Friday, January 30, 2009

Makan2 Noble Park > Rumah Arabi

Tanggal 26 Januari adalah National Day di Australia. Lebih dikenali sebagai Australia Day. Tarikh yang diambil sempena pendaratan pertama bangsa Eropah melalui kapal First Fleet di New South Wales pada tahun 1788. Tarikh sambutan yang dipertikaikan terutama oleh kaum pribumi (Aborigines dan Torres Islanders) kerana dianggap bermulanya pencerobohan dan penjajahan ke atas tanah milik mereka. Biarkan, itu sejarah mereka.

Kaum ibu rancak berbual di beranda belakang rumah
Australia Day adalah hari cuti umum. Tahun ini ianya jatuh pada hari Isnin. Petangnya ada jemputan dari keluarga Arabi Shah-Yasmin Leila ke rumah mereka di Noble Park. Majlis 2 dalam 1, aqiqah dan hari jadi anak mereka, Sharafina Rose. Keluarga yang amat ramah dan suka bergaul dengan rakan-rakan seMalaysia walaupun berstatus PR. Lebih-lebih lagi ibu Yasmin, Aussie yang menetap bersama mereka.
Rumah mereka agak istimewa, berkonsepkan rumah Melayu. Dindingnya papan disusun melintang dengan beranda bertangga kayu di belakang rumah menghadap laman belakang yang sederhana luasnya. Di laman inilah majlis tersebut dilangsungkan.

Semua keluarga Dandenong-Noble Park hadir. Dimeriahkan lagi dengan kehadiran lain-lain jemputan dari Clayton (antaranya Naquib, Dr. Mai, Dr. Ruzi dan keluarga Hanif), Azidah serta Sulaiman dari Frankston, keluarga Edi-Mazni dari Springvale dan beberapa orang lagi kenalan. Lebih seronok lagi dengan penyertaan 2 keluarga baru di Dandenong dan Noble Park, keluarga Uji dan Muaz.

Kaum bapa menjamu selera di bawah khemah
Uji berserta suaminya warga Australia, Peter dan anaknya, Ian yang berusia 2 tahun baru 2 bulan berpindah ke Dandenong dari satu kawasan pendalaman di Western Australia. Seronok betul Uji apabila dapat berjumpa dengan komuniti Melayu setelah sekian lama mencari. Muaz (keturunan Egypt) dan isterinya yang dikenali ketika Hari Raya Puasa tahun ini pula baru berpindah ke Noble Park dari Frankston. Ini menjadikan keluarga Dandenong-Noble Park bertambah besar kepada 15 keluarga semuanya (10 di Dandenong, 5 di Noble Park).

Majlis dimulai sekitar jam 03:00 petang dengan tazkirah ringkas tentang aqiqah, disampaikan oleh Muaz, diikuti bacaan doa, sebelum masing-masing menjamu selera. Bersemangat sekali mereka mengisi perut, tambahan pula waktu makan tengahari dah terlewat.

Sharafina didukungan ibunya, bersebelahan bapanya berserta Azizah menanti majlis hari jadi
Meja hidangan dipenuhi pelbagai juadah yang amat menyelerakan seperti nasi ayam, laksa penang, roti jala, dendeng dan bermacam kueh-mueh. Paling mendapat perhatian adalah BBQ lamb, ayam dan sosej. Setiap kali diangkat dari tempat bakaran ke talam, sekejap sahaja dah berpindah ke pinggan.

Kemesraan dan keseronokan dapat bersama jelas kelihatan. Tidak sedar telah hampir jam 05:30 petang. Sebelum beredar, majlis ringkas sambutan harijadi untuk Sharafina (2 tahun) dan Azizah, anak bongsu Dr. Siti Aminah (9 tahun) diadakan. Selamat Hari Jadi Sarafina. Selamat Hari Jadi Azizah.

Menghampiri jam 06:30 petang, masing-masing mula bersalaman dengan harapan silaturahim yang terjalin akan terus berpanjangan. Insya Allah ketemu lagi.

Sunday, January 25, 2009

Jalan-jalan Melbourne > Melbourne Aquarium

Ketika bersarapan pagi Ahad hujung minggu baru-baru ini, tercetus cadangan, “Apa kata hari ni kita ke Melbourne Aquarium. Kita tengok penguin Antarctica. Sambil tu kita boleh jalan-jalan di Melbourne City”. Semuanya setuju. Tambahan pula cuacanya baik, langit cerah dengan suhu sederhana panas. Elok untuk berjalan-jalan makan angin.

Di hadapan Federation Square
Kami bertolak dari rumah agak lewat, kira-kira jam 12:30 tengahari, selepas latihan Tae Kwon Do Izzuddin di masjid. Kami naiki komuter dari Caufield Station menuju ke Flinders Station, berhadapan Federation Square. Tiket hari Ahad, dikenali Sunday Savers lebih murah dari hari-hari biasa, hanya $3.20 seorang.
Di City, kami singgah seketika di Visitor Information Centre untuk mendapatkan peta Melbourne CBD. Seterusnya kami ke Es Teler 77 di Swaston St, kedai makan Indonesia yang terletak berhadapan State Library. Seronok juga sesekali makan di luar. Nasi goreng, pecal, air buah serta air batu campurnya sedap sekali.

Selepas bersolat Zohor di City Mosque di Jeffcott St, kami menaiki City Circle Tram (percuma) menuju ke Melbourne Aquarium. Tram yang dinaiki agak lama, bukan sahaja reka bentuknya yang klasik, enginnya juga dah tua, ibarat bunyi engin bot sungai. Sampai di Harbour Esplanade, tak larat lagi untuk bergerak kerana terlebih muatan (penumpangnya penuh) menyebabkan ianya semput.
Berjalan kaki kami melepasi Telstra Dome dan Southern Cross Station serta menyusuri Spencer St dan Flinders St menuju ke akuarium dan tiba di sana kira-kira jam 5:30 petang. Akuarium biasanya dibuka sehingga jam 06:00 petang sahaja tetapi dari 1 Jan – 26 Jan, 2009, ianya dibuka sehingga jam 09:00 malam. AlhamduliLlah, bernasib baik kami, jika tidak kempunanlah anak-anak.

Melbourne Aquarium tidaklah berapa besar, terletak di dalam bangunan 3 tingkat, bersebelahan Yarra River di Cnr Kings-Flinders St, bertentangan dengan Crown Entertainment Complex. Tiket masuknya agak mahal. Tiket keluarga (2 dewasa + 2 kanak-kanak) harganya $85.00 dan tambahan kanak-kanak $8.50 seorang. Imran tidak dikira (percuma).

Terdapat 4 exhibit yang berbeza. Mula-mula masuk adalah Antarctica, diikuti Weird and Wonderful, seterusnya River to Reef dan paling akhir Sharks Alive.

Antarctica adalah exhibit yang baru dibuka, mengenengahkan alam kehidupan penguin jenis King dan Gentoo. Ketika ketibaan kami, kawanan penguin sedang bersantai di habitat kutub berair batu yang dilingkungi cermin kaca. Di kolamnya tiada seekor pun penguin yang sedang berenang. Mungkin hanya berfungsi ketika waktu makan yang disekalikan dengan pertunjukan yang diadakan setiap 2 jam sekali, mulai jam 11:00 pagi.

Di aras yang sama, bersebelahan Ice Station adalah dunia hidupan marin yang menakjubkan terutama di dasar laut yang sukar diterokai. Terdapat sea horse, sea dragon, lionfish dan pelbagai hidupan laut lagi yang tidak pernah ditemui dan ianya amat unik samada dari segi bentuk, warna mahupun habitatnya. Keterangan ringkas hampir setiap hidupan ada dipaparkan bersebelahannya untuk rujukan. Terpesona kami melihat kebesaran Illahi. Di sebalik keindahan alam di bumi nyata, masih kedapatan dunia lain yang tidak kurang indah dan menarik.

Ketam gergasi dari celahan dinding menuju Oceanarium
Selepas Weird and Wonderful, kami bergerak pula ke River to Reef Exhibit. Hidupan yang biasa kita temui dan serasi dengan hampir setiap orang ditonjolkan untuk makluman. Banyak informasi berkaitan dipaparkan. Masih banyak perkara sebenarnya yang kita tidak ketahui. River Cave, Billabong, Lost Lagoon, Sea Jellies dan Coral Atoll adalah antara dunia hidupan air yang diketengahkan. Terdapat juga booth penerangan berkaitan jerung, starfish dan lobster. Pengunjung dibenarkan untuk menyentuhnya termasuk pelbagai bentuk telur jerung mengikut jenisnya.

Exhibit terakhir adalah Sharks Alive yang terletak di Basement. Di sinilah terletaknya Oceanarium dengan pandangan 360 darjah melingkungi laluan pengunjung. Dengan isian air kira-kira 2.2 million liter padu, terdapat pelbagai hidupan laut dalam yang dapat ditonton secara live. Ikan jerung, pari gergasi, penyu dan jutaan ikan kecil berenang bebas di celah-celah hidupan karang yang pelbagai bentuk, warna dan saiz. Amat indah sekali.

Kawanan ikan kecil berenang bersama jerung di Oceanarium
Anak-anak begitu asyik sekali menyelami setiap hidupan yang dipertontonkan. Satu demi satu diterokai penuh minat termasuk Imran. Pelbagai persoalan ditimbulkan semata-mata untuk mendapatkan kepastian. Secara tidak langsung setiap orang termasuk kami, ibu bapanya turut mempelajari sesuatu yang baru. Betapa luasnya ilmu pengetahuan, tidak terjangkau dek akal yang terhad.

Melangkah keluar, kami singgah bergambar (simulation) berlatar belakangkan pilihan hati serta singgah di Aquarium Shop untuk membeli cenderahati kenang-kenangan.
Koleksi foto boleh dilihat di ruangan Album Foto Kami (kiri web) atau klik di sini.

Sebelum bertolak pulang, kami ke City Mosque untuk bersolat Maghrib. Dua saf makmum lelaki, hampir semuanya adalah para pemandu teksi dari pelbagai bangsa. Dari masjid, kami menapak (berjalan kaki) ke Southern Cross Station, hub-station seumpama KL Sentral di Kuala Lumpur.

Di dalam komuter terdapat kelompok muda-mudi di sana sini. Keesokan harinya (26 Januari) adalah hari cuti umum, Australia Day. Tidak hairanlah mereka kelihatan begitu bebas. Dengan pakaian menjolok mata dan perlakuan kurang sopan, tiada langsung rasa segan dan malu mahupun rasa hormat pada penumpang lain. Begitulah budaya hedonisme yang sudah mendarah daging di dalam masyarakat di Australia. Amat membimbangkan sekali bagi anak-anak yang sedang meningkat remaja. Moga keluarga kami dilindungi Allah sentiasa (Ameen).

Kami tiba di Caufield Station kira-kira jam 10:00 malam dan tiba di rumah setengah jam selepasnya. Semuanya kepenatan. Selepas solat Isyak, semuanya lena melepaskan lelah.

Summer Reading Club - Tahniah Solehah

Summer Reading Club adalah salah satu aktiviti tahunan musim cuti persekolahan (cuti musim panas) yang dianjurkan oleh Victoria Libraries khusus untuk kanak-kanak. Setiap perpustakaan di setiap suburb termasuk Dandenong Library bersama sekutunya, Springvale Library tidak terkecuali. Untuk Dandenong, pada musim ini ianya bermula pada awal Disember 2008 dan berakhir pada 20 Januari 2009.

Tujuan kelab ini untuk menarik minat kanak-kanak dengan buku. Mereka digalakkan menyertainya dengan mendaftarkan diri sebagai ahli kelab di perpustakaan. Pelbagai program diadakan seperti Reading Record, Treasure Hunt, Colouring Competition dan Tumble Books Quiz. Turut diadakan Grand Prize Draw dengan bermacam hadiah yang amat menarik.

Bersama hadiah yang dimenangi
Hanisah dan Solehah tidak melepaskan peluang, sama seperti pada tahun lepas. Setiap 10 buah yang dibaca direkodkan di dalam Reading Record sheet dan ditukar dengan hadiah segera (goodies); gelang getah kelab dan pelekat.

Pada musim ini, acara penutupnya telah diadakan pada 23 Januari, 2009 lalu (Jumaat) bermula jam 02:00 petang di Springvale Library. Hanisah serta Solehah dengan ditemani ibunya serta Imran turut serta. Ianya dimulakan dengan pertunjukan percuma, diikuti pengumuman pemenang dari pertandingan-pertandingan yang dianjurkan. Juga diumumkan pemenang untuk Grand Prize Draw.

Tidak disangka Solehah memenangi salah satu hadiahnya. Hadiah yang amat menarik dan sememangnya diimpikan selama ini, buku Guiness World Records 2009 dan set permainan Monopoly serta Bratz Puzzle. Tahniah Solehah.
Ianya menjadi barangan kesayangan semua (lebih-lebih lagi Solehah). Sama-sama dapat berkongsi memanafaatkannya.

Saturday, January 24, 2009

Melbourne Panas

Beberapa hari ini cuaca di Melbourne dan sekitarnya agak panas. Ada ketika suhunya melewati 40 darjah Celcius. Banyak tempat yang mengalami bushfire terutama melibatkan kawasan perladangan, ladang rumput, taman dan hutan. Malah di sesetengah tempat, kebakarannya melarat sehingga ke kawasan penempatan. Diburukkan lagi dengan angin kencang yang bertiup sekitar 100 – 130 km/sejam serta ribut petir yang dikatakan turut mencetuskan kebakaran.

Pada hari Selasa, kawasan taman seluas 6 hektar di Carrum Downs, kira-kira 12 km dari Dandenong marak terbakar. Sebuah rumah dilaporkan turut terlibat. Begitu juga beberapa tempat di Langwarrin dan Seaford berdekatan dengannya.

Kebakaran di Malmsbury
Pada hari Khamisnya pula, beberapa kawasan di tengah Victoria mengalami nasib yang lebih teruk. Di Malmsbury dan Taradale yang terletak di utara Melbourne, seluas 370 hektar kawasan perladangan, ladang rumput dan hutan marak terbakar. Di Woodend, bersebelahan dengannya, seluas 350 hektar terlibat. Manakala laluan keretapi antara Melbourne ke Bendigo terpaksa ditutup atas sebab yang sama.

Banyak lagi kes seumpamanya berlaku tetapi melibatkan kawasan yang lebih kecil, antaranya di Alexandra di timur laut Melbourne dan Bairnsdale, Orbost serta Cann River di timur Melbourne.

Kesan dari bushfire ini, langit yang membiru bertukar menjadi kelam berjerebu. Kabus asap dan habuk menyelubungi ruang udara di sekitarnya. Apatah lagi jika hujan tidak turun, hanya berbantukan tiupan angin. Keadaan yang amat tidak sihat dan boleh mengakibatkan mudarat kepada kesihatan. Umpama suasana jerebu di tanah air yang sering berlaku ketika musim panas.

Menurut ramalan, suhu di Melbourne akan menurun sekitar 24 darjah Celcius di penghujung minggu ini sehingga awal minggu hadapan tetapi meningkat kembali sekitar 38 darjah Celcius beberapa hari selepasnya.

Inilah realiti musim panas. Kini ia dipuncak dengan kepanasan yang melewati 40 darjah Celcius. Ketentuan yang tidak dapat dijangka. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui apa yang akan berlaku seterusnya. Moga-moga dilindungi olehNya dari malapetaka, lebih-lebih lagi di bumi Australia yang sememangnya “panas” dengan pelbagai gejala yang tidak sihat.

Wednesday, January 21, 2009

Makan2 Dandenong > Rumah Mohd Nor

Suasana majlis di back yard rumah Mohd Nor-Suriati
Petang Sabtu, 17/01/2009, keluarga Dandenong-Noble Park bertemu lagi. Pertemuan pertama untuk tahun 2009. Kali ini di rumah Mohd Nor-Suriati di Ann St, Dandenong. Majlis yang dinanti-nantikan sebagai medan untuk bersua muka, sekaligus mempereratkan silaturrahim yang sedia terjalin.

Persiapannya telah dilakukan secara ukhwah terutama kaum ibu. Menu utamanya sate. Sehari sebelumnya, mereka berkumpul di rumah Mohd Nor untuk tugasan memotong, mencucuk dan marinate. Suasana yang meriah, ibarat persiapan kenduri kahwin pula. Boleh juga dikatakan, umpama mesyuarat Mak Cik Kiah. Kemesraan yang tiada terungkap dek kata-kata. Moga berpanjangan.

Jemputan hari Sabtu bermula selepas solat Asar, sekitar jam 05:30 petang. Ruang belakang rumah (back yard) rumah Mohd Nor amat sesuai untuk majlis seumpamanya. Bukan sahaja luas tetapi turut dilengkapi ruang BBQ berbumbung serta tempat makan yang santai. Cuacanya baik cuma sejuk sedikit dengan angin bertiup lembut.

Tuan rumah sedang melayan tetamu
Hampir semua ahli keluarga Dandenong-Noble Park datang kecuali keluarga Rashdan-Rohani (kebetulan bercuti di Adelaide) serta Arabi (kerja tapi isterinya Yasmin, anak dan ibu mertuanya datang). Dimeriahkan lagi dengan kehadiran Azura, isteri Tg Rashdan dengan anaknya, Tg Hana yang baru pulang ke Dandenong dari Malaysia. Juga kehadiran keluarga baru Dandenong, Dr. Siti Aminah serta 3 anaknya, al-Imran, Umar dan Azizah. Bertambah lagi ahli Keluarga Dandenong-Noble Park.

Pelbagai juadah yang terhidang amat sedap sekali, sehingga tak terlarat untuk dimakan setiap satu daripadanya. Masing-masing membawa juadah istimewa mereka untuk dikongsi bersama, antaranya nasi lemak, nasi goreng, beehoon goreng, dendeng, puding, air soya cincau dan banyak lagi. Yang pasti sate dan udang bakar mendapat sambutan utama. Udangnya tidak sempat bertahan lama, masuk talam sahaja terus berpindah masuk pinggan.

Tersenyum girang Azura setelah lama tidak bersua
Apabila bertemu, pelbagai perkara menjadi bualan. Maka banyak maklumat baru yang diperolehi. Bukan sahaja berkaitan isu semasa tetapi juga bersangkut paut dengan hal-hal di sekitar ahli keluarga sendiri. Begitu juga anak-anak dengan agenda mereka sendiri, bermain apa sahaja permainan yang ada.

Saudara Arabi sendiri sudah menyampaikan pesan, jangan lupa bertandang ke rumahnya pula pada 26/01/2008 nanti, selepas masuknya waktu Zohor. Hari Isnin, kebetulan cuti umum, Australia National Day. Insya Allah.

Tuesday, January 20, 2009

Dinostory @ Franskton Waterfront

Arca/ binaan pasir (sand sculpture) amat digemari oleh kanak-kanak. Kiranya ke pantai, itulah antara yang menjadi keutamaan mereka. Pelbagai bentuk diukir penuh rapi dan kreatif, siap dengan jalan ceritanya yang tersendiri. Kepuasan jelas terpancar di wajah mereka. Begitulah imbasan dari kreativiti.

Kini kedapatan usaha para pengukir arca pasir profesional mengenengahkan kreativiti mereka ini untuk tatapan ramai. Di Australia, Sandstorm Events Pty Ltd begitu terserlah dalam bidang ini. Tahun lepas, mereka membawa tema Sand Castle, mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Pada tahun ini, tema pilihan adalah Dinostory, alam dinosaur yang amat digemari oleh kanak-kanak, termasuk Imran. Tapak pamerannya di Franskton Waterfront, bersebelahan pantai serta jeti, kira-kira 20km dari Dandenong. Pameran ini berlangsung selama 4 bulan, mulai 26/12/2008 sehingga 26/04/2009.

Tengahari Sabtu baru-baru ini (17/01/2009), kami berkesempatan berkunjung ke sana. Cuacanya baik sekali, cerah hingga ke petang. Bersama kami Kak Siti Aminah sekeluarga.
Pada masa yang sama kini berlangsung Franskton Waterfront Festival bersebelahan tapak pameran, sekaligus menjadi salah satu singgahan pengunjung festival. Bayaran masuknya $10.00 untuk dewasa, $7.00 untuk kanak-kanak 4 tahun ke atas dan percuma untuk bawah 4 tahun. Untuk kami sekeluarga, semuanya $41.00. Rasanya berpatutan dan berbaloi. Walaupun kawasan pamerannya tidak luas namun hasil kreativiti yang dipertontonkan amat halus dan hidup sekali. Pameran ini juga dibuka di sebelah malam.

Melangkah masuk sahaja, terpukau pandangan kami dengan arca pasir gergasi pelbagai dinosaur dengan bentuk, gaya dan watak masing-masing. Terdapat kira-kira 27 arca semuanya dan setiap satu tertera nama berserta keterangan ringkas berkaitan dengannya. Protosuchus, Hadrosaurus, Tyrannosaurus Rex, Othnielia, Proceratops, Stegosaurus, Ozraptor, Alioramus, Quetzalcoatlus dan Madtsoia adalah antara arcanya. Satu persatu kami selusuri penuh minat. Imran paling excited, tidak sabar untuk melihat setiap dinosaur seterusnya. Hinggakan nak ambil gambarnya bersama dinosaur pun susah untuk dapatkan posisi yang menarik.

Dalam menekuni setiap arca , terdetik rasa kagum, betapa kukuhnya struktur binaan hinggakan dapat bertahan lama. Tidak runtuh dek fenomena hujan dan panas, juga angin yang menderu kencang. Malah dikatakan boleh bertahan hingga setahun.

Dari maklumat yang diperolehi, untuk membina kesemua arca tersebut, sebanyak 3, 500 tan pasir telah digunakan. Seramai 21 pengukir berbakat seluruh dunia telah berkampung selama 3 minggu untuk menyiapkannya. Pasir halus yang digunakan dari jenis heavy sand, dikenali juga brickies sand yang berbentuk empat segi - kemas dan padat apabila dimampatkan berbanding pasir pantai berbentuk bulat yang longgar dan mudah terurai.

Proses “pembinaan” arca juga amat teliti. Pasir istimewa ini dimampatkan sepadatnya dalam papan bersegi empat dan ditindan mengikut saiz setiap arca, umpama kek bertingkat. Campurannya hanya pasir dan air sahaja. Kerja mengukir dimulai dari atas ke bawah sehingga siap bentuk arca yang diingini. Seterusnya disemburkan dengan biodegradable sealant untuk mengukuhkan strukturnya. Setiap arca biasanya hasil kreativiti setiap pengukir individu.
Koleksi foto dinostory boleh diakses di ruangan Album Foto Kami (kiri web) atau klik di sini.

Di samping arca dinosaur, terdapat juga aktiviti lain berkaitan era dinosaur, antaranya sand workshop, balloon art, storytelling dan face painting. Sesuatu yang berunsurkan hiburan, pada masa yang sama diterapkan nilai-nilai pendidikan, sesuai untuk perkembangan minda kanak-kanak.

Pameran Dinostory amat sesuai dikunjungi apatah lagi di musim cuti persekolahan ini. Ianya berbentuk ilmiah, banyak perkara yang dapat dipelajari. Sesungguhnya dunia dinosaur amat unik, banyak yang kita tidak tahu dari apa yang diketahui.

Thursday, January 15, 2009

Panasnya Musim Panas

Cuaca kelmarin dan semalam (Selasa & Rabu) begitu panas sekali. Bukan hanya di Melbourne sahaja tetapi di seluruh Australia. Di kebanyakan tempat suhunya di sekitar 40 darjah Celcius. Udaranya kering. Angin yang bertiup juga kering. Langit pula cerah tanpa awan. Terasa perit kulit terkena panahan cahaya matahari. Pemakaian sun block cream adalah digalakkan. Ianya perlu disapu pada kulit yang terdedah terutama pada lengan dan muka.

Sekarang ini sememangnya musim panas di Australia. Telah hampir 2 bulan ianya berlalu tetapi cuaca panas seumpamanya belum pernah dirasai. Suhu sebelum ini hanya di sekitar 25 – 30 darjah Celcius sahaja. Biasanya diiringi mendung, hujan atau angin sejuk.

Di sekitar Melbourne, suhu pada hari Selasa mencecah hampir 40 darjah Celcius. Tengahari semalam pula suhunya lebih kurang sama. Kain baju yang dijemur sekejap sahaja kering. Namun, kasihan pada tanaman seperti sayuran dan bungaan, daunnya melentok layu walaupun telah disiram.

Ketika panas membahang seperti ini, pantai-pantai dipenuhi pengunjung yang berjemur dan mandi laut. Kolam renang tidak terkecuali. Begitu juga sungai-sungai. Malah semua tempat rekreasi air menjadi tumpuan ramai. Bagaikan pesta air pula.

Kami di rumah seboleh mungkin tidak mahu berada di luar rumah. Langsir hanya dibuka sedikit sahaja, cukup untuk cahaya menerobos masuk. Jika tidak bahang panasnya amat susah untuk keluar kembali. Dalam keadaan berjaga-jaga macam itu pun suhu di dalam rumah telah mencecah 33 darjah Celcius. Malamnya, tingkap terpaksa dibuka agar udara luar yang mulai sejuk dapat masuk. Tidur pun terpaksa berkipas.
Tekak terasa begitu cepat kering. Badan pun sama kiranya terdedah pada matahari atau terperangkap dalam kepanasan. Jika tidak diambil peduli boleh menyebabkan dehydrate.
Akibat "kepanasan melampau" ini, perkhidmatan komuter di Melbourne juga terganggu. Hampir 100 perjalanannya terpaksa dibatalkan menyebabkan kesesakan teruk di stesyen-stesyen komuter.

Dinko Lukin, salah satu kilang pemprosesan tuna terbakar di Port Lincoln
Apabila panas seumpamanya, secara automatik pihak berkuasa mengisytiharkan Total Fire Ban. Tiada langsung pembakaran terbuka dibenarkan. Semak samun biasanya amat mudah marak jika terkena percikan api.
Pada hari Selasa sahaja dilaporkan 2 kebakaran besar berlaku. 200 meter persegi kawasan terbakar di Garigal National Park di utara Sydney. Paling besar berdekatan Port Lincoln di Eyre Peninsula, South Australia. Seluas 281 hektar kawasan terbakar mengakibatkan 2 rumah ranap dan 2 kilang pemprosesan ikan tuna juga turut terlibat.

Hari ini suhunya dijangkakan turun ke sekitar 23 darjah Celcius. Begitu juga sehingga akhir minggu ini. Suhu yang dikira selesa. Pada awal minggu hadapan, diramalkan suhu panas kembali melanda tetapi dijangkakan tidaklah sepanas kelmarin dan semalam.

Semuanya itu ramalan sahaja. Ketentuannya hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Redhalah kita sebagai hambaNya.

Monday, January 12, 2009

Pergi Umrah

Abah dan emak ketika di Sydney Botanical Garden
Hari ini, abah, Hj Tauhid dan emak, Hjh Azizah akan berangkat ke Tanah Suci Mekah untuk mengerjakan umrah. Bersama mereka saudara terdekat, Abg Salim-Kak Siti sekeluarga. Insya Allah akan pulang ke tanah air pada 24/01/2009.
Kami di Australia mendoakan agar mereka semua sentiasa di bawah lindungan Allah di sepanjang mengerjakan ibadah tersebut. Selamat juga di perjalanan pergi dan balik. Moga amalan mereka mendapat keredhaan Allah. Itulah yang sentiasa diharapkan oleh setiap insan yang bergelar hamba pada Tuhannya.

Terasa rindu juga untuk ke sana. Apakan daya. Hasrat hati terpaksa ditangguhkan dahulu demi perjuangan yang belum selesai. Moga kami dikurniakan kejayaan, kesihatan berpanjangan, kekuatan dan kesuburan iman serta dipermudahkan dalam melakukan setiap urusan. Insya Allah, moga tertunai selepasnya. Doakan kami.

Ketika di maqam RasuluLlah (sallaLlahu alaihi wasallam), sampaikan salam kasih kami padanya. Insya Allah kami akan turut ke sana di suatu hari nanti, RasuluLlah. Ameen.

Sunday, January 11, 2009

Tetamu Dari Malaysia & Adelaide

Dari masa ke semasa sentiasa ada rakan kenalan baru dan lama terutama dari Malaysia dan Adelaide yang bertandang ke rumah. Mereka “menyinggah” samada kerana ada urusan di Melbourne ataupun dijemput ke rumah. Seronok sekali apabila dapat berjumpa dan berkenal mesra, lebih-lebih lagi yang baru dikenali.
Entri ini agak terlewat, lebih tertumpu menyiapkan entri Jalan-jalan Ke Adelaide.

Keluarga Din Ganu

Keluarga Din Ganu di meja makan
Seminggu yang lalu, tengahari Jumaat (02/01/2009), kami menjemput ibu bapa Khairuddin Yusof (Din Ganu) dari Terengganu serta adiknya, Hanisah (senang nak ingat, sama nama dengan nama anak sendiri) makan tengahari di rumah kami. Mereka datang ke Melbourne untuk menjenguk cucu terbaru, Siti Nur Khadijah, anak pertama Din Ganu dan Azliza yang dilahirkan di sini 7 bulan lalu.

Imran sedang bermain dengan baby Khadijah di sebelah ibunya, Liza
Pertemuan yang singkat tetapi kemesraannya cepat terukir. Apatah lagi apabila mengetahui Terengganu bukanlah tempat asing bagi kami yang juga berasal dari sana. Tambahan pula Kak Siti Aminah yang kini menetap di Terengganu pun ada di rumah kami. Insya Allah berjumpa lagi di lain ketika.

Sebagai makluman, Din Ganu dan Liza banyak berjasa kepada kami. Di rumah merekalah kami sekeluarga menetap selama 3 minggu ketika tiba di Melbourne. Malah bersusah payah membantu kami ke hulu ke hilir ketika pencarian rumah sewa yang agak rumit prosedurnya. Hanya Allah yang mampu membalas jasa mereka berdua.

Keluarga Kak Dariah-Abg Saiful

Sedang menjamu selera di meja makan
Mereka dari Adelaide. Tiba di Melbourne hari Selasa (16/12/2008), kira-kira seminggu sebelum misi Jalan-jalan Ke Adelaide kami. Mereka datang bersama 3 anak mereka, 2 lelaki dan seorang perempuan. Katanya ada urusan peribadi di sini. Dua hari pertama mereka tinggal di rumah sewa Khaizuran di Noble Park. Kebetulan penyewanya pulang ke tanah air. Hari ketiga pula (Khamis) mereka tinggal di Dandenong Motel.

Kak Dariah telah lama kami kenali, kini mengikuti pengajian peringkat PhD (Nursing) di Adelaide. Tinggal di rumah yang pernah kami sewa ketika di Adelaide dahulu bersama 2 anaknya. Abg Saiful serta anak lelaki bongsunya baru tiba dari Kelantan beberapa hari sebelumnya.

Dalam kesibukan mereka, sempat mereka berkunjung makan petang di rumah kami pada hari Jumaatnya. Pertama kali dapat berjumpa Abg Saiful. Orangnya mudah mesra dan humble sahaja. Dahulu pernah berkerja di MARDI dan kini sibuk dengan urusan perniagaannya sebagai kontraktor perumahan dan agen pelancongan di Kelantan.

Keluarga Nurul Aini

Bergambar di backyard, membelakangi pohon tin dan lemon
Nurul Aini juga dari Adelaide. Kini di tahun akhir pengajian PhD di sana. Mereka datang ke Melbourne selama 3 hari (Khamis, 18/12/2008 – Sabtu, 20/12/2008) untuk melancong bersama-sama dengan ibu bapanya serta adik lelakinya serta kenalan mereka, Wan Suhaimi bersama isteri dan anaknya. Mereka baru tiba dari Kelantan beberapa hari sebelumnya.
Di Melbourne, mereka tinggal di rumah Khaizuran selepas keluarga Kak Dariah berpindah ke motel. Di samping menjemput mereka makan di rumah kami, mereka turut dibawa mengunjungi Dandenong Market untuk mencari cenderahati Australia, DFO di Essendon dan beberapa tempat tarikan di Dandenong. Sebelum pulang ke Adelaide, mereka singgah di Victoria Market di Melbourne City.

Seronok betul ibu bapa Nurul apabila mengetahui Laili pernah belajar di Kota Bharu dan kami pula sering balik kampung di Kuala Terengganu. Berkali-kali mengingatkan kami, jangan lupa ke rumah mereka di Pengkalan Chepa, Kelantan. Begitulah sikap orang-orang tua. Perkenalan walaupun singkat seharusnya diperpanjangkan lagi agar silaturahim yang terjalin tidak putus begitu sahaja. Insya Allah.

Laila Kamaliah

Dari kiri; Laila, Laili dan Zie
Dr. Laila Kamaliah adalah rakan lama Laili ketika menuntut di MRSM KB dahulu. Juga rakan lama kepada Azidah, yang kini bekerja di Melbourne. Sekarang Laila sedang mengikuti job attachment di Flinders Medical Centre (FMC) di Adelaide. Datang bercuti beberapa hari ke Melbourne sejak hari Jumaat lalu (19/12/2008) dan tinggal di Melbourne City.

Kesempatan yang ada, ketiga-tiganya bersua pada hari Sabtu dan datang bertandang ke rumah kami. Apa lagi apabila dah lama tak berjumpa, banyak perkara yang dibualkan. Insya Allah disambung lagi ketika kami bertandang ke Adelaide pada minggu berikutnya.
Begitulah betapa tingginya nilai persaudaraan dan persahabatan. Kemesraan akan tersemai tanpa disedari dan Insya Allah akan terus mekar di ingatan.

Thursday, January 8, 2009

Jalan-jalan Ke Adelaide > Makan & Tidur

Perjalanan 5 hari 4 malam (24/12/2008 – 28/12/2008) dari Melbourne ke Adelaide benar-benar menguji ketahanan diri. Penat pun tidak terasa dek keseronokan menerokai setiap tempat yang disinggahi. Kembali ke Melbourne, barulah terasa letihnya. Dua tiga hari juga untuk kembali bertenaga kembali. Mujurlah musim cuti sekolah, malah universiti pun turut cuti sehingga minggu pertama Januari.

Imran di taman rumah Jali-Nita
Berdasarkan perancangan perjalanan dan tempat lawatan, persediaan tempat bermalam telah dilakukan lebih awal dengan menempahnya melalui telefon. Kami bernasib baik kerana tempahannya sebelum Hari Krismas. Jika selepasnya, susah untuk mendapatkannya kerana hampir semua tempat telahpun penuh. Persediaan makanan pula dilakukan beberapa hari sebelum perjalanan dengan membahagi-bahagikan tugasan.
Dua malam pertama (24/12 & 25/12), kami menginap di Paragon Limestone Motor Inn di Mt Gambier dan di Apollon Motel di Victor Harbour. Biliknya agak selesa dan sewanya berpatutan. Di Paragon, kami dapat 2 bilik bersambung (connecting room) dengan 2 double bed, 2 single bed dan 2 bilik air. Sewanya hanya $120 semalam untuk kedua-dua bilik tersebut. Di Apollon pula, bilik keluarga dengan 2 double bed, 1 single bed dan sofa yang juga boleh dijadikan tempat tidur. Sewanya mahal sedikit, $178 semalam. Bilik lain untuk 4 orang sewanya $148 semalam.
Di rumah Kak Dariah-Abg Saiful
Dalam perjalanan ke Adelaide, kami singgah di beberapa taman untuk berehat, makan dan solat jamak, antaranya Port Campbell Harbour, Twelve Apostles, Beachport, Coorong Park di Meningie dan Goolwa Barrage. Sewaktu pulang ke Melbourne pula, kami singgah di Tolmer Park di Bordertown dan Masjid Sunshine berdekatan Melbourne City.

Dari Goolwa (petang Jumaat, 26/12/2008), kami bertolak ke Adelaide. Di Adelaide, urusan tempat bermalam serta makan minum tiada masalah. Ramai rakan kenalan di sana yang berlapang dada membantu. Setiap kali ke Adelaide, seolah-olah balik kampung. Jemputannya berkeliling. AlhamduliLlah dimurahkan rezeki dan dipermudahkan olehNya.

Jemputan pertama dari Nurul Aini yang tinggal di Goodwood Rd. Kebetulan ibu bapanya dari Kelantan baru tiba di Adelaide dan pernah singgah di rumah kami seminggu sebelumnya ketika mereka berkunjung ke Melbourne. Nasi kerabu, makanan tradisi Kelantan berserta rencah iringannya (kelapa, budu, ulaman, keropok dll) yang dihidangkan begitu menyelerakan sekali. Hampir setiap orang makan bertambah. Tambahan pula kebanyakan dari kami dari Kelantan dan Terengganu.

Di hadapan apartmen Laila di FMC, sebelum bertolak ke Mt Barker
Malamnya kami mendapat 2 jemputan bermalam. Keluarga kami berserta keluarga Kak Siti Aminah (dengan 3 orang anaknya) bermalam di rumah Dr. Jali-Dr. Nita di Bernard St. Manakala Azidah, Kak Ruzi dan Kak Mai pula ke apartmen Dr. Laila di Flinders Medical Centre (FMC). Di rumah mereka, kami dijamu lagi dengan pelbagai juadah yang menyelerakan, antaranya sop tulang dan kueh mueh.

Keesokan harinya (Sabtu 27/12/2008), kami memenuhi jemputan sarapan pagi (cum makan tengahari) di rumah Kak Dariah-Abg Saiful di Diagonal Rd. Rumah yang meninggalkan nostalgia tersendiri bagi kami. Itulah rumah yang kami duduki ketika berada di Adelaide 2 tahun lalu. Seronok dapat bertemu muka dengan Nazri dan Hazami.
Tak sangka pula, jejak kasih mempertemukan 2 rakan lama ketika bersekolah menengah dahulu, Kak Dariah dan Kak Mai.
Lewat petang, kami singgah di rumah Dr Jali. Dijamu lagi dengan sop tulang. Malamnya, kami bermalam di rumah Dr. Sharifuddin-Dr. Ati di Mt. Barker. Rumah yang baru diduduki setelah berpindah dari rumah mereka di Murray Bridge. Kami tiba agak lewat. Hidangan makan malam telah sedia terhidang. Maaf dan terima kasih...8)

Di hadapan anjung rumah Sharifuddin-Ati di Mt Barker. Pudin tiada dalam gambar, keluar bermain golf
Pagi Ahad (28/12/2008), kami bersarapan pagi di rumah mereka sebelum bertolak pulang ke Adelaide dengan dibekalkan lauk pauk.
Berbanyak terima kasih kepada semua rakan kenalan di Adelaide yang bersusah payah melayan kami. Moga kalian dirahmati Allah sentiasa. Kiranya ke Melbourne, jangan lupa singgah ke rumah kami. Itulah yang sentiasa kami ingatkan kepada rakan kenalan yang datang ke Melbourne.
Dalam kesuntukan masa, rasa terkilan kerana tidak sempat berjumpa dengan ramai kenalan lama lain ketika di Adelaide. Antaranya Syidee, Salina, Jabar, Fadilah, Kak Ros, Pak Uka dan ramai lagi. Insya Allah, berjumpa kita di lain ketika

Tuesday, January 6, 2009

Jalan-jalan Ke Adelaide > Gorge Wildlife Park

Pagi Sabtu (27/12/2008), kami bersarapan pagi di rumah Kak Dariah-Abg Saiful di Diagonal Rd, Sturt. Azidah, Kak Ruzi dan Kak Mai yang tidur di apartmen Laila lebih panjang langkahnya. Selepas bersarapan terus ke Marion Shopping Complex, tidak jauh dari rumah Kak Dariah. Kebetulan hari tersebut (27/12/2008) adalah Boxing Day (hari shopping sakan) di South Australia. Itulah, lari dari perangkap Boxing Day di Melbourne pada 26/12/2008, terjerat pula di Adelaide.

Memberi makan kangaroo
Petangnya kami berkunjung ke Gorge Wildlife Park (Gorge WP) di Cuddle Creek, kira-kira 25km dari Adelaide City. Laila pun turut serta. Asalnya kami bercadang ke Cleland Wildlife Park (Cleland WP) di Mt. Lofty Ranges, tempat yang pernah dikunjungi sebelum ini, tetapi berubah rancangan setelah mendapat pandangan dari Nita Jali. Apatah lagi ianya belum pernah kami sekeluarga kunjungi.
Matlamat kami hanya satu, memberi peluang kepada rakan kenalan lain menyuakan makanan kepada kangaroo dengan tangan sambil dikelilingi olehnya. Satu pengalaman yang amat dicari-cari sebagai kenangan berada di Australia. Tambahan pula Gorge WP lebih kecil berbanding Cleland WP. Ianya berkeluasan 14 ekar, terletak di tanah beralun, telah dibuka sejak tahun 1965.

Iddin, Azidah, Laili dan Laila bergambar bersama kangaroo putih
Perjalanan kami ke Gorge WP agak mencabar, mendaki dan menuruni lereng bukit yang berliku-liku. Kami tiba di Gorge WP kira-kira jam 03:30 petang. Tiket masuknya $35 untuk keluarga 2 dewasa, 2 anak, $40 untuk keluarga 2 dewasa, 3 anak dan $45 untuk keluarga 2 dewasa, 4 anak. Untuk dewasa sahaja, bayarannya $13 seorang, kanak-kanak $7 seorang dan tiket konsesi (warga tua, pelajar universiti, OKU) pula $10 seorang.
Melangkah masuk ke taman melalui kedai cenderahati, tiada langsung petugas yang memeriksa tiket. Jika berhajat untuk masuk percuma pun tiada masalah. Itulah sebahagian daripada budaya Aussie, bergantung kepada kepercayaan. Sesuatu yang amat tinggi nilainya.

Solehah, Hanisah dan Azizah memberi makan kangaroo
Di dalam taman, kangaroo adalah antara haiwan pertama yang ditemui. Ada yang berwarna kelabu, coklat dan juga putih. Saiznya tidaklah berapa besar dn menggerunkan seperti di Cleland WP tetapi memadai. Begitu seronok sekali masing-masing menyuakan biskut dan kacang tanah yang dibeli dari kedai cenderahati. Bukan sahaja kepada kangaroo, tetapi juga burung emu dari kandang bersebelahan. Ghairahnya memberi makan sambil merakamkan foto, tidak disedari kehabisan bekalan makanan. Kesian melihat lain-lain kangaroo terlompat-lompat datang menghampiri sambil menyuakan mulut.

Di lain-lain lokasi, pelbagai haiwan dapat dilihat secara dekat samada di dalam kandang, sarang mahupun di kolam. Wallabi, wombat, koala, dingo, echidna, gibbon, meerkat, buaya dan pelbagai jenis burung termasuk little penguin adalah antara tarikannya. Imran antara yang paling teruja. Baginya haiwan sentiasa dekat di hati dan paling suka untuk ditemui. Bagi yang lain, tampak kepuasannya. Tercapai sudah hajat di hati.

Setelah berehat sambil makan-makan dengan bekalan yang dibawa di On-site BBQ, kami pun melangkah keluar. Rupa-rupanya kami adalah yang paling lewat keluar. Sekali lagi, jika ada yang ingin masuk tanpa berbayar pun tiada masalah. Tiada orang yang mengawasinya.
Koleksi foto boleh diakses di Album Foto Kami (kiri web) atau klik di sini.

Jika dilakukan perbandingan antara Gorge WP dan Cleland WP, secara peribadi Gorge WP adalah lebih selesa untuk dikunjungi. Pengalaman bersama kangaroo sama sahaja. Haiwannya pun banyak dan pelbagai. Dengan keluasannya yang sederhana, hampir semua lokasi dapat dilawati tanpa merasa penat. Begitu juga jika berkeinginan mendukung koala, datanglah ketika waktu ditetapkan iaitu jam 11:30 pagi, 1:30 petang dan 3:30 petang setiap hari. Tambahan pula bayaran masuknya lebih murah berbanding Cleland WP.

Sunday, January 4, 2009

Jalan-jalan Ke Adelaide > Cockle @ Goolwa

Melewati tengahari, hari Jumaat (26/12/2008), kami bertolak dari Victor Harbour ke Goolwa. Jaraknya hanya sekitar 20 km sahaja melalui Port Elliot dan Middleton. Tercari-cari kami akan lokasi pantai yang pernah dikunjungi ketika berada di Adelaide dahulu tapi tidak ditemui. Akhirnya kami singgah berhampiran Goolwa Barrage di Sir Richard Peninsula. Perut pun dah berkeroncong dan badan pun terasa kepenatan.

Imran di hadapan Goolwa Barrage
Sedikit info, Goolwa Barrage sepanjang 632 meter telah siap dibina melintangi Murray River dari Sir Richard Peninsula ke Hindmarsh Island pada 5 Februari 1940. Fungsinya untuk mengawal aras air pasang surut sekaligus mengelak berlaku limpahan air di kawasan sekitarnya. Ia juga berfungsi mengekalkan keaslian air di Alexandrina dan Albert Lake yang terletak bersebelahannya ketika aras air sungai lebih rendah dari aras air laut.

Selepas solat, kami terus ke agenda utama kami, menuju ke pantai. Kedudukan pantainya agak jauh, terpaksa menyeberangi jalan raya, mendaki bukit dan meredah padang pasir sebelum tiba di tepian pantai. Ramai juga para pengunjungnya, malah pacuan 4 roda pun sibuk ke hulu ke hilir.

Azidah, Azizah dan Umar terbongkok-bongkok mengorek pasir
Pantainya agak landai dan sesuai untuk bermandi manda. Ombaknya sesekali kuat menghempas pantai, mendorong kami ke tepian. Airnya terasa begitu sejuk sekali, mengigil dibuatnya. Lebih-lebih lagi apabila lama berendam, anggota badan terasa kejang.

Di samping bermain air laut, tujuan utama kami adalah untuk mencari cockle yang hanya muncul ketika musim panas. Rupanya seakan kepah tetapi bukannya kerang. Cengkerangnya sedikit tirus dan licin. Orang menyebutnya cockle, jadi kami ikut sahaja le. Entahlah apa nama sebenarnya.

Cockle biasanya bersembunyi di dalam pasir dan perlu dikorek untuk mendapatnya. Ada juga yang dibawa dek ombak ke tepi pantai dan jelas kelihatan ketika air menyusut turun kembali ke laut. Ianya perlu segera dicekup, jika tidak sekejap sahaja menghilang masuk ke dalam pasir. Cockle bersaiz duit 5 sen banyak kelihatan tetapi yang ditangkap hanyalah bersaiz besar, sekitar saiz duit 50 sen.

Sesekali dipukul ombak, apa pun cockle mesti diselamatkan
Kami langsung tidak membawa kelengkapan khusus untuk menangkapnya berbanding pengunjung lain. Tiada pengorek, tiada baldi (yang ada pun baldi pecah yang ditemui dibuang orang) dan tiada bekas simpanan. Yang ada hanyalah jari jemari untuk mengorek dan beg plastik untuk menyimpannya.

(Info : Sejurus ditangkap, ia perlu dimasukkan ke dalam bekas mengandungi air laut dan dibiarkan semalaman untuk mengeluarkan pasir di dalam cengkerang. Itu yang tidak kami lakukan. Apabila direbus terasa berpasir. Terima kasih pada Nita-Jali yang merendam, merebus dan mengopeknya. Malangnya tertinggal di peti ais rumah Pudin-Ati)

Tidak semua turun mencari cockle. Kak Ruzi, Kak Siti dan Kak Mai hanya sekadar menonton dari tepian pantai. Yang lain nampaknya begitu bersemangat dan seronok sekali. Terbongkok-bongkok mengorek pasir sambil sesekali tercampak dilanda ombak. Seekor demi seekor cockle dihulur mengisi baldi dan beg plastik. Sejuknya amat terasa, namun masing-masing bertahan dalam keghairahan mengorek dan memungut setiap cockle yang tersentuh dek jari.
Koleksi foto dapat dicapai di Album Foto Kami atau klik di sini.

Inilah sebahagian hasil tangkapannya, lumayan Pak..
Dalam keseronokan mencari cockle, tidak sedar masa bergerak begitu pantas, menghampiri jam 05:30 petang. Hampir 3 jam kami berendam air masin dan hasil tangkapan bolehlah dianggap lumayan, lebih setengah baldi.

Selepas bersalin pakaian, kami meneruskan perjalanan ke Adelaide, menuju ke rumah Nurul Aini di Goodwood Rd untuk memenuhi jemputan makan. Hidangannya istimewa sekali, nasi kerabu, hasil tangan ibunya yang datang bertandang ke Adelaide. Masing-masing berselera sekali nampaknya.

Saturday, January 3, 2009

Jalan-jalan Ke Adelaide > Victor Harbour

Kami tiba di motel penginapan di Victor Harbour, Apollon Motel kira-kira jam 09:00 malam. Cahaya matahari masih berbalam menandakan waktu malam baru sahaja menjengah.

Little Penguin @ Granite Island

Meredah gelap malam ke Granite Island
Penyambut tetamu motel menyarankan kami terus ke Granite Island, tidak jauh dari motel untuk melihat little penguin @ fairy penguin mendaki tebing batu pulang ke sarangnya di celah-celah batuan di daratan. Satu saranan yang baik. Tanpa berlengah lagi, kami terus bergegas berjalan kaki ke sana merentasi causeway sepanjang 632 meter menyeberangi Encounter Bay.

Setibanya di Granite Island, kelihatan 2 ekor penguin terkedek-kedek mencari sarangnya (burrow), manakala seekor lagi sedang mendaki tebing di tepi teluk. Gelap malam hanya diterangi lampu jalan yang malap. Suasana senyap sunyi. Setiap orang cuba mendiamkan diri sambil memerhatikan pergerakan penguin. Kami duduk di bongkah batu berdekatan.

Para pengunjung mulai mengelilinginya. Terpinga-pinga dibuatnya penguin tersebut. Naik turun tebing dan ke hulu ke hilir mencari di mana sarangnya. Begitu juga yang sedang mendaki tebing, langsung tidak bergerak kerana ramai orang di hadapannya. Di celah-celah batu kelihatan beberapa lubang, rasanya itulah antara sarang yang dicari.

Terdapat juga pengunjung yang mengambil gambar, sesuatu yang boleh menakutkannya.Tiada siapa yang menegur dan tiada kelihatan petugas yang memantau. Terasa sakit hati dibuatnya. Teringat akan pengalaman di Phillips Island di mana para pengunjung dilarang keras mengambil dan menganggu penguin, malah petugasnya juga ramai.

Selepas sejam, kami terus beredar pulang ke motel. Malas nak berjalan menengok penguin di lain tebing. Baik balik ke bilik sahaja. Badan pun dah terasa kepenatan.

Horse Drawn Tram

Di taman permainan berhadapan Encounter Bay
Keesokan harinya, pagi-pagi lagi anak-anak dah keluar menuju ke arah pantai berdekatan Causeway, bermain di taman permainannya. Suasana awal paginya begitu tenang sekali. Kedapatan masih banyak bangunan bersejarahnya yang masih kekal terpelihara, sesuatu yang begitu dititik beratkan di Australia. Di samping itu terdapat juga tarikan lain seperti Whale Centre, Soldiers Memorial, Encounter Coast Discovery Centre dan SteamRanger Train ke Goolwa. Kak Ruzi, Kak Mai dan Azidah pun turut serta merayau dan meninjau di sekitarnya sambil mengambil gambar.

Selepas check-out, kami kembali ke pekan Victor Harbour untuk merasai pengalaman menaiki tram 2 tingkat yang ditarik kuda jenis Clydesdale, dikenali sebagai Horse Drawn Tram melalui tramway/ causeway menuju ke Granite Island. Ianya juga tinggalan sejarah di mana pernah menjadi pengangkutan utama seawal pertengahan tahun 1860 lagi. Pemandangan sekeliling cantik sekali dengan pantai yang memutih bersih, batuan granit memagari teluk dan air cetek membayangi dasarnya. Perjalanan sehala mengambil masa kira-kira 20 minit sahaja.

Menaiki Horse Drawn Tram
Di Granite Island, dapat dilihat jelas sarang-sarang little penguin di celah-celah batu yang telah dipahatkan papan sebagai laluan. Bongkah batu yang kami duduki semalam pun ada sarangnya. Opps.. mungkinkah itu sarang penguin malam tadi yang terkial-kial mencarinya sedangkan kami duduk melindunginya. Terasa bersalah pula. Salahkan orang menganggu, tidak sedar kami pun mungkin turut terlibat sama. Sorry… little fairy.

Terdapat juga Penguin Centre yang memaparkan pelbagai penerangan berkaitan penguin tetapi ditutup, cuti Krismas. Bagi yang lasak, boleh mendaki anak-anak tangga menuju ke puncak bukit batu granit. Disediakan juga laluan penjalan kaki, Kaiki Trail sejauh 2.9km mengelilingi Granite Island. Kami tak larat, tambahan pula masanya dah agak suntuk.

Di hadapan Penguin Centre
Dari kejauhan di barat pulau pula, dapat dilihat tanjung yang mengunjur keluar dikenali sebagai Bluff yang melengkungi Encounter Bay.

Cenderahati berkaitan Victor Harbour boleh didapati di Information Centre, berdekatan Horse Tram Station. Terdapat juga di kedai cenderahati di Granite Island tetapi harganya mahal sedikit berbanding di I-Centre.
Koleksi foto berkaitan boleh diakses di Album Foto Kami (kiri web) atau klik di sini.

Menjelang jam 01:00 petang, kami bergerak ke Goolwa, mencari tempat untuk berehat, makan tengahari serta solat. Kami singgah di Goolwa Barrages, Sir Richard Peninsula setelah berpusing-pusing mencari pantai untuk menangkap cockle (bukan kerang, seakan kepah), pengalaman yang pernah dilalui oleh Laili dan anak-anak ketika di Adelaide 2 tahun lepas.

Friday, January 2, 2009

Jalan-jalan Ke Adelaide > Mt. Gambier

Di Mt. Gambier
Pagi Hari Krismas (25/12/2008) di Mt. Gambier terasa nyaman dan segar sekali. Suasana sunyi dan lenggang mengamit diri untuk keluar. Bersama Laili dan Hanisah, kami berlari-lari anak (jogging) menyusuri laluan tepi jalan, kira-kira 2 km, menuju ke Umpherstone Sinkhole. Persekitaran yang menghijau berserta bunga-bungaan berkembang mekar menyejukkan pandangan.

Dikelilingi bungaan mekar berkembang di Umpherstone Sinkhole
Selepas check-out sekitar jam 9:30 pagi, konvoi kami bergerak menuju ke Umpherstone Sinkhole untuk melihat keunikan dan keindahan taman tenggelam. Asalnya adalah lohong/ lubang besar yang terhasil dari proses pemendapan dan hakisan air ke atas batu kapur (limestone) sejak 15 – 40 juta tahun lalu. Umpherstone pula diambil sempena nama James Umpherstone (meninggal dunia tahun 1990) yang berusaha memperindahkannya menjadi taman untuk kunjungan ramai.

Keindahan bungaan merah jambu yang berkembang melatari hampir keseluruhan permukaan taman benar-benar memukau pandangan. Bagi peminat bunga, akan terasa tidak keruan dibuatnya, apatah lagi dikelilingi bungaan seumpamanya. Peluang bergambar sememangnya tidak dilepaskan. Bagi kami, terbayar sudah rasa terkilan ketika berkunjung ke sini di musim luruh dahulu. Ketika itu banyak bunganya telah gugur. (Klik sini untuk entri terdahulu).

Taman di sekitar sinkhole tidak kurang cantiknya. Terdapat juga kesan sejarahnya tersendiri, antaranya kayu balak yang terselamat ketika kebakaran hutan pada 02/03/1983, lori dan mesin pemotong balak, kereta kuda yang dibuat oleh James Keagan dan kisah kediaman James Umpherstone, The Caves.

Di Blue Lake, airnya membiru di musim panas
Seterusnya kami ke Blue Lake pula. Tasik yang terhasil dari kawah gunung berapi ini berkeluasan kira-kira 170 ekar dengan kedalaman mencapai 200 meter. Dengan matahari yang bersinar terang, kebiruan air tasik benar-benar menyerlah warnanya. Benar bagai dikatakan. Betapa indahnya alam ciptaan Tuhan. SubhanaLlah. Sekali lagi terbayar sudah rasa terkilan kami.

Sesuatu yang menarik tentang Blue Lake ini, di samping keindahannya, ia juga membekalkan air untuk kegunaan penduduk Mt. Gambier dan kawasan sekitarnya. Terjawab sudah kenapa air yang diminum terasa payau dan berwarna keputihan. Rupa-rupanya air batu kapur. Tidak lalu untuk menelannya walaupun telah dijadikan air kopi mahupun teh.

Menjelang tengahari, kami mula bergerak menuju ke Victor Harbour yang terletak kira-kira 500 km dari Mt. Gambier melalui laluan pantai. Hajat hati nak menerokai gua di Tantanoola Caves tetapi tutup.
Koleksi foto di Mt. Gambier boleh dicapai di Album Foto Kami (kiri web) atau klik di sini.
Perjalanan Ke Victor Harbour
Bermain pasir di Beachport (kiri) dan replika lobster di Kingston
Kami singgah berehat di Beachport yang terletak di Rivoli Bay, berdekatan jeti yang siap dibina pad tahun 1882, dikatakan kedua terpanjang di South Australia. Anak-anak tidak melepaskan peluang untuk bermain di tepian pantai.

Perjalanan kami melalui Kingston yang terkenal dengan makanan lautnya, antaranya lobster (replika besarnya tercegak di tepi jalan). Seterusnya merentasi Coorong National Park yang terkenal dengan tasik-tasik dan habitat hidupan yang masih terpelihara. Namun tasik-tasiknya kelihatan memutih kekeringan, mungkin garam yang mengeras.

Menghampiri Meningie, tangki minyak mulai menunjukkan tahap membimbangkan. Malangnya semua stesyen minyak tutup kerana cuti Krismas. Kami singgah untuk berehat, makan dan solat di taman berdekatan. Tiada pilihan, kami terpaksa melencong ke Tailem Bend, kira-kira 30 km ke arah pendalaman. Beberapa stesyen minyak yang dilalui juga ditutup. Akhirnya, AlhamduliLlah terdapat Shell Station yang dibuka. Lega hati.

Menaiki feri menyeberangi Murray River di Wellington
Seterusnya kami turun kembali ke arah pantai melalui Wellington. Tidak sangka berpeluang menaiki feri percuma untuk menyeberangi Murray River. Pengalaman yang amat berharga. Melalui Langhorne Creek, pekan lama yang sunyi dan lenggang, menuju ke Strathalbyn dan terus ke Victor Harbour.
Perjalanan kami dari Meningie, Wellington, Strathalbyn ke Victor Harbour sebenarnya menyusuri Lake Albert dan Lake Alexandaria yang amat luas, mengunjur dari Coorong National Park berhampiran Southern Ocean.

Kami tiba di Apollon Motel di Victor Harbour kira-kira jam 09:00 malam. Selepas check-in kami bergegas ke Granite Island untuk melihat little penguin pulang ke sarangnya (akan disentuh dalam entri berikutnya).
Bilik penginapan di motel amat selesa dan cantik sekali dengan dua double-bed dan satu single-bed, sofa dan berkarpet serta siap dengan meja makan bulat di tengahnya.