Monday, September 22, 2014

Bocor Lagi... Dan Lagi...

Bagai yang dijangka... ada lagi kertas UPSR yang bocor - Matematik Kertas 1 dan Bahasa Tamil Pemahaman dan Penulisan. Maka sekaligus peperiksaan bagi kertas berkenaan sebelum ini dibatalkan. Diumumkan peperiksaan gantiannya pada 09 Oktober nanti. 

Sebelum ini telah dibatalkan kertas ujian Bahasa Inggeris dan Sains dengan gantiannya pada 30 Sept. Kini Matematik  dan Bahasa Tamil pula. Maka yang tinggal hanyalah Bahasa Malaysia Pemahaman dan Penulisan serta Bahasa Cina. Apakah tiada kemungkinan ianya turut bocor? Jika diperhatikan... tiada mustahilnya.... Kita tunggu dan lihat sahajalah.

Nampak gayanya tak dapat bercuti sakanlah para pelajar Tahun 6. Mereka masih lagi perlu menghadiri kelas seperti biasa. Malah kelas tuisyen pun kembali aktif. Tidak terkecuali, guru-guru pun semakin semput setelah belum hilang semput sebelumnya. Segala-galanya kerana matlamat mengejar kecemerlangan dan peningkatan prestasi sekolah.

Aduhai... kasihan anak-anak. Mereka menjadi mangsa sistem pendidikan yang berorientasikan gred.

Susulan daripadanya, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan polis telah menahan beberapa suspek daripada kalangan guru dan orang awam. Cuma sedihnya, kenapa mereka dilayan bagaikan banduan sedangkan belum pasti mereka bersalah. 

Memanglah kita merasa geram, marah, terkilan dan bermacam perasaan lagi tetapi perlulah ditanggani dengan baik. Dengan kepakaran pihak polis dan kerjasama daripada KPM, rasanya kes ini tidaklah sukar sangat untuk diselesaikan. Harapan kami, biarlah ianya telus dan tulus walaupun melibatkan pihak atasan sekalipun.

Moga-moga 'bencana' seumpamanya tidak berulang lagi di dalam apa-apa sahaja peperiksaan selepas ini terutama bagi PT3, SPM dan STPM yang bakal dihadapi tidak berapa lama lagi.

Friday, September 12, 2014

Kertas UPSR Bocor Lagi...

Belum pun hilang rasa walang mendengar kertas Sains UPSR didapati bocor dan jadual peperiksaannya ditangguh sehingga akhir bulan, tiba-tiba dikejutkan pula dengan kebocoran kertas Bahasa Inggeris 1 dan 2 yang diduduki petang semalam.

Aduhai... apalah nak jadi dengan orang-orang kita ni. Maruah diri mereka begitu teruk sekali. Jika dibandingkan dengan haiwan berkaki empat mahupun berkaki dua, rasanya nilaiannya lebih rendah lagi.

Jika beginilah keadaannya, tidak mustahil jika dikatakan MUNGKIN kesemua kertas UPSR telah pun bocor. Dan secara automatik peperiksaan UPSR untuk 2014 dibatalkan. Pihak KPM telah menafikannya tetapi apa-apa pun boleh berlaku. Kita tunggu dan lihat sahajalah... Apakah episod seterusnya...

Meneliti luahan hati para ibu bapa di pelbagai media, memang sewajarnya mereka merasa amat marah dan terkilan dengan apa yang berlaku. Difahamkan anak-anak kehilangan semangat dan motivasi kerana mengharapkan peperiksaan berakhir seperti yang dijadualkan. Malah ramai anak-anak yang menitiskan airmata kecewa dan hampa. Mampukah mereka kembali mengulangkaji pelajaran dengan bersemangat dalam keadaan jiwa tertekan? Deraan emosi inilah yang amat dibimbangi oleh para ibu bapa dan guru-guru.

Tempelak seorang bapa,"Apakah mereka yang di atas itu faham dunia dan emosi kanak-kanak? Mereka mungkin faham tetapi mungkin tidak penting bagi mereka". Tambahnya lagi,"Biasanya begitulah, segala yang luar biasa akan menjadi biasa-biasa sahaja jika kita orang Malaysia".

Ada kebenarannya. Lihat sahaja Laporan Audit Tahunan yang dikeluarkan saban tahun. Berita ketirisan dan penyalahgunaan kuasa di jabatan-jabatan kerajaan adalah perkara biasa seolah-olah telah mendarah daging tanpa dapat diubati lagi...

Hairan, sebuah negara yang digahkan sebagai negara Islam tetapi lebih teruk daripada negara bukan Islam. Benarlah kata seorang ulama,"Daku dapati indahnya Islam di negara non-Muslim tetapi tidak kutemui Islam di negara Muslim".

Malu kita nak mengaku Muslim...
Ini tidak baik untuk emosi kanak-kanak yang berumur 12 tahun dan ditangguh pula sehingga ke 30 september. Apakah mereka yang di atas itu faham dunia dan emosi kanak-kanak? Mereka mungkin faham tetapi mungkin itu tidak penting sangat, bagi mereka.
“Biasanya begitulah, segala yang luar biasa akan menjadi biasa-biasa saja jika kita orang Malaysia,” katanya.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/upsr-bocor-calon-hilang-semangat-dan-motivasi-kata-ibu-bapa#sthash.xpzhP6GW.dpuf
Ini tidak baik untuk emosi kanak-kanak yang berumur 12 tahun dan ditangguh pula sehingga ke 30 september. Apakah mereka yang di atas itu faham dunia dan emosi kanak-kanak? Mereka mungkin faham tetapi mungkin itu tidak penting sangat, bagi mereka.
“Biasanya begitulah, segala yang luar biasa akan menjadi biasa-biasa saja jika kita orang Malaysia,” katanya.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/upsr-bocor-calon-hilang-semangat-dan-motivasi-kata-ibu-bapa#sthash.xpzhP6GW.dpuf
Ini tidak baik untuk emosi kanak-kanak yang berumur 12 tahun dan ditangguh pula sehingga ke 30 september. Apakah mereka yang di atas itu faham dunia dan emosi kanak-kanak? Mereka mungkin faham tetapi mungkin itu tidak penting sangat, bagi mereka.
“Biasanya begitulah, segala yang luar biasa akan menjadi biasa-biasa saja jika kita orang Malaysia,” katanya.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/upsr-bocor-calon-hilang-semangat-dan-motivasi-kata-ibu-bapa#sthash.xpzhP6GW.dpuf

Thursday, September 11, 2014

Kertas Sains UPSR Bocor?

Sekarang adalah musim UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) bagi pelajar Tahun 6/2014. Ianya bermula kelmarin dan hari ini adalah akhirannya. Seramai 472, 853 pelajar di seluruh negara terlibat.

Namun, hari ini tercatat dalam sejarah pendidikan negara - peperiksaan UPSR bagi kertas Sains 018, 028 dan 038 yang sepatutnya diduduki pada hari ini disahkan bocor. Justeru itu ianya terpaksa ditangguhkan kepada 30 Sept.

[018, 028, 038 merujuk kepada kertas Sains untuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis Cina dan Tamil]

Menurut Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), kandungan soalan bagi ketiga-tiga kertas berkenaan didapati telah tersebar luas di laman-laman sosial yang turut diterima oleh ibu bapa.

Turut heboh diperkatakan bahawa kertas Matematik yang telah diduduki sehari sebelumnya pun terlibat sama. Kebenarannya belum dapat dipastikan. Malah pada akhir tahun lepas, kita turut dikejutkan dengan berita kebocoron kertas Matematik dan Matematik Tambhan SPM, akhirnya disahkan hanya soalan ramalan yang iras soalan sebenar.

