Thursday, July 31, 2008

Setahun di Melbourne

Imran kesejukan di Melbourne Airport, baru tiba dari Malaysia

Hari Ini Dalam Sejarah. Rupa-rupanya dah genap setahun kami sekeluarga berada di bumi Australia, lebih khusus lagi di Melbourne.

Masih jelas diingatan, pagi 31hb. Julai, 2007 kami menjejakkan kaki di Melbourne Airport di Tullamarine. Dalam dingin musim sejuk, sekitar 9 darjah Celcius kami menunggu rakan yang tidak pernah dikenali wajahnya, Sdr Aznan dan Sdr Kharuddin datang menjemput. AlhamduliLlah, Celcom 019 yang dibawa dari Malaysia dapat ber-SMS dengan Aznan setibanya kami di ruangan menunggu.

Aznan hanya dikenali melalui emel yang dibagi oleh Sdr Fuad, ketika itu seorang kakitangan di Melbourne MSD. Seterusnya Aznan mengaturkan tempat menginap sementara untuk kami di rumah Khairuddin-Noor Azliza, tidak jauh dari Monash University, Clayton di mana Laili akan mendaftar. Rupa-rupanya Din dan Liza, kedua-duanya orang Terengganu, satu negeri dengan saya.

Anak-anak bermain di belakang rumah Din-Liza
Dalam usaha mencari rumah sewa, kami amat-amat hargai pertolongan dari Din. Ke sana sini dibawanya kami untuk meninjau dan membuat pemeriksaan terhadap rumah yang dihajati sehingga mengorbankan masa kerjanya sendiri. Terasa bersalah pula. Dahlah menumpang di rumah mereka, bebankan mereka dengan masalah kami pula. AlhamduliLlah kami mendapat rumah sewa yang diduduki sekarang di Dandenong selepas 3 minggu menumpang rumah Din-Liza.

Jutaan terima kasih pada Din dan Liza serta Aznan atas pertolongan kalian. Juga pada rakan-rakan lain yang tidak sempat disebutkan namanya di sini terutama di Clayton dan Dandenong.

Hadapan rumah sewa kami di akhir musim sejuk. Sakura mekar berkembang sedangkan pokok di sebelahnya hanya tinggal ranting sahaja
Jarak masa setahun yang dilalui, terlalu banyak pengalaman yang dialami. Dari sikap dan perwatakan manusia kepada persekitaran dan budaya yang pelbagai, sedikit sebanyak mematangkan tindakan dan pemikiran kami. Moga 2 tahun mendatang dapat kami terokai dengan sebaiknya di bawah lindungan dan keredhaan Allah SWT. Ameen.

Monday, July 28, 2008

Cuti-cuti Australia > Main Salji di Mt Baw Baw

Main salji lagi. Hari Sabtu minggu lepas (19/07/2008), seminggu selepas main salji di Lake Mountain, kami ke Mt. Baw Baw pula. Turut serta Azidah, kawan lama Laili sejak di MRSM Kota Bharu lagi, kini bekerja di Melbourne.

Lain-lain foto boleh dilihat di sini atau ke Album Foto Kami di sebelah kiri bawah halaman ini.

Kami bertolak dari rumah kira-kira jam 10:00 pagi. Jarak ke Mt Baw Baw sekitar 135 km, melalui Monash Fwy dan Main Nerrim Rd ke Yarra Junction- Noojee Rd. Kami singgah di Ice Creek untuk menyewa Tyre Chain (AUD 25.00/ sepasang) dan 4 Toboggan (AUD 8.00 sebuah). Tidak banyak kedai sewaan seumpamanya di sepanjang jalan naik ke Mt. Baw Baw. Snow boot yang dicari untuk Izzuddin, Hanisah dan Zidah hanya diperolehi di Snow Hire Shop di Village Centre, Mountain Peak Mt Baw Baw. Lain-lain kelengkapan seperti jaket, seluar, beanie (tutup kepala) dan beberapa snow boot telah pun sedia ada, samada milik sendiri atau dipinjam dari keluarga Abg Nordin yang telah lama berada di Dandenong (Terima kasih Abg Nordin dan Kak Siti).

Jalan menuju ke puncak agak berliku-liku dan sesekali menuruni cerun gunung, sekitar 40 km jaraknya. Kerap kali GPS “pening”, tidak dapat mengesan kedudukan kami. Bayaran masuknya AUD 35.00 per kereta. Tyre chain yang dibawa langsung tidak digunakan (naik dan turun) kerana jalannya tidak licin. Kami tiba di Mountain Peak kira-kira jam 12:30 tengahari. Tersua dengan keluarga Wafir-Suharti, Dr. Ramli-Dr. Nor, Fahmi-Farah dan Mokhtar-Adlina yang bertolak secara konvoi sekitar jam 07:00 pagi dari Dandenong.

