Sunday, February 28, 2010

Kenalan Lama Bertemu di Melbourne

Dari masa ke semasa, silih berganti, pegawai perubatan @ doktor dari Malaysia yang datang ke Melbourne sentiasa bertambah. Ada yang menyambung pengajian ke peringkat PhD, ada yang mengikat kontrak kerja dan ada juga dihantar oleh majikan untuk menimba pengalaman kerja.
Menariknya, sebahagian daripadanya telah pun saling kenal mengenali antara satu sama lain sejak di tanah air lagi, samada ketika belajar di peringkat sarjana mahupun sarjana muda, bekerja di tempat yang sama ataupun melalui kenalan rapat lain.

Di sekitar Dandenong-Springvale-Clayton (SE Group) sahaja terdapat kira-kira 12 orang, ditambah pula dengan beberapa orang lagi di komuniti lain terutama di bahagian utara. Sebilangannya adalah rakan kenalan Laili dari kalangan pengamal Family Medicine. Beberapa orang daripadanya baru sahaja menjejakkan kaki ke bumi Melbourne dalam sebulan dua ini, menyertai rakan-rakan lain berkampung di Clayton.

Sesekali dapat berkumpul sesama kenalan lama, kemeriahannya amat terasa. Kemesraannya masih segar walaupun telah lama tidak bersua. Nostalgia lama mudah sahaja terungkap kembali, diselangi gelak ketawa apabila sesuatu yang melucukan diungkitkan.

Demikianlah suasananya di rumah Dr. Zamberi-Dr. Harlina di Gissing St, Blackburn South pada petang semalam. Jemputan rakan-rakan seangkatan bersama keluarga masing-masing sambil meraikan rakan-rakan yang baru tiba. Bolehlah juga dianggapkan sebagai house warming setelah mereka berpindah ke rumah sewa baru yang lebih selesa kira-kira sebulan yang lalu.
Perkumpulan wanitanya tertib duduk bersimpuh di beranda, manakala perkumpulan lelaki pula mengelilingi meja kecil di laman belakang. Masing-masing dengan perkongsian cerita dan al-kisahnya yang tersendiri sambil menjamu selera termasuk BBQ lamb, ayam dan udang.

Di samping kami sekeluarga, antara lain-lain kenalan yang turut hadir adalah keluarga Dr. Intan Hakimah dari Pascoe Vale, Dr. Azim-Dr. Rafidah dari Heidelberg, Dr. Suhaimi, Dr. Radziah, Dr. Norhana, Dr. Zaiton, Dr. Norzila, Dr. Ambiga dan Dr. Anis dari Clayton serta Dr. Ashrenee dari Springvale.

Wednesday, February 24, 2010

Curiga di Bumi Asing

Pagi Isnin, dua tiga hari lalu, kita dikejutkan dengan berita kematian tragis Mohd Shah Saemin, pemandu konsulat Malaysia di Sydney. Menurut saksi, 2 orang samseng jalanan telah menghentak Allahyarham Mohd Shah dengan penukul, ditikam berkali-kali, disepak dan ditinggalkan sendirian sehingga menemui ajal di hadapan rumahnya di Marion Street, Leinchhardt.

Sekalung takziah kepada keluarga Allahyarham di Melaka yang sedang menunggu ketibaan jenazahnya. Moga roh Allahyarham Mohd Shah dihimpunkan di kalangan hamba-hambanya yang diredhaiNya. Ameen. Al-Fatihah.

Berita mengenainya masih lagi tersiar di media massa di Australia terutama di Sydney. Setakat ini salah seorang suspek berusia 55 tahun telah ditahan polis. Moga semua yang terlibat dapat ditahan dan dikenakan hukuman yang setimpal.

Begitulah realiti keganasan dan ketidak tamadunan manusia di zaman moden kini. Hampir saban hari ada sahaja berita seumpamanya disiarkan. Bukan sahaja berlaku di bumi Australia ini tetapi juga di seluruh dunia termasuk di bumi tercinta Malaysia.

Nafsu amarah manusia mengatasi segala-galanya. Maruah dan nyawa orang lain bagaikan tiada harganya asalkan keegoan diri (kononnya) dapat dipertahankan. Bertepuk soraklah sang Iblis dan kuncu-kuncunya meraikan kemenangan ke atas manusia, musuh nombor satunya. Itulah janji Iblis kepada Allah SWT ketika dihalau keluar dari syurga dan bakal menghuni neraka.

