Saturday, December 1, 2012

Petik Buah

Nostalgia Luar Negara

Cherry Haven @ Silvan - petik dan makan
Sekarang adalah musim panas di bahagian selatan benua Australia.

Salah satu aktiviti di musim panas yang popular adalah berkunjung ke ladang-ladang atau kebun-kebun buah-buahan untuk memetik buah. Bayaran masuknya sekitar AUD 5.00 dan makanlah sepuas-puasnya. Apa yang dibawa pulang itu yang dikenakan bayaran. Lazimnya buah ceri, strawberi dan epal menjadi tumpuan utama. 

Bagi kami sekeluarga, buah ceri adalah pilihan kami. Pepohonannya rendah sahaja tetapi rendang. Buah-buahnya berjuntaian di tangkai. Petik dan makan. Akan tetapi ada pantang larang ketika memetik - pastikan buahnya sahaja diambil tanpa merosakkan tampuk tangkai utamanya. Jika tidak anda boleh dihalau keluar dari ladang kerana dianggap sebagai 'anasir perosak'.

Realiti di Tanah Air

Sebahagian buah tangan yang dibawa pulang
Kini di tanah air kita pun musim buah-buahan.

Baru-baru ini, dalam perjalanan pulang ke Kg. Bukit Bangkong, kami menyinggah di rumah kakak ipar emak, Wak Tina (Suratina) di BB Salak. Di sebelah rumah Wak Tina adalah iparnya yang juga anak saudara abah, Abang Ari (Zahari). Di bahagian belakang rumah mereka adalah dusun buah-buahan. Buah-buahnya pula sedang masak mekar menunggu untuk dipetik.

Agaknya inilah dikatakan 'saudara buah' - musim buah baru nak bertandang. Dapatlah kami merasa makan pelbagai buah secara percuma.  Rambutan, manggis, durian, pisang, dokong, betik dan kelapa muda antara yang dihadiahkan mereka. Penuh bonet 2 buah kereta dibuatnya. Terima kasih Wak. Terima kasih Abang Ari. Moga kalian dimurahkan rezeki dan dirahmati Illahi. Ameen.

Menjolok manggis di hujung dahan
Di samping itu, ianya pengalaman menarik dan amat berharga kepada anak-anak kerana dapat merasa suasana dusun dan memetik sendiri buah-buahan. Ada yang boleh digetus terus dari tangkai, ada yang perlu dikait/jolok, ada yang dahannya perlu dicantas, ada masanya perlu dipanjat dan ada juga cukup sekadar menunggu gugurnya ke tanah. Walaupun 'berperang' dengan nyamuk yang dahagakan 'darah manis orang bandar', namun berbaloi dengan apa yang diperolehi - buah tangan dan pengalaman.

Di sebaliknya, umumnya didapati anak-anak zaman sekarang kurang menyukai makan buah-buahan, lebih-lebih lagi buahan tempatan. Jika tidak orang lain pun, anak-anak kami sendiri. Durian, manggis dan rambutan yang dibawa pulang hanya kami berdua sahaja yang makan dengan 'penuh perasaan', anak-anak hanya buat tak kisah sahaja.

Moga-moga ianya tidak berkekalan. Bukannya apa, silap-silap generasi mendatang tidak kenal lagi buahan eksotik negara seperti mana ada orang-orang sekarang yang tidak kenal lagi rupa pokoknya.

Sekali lagi -  Terima kasih Wak Tina. Terima kasih Abang Ari. Insya Allah lain kali kami datang lagi... (tak tahu malu punya saudara... :)

Thursday, November 22, 2012

Santai @ Trata' Leka

Hujung minggu baru-baru ini (17 - 18/11/2012), kami menghadiri undangan walimatul urus adik biras/ipar (Suraya) di Sri Menanti, Muar, Johor. Hampir seluruh anak cucu Hj Tauhid-Hjh Azizah turun ke sana. Dikira hitung hampir 30 orang kesemuanya. Alang-alang dah bertemu  muka, kami berpakat untuk menyewa resort/ homestay di Muar. Carian kami beberapa minggu sebelumnya menemukan kami dengan Trata' Leka yang terletak berdekatan Pantai Leka, Parit Jawa. 

Persekitaran hadapan Trata' Leka
Trata' Leka yang berkeluasan 4 ekar diusahakan oleh keluarga Dr. Rosli Nekmat, seorang consultant dari Kuala Lumpur. Kini ianya terdiri daripada 5 buah rumah tradisional iaitu Trata' Ibu (Limas Johor), Along (Umbai, Melaka), Angah (Limas Johor), Achik (Alor Gajah, Melaka dan Anjang (tree house). Juga dilengkapi kolam renang, kolam lotus, wakaf surau dan wakaf santai.

Persekitarannya nyaman sekali dengan kehijauan pepohonan renek dan bunga-bungaan pelbagai jenis yang melatari hampir keseluruhan kawasan, ibarat berada di dalam taman yang terbentang luas. Sejuk mata memandang, terasa damai di hati. 

Sebahagian daripada koleksi foto dapat diakses di Album Foto Kami (kiri laman) atau klik di sini.

Trata' Ibu menjadi rumah rehat keluarga, manakala selebihnya untuk disewa. Menurut Dr. Rosli, kesemua rumah tersebut adalah rumah asal yang dibeli dan dipasang kembali. Insya Allah usaha sedang dilakukan untuk mendapatkan beberapa buah rumah lagi, antaranya rumah Minang, Kedah dan Perak termasuk sebuah rumah besar untuk dewan dan bilik seminar.

Kami menyewa kesemua 3 buah rumah termasuk tree house yang menghadap ke kolam renang. Pada malamnya, 2 anak bujang; Izzuddin dan Arif Farhan menjadi 'penunggu' tree house. Manakala lain-lain rumah dikongsi mengikut 'mahram jantina'. Menariknya, beberapa buah basikal pelbagai saiz disediakan untuk kegunaan penyewa. Hampir kesemua daripada kami menggunakannya termasuk atuk dan nenek.

Mandi-manda di kolam renang
Tiada aktiviti khusus untuk keluarga kerana hajat kami sekadar untuk bersantaian sesama ahli keluarga. Kolam renang menjadi tumpuan utama anak-anak (dan ibu bapa). Luasnya sederhana sahaja dan airnya tidak dalam, sesuai untuk anak-anak kecil. Apabila kesemua anak-anak turun, sesak kolam dibuatnya.

Pagi petang mereka berendam sambil melakukan pelbagai aktiviti bersama/ bersendirian. Jelas terpancar keseronokan pada wajah mereka. Demikianlah anak-anak apabila dapat bersama-sama dengan sepupu-sepapat mereka. Tidak kurang juga ibu-ibu dan bapa-bapa.

Di sela waktu antara Maghrib-Isyak dan selepas solat Subuh hingga waktu Syuruk, menjadi wadah pengisian ilmu yang disampaikan oleh Atuk Tauhid. Seronok-seronok juga (bersantaian cuti) tetapi jiwa dan hati juga perlu disuburkan dengan iman dan amal.

Di kesempatan yang ada, kami berbasikal menyusuri jalan menuju ke jeti nelayan di Pantai Leka. Bot-bot nelayan teroleng-oleng tertambat di tepian jeti. Kami singgah di penghujung jeti sambil menghayati persekitarannya. Deretan pepohon bakau dengan burung-burung putih bertenggek jelas kelihatan. 

Kembara ke jeti nelayan
Di tepian benteng pula banyak sekali kelihatan ikan belacak (mud skipper) bersantaian di atas batang-batang nibung. Adakalanya laju sekali 'mengepak' di atas air.

Tidak jauh daripadanya, kerja-kerja menurunkan ikatan-ikatan batang nibung ke dalam air sedang giat dilakukan. Menurut pekerja yang ditanya, ianya untuk mengelak kawasan tersebut daripada dicerobohi. Tidak pasti pula apa projek yang dirancangkan.

Bertolak pulang ke Kuala Lumpur, kami menyinggah makan di Restoran Abu Bakar Hanifah yang terletak tidak jauh dari Jalan Maharani. Menu utamanya pasti sahaja Mee Bandung Muar. Secara peribadi, juadahnya memang sedap tetapi rasa kurang selesa kerana ianya menumpang Restoran Wah San. Pelanggannya memang ramai, mungkin suatu hari nanti ia boleh hidup sendiri.

Selamat tinggal Trata' Leka dan Muar. Insya Allah teringin juga untuk kembali lagi. Jutaan terima kasih kepada Dr. Rosli dan isteri serta Sdr Najib yang melayan kami dengan baik sepanjang percutian kami. Moga kalian sentiasa dimurahkan rezeki olehNya. Ameen.

Tuesday, November 20, 2012

TAHNIAH Solehah!

"Kejayaan dan kecemerlangan adalah impian setiap insan. Namun sebagai hamba Allah SWT yang taat, kita sewajarnya redha dengan setiap ketentuanNya. Insya Allah, disebalik setiap apa yang dicapai pasti ada hikmahnya yang tersendiri. Sesungguhnya Allah SWT lebih mengetahui apa yang terbaik untuk setiap hambaNya"
Itulah antara pesanan yang diberikan kepada Nur Solehah sebelum beliau melangkah ke sekolah untuk mengambil keputusan peperiksaan UPSRnya pagi semalam. Bukannya apa, Solehah meletakkan matlamat tinggi untuk mendapat 5A sedangkan dalam setiap ujian dan percubaannya sebelum ini subjek Bahasa Melayu sentiasa menjadi penghalang baginya. 

