Thursday, July 29, 2010

Buang Tilam

Melihat foto di sebelah, pasti semua orang tahu apakah bendanya. Itulah tilam. Peliknya, kenapa pula tersandar pada pokok, bersebelahan jalan raya pula? Entahlah, saya sendiri pun tiada jawabannya.

Sebenarnya foto tersebut diambil hampir seminggu yang lalu. Lokasinya betul-betul di hadapan rumah kami di Dandenong ini.

Suatu pagi ketika membuka pintu utama menghadap jalanraya, tiba-tiba pandangan tertumpu pada objek berkenaan yang masih elok lagi, tersandar kemas pada pokok besar.
Terlintas di fikiran, “Entah siapalah yang buang tilam di hadapan rumah ni. Tak pasal-pasal pula kami kena saman dengan majlis perbandaran. Harap-harap adalah orang yang berminat dan membawanya pergi”. Itulah juga harapan dan doa kami.

Untuk makluman, perbuatan seumpama itu adalah satu kesalahan di sini yang boleh dikenakan denda oleh pihak berkuasa tempatan. Itulah yang amat membimbangkan kami. Nak cari siapa pelakunya, tiada siapa yang tahu. Nak kata jiran bersebelahan rumah, rasanya mustahil mereka yang melakukannya, mereka semuanya baik.

Hampir seminggu menunggu, tiada siapa yang datang mengambilnya. Mungkin kerana saiznya yang besar, menyukarkan usaha membawanya, walaupun dengan kereta/ van sekalipun. Berhujan berpanas tiada siapa yang menghiraukannya.

Malam semalam ketika pulang dari menjemput Izzuddin dari latihan taekwondo-nya, tilam misteri tersebut telah pun hilang dari tempat bertapanya. Tidak disangka-sangka, harapan dan doa kami diperkenankanNya. Allah telah menggerakkan hati seseorang untuk membawanya pergi. AlhamduliLlah.

Tuesday, July 27, 2010

Tetamu Malaysia : Keluarga Dr. Asmadi-Dr. Fatimah

Dr. Asmadi dan isterinya, Dr. Fatimah adalah kenalan Laili ketika di tanah air. Sama-sama dalam profesyen yang sama, perubatan. Kedua-duanya adalah senior Laili sewaktu mengikuti pengajian di UKM.

Dr. Asmadi adalah bekas pensyarah perubatan UKM, kini bekerja di Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya (CUCMS). Manakala Dr. Fatimah pula adalah salah seorang yang mempelopori pembangunan Pusat Perubatan Islam Az-Zahra di Bandar Baru Bangi, Selangor. Difahamkan juga beliau adalah penggerak utama Pusat Perubatan Islam An-Nur, juga di BB Bangi.

Telah hampir 2 minggu Dr. Asmadi berada di Victoria, Australia. Beliau dihantar oleh CUCMS untuk menekuni bidang perubatan alternatif selama setahun di Endeavour College of Natural Health di Melbourne City. Bersamanya 3 orang anak perempuannya; Asma (15 tahun), Adil (12) dan Ainul (6).

Mereka tiba di Melbourne sejak seminggu lalu bersama-sama Dr. Fatimah. Atas komitmen kerjanya, Dr. Fatimah terpaksa pulang ke tanah air pada hari Sabtu lalu. Insya Allah beliau akan datang kembali berhari raya di Melbourne bersama 3 orang lagi anak mereka. Seterusnya berulang-alik Kuala Lumpur-Melbourne setiap 2-3 bulan sekali. Begitulah pergorbanan yang perlu dilakukan. Moga segalanya dipermudahkan olehNya. Ameen.

Dr. Asmadi sekeluarga kini tinggal di Sylvan Ave, Keysborough, bertentangan jalan dengan Parkmore Shopping Centre. Manakala ketiga-tiga anak mereka pula bersekolah di Minaret Islamic College di Springvale, kira-kira 8 km dari rumah.

Di sebelah malam sebelum Dr. Fatimah pulang ke tanah air, mereka dijemput makan malam di rumah kami. Kebetulan pula dalam 2 minggu ini Laili sibuk dengan kursus di Melbourne City. Tiada kesempatan untuk bersua muka. Jadi hanya malam sahaja masa yang ada.

Betapa seronoknya mereka apabila dapat berjumpa. Bermacam cerita dan berita dibualkan. Hal keluarga dan bidang kerja masing-masing adalah antara yang menjadi topik utama. Hampir 3 jam bersama terasa begitu cepat sekali masa berlalu. Insya Allah ketemu lagi di lain kesempatan.

Sunday, July 25, 2010

Perjumpaan Menjelang Ramadhan

Pagi semalam Kelas Fardhu Ain untuk anak-anak sengaja dibatalkan untuk memberi peluang mereka menyertai komuniti keluarga South-Eastern (SEFC) berkumpul di Jells Park. Perjumpaan yang khusus diatur sebelum tibanya bulan Ramadhan beberapa minggu lagi.

Tambahan pula kami pun telah lama tidak berkumpul seumpamanya. Inilah peluangnya masing-masing dapat berjumpa, bertanya khabar berita dan saling kenal mengenali secara lebih dekat. Lebih-lebih lagi bagi keluarga baru. Juga sebagai salam perpisahan bagi beberapa keluarga yang akan pulang ke tanah air dalam masa terdekat.
Sebahagian foto terdapat di Album Foto Kami (Menjelang Ramadhan).

Lokasi perjumpaan di Jells Park amat strategik, sama tempatnya seperti perjumpaan terdahulu. Ruang berteduhnya luas, dilengkapi bangku kayu disusun berbaris, khusus untuk diletakkan juadah pot luck dari setiap keluarga. Bersebelahannya pula dihampar kanvas dan tikar sebagai tempat makan, majlis tazkirah dan tempat solat. Keperluan tandas awam pun berdekatan, hanya beberapa langkah sahaja dari tempat berkumpul.

Bagi anak-anak, tumpuan mereka adalah Yabbie Playground dan padang yang juga terdapat di sebelahnya. Sepanjang masa mereka berada di situ, bersama kelompok rakan sebaya masing-masing. Bermain, berkejaran dan berchit-chat tanpa henti. Peluang yang sememangnya diidamkan oleh mereka.

Kesejukan musim sejuk amat terasa. Ditambah pula dengan hujan renyai-renyai turun sepanjang majlis berlangsung. Malah solat Zohor pun dalam hujan, sujud di atas air yang bertakung. Namun segalanya dilalui penuh redha sebagai ketentuan dariNya.

Majlis bermula seawal jam 10:00 pagi. Berdikit-dikit mereka datang. Kehadiran yang amat menggalakkan, menjangkau lebih 100 orang. Kawasan berteduh sesak lebih-lebih lagi ketika hujan sedikit melebat. Menjelang tengahari, bangku juadah yang disediakan dipenuhi pelbagai jenis makanan yang menyelerakan. Semangat memasak yang mungkin timbul dari program realiti, Master Chef yang telah pun tiba di peringkat akhir...8)

Menunggu masuknya waktu Zohor, Sdr Hanif Yaacob (foto sebelah) dijemput menyampaikan tazkirah ringkas. Isu kekeluargaan yang menarik, berkaitan 4 model keluarga seperti dinyatakan di dalam Al-Quran; keluarga musyrik Abu Lahab, keluarga Nabi Nuh a.s, keluarga Asiah Firaun dan keluarga Ali-Imran.

Seterusnya diikuti pula dengan sesi pengenalan diri keluarga baru di SEFC; antaranya Nazman-Dr. Salmah, Fazil-Farhana, Kafi-Yati dan Zain-Saliza. Juga salam perpisahan dari keluarga yang bakal pulang ke tanah air; antaranya Haidar-Nor dan Ghaffar-Mazni. Tidak dilupakan kepada 2 pasangan pengantin baru; Sdr Imran-Iman dan Sdr Hilmi-Baiti.

Dengan keadaan cuaca yang kurang baik, banyak agenda yang diatur tidak dapat dilaksanakan dengan lancar dan ada yang terpaksa ditangguhkan di kemudian hari.

Namun, secara umumnya tampak kepuasan tidak terhingga pada setiap yang datang. Keseronokan dapat berjumpa rakan-rakan lama dan baru sekurang-kurangnya dapat menghilangkan segala kerinduan dan ketegangan rutin hidup seharian.

Melewati jam 2:00 petang, masing-masing mula berkemas. Lebihan makanan dibungkus sebagai sebahagian bekalan makan malam. AlhamduliLlah sekejap sahaja semuanya habis licin.

Thursday, July 22, 2010

Tempias Musim Durian

Dengar khabar kini musim durian di Malaysia. Alahai... sedapnya. Teringat akan bermacam jenis durian yang amat menyelerakan; antaranya durian kunyit, tembaga, kampung dan pelbagai jenis durian kacukan lagi.

Setiap kali tibanya musim raja buah ini, pasti kami tidak lepaskan peluang memborongnya. Makan sepuas-puasnya. Satu rumah berbau durian.
Jika ada rezeki, pokok durian di sebelah rumah mertua di Kg. Bukit Bangkong, Selangor akan mengeluarkan hasilnya. Dapatlah kami merasa buah dari pokok sendiri.

Ketika pulang ke Terengganu pun tidak kurang seronoknya apabila dijamu dengan durian yang terbaik. Dibeli oleh ayah semata-mata untuk kami sekeluarga terutama untuk cucu-cucunya.

Itu ketika di Malaysia. Di Melbourne ini kami terpaksa menahan keinginan. Bukannya tiada...ada, malah amat mudah untuk diperolehi tetapi harganya mahal, antara AUD 4.00 – 6.00 sekilogram. Tak mengapalah.. tunggulah ketika pulang ke tanah air nanti.

Namun, sesekali dapatlah juga kami merasai keenakan durian apabila diadakan majlis keraian. Kebiasaannya akan ada rakan-rakan yang menyediakan juadah berasaskan durian samada serawa durian, masak tempoyak ataupun disalutkan dengan ikan bakar.

Di sini, durian biasanya dibawa masuk dari Thailand dan juga Malaysia. Buahnya tidak berbau tetapi rasanya sama sahaja. Boleh didapati dalam bentuk buah sebiji ataupun paket samada di kedai buah, kedai barangan Asia mahupun di pasaraya tertentu.

Walaupun buah durian ini ada di Australia tetapi penggemar utamanya adalah orang-orang Asia keturunan Siam, Vietnam, Cambodia dan juga Melayu. Hanya segelintir sahaja orang kulit putih yang menyukainya terutama yang pernah merasainya.

Emm... raja buah hanya gah di negara sendiri tetapi tidak di negara orang. Begitulah lumrahnya.

Sunday, July 18, 2010

Pilihanraya Umum Australia

Semalam, Julia Gillard yang baru beberapa minggu lalu diperkenankan sebagai PM Australia ke-27 telah mengumunkan bahawa Pilihanraya Umum akan dilangsungkan pada 21 Ogos nanti.

PM telah menepati janji yang diberikannya ketika merampas jawatan Ketua Labor Party serta PM dari Kevin Rudd yang dikatakan telah tersasar matlamatnya. Menurut Julia, beliau bukannya pilihan pengundi sebagai PM, maka pilihanraya baru wajar diadakan. Sikap terpuji yang sepatutnya direnungi bersama.

Nampak gayanya selama 3 tahun kami berada di Australia, Insya Allah 2 kali Pilihanraya Umum Australia sempat kami ikuti secara dekat. Kebiasaannya 2 parti berentap sengit, Labor Party dan Liberal Party di samping Green Party sebagai alternatif lain. Pada kali ini tumpuan terarah kepada Julia Gillard mewakili Labor Party dan Tony Abbot dari Liberal Party yang juga baru menerajui partinya.

Dari pengalaman kami, pilihanraya di Australia amat terbuka. Saluran media massa utama, akhbar dan televisyen bertindak professional dengan menyiarkan secara seimbang kempen dari parti-parti yang bertanding. Kerap kali pula disiarkan perdebatan para pemimpin utama parti melibatkan isu tempatan dan antarabangsa. Terserahlah kepada rakyat memikirkan rasionalnya.

Para pemimpin mana-mana parti juga bebas untuk membuat lawatan ke mana-mana tapak projek dan kawasan tanpa halangan. Malah ke agensi kerajaan pun tiada masalahnya. Bagi penjawat awam pula, mereka bebas melahirkan sokongan kepada parti dan calon pilihan mereka tanpa rasa khuatir dikenakan tindakan selepasnya.

Menariknya sepanjang tempoh berkempen, tiada kelihatan poster dan banner bergantungan atau bertempelan di sana sini. Jika ada pun hanyalah poster calon tercacak di laman rumah-rumah tertentu atau di beberapa lokasi strategik yang terpilih. Satu tindakan yang amat menjimatkan perbelanjaan, mengelakkan pemandangan yang menyakitkan mata dan terhindar dari pelbagai sabotaj atau kerja-kerja khianat. Dan yang pasti, tiada sampah sarap yang dihasilkan selepas tamatnya pilihanraya.

Demikianlah sebahagian scenario yang ditunjukkan oleh Australia dalam perlaksanaan proses demokrasi di negara mereka.

Bagaimana pula di negara tercinta kita, Malaysia?

Thursday, July 15, 2010

Stres Orang Belajar

Kini Laili di tahun akhir pengajian peringkat PhD-nya di Monash University di dalam bidang Geriatric. Tempoh pengajiannya tidak sampai pun 6 bulan lagi. Satu tempoh yang amat singkat bagi seorang pelajar.

Sekarang ini Laili sedang bertungkus lumus menulis tesisnya. Setiap pagi keluar awal dari rumah dan pulangnya pula selepas waktu Isyak. Begitulah rutinnya setiap hari.

Malah pada hari cuti hujung minggu pun adakalanya turut berada di universiti. Semata-mata untuk menyiapkan penulisan secepat yang mungkin.

Menurut Laili, jika diikutkan hati rasanya tidak berupaya. Setiap masa dilanda tekanan perasaan. Semakin hari semakin berat dirasakan.

Ada ketikanya fikiran menjadi buntu dan ketandusan idea. Seharian menghadap komputer tidak banyak hasilnya. Sebaliknya kepala pula yang terasa berdenyut-denyut, tekak meloya dan sakit-sakit serta lenguh-lenguh di seluruh badan.

Ada ketikanya tanpa disedari air mata bergenang di kelopak mata dan mengalir laju ke pipi. Pada saat itu tidak sabar rasanya untuk pulang ke tanah air.

Dunia sekeliling pun kurang diendahkan. Kata orang bagaikan ‘zombi’.

Begitulah sebahagian rencah kehidupan yang dilaluinya. Bukan sahaja oleh Laili tetapi hampir semua pelajar tahun akhir diperhatikan mengalami sindrom yang hampir serupa.

Kepada para penjenguk blog Salam Monash, marilah sama-sama kita mendoakan agar Laili berupaya mengharungi setiap dugaan, seterusnya dianugerahkan kejayaan cemerlang di dalam pengajiannya. Terima kasih.

Ya Allah, Engkau jadikanlah Laili seorang yang tabah menghadapi segala dugaan dan cabaran, dikurniakan kekuatan, dipermudahkan baginya setiap urusan, seterusnya beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat. Ameen Ya Rabbal ‘alamin.

Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian,
Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.

Itulah juga janji Allah bagi hambaNya yang berusaha dan bertawakal.

Tuesday, July 13, 2010

Berakhirnya Cuti Sekolah

Mulai semalam (12/07/2010), sekolah-sekolah di Victoria dibuka semula. Bermulalah musim persekolahan Penggal Ke-3/Semester Ke-2 2010. Anak-anak kembali sibuk dengan rutin harian mereka sebagai pelajar sekolah. Izzuddin dan Hanisah di sekolah menengah, manakala Solehah dan Imran pula di sekolah rendah.
Selama cuti 2 minggu, mereka lebih banyak masa di rumah. Kesibukan ibu mereka dalam kerja-kerja penulisan tesis di tahun akhir pengajiannya amat difahami oleh anak-anak.
Mereka bermain sesama adik beradik, menonton TV/DVD, menyiapkan kerja sekolah, menghadap komputer dan membantu ibu di dapur.
Bertadarus dan membaca Al-Quran selepas solat Maghrib pula tetap diteruskan seperti biasa. Adakalanya mereka dibawa ke Dandenong Library untuk membaca dan meminjam buku/majalah/DVD.
Di setiap hujung minggu pula mereka belajar Fardhu ‘Ain bersama-sama rakan-rakan sebaya mereka. Inilah antara saat yang ditunggu-tunggu. Masa untuk bersama. Ada ketikanya berlanjutan selepas kelas sehinggalah ke lewat petang.
Ada masanya mereka tidur di rumah kawan atau sebaliknya. Ada masanya juga turun ke padang untuk bermain bola dan seumpamanya. Yang penting asalkan dapat bersama. Keakraban persahabatan yang sewajarnya terus berkekalan selamanya, walaupun telah meningkat dewasa.
Di penghujung minggu lepas, mereka dibawa bermain salji di Lake Mountain. Keseronokan bermain toboggan dan membina arca salji sekurang-kurangnya dapat mengubat rasa bosan yang mungkin ada.
Terima kasih Izzuddin, Hanisah, Solehah dan Imran.

Monday, July 12, 2010

Bermain Salji di Lake Mountain

Sekarang adalah pertengahan musim sejuk di Australia, khususnya di Victoria. Pada musim sebegini, kawasan-kawasan pergunungan sememangnya menjadi tumpuan utama, tidak kira pelancung tempatan mahupun luaran. Inilah masanya pemandangan menghijau sebelumnya bertukar wajah kepada hamparan salji memutih. Keindahan alam ciptaan Allah yang tiada tolak bandingnya, manifestasi sekelumit dari keindahan syurga nan hakiki.

Di Victoria, terdapat kira-kira 10 kawasan bersalji yang biasanya dikunjungi ramai; antaranya Mt. Hotham, Mt. Buller, Falls Creek, Mt. Baw Baw dan Lake Mountain.

Seumpama tahun-tahun lepas, kehadiran musim sejuk tahun ini tidak dibiarkan berlalu begitu sahaja. Walaupun kesejukan seharian membuatkan diri sedikit pasif tetapi keseronokan bermain salji membuatkan diri menjadi teruja. Bak kata orang, benci tetapi rindu.

Pada hari Khamis lalu (8/7/2010), kami sekeluarga berkunjung ke Lake Mountain yang terletak kira-kira 105 km jaraknya. Itulah kawasan riadah bersalji yang paling dekat. Bersama kami adalah Kak Dariah dan 2 orang anak remajanya yang datang ke Melbourne dari Adelaide, South Australia semata-mata untuk merasai pengalaman bermain salji. Di sana tiada kawasan bersalji seperti di Victoria.
Sebahagian foto di Lake Mountain terdapat di Album Foto Kami (Lake Mountain 2010) di sebelah kiri blog.

Kami bertolak kira-kira jam 10:00 pagi menaiki 2 buah kereta. Melalui Maroondah Hwy, kami singgah di Black Spur Ski Hire Shop di Narbethong untuk menyewa toboggan slide dan snow pants serta snow boots.

Melewati Marrysfield, masih jelas kelihatan kesan-kesan kebakaran besar (inferno), Black Saturday pada awal Februari tahun lepas yang menyaksikan keseluruhan bandarnya hangus terbakar. Pembangunan semula bandarnya ternyata amat perlahan dengan hanya beberapa bangunan dan kabin sahaja yang didirikan.

Lake Mountain juga terlibat sama dalam kebakaran tersebut. Walaupun telah setahun lebih berlalu tetapi kebanyakan pepohonannya masih kekal hitam legam batangnya dengan dahan dan ranting berceracak tanpa daun. Amat jauh bezanya ketika kunjungan kami pada tahun 2008 lalu.

Kami tiba di Village Car Park, Lake Mountain kira-kira jam 12:30 tengahari. Kawasan letak keretanya penuh, melimpah sehingga keluar kawasan, menandakan pengunjungnya begitu ramai sekali. Kebetulan kini musim cuti persekolahan di Victoria, juga negeri-negeri di sekitarnya.

Menyambut ketibaan kami adalah hamparan salji memutih di sana sini. Keindahan bermusim yang hanya hadir sekali setahun. Cuma sedikit terkilan, kiranya kesemua pepohonannya berdaun lebat pasti keindahannya lebih menyerlah dengan putihan salji memayungi persekitaran. Namun, semuanya itu adalah ketentuanNya. Ada hikmahnya.

Menghampiri kawasan toboggan, pengunjungnya ternyata amat ramai. Kanak-kanak tampak begitu seronok sekali mengelungsur turun menaiki toboggan slide sambil diawasi oleh ibu bapa.

Izzuddin, Hanisah, Solehah dan Imran tidak melepaskan peluang. Inilah saat yang ditunggu-tunggu. Imran yang dahulunya takut menaiki toboggan sendirian, kini mampu mengendalinya tanpa bantuan. Tiada peluang untuk kami, ibu bapanya untuk turut serta. Tidak mengapalah, asalkan anak-anak gembira dan seronok.

Penat bertoboggan, mereka meminggir ke bawah pokok-pokok yang diselimuti salji tebal dengan bermacam aktiviti mereka sendiri.

Dalam keasyikan kami di Toboggan Run, Kak Dariah berserta anak-anaknya pula mengambil peluang menjelajahi kawasan sekitarnya. Hampir 3 jam mereka menghilang, risau juga kerana bekalan makanan ada bersama kami. Rupa-rupanya mereka menyendiri di suatu kawasan terpencil sambil bermain snowball dan membina snowman.

Sambil berseronok, ibadah solat tidak dilupakan. AlhamduliLlah, di celahan pokok-pokok, ianya ditunaikan tanpa sebarang gangguan. Malah anak-anak dapat mempraktikkan kaedah mengambil wuduk menggunakan salji. Pengalaman yang amat berharga sekali.

Kami beredar pulang kira-kira jam 4:30 petang. AlhamduliLlah, selamat tiba di rumah ketika waktu Maghrib.

Saturday, July 10, 2010

Tetamu Adelaide : Keluarga Kak Dariah

Menjelang hujung minggu baru-baru ini, Kak Dariah bersama 2 orang anak bujangnya; panggilan mesranya Kak Long dan Angah bertamu 3 hari 2 malam di rumah kami.

Kak Dariah adalah pelajar PhD dalam bidang Kejururawatan di Flinders University, South Australia. Kini di tahun akhir pengajiannya.
Mereka tinggal di Diagonal Rd, Sturt, mengambil alih rumah sewa yang pernah kami diami selama kira-kira 6 bulan ketika Laili mengikuti pengajian sub bidang di universiti yang sama di akhir tahun 2006 lalu. Dari situlah bermulanya perkenalan kami, terus kekal mesra sehingga kini.

Mereka datang dari Adelaide, South Australia semata-mata untuk merasai pengalaman bermain salji di Victoria. Walaupun South Australia turut sama mengalami 4 musim tetapi tiada kawasan bersalji di sana. Tambahan pula tahun ini adalah penggal terakhir mereka di Australia dan mereka juga tidak pernah bermain salji sebelum ini.

Mereka tiba di Melbourne Airport pada petang Rabu (7/7/2010) lalu. Keesokan harinya kami berkunjung ke Lake Mountain yang terletak kira-kira 105 km dari Dandenong. Itulah kawasan riadah bersalji yang terdekat. Saljinya tidaklah berapa tebal tetapi hamparan salji yang terbentang luas memutih cukup untuk melahirkan ketakjuban akan ciptaan Illahi.

Petang Jumaat mereka bertolak ke Melbourne City. Menginap semalam di sana sebelum berangkat pulang ke Adelaide pada hari ini, Sabtu (10/7/2010).

Kemesraan mereka sekeluarga sentiasa menceriakan perhubungan seharian. Malah kami berkesempatan menikmati kelazatan Nasi Afghan yang dimasak oleh Kak Dariah. Sekaligus bertambah satu lagi menu harian kami untuk dicuba selepas ini.

Diharapkan mereka selesa selama berada bersama kami. Ampun maaf jika terdapat sebarang kekurangan. Insya Allah ketemu lagi di lain ketika.