Tuesday, May 8, 2012

Catatan Mekah : Umrah

Umrah adalah ibadah khusus yang menjadi keutamaan para jemaah yang berkunjung ke Tanah Haram Mekah al-Mukarramah terutama di luar musim haji. Terdapat 2 pandangan berbeza dari segi hukumnya samada wajib atau sunat, yakni bagi yang berkemampuan. Apatah lagi bagi mereka yang mudah sahaja 'makan angin' ke luar negara. Renung-renungkanlah...

Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 196,"Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah Taala".

Kunjungan umrah kami ini adalah yang pertama kali. Ramai di kalangan jemaah lain yang telah berkali-kali mengerjakannya. Dengan pengalaman sedia ada, pasti tiada masalah bagi mereka. Malah setiap ibadah dan ziarah dapat dilaksanakan dengan lebih terancang. Beruntungnya mereka.

Insya Allah, coretan di bawah akan menyentuh secara ringkas perlaksanaan umrah yang kami lakukan. Hanya sekadar panduan sahaja terutama bagi pengunjung yang tidak pernah ke Mekah.

Berihram Umrah

Bagi jemaah umrah yang bergerak dari Madinah ke Mekah, mereka disarankan bersiap-siap mandi sunat ihram dan memakai pakaian ihram di hotel. Tujuannya untuk menjimatkan masa apabila tiba di Masjid Bir 'Ali (lokasi miqat umrah).

Lebih-lebih lagi bagi jemaah lelaki yang perlu memakai 2 helai kain putih tidak berjahit dan tidak bercantum hujungnya bagi menutup bahagian bawah pinggang dan bahagian atas badan. Tanpa seluar dalam dan penutup kepala serta selipar yang menampakkan jari-jari kaki. Itulah kaedahnya. Ianya pengalaman pertama bagi saya dan Imran. Amat menyeronokkan dan teruja sekali untuk sampai ke Masjidil Haram.

Bagi jemaah wanita mudah sahaja. Pakailah seumpama ingin bersolat, cuma ada baiknya memakai seluar panjang agar mudah untuk bergerak terutama ketika bertawaf dan bersaie.

Ringkasnya, rukun umrah ada 5 perkara iaitu niat ihram umrah, tawaf, saie, bergunting/ bercukur dan tertib. Manakala wajib umrah pula 2 perkara iaitu niat ihram umrah di miqat dan meninggalkan 13 larangan semasa ihram. Mudah sahaja tetapi dugaannya amat besar.

Di Masjid Bir 'Ali, setiap jemaah disunatkan menunaikan solat sunat ihram, diikuti memasang niat mengerjakan umrah. Maka bermulalah 13 larangan dalam berihram sehinggalah tahallul (selesai bergunting); antaranya tidak dibenarkan memakai pakaian berjahit/bersarung (lelaki), menutup kepala (lelaki), menutup muka (wanita), memakai sarung tangan, memakai bauan, memakai minyak, menanggalkan rambut/bulu, mengerat kuku, memotong pokok, memburu binatang buruan, berakad nikah dan apa-apa yang berkaitan persetubuhan.

Perjalanan ke Mekah

Menyambung perjalanan ke Mekah, kami bertalbiah beramai-ramai di bawah pimpinan Hj. Zakaria dan Hj. Zulkarnaian. Satu amalan yang amat digalakkan oleh RasuluLlah SAW. Namun hanya bertahan sekitar 10 minit sahaja, akhirnya senyap sunyi. Benarlah kata ustaz pembimbing ketika di tanah air, lazimnya ramai yang akan terkulai layu diulit mimpi.

Kami tiba di Asia Golden Palace Hotel sekitar jam 11:00 malam. Namun terpaksa bermalam di apartmen berdekatan kerana bilik yang dikhaskan masih berpenghuni. Melewati jam 12:00 malam, jemaah Al-Fajr Travel dibawa ke Masjidil Haram untuk menyelesaikan tuntutan umrah; tawaf, saie dan bergunting. Kami sekeluarga bersama abah, emak, Hadi dan 4 orang mak saudara memilih tidur dahulu dan bertolak ke Masjidil Haram sekitar jam 3:00 pagi. Bersambung terus dengan waktu solat Subuh kira-kira jam 4:55 pagi.

Bergerak ke Masjidil Haram


Menyusuri al-Hijrah St, perjalanan kami terus menuju ke dataran Masjidil Haram. Walaupun di awal pagi, laluannya meriah dengan para jemaah pergi dan balik. Dari kejauhan jelas kelihatan cahaya lampu menerangi persekitaran dengan menara masjid tinggi menongkah langit. Akhirnya kami tiba di datarannya. SubhanaLlah, besarnya Masjidil Haram. AlhamduliLlah, akhirnya sampai juga kami ke masjidMu yang penuh barakah ini.

"Ya Allah, permudahkanlah segala urusan kami selama bertamu di Tanah SuciMu ini. Ameen".

Dengan dipandu oleh abah, kami melangkah masuk ke Masjidil Haram melalui Pintu 1: Pintu Raja Abdul Aziz terus menuju ke arah Kaabah yang tersergam megah dan gagah dibaluti selimut hitam dengan lilitan tinta emas di bahagian atasnya, menghadap ke Penjuru/ Rukun Yamani.

SubhanaLlah... kelu lidah untuk berkata-kata. Sendu di hati menyelinap tanpa dipaksa-paksa. Sekaligus terdetik di sanubari,"Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar. Tiada Tuhan melainkan Engkau. Terimalah kami sebagai tetamuMu di KaabahMu yang mulia ini. Ya Allah, golongkanlah kami di kalangan hambaMu yang diredhai. Ameen".

Ibadah Tawaf

Di Dataran Kaabah, kebanyakan para jemaah sedang khusyuk mengelilingi Kaabah samada menunaikan tawaf umrah atau pun sekadar tawaf sunat. Sementara sebahagian lagi sedang khusyuk bersolat dan berwirid menghadap Kaabah.

AlhamduliLlah, jemaahnya tidaklah ramai sangat, memudahkan kami mengerjakan tawaf. Di awal tawaf, kelompok kami berjalan-jalan bersama, namun akhirnya terpisah kepada kumpulan tersendiri. Saya bersama Imran, makala Laili bersama Hanisah dan Solehah. Begitu juga abah, emak, Hadi dan emak saudara lain.

Tawaf bermula di Penjuru Hajarul Aswad, penandanya lampu hijau di tembok masjid bertentangan dengannya. Inilah kawasan yang paling padat kerana di sinilah jemaah memperlahankan pergerakan. Tawaf di awal pagi lebih selesa lebih-lebih lagi bersama anak-anak. Kali kedua bertawaf, kami lakukan selepas solat Asar, kasihan Imran tersepit kena himpit akibat tolakan daripada belakang. Sememangnya ada jemaah yang agak kasar tetapi bersabar sahajalah. Ingatlah bahawa kita sedang melakukan ibadah.

Sepanjang bertawaf, kami perlu menjaga kedudukan badan agar bahu kiri sentiasa menghadap Kaabah dan niat tawaf tidak berubah. Malah untuk mengambil gambar pun kami bimbang tersasar niat dan arah badan. Maka Imran dipeluk bahunya agar berjalan beriringan. Kami memilih laluan yang sedikit menjauh, lebih terbuka dan selesa.

Setiap masa, bibir melafazkan wirid dan doa berpandukan buku panduan umrah yang tergantung di leher. Ianya juga menjadi rujukan bagi bilangan pusingan yang telah dilakukan. Sebahagian jemaah bergerak berkumpulan dengan diketuai bacaan wirid dan doa oleh pembimbing mereka. Selalunya kami berusaha menjarakkan diri kerana khuatir dilanggar oleh mereka.

Tamat 7 pusingan tawaf, kami beredar ke belakang sedikit, menghadap ke Multazam, yakni antara Hajarul Aswad dan Pintu Kaabah. Di sinilah kami bersolat sunat tawaf dan berdoa.

Melewati Hijr Ismail, kelihatan para jemaah berpusu-pusu dan bertolak-tolakan untuk keluar dan masuk Hijr Ismail. Bersama-sama dengan Imran, tidak payahlah kami menyusahkan diri. Insya Allah, akan tiba saatnya nanti. AlhamduliLlah, ketika bertawaf sendirian untuk umrah kali ke-3, saya berpeluang masuk untuk bersolat sunat dan berdoa di dalamnya. Begitu juga Laili dan juga Hanisah.