Tidak hairanlah kerana Solehah tidak pernah bersekolah rendah di tanah air setelah hampir 4 tahun berkelana di bumi Australia. Solehah memulakan persekolahannya di tanah air ketika di Tahun 5. Dalam jangkamasa 2 tahun amat sukar untuk menguasai segala 'lenggok' bahasa Melayu. Suatu cabaran yang amat perit baginya sehinggakan rembesan airmata dan tekanan emosi sentiasa menyelubunginya setiap hari. 

Tidak dapat dinafikan tekanannya lebih terasa kerana Solehah perlu mengikuti 2 sesi pengajian - paginya di sekolah kebangsaan manakala petangnya di sekolah agama. Walaupun ramai yang hanya memilih persekolahan di sekolah kebangsaan tetapi bagi kami, ilmu pengetahuan di sekolah agama lebih penting sebagai bekalan untuk kehidupan dunia dan akhirat yang lebih bermakna.

Sebagai ibu bapa, kami hanya mampu memberikan dorongan, sokongan moral, pandangan dan iringan doa agar Solehah tabah menghadapi setiap dugaan, cabaran dan ujian. Guru-guru pembimbing di kedua-dua sekolah didekati bagi memahamkan mereka akan kesulitan yang dihadapinya dan harapan yang diidamkannya. AlhamduliLlah, sokongan guru-guru amat baik dan banyak membantu perkembangan Solehah dalam pembelajarannya.

AlhamduliLlah, keputusan UPSR yang diperolehi oleh Solehah amat membanggakan - 5A sebagaimana yang diimpikannya. Berbaloilah dengan airmata yang tertumpah dan usaha tanpa mengenal jemu selama 2 tahun berhempas pulas.

TAHNIAH Solehah! Juga TAHNIAH untuk sepupunya, Arif Farhan yang juga mendapat 5A.

Hampir 2 minggu sebelumnya, keputusan peperiksaan sekolah agama Solehah, PSRA (Penilaian Sekolah Rendah Agama) yang diduduki selepas UPSR juga membuahkan kejayaan cemerlang. Solehah mengungguli pangkat tertinggi, MUMTAZ. Satu-satunya pelajar yang memperolehi pangkat tersebut di sekolahnya, KAFA (I) al-Ridhuan. 

Sekali lagi TAHNIAH Solehah! Anggaplah kedua-dua kejayaan yang dicapai ini sebagai hadiah paling bermakna sempena genap usia 12 tahunnya yang jatuh pada 13/11/2012 lalu.

"Disebalik setiap kejayaan diperolehi, usah lupa mengucapkan syukur kepada Allah SWT (AlhamduliLlah) kerana setiap kejayaan dan kecemerlangan yang diperolehi adalah anugerah daripadaNya. Walaupun di mana berada, bersujud syukurlah kepadaNya sebagai tanda berterima kasih"

Harapan kami sebagai ibu bapa, berusahalah untuk mengekalkan kejayaan dan kecemerlangan akademik yang diperolehi untuk hari-hari mendatang. Namun kejayaan dan kecemerlangan hakiki adalah berusaha menjadi hamba Allah SWT yang diredhaiNya. Kaedahnya jadilah hamba Allah yang bertaqwa yakni taat atas setiap perintah dan laranganNya. Itulah harapan sebenar kami sebagai bekal untuk dibawa ke akhirat. Ameen.

Thursday, November 15, 2012

Salam Maal Hijrah 1434H

Hari ini kita berada di tahun baru hijriah, 1434H.

Bicara tentang hijrah giat diadakan di merata tempat - semuanya mengingatkan betapa perlunya kita memuhasabah diri dan berusaha berubah kearah kebaikan. Dengan kata lain menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

Sewajarnya begitu. Cuma bukan setahun sekali apabila tiba awal tahun baru. Ianya terbuka sepanjang zaman. Itulah taubat namanya. 

Setiap insan yang bergelar hamba Allah sememangnya disarankan agar sentiasa merenung ke dalam diri, melihat dengan mata hati segala salah silap dan dosa yang telah dilakukan, seterusnya menginsafi diri dan bertaubat kepadaNya. Sesungguhnya Allah SWT Maha Pengampun dan suka mengampunkan dosa-dosa hambaNya.

Ya Allah, ampunilah setiap dosa dan kesalahan kami yang terdahulu dan peliharalah kami dari melakukan apa-apa yang terlarang di masa akan datang.

Ya Allah, kurniakanlah keberkatan dan rahmatMu atas kami dan dorongkanlah diri kami untuk sentiasa melakukan segala amalan semata-mata keranaMu Ya Allah.

Ya Allah, redhailah diri kami sebagai hambaMu.

Ameen. Ya Rabbal 'alameen.

Salam Maal Hijrah dari kami sekeluarga di Hulu Kelang.

Friday, November 9, 2012

Pasca Haji: Cabaran Haji

AlhamduliLlah... syukur tidak terhingga kepadaNya. Kini telahpun seminggu kami berada di tanah air setelah hampir 45 hari berada di bumi Madinah al-Munawwarah dan Mekah al-Mukarramah. Bersatu kembali bersama ahli keluarga tercinta terutama anak-anak adalah satu anugerah daripadaNya. 

Penerbangan KT03 selamat mendarat di KLIA pada pagi Jumaat lepas (02/11/2012) sekitar jam 10:50 pagi. Penerbangan yang terlewat kira-kira 2 jam setengah daripada waktu yang ditetapkan - dari jam 7:00 malam ke jam 9:30 malam waktu Jeddah.

Secara peribadi kami bersyukur atas kelewatan tersebut kerana kami sempat menunaikan solat jamak Maghrib-Isyak di Terminal Haji Lapangan Terbang Raja Abdul Aziz dan diluangkan masa untuk beramah mesra dengan beberapa orang jemaah haji tempatan dan juga kelompok jemaah haji dari Thailand.

Di sebalik rasa seronok dapat bertemu ahli keluarga, terdetik rasa gementar untuk melalui hari-hari mendatang dalam usaha mempertahankan aura haji dan rutin harian ketika bertamu di rumahNya, al-Haram. Cabaran dan dugaan di tanah air ternyata lebih hebat daripada ketika di Mekah dan Madinah. Mampukah kami? Moga-moga segalanya dipermudahkanNya. Ameen.

Monday, September 17, 2012

Pra Haji: LabbaikaLlah...

Detik-detik keberangkatan kami ke Tanah Suci semakin hampir. Insya Allah kami, para bakal jemaah haji penerbangan KT 03 diminta mendaftar di Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya pada jam 8:30 pagi pada pagi ini, 17/09/2012.

Difahamkan penerbangan kami akan berlepas kira-kira jam 12:30 tengahari dari KLIA.

Jadi, kami mohon berbanyak-banyak kemaafan daripada semua kiranya terdapat salah dan silap kami selama ini. Mohon doakan moga kami dipermudahkan di sepanjang perjalanan kerja haji kami ini, sentiasa dikurniakan rahmat olehNya dengan kekuatan rohani dan jasmani, kesihatan yang berpanjangan dan kesungguhan dalam mengabdikan diri kepadaNya. Ameen.

Insya Allah jika ada kesempatan kami akan maklumkan perkembangannya dan jika tidak moga kita dipertemukan kembali pada awal November nanti, kiranya masih dipanjangkan usia dan kudrat kami.

Pilu hati untuk meninggalkan anak-anak tapi teruja hati untuk menyahut undanganNya. Segalanya diserahkan kepada Allah SWT yang Maha Berkuasa dan Maha Penyayang.

Sekali lagi, maafkan kami dan doakan yang terbaik buat kami untuk menggapai impian kami dan juga setiap bakal jemaah haji yakni haji yang mabrur. Ameen... ameen... ameen... Ya Rabbal 'alameen.

Tuesday, September 11, 2012

Solehah, UPSR dan PSRA

Nur Solehah adalah anak ketiga kami. Kini belajar di Tahun 6 sekolah kebangsaan dan sekolah agama rakyat (SAR @ KAFA).

Mulai hari ini, berturutan selama 3 hari; adalah hari Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) - ujian terbesar untuk Solehah di peringkat sekolah rendah (kebangsaan).

Selang seminggu selepasnya pula adalah Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) - juga ujian terbesar untuk Solehah di peringkat sekolah rendah agama.

Hari-hari yang mencetuskan debaran berganda menguji keupayaan dan daya usahanya selama ini.

Sasaran peribadi Solehah untuk UPSR adalah 5A. Manakala bagi PSRA pula adalah Mumtaz.

Bagi kami, sebagai ibu bapanya hanya memberikan sokongan semampu mungkin demi mencapai impiannya itu. Namun, terus terang kami tidak pernah meletakkan harapan setinggi itu. Kami selalu berpesan padanya (dan juga anak-anak lain), berusahalah sedaya mungkin dan terimalah apa sahaja keputusan yang bakal diperolehi. Bersyukurlah dengan apa yang bakal diperolehi. Dengan kata lain, kami tidak ingin membuatkan mereka merasa tertekan.

Pesan kami lagi, di dalam mengejar kecemerlangan akademik, usah sesekali lupa tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT - jaga solat, jaga aurat dan jaga akhlak - Insya Allah setiap impian akan menjadi kenyataan. Itulah janji Allah SWT.

Kami sedar, Solehah tidak pernah mengikuti sistem pendidikan formal di tanah air sedari awal. Lebih-lebih lagi di sekolah rendah agama. Sekembalinya daripada luar negara pada awal tahun lepas, Solehah terus masuk ke Tahun 5.

Banyak proses pembelajaran dan silibus mata pelajaran yang tertinggal. Segala-galanya amat perit untuk dikejar terutama subjek Bahasa Melayu yang tidak pernah dipelajari kaedah jalan bahasanya. Juga pengajian sekolah agama yang berteraskan tulisan jawi dan bahasa Arab.

Ya Allah, Engkau permudahkanlah Solehah dalam menghadapi UPSR dan PSRA dan tercapai hendaknya segala impiannya. Ameen.

Kepada semua para pelajar yang menduduki UPSR dan PSRA - selamat maju jaya. Moga dikurniakan kejayaan yang membanggakan. Ameen.

Tuesday, September 4, 2012

Pra Haji: Kursus Perdana Haji

Bagi bakal jemaah haji, ilmu pengetahuan haji dan umrah adalah perkara utama yang perlu dihayati dalam meraih kesempurnaan dalam perlaksanaannya. Ini kerana matlamat utama kerja haji adalah untuk meraih nilaian haji yang terbaik di sisi Allah SWT, yakni haji mabrur. Apatah lagi, menunaikan haji pertama itulah yang wajib, sedangkan haji susulan hanyalah sunat. Maka sewajarnyalah ianya dilaksanakan sebaik mungkin.

Tanpa adanya ilmu yang benar, banyak amal ibadah yang berkaitan dengannya mungkin 'terlepas pandang' sehingga tidak dilakukan dengan betul. Paling dibimbangi, perlaksanaannya menyimpang dari ketetapan hukum yang boleh menyebabkan rosaknya haji. Nauzubillahi min zalik.

Umumnya ibadah haji banyak melibatkan kekuatan fizikal/ jasmani, namun keutuhan jiwa/ rohani adalah kunci utamanya. Dengan adanya kekuatan dalaman, insan yang dianggap lemah boleh menjadi kuat dan gagah untuk melaksanakan setiap syariaat Allah SWT. Justeru itu hati perlu bersih dan sentiasa redha dengan setiap dugaan, cabaran dan ujian yang dihadapi. Ingatlah, setiap amalan adalah semata-mata kerana Allah SWT.

Demikianlah antara intipati yang diterapkan oleh para pembimbing haji Tabung Haji ketika Kursus Perdana Haji (KPH) peringkat Wilayah Persekutuan yang berlangsung selama 2 hari 1 malam bertempat di Masjid Putra, Putrajaya pada hujung minggu baru-baru ini (1-2 Sept).

Tanpa diduga, kami bersua dengan beberapa kenalan lama ketika di zaman persekolahan dahulu, bermula dari peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan ketika di universiti. Malah ramai kenalan baru yang ditemui. Insya Allah, seperti juga kami, mereka juga bakal menjadi tetamu Allah. AlhamduliLlah.

Kursus Perdana Haji ini adalah kesinambungan kursus haji yang ditetapkan oleh pihak Tabung Haji, selepas daripada Kursus Asas Haji (KAH) dan Kursus Intensif Haji (KIH). Malah kursus sampingan haji juga diadakan bagi yang ingin menambah ilmu di dada seperti Kursus Khas Haji (KKH - selepas KIH) dan juga Kursus Ulangkaji Haji (KUH) selepas Kursus Perdana Haji ini.

Kursus Perdana Haji kali ini menghimpun sekitar 2,000 bakal jemaah haji terpilih dari WP Kuala Lumpur dan Putrajaya. Menurut pihak Tabung Haji, kuota haji pada tahun ini adalah seramai 28,000 orang dan sedang menunggu rayuan daripada Arab Saudi bagi menambah kuota sedia ada. Ini kerana sehingga kini lebih 935,000 orang telah mendaftar haji di Tabung Haji.

Agenda utama Kursus Perdana Haji ini adalah memberi kefahaman simulasi kaedah perlaksanaan beberapa ibadah haji dan umrah seperti tawaf, saei, tahallul, wukuf di Arafah, mabit di Muzdalifah dan Mina serta melontar di 3 jamrah.

Beberapa perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan ketika amalan haji-umrah juga disentuh sepintas lalu ketika sesi taklimat dan juga ketika simulasi ibadah berlangsung. Diselitkan juga dengan amalan bangun malam untuk beribadah (qiamullail) yang mungkin asing bagi sesetengah bakal jemaah haji.

Bagi kami, Kursus Perdana Haji ini amat baik sekali bagi menghayati dan merasai aura ibadah haji. Sekaligus menambah ilmu pengetahuan berkaitan dengannya. Bayangkan saat-saat berada di tengah-tengah lautan jutaan jemaah haji dari seluruh pelusuk dunia terutama ketika di Masy'ar al-Haram. Ujiannya amat besar.

Segala-galanya berserah kepada Allah SWT. Hanya ampunan, rahmat dan redha Allah SWT yang diharapkan agar dianugerahi haji mabrur. Ameen.

Tuesday, August 28, 2012

Pra Haji : Jadual Penerbangan

Bermulanya Syawal, aura haji yang 'terpinggir' seketika dek kesibukan meraih keberkatan Ramadhan kembali dirasai oleh para bakal jemaah haji.

Debarannya semakin ketara - menanti khabar Jadual Penerbangan Haji (JPH) ke Tanah Suci. Terutama bakal jemaah dalam kategori terpilih. Demikian juga bagi bakal jemaah haji dalam senarai menunggu dan rayuan. Tidak kiralah secara pakej (kendalian Pengelola Jemaah Haji swasta) atau muassasah (kendalian Tabung Haji).

Sepertimana yang pernah disentuh di dalam beberapa entri sebelum ini, kami berdua telah terpilih untuk menunaikan haji pada tahun ini. AlhamduliLlah, setinggi-tinggi kesyukuran hanya untuk Allah SWT.

Pilihan kami adalah secara muassasah walaupun ditawarkan pakej haji. Bagi kami, bukan keselesaan yang kami cari tetapi redha Allah SWT yang diharapkan.

Rindunya kami pada BaitulLlah dan Masjid Nabawi selepas kembali dari ibadah umrah pada bulan April lalu sentiasa segar di ingatan. Kini dijemput kembali olehNya sebagai tetamu agungNya. Terubat rasa rindu. AlhamduliLlah.

Surat tawaran haji telahpun kami terima sejak awal tahun lagi. Beberapa kursus haji yang ditetapkan oleh pihak Tabung Haji telahpun kami ikuti. Bermula dengan Kursus Asas Haji (KAH) sebanyak 19 siri yang diadakan setiap hujung minggu sejak akhir Februari hingga akhir Jun, 2012.

Disusuli pula Kursus Intensif Haji (KIH) selama 2 hari (pertengahan Jun) bertempat di Masjid Negara. Dan Insya Allah, Kursus Perdana Haji (KPH) pula akan dilangsungkan selama 2 hari (bermalam) pada awal September ini di Masjid Putra, Putrajaya.

Manakala urusan pemeriksaan kesihatan, penyerahan pasport (PMA) dan kutipan Gelang Pengenalan Haji (GPH) telahpun selesai mengikut tarikh yang ditetapkan.

AlhamduliLlah, beberapa hari lalu, Jadual Penerbangan Haji (JPH) telahpun diterima. Insya Allah kami dikehendaki melaporkan diri di Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya pada pagi 17/09/2012 dan berlepas ke Madinatul Munawwarah pada hari yang sama. Nombor penerbangan kami adalah KT03.

Sebagai makluman, tarikh 17/09/2012 merupakan hari pertama keberangkatan bakal jemaah haji ke Tanah Suci. Dan penerbangan kami adalah yang ke-3.

Insya Allah kami akan berada di kedua-dua Tanah Suci selama 46 hari sehingga 01/11/2012 dan dijadualkan tiba kembali ke tanah air pada pagi 02/11/2012, kira-kira seminggu selepas 'Eidil Adha.

Kepada semua pelawat Salam Monash, mohon doakan kami - moga segalanya dipermudahkan oleh Allah SWT dan dianugerahi Haji Mabrur yang menjadi idaman setiap jemaah haji. Ameen.

Monday, August 27, 2012

Muhasabah Syawal

[Muhasabah diri pasca Ramadhan. Moga ada manafaat bersama]

Ramadhan 1433H telahpun berlalu pergi. Hadirnya Syawal disambut penuh syukur.

Di dalam keseronokan menyambut Syawal, marilah sama-sama kita merenung dan mengingati kembali perjuangan kita selama sebulan penuh di bulan Ramadhan. Kita menahan lapar dan dahaga, menahan pancaindera dan anggota tubuh serta hati dari perkara maksiat dan perkara dilarang... bagaimanakah agaknya dengan puasa dan ibadah kita itu?