Berada di bumi asing Melbourne ini juga tiada bezanya dengan di Sydney. Lebih-lebih lagi di negara non-Muslim. Dengan pelbagai isu Islam yang sering diputar-belitkan, dikaitkan pula ‘keganasan’ oleh individu Muslim boleh melahirkan pandangan serong kepada masyarakat yang tidak memahaminya. Ditambah pula dengan isu anti-Asia yang diperjuangkan oleh segelintir pemimpin politik boleh menyemarakkan lagi kebencian setempat. Inilah yang amat ditakuti.

Justeru itu, langkah berjaga-jaga sentiasa menjadi keutamaan kami. Berjalan malam amat dielakkan, walaupun berkenderaan. Berjalan di siang hari juga perlu berhati-hati, jangan tersinggung hati orang lain, lebih-lebih lagi di jalan raya. Muka pun perlu sentiasa manis.

“Ya Allah, kurniakanlah keselamatan dan perlindungan kepada kami sekeluarga dari segala musibah. Juga keselamatan dan perlindungan kepada mereka yang lain di sekeliling kami. Ameen Ya Rabbal ‘aa Lamin"

Tuesday, February 16, 2010

Kunjungan Desa Bundoora

Petang Sabtu hujung minggu baru-baru ini, atas nama persahabatan, rakan-rakan dari Desa Bundoora-DB (utara) berarak turun ke selatan. Kunjungan balas mereka atas kunjungan keluarga South Eastern (SE) ke Bundoora pada akhir tahun lepas. Destinasinya adalah padang kampus cawangan Monash University di Berwick, kira-kira 10 km dari Dandenong.
Sebahagian foto dapat dilihat di Album Foto Kami (Bundoora @ Berwick) atau klik di sini.
Agendanya, di samping dapat bertemu muka, beramah mesra dan saling mengukuhkan silaturrahim, turut sama dilangsungkan perlawanan bola sepak untuk anak-anak/junior dan kaum bapa/senior serta perlawanan bola jaring untuk kaum ibu/wanita.

Keadaan cuaca pada hari berkenaan sedikit mengusarkan. Paginya hujan turun renyai-renyai dan diramalkan rebut petir di sebelah petangnya. AlhamduliLlah... cuacanya baik sekali, mendung berpanjangan, sesekali dilimpahi cahaya matahari yang menyegarkan dengan suhu sekitar 23C. Moga itu tandanya pertemuan kami diberkati olehNya.
Melewati jam 3:00 petang, padang Monash mula dipenuhi pengunjung. Keluarga SE mula mengaturkan meja-meja hidangan dengan pelbagai juadah yang 'mewah' sekali. Bertali arus ianya dikerumuni dari awal sehinggalah ke akhirnya. Makan dan minum semahunya sambil berkenal-kenalan dan beramah mesra serta menonton setiap perlawanan yang dilangsungkan.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Sdr Rudie mewakili South Eastern Group dan Sdr Neezam mewakili Desa Bundoora.
Perlawanan persahabatan dimulakan dengan bola sepak untuk anak-anak. Pada masa yang sama dilangsungkan perlawanan bola jaring untuk kaum wanita. Perlawanan terakhir sebagai penutup tirai adalah bola sepak untuk kaum lelaki. Setiap pasukan turun dengan baju rasmi masing-masing; SE dengan baju kuning, manakala DB dengan baju belang hijau-kuning-putih.
Umumnya, setiap perlawanan berlangsung dalam suasana ceria, disulami semangat kesukanan yang tinggi. Dalam keghairahan mencari kemenangan, ada ketikanya tercetus juga beberapa kejadian kekasaran. Namun segalanya berlalu penuh harmoni. Moga tiada yang menyimpan duka dan dendam di lubuk hati.
Keputusan perlawanan : Bola sepak junior diungguli oleh pasukan Bundoora. Bola jaring pula, pasukan SE mengalami kekalahan tipis. Manakala bola sepak senior berkesudahan seri.
Menang , kalah dan seri adalah adat permainan. Yang penting adalah semangat kesukanan dan keserasian ukhwah Islamiah menjadi tonggak penyeri. Moga persahabatan terus kekal abadi selamanya. Itulah matlamat sebenar pertemuan diaturkan.
Setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada pihak penganjur di kedua-dua belah pihak; South-Eastern Group dan Desa Bundoora.

Monday, February 15, 2010

Almarhumah Selamat Dikebumikan

AlhamduliLlah, jenazah Almarhumah Hajjah Rokiah selamat disemadikan di Bunurong Memorial Park, Dandenong South kira-kira jam 2:00 petang tadi. Segala urusan memandi, mengkafan dan menyolatkan jenazah dilakukan sebelum solat Zohor di Masjid ISOMER, Lysterfield.
Jenazah sedang diusung keluar dari ruang masjid selepas disolatkan
Imam solat jenazah dan pembacaan talqin di tanah perkuburan adalah guru agama Almarhumah sendiri, yakni imam masjid berkenaan.
Kehadiran sahabat handai dan rakan taulan terutama etnik Melayu amat menggalakkan. Terlebih lagi di tanah perkuburan. Itupun kerana hari ini hari berkerja. Jika hari cuti kehadirannya pasti lebih ramai lagi.
Demikianlah, betapa murninya ukhwah Islamiah yang sedia terjalin. Walaupun jauh dari sanak-saudara di tanah air, namun keakraban persaudaraan di perantauan tiada tolak bandingnya.
Kehadiran beberapa rakan South Eastern (SE) di masjid dan tanah perkuburan amat dialu-alukan; antaranya Rudy, Ashrenee, Suraya, Suharti, Zainah dan Norzila. Berbanyak terima kasih kerana dapat meluangkan masa untuk sama-sama memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum. Juga kepada rakan-rakan lain yang tidak berkesempatan tetapi turut sama menghadiahkan Al-Fatihah, membacakan surah Yassin dan mengerjakan solat jenazah ghaib untuk Almarhum.
Suasana syahdu di tanah perkuburan
Pemergian Almarhumah amat dirasai lebih-lebih lagi di kalangan kaum wanita, rakan kenalan rapat Almarhum. Ramai yang menitiskan air mata ketika melihat jenazahnya diturunkan ke liang lahad, ditimbus dan dibacakan talqin ke atasnya. Moga roh Almarhumah sentiasa dilimpahi rahmat olehNya. Ameen.
Begitulah aturan kehidupan. Setiap yang hidup pasti akan merasai mati. Hanya Allah SWT yang mengetahui bila masa dan tempatnya. Yang pergi pasti tidak akan kembali lagi. Tinggallah yang hidup meneruskan kehidupan yang berbaki sambil menanti tibanya giliran yang pasti.

Sunday, February 14, 2010

TAKZIAH : Hajjah Rokiah Meninggal Dunia

Petang ini khabar duka diterima dari Kak Arifah, “Kak Kiah dah meninggal dunia malam tadi”. InnaliLlahi wainna ilaihirajiun....
Terpana seketika kami sekeluarga mendengarnya. Semuanya terdiam. Tanpa disedari air mata keharuan bergenang. Terasa benar akan kehilangan seorang insan yang amat baik, penyayang dan rapat dengan keluarga kami.
Kami sedang berkira-kira untuk menziarahinya di Rehabilitation Centre di Wantirna. Solehah baru sahaja diminta untuk menyediakan kad ucapan untuknya. Baru 2 minggu lepas arwah dipindahkan ke sana dari Box Hill Hospital untuk menjalani rawatan pemulihan selepas menjalani pembedahan ke atas paru-parunya beberapa bulan lalu.
Pada hari ulang tahun kelahirannya lalu (25/12/2009), kami sekeluarga bersama beberapa keluarga dari Dandenong telah melawat arwah di Box Hill Hospital. Masih jelas lagi akan keceriaan pada wajahnya melihat anak-anak kami (cucu-cucunya) menyanyikan lagu Happy Birthday.
Apabila mendapat khabar arwah dipindahkan ke Rehabilitation Centre, kami menerimanya penuh syukur. Tinggi harapan kami moga kesihatannya bertambah baik dan sampai ketikanya nanti dapat pulang semula ke rumahnya.
Apakan daya... segalanya ketentuan Allah SWT. Menurut Kak Arifah, pagi semalam arwah mengalami sesak nafas, terus dihantar kembali ke Box Hill Hospital. Dan sekitar jam 10:00 malam tadi arwah menghembuskan nafas terakhirnya... Sesungguhnya dari Allah ia datang, kepada Allah ia dikembalikan... Al-Fatihah....
Insya Allah, kira-kira jam 10:00 pagi esok, arwah akan dimandi, dikafan dan disolatkan di Masjid ISOMER di Wellington Rd, Lysterfield – masjid di mana arwah kerap kunjungi dalam usaha mendalami pengajian agamanya. Seterusnya akan dikebumikan di Bunurong Cemetery, Dandenong.
Kepada para penjenguk blog semua, walaupun tidak mengenali arwah, sama-samalah kita hadiahkan surah Al-Fatihah dan doakan setulus hati moga rohnya sentiasa dirahmati Allah SWT dan dihimpunkan di kalangan hamba-hambanya yang bertaqwa... Ameen.
AL-FATIHAH.

Tuesday, February 9, 2010

Memperingati Black Saturday

Tanggal 7 Februari 2009 (Sabtu) tertacak kemas dalam ingatan setiap warga Australia di Victoria. Pada hari itu suhunya amat panas, kira-kira 47 darjah Celcius. Dan pada hari itulah tercetusnya peristiwa mengharukan yang menyaksikan seramai 173 rang terkorban dalam kebakaran besar (inferno). Sebahagian besar Victoria hangus. Yang tinggal hanyalah pepohonan rentung dan runtuhan rumah sahaja. Itulah peristiwa yang dikenali sebagai Black Saturday.

Kelmarin, Ahad (7 Februari, 2010), seluruh Victoria (juga Australia) berkabung, mengimbasi kembali kedukaan yang dirasai setahun lepas. Dari Marysville ke Bendigo, Kinglake ke Churchill dan di mana-mana sahaja... mereka berkumpul, terutama di kalangan ahli keluarga, kenalan rapat mangsa yang terkorban mahupun tercedera dan juga pasukan penyelamat. Bendera dinaikkan separuh tiang dan masing-masing berpegangan tangan dan berpelukan sambil mengalirkan air mata kesedihan.

Tahun ini, setakat ini, kepanasan musim panasnya tidak menentu. Ada ketikanya mencecah hampir 40 darjah Celcius dan adakala sejuk nyaman di sekitar 22 darjah Celcius. Langkah berjaga-jaga dengan disertai amaran kepada orang ramai sentiasa diuar-uarkan sebagai ingatan. Kealpaan dan sikap mengambil mudah menjadi pengajarannya. Sekelip mata sahaja ianya boleh berlaku... Itulah kekuasaan Allah SWT.
FirmanNya dalam Surah Yasin, ayat 82, mafhumnya :

“Sesungguhnya apabila Dia menghendaki sesuatu, hanyalah Dia berkata : Jadilah, maka jadilah ia”

Sunday, February 7, 2010

Belanja Sekolah

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang bersekolah, awal tahun sememangnya amat memeritkan. Lagi ramai yang bersekolah lagi terasa peritnya. Lebih-lebih lagi jika ada yang baru memulakan persekolahan atau berpindah sekolah. Begitulah rutinnya hampir setiap tahun. Tidak kira di mana berada. Itulah juga yang kami rasai di bumi Australia ini.

Pada tahun ini, kesemua 4 orang anak kami memasuki alam persekolahan sepenuhnya. Dua orang di sekolah menengah (Dandenong High School) dan 2 orang lagi di sekolah rendah (Dandenong North Primary School).

Kami bersyukur kerana semua anak mendapat perlepasan di bawah peruntukan Dependence Visa kerana ibunya mengikuti pengajian lepasan ijazah di bidang penyelidikan. Jika tidak mereka akan dikategorikan sebagai pelajar antara bangsa dengan bayaran belajar kira-kira AUD 8,000 (lapan ribu) setahun untuk seorang. Bayangkan jika 4 orang anak. Itulah yang dihadapi oleh sebahagian ibu bapa yang mengikuti pengajian di negeri-negeri yang tiada peruntukan seumpamanya seperti di Queensland, New South Wales dan Tasmania.

Sebagai tambahannya, kami juga bersyukur kerana Hanisah mendapat School Start Bonus Voucher sebanyak AUD 300 yang diberikan kepada setiap pelajar yang memasuki Year 7 (awal sekolah menengah). Dapatlah menampung sebahagian perbelanjaannya. Imran yang mula bersekolah di sekolah rendah juga sepatutnya dapat tetapi sehingga kini tiada khabar beritanya…

Namun begitu masih banyak lagi perbelanjaan persekolahan yang perlu dikeluarkan terutama di peringkat sekolah menengah.

Yuran Pengajian & Program

Bayarannya berbeza mengikut sekolah. Sesetengah sekolah menggabungkan yuran pengajian dan program berkala untuk pelajar dalam satu senarai bayaran wajib. Sebahagiannya pula hanya menyenaraikan yuran pengajian sahaja. Bayaran program berkala dibayar apabila tiba masanya. Bagi Dandenong North Primary School (DNPS) dan Dandenong High School (DHS), mereka mengguna-pakai kaedah kedua.