Kawasan rekreasi saljinya luas, berkali ganda luas dari Lake Mountain yang dikunjungi sebelumnya. Kelihatan timbunan salji memutih memenuhi kawasan sekitarnya. Sementara menunggu urusan sewaan snow boot, anak-anak tidak melepaskan peluang bermain snow ball. Lapisan saljinya amat lembut dan mudah untuk dikaut tangan dan dibentuk mengikut kehendak hati. Sesekali fresh snow turun, memutih di beanie dan pakaian kami.

Urusan sewaan peralatannya agak mengecewakan, terlalu lama masa terbuang menunggu giliran. Keseronokan anak-anak di Toboggan Run juga terbantut. Lapisan saljinya agak nipis sehingga nampak lapisan tanah di bawahnya. Meluncur ke bawah pula acap kali tersangkut dan terpaksa dikayuh menggunakan tangan. Akhirnya mereka berhenti dan bermain snow ball serta membina snow man di cerun berdekatan. Kesian. Tapi keseronokan masih kelihatan di wajah mereka. Cuma Imran nampaknya tidak selesa dek kesejukan kerana kasutnya dimasuki salji.

(Difahamkan setiap toboggan dikenakan caj masuk ke Toboggan Run sebanyak AUD 5.00. Kami terlepas kerana ketika masuk tiada petugas menjaganya. Selepas itu baru kelihatan. Mengarut betul, di Lake Mountain tak ada pun bayaran seumpamanya)

Dari pemerhatian, terdapat beberapa lagi cerun yang sesuai untuk bermain toboggan, antaranya bersebelahan Visitor Centre lama (kini tandas sahaja). Sayang tidak dibuka untuk umum. Anak-anak dan beberapa orang lagi mencuri main luncur dengan risiko sendiri. Ski Trailnya pula jelas kelihatan bersebelahan Tobogan Run, mengunjur dari aras yang lebih tinggi. Amat sesuai untuk kaki ski dan snow board. Untuk naik ke aras yang lebih tinggi pula disediakan hanger lift.

Selepas makan dan minum teh panas (saat paling seronok), kami beredar turun dari Mt Baw Baw, kembali ke Dandenong. Jam menunjukkan pukul 04:30 petang. Jalannya yang berbengkang bengkok (mengalahkan jalan di Cameron Highland) menyebabkan kepala terasa pening dan tekak meloya. Pengalaman yang amat menyeksakan. Kami tiba di rumah hampir jam 07:00 malam.

Monday, July 21, 2008

Cuti-Cuti Australia > Salji di Lake Mountain

Bersama anak-anak di Toboggan Run
Main salji adalah salah satu pengalaman yang amat diidam-idamkan setiap orang ketika musim sejuk di negara 4 musim seperti Australia. Kami bernasib baik kerana bermukim di Victoria, antara negeri paling selatan di Australia. Walaupun tiada salji yang turun di sekitar rumah seperti yang biasa ditonton dalam filem tetapi ianya boleh ditemui di kawasan pergunungan, antaranya di Lake Mountain, Mt Baw Baw, Mt Buffalo dll. Lebih eksklusif lagi dengan pelbagai aktiviti salji di Mt Buller dan Mt Hotham yang terletak lebih jauh dari Dandenong.
Lain-lain foto, rujuk di sini atau ke bahagian Album Foto Kami di laman web ini (kiri bawah).

Di pertengahan minggu lepas (Khamis, 10/07/2008) bersama kenalan dari Adelaide, keluarga Syidee-Salina dan Lokman-Ida, kami berkunjung ke Lake Mountain, kira-kira 100 km dari rumah kami. Mereka datang ke Melbourne antaranya untuk merasai keseronokan bermain salji. Tujuan mereka adalah untuk ke Mt Buller pada hari Jumaat dan kami pula merancang untuk ke Mt Baw Baw. Setelah dilihat pada Snow Report di internet, didapati Lake Mountain pun telah diliputi salji dan jaraknya tidaklah jauh sangat dari rumah. Maka kami putuskan untuk ke Lake Mountain sahaja. Dan mereka pun turut sama kerana Mt Buller yang ditujui lebih mendekat dari Lake Mountain.

Kami keluar rumah agak lewat, kira-kira jam 11:00 pagi. Dan kami bermalam di Black Spur Motel & Caravan Park di Narbettong, sekitar 35 km sebelum Lake Mountain. Berpandukan GPS, kami melalui Marondah Hwy sehingga Marysville, seterusnya melencong ke Narbettong. Kami tiba di motel kira-kira jam 12:00 tengahari.

