Monday, June 27, 2011

Musim Sukan

Nampaknya seminggu dua ini kebanyakan sekolah di Malaysia ini, rendah dan menengah sibuk dengan pelbagai acara sukan di sekolah masing-masing. Hampir setiap hari ada sahaja latihan di padang. Cikgu-cikgu pun turut sama kepenatan. Penat di kelas dan penat di padang. Murid-murid/ para pelajar pun samalah.
Seminggu yang lepas, setiap ibu bapa telahpun menerima perkhabaran acara sukan sekolah untuk 2 hujung minggu berturut-turut. Minggu ini padang sekolah meriah dengan acara trek/ balapan dan padang. Minggu hadapan pula pada 2/7/2011 Program Larian Serentak 1Murid 1Sukan (1M1S) 1Malaysia yang bakal direkodkan ke dalam The Malaysia Book of Records. Biarkanlah... apa yang baik dan menyihatkan perlu disokong.
Semalam, Izzuddin berserta sepupu-sepupunya, Karimah dan Ainul menyertai acara pembukaan Kejohanan Balapan dan Padang Tahunan SMK Lembah Keramat bertempat di padang sekolah. Mereka cuma masuk pembarisan sahaja mewakili Badan Beruniform dan Rumah Sukan. Tiada acara sukan yang disertai.
Hari ini pula Sukan Tahunan SK Hulu Kelang, juga di padang sekolah. Imran di Tahun 1 masuk acara Sukaneka (khusus untuk Pra Sekolah - Tahun 2), manakala Solehah di Tahun 5 menyertai acara trek, larian berganti-ganti 4 x 200m. Tahniah, kedua-duanya memenangi pingat - emas dan gangsa. AlhamduliLlah, jika tidak nanti ada yang terkilan pula.
Demi untuk anak-anak, kami berusaha menghadirkan diri untuk menyaksikan acara yang disertai, walaupun sekadar pembarisan. Sekurang-kurang sebagai dorongan dan sokongan moral untuk mereka atas penat-lelah mereka selama ini. Bagi kami, walaupun tampak kecil sahaja tetapi kesannya amat besar untuk anak-anak. Tanpa disedari mereka akan terasa dihargai, sekaligus dapat melahirkan rasa hormat terhadap ibu bapa. Insya Allah.
Dan esok semuanya tidak ke sekolah. Semuanya bercuti.

Thursday, June 23, 2011

Jalan2 KT : Taman Tamadun Islam

Ketika di Kuala Terengganu baru-baru ini, kami sekeluarga juga sempat berkunjung ke Taman Tamadun Islam (TTI) yang terletak di Pulau Wan Man. Tidak jauh dari Muzium Negeri di Losong Panglima Perang.

TTI adalah sebuah Taman Tema dengan kos pembinaan kira-kira RM 249.3 juta. Ianya mula dibina pada tahun 2005 dan dibuka secara rasminya pada awal Februari, 2008. Terdapat lebih 22 buah monumen di dalamnya yang mengenengahkan keunggulan senibina warisan Islam dari seluruh pelusuk dunia.

Masjid Kristal yang terletak bersebelahannya menjadi mercu tanda utama bagi TTI ini. Di masjid inilah kami menunaikan solat Zohor sebelum bertolak pulang di sebelah petangnya.

Melangkah masuk ke dalam taman yang berkeluasan 22.3 hektar ini, para pengunjung mempunyai pilihan samada berjalan kaki ataupun menaiki pelbagai kenderaan yang disediakan dengan bayaran tertentu. Ada basikal, tram dan juga buggy. Pilihan kami adalah berjalan kaki sahaja. Lebih bebas dan memudahkan tanpa terikat dengan masa dan pergerakan kenderaan. Penerangan setiap monumen pula tertera di setiap lokasi. Begitu juga dari tayangan video dan apa yang dipamirkan di muzium di beberapa lokasi tertentu.

Setiap monumen masjid/kubu amat menarik sekali. Berwarna-warni berdasarkan warna asalnya. Masing-masing dengan konsepnya tersendiri, antaranya Masjid Badshahi, Pakistan; Masjid Sheikh Lutfallah, Iran; Aleppo Citadel, Syria; Masjid Nabawi, Madinah; Masjidil Haram, Mekah; Al-Hambra, Sepanyol; Menara Kalyan, Uzbekistan; Masjid Kul Sharif, Rusia; Masjid Sultan, Singapura dan banyak lagi.

Ramai orang beranggapan saiz setiap monumen adalah besar dan boleh dimasuki. Sebenarnya tidak. Ianya hanya replika sahaja. Walaupun terdapat beberapa masjid yang boleh dimasuki tetapi ruangan dalamannya hanyalah bilik video dan juga muzium, antaranya Masjid Negara Malaysia, Al-Hambra, Kubbah As-Sakhrah Baitul Maqdis dan Masjidil Haram yang masih diperingkat naik taraf.

Terdetik rasa kagum di hati akan kecemerlangan dan kehebatan tamadun/peradaban Islam. Islam yang berasal dari padang pasir Mekah, berkembang maju mempengaruhi dunia dengan peradabannya. Bersemarak mekar dari Afrika hingga ke Eropah dan dari India hingga ke China, termasuklah ke negara kita, Malaysia. Menariknya, peradaban ini disatukan dengan kepercayaan yang sama, diperkukuhkan lagi dengan rangkaian ribuan masjid sebagai perlambangan kesatuan ummah. Indahnya Islam.

Perlu diinsafi, segalanya tercapai dengan izin Allah SWT. Keteguhan iman, keutuhan semangat jihad dan kemuliaan peribadi/akhlak para pejuang tiada tandingannya. Hayatilah kisah kejatuhan kuasa besar dunia seperti Rom dan Parsi hasil perjuangan suci mereka. Amat jauh jika dibandingkan dengan kekuatan ummah masa kini. Tidak hairanlah mereka berjaya membina tamadun Islam yang amat mengkagumkan. SubhanaLlah.

Walaupun penerokaan kami amat memenatkan tetapi dirasakan berbaloi. Realitinya, sememangnya kami amat menyukai dan seronok apabila dapat menyinggah di mana-mana masjid, terutama ketika berjalan-jalan di tempat orang. Teringat ketika di Korea Selatan, Taiwan, Australia dan New Zealand dahulu, masjid adalah antara yang dicari. Begitu juga ketika di tanah air kita yang amat mewah dengan masjid/ surau/ mussolla.

Cuma terkilan di hati apabila melihat keindahan setiap masjid hanya pada luaran sahaja. Para jemaahnya boleh dibilang dengan jari. Kata pak imam, lebih banyak tiang dari orang. Kata-kata Ayah Teh ketika di kampung baru-baru ini lebih tersirat, katanya, "kalau nak tengok penduduk sebenar sekitar masjid, lihatlah akan jemaah solat Subuh, itulah orangnya".

Wahai rakan-rakan semua, marilah kita sama-sama berusaha untuk mengimarahkan masjid/surau di tempat kita. Jika tidak kita siapa lagi. Tiada gunanya masjid nan indah jika tiada jemaah dan tidak diimarahkan.