Jika kesempurnaan (mabrur) ibadah haji seseorang lazimnya dinilai dari perlakuannya setelah pasca haji. Begitu jugalah kesempurnaan ibadah puasa kita dinilai setelah pacsa Ramadhan. Tidak perlu orang lain menilainya, kita sendiri mampu melakukannya - bertanya sahaja pada hati.

Sekurang-kurangnya terdetik di hati, seronokkah kita meninggalkan Ramadhan? Jika kita amat sedih bagaikan satu kehilangan, Insya Allah madrasah Ramadhan telah berjaya mentarbiah hati kita. Selebihnya kita perlu istiqamah dalam meneruskan amal kebajikan yang dilakukan sepanjang Ramadhan. Moga kita dirahmati dan diampuni Allah SWT.

Namun kiranya kita merasa amat gembira bagaikan terlepas satu seksaan batiniah, maka bermohonlah keampunanNya. Ini kerana Allah SWT telah menempelak dengan ungkapan kasar seperti yang didoakan oleh malaikat Jibril dan diaminkan oleh RasuluLlah SAW, "CELAKAlah kepada mereka setelah tamatnya Ramadhan langsung tidak mendapat keampunan Allah SWT. Nauzubillah - moga kita bukannya dari golongan tersebut.

Ya Allah, kami ini hambaMu yang amat lemah, ampunilah kami dan limpahilah rahmatMu.

Ya Allah, terimalah amal ibadah kami di sepanjang Ramadhan dan kekalkanlah kami dalam kebaikan di sepanjang hayat kami.

Ameen Ya Rabbal 'alameen.

Dengan Syawal yang masih berbaki, usah dilupakan Puasa Enam. Pahalanya amat besar, ibarat berpuasa sepanjang tahun (disekalikan dengan puasa Ramadhan).

Tidak terliurkah kita kerana ianya mampu menghindarkan diri dari seksaan neraka. SubhanaLlah.

Tahniah kepada yang telah pun sempurna puasa enamnya. Bagi yang belum, marilah kita berusaha untuk melaksanakannya dengan segera.

Tidak dinafikan cabaran dan dugaannya amat berat tetapi segalanya terletak pada kemahuan diri sendiri. Insya Allah dengannya setiap yang besar menjadi kecil dan remeh. Moga-moga kita dipermudahkan olehNya. Ameen.

Sunday, August 19, 2012

Salam Eidul Fitr

Sebulan Ramadhan yang penuh barakah telah pun berlalu pergi. Ditinggalkan penuh kepiluan. Mungkinkah Ramadhan tahun hadapan bisa ketemu lagi? Moga-moga kita dipanjangkan usia dan dikurniakan kekuatan rohani dan jasmani untuk kembali meraih rahmat Illahi. Ameen.

Tenggelamnya mentari di ufuk barat di akhir Ramadhan, maka bermulalah gemerlapan cahaya Syawal. Takbir raya mula berkumandang memecah hening malam. Riuh rendah suara kanak-kanak diselangi dentuman mercun dan memercik indah cahaya bunga api. Tua muda semuanya bergembira menyambut hadirnya 1 Syawal.

Kepada para pengunjung Salam Monash,

Selamat Hari Raya Eidil Fitr
Maaf Zahir dan Batin

ikhlas daripada kami sekeluarga:-
- Mohd Ropidi
- Noorlaili
- Muhd Izzuddin
- Nur Hanisah
- Nur Solehah
- Muhd Imran

Insya Allah pada Hari Raya ini kami pulang ke 2 destinasi. Hari Raya pertama kami di Kg. Bukit Bangkong, Sepang - beraya bersama keluarga emak-abah serta Atuk Sulaiman.

Pada Hari Raya kedua, Insya Allah kami bertolak pulang ke Terengganu di Kg. Teluk Menara, Manir untuk beraya bersama keluarga ayah di sana. Sebak di hati mengenangkan Cik tiada lagi sedangkan pada tahun lepas kami menyambut bersama-samanya penuh gembira. Moga rohnya aman di alam sana. Ameen.

Salam Eidul Fitr untuk semua.

Thursday, August 16, 2012

Nostalgia Ramadhan di Australia

Ramadhan telah pun sampai ke penghujungnya.

Melalui detik-detik Ramadhan, seringkali terbayang di mata suasana Ramadhan ketika di luar negara, khususnya di Dandenong, Melbourne, Australia di mana kami bermukim selama hampir 4 tahun. Berada di bumi asing dari budaya kemelayuan dan dengan persekitaran majoriti non-Muslim, suasana Ramadhannya ternyata amat berbeza. Namun aura Islamnya masih dirasai tatkala berada di kalangan umat Islam setempat dengan majoritinya berketurunan Turki bermazhab Hanafi.

Bulan Ramadhan yang kami lalui biasanya di akhir musim sejuk membawa ke awal musim bunga. Suhunya di sekitar 15C-20C. Hawa sejuknya masih terasa. Justeru itu maksiat mata masih terkawal kerana rata-rata wanita di sekeliling masih memakai pakaian musim sejuk, membungkus diri dari hujung kaki hingga ke leher. Lazimnya hanya rambut yang kelihatan ketika berurusan di premis perniagaan. Kecualilah pada hari bercuaca panas, pandangan mata sedikit tergugah.

Waktu siang di musim sejuk/bunga biasanya lebih pendek, kira-kira 11 jam sahaja. Namun tiada masalah kerana lapar dan dahaga tidak terasa dek suasana persekitaran yang sejuk. Dari pemerhatian kami, anak-anak Turki di peringkat sekolah rendah (5-11 tahun) kurang diberi penekanan kewajiban puasa berbanding anak-anak warga Malaysia. Cuma dugaannya lebih sedikit kerana para pelajar non-Muslim bebas makan di hadapan anak-anak. Namun tiada masalahnya bagi mereka... alah bisa tegal biasa.

Pada malam hari suhunya lebih sejuk, biasanya di bawah 15C. Di Masjid Emir Sultan berdekatan rumah kami selalunya memasang alat pemanas untuk memberi keselesaan kepada para jemaah. Solat tarawih bagi masyarakat Turki sedikit berbeza yakni setiap 4 rakaat 1 salam, manakala 3 rakaat 1 salam pula untuk solat witir. Selawat Nabi antara rakaat juga berbeza tetapi mudah untuk diikuti.

Di Dandenong, terdapat hampir 20 komuniti Muslim warga Malaysia. Hubungan kami amat rapat sekali. Merekalah teman, merekalah saudara dan ahli keluarga. Tradisi berbalas-balas juadah berbuka adalah satu kelaziman yang masih terpelihara. Seronok sekali. Adakalanya pelbagai juadah memenuhi meja berbuka.

Pada setiap petang hujung minggu selalunya kami berkumpul di rumah-rumah tertentu secara bergilir-gilir. Kami berbuka puasa bersama sambil menikmati pelbagai juadah tradisional Melayu hasil air tangan rakan-rakan. Terubat rasa rindu pada tanah air. Seterusnya kami solat Maghrib berjemaah, diikuti solat Isyak-Tarawih dan Witir.

Bazaar Ramadhan pula hanya terdapat pada hujung minggu sahaja di rumah-rumah tertentu mengikut lokasi ramai dihuni oleh warga Malaysia dan juga di perkarangan Malaysia Hall. Ianya dikendalikan sendiri oleh mereka yang rata-ratanya para pelajar universiti. Kami pun turut sama berjual dengan juadah istimewa kami, dendeng.

Demikianlah sepintas lalu suasana Ramadhan yang kami lalui ketika di perantauan Australia dahulu. Kini hanya tinggal kenangan yang pasti tidak dilupakan sepanjang hayat di kandung badan.

Monday, August 13, 2012

Berbuka Puasa

Berbuka puasa khususnya di bulan Ramadhan ini adalah saat yang amat ditunggu-tunggu. Bagi yang tidak berpuasa pun turut sama merasakan nikmatnya - tidak kiralah kerana uzur syarie' ataupun 'uzur ciptaan sendiri'.

RasuluLlah SAW bersabda,"Bagi orang yang berpuasa, ia memperolehi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka puasanya dan ketika menemui Tuhannya". - HR Bukhari.

Disyarahkan oleh para ulama', kegembiraan yang disebutkan di dalam hadis tersebut adalah bagi orang yang puasanya dapat menghalangnya dari melakukan kemungkaran dan perkara keji.

Bagaimana dengan agenda berbuka puasa harian kalian semua? Apa cara sekalipun moga ianya tidak mengundang kepada pembaziran, keterlaluan dan terjaga batasan syariaatnya. Ameen.

Saban tahun agenda berbuka puasa saya mudah sahaja - berbuka di masjid. Setelah melaluinya, dirasakan amat banyak fadhilat dan faedahnya, antaranya :-

- (Paling utama) Bersolat di awal waktu secara berjemaah di masjid/surau.
- Makan sederhana, makan apa yang ada - jimat belanja, jimat masa.
- Duit belanja berbuka bolehlah disedekah/diinfakkan.
- Berukhuwah sesama jemaah satu qariah yang juga jiran tetangga.
- Bertahlil dan berdoa sebelum berbuka (antara waktu mustajab doa).
- Beriktikaf selepas berbuka sehingga selesai solat tarawih/ witir.
- Bertadarus/ baca Quran, solat sunat dan berzikir.