Sesuatu yang amat mengejutkan. Bagaimana boleh terjadi perkara yang amat memalukan ini? Di manakah silapnya? Apakah sistem sedia ada tidak mampu menangganinya?

Apakah sistem pendidikan negara terlalu berorientasikan pencapaian peperiksaan sehinggakan peperiksaan peringkat sekolah rendah pun terlibat dengan kebocoran?

Kasihan... anak-anak menjadi mangsa
Mengapakah ditangguhkan begitu lama (19 hari) sehingga boleh menimbulkan bebanan kerja dan emosi kepada guru-guru, pelajar dan ibu bapa? Apatah lagi ramai di antaranya pasti telah mempunyai perancangan sendiri.

Apakah tiada Plan B (contingency plan)  dalam SOP (Standard of Procedure) Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk mengambil tindakan susulan segera? Di manakah ketegasan KPM bagi mengelak daripada berulang lagi?

Kemana perginya sifat amanah seseorang yang dipertanggungjawabkan menyimpan rahsia tetapi sanggup membocorkannya? Bagi kami, inilah spesis yang sepatutnya dikategorikan sebagai penyangak @ pengkhianat @ penjenayah negara yang sewajarnya dikenakan tindakan keras di bawah SOSMA/ ISA.

Sedih dan amat memilukan. Demikianlah natijahnya jika iman atau integriti tidak menjadi pakaian diri.  Tidak kira siapa... Siapa yang makan cili dialah yang terasa pedas.

Adalah menjadi harapan kami agar dilihat kembali objektif dan falsafah sistem pendidikan negara sekarang. Kemanakah halatujunya dan kemana para pelajar hendak dibawa. Apakah keputusan pencapaian dalam peperiksaan masih menjadi keutamaan ataupun pembinaan jati diri serta keupayaan dalaman pelajar menjadi ukuran?

Kita tidak mahu para pelajar menjadi robot tetapi kita ingin pelajar yang mencipta robot!

Wednesday, September 3, 2014

Sekejap di FELDA TRAP Sg. Klah

Taman Rekreasi Air Panas (TRAP) Sg. Klah di Sungkai, Perak pernah kami kunjungi hampir 10 tahun lalu. Ketika itu kami menyertai program mega Hari Keluarga Haji Zubir. Tiada chalet atau homestay mahupun hotel yang disewa, cukup bermalam di bawah khemah sahaja. Itu dulu...

FELDA Residence Hot Springs @ Sg. Klah, Sungkai, Perak
Baru-baru ini, bersekali dengan Majlis Makan Malam x-MRSM Kota Bharu di FELDA Residence Hot Springs (FRHS), kami menginap di villa FELDA - ruang bilik yang selesa untuk kami berempat termasuk Imran daan Solehah.

Pemandangan sekitar FELDA Residence dengan keluasan kira-kira 6.5 ekar amat tenteram dan nyaman, dilingkungi hijauan pepohon sawit dan bungaan mekar berkembang. Tersedia juga padang bola untuk aktiviti luaran dan beberapa kemudahan lain termasukkan dewan besar dan bilik-bilik seminar.

Perjalanan kami dari Ulu Kelang lancar merentasi PLUS. Makluman diterima, kenderaan perlahan menuju Sungkai, alternatifnya masuk tol Slim River.

Nasi Bamboo Sg. Klah
Kami singgah makan tengahari di Warung Nasi Bamboo Sungai Klah, Menu utamanya nasi putih kukus daun pisang dalam kelongsong buluh berlaukkan ayam kampung bakar percik + telur asin + pajeri nenas + sambal. Minuman istimewanya pula adalah cendol. Setiap set hidangan nasi bamboo (berserta minuman) berharga RM8 - RM10. Bolehlah...!