Saturday, June 18, 2011

Jalan2 KT : Pantai Batu Burok

Ketika pulang ke kampung di Terengganu pada cuti persekolahan baru-baru ini, kami sekeluarga berkesempatan singgah di Pantai Batu Burok. AlhamduliLlah terlaksana juga perancangan kami, balik Terengganu melancong di Terengganu.
Pantai Batu Burok yang amat tersohor sejak sekian lama ini terletak di pinggir bandar Kuala Terengganu. Sebelum sampai ke rumah Che-Ayah di Kg. Telok Menara, kami menyinggah dahulu di pantai ini. Singgah untuk melepaskan lelah setelah lebih 6 jam berada di jalanan.
Bersama kami adalah Emak, Abah dan Hadi serta Nita-Redzuan bersama anak-anak mereka, Abid dan Kaisah. Mereka semua tidur di rumah Che-Ayah sebelum berangkat ke Pasir Puteh, Kelantan pada keesokan paginya atas urusan perkahwinan anak saudara Abah, Razi Rohim.
Sebelum turun ke pantai yang amat diimpikan oleh anak-anak, kami mengisi perut yang telah berkeroncong di gerai arked yang terkenal dengan Ais Krim Goreng. Dari pemerhatian kami, lauk-pauk biasa harganya murah sahaja tetapi makanan laut bersalut tepung harganya agak mahal. Entahlah, mungkin itu harga standard, sedangkan kami tidak biasa makan di luar.
Seusai makan, kami terus ke pantai. Dahulu, pantainya dipenuhi sampah sarap, kini sedap mata memandang. Dahulu pantainya landai hingga ke gigi laut, kini menjunam di sebahagiannya akibat hakisan ombak. Dahulu persekitarannya ala kampungan, kini telah ditelan arus kemodenan. Dahulu gerai makan berderet di tepi jalan, kini telah dipindahkan ke arked. Namun para penjual layang-layang yang pelbagai bentuk dan jenis masih lagi ada seumpama dahulu.
Pantang bertemu pantai, anak-anak begitu seronok sekali. Mengorek pasir sambil membina arca tersendiri. Sebahagiannya berlari-lari di gigi air sambil mengelak hempasan ombak yang menyongsong ke pantai. Sedar-sedar kaki seluar telah kebasahan. Memahami apa yang dihajati, lampu hijau diberikan untuk mereka basahkan baju dan seluar. Apalagi, berguling bergoleklah Imran bersama Abid dan Kaisah sambil bermain ombak yang lembut menghempas pantai sambil diawasi oleh ibu dan ayah.
Melewati jam 5:00 petang, selepas anak-anak bertukar pakaian, kami terus beredar menuju rumah Che-Ayah. Kami sengaja melalui jalan jauh, melalui Tanjung ke Pasar Kedai Payang dan Kg. Cina, seterusnya melalui Jambatan Sultan Mahmud ke Batu Enam dan terus ke Kg. Telok Menara.
Teruja kami melihat kaki Bukit Puteri telah berubah wajah, tersergam indah Bazaar Warisan dan Waterfront. Dahulunya adalah pasar lama/tempat letak kereta dan jeti kayu bot penambang. Laluan Kg. Cina pula menjadi laluan sehala dengan laluan sehala bertentangan dibina di pesisiran laut di belakang Kg. Cina. Dari atas Jambatan Sultan Mahmud pula dapat dilihat Masjid Kristal dan Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man serta Pulau Duyong yang terkenal dengan perusahaan membina bot besar.
Menghampiri waktu Maghrib, kami tiba di rumah Che'-Ayah. Hati berbunga gembira. Setinggi-tinggi kesyukuran pada Allah SWT kerana perjalanan kami selamat serta dapat berjumpa Che-Ayah serta ahli keluarga lain. AlhamduliLlah.

Friday, June 17, 2011

Teganu Comel

Makan angin atau melancong atau pun lebih spesifik lagi berkunjung ke tempat/lokasi tumpuan pelancong adalah antara minat utama kami sekeluarga. Dulu, kini dan Insya Allah selamanya.

Ketika hampir 4 tahun di Australia, kami tidak melepaskan setiap peluang yang ada untuk menjelajah ke serata tempat yang menarik. Tidak kira dekat mahupun jauh. Berjalan kaki jaraknya mahupun terbang melintasi lautan. Banyak pengalaman dan pengetahuan yang boleh diceduk dan diambil iktibar/pengajaran daripadanya. Apatah lagi seluruh alam ini adalah milik Allah SWT. Maka setiap sesuatu ada hubungan kaitnya dengan Allah SWT. Bersyukur kepadaNya atas segala anugerahNya yang tidak terhingga nilainya. AlhamduliLlah.

Di sebalik keindahan dan keunikan di negara orang, secara peribadi saya lebih menggemari keindahan dan keunikan di negara sendiri. Tiada tolak bandingnya. Tidak dinafikan masih ada kekurangannya tetapi ianya bukan penyebab untuk menolaknya, cuma perlukan kesedaran dan keprihatinan semua orang.

