Thursday, July 25, 2013

Menghidupkan Lailatul Qadar

Firman ALLAH SWT dalam surah Al-Qadr : 1-5;
Maksudnya, "Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.
1. Sesungguhnya KAMI telah turunkan (Al-Quran) pada malam kemuliaan.
2. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?
3. Malam kemuliaan itu terlebih baik daripada 1000 bulan.
4. Pada malam itu turun para malaikat dan Jibrail dengan izin Tuhannya untuk mengatur semua urusan.
5. Sejahteralah (malam itu) sehingga terbit fajar.

Sebagai seorang Muslim dan mengakui keesaan ALLAH SWT, kita wajib yakin akan setiap patah kalam ALLAH yang diturunkan. Kena yakin dengan seyakin yakinnya.

Renungilah setiap ayat di atas. Jelas kepada kita bahawa hadirnya malam kemuliaan tersebut membawa rahmat dan berkat yang tidak terkira banyaknya. Kelebihannya amat besar, menyamai amalan untuk seribu bulan. SubhanaLlah ianya menjangkau usia 83 tahun 4 bulan. Bayangkan selama itu kita sentiasa berada dalam beribadah kepadaNYA. Jika kita dianugerahi usia selama itu, mampukah kita melakukannya?

SubhanaLlah. AlhamduliLlah. Allahu Akbar. Demikianlah betapa pemurahnya ALLAH SWT. Tidak inginkah kita merebut anugerah agung yang tiada pilih kasih ini? Semua insan Muslim layak mendapatkannya. Terserahlah kepada setiap individu bagaimana cara untuk mendapatkannya. Ianya terbuka luas, bermula dari terbenamnya matahari sehinggalah terbit fajar keesokan harinya.

Cuma bilakah malamnya sahaja yang menjadi igauan setiap orang. Terdapat beberapa panduan yang telah diberikan oleh RasuluLLAH SAW dan juga para alim ulama berdasarkan ilmu masing-masing. Adalah diingatkan, usahlah kita terikut-ikut dengan pelbagai petua orang-orang lama seperti pepohonan tunduk ke bumi, air menjadi beku dan pelbagai kaedah lagi.

Berdasarkan beberapa hadis, RasuluLLAH SAW menyarankan umatnya mencari malam al-qadar ini pada 10 malam terakhir Ramadhan. Malah terdapat riwayat mengkhususkan kepada malam-malam ganjil daripada 10 malam terakhir tersebut, seperti dinyatakan oleh Ummul Mukminun, Bonda Aisyah r.ha, bersabda RasuluLLAH SAW, "Carilah sedaya upaya kamu Lailatul Qadar itu pada 10 malam ganjil pada akhir Ramadhan". (Riwayat Bukhari).

Malah terdapat juga beberapa pandangan di kalangan para sahabat dan para alim ulama yang menetapkan pada malam-malam tertentu adalah Lailatul Qadar samada sama setiap tahun atau bersilih ganti tarikhnya. Segalanya di bawah pengetahuan ALLAH SWT. 

Bagi saya, elakkan diri dari membazir masa mencari bilakah Lailatul Qadar. Yang penting kita perlu persiapkan diri untuk melaluinya dengan sebaik mungkin dengan pelbagai amalan yang diredhai dengan harapan diterima olehNYA. Tiada gunanya jika kita ketemui malam tersebut tetapi tiada pengisian. Sebaiknya 10 malam terakhir tersebut kita sibukkan diri dengan beribadah sebagaimana dilakukan oleh RasuluLLAH SAW dan mereka yang mencintaiNYA.

Tertarik saya dengan ungkapan seorang ulama (lupa pula namanya) apabila ditanya "Bilakah berlakunya Lailatul Qadar?" Jawapannya mudah sahaja,"Lailatul Qadar berlaku ketika kamu sedang tidur". Maksudnya, jika kita tidak berusaha menghidupkan malam-malam Ramadhan, mana mungkin kita dapat menemuinya.

Justeru itu marilah kita mengimarahkan setiap malam-malam terakhir Ramadhan ini dengan meningkatkan amal ibadah kita kepadaNYA. Sebaik-baiknya kita meniru RasuluLLAH SAW yang beriktikaf di masjid di sepuluh malam terakhir Ramadhan dengan menyibukkan diri mengingati dan membesarkan ALLAH SWT seperti bersolat sunat, membaca Al-Quran, beristighfar memohon keampunan ALLAH SWT, berzikir dan berdoa.

Moga-moga pada tahun ini kita diketemukan dengan Lailatul Qadar dengan dianugerahi kelebihan bagai yang dijanjikan.

Ya ALLAH, kami amat merindui Lailatul Qadar. Ameen.

Muhasabah Ramadhan


Begitu cepat masa berlalu. Sedar-sedar dah pun sebahagian bulan Ramadhan al Kareem kita lalui.

Terfikirkah kita bagaimanakah dengan amalan Ramadhan kita selama ini? Layakkah kita untuk meraih kemuliaan dari ALLAH SWT?

Apakah kita sekadar menahan lapar-dahaga, berbuka penuh berselera, diikuti bertarawikh-witir ala kadar dan bangun sahur separuh sedar? Di sela masa yang ada kita alpa dengan keseronokan dunia.

Apakah dengannya kita mampu meraih ampunan ALLAH SWT dan pembebasan dari api neraka bagai dijanjikan oleh ALLAH SWT? Apakah kita tidak teringin langsung untuk mendapatkan anugerah yang begitu besar itu? Kata ustaz... jika jawapannya YA bererti hati kita telahpun buta, digelapkan oleh nafsu dan syaitan.

Masya ALLAH, jika demikian lakunya bermakna kita ini semakin jauh daripada ALLAH. Mulut lunak mengalunkan, 'daku dambakan syurgaMU' tetapi hati munafik mengatakan 'daku impikan nerakaMU' NauzubiLlah. Moga-moga bukan itu yang kita inginkan....

Di dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Kaab bin Ujra r.a., ketika RasuluLlah SAW menaiki tangga pertama mimbar untuk berkhutbah, baginda telah mengaminkan doa malaikat Jibrail a.s., yakni 'Celakalah bagi mereka yang mendapati bulan Ramadhan tetapi membiarkannya berlalu tanpa mendapat pengampunan'. Perhatikan, ianya doa daripada malaikat ALLAH dan diaminkan pula oleh kekasih ALLAH, pasti amat mustajab sekali.

Justeru itu, saya berpesan kepada diri sendiri, ahli keluarga tercinta dan rakan-rakan semua, marilah bersama-sama kita berusaha menghidupkan sisa-sisa Ramadhan yang masih berbaki ini dengan meningkatkan amal ibadah, amal kebajikan dan amal kebaikan dengan semata-mata mengharapkan redha Illahi. Moga dengannya melahirkan ketaqwaan di jiwa kita. Itulah bekalan yang bakal dibawa ketika dipanggil untuk mengadap ALLAH SWT di suatu hari nanti.

Belum terlambat untuk kita menyelak balik helaian kitab bab Amalan-amalan Di bulan Ramadhan. Kita tekuni kembali kaedah pengimarahan Ramadhan yang terbaik menepati sunnah RasuluLlah SAW. Bagaimana caranya baginda SAW mengerjakan ibadah puasa di siang hari dan menghidupkan malam hari dengan beribadah kepadaNYA. Dan bagaimana sewajarnya kita mengawasi diri dari kongkongan nafsu dan syaitan yang sentiasa ingin menjerumuskan kita ke lubang kebinasaan.

Sedarlah betapa banyak dan besarnya ganjaran yang dijanjikan ALLAH SWT bagi setiap amalan yang dilakukan. Dikatakan satu amalan fardhu sahaja diganjari 70 kali ganda amalan fardhu, manakala satu amalan sunat pula menyamai satu amalan fardhu. Jika di bulan-bulan biasa, paling sedikit pun satu kebaikan diganjari dengan 10 kali ganda kebaikan dan ada ketikanya sehingga 700 kali ganda. Apatah lagi jika dilakukan di bulan Ramadhan nan barakah ini. SubhanaLlah, betapa pemurahnya ALLAH SWT.

Lebih-lebih lagilah di penghujung Ramadhan disediakan anugerah LailatulQadar yang amat lumayan, ibarat beribadah selama 1,000 bulan (hampir 84 tahun).

Tidak terliurkah lagi kita dengan anugerah yang begitu besar ini yang bakal membawa kita terus ke syurgaNYA yang kekal abadi?

Ayuh kita mulakan dari saat ini kerana setiap detik yang berlalu ada ganjarannya selagi ada kebaikan yang kita lakukan. Moga kita tergolong di kalangan hamba-hambaNYA yang dirahmati dan diredhoi. Ameen.

Wednesday, July 10, 2013

Ramadhan Datang Lagi

Ahlan wassahlan Ya Ramadhan. Ramadhan datang lagi. Suka atau tidak ia tetap datang.

Bagi perindu Ramadhan, hadirnya ia membangkitkan semangat dan kenikmatan yang tidak terkata. Terlerai sudah rasa rindu dendam yang hampir setahun bersarang setelah berpisah di kala Ramadhan tahun lepas.

Insya ALLAH, Ramadhan kali ini akan didakap erat, tidak mungkin akan dilepaskan kerana pemergiaannya nanti pasti akan dirindui dan belum pasti akan ketemu lagi di tahun mendatang.

Ramadhan bukan hanya untuk berpuasa tetapi lebih daripada itu. Ianya adalah bulan barakah yang dipenuhi rahmah (kasih sayang) dan maghfirah (pengampunan), istimewa untuk hamba-hambaNYA yang beriman, beramal soleh dan bertaqwa.

Wahai teman, marilah kita sama-sama mengimarahkan Ramadhan kali ini dengan berusaha sedaya mungkin melaksanakan tuntutan Ramadhan ini dengan sebaiknya, jauh lebih baik daripada Ramadhan-Ramadhan sebelum ini. Paling utama adalah sentiasa menambah ilmu di dada kerana tanpa ilmu amalan kita tiada ertinya.


Pesan para ustaz ketika berkuliah, "Saya berpesan kepada diri saya dan kalian semua, pastikan setiap detik waktu di bulan Ramadhan ini (siang dan malam) terisi dengan amal kebaikan dan kebajikan - ganjarannya teramat besar hingga tidak terduga oleh akal fikiran. Moga kita diredhai oleh ALLAH SWT".

Begitulah harapan dan impian kami serta kita semua. Moga segalanya dipermudahkan oleh ALLAH SWT. Ameen.

ps. Untuk mendisiplinkan diri dan istiqamah dalam beramal, baik sekali jika disediakan Senarai Semak Amalan Harian Ramadhan (seperti contoh di atas).

Thursday, July 4, 2013

Rampasan Kuasa di Mesir


Suatu berita yang amat menyedihkan. Sebak dada mengenangkannya. 

Pagi tadi dikhabarkan Tentera Mesir yang diketuai oleh panglimanya, Andel Fattah al-Sisi telah merampas kuasa Presiden Mesir, Dr. Mohamed Mursi sekaligus mengeluarkan deklarasi menggantung perlembagaan dan melantik Ketua Mahkamah Perlembagaan Agung, Adly Mansour sebagai ketua interim negara.

Mohamed Mursi yang telah dipilih secara demokrasi telah dikenakan tahanan tentera di rumah. Diberitakan ramai di kalangan penyokong kanannya telah pun ditahan. Lebih menyedihkan, sehingga kini puluhan penyokong Mursi telah terbunuh ketika melakukan bantahan. Malah semua wartawan dan badan penyiaran telah dihalang daripada melaporkan berita berkaitan terutama melibatkan penyokong Mursi.

Dikhuatiri pertembungan antara kedua-dua penyokong ini; Islam dan sekular boleh mencetuskan persengketaan berdarah berpanjangan yang boleh menyebabkan campurtangan ketenteraan dari luar. Moga-moga ianya tidak berlaku.

Demikianlah ketentuan Illahi - setiap yang bernama Islam pasti ada yang menentangnya. Lihat sahaja di Mesir. Setelah parti berteraskan Islam memenangi pilihanraya secara adil dan telus menundukkan fahaman sekular yang telah mendarah daging lebih 50 tahun, ianya telah ditentang hebat oleh puak-puak sekular ini.

Akhirnya dengan campur tangan tentera, kerajaan pimpinan Mursi telah digulingkan. Suatu tindakan yang tidak sewajarnya dilakukan. Lebih-lebih lagi mengenangkan dasar-dasar pentadbiran Islam yang cuba diterapkan oleh Mursi, menggantikan sistem lama yang menyimpang daripada Islam.

Inilah juga yang berlaku di Algeria dahulu ketika Abbas Madani memenangi pilihanraya kerusi Presiden. Amat dibimbangi perkara seumpamanya boleh berlaku juga di Turki yang turut sama mendapat tentangan pihak-pihak sekular.

Baik buruk semuanya di dalam perancanganNYA. Insya ALLAH ada hikmah dan iktibar disebaliknya. Marilah bersama kita merenung dan memikirkannya secara saksama berlandaskan kepada roh Islami.

Moga para pejuang Islam di mana sahaja di muka bumi ini dikurniakan kemenangan atas setiap kebatilan yang ingin ditegakkan. Ameen.

Wednesday, July 3, 2013

Alahai Imam... Bilal... Siak..!

Dalam institusi masjid/ surau; peranan imam, bilal mahu pun siak amat besar maknanya. Tanpa mereka seluruh jemaah pasti akan merasa bahananya. Demikianlah yang pernah saya alami di beberapa buah masjid/ surau yang pernah saya kunjungi/ singgahi.

Senario I
Azan solat telah pun lama dikumandangkan. Bilal tertoleh-toleh ke kiri kanan mencari-cari imam bertugas. Tiada. Imam-imam lain yang tidak bertugas pun tiada. Para jemaah juga kelihatan gelisah. Terpaksalah bilal iqamahkan juga dengan harapan ada jemaah yang sanggup melangkah ke sejadah imam. Jika tidak pun bilal itu jugalah yang perlu mengambil alih kewajiban mengimamkan solat. Alahai... imam.

Senario II
Jam digital penanda waktu solat bersebelahan mihrab telah lama berbunyi, menandakan waktu Subuh telah pun masuk. Namun kelibat muazin @ bilal bertugas langsung tidak kelihatan. Mungkin beliau dalam kesulitan atau terlajak tidur. Malangnya 2 bilal lagi yang tidak bertugas pada pagi itu pun tidak nampak batang hidungnya. Alternatifnya, salah seorang jemaah mengalunkan azan walaupun suaranya tidak semerdu bilal-bilal yang dilantik. Alahai... bilal.

Senario III
Senario ketiga ini pun pernah berlaku walaupun tidak sekerap kedua-dua kisah di atas. Di waktu Subuh, kebiasaannya siak akan datang lebih awal, kira-kira setengah jam sebelum masuk waktu. Tugas utamanya adalah membuka pintu masjid dan juga bilik siaraya (bilik azan). Para jemaah pula biasanya mula datang dalam waktu tersebut untuk beriktikaf dan bertahajjud. Namun ada ketikanya, setelah masuk waktu, pintu masjid belum dibuka. Walaupun siaknya ada 3 orang tetapi semuanya tidak datang. Bilal dan imam pula tiada kunci pendua untuk pintu masjid. Alahai... siak.

Senario IV
Pernah juga berlaku, bilik siaraya tidak dibuka sedangkan waktu solat telah pun masuk. Siak tidak kelihatan. Bilal pun sama. AJK yang ada pun tiada kunci penduanya.  Begitu juga imam yang tiba sekitar 10 minit selepasnya. Tercenggang-cenggang semua jemaah. Jadi terpaksalah diazankan di dalam masjid sahaja untuk membolehkan para jemaah menunaikan solat sunat qabliyah. Alahai... siak. Alahai... bilal.

Demikianlah kisahnya jika ketiga-tiga pemegang amanah ini tiada di posisinya ketika tiba saatnya. Ada yang berkata, apalah salahnya jemaah lain mengambil alih tugas menjadi bilal dan imam ketika ketiadaan mereka. Jawapannya, ya memang tiada salahnya dan orang yang menggantikannya pun tidaklah meminta ganjaran kerana mereka sedar ganjaran sebenarnya daripada Allah SWT.

Persoalannnya, dari segi amanah dan tanggungjawab. Jika kita diberikan amanah dan kita sanggup menerimanya, maka wajiblah kita laksanakan kecuali kita tidak berdaya kerana keuzuran mahupun lupa.

Disarankan, kepada pihak masjid/ surau perlu dimasukkan terma/ klausa tambahan dalam kontrak kerja bagi setiap imam-bilal-siak : "Berada di masjid/ surau sekurang-kurangnya 10 minit sebelum masuk waktu, tidak kira dalam tugas atau pun tidak".

Renungkanlah, siapa lagi selayaknya mengimarahkan rumah-rumah Allah jika tidak mereka yang berilmu pengetahuan. Selain ahli qari'ah, maka para imam-bilal-siak dan tidak terkecuali para Jawatankuasa Masjid/Surau lah yang perlu menjadi contoh teladannya. Malangnya terdapat di kalangan mereka ini lebih suka berada di rumah atau menyibukkan diri dengan urusan lain ketika tiba masuknya waktu solat daripada bersama-sama berjemaah. Hairan dan pelik sekali lakunya.

Maaf, tidak bermaksud nak mengata tetapi menyatakan kebenaran. Fikir-fikirkanlah demi kebaikan bersama. Siapa yang makan cili dialah yang terasa pedasnya.