Meneruskan perjalanan, kami melalui perkampungan FELDA Sg. Klah. Jalannya masih seperti dahulu... sempit dan pecah berlubang di bahu jalan, merbahaya ketika berselisih kenderaan terutama kepada penunggang motorsikal. Kepada yang berkenaan, dapatlah kiranya dinaiktarafkan demi keselesaan semua. Apatah lagi TRAP Sg. Klah semakin mendapat sambutan.

Kami tiba di FRHS sekitar jam 2:00 petang. Laili sibuk dengan tugasan pendaftarannya di Dewan Besar, kami bertiga pula balik ke bilik yang tersedia. Cuacanya agak panas dan terasa amat berat untuk memulakan penerokaan ke kolam air panas. Tunggu punya tunggu... hujan lebat pula yang turun.

Kolam Berendam
Ketika hujan sedikit reda, kami mula menapak ke Kolam Berendam yang terletak di hujung padang belakang FRHS. Pengunjung kolam tidaklah ramai, masih banyak ruang untuk berendam. Ramai yang sedang berteduh hujan di wakaf berbumbung.

Air kolam berasap-asap. Panasnya seakan menyengat tika hujung kaki menyentuh air tetapi akhirnya suhu badan dan suhu air telah pun sebati, berendam pun terasa nyaman sahaja.

Di tepi kolam pula disediakan 3 tempayan besar air biasa sebagai bilasan sebelum meninggalkan kolam. Tempayan ini benar-benar mengimbau kenangan silam ketika di kampung - letaknya di hujung cucuran atap dan di tepi anak tangga - airnya sebagai basuhan kaki sebelum naik ke rumah.

Kami bertiga tidak berlama-lamaan di kolam kerana hujan kembali lebat berserta kilat dan guruh. Petugas kolam telah mengarahkan agar kolam dikosongkan. Tidak mengapalah, Inshaa ALLAH... Esok Masih Ada (meminjam tajuk salah sebuah filem bikinan Tan Sri Jins Shamsuddin).

"Kolam ni... ana yang punya!"
Keesokan harinya (Ahad), seawal jam 7:30 pagi, bersama dengan Imran, kami telah pun bergerak ke Kolam Berendam. Tiada pengunjung lain. Hanya kami berdua sahaja.

Namun kami merasa amat terkilan kerana airnya tidak panas seperti semalam, hanya suam-suam kuku sahaja. Mungkin paip sumber air panas belum dibuka lagi ataupun suhu sejuk malam hari menyebabkan panasnya hilang.

Kami tidak boleh lama berendam kerana ada misi lain yang perlu dikejar - makan pagi dan bergerak segera ke KLIA2, Sepang menghantar Solehah yang akan menaiki AirAsia ke Kota Bharu pada tengaharinya dan pulang ke sekolahnya di Besut, Terengganu.

Lokasi Merebus Telur
Sebelum meninggalkan persekitaran kolam air panas, kami sempat menjenguk lokasi Merebus Telur, Taman Terapi, Aliran Air Bertingkat, Jakuzi, Spa Villa dan beberapa lokasi menarik lain.

Dek kesuntukan masa, segalanya sekadar dinikmati pada pandangan mata sahaja. Maka tidak banyak aksi dan aktiviti yang sempat diabadikan. Inshaa ALLAH jika ada peluang di lain kesempatan.

Seusai menjamah sarapan di Meranti Coffee House, kami terus beredar meninggalkan FRHS sekitar jam 10:00 pagi dan tiba di KLIA2 kira-kira sejam setengah selepasnya.  Awalnya risau juga dengan perjalanan dari Sungkai ke Sepang sejauh lebih 180km yang belum pasti laluan dan jarak masa yang perlu dihadapi. AlhamduliLlah.

Bagi yang ingin melihat sebahagian foto yang tidak seberapa, silalah selak Album Foto Kami di sebelah kiri laman.