Di DNPS, surat pembayarannya telahpun diedarkan. Yuran tahunannya sebanyak AUD 112.50 seorang (untuk 2 orang = AUD 225.00). Ianya meliputi semua kelengkapan pembelajaran termasuk alat tulis, buku kerja, buku tulis, kemudahan komputer dan internet, bahan-bahan seni, jemputan penceramah dan lain-lain yang bersangkutan dengannya. Tiada lagi bayaran tambahan kecuali untuk program/aktiviti untuk pelajar.

Di DHS pula, yurannya telah pun dijelaskan ketika sesi pendaftaran pada bulan Disember 2009 lalu. Untuk Hanisah yang baru melangkah masuk ke sekolah menengah, bayarannya AUD 350, manakala Izzuddin pula AUD 305 (semuanya AUD 655). Itu hanya yuran pengajian sahaja. Alat tulis, buku teks, buku kerja, buku tulis dan lain-lain perlu dibeli sendiri.

Kelengkapan Belajar

Di sekolah rendah, kesemuanya disediakan, termasuk dalam bayaran yuran tahunan. AlhamduliLlah.

Di sekolah menengah berbeza pula. Buku teks dan buku kerjanya bukanlah murah harganya. Harga buku teks antara AUD 40 – AUD 60 sebuah. Harga buku kerjanya pula antaranya AUD 15 – AUD 30 sebuah. Jumlah keseluruhan untuk seorang mencecah sehingga AUD 400.

Kami bernasib baik kerana musim pertukaran silibus belum tiba saatnya. Maka bolehlah buku teks lama Izzuddin diguna semula oleh Hanisah. Buku teks Izzuddin pula dibeli dari rakan-rakan lamanya yang naik ke Year 9 dengan harga istimewa atau dari lelongan Ebay. Hanya buku kerja yang dibeli baru. AhamduliLlah dapatlah dikurangkan belanja secara puratanya sehingga AUD 200 seorang.

Belanja pembelian alat tulis dan buku tulis untuk Izzuddin dan Hanisah tidaklah banyak sangat. Beli apa yang dirasakan perlu sahaja, selebihnya boleh dibeli kemudian. Tidak semua senarai alat tulis perlu dibeli. Pengalaman di tahun lepas perlu diambil iktibar.

Pakaian Seragam

Bagi pelajar sekolah rendah atau menengah, pakaiannya bergantung kepada sekolah masing-masing. Ada sekolah yang mewajibkan pakaian berlogo sekolah, pasti harganya mahal sedikit. Ada sekolah pula tidak mewajibkannya, cukup sekadar menyamai warna yang dibenarkan sahaja.

Bagi Solehah dan Imran, sekolah mereka memilih kaedah kedua. Jimatlah belanja. Tambahan pula mereka berdua mewarisi pakaian kakak-kakak mereka. Jika tidak pun boleh dibeli dengan harga murah di kedai-kedai dengan harga di bawah AUD 10.00.

Bagi Izzuddin dan Hanisah lain pula ceritanya. Sebahagian besar pakaian mereka adalah berlogo sekolah atau sewajarnya menepati fesyen yang ditetapkan. Jadi perlulah dibeli baru dengan harga yang mahal.

Pakaian Izzuddin di tahun lepas masih boleh dipakai. Pakaian yang sama sepanjang tahun. Kemeja biru tanpa logo, seluar kelabu dan kasut kulit hitam boleh dibeli di mana-mana. Cuma jumper dan tali leher (untuk musim sejuk) serta pakaian sukan dengan logo sekolah yang perlu dibeli baru. Itu pun telah selesai pada tahun lepas.

Perbelanjaan pakaian sekolah untuk Hanisah yang baru memasuki sekolah menengah agak tinggi. Tambahan pula fesyen musim panas dan musim sejuk berbeza. Satu set pakaian musim panasnya sahaja kira-kira AUD 300. Untuk musim sejuknya pula perlu tambahan sebanyak AUD 100.

Begitulah secara umum perbelanjaan persekolahan untuk tahun 2010 ini. Jumlah keseluruhannya sekitar AUD 1, 500 setelah ditolak voucher yang diterima oleh Hanisah.

Jika dilihat pada nilai duit yang perlu dikeluarkan secara sekaligus, pasti sahaja dikatakan amat membebankan. Namun semuanya itu tanggungjawab yang perlu dipikul oleh para ibu bapa bagi memastikan anak-anak mendapat keselesaan dalam menuntut ilmu. Tidak seharusnya dianggap sebagai satu bebanan. Anggaplah ianya satu pelaburan untuk masa hadapan yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang. Hanya redha Allah SWT diharapkan.

Friday, February 5, 2010

Sekolah Dibuka

Cuti sekolah musim panas telahpun berakhir. Mulai hari Isnin, 01/02/2010 bermulalah era baru persekolahan di Victoria, Australia bagi Penggal 1/Semester 1 2010. Rutin harian anak-anak kembali sibuk selaku pelajar sekolah.

Hari pertama persekolahan Penggal 1 /2010
Anak sulung kami, Izzuddin kini melangkah setangga lagi ke Year 8 di Dandenong High School (DHS). Hanisah pula meninggalkan sekolah rendahnya, bertukar seragam sekolah ke sekolah menengah, memasuki Year 7, juga di DHS. Solehah kini di Grade 4 di Dandenong North Primary School (DNPS). Turut serta bersamanya di DNPS adalah anak bongsu kami, Imran yang memulakan persekolahannya di Preparatory Class (Prep).

Keseronokan jelas terpancar di wajah anak-anak. Rindu untuk berjumpa rakan-rakan lama serta guru-guru yang penyayang.

Bagi Izzuddin, tiada apa perubahan ketara. Minggu pertama persekolahan, semua pelajar Year 8 telah dibawa berkelah di Mordialloc Beach. Hanisah berserta pelajar Year 7 juga terlibat sama, tapi pada hari yang berlainan. Kedua-duanya diletakkan di rumah yang sama, Callistemon House. Begitulah lazimnya bagi yang bersaudara mahupun mempunyai pertalian darah.

Bagi Hanisah, gaya dan sahsiah pelajar sekolah menengah nyata jauh berbeza dari alam sekolah rendah. Dalam banyak hal, mereka perlu menguruskan masa dan tugasan dengan daya usaha sendiri. Itulah cabarannya.

Bagi Solehah, tanggungjawabnya sedikit bertambah. Kini mempunyai adik yang perlu diambil perhatian. Apatah lagi Imran kini di peringkat awal persekolahan sekolah rendah.

Imran di pangkuan guru kelasnya, Mrs Slatter
Bagi Imran pula, suasana dan persekitaran pembelajaran di sekolah rendah jauh berbeza dari kindergarten yang diikutinya sebelum ini. Imran nyata memahaminya dan sering ‘berlagak lebih dewasa’. Katanya,”Now I’m a boy, not a toddler anymore”.

Secara peribadi, kami tidak merasa gusar dengan sistem pembelajaran di sini. Tiada perbandingan siapa yang lebih pandai. Juga tiada peperiksaan yang membuat mereka rasa tertekan. Malah tiada bebanan kerja sekolah yang bertimbun.
Ketika sesi taklimat dahulu, seorang guru pernah berkata,”Usah menekan anak-anak untuk menjadi pintar, biarkan kami mendidik dan membentuk mereka mengikut keupayaan dan kelebihan diri masing-masing”. Terima kasih, cikgu.

Mungkin kerana itulah, anak-anak begitu seronok sekali untuk pergi ke sekolah. Hubungan guru-pelajar juga akrab sekali, seakan ibu/ayah dan anak terutama di peringkat sekolah rendah.

Tuesday, February 2, 2010

Berkunjung Ke Wilsons Prom

Wilsons Promontory National Park (panggilan singkat, Prom) sememangnya terkenal dengan keindahan alam semulajadi dengan kawasan hutan dan pesisiran pantainya yang masih terpelihara. Ianya menjadi tarikan utama kepada para penggemar bushwalking, camping, surfing, snorkelling, scuba diving, berenang dan pencinta fauna-flora.
Koleksi sebahagian foto kami di Wilsons Prom termasuk di Squeaky Beach terdapat di Album Foto Kami (Wilson Prom) atau klik di sini.

Prom yang terletak di selatan tanah besar Australia, berbentuk tanjung adalah sebuah National Park yang berkeluasan kira-kira 50,000 hektar. Jaraknya dari Melbourne kira-kira 225 km. Jalan perhubungannya hanya sehingga Tidal River sahaja, selebihnya memerlukan kekuatan fizikal dan mental untuk menjelajahinya.

