Sunday, December 31, 2017

Cuti2 Malaysia > Swiss Garden Damai Laut


Rehat santai di Swiss Villa
Hujung minggu Krismas 2017 (23/12 ~ 25/12/2017) baru-baru ini kami berada di Lumut, Perak. Lebih khusus lagi kami menginap selama 3 Hari 2 Malam di Swiss Villas @ Swiss Garden Damai Laut.

Perjalanan pergi dan balik dari Lembah Kelang ke Lumut dan sebaliknya amat meletihkan kerana terpaksa menempuh kesesakan Lebuh raya PLUS dari Slim River hingga ke Lembah Beringin (perjalanan pergi) dan juga dari Bidor hingga ke Sg Buloh (perjalanan pulang).

Ketika menyinggah makan di Teluk Intan, AlhamdulILLAH... kami dipertemukan dengan bekas rakan sekerja Laili semasa di Hospital Teluk Intan dan Hospital Kuala Terengganu lebih 20 tahun lalu; Dr. Azian dan suaminya Dr. Mas Adi. Mereka memaklumkan Jambatan Sultan Yusof iaitu laluan penghubung dengan Manjung/Setiawan/Lumut ditutup atas sebab-sebab keselamatan. Disarankan jalan alternatif melalui Kg, Gajah-Bota Kanan-Ayer Tawar.

Pemandangan di The View
Begitu juga ketika sebelum berangkat balik ke Puchong, kami bersua muka pula dengan ‘teman sekampung’ ketika di perantauan Dandenong, Australia; Dr. Ajit dan isterinya, Emy. Mereka syorkan kami menggunakan laluan melalui Kampar sebelum melencong ke Pasir Salak dan keluar ke Lebuhraya PLUS di Bidor.

Terima kasih sahabat atas saranan dan bantuan kalian. Itupun memakan masa kira-kira 6 jam untuk sampai ke setiap destinasi yang dituju.

Berbalik kepada Swiss Villas...

Sebenarnya selaku ahli Swiss Garden International Vacation Club, telah lama kami idamkan untuk menginap di Swiss Villa @ Damai Laut tetapi kerap gagal mendapat peluang. Mungkin terlewat tempahan. Jadi kali ini kami tempah seawal tahun 2017 lagi, AlhamdulILLAH... ada rezeki untuk kami – Swiss Villa Semi-D Type B (2 bilik tidur).

Misi mencari remis
Secara peribadi, kami menyukai villa ini. Dekorasi dalamannya ala moden yang ringkas, tampak kemas dipandang mata. Persekitarannya juga tenang dengan pepohonan menghijau menyejukkan pandangan mata.

Kelompok Swiss Villa ini terletak di tengah-tengah antara Swiss Hotel/Beach Resort dan Swiss Court Apartment - tidak jauh dari pantai yakni bersebelahan hotel dan juga kolam renang di kawasan apartment.  

Seperti tahun-tahun sebelum ini, Pantai Swiss Garden adalah satu kemestian. Bukan hanya kerana pantainya yang melandai ke laut tetapi misi utama kami adalah mencari remis yang mudah didapati ketika air surut. Kali ini kami dapat remis sebanyak 2 botol mineral 1.5L. Cukup sekadar digoreng di dalam kuali tanpa garam kerana masinnya air laut masih tersisa di dalam cengkerangnya. Jenuh jugalah untuk menghabiskannya. Itulah tamak sangat...!

Salah sebuah kolam penempatan penyu
Selain bersantaian di pantai, kami juga sempat melawat Pusat Konservasi Penyu di Segari, bersebelahan Pantai Pasir Panjang iaitu salah satu lokasi singgahan penyu. Tersedia pelbagai penerangan ringkas berkaitan penyu dan habitatnya serta usaha-usaha yang dilakukan bagi mengelakkan kepupusan penyu.

Terdapat beberapa kolam penyu yang boleh dikunjungi yang dihuni oleh anak-anak penyu dan penyu dewasa. Juga kawasan pengeraman dan penetasan penyu.

Jom... Bersama Kita Selamatkan Penyu..!

Namun sesuatu yang kurang menyenangkan di sekitar Damai Laut ini adalah hurungan lalat di merata-rata tempat. Di villa yang kami duduki dibekalkan dengan Pelekat Lalat – hampir 100 ekor terperangkap. Lebih menyedihkan lagi dihurung ketika sedang makan di warung-warung. Boleh terencat selera dibuatnya. Menurut penduduk tempatan, puncanya dari kawasan perusahaan ayam yang banyak terdapat di sekitarnya. Kasihan mereka. Aduhai... tiada cara ke untuk mengelakkan semuanya ini?

Umumnya kunjungan kami ke Damai Laut pada kali ini lebih tertumpu kepada agenda rehat santai daripada berjalan-jalan makan angin. Sebenarnya telah banyak tempat pelancongan di sekitar Lumut yang telah disinggahi sebelum ini. Alang-alang dah dapat tempat yang best (villa), jadi bersantaianlah semahunya...

Saturday, December 23, 2017

Zubireans @ Tanjung Bidara Beach Resort

Arwah Hj Zubir-Hjh Tayyam
Tahun ini keturunan Hj Zubir-Hjh Tayyam bertemu lagi. Bersama-sama mempereratkan silaturrahmi di kalangan ahli keluarga sambil saling kenal mengenali ahli keluarga yang baru.

Tidak pasti pula sambutan Hari Keluarga Hj Zubir ini untuk kali yang ke berapa. Lazimnya ianya diadakan setiap tiga tahun sekali. Telah banyak lokasi yang pernah menjadi tapak sambutan; antaranya di Desaru, Gua Tempurung, Janda Baik dan Kuala Linggi.

Untuk kali ini, JK Penganjur telah pun mengaturkan Hari Keluarga selama 2 Hari 1 Malam (16 Dis ~ 17 Dis, 2017) bertempat di Tanjung Bidara Beach Resort, Melaka. Sebanyak 14 chalet dan 8 bilik telah ditempah khusus untuk yang hadir.

Tanjung Bidara Beach Resort ini sebenarnya telah pun lama beroperasi, lebih 30 tahun usianya. Bagi kami tarikan utamanya adalah kolam renang dan lebih istimewa lagi adalah pantai bersebelahannya yang mengunjur landai ke Selat Melaka.

Sebahagian daripada Zubireans
Difahamkan sehingga kini ahli keluarga Hj Zubir telah pun hampir mencecah 270 orang kesemuanya. Namun untuk sambutan Hari Keluarga kali ini hanya sebahagian sahaja yang dapat turut serta. Sebahagiannya lagi terikat dengan komitmen kerja dan lain-lain urusan yang tidak dapat dielakkan.

Apakan daya... kita hanya merancang, selebihnya adalah ketentuan ILLAHI. Tidak mengapa, In shaa ALLAH moga dipanjangkan usia, maka dipertemukanNYA di lain kesempatan. Aameen.

Agenda Hari Keluarga bermula dengan makan tengahari yang disediakan, diikuti pendaftaran masuk chalet/bilik. Di sebelah petang adalah acara bebas. Bagi anak-anak kecil, kolam renang adalah igauan mereka. Manakala anak-anak remaja dan dewasa pula lebih tertumpu ke pantai dan laut.

Sebenarnya di sekitar Tanjung Bidara terdapat beberapa tempat menarik yang boleh dikunjungi antaranya Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Pusat Penetasan Penyu Karah dan kampung-kampung tradisional.

Menunggu acara pantai...
Di sebelah malamnya pula tercipta sejarah tersendiri bagi ahli keluarga Hj Zubir di mana berlangsungnya Mesyuarat Agung Pertama IKHLAZ setelah pendaftarannya sebagai sebuah persatuan telah diluluskan oleh Pendaftaran Pertubuhan sejak setahun lalu. 

IKHLAZ adalah singkatan kepada Persatuan Ikatan Keluarga Hj Zubir 1909 dan 1909 pula merujuk kepada tahun kelahiran Tn Hj. Zubir. Secara rasminya IKHLAZ mempunyai barisan kepimpinan yang diperakui umum.

Mesyuarat yang dijangkakan sekitar 1 jam sahaja rupa-rupanya mengambil masa yang lebih lama. Sememangnya begitulah lumrahnya, apatah lagi Mesyuarat Agung. Namun semuanya tetap teguh berbekalkan semangat kekeluargaan yang jitu. TAHNIAH Zubireans walaupun makan malamnya terlewat dari masa yang ditetapkan.

Keesokan harinya dimulakan dengan solat Subuh berjemaah, diikuti dengan sesi tazkirah ringkas peri pentingnya perpaduan di kalangan ahli keluarga dibentuk atas dasar ukhuwah Islamiah. Selepas sarapan pagi, bermulalah acara sukaneka bertempat di pesisiran pantai.

Seronok bersama kenalan baru
Pelbagai permainan berkumpulan dilangsungkan seperti golek bola gelung rotan, pindah gelang getah dengan straw di mulut, perah air dalam botol, bola tampar pantai dan tarik tali. Anak-anak tidak sabar-sabar lagi untuk menghabiskan setiap permainan kerana tumpuan sebenar mereka adalah berendam di laut.

Menjelang jam 12:00 tengahari, masing-masing mula mendaftar keluar... mula bergerak meninggalkan Tanjung Bidara ke destinasi tersendiri. Yang tinggal hanyalah kenangan indah yang pasti tidak dapat dilupakan terutamanya jiwa yang mekar dengan ikatan silaturahmi yang bakal kekal mewangi selamanya.

Tuesday, December 19, 2017

The Big Bad Wolf 2017

The Big Bad Wolf Book Fair yang diadakan setiap akhir tahun mulai tahun 2009 adalah antara pesta buku tahunan terbesar dan paling tersohor di Malaysia di samping Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

Untuk tahun 2017, The Big Bad Wolf Book Fair ini telah berlangsung selama 11 hari iaitu dari 8 Disember sehingga 18 Disember yang lalu. Sebanyak 4.5 juta buku disediakan dengan majoritinya dalam Bahasa Inggeris dari para penerbit luar negara. Terdapat juga pertambahan buku dalam Bahasa Melayu dan juga Bahasa Mandarin.

Teruja di celah timbunan buku
Sejak kembali dari kelana di Australia pada awal tahun 2011, sehingga kini kami tidak pernah ketinggalan untuk mengunjunginya. Dengan longgokan jutaan buku dari pelbagai genre, ditambah pula dengan tawaran harga yang mengiurkan... pasti sekali meruntun nafsu para peminat buku untuk memiliki setiap buku yang menarik hati. Tidak sedar telah pun penuh troli yang disorong.

Saban tahun lokasi pesta buku ini masih tetap di lokasi yang sama iaitu di MIECC, The Mines, Seri Kembangan, Selangor. Menariknya ianya dibuka 24 jam sehari semalam, bermula pada pagi hari pertama sehinggalah ke tengah malam hari terakhir. Terserah kepada para pengunjung untuk memilih masa kunjungan yang sesuai.

Pengalaman kami sekeluarga, kami pernah menerjah pesta buku ini seawal jam 2:00 pagi dan tiba di rumah sebelum masuk waktu Subuh. Adakalanya kami pergi selepas solat Subuh. Untuk tahun ini, kami pergi ke MIECC pada petang Ahad, 10/12/2017. Itulah sahaja yang kesempatan masa yang ada tetapi cuma bertiga sahaja iaitu bersama Solehah dan Imran. Ibunya berserta Hanisah ada urusan yang perlu diutamakan.

Buku Pilihan kami kali ini
Petang tersebut  hujannya agak lebat dan sekitar MIECC sesak dengan kenderaan, namun segalanya dipermudahkan ALLAH SWT. AlhamdulILLAH.

Untuk memilih buku yang diingini, cukuplah membelek helaian muka surat sekadarnya sahaja. Tidak perlu membuang masa kerana terlalu banyak meja yang perlu disinggahi. Terasa berkenan di hati, masukkan sahaja ke troli.

Di akhir jelajah, duduklah di Sorting Corner untuk membuat pemilihan buku yang sebenar-benarnya diperlukan. Jangan lupa pula dengan bajet yang disediakan. Usah terlalu mengikut nafsu. Selebihnya letakkan sahaja di dalam kotak yang disediakan.

Di peringkat awal, kami memang kemaruk dengan kepelbagaian buku yang ditawarkan sehingga hampir mencecah ribuan ringgit. Selepas itu masing-masing pandai mengukur keperluan diri. Apakan tidaknya, sehingga kini masih kedapatan buku yang belum pun dibaca lagi.

Untuk kali ini, kami hanya berbelanja hanya sekitar RM 100 sahaja. AlhamdulILLAH... Tambahan pula rak buku di rumah pun dah melimpah ruah... Nak bagi buku kat orang terasa sayang... Tunggulah apa tindakan seterusnya.

Sunday, December 3, 2017

Cuti2 Malaysia > Taman Tamadun Islam

Dari Besut, kami bertolak ke Kuala Terengganu untuk menziarahi keluarga di kampung.

Berlatarbelakang Pintu Masuk Taman Monumen
Pada ruang masa yang ada, kami berkesempatan mengunjungi Taman Tamadun Islam (TTI) yang terletak di Pulau Wan Man, tidak jauh daripada Muzium Negeri Terengganu yang tersergam di Kg Losong Panglima Perang. 

Umumnya terdapat 2 zon utama di TTI iaitu Taman Monumen (Monument Park) dan Taman Awam (Public Park). Di TTI juga terdapat Masjid Kristal dan Pusat Konvensyen.

Enam tahun dahulu (tahun 2011), kami sekeluarga pernah datang ke TTI ini. Tumpuan kami pada kali ini masih sama iaitu meninjau puluhan replika masjid/ menara/ istana/ kota pertahanan yang terkenal di seluruh dunia di Taman Monumen.

Tiada banyak bezanya... yalah apa lagi yang diharapkan kecuali satu dua monumen baru sebagai daya tarikan tambahan, antaranya Kincir Air dan Virtual Hajj.

Bagaikan gergasi di hadapan Masjid Sultan, Singapura
Namun bagi keluarga Fairuz, ianya kunjungan julung-julung kali.. pastinya satu pengalaman dan perkongsiaan pengetahuan yang amat bermakna. Banyak maklumat yang boleh dihadamkan sambil menghayati kehalusan senibina setiap binaan dan rentetan kisah di sebaliknya. Sekaligus mengkagumi kehebatan tamadun Islam yang merentasi zaman... kekal hebat sehingga kini.

Semua monumen amat menarik perhatian kami, antaranya Kudus Minar di Jawa dengan pergaruh Hindu, Taj Mahal di India melambangkan cinta kasih suami-isteri, Masjid Pattani yang menyerupai Taj Mahal, Masjid Kul Sharif di zaman Kremlin, Russia, Menara Berpusing pada Masjid Utama Samarra Iraq, Masjid Sulaiman berkubah biru di Turki, Kubu Citadel Aleppo di Syria dan Menara Masjid Xian di China yang dibina oleh Laksamana Haji Cheng Ho.

Menara Berpusing Masjid Samarra, Iraq
Tidak terkecuali Masjid Negara di Kuala Lumpur, Masjid Nabawi di Madinah dan Masjidil Haram di Mekah serta Kubbah As-Sakhrah di Palestin yang masyhur dengan batu suci ketika peristiwa Mi'raj RasuluLLAH SAW.

Namun beberapa monumen dalam proses penyenggaraan, antaranya Al-Hambra dan Masjidil Haram kerana terdapat kerosakan terhadap struktur binaannya.

Ketika kunjungan kami pada petang Jumaat, 20 Oktober 2017 tersebut, banyak kereta di ruang parkir tetapi hanya kelihatan beberapa orang pengunjung sahaja di Taman Monumen. Sebahagian besarnya datang beriadah di sekitarnya sahaja. Mungkin sebahagian besarnya penduduk tempatan yang meluangkan masa bersama keluarga di hujung minggu.

Dijangkakan pengunjung utama ke Taman Monumen adalah 'pelancong pertama kali' samada dari dalam negeri mahupun luar negeri Terengganu terutama pada musim cuti persekolahan. Kebanyakannya beranggapan cukuplah sekali sahaja datang kerana semuanya sama sahaja. Tambahan pula bayaran masuknya sedikit mahal - RM22.90 untuk dewasa dan RM15.90 untuk kanak-kanak.

Masjid Kristal
Sebagai kenang-kenangan, para pengunjung boleh mengabadikan foto berlatarkan Taman Tamadun Islam mahupun Taman Monumen dengan bayaran tertentu, bergantung kepada saiz foto dan jenis bingkai yang dipilih.

Malah terdapat ratusan jenis cenderamata menarik di Kedai Cenderamata untuk dijadikan ole-ole untuk dibawa pulang. Tidak sewajarnya dilepaskan oleh para pengumpul cenderamata.

Sebelum meninggalkan Taman Tamadun Islam, sempat kami luangkan masa makan-makan di  Bbeteng Restaurant, menghadap ke Sungai Terengganu sambil melihat bot-bot penumpang (cruise) memudiki ke hulu dan hilir sungai.

Tidak lengkap kunjungan ke TTI jika tidak menyinggah di Masjid Kristal yang terkenal dengan keunikan senibinanya menggunakan keluli dan kaca yang menbentuk pemandangan seperti kristal.

AlhamduliLLAH... masing-masing pulang dengan kepuasan hati. Tercapai sudah misi 2 dalam 1 - Ziarah Keluarga Sambil Melancung.

Moga ada manafaatnya. Ins shaa ALLAH.