Pakaian salji untuk Izzuddin, Hanisah, Solehah dan Imran disewa dari kedai bersebelahan motel dengan harga AUD 20.00 sepasang termasuk kasut dan toboggan (seakan-akan baby bath tub) untuk aktiviti menuruni cerun bukit. Saya dan Laili pula hanya menyewa kasut sahaja, harganya AUD 8.00 sepasang. Sebenarnya pakaian salji mudah sahaja, pakaian tebal dan lapisan luarnya kalis air dan kalis angin. Begitu juga kasutnya.

Rantai tayar (tyre chain) juga disewa, harganya AUD 13.00 sepasang untuk dibaluti pada tayar hadapan kereta ketika mendaki laluan licin dilitupi salji. Bagi 4WD, rantai ini tidak diperlukan. Makluman samada perlu dipasang rantai tayar atau tidak, boleh diperolehi dari pekedai setelah mereka mendapat maklumat dari pihak Alpine Resort Manangement yang menguruskan kawasan riadah salji berkenaan. Ianya bergantung kepada terdapat salji di atas jalan ataupun tidak. Dan pemandu akan ditanya sewaktu membayar tiket masuk. Menurut pekedai tersebut, suhunya ketika itu adalah -1 darjah Celcius dan amat sesuai untuk melakukan aktiviti bermain salji. Jalan pula licin dan basah dengan ais yang mencair.

Dengan 3 buah kereta, kami mula bergerak menuju ke Lake Mountain sejauh 33 km selepas makan dan solat, kira-kira jam 02:00 petang. Untuk masuk ke Lake Mountain, tiketnya berharga AUD 35.00 per kereta, dibayar di hentian masuk. Laluannya sedikit berliku-liku. Pepohonan alpine tumbuh tegak menyapu awan memayungi laluan kami. Pemandangan hijau yang amat mengasyikkan.

Semakin ke atas, tompokan salji mula kelihatan di tepian jalan dan di dahan-dahan pokok. Semakin tinggi pendakian, kami semakin teruja dengan pandangan memutih makin ketara di sekitar kami. Pepohonannya sarat disaluti salji dan pinggiran jalan pula membukit timbunan saljinya. Teringat akan suasana dalam filem Narnia.

Kami singgah di hentian 8 km selepas pintu masuk untuk memasang rantai pada tayar. Dataran yang mula dipenuhi salji. Sementara kami berhempas pulas memasang rantai (sebab tiada pengalaman), anak-anak pula tidak melepaskan peluang bermain salji.

Perjalanan diteruskan sehingga ke Gerratys Car Park. Bersebelahannya terdapat 3 Toboggan Run. Inilah yang ditunggu-tunggu oleh anak-anak. Dengan toboggan masing-masing, mereka meluncur turun dari atas cerun ke bawah. Walaupun ketinggian cerunnya hanya sekitar 70 meter sahaja tetapi cukup untuk mencabar keberanian mereka.

Kami, ibu bapa juga tidak melepaskan peluang. Sambil melayan dan mengawasi keghairahan mereka, sesekali kami turut sama meluncur turun bersama anak-anak.

Ada ketikanya mereka berhenti penat sambil bermain snowball dan juga membina snowman. Lebih menyeronokkan lagi, kerap kali fresh snow turun bagaikan tempiasan hujan, memutih melekat di pakaian kami. Pengalaman yang tidak dapat dirasai di tanah air. Bersyukur atas kurniaNya. Segala puji untuk Allah SWT, Tuhan semesta alam.

Di samping Toboggan Run, terdapat juga lebih 10 Ski Trails untuk pengemar ski, bermula dari Easiest Trails sehinggalah Most Difficult Trails. Kelas ski juga disediakan kepada yang berminat dengan bayaran tertentu. Kepada yang sukakan aktiviti lasak, terdapat juga Walking Track sejauh kira-kira 2.5 km dari Snowy Hill Car Park sehingga Gerattys Car Park.

Kami di Toboggan Run sehingga gelap malam mula menjengah (05:30 malam). Tiada lagi pengunjung lain kecuali kami tiga sekeluarga. Anak-anak nampaknya masih belum puas. Apakan daya. Insya Allah di lain ketika kami datang lagi.

Di hadapan Black Spur Motel bersama keluarga Syidee-Salina dan Lokman-Ida

Kami beredar turun ke hentian 8 km untuk merungkai balik rantai yang dipasang pada tayar. Seterusnya meredah gelap malam menuruni laluan kembali ke motel sewaan. Kami tiba di Black Spur kira-kira jam 06:30 malam. Barangan sewaan dipulangkan terus (kedainya ditutup jam 07:00 malam). Selepas makan dan solat, kami terus tidur dalam kepenatan.

Keesokannya, selepas sarapan, masing-masing menuju arah tujuan masing-masing. Keluarga Syidee-Salina dan Lokman-Ida meneruskan perjalanan ke Mt Buller, manakala kami sekeluarga pulang ke Dandenong. Insya Allah ketemu lagi.

Tuesday, July 15, 2008

Cuti Penggal Kedua

Semalam, anak-anak kembali ke sekolah, menandakan bermulanya Penggal Ketiga persekolahan mereka (14 Jul – 19 Sept). Izzuddin, Hanisah dan Solehah di Dandenong North Primary School, manakala Imran di Dandenong North-East Kindergarten.

Dua minggu bercuti Penggal Kedua (28 Jun - 13 Jul) tidak serancak cuti-cuti penggal sebelum ini. Mereka lebih banyak masa di rumah. Minggu pertama, ibunya agak sibuk dengan seminar dan juga kerja kursus. Tambahan pula cuaca musim sejuk agak terasa kedinginannya hinggakan tidak selesa untuk berada di luar rumah. Mereka hanya dibawa ke Dandenong Library untuk pinjam buku dan DVD. Juga ke Dandenong Plaza untuk melepaskan rasa bosan sambil menyertai aktiviti mewarna Shrek yang diadakan di ruang legarnya. Hujung minggunya pula ke Mt Waverley Community Centre untuk mengikuti Forum Perdana Islam anjuran Komuniti Melayu Islam Victoria (KMIV).

Pertengahan minggu kedua, kami dikunjungi kenalan dari Adelaide; keluarga Syidee-Salina dan keluarga Lokman-Ida. Mereka bermalam di rumah kami. Mereka datang melancong ke Victoria, antaranya menghayati keindahan pantai dan batuan arca di Great Ocean Road, membeli belah dan berjalan-jalan di Melbourne CBD dan bermain salji di Lake Mountain dan Mt Buller. Kami sekeluarga juga turut serta bersama mereka ke Lake Mountain.

Penghujung minggunya anak-anak sibuk menyiapkan kerja sekolah mereka. Izzuddin dan Hanisah dengan penganalisaan artikel berkaitan Olympic Games Beijing 2008, manakala Solehah pula dengan booklet cerita bergambarnya, The Baby Fish. Imran pula seperti biasa, turut sibuk dengan kreativitinya dalam Microsoft Powerpoint. Adakala berebut komputer bersama abang dan kakaknya.

Monday, July 14, 2008

Khabar Saudara Di Tanah Air

Di Malaysia, saya berada di Terengganu selama 2 minggu, seterusnya beberapa hari pula di Ulu Klang serta Kg. Bukit Bangkong sebelum bertolak balik ke Melbourne pada pagi 27/06/2008.

Setelah hampir setahun di bumi Australia, dikhabarkan beberapa saudara mara telah pun meninggal dunia. Di Terengganu, Tok Su Li Pulau Bahagia (sememangnya telah lama menderita sakit) dan jiran sebelah rumah, Ayah Long Latif serta Mak Dara (isteri Guru Hj Mohd Baki). Di Lembah Klang pula, telah sedia maklum Atuk Ahmad Bajuri dan Pak Cik Sabaruddin. Al-Fatihah…Bersama Mak dan Abah serta Bat da Aya, sempat kami berkunjung ke rumah Mak Cik Sainah (isteri arwah Pak Cik Sabaruddin) di Kerinchi pada 22/06/2008 malam.

Mak dan Abah sebenarnya baru pulang ke tanah air pada 21/06/2008 setelah hampir 3 bulan tinggal bersama kami di Melbourne.

Di tanah air, bersama Che’ serta Mak dan Abah, kami juga sempat menziarahi saudara-mara yang telah pun lanjut usia dan berkeadaan uzur. Di Terengganu, kami menjenguk Tok Cik Pah di Kg. Manir (adik kepada arwah Tok (nenek), ibu saudara kepada ayah). Tok Cik dah pelupa (nyanyuk) dan kini dijaga oleh anaknya, Mak Cik Yah serta menantunya, Ayah Cik Ramli. Kami juga ke rumah Tok Da Cik Mahir di Kg. Teluk Menara. Tok Da kini mengidap penyakit jantung dan sering kepenatan. Suaminya masih ada tetapi nampaknya tidak berapa sihat.
To Cik Ning pula hanya ditemui ketika dia datang singgah ke rumah. Nampaknya tidaklah berapa sihat juga. Begitu juga To Ngah Jarah yang bergantung kepada balang oksigen untuk bernafas. Tok Cik Nik pun dah lama tidak kelihatan berjalan-jalan. Khabarnya sedang uzur di rumahnya.