Ketika membelek-belek brosur/buku/majalah pelancongan tempatan, terasa begitu teruja sekali melihat pelbagai tempat yang menarik. Bayaran masuknya pula kebanyakannya jauh lebih murah dari tempat-tempat di luar negeri. Dan Terengganu adalah antara negeri yang menjadi idaman kami untuk dijengahi.

Sebenarnya Terengganu @ Teganu adalah negeri kelahiran saya. Terengganu terkenal dengan ikon penyu dan keropok lekor serta keindahan panorama alam yang mendamaikan. Sekali pandang terus jatuh cinta berpanjangan. Sekali imbas ibarat masuk bakul angkat sendiri. Tidak salah untuk memuji negeri sendiri kerana itulah hakikatnya.

Walaupun saya berasal dari Terengganu, banyak masa saya berada di Lembah Kelang - belajar, berkerja dan kini bermastautin di Hulu Kelang, Selangor. Sesekali pulang ke kampung halaman di Terengganu, hati sentiasa digamit rindu untuk menjelajah pelosok negeri bagi menghayati keindahan flora dan fauna, keunikan budaya dan sejarah serta kepelbagaian corak dan kehidupan, berpadu nostalgia lama yang masih segar di ingatan.

Apabila pulang ke Terengganu, selalunya kami lebih sibuk bersama keluarga serta menziarahi sanak saudara. Namun di sebalik kesibukan tersebut, kami telah tetapkan setiap kali pulang ke Terengganu, sekurang-kurang satu tempat tumpuan pelancong akan kami singgahi. Bolehlah dikatakan sebagai sambil menyelam minum air atau pun serampang dua mata. Maksudnya satu hari perlu diperuntukkan untuknya.

Ketika pulang bercuti ke Terengganu sempena cuti sekolah baru-baru ini, kami sempat berkunjung ke dua tempat menarik iaitu Pantai Batu Buruk dan Taman Tamadun Islam. Tercapai juga hajat di hati.

Thursday, June 16, 2011

Gerhana Bulan

Hari ini 14 Rejab. Menurut kelaziman hukum alam ciptaan Allah SWT, bulan bakal mengambang penuh. Namun kekuasaan dan kebesaran Allah SWT mengatasi kelazimannya. Awal pagi tadi cakerawala mengalami gerhana bulan penuh.

Melewati jam 1:20 pagi, bulan mulai terlindung. Sekitar jam 3:20 pagi alam mulai gelap gelita sehinggalah jam 5:00 pagi. Kemuncaknya dikatakan sekitar jam 4:15 pagi. Seterusnya bulan kembali penuh menjelang terbitnya matahari pagi. Begitulah kronologi yang dimaklumkan secara tidak rasmi.

Berita tentang gerhana bulan ini saya ketahui pada awal minggu lalu. Bagi yang mengikuti perkembangannya secara dekat pasti mengetahui terlebih awal lagi. Tidak kisahlah. Yang penting adalah pengisiannya.

Adalah diyakini bahawa kejadian gerhana, samaada gerhana bulan mahupun matahari adalah suatu ketentuan daripada Allah SWT sepertimana dijadikan pertukaran siang kepada malam dan sebaliknya. Tiada sebarang kaitan dengan kepercayaan khurafat. Malah dikuatkan lagi dengan sabda-sabda dari RasuluLlah SWT yang menganjurkan agar mengerjakan solat dan berdoa apabila berlakunya gerhana.

Pagi tadi, kira-kira jam 2:20 pagi, ketika menjenguk di jendela, kelihatan separuh bulan telahpun berbayang hitam. Namun ketika berjalan ke masjid sejam selepasnya, langsung tiada kelihatan bulan di langit. Langit kelam dilitupi awan. Akan tetapi persekitaran tiada kesannya. Lampu neon terang benderang. Ianya berterusan sehinggalah ke pagi.

Di masjid, tidak ramai jemaah yang datang. Jemaah dewasa tidak sampai pun sepuluh orang, selebihnya adalah para pelajar Maahad Tahfiz Masjid Al-Ridhuan yang terletak bersebelahannya. Mungkin tiada promosi atau pengumuman khusus yang dilakukan. Mungkin juga cabaran dinihari mengugah kekuatan.

Buat pertama kalinya saya berpeluang menunaikan solat gerhana bulan. AlhamduliLlah, dikurniakan sedikit kekuatan berbanding beberapa gerhana yang dilalui sebelum ini. Solatnya dua rakaat satu salam - setiap rakaat dua qiam, dua Fatihah, dua rukuk dan dua sujud. Ianya dipimpin oleh pelajar Tahfiz sendiri. Diikuti dengan khutbah pendek selepasnya. Satu pengalaman yang amat bermakna sekali.

Terasa betapa besar dan hebatnya kekuasaan Allah SWT serta betapa kerdilnya diri ini.

"Ya Allah ampunilah segala dosa dan kesalahan kami. Jadikanlah kami di kalangan hamba-hambaMu yang sentiasa bersyukur. Ameen".

Wednesday, June 15, 2011

Sarapan Nasi

Telah pun 3 hari sesi persekolahan Penggal III/Semester 2 bermula. Anak-anak kembali menyarung pakaian seragam sekolah. Berpenat-lelah pagi dan petang menimba ilmu pengetahuan. Malamnya pula bersengkang mata menghadap buku dan projek sekolah. Semangat dan kecekalan mereka amat dikagumi. Tahniah dan terima kasih anak-anak.

Seusai solat Subuh berjemaah, mereka terus menyiapkan diri. Ibu dan ayah pula sibuk di dapur. Biasanya mereka bersarapan nasi putih berlaukkan hidangan malamnya. Jika tidak pun berlaukkan telur goreng bilis/ telur dadar. Adakalanya nasi goreng atau pun nasi lemak.

Anak-anak sememangnya telah dibiasakan bersarapan dengan makanan berat sejak di Australia lagi. Sekurang-kurangnya mereka dapat bertahan sehingga pulang dari sekolah. Sementelahan pula waktu persekolahan harian mereka ketika di sana sehingga jam 3:30 petang. Waktu makan mereka ketika rehat pagi dan tengahari agak pendek, tidak sempat untuk makan nasi berlauk. Rakan-rakan Aussie mereka pula selalunya berbekalkan roti/salad/buah-buahan sahaja. Mereka juga begitu.

Sehingga kini ianya masih diikuti. Berbelanja di kantin bukannya pilihan utama. Mereka lebih suka membawa bekal dari rumah. Kata mereka, "Buang masa berbaris panjang". Namun duit belanja seringgit dua sentiasa dibawa, kot-kot teringin merasa kueh-mueh dan minuman yang dihajati.

AlhamduliLlah, amalan seumpamanya amat menjimatkan. Banyak manafaatnya.

Monday, June 13, 2011

Terengganu Nelang

Tidak terlewat rasanya untuk saya ungkapkan ucapan TAHNIAH untuk pasukan negeri tumpah darahku, Terengganu. Malam kelmarin (Sabtu malam Ahad), pasukan bolasepak Terengganu berjaya merangkul Piala FA mengatasi tetangga Kelantan dengan 2-1.
Sebenarnya saya bukannya peminat bola sepak yang fanatik. Setakat ambil tahu sahaja. Untuk ke stadium, setakat ini masih belum sampai serunya. Jika ada siaran langsung di televisyen, lebih baik terconggok di depan kaca televisyen sahaja. Itupun bergantung pada mood juga.
Samalah keadaannya ketika perlawanan akhir Piala FA 2011 ini. Walaupun melibatkan pasukan negeri sendiri dan diadakan di Kuala Lumpur, saya lebih suka menontonnya di rumah.
Jika dibandingkan saya dengan anak sulung, Izzuddin, minat Iddin lebih tebal. Semangat patriotiknya juga lebih hebat. Dalam diam Iddin menyokong pasukan Terengganu walaupun Iddin orang Selangor. Mungkin kerana ayahnya orang Terengganu. Tidak tahulah ke mana sokongan Iddin jika Terengganu menentang Selangor.
Ketika perlawanan hanya tinggal beberapa minit lagi dan Kelantan sedang mendahului 1-0, saya beredar meninggalkan televisyen. Nampaknya tiada harapan untuk Terengganu menyamai kedudukan. Cepat sekali berputus asa. Tidak sanggup menerima kekalahan. Namun siapa sangka, bola tandukan pemain Kelantan, Daudsu tersasar ke gawang gol sendiri. Sekaligus menyamakan kedudukan. Tanpa disangka, masa tambahan membuahkan kejayaan manis bagi Terengganu dengan kelebihan satu gol hasil jaringan wira Terengganu, Nordin Alias. Tahniah Terengganu. Semangat juang kalian amat hebat dan tidak mudah menyerah kalah.
Lebih manis lagi, semalam pula Terengganu berjaya mengungguli Sukan Sukma XIV sebagai Juara Keseluruhan dengan 30 pingat emas, 8 perak dan 12 gangsa. Tahniah juga untuk skuad Sukma Terengganu.
Terengganu Nelang, Terengganu Menang.