Selesai bertawaf, kami menunggu seketika di Pintu Umrah, menghadap ke Penjuru Syami di mana kami berjanji untuk berkumpul sebelum mengerjakan saei. Sementara menunggu, air zam-zam diteguk penuh ni'mat sambil memohon barakah dari Allah SWT. Yang ditunggu-tunggu tidak kunjung tiba. Tidak semuanya ada. Malah emak sendiri pun terpisah daripada abah. Tidak mengapalah kerana emak dan makcik-makcik lain telah pun biasa dengan haji dan umrah.

Ibadah Saei dan Bergunting


Dengan dibawa oleh abah, kami sekeluarga berserta Hadi terus ke Bukit Safa, yang terletak tidak jauh dari Penjuru Hajarul Aswad. Maka bermulalah ibadah saei dari Bukit Safa ke Bukit Marwah sebanyak 7 kali berulang-alik iaitu 4 kali dari Safa ke Marwah dan 3 kali dari Marwah ke Safa. Inilah yang disukai Imran, terutama ketika berlari-lari anak-anak antara lampu hijau. Tambahan pula laluan saei amat cantik dan selesa dengan sistem penghawa dinginnya.

Saei dilakukan penuh santai. Jika dahaga boleh sahaja menyinggah minum air zam-zam yang disediakan. Untuk mengambil berkat ibadah saei, wirid dan doa di dalam buku panduan umrah sentiasa dilafazkan penuh sedar. Pelengkap kepada umrah, kami bergunting di Bukit Marwah setelah selesai perjalanan ke-7. Maka terlerailah 13 larangan dalam ihram. AlhamduliLlah.

Ketika umrah pertama, seusai bergunting, azan Subuh dilaungkan. Tidak sempat kami ke ruang solat di Masjidil Haram. Ianya ditunaikan di laluan saei sahaja. Arah kiblatnya (Kaabah) berpandukan kepada garisan melengkung yang ada pada laluan.

Ketika solat, semua jemaah berhenti untuk bersolat. Ibadah saei diteruskan lagi selepasnya termasuklah emak dan emak saudara yang masih tinggal 2-3 arah pergerakan lagi.

Selama 8 hari di Mekah, kami sempat menunaikan umrah sebanyak 4 kali sahaja - dilakukan secara berselang hari. Umrah pertama bermiqat di Bir 'Ali, umrah kedua miqatnya di Ja'aranah, umrah ketiga miqatnya di Hudaibiyah dan kali keempat bermiqat di Tana'im. Bagi sesetengah jemaah pula mereka mengerjakan 7 kali, katanya itu yang dianjurkan. Terserahlah pada keupayaan masing-masing. Cuma lebih banyak umrah dilakukan, lebih banyak perkara dipelajari dan lebih banyak amalan dapat dipertingkatkan.
Justify Full
Secara puratanya, untuk mengerjakan tawaf masa yang diambil kira-kira 20-30 minit, manakala bagi saei pula sekitar 45 min - 1 jam. Senang cerita 1 jam 30 minit. Jadi pandai-pandailah merancang masa, sebaiknya diselesaikan sebelum tiba waktu solat berikutnya.

Malah kami amat menyarankan kepada bakal jemaah haji, (jika berkemampuan) usahakanlah agar dapat menunaikan umrah. Banyak amalan, pelajaran dan pengajaran yang dapat diambil sebagai persediaan haji nanti.

Dari sudut kesihatan, rupa-rupanya diri ini kurang fit - senggal-senggal lutut dan betis/peha dek berjalan ulang alik dari hotel ke masjid, bertawaf dan saei. Itulah dugaannya dan ada pengajaran dan ingatan dari Allah agar lebih bersedia untuk ibadah haji yang lebih mencabar nanti.

Namun, ianya bukan satu halangan ataupun membuatkan diri ini merasa serik. Teringin dan rindu sekali untuk pergi lagi ke Mekah dan melakukan ibadah umrah/haji sebaik yang mungkin. Moga kita semua dipermudahkan Allah SWT. Ameen.

No comments: