahari, kami mandi sunat ihram dan bertukar pakaian kepada pakaian ihram di bilik hotel. Inilah pengalaman pertama bagi kami (saya dan Imran) memakai kain tidak berjahit tanpa seluar dalam. Khuatir juga, bagaimana agaknya jika kainnya terlurut turun. Insya Allah segalanya OK apatah lagi dengan memakai tali pinggang.

Bagi perempuan pula, pakaian ihram mereka mudah sahaja, sama seperti dalam solat. Sebaiknya memakai seluar panjang bagi memudahkan pergerakan.

Masjid Bir 'Ali, kira-kira 7 km dari Madinah adalah miqat bagi jemaah dari Madinah. Itulah destinasi kami sebelum bertolak ke Mekah al-Mukarramah.

Perjalanan kami ke Bir 'Ali tergendala hampir sejam kerana bas kami terlibat dalam kemalangan ketika baru sahaja bergerak dari perkarangan Elyas Silver Hotel.

Memasuki Masjid Bir 'Ali, kami bersolat sunat ihram, diikuti solat Asar berjemaah. Seterusnya masing-masing berniat menunaikan ibadah umrah dan berihram dengannya. Maka bermulalah 13 larangan dalam berihram (rujuk risalah umrah/ haji) di mana jika melanggarinya akan dikenakan dam (denda).

Menuju Mekah

Menaiki bas, kami bertalbiah (menyahut panggilan Allah SWT) bersama-sama dengan dipimpin oleh Hj. Zakaria dan Hj. Zulkarnain. Suatu amalan sunnah yang amat dituntut. Namun selepas 15 minit, tiada lagi kedengaran suara talbiah. Segalanya sunyi sepi. Mungkin telahpun terlena ataupun melayan fikiran masing-masing.

Di kiri kanan jalan, pemandangannya serupa sahaja - padang pasir tandus dengan bukit-bukau berbatu dan pepohonan yang amat jarang kelihatan.

Anak-anak begitu enak sekali tidur. Menjenguk rakan-rakan lain, fenomenanya pun serupa. Akhirnya kami pun turut terlelap. Sedar-sedar bas mulai bergerak perlahan dan menyinggah di suatu hentian rehat. Kami tidak pasti apa nama tempatnya. Yang pasti terdapat mussolla untuk bersolat, tandas awam, kedai serbaneka Zain Mini Market dan ruang makan duduk beralas.

Di sinilah masing-masing menunaikan solat jamak ta'akhir Maghrib-Isyak dan makan malam yang disediakan oleh Al-Fajr Travel.

Tiba Di Mekah

Menyambung perjalanan, suasana di dalam bas kembali sunyi sehinggalah tiba di Mekah al-Mukarramah sekitar jam 11:00 malam. Di dalam kelam malam, hati ini terasa amat tersentuh, apatah lagi apabila terpandang Masjidil Haram. Tidak semena-mena hati mula terasa sebak dan terharu.

"AlhamduliLlah. Setinggi-tinggi kesyukuran yang tidak terhingga padaMu Ya Allah... akhirnya kami dapat menginjakkan kaki ke Tanah SuciMu yang penuh barakah ini. Terimalah kami sebagai tetamuMu. Permudahkanlah segala urusan kami dan himpunkanlah kami di kalangan mereka yang mendapat rahmatMu. Ameen".

Hotel penginapan kami adalah Golden Asia Palace Hotel yang terletak di al-Hijrah St, kira-kira 500 meter dari Masjidil Haram. Malangnya kami tidak dapat masuk kerana masih ada penghuninya. Dimaklumkan tengahari esoknya baru boleh dimasuki. Untuk itu disediakan bilik sementara di apartmen di seberang jalannya.

Bersama abah, Hadi dan Imran, kami ditempatkan di tingkat 6 (bilik kecil 6 katil + bilik air). Emm... mengah juga dibuatnya menginjak anak-anak tangga. Manakala Laili berserta Hanisah, Solehah, emak dan 4 orang mak saudara bersesak-sesak di dalam satu bilik di tingkat 2. Redhalah... Bagi kami ianya satu ujian dan latihan untuk ibadah haji nanti.

Jam 12:00 tengah malam, ahli rombongan Al-Fajr Travel bergerak ke Masjidil Haram bagi menunaikan tawaf, saie dan bergunting. Kami memilih untuk tidur dahulu dan bangun jam 3:00 pagi untuk melengkapkan ibadah umrah tersebut dengan dipandu oleh abah dan emak yang telah biasa dengannya. Dek kepenatan, sekejap sahaja telah pun terlena sehinggalah terjaga sekitar jam 2:30 pagi.

Monday, May 7, 2012

Tuaian Pesta Buku

Hari Ahad - berakhirnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur kali ke-31 di PWTC.