Lazimnya saya akan membawa sekali anak-anak lelaki, manakala isteri dan anak-anak perempuan pula berbuka di rumah. Namun pada tahun ini, kesemuanya berbuka puasa di masjid. AlhamduliLlah sehingga kini tidak pernah kami berbuka di rumah.

Soal makan tiada masalahnya. Apa yang dihidangkan itulah rezeki kami. Sekaligus dapat menyumbang pahala untuk para penyumbangnya atau kita sendiri turut menyumbang.

Bersabda RasuluLlah SAW,"Barangsiapa memberi makan orang yang berpuasa, maka baginya ganjaran pahala seumpama orang berpuasa itu, tidak dikurangkan sedikit pun" - HR Termizi dan Ibn Majah.

Bagi kami juadah berbuka di masjid amat menyelerakan (perut kosong semuanya sedap). Malah amat mewah sekali seperti kurma, bubur lambuk, pelbagai kueh-mueh, buah, nasi berlauk (sesekali pekena nasi Arab dan nasi beriani) dan bermacam-macam lagi. Ada kalanya naik semput juga dibuatnya.

Maka Bazaar Ramadhan tolak ke tepi kecuali untuk mencari kelainan citarasa juadah untuk bersahur. Sekaligus dapat mengekang nafsu membeli dan menjaga pancaindera serta hati.

Sehingga kini kami merasakan ianya satu keseronokan yang tidak dapat digambarkan. Insya Allah, jika ada usia; ianya akan diteruskan di tahun-tahun mendatang. Ameen Ya Rabbal 'alameen.

Friday, August 10, 2012

Rally Ilmu @ Hulu Kelang

RasuluLlah SAW bersabda,"Barangsiapa menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah SWT akan melorongkan baginya jalan ke syurga"

Lebih bermakna lagi, dinukilkan bahawa majlis-majlis ilmu itu adalah taman-taman syurga yang turut disertai para malaikat. Alangkah mulianya majlis seumpamanya.

Di sepanjang Ramadhan ini, hampir semua masjid dan surau giat mengimarahkannya dengan kegiatan keilmuan. Betapa mudah dan banyaknya peluang untuk menimba ilmu.

Di Hulu Kelang pun tiada bezanya. Kuliah Subuh, Kuliah Zohor, Kuliah Asar dan Tazkirah Tarawih adalah satu kebiasaan. Pada hari tertentu pula dimeriahkan pula dengan Qiamullail (terutama di 10 malam akhir Ramadhan), Kuliah Dhuha dan Forum Perdana.

Insya Allah, pada hujung minggu ini (Ahad - 12/08/2012), bertempat di Masjid Al-Ridhuan, Hulu Kelang akan berlangsung 'Rally' Ilmu dengan pengisian yang amat menarik. Bermula dengan Qiamullail sekitar jam 3:30 pagi sehinggalah kemuncak Kuliah Asar bersama Ust. Azhar Idrus.

Malamnya pula seperti biasa, solat tarawih-witir 23 rakaat : 1 juz Al-Quran. Dan masjid pula dibuka 24 jam sepanjang 10 hari terakhir bagi jemaah yang ingin beriktikaf dan berqiamullail.

Sorotan majlis seperti pada banner di bawah :-


Cuma ingatan daripada pihak masjid, untuk mengikuti Kuliah Asar bersama Ust. Azhar Idrus, datanglah lebih awal bagi mengelakkan kesesakan meletak kenderaan. Sebaiknya datang waktu Zohor dan tunggu sehinggalah ke waktu Asar. Kiranya khalayak terdahulu menjadi bandingan, tidak kurang daripada 5,000 orang dijangka akan hadir.

Untuk berbuka puasa, tiada juadah berat disediakan, Insya Allah sekadar buah kurma dan air mineral sahaja. Juadah yang lebih berat boleh dibeli di gerai jualan atau dibawa bersama.

Marilah sama-sama kita meriahkan setiap majlis ilmu, moga dengannya kita telah mengisi ruang kewajiban menuntut ilmu yang telah difardhukan ke atas setiap insan yang bergelar Muslim.

Sabda RasuluLlah SAW,"Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap orang Muslim"

Tuesday, August 7, 2012

Pemurahnya ALLAH

[Peringatan khusus untuk diri dan keluargaku. Untuk semua, moga ada manafaat untuk kita bersama. Insya Allah]

Jika hendak dihitung akan anugerah dan nikmat daripada Allah SWT kepada hambaNya, amatlah banyak. Tidak terhitung oleh kita. Malah setiap satu kebaikan yang dilakukan telah dijanjikan oleh Allah SWT gandaan 10 kali kebaikan sepertinya.

Apatah lagi di bulan Ramadhan nan barakah ini. Gandaan pahalanya berlipat-lipat kali ganda. Pemurahnya Allah SWT di bulan ini mengatasi pemurahnya Ia pada bulan-bulan lain. Semuanya untuk hamba-hambaNya yang beriman dan beramal soleh.

Umumnya pada bulan Ramadhan ini, Allah menjanjikan pahala setiap amalan sunat menyamai pahala amalan fardhu, manakala pahala bagi setiap amalan fardhu pula diganjari pahala sehingga 700 kali ganda amalan setaranya. SubhnaLlah... tawaran yang amat-amat mewah.

Bayangkan, setiap pahala yang dianugerahkan Allah SWT diterima dalam bentuk duit atau kebendaan... pasti penuh sesak masjid dibuatnya, melimpah ruah setiap hari dan setiap waktu tanpa mengira siang mahu pun malam.

Lihat sahaja tawaran bantuan persekolahan RM100 dan BR1M sebanyak RM500, sanggup para penerimanya bersesak-sesak dan berbaris panjang di tengah panas kerananya.

Entahlah, bagaimana keadaannya jika tawaran RM puluhan ribu ditawarkan untuk mereka yang hanya bersolat, bersedekah, membaca Qur'an, beriktikaf, saling bermaafan, berbaik sangka sesama Muslim dan bermacam-macam amal kebaikan lagi.

Apatah lagi kiranya tawaran lebih lumayan diberikan kepada sesiapa yang ketemu dengan Lailatul Qadar... Allahu akbar, tidak dapat dibayangkan bagaimana situasinya pada masa itu.

Demikianlah sorotan ganjaran pahala dan suasana pada bulan Ramadhan jika dilihat dari kacamata kebendaan.

Yakinlah akan janji-janji Allah SWT. Ganjaran pahala tidak dapat diukur dengan wang ringgit. Namun ia pasti diberikan kepada hamba-hambaNya selagi dilakukan penuh ketaqwaan, semata-mata kerana Allah SWT. Itulah antara bekalan kita untuk menghadap Allah Azza wajalla di Padang Mahsyar nanti.

Daku berseru pada diriku sendiri dan ahli keluargaku serta umat Muhammad SAW, marilah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakan setiap amal kebaikan walau sekecil mana sekalipun di bulan Ramadhan penuh barakah ini. Lebih-lebih lagi di sepuluh terakhir Ramadhan ini. Marilah kita berusaha meraih penuh syukur setiap ganjaran yang ditawarkanNya.

Insya Allah, masa masih ada. Amatlah rugi kiranya kita terlepas begitu sahaja kerana Ramadhan tahun hadapan belum tentu kita temui lagi.

Moga-moga kita termasuk di kalangan hamba-hamba yang diredhaiNya di dunia dan di akhirat. Ameen.

Friday, August 3, 2012

Bagaimanakah Puasa Kita?

[Muhasabah diri khusus untuk diri ini yang sering lupa dan tewas akan kewajiban kepada al-khaliq. Moga ada manafaat bersama]

Sedar atau tidak, Ramadhan telah pun menghampiri separuh bulan. Begitu cepat masa berlalu. Walaupun masih berbaki hampir 15 hari lagi tetapi percayalah ianya akan tetap pantas meninggalkan kita. Apatah lagi apabila semakin dekat dengan 1 Syawal.

Persoalannya bagaimanakah dengan puasa kita sehingga kini dan seterusnya? Apakah ianya mengikut acuan agama atau sebaliknya? Seronokkah kita dengannya? Di manakah tahap puasa kita untuk kita bawa sebagai bekalan menghadap Allah azza wajalla nanti?

Puasa adalah suruhan Allah SWT. Kita sebagai hambaNya wajib patuh dan taat kecuali tergolong di kalangan yang dibenarkan secara bersyarat yang ketat.

Sedih hati tatkala terlihat dan terbaca kisah mereka yang segar bugar dengan 'muka tak malu' tidak berpuasa. Dengan kata lain mereka telah menderhakai Allah SWT. Untuk mereka ini Allah memberi satu pilihan sahaja iaitu carilah bumi lain jika merasa diri terlalu hebat. NauzubiLlahi minzalik.

Bagi yang mengimani akan ibadah puasa, marilah kita perhatikan apa yang telah dinukilkan oleh Imam al-Ghazali di dalam kitab Ihya' Ulumuddin. Puasa dibahagikan kepada 3 darjat iaitu puasa umum, puasa khusus dan puasa khususul khusus (lebih khusus).