Monday, September 1, 2014

Persahabatan 3 Dekad

3 Dekad = 30 tahun... Satu jarak waktu yang panjang. Bermacam perkara boleh berlaku. Hidup dan mati pun belum tentu.

Bagi seorang pelajar, 30 tahun meninggalkan alam persekolahan banyak mematangkan diri terutama dari segi kerjaya, keluarga, penampilan diri, gaya hidup dan bermacam lagi. Sesetengahnya jauh berbeza daripada zaman persekolahan dahulu. Silap-silap rakan sendiri pun tidak dikenali.

Namun suatu perkara yang tidak mungkin dapat dihapuskan adalah keakraban sebuah persahabatan, lebih-lebih lagi sesama rakan satu batch. Justeru itu, kerap kali pertemuan demi pertemuan diadakan, tidak kira kecil mahu pun besar. Regu wanita dengan program mereka, manakala lelaki pula dengan agenda tersendiri. Sesekali mereka raikan bersama. 

Tambahan pula dengan kecanggihan teknologi komunikasi menjadikan  hubungan mesra terus terjalin erat. Darinya tercetus pelbagai idea, antaranya berkumpul bagi meraikan ulang tahun persahabatan.

Itulah yang diatur oleh bekas pelajar MRSM Kota Baru (kini Pengkalan Chepa) Batch 8 (1980 - 1984) di mana Laili adalah salah seorang pelajarnya; sempena 30 tahun meninggalkan maktab pada hujung minggu keMERDEKAan baru-baru ini bertempat di FELDA Residence Hot Spring Sg. Klah, Sungkai, Perak.

Majlis pendaftaran pada petang Sabtu di Dewan Besar bermula seawal tengahari sehinggalah lewat petang. Inilah antara saat menyeronokkan bagi Laili yang berada di meja pendaftaran kerana dapat berjumpa dengan rakan-rakan lama bersilih ganti. 

Walaupun hujan turun agak lebat tetapi ianya tidak menghalang kehadiran mereka. Tambahan pula dijamu pula dengan pelbagai buahan tempatan seperti durian, pulasan, dokong dan tampoi serta bermacam kueh-mueh dan juadah petang.

Lebih teruja lagi apabila masing-masing mendapat Buku Foto (Photobook) 3 Dekad Persahabatan. Koleksi foto-foto pelbagai aktiviti bersama yang dijalankan dan foto-foto lama serta wajah-wajah dahulu dan kini, sekaligus mengimbas kembali nostalgia zaman persekolahan dahulu. Benar-benar menusuk kalbu.

Majlis utamanya adalah Makan Malam yang diadakan di sebelah malamnya bertempat di Lawang Ballroom (Dewan Besar). 

Dengan tema warna merah, sambutannya amat-amat menggalakkan. Walaupun tidak semuanya menginap tetapi ramai yang berusaha hadir demi memeriah majlis utama tersebut. Dari seluruh pelusuk negara mereka datang dan ada yang terbang jauh dari bumi asing. Lebih mengharukan, ada yang sanggup menaja rakan taulan semata-mata mengharapkan kehadiran mereka. Demikianlah nilai sebuah persahabatan.
 

Bak kata perumpamaan, bagai sirih pulang ke gagang. Jelas terpancar keseronokan dapat bersua muka kembali dengan rakan-rakan lama. Sesetengahnya langsung tidak pernah berjumpa sejak tamat zaman persekolahan dahulu.  

Di sana sini dapat dilihat kelompok-kelompok tertentu berkumpul sambil bergelak ketawa samada sesama rakan sekelas, rakan sehostel/bilik ataupun rakan satu kepala. Seusai majlis, sebahagiannya disambung lagi sehinggalah ke dinihari. Masa yang berlalu dirasakan begitu singkat sekali.

Sesungguhnya ia suatu saat yang amat berharga dan bakal menjadi kenangan indah sepanjang zaman. Entah bila akan ketemu lagi. Berusahalah, moga-moga dipertemukan di Jannah. Ameen.