Di sebelah pagi, bersendirian tanpa diiringi isteri dan anak-anak, saya berkejar lagi ke pesta buku. Tujuan utamanya hendak mendapatkan naskhah Al-Quran terjemahan, kamus untuk anak-anak dan beberapa buah buku yang dipesan oleh anak-anak.

Dengan susun atur booth dan lokasi buku yang telah dihafal kedudukannya, saya menjangkakan kunjungan ke pesta buku ini tidak mengambil masa yang lama. Selepas beli terus boleh balik. Rupa-rupanya tidak begitu bagi peminat buku tegar seperti saya. Malah ianya lebih lama berbanding beberapa kunjungan sebelum ini walaupun bersama anak-anak. Ada sahaja buku-buku yang ingin dibelek dan diteliti isi kandungannya. Akhirnya lebih banyak buku yang diborong.... Alahai....

Inilah sebahagian besar buku-buku yang dibeli sepanjang pesta buku ini. Jika sebelum ini sekitar RM300 sahaja, kini melebihi RM500. Apa nak buat... dah satu keluarga ulat buku...

Namun kami tidak pernah menyesal. Ianya sesuatu yang amat bermanafaat. Jika tidak dibaca sekarang, kemudian hari boleh dibaca. Lebih-lebih lagi dengan potongan harga yang menarik, sayang kiranya dilepaskan begitu sahaja.

Setiap ahli keluarga kami mempunyai kategori buku yang diminati. Novel remaja menjadi pilihan Hanisah dan Solehah, sesuai dengan usia awal remaja. Izzuddin dan Imran pula lebih menggemari bacaan santai seperti komik-M.

Untuk pesta buku ini tidak disangka-sangka pula saya lebih banyak mengumpul buku-buku travelog atau kembara, antaranya Kembara Sastera UK dan Dublin karya terbaru Nisah Haron, XPDC Haji (Hj Zainal Bujang), Travelog Beijing (Izan-Nurfa-Uthaya), Nik Nur Madihah - Permata Generasi Rabbani (Ummu Sakinah), Bersyukur Saat Diuji (Prof Muhd Kamil) dan juga Bukan Sekadar Resepi (Roza).

Manakala buku-buku keagamaan pula adalah satu kemestian bagi kami sekeluarga seperti Indahnya Hidup Bersyariat (Dato' Ismail Kamus), Soal Jawab Isu-isu Islam (Dato' Nik Abdul Aziz), Panduan Perbankan Islam (Dr. Zaharuddin) dan Wanita Istimewa (Dr. Karim El-Shazly). Termasuk juga 2 naskhah Al-Quran dan Terjemahan serta VCD Perlaksanaan Haji sebagai panduan untuk kami melaksanakan tuntutan Rukun Islam kelima nanti.

Dari pemerhatian saya, sehingga ke awal petang persekitaran pesta buku tidaklah sesesak ketika kunjungan kami pada hujung minggu lalu. Mungkin kerana keadaan cuaca yang kurang baik atau pun mungkin juga para pengunjung akan bertambah ramai di sebelah petang dan malam. Wallahu a'lam.

Di samping itu, ramai sekali kelihatan para penulis dan pelukis yang datang. Ada yang duduk-duduk di meja yang dikhaskan di hampir setiap booth penerbit sambil mempromosikan buku-buku tulisan mereka ataupun sekadar pengunjung biasa.

AlhamduliLlah, saya sempat bersua muka dan berbual-bual ringkas dengan beberapa orang penulis yang saya kagumi, antaranya Puan Nisah Haron, Ustaz Pahroul Mohd Joui, Ustaz Amaluddin Napiah, Sdr Lutfi dan Sdr Nazry Salam.

Berlegar-legar dari satu booth ke satu booth sambil menyelit di celah-celah khalayak pengunjung serta naik turun ke ruangan pameran tidak terasa penat, lapar dan dahaga. Sedar-sedar telah pun 4 jam berlalu. Ikutkan hati masih banyak lagi buku yang teringin untuk dimiliki. Ku pujuk hati sendiri, "Sabarlah... cukuplah dahulu".

Tuesday, May 1, 2012

Berpesta @ Pesta Buku

[Mohon maaf, kesinambungan catatan di dua Tanah Suci terpaksa ditangguhkan seketika, memberi ruang kepada Pesta Buku 2012 di PWTC. Insya Allah, lanjutan pengalaman menunaikan ibadah umrah dan ziarah di Mekah al-Mukarramah akan menyusul dalam masa terdekat]

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) ~ saat yang ditunggu-tunggu oleh para pengusaha dan peminat buku kini tiba lagi. Pesta besar-besaran kali ke-31 dengan tema Buku: Dunia Tanpa Sempadan ini disertai oleh lebih 850 penerbit/pencetak/pengedar/penjual buku bertempat di lokasi biasa, PWTC bermula dari 27-April lalu hingga akhir minggu ini, 6-Mei.

Bagi kami, pesta buku ini termasuk dalam diari tahunan kami. Dengan kata lain, tidak pernah terlepas. Jika isteri dan anak-anak tidak berkesempatan, saya pasti tidak akan lepaskan begitu sahaja.

Sebenarnya Bandaraya Kuala Lumpur adalah antara lokasi kunjungan yang cuba kami elakkan terutama ketika hujung minggu. Kami tidak menggemari suasana sibuk, sesak dan bingit. Namun kerana pesta buku, semuanya itu tidak diendahkan. Keranamu buku, segala onak sanggup dirempuhi.

Dahulu, ketika berkerja dengan agensi kerajaan dan swasta; saya rela mengambil cuti semata-mata untuk berkampung di pesta buku. Kini, masanya lebih fleksibel, maka adalah masa tersendiri untuk ke PWTC.

Setakat ini telah 2 kali saya ke pesta buku tersebut. Pertama kali pada petang hari perasmiannya iaitu 27-April. Suasananya lenggang sahaja - mudah bergerak. Saya sendirian, datang untuk meninjau keadaan dan kedudukan booth tertentu, sambil mendapatkan beberapa buah buku sebagai tambahan koleksi peribadi dan keluarga.

Kali kedua saya datang bersama keluarga pada hari Ahad, 29-April. Difahamkan booth mulai dibuka jam 10:00 pagi. Jam 9:00 pagi kami telahpun terpacak di hadapan PWTC. Sengaja datang awal untuk mengelakkan kesesakan jalan dan tempat meletakkan kereta. AlhamduliLlah, tidak disangka-sangka pula kebanyakan booth telahpun dibuka. Dapatlah kami ruang yang lebih terbuka untuk bergerak.

Namun, kira-kira sejam selepasnya, kesesakan pengunjung mulai dirasakan. Melewati waktu tengahari, suasana menjadi lebih padat dan sendat. Ibu bapa berpimpinan tangan dengan anak-anak. Pelajar sekolah lengkap berpakaian bersama kelompok gurunya. Para remaja dengan rakan sebayanya. Yang dewasa pula dengan ragamnya. Semua usia ada.

Beberapa booth popular seperti PTS, Galeri Ilmu, Telaga Biru, Karangkraf, MPH, Sarjana Media, Pustaka DarusSalam dan Al-Hidayah (sekadar beberapa nama) menjadi tumpuan utama pengunjung. Pasti sahaja para pengusaha mampu tersenyum lebar hingga ke telinga melihat sambutan yang amat menggalakkan. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam...8)

Para petugas begitu sibuk sekali mempromosikan buku-buku terbaru. Sememangnya para penerbit akan memastikan akan ada beberapa buku terbaru dilancarkan ketika pesta buku ini terutama melibatkan penulis bestseller. Maka tidak hairanlah para penulis juga sibuk sepanjang pesta buku ini, sama-sama mempromosikan hasil karya masing-masing.

Ditambah pula dengan potongan harga yang mampu mencairkan hati. Dari pemerhatian saya, rata-rata buku baru ditawarkan potongan sekitar 15%-20%.

AlhamduliLlah, tanpa disangka-sangka, ketemu saya dengan rakan lama, Sdr Hizamnuddin Awang @ Web Sutera di booth Galeri Ilmu; sedang sibuk melayan peminat buku terbarunya, Macedonia: Alexander Agung - Hijab Raja Zulkarnaian. Tahniah Hizam.

Dua hari ke pesta buku, sekitar RM 300 telah 'lebur' untuk buku dan majalah. Satu pelaburan yang mengembirakan demi cinta kami kepada buku. Paling utama anak-anak seronok memperolehi buku yang diidam-idamkan dan kami juga dapat apa yang dihajatkan.

Jika diikutkan hati, masih banyak lagi buku dan majalah yang ingin dibeli. Foto di sebelah hanya sebahagian daripadanya.

Tengoklah... mungkin ada hari saya akan menyinggah lagi di pesta buku. Jika begitu, pasti ada lagi beliannya. Cuma kelemahan saya, adakalanya cepat kelabu mata, terbeli buku yang tidak diperlukan sangat, dek terpesona dengan persekitaran dan igauan.

Entahlah... tetapi diri ini tidak pernah serik untuk ke pesta buku. Ianya satu kepuasan yang tidak terucap. Masa yang dilalui dirasakan amat pantas berlalu - 3 jam ibarat 30 minit. Lapar dan dahaga langsung tidak berbekas.

Kepada rakan-rakan di sekitar Lembah Kelang, luangkan masa kalian untuk ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC ini. Banyak manafaatnya bercanda dengan buku.