Puasa umum adalah puasa orang lalai iaitu sekadar menahan lapar dan dahaga serta anggota sulit daripada syahwat.

Lazimnya, mereka tidak kisah dengan pelbagai suruhan dan larangan Allah SWT seperti culas bersolat, mendedahkan aurat (termasuk dikatakan berpakaian tetapi telanjang), melakukan rasuah, berdusta dan sebagainya. Apa yang diperolehi mereka hanyalah lapar dan dahaga... amat rugi sekali.

RasuluLlah SAW bersabda,"Ramai orang berpuasa tetapi tiada memperolehi dari puasanya melainkan lapar dan dahaga" (HR Ibn Majah, Ahmad dan Baihaqi)

Puasa khusus pula adalah puasa orang soleh yakni mengekang telinga, mata, lidah, hidung dan anggota badan lain daripada perkara-perkara haram dan berdosa. Ingin disentuh di sini termasuklah dalam cara berpakaian yang memenuhi syariat dan menjaga perut daripada tuntutan nafsu makan.

Di samping menjaga amalan puasa, amalan harian lain juga terpelihara seperti solat wajib dan sunat, banyak bersedekah, membaca dan memahami kandungan al-Quran, beriktikaf di masjid, menghadiri majlis-majlis ilmu, beribadah di sepertiga malam, memperbanyakkan zikir, doa dan istighfar serta lain-lain amal kebajikan.

Inilah tahap yang sewajarnya bagi kita. Sentiasa terdetik di hati rasa khauf (takut) akan puasa ditolak oleh Allah SWT dan rasa roja' (harap) agar amalan kita itu diterima olehNya. Marilah kita berusaha sedaya mungkin untuk melaksanakannya sebaik mungkin dengan keimanan yang jitu agar kita menjadi insan terbaik di sisiNya.

Sabda RasuluLlah SAW,"Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kerana keimanan (kepada Allah) dan mengharap ganjaran pahala, maka diampunkan dosa-dosa yang lepas dan akan datang" (HR Bukhari)

Manakala puasa khususul-khusus adalah puasa orang yang amat-amat dekat dengan Allah SWT. Puasanya bukan sekadar puasa khusus tetapi hatinya juga berpuasa dari segala cita-cita yang kotor dan pemikiran keduniaan di mana perhatiannya hanya tertumpu pada Allah semata-mata.

Bagi kita berstatus orang awam ianya mungkin 'jauh panggang dari api' tetapi tidak salah untuk kita mengidamkannya dengan menjadikan amalan golongan ini sebagai teladan dalam beribadah.

Moga pada Ramadhan tahun ini kita dirahmati dan diredhai Allah SWT. Kita tidak mahu apabila tamatnya Ramadhan barulah kita tersedar betapa kita telah pun terlepas akan tawaran maha lumayan dari Allah SWT terutamanya anugerah paling diimpikan iaitu pengampunan dosa dan keberkatan Lailatul Qadar.

Ya Allah, terimalah setiap amal kebaikan yang kami lakukan, rahmatilah kami dan jadikanlah kami hambaMu yang terbaik di sisiMu. Ameen Ya Rabbal 'alameen.

Friday, July 27, 2012

Muhasabah Diri

Salam Ramadhan al Mubarak untuk semua.

Setinggi-tinggi penghargaan atas kunjungan kalian semua ke blog ini. Melihat kepada statistik capaian (statcounter) yang telah pun melebihi 50,000 capaian, bolehlah ia dikatakan memberangsangkan juga. AlhamduliLlah. Terima kasih.

Jika anda perasan, di kebanyakan entri kami, sering kali disentuh perkara berkaitan agama kita (Islam) samada secara langsung mahu pun sepintas lalu. Adakalanya dinyatakan secara spesifik yakni sebagai peringatan untuk diri kami yang sering alpa akan tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT dan umat Nabi Muhammad SAW.

Namun pada masa yang sama ingin sekali dikongsi bersama para pengunjung semua. Moga ada manafaatnya untuk kebaikan kita - dunia dan akhirat. Insya Allah. Ameen.

Terus terang, kami tidak bermaksud untuk menunjuk ajar orang lain tetapi lebih kepada muhasabah diri di atas segala kekurangan yang ada. Lebih-lebih lagi untuk anak-anak kami yang sedang meningkat usia remaja di tengah-tengah pancaroba keduniaan yang sering dipandang indah pada kulitnya tetapi isinya belum tentu menepati acuan Illahi.

Tambahan pula masing-masing berkeupayaan mengakses sebarang bahan dari internet dengan mudah. Tidak secara langsung mereka dapat membaca luahan hati kami dan harapan yang ingin dicapai. Tiada yang lain hanyalah redha Allah yang diharapkan.

Sesuatu yang baik itu adalah dari Allah SWT, manakala yang buruk itu adalah dari kekurangan diri sendiri (moga diampuniNya). Mohon maaf kiranya tersilap bicara.

Saturday, July 21, 2012

Salam Ramadhan Kareem

Ahlan wa Sahlan ya Ramadhan al Mubarak.

AlhamduliLlah, setinggi-tinggi kesyukuran selayaknya untuk Allah SWT kerana diizinkan kita bertemu lagi dengan Ramadhan tahun ini. Moga kita semua dirahmatiNya di sepanjang Ramadhan dan dikurniakan ampunanNya setelah berakhirnya Ramadhan. Ameen.

Setiap kali tibanya Ramadhan, terasa gementar jauh di sudut hati ini. Bercampur baur antara gembira dan takut. Gembira kerana masih berpeluang meraih sebanyak mungkin kelebihan yang ada di bulan nan barakah ini. Manakala takut pula kerana khuatir tidak dapat mengimarahkan Ramadhan dengan sewajarnya.

Apakah Ramadhan tahun ini mampu menjadi yang terbaik berbanding Ramadhan-Ramadhan terdahulu? Itulah yang sering berlegar-legar di fikiran.

Sedia maklum, Ramadhan bukan sekadar menahan lapar-dahaga serta perkara yang membatalkannya tetapi lebih daripada itu. Ianya adalah bulan ibadah, bulan kebajikan dan bulan keberkatan yang berganda-ganda melebihi bulan-bulan lain.

Betapa pemurahnya Allah SWT pada bulan ini. Amat malang kiranya kita tidak merebut setiap ganjaran yang ditawarkanNya.

Segala peluang terbentang luas di sekeliling kita. Tepuk dada tanya iman, mana satu yang menjadi pilihan - meningkatkan ilmu, iman dan amal ataupun leka dan mengeluh dengan sedikit dugaan.

RasuluLlah SAW bersabda,"Barangsiapa mendirikan Ramadhan penuh keimanan dan berkira-kira mencari keredhaan Allah, maka akan diampuni dosa-dosanya yang lepas" - Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Ya Allah, kurniakanlah kami kekuatan, kesungguhan dan keikhlasan dalam beribadah kepadaMu. Permudahkanlah kami dalam setiap urusan harian kami.

Ya Allah, anugerahkanlah kami puasa yang terbaik serta amal kebaikan yang terbaik. Jadikanlah kami hambaMu yang terbaik di sepanjang Ramadhan tahun ini. Dan jadikanlah Ramadhan kali ini yang terbaik buat kami.

Itulah harapan kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pemurah lagi Maha Memperkenankan. Ameen Ra Rabbal 'alameen.

Thursday, July 12, 2012

Nostalgia Salji di Australia

Facebook - amat jarang saya membukanya. Sesekali dijenguk hanya untuk mengetahui khabar berita rakan-rakan yang sering mengemaskini FB masing-masing.

Beberapa hari ini didapati ramai rakan yang begitu seronok sekali menyiarkan foto-foto terkini mereka sekeluarga sedang bermain salji di kawasan pergunungan di selatan benua Australia. Tidak kira rakan-rakan yang masih di Australia, mahupun yang berkunjung ke sana.

Dengan pakaian tebal membalut badan, snow boot kemas di kaki, muffler lembut membelit leher dan beanie menyerkup kepala - tampak bergaya sekali dengan berlatarkan persekitaran bersalji memutih. Sahlah fotonya di kawasan salji, bukannya sekadar super impose.

Barulah kami teringat, kini musim sejuk di sana. Sekaligus terimbas di ruang mata akan nostalgia selama hampir 4 tahun (2007-2010) kami 'bermastautin' di Australia, khususnya di Melbourne, Victoria.

Musim sejuk di Australia bermula dari bulan Jun sehingga Ogos. Kini adalah bulan Julai, masa yang sesuai untuk berkunjung ke kawasan bersalji di pergunungan tertentu. Manakala bagi Muslim, inilah waktunya kerana tidak sampai seminggu lagi bermulalah bulan Ramadhan. Bukannya apa, kot-kot tidak larat diselimuti kesejukan salji, salah satu penyebab cepat terasa lapar dan dahaga.

Selama 'tinggal' di bumi Aussie, kami tidak pernah ketinggalan bermain salji. Sekurang-kurangnya sekali setiap tahun tetapi biasanya berulang-ulang kali. Apatah lagi ketika membawa tetamu samada dari tanah air mahu pun dari pelusuk lain tanah Australia yang tiada salji (antaranya South Australia).

Lake Mountain adalah destinasi salji yang amat kami gemari. Lokasinya hanya 100 km dari kediaman kami di Dandenong. Malangnya pada tahun 2009, kebakaran hutan telah memusnahkan kawasan tersebut menyebabkan salji langsung tidak 'lekat' pada tahun-tahun berikutnya. Dari foto-foto yang diposkan di FB, nampaknya Lake Mountain kembali berseri dengan salji memutih.

Mount Buller juga antara destinasi salji yang menarik. Kawasannya jauh sedikit dari rumah kami, sekitar 200km jaraknya. Pilihan kami adalah bermalam di sekitarnya dan bermain salji seharian di puncaknya pada keesokan harinya. Tidak silap kami, hanya 2 kali kami ke Mt. Buller.

Mount Baw-Baw, letaknya tidaklah jauh sangat dari rumah, sekitar 135km sahaja. Akan tetapi kami tidak suka ke sana kerana jalannya berliku-liku - kepala cepat terasa pening dan tekak meloya. Tidak sesuai untuk kami. Hanya sekali kami ke sana, itu pun pada tahun pertama kami di Melbourne. Selepas itu 'tobat' tidak pernah menjejakkan kaki walaupun diajak oleh rakan sekampung.

Lain-lain kawasan di sekitar Melbourne yang tidak kurang popularnya adalah Mt. Hotham dan Falls Creek. Berhajat juga kami untuk ke dua-dua tempat tersebut tetapi tidak kesampaian. Salah satu sebabnya adalah lokasinya agak jauh dari kediaman kami. Cukuplah dengan apa yang ada berdekatan kami. Salji tetap salji, cuma pemandangannya berbeza.

Sebilangan besar pengunjung kawasan bersalji adalah peminat ski dan papan luncur. Tidak untuk kami. Memang ada hasrat untuk belajar bermain ski melalui kelas-kelas yang dianjurkan tetapi kosnya mahal. Cukuplah sekadar bermain toboggan dan snowtube meluncur menuruni cerun ataupun melayan anak-anak membina snowman dan snowcastle atau saling membaling snowball.

Jika bernasib baik, kami dihujani snowflake yang turun bagaikan gerimis melekat pada pakaian. Untuk meninjau keindahan persekitaran yang memutih bak hamparan permaidani putih, biasanya kami menaiki chairlift yang bergerak dari satu stesen ke stesen berikutnya.

Sebenarnya, musim sejuk adalah musim yang paling kami tidak gemari. Suasana sejuk menyebabkan kami menjadi pasif - malas bergerak. Namun dek kerana mengingatkan seronoknya bermain salji dan itulah peluang yang ada, maka segala yang pasif tiba-tiba menjadi aktif.

Sejuknya salji memang terasa, apatah lagi jika pakaian mulai basah dan salji mencair di dalam kasut. Pilihannya hanya satu - berhenti sahaja dan duduk diam-diam di dalam kereta atau di ruangan menunggu yang panas.

Walaupun sejuk, namun kewajiban bersolat tidak pernah dikesampingkan. Biasanya lokasi yang sedikit terlindung dengan beralaskan kanvas/ tikar, cukup untuk kami menzahirkan rasa syukur atas setiap nikmat yang dianugerahkanNya. Bermain salji jugakan satu nikmat daripada Allah.

Cuma kami merasa amat sedih melihat sebilangan rakan yang memandang ringan akan kewajiban yang satu ini dengan pelbagai alasan yang direka-reka. Kata pak guru, hukumnya mudah, jika kerana bermain salji menjadi sebab solat ditinggalkan, maka aktiviti bermain salji serta perjalanannya itu jatuh haram walaupun hukum asalnya harus. Maka jadilah keseluruhannya haram. Begitu juga pada kegiatan seharian kita yang lain. NauzubiLlahi min zaalik. Ameen.

Wednesday, July 11, 2012

Di Ambang Ramadhan

[Catatan ini adalah sebagai peringatan untuk diri ini yang sering alpa. Moga ada manafaat bersama]

Bulan Sya'aban kini semakin menghampiri penghujungnya. Seterusnya berganti pula dengan bulan Ramadhan - bulan yang sinonim dengan amalan sebulan berpuasa. Itulah yang terpahat di sanubari kita sejak zaman kanak-kanak lagi.

Tiada salahnya tetapi pengertiannya kurang tepat.

Bagi mereka yang berusaha mendekatkan diri kepada Allah SWT, hadirnya Ramadhan amat menggembirakan. Inilah bulan kemuliaan yang tiada tandingannya. Dipenuhi dengan kebaikan, keberkatan dan rahmat Allah yang berlipat ganda. AmpunanNya terbuka luas. Doa munajat amat mustajab. Malah dianugerahi pula malam nan istimewa yang terlebih baik daripada seribu bulan. Betapa pemurahnya Allah di bulan nan satu ini.

Justeru itu, apa lagi yang sewajarnya kita lakukan? Apakah ingin kita lepaskan kesempatan yang amat lumayan ini? Allahu akbar. Wahai hati, muhasabahlah diri...

Dari itu, saya berpesan lebih kepada diri sendiri, anak-isteri dan rakan-taulan semua - marilah sama-sama kita hidupkan Ramadhan tahun ini dengan sebanyak mungkin amal ibadah serta kebaikan. Marilah sama-sama kita berusaha melakukan yang terbaik yang selayaknya sebagai hamba Allah dengan mengharapkan redha dan rahmat dariNya.

Dengan Sya'aban yang masih berbaki ini, marilah kita melatih diri kita untuk mendekatkan diri kepadaNya dengan amalan puasa sunat, solat malam, baca Qur'an dan menghayati kandungannya, bersedekah, beriktikaf dan bersolat jemaah di masjid, bertaubat nasuha, berbuat baik sesama insan, menjaga tutur bicara dan perbuatan serta sentiasa bermunajat kepadaNya. Moga apabila tibanya Ramadhan kita telah pun terbiasa dengannya, maka mudahlah untuk kita meningkatkan lagi nilai amalan.

Moga kita semua dikurniakan kesihatan, kekuatan dan dipermudahkan olehNya. Ameen Ya Rabbal 'aalameen.

Marhaban Ya Ramadhan al Mubarak.

Tuesday, June 26, 2012

Pusat Sains Negara

Hari Sabtu baru-baru ini, seusai urusan di tengah Bandaraya Kuala Lumpur, kami sekeluarga terus ke Pusat Sains Negara (PSN) di Bukit Kiara. Satu perjalanan yang 'menyeksakan' - hampir sejam kami terkial-kial di jalan mencari tanda arah yang mengelirukan pandangan sehingga beberapa kali tersilap laluan. Itulah KL yang sering kami elakkan.

Bangunan PSN berwarna hijau yang berbentuk separa kon dengan kubah di atasnya megah tercacak di atas bukit, dikelilingi pepohonan menghijau di sekitarnya. Sejuk mata memandang. Terhibur jiwa yang 'terseksa'.

Di PSN, tarikan utama anak-anak adalah pameran utamanya, "Dinosaurs Live!" yang bermula 1 Mei lalu sehingga 31 Julai ini. Tiketnya mahal sedikit; dewasa RM15, warga emas RM6, kanak-kanak RM6 - RM12 dan pelajar dengan kad pelajar RM12. Untuk pakej keluarga terdapat pilihan samada RM42 atau RM36. Bersama 3 orang anak, bayaran untuk kami : RM54.

Tanpa memasuki Dinosaurs Live!, harga tiketnya murah sahaja, RM6 bagi dewasa dan RM3 untuk kanak-kanak. Tepuk dada tanya hati, mana nak pergi.

Menjejakkan kaki masuk ke ruang pameran, kami disambut puluhan ikan-ikan besar (spesies air tawar) yang ditempatkan di dalam akuarium terowong sepanjang 8 meter. Barangsiapa yang melaluinya pasti terhenti sambil mendongak kepala ke atas, kiri dan kanan. Berhampiran pintu masuk juga terdapat akuarium-akuarium kecil dengan pelbagai ikan dan tumbuhan akuatik berwarna-warni. Terpesona dengan keindahan dan keunikannya.

Di ruang legar utama, kami disambut pula oleh rangka dinosaurs yang amat besar dan tinggi. Bersebelahannya pula adalah 3 dinosaurs saiz biasa yang boleh ditunggangi dan diambil foto, dengan syarat telah pun dibayar RM3 ketika membeli tiket. Apa lagi, Imran dan Solehahlah yang menjadi modelnya.

Koleksi sebahagian foto dapat diakses di Album Foto Kami atau klik di sini.

Seterusnya kami ke ruang pameran dinosaurs di Tingkat 1. Suasananya kelam dengan disinari lampu-lampu merah, hijau dan biru bagi memberi impak betapa besar dan nyatanya haiwan prasejarah tersebut. Sesekali kami dikejutkan dengan beberapa ngauman kuat berserta gerakan kepala, ekor, kerlipan mata dan jeliran lidah dinosaurs, seolah-olah ianya hidup. Itulah sistem animatronik namanya, hasil gabungan kejuruteraan mekatronik.

Bermacam jenis replika dinosaurs dipamerkan; antaranya T-Rex, spinosaurus, ornitholestes, deinosuchus, dimetrodon, parasaurolophus, protoceratops, ankylosaurus dan banyak lagi. Difahamkan 30 replika dinosaurs yang diperbuat daripada silikon lembut dihimpunkan untuk tontonan pengunjung. Terpegun kami melihatnya.

Terdetik di sanubari, betapa besarnya kekuasaan Illahi, walaupun telah puluhan dan ratusan juta tahun pupus tetapi dengan sekelumit ilmu yang dianugerahiNya menjadikan ianya seolah-olah hidup kembali. SubhanaLlah!

Umumnya, di samping pameran istimewa dinosaurs, terdapat lebih 1000 exhibit dalam 12 galeri sains dan teknologi (pelbagai tema) yang dipersembahkan secara tidak formal yang boleh dicuba dan dipelajari. Penerangan asas akan sebab dan penyebab sesuatu kejadian dapat membantu para pengunjung memahami konsep sains di dalamnya. Segalanya berkait rapat dengan kehidupan seharian kita.

Separuh hari kami bergerak dari satu exhibit ke satu exhibit. Anak-anak begitu seronok dan teruja sekali. Hampir setiap exhibit akan dicuba dan diperhati penuh minat setiap kejadian yang berlaku. Sedaya mungkin kami cuba menerangkannya sambil turut sama mempelajarinya.

Sebetulnya, bukan anak-anak sahaja yang tidak mengetahui tetapi kita orang dewasa pun sewajarnya mengakui kecetekan ilmu sendiri. Demikianlah Allah SWT mengibaratkan ilmu manusia seumpama titisan air di hujung jari yang dicelup ke lautan nan luas dan dalam (ilmu Allah). Allahu akbar!

Dari pemerhatian kami, kehadiran pengunjung amat menggalakkan terutama di kalangan pelajar sekolah, remaja dan ibu bapa bersama anak-anak. Cuma perlu ada tindakan susulan agar ianya bukan sekadar permainan semata-mata tetapi perlu ada pengisian, pengajaran dan pengetahuan yang dapat diceduk.

Ketika di Australia dahulu, kami pernah kunjungi beberapa pusat sains seumpamanya seperti di Melbourne City, Phillips Island dan Bendigo.

Kami merasa amat gembira kerana ianya terdapat juga di tanah air sendiri. Amat baik sekali kiranya pusat seumpamanya turut dibina di setiap negeri agar dapat menarik minat dan memahamkan masyarakat Malaysia kepada sains dan teknologi. Sekaligus dapat menghilangkan rasa takut dan curiga terhadap sains.

Tidak rugi kami ke Pusat Sains Negara. Penatnya amat terasa tetapi kepuasan adalah ganjarannya. Masih banyak lagi exhibit yang tidak sempat kami cuba dan bermain dengannya. Insya Allah di lain ketika kami menyinggah lagi.

Monday, June 25, 2012

Ceramah Prof Kamil di as-Sobirin

AlhamduliLlah malam tadi saya berkesempatan duduk bersama khalayak jemaah Masjid as-Sobirin, AU5C yang begitu ramai - dianggarkan lebih 600 orang yang hadir - semata-mata menadah telinga dan hati, mendengar luahan harapan dan pesanan daripada Tuan Haji Prof Dr. Muhd Kamil Ibrahim.

Bagi yang sering mengikuti coretan beliau di blog Kehidupan Ringkas Tapi Signifikan dan juga di FB serta membaca buku-buku Travelog Haji, Travelog Dakwah, 50 Tip Motivasi Haji dan yang terbaru Bersyukur Saat Diuji, rasanya tidak perlu diperkenalkan lagi siapa dirinya.

Beliau telah berhijrah ke Madinah kira-kira 10 bulan lalu dan kini sedang bercuti musim panas di tanah air.

Sesi ceramah malam tadi berlangsung secara santai. Input dakwah yang disampaikan amat mudah - mengajak seluruh umat Islam berusaha menjadi hambaNya yang sedikit, yakni memasuki syurga tanpa dihisab. Kaedahnya, ikutilah sunnah RasuluLlah SAW, antaranya :

- Amalkan solat 5 waktu berjemaah di masjid dengan disertai anak-anak.
- Lazimkan diri bangun bersolat malam di sepertiga akhir malam.
- Biasakan diri dengan puasa sunat, sebaiknya puasa Nabi Daud a.s. selang sehari.
- Jagailah aurat terutama bagi wanita dan anak-anak perempuan.
- Berdoa dan meminta hanya pada Allah SWT dengan sepenuh hati dan perasaan.

Inilah yang sentiasa diluahkan secara berulang kali oleh Prof Kamil pada setiap sesi ceramahnya, juga di blog dan FB. Inilah juga harapan beliau. Kisah kelalaian masa lalu setelah disedarkan oleh Allah SWT menjadi inspirasi utama beliau dalam mengajak saudara seIslam lain untuk turut berubah dan meningkatkan diri menjadi hambaNya yang dikasihi.

Dengan cara penyampaian 'bicara dari hati ke hati' membuatkan ia terkesan di hati. Setiap teguran, pertanyaan dan ajakan dirasakan bagaikan suatu motivasi ke arah perubahan diri yang lebih baik. Itulah sebenarnya yang diingini oleh setiap hati.

Moga usaha ikhlas Tuan Haji Prof ini akan sentiasa dipermudahkan oleh Allah SWT dalam rahmat dan redhaNya. Dan kita semua mendapat manafaat daripadanya sebagai bekalan untuk dibawa ke akhirat. Ameen Ya Rabbal 'alameen.

AlhamduliLlah, seusai solat sunat saya berpeluang bertemu mata dengan Tuan Haji Prof Kamil dan Puan Hajjah Roza sambil meminta jasa baik mereka menitipkan nota nasihat bertandatangan pada buku terbaru mereka; Bersyukur Saat Diuji dan Bukan Sekadar Resepi. Terima kasih Prof dan Roza.

Wednesday, June 20, 2012

Euro2012 > Bangun Malam

Sekarang adalah musim Euro2012. Bermula 9 Jun lalu dan akan berakhir 2 Julai nanti.

Bagi kaki bola dan yang ambil tahu pasal bola, bila disebut Euro2012, fahamlah mereka apa ke bendanya. Inilah yang ditunggu-tunggu mereka 4 tahun sekali, berselang 2 tahun daripada Piala Dunia.

Walaupun Euro2012 ini hanya melibatkan negara-negara Eropah tetapi auranya menyelinap hampir ke seluruh dunia. Apakan tidak, di sinilah berkumpulnya jagoan bola sepak dunia dengan gaya, kemahiran dan strategi (style, skill and strategy) permainan yang memikat hati. Itu kata kaki bola @ hantu bola.

Entahlah, saya bukannya kaki bola cuma suka tengok bola masuk gol. Apatah lagi jika permainannya menghiburkan. Pasukan mana yang score atau menang saya tidak kisah. Jadi, cukuplah sekadar menonton siaran berita atau sukan pada keesokan harinya.

Hampir keseluruhan perlawanan Euro2012 ini berlangsung sekitar jam 2:45 pagi. Prime time tidur - waktu sedang enak beradu sambil diulit mimpi-mimpi indah. Bagi kaki bola, tiada kisahnya bagi mereka. Malah jika berterusan semalaman sehingga ke pagi pun mereka masih sanggup bersengkang mata. Segala-galanya kerana bola.

Secara peribadi, saya merasa amat cemburu melihat kesungguhan bangun malam para kaki bola ini. Seringkali terfikir, alangkah bertuahnya mereka kerana dianugerahi semangat juang melawan mengantuk yang begitu tinggi.

Kiranya turut sama disekalikan dengan ibadah malam, lagilah beruntungnya mereka. Cukuplah sekitar setengah jam sebelum/ selepas perlawanan bermunajat kepadaNya sebagai tanda syukur atas segala limpah kurniaNya.

Alangkah baiknya jika amalan bangun malam ini diteruskan selepas musim Euro2012, menjadi satu tabiat yang sebati dalam diri.

Dengan kata lain, aktiviti bangun malam kerana bola menjadi latihan untuk bangun malam untuk berqiamullail. Persediaan yang amat bermakna menjelang tibanya Ramadhan al-Mubarak, bulan ibadah yang tiada tandingnya.

RasuluLlah SAW bersabda,"Solat yang paling utama selepas solat fardhu adalah solat malam (tahajud)" - (HR Muslim).

Sabda RasuluLlah SAW lagi,"Hendaklah kamu bangun melakukan ibadah pada waktu malam kerana ini adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu sebagai jalan untuk mendekatkan dirimu kepada Allah, penghapus dosa, pencegah kejahatan dan menolak penyakit dari jasad" - (HR Tarmizi dan Tabrani).

Dalam hal bangun malam ini, diakui diri ini sentiasa tewas dengan bujukan enaknya tidur. Keinginannya kuat, malangnya kerap bertangguh apabila terjaga, sehinggalah waktu tahajudnya telah hampir di penghujung. Lazimnya begitu.

Itulah sebabnya dikatakan saya amat cemburu kepada kaki bola yang cepat sekali bingkas bangun apabila waktu bersiaran Euro2012 hampir tiba. Jika saya dapat bangun malam seumpamanya, alangkah beruntungnya diri ini.

Moga-moga kita semua dipermudahkan oleh Allah SWT dalam usaha mendekatkan diri kepadaNya. Ameen.