Suatu hal yang menarik tentang Prom ini adalah, dikatakan asalnya ia adalah sebuah pulau yang pernah bersambung daratan dengan Tasmania sebelum terpisah akibat perubahan aras air laut. Kemudian bersambung pula dengan tanah besar Australia. Terpisah kembali, seterusnya bercantum semula seperti sekarang.

Sebenarnya telah lama kami berhasrat untuk ke Prom. AlhamduliLlah, pada hari kedua kami di Venus Bay, hajat hati dimakbulkanNya. Menjelang tengahari, kami bertolak keluar sambil melencong ke Walkerville Beach untuk bertemu dengan rakan-rakan lain yang sedang berkelah di sana sebelum bertolak ke Prom sejauh hampir 80 km.

Untuk masuk ke Prom, bayarannya $10.50 untuk sebuah kereta/ hari di Yanakie Entrance. Bagi yang ingin bermalam lain pula harga tiketnya.

Menyusuri laluan di dalam Prom, menyaksikan keindahan persekitaran yang menyejukkan pandangan dengan pepohonan merimbun hijau. Mt. Oberon yang disaluti batuan granit jelas kelihatan dari kejauhan, menjadi mercu tanda utama Prom.

Bertuah kami kerana terserempak dengan sekawan emu sedang mencari makan di dalam semak. Haiwan natif lain seperti wombat dan kangaroo juga mudah ditemui berkeliaran.

Campsite juga banyak kelihatan di merata tempat dengan caravan dan khemah didirikan di bawah teduhan pokok. Difahamkan terdapat lebih 480 tapak disediakan terutama di tepian Ring Road di Tidal River. Juga terdapat kemudahan kabin, lodge dan unit.

Untuk makan tengahari (sebenarnya makan petang), kami berhenti di Tidal River Car Park sambil membeli tanda mata kenang-kenangan di kedai cenderamata berdekatan. Pada jam 4:00 petang, tiba-tiba kami dikejutkan dengan bunyi siren yang kuat, bersahutan kira-kira 2 minit. Rupa-rupanya ujian siren kecemasan yang dilakukan seminggu sekali sedang dijalankan.

Bagi penggemar bushwalking, terdapat banyak laluan yang disediakan, antaranya Squeaky Beach Track, Lilly Pilly Nature Walk, Mt. Oberon Summit Walk, Loo-Ern Track, Telegraph Saddle dan Tongue Point Track. Kesemuanya bergantung kepada keupayaan masing-masing. Elok sekali jika bermalam di sana.

Bagi kami sekeluarga, hanya sekadar berkunjung ke Squeaky Beach sahaja. Namanya sahaja membuatkan kami teruja, apakah rahsia di sebaliknya. Pantainya amat mempesonakan. Pasirnya halus berwarna putih seakan kapas. Kata Imran, seakan salji. Luas terbentang sehingga ke gigi air.

Menariknya, ketika berjalan di atas pasir yang kering, kedengaran bunyi berkeriut/berdecit-decit. Dikatakan ianya berpunca dari saiz pasir yang sama menyebabkan tiada ruang di antaranya. Apabila ditekan/dipijak bunyi geseran akan terhasil. SubhanaLlah... betapa besarnya kekuasaan Allah SWT. Dari situlah berasalnya nama Squeaky Beach.

Air lautnya membiru, tenang sekali ombaknya membadai pantai yang landai. Di satu sudut lain, terdapat banyak bongkahan batu granit yang bergerigi permukaannya, kesan hakisan air dan angin. Begitulah kebiasaan panorama pantai yang terdapat di sini.

Hampir jam 6:00 petang, kami mula beredar meninggalkan Wilsons Promontory National Park menuju rumah penginapan di Venus Bay. Walaupun tidak banyak tempat yang sempat kami terokai di Prom, tidak dinafikan ianya satu kawasan yang amat mendamaikan, lebih-lebih lagi kepada pencinta alam semulajadi.

Monday, February 1, 2010

Bercuti di Venus Bay

Venus Bay adalah sebuah tanjung berpasir yang menghadap ke Bass Strait, terletak kira-kira 180 km ke tenggara Melbourne. Ianya menjadi tumpuan para penggemar surfing, memancing atau pun sekadar mandi laut. Pantainya landai mengunjur ke laut. Terdapat 5 pantai yang ditandakan dengan Beach No. 1 hinggalah Beach No. 5. Penduduknya tidak ramai, hanya sekitar 500 orang sahaja.

