Monday, September 1, 2014

Persahabatan 3 Dekad

3 Dekad = 30 tahun... Satu jarak waktu yang panjang. Bermacam perkara boleh berlaku. Hidup dan mati pun belum tentu.

Bagi seorang pelajar, 30 tahun meninggalkan alam persekolahan banyak mematangkan diri terutama dari segi kerjaya, keluarga, penampilan diri, gaya hidup dan bermacam lagi. Sesetengahnya jauh berbeza daripada zaman persekolahan dahulu. Silap-silap rakan sendiri pun tidak dikenali.

Namun suatu perkara yang tidak mungkin dapat dihapuskan adalah keakraban sebuah persahabatan, lebih-lebih lagi sesama rakan satu batch. Justeru itu, kerap kali pertemuan demi pertemuan diadakan, tidak kira kecil mahu pun besar. Regu wanita dengan program mereka, manakala lelaki pula dengan agenda tersendiri. Sesekali mereka raikan bersama. 

Tambahan pula dengan kecanggihan teknologi komunikasi menjadikan  hubungan mesra terus terjalin erat. Darinya tercetus pelbagai idea, antaranya berkumpul bagi meraikan ulang tahun persahabatan.

Itulah yang diatur oleh bekas pelajar MRSM Kota Baru (kini Pengkalan Chepa) Batch 8 (1980 - 1984) di mana Laili adalah salah seorang pelajarnya; sempena 30 tahun meninggalkan maktab pada hujung minggu keMERDEKAan baru-baru ini bertempat di FELDA Residence Hot Spring Sg. Klah, Sungkai, Perak.

Majlis pendaftaran pada petang Sabtu di Dewan Besar bermula seawal tengahari sehinggalah lewat petang. Inilah antara saat menyeronokkan bagi Laili yang berada di meja pendaftaran kerana dapat berjumpa dengan rakan-rakan lama bersilih ganti. 

Walaupun hujan turun agak lebat tetapi ianya tidak menghalang kehadiran mereka. Tambahan pula dijamu pula dengan pelbagai buahan tempatan seperti durian, pulasan, dokong dan tampoi serta bermacam kueh-mueh dan juadah petang.

Lebih teruja lagi apabila masing-masing mendapat Buku Foto (Photobook) 3 Dekad Persahabatan. Koleksi foto-foto pelbagai aktiviti bersama yang dijalankan dan foto-foto lama serta wajah-wajah dahulu dan kini, sekaligus mengimbas kembali nostalgia zaman persekolahan dahulu. Benar-benar menusuk kalbu.

Majlis utamanya adalah Makan Malam yang diadakan di sebelah malamnya bertempat di Lawang Ballroom (Dewan Besar). 

Dengan tema warna merah, sambutannya amat-amat menggalakkan. Walaupun tidak semuanya menginap tetapi ramai yang berusaha hadir demi memeriah majlis utama tersebut. Dari seluruh pelusuk negara mereka datang dan ada yang terbang jauh dari bumi asing. Lebih mengharukan, ada yang sanggup menaja rakan taulan semata-mata mengharapkan kehadiran mereka. Demikianlah nilai sebuah persahabatan.
 

Bak kata perumpamaan, bagai sirih pulang ke gagang. Jelas terpancar keseronokan dapat bersua muka kembali dengan rakan-rakan lama. Sesetengahnya langsung tidak pernah berjumpa sejak tamat zaman persekolahan dahulu.  

Di sana sini dapat dilihat kelompok-kelompok tertentu berkumpul sambil bergelak ketawa samada sesama rakan sekelas, rakan sehostel/bilik ataupun rakan satu kepala. Seusai majlis, sebahagiannya disambung lagi sehinggalah ke dinihari. Masa yang berlalu dirasakan begitu singkat sekali.

Sesungguhnya ia suatu saat yang amat berharga dan bakal menjadi kenangan indah sepanjang zaman. Entah bila akan ketemu lagi. Berusahalah, moga-moga dipertemukan di Jannah. Ameen.

No comments: