Sunday, May 29, 2011

Ceramah Ustaz Azhar

Ustaz Azhar Idrus adalah pendakwah bebas dari Terengganu. Setiap kali beliau berceramah, ribuan pendengar akan berpusu-pusu mendatanginya. Ini menjadikan beliau antara penceramah tempatan yang amat diminati dan tersohor di kala ini.

Lihatlah beberapa foto (terima kasih al-ikhwan photography) ketika majlis ceramah beliau yang diadakan di Masjid Al-Ridhuan, Hulu Kelang pada hujung minggu baru-baru ini. Penuh sesak samada di dalam masjid mahupun di perkarangannya. Enam skrin besar yang disediakan membuatkan semua orang merasakan seolah-olah turut berada berhadapan dengan ustaz.

Walaupun kebanyakan aktiviti dakwah Ustaz Azhar banyak tertumpu di Pantai Timur tetapi setiap kali kehadiran beliau di Lembah Kelang amat dinanti-nantikan. Mengikut jadualnya, setiap 2 bulan sekali (bulan ganjil, di penghujung bulan) beliau akan turun ke ibu kota bagi memenuhi undangan berceramah.

Malam pertama (Sabtu malam Ahad), rutin tetapnya di Masjid Al-Ridhuan, Hulu Kelang. Masjid yang tidak jauh dari rumah kami. Diikuti malam berikutnya di masjid berlainan bersilih ganti. Kitab Anak Kunci Syurga susunan Asy-Syeikh 'Abdul Qadir bin 'Abdul Muthalib Al-Indunisi Al-Mandili menjadi rujukannya.

Ketika berada di Australia dahulu, saya langsung tidak mengetahui tentang Ustaz Azhar ini. Walaupun kuliah hariannya banyak terdapat di Youtube tetapi saya kurang mengendahkannya.

Sekembalinya ke tanah air pada bulan Januari lalu, saya berpeluang mengikuti ceramah bulanannya di Masjid Al-Ridhuan. Terkejut saya melihatkan sambutan yang diberikan. Dianggarkan seramai 5,000 orang hadir. Pada bulan Mac, 2011, bilangan pendengar meningkat sehingga 7,000 orang. Khemah tambahan di perkarangan masjid juga penuh. Begitu juga hari Sabtu malam Ahad baru-baru ini. Jangkaan saya khalayak pendengarnya menghampiri 10,000 orang. Seronok sekali melihat masjid dimakmurkan seumpamanya.

Demikianlah betapa tersohornya Ustaz Azhar. Entah dari mana datangnya khalayak yang begitu ramai. AlhamduliLlah, dalam lingkungan dugaan keduniaan yang amat menggoda, masih ramai lagi yang sanggup mengorbankan sedikit masa semata-mata mencari penawar jiwa demi menagih kasih sayangNya.

Secara umum, saya dapati kaedah penyampaian Ustaz Azhar amat menarik dan jelas sekali. Setiap persoalan yang ditimbulkan disertakan sekali dalil/nas Al-Quran dan Hadis serta pandangan para alim ulama'. Kiasan dan perumpamaannya amat tepat dengan apa yang disentuhnya.

Namun ada ketikanya tutur bicaranya agak kasar dan kesat apabila menyentuh isu-isu tertentu. Itu yang saya kurang gemari. Menurut beliau, ianya perlu demi memberi kesedaran dan peringatan yang lebih mengesankan. Tidak mengapalah, itu cara masing-masing. Lembut dan keras ada hikmahnya tersendiri. Ianya tidak mengubah keinginan saya mendapatkan mutiara ilmu di celah-celah butir bicaranya.

Moga usaha murni Ustaz dalam berdakwah dirahmati dan diberkati oleh Allah SWT. Terima kasih Ustaz. Tidak sabar menunggu sesi ceramah berikutnya pada akhir bulan Julai nanti.

Friday, May 27, 2011

Menuntut Ilmu

Sabda RasuluLlah SAW : "Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap Muslim (lelaki dan perempuan)".
Inilah antara hadis yang kerap diutarakan oleh para guru apabila memperkatakan tentang kewajiban belajar. Ianya diterima pakai oleh setiap orang Islam. Tidak kiralah samada ilmu moden (duniawi) atau pun ilmu agama (ukhrawi). Itulah pendirian saya sendiri sejak dahulu lagi. Umumnya tiada apa silapnya.
Namun apabila menghadap tok-tok guru di masjid, maksud hadis tersebut diperhalusi lagi. Menurut mereka, telah disepakati oleh para ulama', tuntutan di atas sebenarnya menekankan kepada menuntut ilmu fardhu 'ain, bukannya ilmu yang dikejar oleh kebanyakan orang sekarang ini.
Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya, Ihya' Ulumuddin meletakkan ilmu mengenal Allah SWT di tempat paling utama. Selepasnya barulah ilmu ibadah, feqah, jenayah, muamalat dan sebagainya.
Inilah juga yang diperkatakan ketika sesi tazkirah bersama ahli keluarga. Mereka (termasuk diri sendiri) diperingatkan di samping mengejar kecemerlangan di dalam pelajaran dan pekerjaan, usah diabaikan kewajiban mencari ilmu fardhu 'ain. Di zaman teknologi moden kini, tiada sebab untuk berdalih. Buku, majalah, risalah, ceramah dan kuliah 'bersepah' di merata tempat. Segalanya amat mudah diperolehi. Hanya di hujung jari. Cuma, antara nak atau pun tidak sahaja.
Apabila dikatakan hukumnya wajib menuntut ilmu fardhu 'ain, maka lawannya adalah haram/berdosa bagi yang meninggalkannya.
Justeru itu, saya menyeru kepada diri saya sendiri, ahli keluarga dan juga rakan-rakan yang dikasihi, marilah kita berusaha untuk menambah ilmu sebagaimana yang dituntut.
Menurut alim ulama', kaedah yang paling baik adalah mendatangi majlis-majlis ilmu yang diadakan secara berhadapan dengan para guru. Salah satu tempat yang paling baik adalah di rumah-rumah Allah (masjid, surau, musalla dll) diiringi dengan solat berjemaah.
Hanya redha Allah SWT yang didambakan. Ameen.

Cuti Sekolah

Hari ini adalah hari terakhir di Penggal II-Semester 1/2011. Esok mula cuti sekolah selama 2 minggu. Anak-anak pula baru merdeka dari Peperiksaan Pertengahan Tahun. Apa keputusannya? Tunggulah sekolah dibuka nanti. Harapan kami moga mereka dapat memperbaiki pencapaian terdahulu.
Kebiasaannya, apabila cuti sekolah, anak-anak akan dibawa berjalan @ melancong. Sejak dahulu lagi. Tidak kira ketika di tanah air mahu pun sewaktu di Australia.
Bolehlah dianggap sebagai rutin istirehat untuk kami sekeluarga, melepaskan penat-lelah bersekolah/berkerja. Paling penting masa untuk bersama, jauh dari kebiasaan harian ke persekitaran yang berlainan.
Untuk kali ini sememangnya kami berhajat membawa mereka berjalan-jalan makan angin. Entahlah ke mana tempatnya. Tengoklah keadaan dan kesempatan yang ada.
Minggu pertama rasanya kami tidak kemana-mana. Sepanjang minggu Izzuddin ada kelas tambahan di sekolah. Penghujung minggunya pula, Insya Allah kami akan pulang bercuti ke rumah cik-ayah di Kuala Terengganu untuk beberapa hari.
Foto kenangan ketika bercuti di Milford Sound, New Zealand
Imran pun ada impiannya tersendiri. Sejak sebelum pulang dari Australia lagi permintaannya ke Zoo Negara belum dipenuhi. Zoonya dekat sahaja dengan rumah tetapi syarat yang diletaknya kenalah tunggu musim cuti sekolah. Syaratnya mesti bersama dengan sepupu-sepupu sebayanya; Adam dan Abid. Insya Allah nanti dibawa berbincang dengan ibu bapa mereka.
Sepanjang cuti ini pun banyak undangan ke majlis perkahwinan yang diterima. Begitulah selalunya. Bukan sahaja di sekitar Lembah Kelang, tetapi juga di Terengganu, Kelantan dan Perak. Mohon maaflah, mana yang berkesempatan akan kami hadiri, selebihnya cukuplah sekadar berkirim salam dan ucapan tahniah menerima menantu.
Di samping bergembira dengan cuti sekolah, buku sekolah tidak wajar diketepikan. Jadual belajar perlu disediakan dan kami perlu bersama mereka mengulang kaji apa-apa subjek/modul yang bermasalah. Sela masa yang ada bolehlah dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti yang bermanafaat.
Diharapkan cuti sekolah selama 2 minggu ini tidak membosankan.
Selamat Bercuti.

Monday, May 23, 2011

Tertimbus Tanah Runtuh

Berita gempar di tanah air. Petang kelmarin (Sabtu), sebahagian kawasan Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah At-Taqwa yang terletak di Kg. Gahal, Hulu Langat telah dilanda tanah runtuh. Difahamkan seramai 25 penghuni telah menjadi mangsa, 16 orang daripadanya telah terkorban. Selebihnya berjaya diselamatkan.

Kejadian berlaku sekitar jam 2:30 petang. Dewan makan yang terletak besebelahan tanah tinggi serta khemah sementara berhampiran telah ditimbusi tanah yang mengelonsor turun. Ketika itu sebahagian para pelajar sedang mengadakan latihan nasyid, menunggu kunjungan pihak FINAS yang akan mengadakan program di rumah tersebut di sebelah petangnya.

Pasukan mencari dan menyelamat mengambil masa kira-kira 15 jam untuk mengeluarkan mangsa-mangsa yang terlibat. Bermula jam 2:45 petang sehinggalah jam 5:30 pagi semalam.

Demikianlah ketentuan Allah SWT, tiada siapa yang dapat menjangka. Walaupun ada amaran dan peringatan awal yang diberikanNya tetapi ramai yang tidak menyedarinya. Sememangnya begitulah lumrahnya. Qada' dan qadarnya tidak pernah dimungkiri.

Sama-samalah kita merenungi dengan penuh hikmah setiap apa yang berlaku. Berfikirlah secara saksama dengan menghubungkannya dengan diri sendiri, ahli keluarga serta masyarakat di sekitar kita. Samada melibatkan aspek kehidupan mahupun pembangunan.

Penuh takzim, kami sekeluarga merakamkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat serta penghuni dan pengurusan Madrasah At-Taqwa. Moga semuanya dirahmati Allah SWT. Ameen.

Al-Fatihah.

Sunday, May 22, 2011

Banjir Kilat Lagi

Tiga bulan lalu, banjir kilat melanda kawasan rumah kami. Hari ini ianya berulang lagi. Malah lebih teruk dari sebelumnya.

Sekitar jam 5:00 petang, hujan turun agak lebat sedikit. Air Sungai Kelang bersebelahan rumah kami begitu deras sekali arusnya. Paras airnya juga amat cepat naik. Tidak sampai pun setengah jam, airnya mulai melewati tebing, seterusnya melimpahi kawasan sekitar rumah. Rumah-rumah jiran bersebelahan dan berhampiran sungai yang mana berada di kawasan rendah mulai dimasuki air. Kenaikan air yang mendadak menyebabkan ramai yang tergamam. Sesuatu di luar jangkaan.

Limpahan air melebihi daripada sebelumnya. Jika dahulu setakat pintu pagar hadapan rumah kami sahaja tetapi kini bergenang di laman rumah, melewati aras buku lali. Khuatir juga jika air terus naik kerana banyak kereta yang berada di hadapan rumah. Nak dibawa keluar pun tidak boleh kerana air di lorong hadapan rumah telahpun menghampiri paras pinggang.

Bengkel perabut bersebelahan rumah kami juga dimasuki air. Bertungkus lumus kerusi meja diangkut ke tempat yang lebih selamat. Namun banyak juga yang terpaksa dibiarkan. Nampaknya dua tiga hari ini perlu dipunggah keluar untuk dikeringkan di bawah mentari. Harap-harap cuacanya panas.

Selepas setengah jam, hujan mulai reda dan air pun mulai mengalir turun. AlhamduliLlah.
Kesan lumpur memenuhi kawasan bekas air bertakung. Setakat yang perlu dibersihkan, air dialirkan. Selebihnya tunggulah hujan turun selepas ini.

Jambatan kecil yang merentangi Sungai Kelang, juga bersebelahan rumah kami dipenuhi dengan bermacam jenis sampah-sarap yang tersangkut di atasnya. Seperti lazimnya, tugasan kami adalah membersihkannya agar dapat digunakan kembali. Ganasnya aliran arus deras hinggakan kedapatan besi penghadang yang patah dilanggar bongkah kayu. Amat merbahaya terutama kepada kanak-kanak jika tidak diambil tindakan segera.

Dikhabarkan, banyak kawasan yang terlibat terutama di sepanjang Sungai Kelang. Moga semuanya selamat. Ameen.

Kasihan juga melihat jiran-jiran sekeliling yang terpaksa berhempas pulas membersihkan rumah masing-masing. Apakan daya, begitulah ketentuan Illahi. Dalam keadaan tidak dijangka, ianya datang bertandang, menguji daya ketahanan diri, sekaligus keimanan diri.

Dugaan dan ujian dari Allah SWT datangnya dalam pelbagai jenis dan keadaan. Di sebalik setiap yang berlaku ada hikmahNya yang tersembunyi. Sekurang-kurangnya sebagai peringatan untuk kita agar menjadi hambaNya yang sentiasa memikirkan kebesaran Allah SWT dan kekuasaanNya yang tiada tandingannya. Allahu Akbar.

Wednesday, May 18, 2011

Musim Peperiksaan

Kami mempunyai 2 orang anak di sekolah menengah dan 2 orang lagi di sekolah rendah. Anak-anak di sekolah rendah juga belajar di sekolah agama rakyat di sebelah petangnya.
Bermula hari ini sehingga pertengahan minggu hadapan masing-masing sibuk dengan Peperiksaan Pertengahan Tahun/Semester 1. Di sekolah agama pun sama.
Kasihan melihat mereka bertungkus lumus belajar untuk sekolah kebangsaan dan pada masa yang sama untuk sekolah agama. Sebagai sokongan moral untuk mereka, bersama-sama kami duduk menghadap mereka sambil menunjuk ajar apa yang tidak difahami.
Dua bulan yang lepas mereka telahpun menduduki Peperiksaan Penggal 1. Kini, selepas 2 bulan ada lagi peperiksaan yang perlu mereka hadapi. Sesekali terdengar keluhan dari mereka terutama dari anak-anak di sekolah rendah. "Penatlah, asyik periksa aja". Apa nak dikatakan, demikianlah sistem pendidikan di tanah air.
Kasihan. Segalanya adalah satu kejutan kepada mereka. Tambahan pula mereka baru 4 bulan memasuki sistem persekolahan di tanah air.
Apakan tidak, selama hampir 4 tahun di Australia, peperiksaan bukanlah rutin bulanan mahupun tahunan. Jika ada pun setiap 2 tahun sekali. Peperiksaan yang dikenali sebagai NAPLAN khusus untuk pelajar di Grade 3 dan Grade 5 (sekolah rendah) serta Year 7 dan Year 9 (sekolah menengah). Itupun sekadar penilaian umum bagi memastikan mencapai tahap piawaian pendidikan negara. Para pelajar tidak diminta mengulangkaji di rumah. Cukup dengan tunjuk ajar guru-guru di sekolah. Seusai peperiksaan, kelas berjalan seperti biasa. Peperiksaan utama adalah ketika di Year 12 iaitu VCE (setaraf dengan STPM/Matrikulasi).
Namun segalanya diterima dan dilalui secara positif. Anggaplah ianya sebagai satu latihan. Kami tidak menaruh harapan tinggi untuk mereka mendapat markah tinggi dan kedudukan terpilih di dalam kelas. Belajarlah sedaya mungkin berdasarkan kemampuan yang ada. Namun ianya bukan tiket untuk mengabaikan pelajaran dan proses pembelajaran. Belajar tetap kena belajar. Dari apa yang diperhatikan mereka dapat mengikutinya dengan baik. Kelemahannya tetap ada, lebih-lebih lagi bagi subjek berteraskan Bahasa Malaysia dan juga bahasa Arab/tulisan Jawi. Semangat mereka cukup kuat. Tahniah.
Untuk mereka sentiasa diperingatkan agar solat tidak diabaikan. Sentiasalah berdoa agar dikurniakan kejayaan dan dipermudahkan oleh Allah SWT. Terlebih lagi sebelum menjawab soalan peperiksaan.
"Ya Allah, permudahkanlah anak-anak kami di dalam menimba ilmu pengetahuanMu. Lapangkanlah hati mereka di dalam menerima ilmuMu. Berkatilah mereka dengan rahmatMu. Ameen, Ya Rabbal 'alameen".
Juga kepada rakan-rakan yang mempunyai anak-anak yang menduduki peperiksaan.

Tuesday, May 17, 2011

Salam Untuk Guru

Semalam adalah Hari Guru di tanah air kita.
Tidak terlambat rasanya untuk kami turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para guru atau lebih tepat lagi golongan pendidik di atas jasa-jasa dan khidmat bakti yang disumbangkan. Moga kegigihan kalian dirahmati oleh Allah SWT dan tercatat sebagai amal jariah yang berpanjangan pahalanya untuk selama-lamanya. Ameen.
Jika direnungkan secara saksama, sudah pasti setiap orang mempunyai nostalgia tersendiri di zaman persekolahan. Dengan didikan dan tunjuk ajar daripada para guru, kini masing-masing dapat menghisab betapa besarnya sumbangan mereka dalam membentuk diri kita semua.
Merenung hari-hari yang berlalu, terasa begitu cepat masa beredar. Sedar-sedar kita semua telah pun bergelar ibu dan bapa, masing-masing dengan kerjaya tersendiri. Malah ramai daripada kita kini menjawat jawatan guru/pensyarah. Guru-guru dan murid pun seakan sebaya.
Hakikat sebenar, guru/pendidik bukan hanya khusus untuk guru sekolah mahupun pensyarah di kolej/universiti. Setiap insan yang menyalurkan ilmu pengetahuan (duniawi dan ukhrawi)kepada kita juga adalah pendidik. Terlebih lagilah bagi kedua ibu bapa kita. Merekalah pendidik paling utama, sebagaimana yang diamanahkan Allah SWT.
Di samping ibu bapa, ikutan seorang Muslim sudah pastilah Nabi Muhammad SAW. Bagindalah idola dan model paling utama untuk dicontohi. Malah setiap insan di dunia ini, termasuk yang bergelar guru, pensyarah, ustaz/ustazah, ibu bapa dan siapa sahaja sewajarnya berguru dengan RasuluLlah SAW untuk menjadi guru yang benar-benar berjiwa guru/pendidik.
Kepada para pendidik semua (termasuk diri ini), sama-samalah kita renungi sejauh mana kita telah menjalankan kewajiban kita sebagai seorang guru/pendidik. Ini kerana setiap hambaNya akan ditanya akan tanggungjawab yang telah dipertanggungjawabkanNya.
Ya Allah, permudahkanlah kami atas segala urusan kami. Ameen.

Friday, May 6, 2011

Perginya Penuh Tragis

InnaliLlahi wainna illaihirajiun...
Pagi Rabu, sehari dua lepas, kami dikejutkan dengan perkhabaran kematian penuh tragis ibu dan bapa kepada kenalan kami, Dr. Radziah yang tinggal di Kg. Gemeti, Bentong, Pahang. Haji Rashid dan Hajjah Fatimah ditemui terlantar di bilik tidur rumah mereka dengan berlumuran darah, kesan hentakan dan tikaman. Hingga ke hari ini motif pembunuhan tersebut belum diketahui.
Berita tentangnya tersiar di hampir semua akhbar tanah air dengan akhbar Sinar Harian Edisi Pahang (foto sebelah) menyiarkannya di muka hadapan.
Dr. Radziah adalah rakan sepenggajian Laili di peringkat Master di UKM. Seterusnya kami dipertemukan bersama keluarganya di Melbourne, Australia ketika sama-sama mengikuti pengajian di sana. Ketika itu ibu bapanya ada datang bertandang melepaskan rindu kepada anak-cucu mereka. Namun kami tidak sempat berjumpa.
Kami berpeluang berjumpa dengan bapanya ketika mereka datang ke rumah mengambil barangan Dr. Radziah yang dibawa pulang menumpang kontena dari Melbourne. Haji Rashid seorang yang amat peramah dan baik hati. Itulah komen ikhlas saya walaupun baru pertama kali bersua muka. Siapa sangka, itulah juga pertemuan terakhir.
Begitulah ketentuan Illahi. Walaupun mati itu suatu yang pasti tetapi bagaimana cara kematian seseorang itu tiada siapa yang tahu. Sebagai seorang Muslim yang beriman, redhalah atas apa yang telah ditentukanNya.
Apa yang berlaku itu ada hikmahnya. Sekurang-kurangnya sebagai satu peringatan bagi yang masih hidup. Bukan hanya dilihat dari sudut kematian tetapi juga dari sudut keselamatan terhadap diri, keluarga, rumah kediaman dan persekitaran yang amat mencurigakan.
Sama-samalah kita doakan moga roh Almarhum dan Almarhumah dicucuri rahmat dan dihimpunkan di kalangan hamba-hambaNya yang dikasihiNya. Ameen.
AL-FATIHAH.

Thursday, May 5, 2011

Perginya Seorang Osama

Beberapa hari lalu dunia dikejutkan dengan berita pembunuhan Osama Ben Laden. Betul atau tidak masih dipertikaikan. Pelbagai spekulasi dan konspirasi ditimbulkan kerana pihak pendakwa, sekaligus pembunuh iaitu Amerika dan Presiden Obama banyak berdolak-dalih.
Dengan nada mendabik dada (bongkak), Presiden Obama mengumumkan bahawa tentera Amerika telah berjaya membunuh Osama di kediamannya di Pakistan.
Dengan adu domba dari Amerika sejak lebih 10 tahun lalu, kononnya Osama ini adalah ketua pengganas antarabangsa yang amat merbahaya. Malah dikaitkan (tanpa bukti pun) Peristiwa 9/11 yang menyaksikan bangunan WTC runtuh adalah angkara Osama. Dan beberapa siri pengeboman yang ada kaitan dengan Amerika dan sekutunya pun dikatakan berpunca dari Osama. Kesimpulannya, Amerika malu kerana dimalukan oleh Osama.
Dendam Amerika terhadap Osama tidak kunjung padam walaupun presidennya bertukar tangan. Inilah konspirasi Yahudi yang amat membenci Islam. Benarlah bagai dikatakan dalam Al-Quran akan kedurjanaan Yahudi ini.
Tidak hairanlah jika dilihat setiap kali keganasan/kejahatan yang dilakukan oleh orang Islam secara automatik dikaitkan dengan agama Islam. Sebaliknya pula jika keganasan/kejahatan dilakukan oleh penganut Kristian/Yahudi/agama lain, langsung tidak dikaitkan dengan agama anutan mereka seperti di Israel, Amerika, Jerman, Belanda, Perancis dan banyak negara lagi.
Jadi bagi kes Osama ini, saya tidak bersetuju dengan keganasan yang dilakukannya (jika benar dakwaan yang digula-gulakan oleh Amerika). Namun saya menyanjung tinggi pengorbanan dan usaha Osama dalam mengingatkan dunia Islam betapa orang Islam telah sekian lama ditindas, dihina dan diperkotak-katikkan dengan sewenang-wenangnya. Lihat sahaja apa yang berlaku di Iraq, Afghanistan, Palestin, Iran dan banyak lagi negara umat Islam. Begitu murah sekali nyawa umat Islam. Dan apa pula tindakan Barat terhadap keganasan yang ditimbulkan oleh Israel, Rusia, Korea Utara dan sebagainya. Siapa sebenarnya pengganas dan dalang kepada keganasan?
Percayalah, tindakan Amerika ini sebenarnya tidak mengundang kepada keamanan dan perpaduan sejagat. Perginya seorang Osama akan lahir pula puluhan Osama. Ini berpunca dari kesilapan mereka sendiri yang memandang rendah dan hina terhadap orang Islam. Dan juga kerana kelemahan umat Islam sendiri (terutama pemimpin) yang mengikut telunjuk Barat.
Sebagai seorang Islam dan dengan keyakinan bahawa Osama juga seorang Islam, menjadi kewajiban untuk kita mendoakan kesejahteraan untuknya. Moga kesilapan dan dosanya diampunkan oleh Allah SWT dan beliau dirahmati olehNya. Ameen.