Inilah destinasi percutian kami di penghujung minggu baru-baru ini, bersama 10 lagi keluarga dari Clayton dan juga Dandenong. Kami sekeluarga cuma 3 hari 2 malam sahaja, rakan-rakan yang lain tambah sehari semalam lagi.
Koleksi foto di Kilcunda Beach, Cape Paterson, Wonthangi, Walkerville Beach dan Venus Bay dapat diakses di Album Foto Kami (sekitar Venus Bay) ata klik di sini.

Kami bertolak ke sana pada tengahari Khamis (28/01/2010) melalui South Gippsland Hwy-Bass Hwy. Di singgahan Pantai Kilcunda, kami bersua dengan sebahagian konvoi rakan-rakan Clayton. Keindahan pantainya yang dilatari alunan ombak menghempas hamparan batuan yang mengunjur ke gigi laut benar-benar melahirkan rasa ketenangan di jiwa.

Pantai di Cape Paterson, kira-kira 7 km daripadanya juga tidak kurang cantiknya. Begitu juga pesisiran pantai sepanjang laluan kami ke Inverloch sejauh 17 km. Pasir pantai keemasan dan air laut membiru berserta teluk-teluk yang melingkunginya benar-benar melahirkan kekaguman, betapa agungnya ciptaan Allah SWT. SubhanaLlah... Pemandangan yang tidak kalahnya jika dibandingkan dengan pantai-pantai di Great Ocean Road mahupun di Tasmania.

Rumah penginapan kami di Pendura Ave, Venus Bay amat selesa sekali. Segalanya lengkap termasuk pelbagai rempah ratus kiranya teringin untuk memasak. Rak-rak bukunya dipenuhi pelbagai jenis buku, kebanyakannya berkaitan dengan sejarah Australia dan juga buku-buku novel. Bagi ulat buku pasti teruja dibuatnya.

Di Venus Bay, rakan-rakan lain mempunyai agenda istimewa tersendiri; bagi lelaki adalah memancing, manakala bagi wanita pula memungut pipis @ remis di tepian laut. Syaratnya perlu ada lesen yang boleh dibeli di kedai atau secara online. Kami turut serta mencari remis tetapi tidak berminat untuk memancing. Itupun hanya pada hari pertama sahaja. Ketika itu tidak banyak remis yang diperolehi. Pulak tu kecil-kecil sahaja saiznya. Rupa-rupanya masing-masing tidak tahu petuanya.

Carian pada hari kedua barulah diketahui puncanya. Petuanya, turunlah ke laut ketika air surut dan mula nak pasang bukannya ketika air telah pun pasang. Mewah sekali hasil kutipannya dengan remis-remis yang besar bertaburan di permukaan pasir. Alkisah yang sama juga dimaklumkan kepada kami ketika pencarian selepasnya.

Pada hari kedua kami tidak mengikut program rakan-rakan lain. Kami mempunyai program tersendiri. Wilson Promontory National Park, kira-kira 80 km dari Venbus Bay adalah tumpuan kami (Insya Allah akan disentuh dalam entri berikutnya).

Dalam perjalanan ke Wilson Prom, kami singgah di Pantai Walkerville yang menghadap ke Waratah Bay. Tidak jauh daripadanya adalah Cape Liptrap yang hanya dapat diakses dengan berjalan kaki. Ketika itu rakan-rakan lelaki sedang rancak melontarkan pancing di gigi laut. Kaum ibu pula sibuk melayan anak-anak bermain di tepi pantai atau menyediakan juadah tengahari di khemah yang didirikan.

Pada tengahari Sabtu (30/01/2010), kami bertolak ke Churchill, Gippsland untuk memenuhi jemputan dari keluarga Akmal-Ja. Jemputan lama yang hanya sekarang baru dapat dipenuhi.

Hidangan tengahari yang disediakan amat menyelerakan dengan dekorasi setara hotel berbintang... tomyam campur, udang bersalut tepung, telur gulung dan fillet ikan masak tomato berserta pencuci mulut (dessert) bubur pulut hitam berkuah santan. Makan bertambah-tambah tanpa segan dan malu. Emm, rezeki jangan ditolak. Kami makan-makan sambil beramah mesra dan bertukar-tukar cerita.

Selesai solat jamak-qasar, kami beredar pulang. Terima kasih Akmal dan Ja. Jarak perjalanan hampir 130 km ke Dandenong tidak terasa jauhnya melalui Monash Freeway (M1). AlhamduliLlah. Jika ada kesempatan, ingin sekali berkunjung ke South Gippsland lagi. Masih banyak lagi kawasan yang menarik di sana yang masih belum diterokai.