Thursday, June 2, 2011

Balik Kampung

Insya Allah pagi esok kami sekeluarga akan bertolak pulang ke kampung halaman tercinta, Kg. Telok Menara yang terletak di dalam mukim Manir, Kuala Terengganu. Teramat rindu untuk berjumpa dengan Che', Ayah dan ahli keluarga serta saudara-mara. Anak-anak juga tampak seronok dapat berjalan-jalan sempena cuti sekolah ini, kata orang 'bertukar angin @ makan angin'.
Cuma kurang seronoknya ketika di jalanan. Jarak masa sekitar 5-6 jam perjalanan dirasakan begitu lama untuk sampai ke destinasinya. Namun dengan adanya Lebuhraya Pantai Timur (LPT) sehingga ke Jabor, Terengganu banyak membantu memendekkan masa perjalanan. Dahulu melalui jalan lama mengambil masa kira-kira 8-9 jam untuk tiba di KT/KL. Alhamdulillah.
Harap-harap dapatlah disiapkan segera baki LPT bagai yang dirancangkan. Tidak kiralah kerajaan mana yang berada di tampuk kekuasaan. Usahlah dipolitikkan kerana ianya adalah amanah rakyat. Dengan kata lain, projek rakyat dari rakyat untuk rakyat.
Insya Allah nanti masa perjalanan bolehlah dipendekkan kepada 4-5 jam dari KT-KL atau sebaliknya. Itulah ni'mat pembangunan anugerah dari Allah SWT. Segalanya itu adalah milikNya. Bersyukurlah kita kepadaNya.
Insya Allah kami akan berada di kampung sehingga hari Selasa, 6/6/2011. Banyak undangan makan nasi gulai kawah sempena majlis perkahwinan yang diterima dari saudara mara dan jiran tetangga. Teruja dibuatnya. Bukan kerana majlis kahwin tetapi gulai kawahnya..8)
Gulai kawah Terengganu memang kesukaan saya. Rasanya yang lemak manis dengan rempah ratus istimewa Terengganu amat berbeza dari yang ditemui di tempat lain. Walaupun dikatakan ianya gulai tradisi Terengganu. Hanya lidah anak jati Terengganu dapat membezakannya. Samalah juga dengan lain-lain juadah tradisional Terengganu, antaranya keropok lekor/keping, nasi dagang, kueh menganang, rojak kateh dan pelbagai lagi.
Apabila balik ke kampung halaman di Terengganu, makanan tradisional di atas adalah antara yang menjadi pilihan utama kami. Pada masa yang sama dapat memperkenalkannya kepada anak-anak, sekelumit pengalaman dan pengetahuan umum yang perlu diketahui oleh mereka.
Insya Allah, tidak dilupakan kunjungan rasmi kami ke rumah ibu dan bapa saudara yang tinggal di sekitar Kuala Terengganu. Amalan ziarah yang menjadi 'agenda wajib' kami sejak dahulu lagi setiap kali pulang ke kampung. Banyak manafaatnya, lebih-lebih lagi dalam usaha mengukuh dan memperatkan silaturrahim kekeluargaan, bak kata perumpamaan, 'air dicincang tidak akan putus'.
Moga perjalanan pergi-balik dan percutiaan kami sentiasa di bawah lindungan dan rahmat dari Allah SWT. Doakan moga segalanya dipermudahkanNya. Ameen.