Pada 26/06/2008, bersama Mak dan Abah, kami pulang ke Kg. Bkt Bangkong. Tumpuan kami adalah Atuk Sulaiman. Walaupun usia atuk agak tua, 94 tahun tetapi nampaknya masih sihat waalafiat, sama seperti ditinggalkan ketika sebelum ke Melbourne dulu. Cuma makan minumnya sedikit berpantang kerana menghidap kencing manis.

Kami juga singgah di rumah Nenek Jumilah, adik kepada Atuk Sulaiman. Umurnya juga dah lanjut, kira-kira 90 tahun. Banyak bercakap, macam dulu-dulu tetapi sering lupa (nyanyuk). Malah Mak dan Abah pun tidak dikenalinya tetapi masih ingat siapa Hj. Sulaiman.

Tidak dilupakan kami menziarahi adik ipar Abah, Pak Cik Baharom, suami Mak Cik Tugini. Ketika di Melbourne, dikhabarkan telah menjalani pembedahan kerana ketumbuhan di bahagian pinggang. Tak disangka-sangka, tiba-tiba diserang pula angin ahmar @ strok sejak 2 minggu sebelum kami berkunjung. Terbaring di katil dengan lumpuh di sebelah kanan. Menurut Abah dan Mak, keadaannya serupa dengan arwah Atuk Zubir yang meninggal sekitar 15 tahun lalu.

Begitulah lumrah ketentuanNya. Yang hidup pasti akan mati. Yang muda akan menjadi tua (jika dipanjangkan usia). Yang sihat juga mungkin “disapa” sakit tanpa dapat dijangka. Yang didambakan adalah keredhaan. Sebagai hamba, kita redha atas ketentuanNya. Diharapkan juga moga Allah SWT redha ke atas kita. Ameen.

Saturday, July 5, 2008

Menjenguk Che' di Terengganu

Dah seminggu saya kembali ke Melbourne setelah hampir 3 minggu pulang secara mengejut ke Malaysia. Pulang menjenguk Che’ (ibu) di Terengganu yang tiba-tiba ditahan di Wad 8CD, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), disyaki menghidap sakit jantung. Puncanya Che’ kelihatan amat lemah dan terasa sakit di ulu hati. Dipercayai tanda-tandanya telah lama dialami. Namun Che' tidak suka menyusahkan ahli keluarga dan lebih rela menanggungnya sendiri.

Dr. Wan Fazidah dari Klinik Wan Fazidah, Batu Enam mengesyaki ada masalah penyaluran darah ke jantung, mungkin disebabkan injap atau salur darah yang tersumbat. Dengan usaha Kak Long setelah mendapat Surat Rujukan dari Dr. Wan Fazidah, Che’ terus dibawa ke Unit Kecemasan HSNZ sebelum dimasukkan ke wad.

(Info : Dr. Wan Fazidah bolehlah dikatakan doktor keluarga kami. Beliau adalah rakan sekelas Kak Long ketika di SK Manir. Juga kenalan rapat Laili sewaktu belajar di peringkat Medical Degree di UKM)

AlhamduliLlah, setelah 3 hari 3 malam di wad, Che’ dibenarkan pulang ke rumah dengan dibekalkan ubat-ubatan untuk 2 bulan. Menurut Dr. Fadzlina yang merawatnya, anginanya tidak stabil di mana terdapat salur darah ke jantung yang tersumbat. Rawatan susulan di MPOD @ Kompleks Klinik Harian, HSNZ akan bermula 10/08/2008. Keadaannya sekarang stabil. Che' dinasihatkan kurangkan sedikit keaktifannya menguruskan dapur dan kedai ketika di rumah.

Jutaan terima kasih pada adik-beradik yang amat mengambil berat keadaan Che’ terutama Kak Long yang mengusahakan langkah terbaik untuk Che’ serta menjaga Che’ ketika malamnya. Jika dilihat secara lebih mendalam, betapa banyak hikmah yang terjelma dari perencanaanNya.

Ya Allah, kupohonkan ampunanMu. Kurniakanlah kesihatan kepada Che’ dan juga Ayah. Jadikanlah kami adik beradik, anak-anak yang sentiasa menyanjungi dan menyayangi kedua-duanya. Himpunkanlah kami semua dengan ikatan kekeluargaan yang harmoni dan ukhwah yang suci. Ameen Ameen Ya Rabbal ‘a la min.