Friday, March 21, 2008

Good Friday & Easter Day

Hari ini mula cuti sekolah selama 2 minggu untuk Penggal Pertama. Hari ini juga dikenali sebagai Good Friday. Seluruh Australia bercuti. Dan esok, lusa dan tulat pun cuti. Maksudnya rakyat Australia bercuti panjang sehingga Isnin kerana meraikan Hari Easter. Kalau kat Tasmania ditambah sehari lagi hari Selasa, dikenali Easter Tuesday. Hebat betul Easter ni. Bercuti sakan mereka.

Sejak sebulan lalu, di merata-rata tempat kelihatan patung Bunny dan telur kecil besar bersalutkan coklat. Berwarna-warni pembalutnya. Hinggakan di sekolah pun Iddin, Nisah dan Leah kena siapkan dekorasi coklat seumpamanya. Hatta Imran di Kindergarten pun tidak terkecuali. Malah masing-masing mendapat hadiah patung Bunny dan telur. Kata mereka kerana Easter.

Terdetik di hati, apa ke benda Easter ni? Apa kaitannya dengan Bunny dan telur? Begitu juga, apa pula kaitannya dengan coklat? Dan kenapa Good Friday disambut berturutan dengan Easter Day? Sebe;um ini hanya dengar-dengar aja tapi tak tahu. Bertanyakan anak-anak, mereka pun tak tahu…

Di pertengahan minggu lepas, berkesempatan bertanyakan Cikgu Mystica, tenaga pengajar di Dandenong Neighbourhood House tentang Easter ni. Sambil-sambil tu selusuri juga maklumat dari internet.

Sebelum disentuh secara langsung, mohon maaf, tidak bermaksud memesongkan aqidah dan kefahaman kita terhadap Islam. Cuma sekadar memahami kepercayaan orang lain. Itu sahaja.

Secara ringkasnya dapatlah difahami ianya adalah kepercayaan penganut agama Kristian terutama dari golongan Katholik. Good Friday disambut, kononnya sebagai ingatan atas pengorbanan dan penderitaan Jesus (ingat, jangan rujuk pada Nabi Isa AS) yang dikorbankan di palang salib. Good Friday disambut 2 hari sebelum Easter Day. Kononnya Jesus tidak mati. Dia bangun dari pusaranya pada hari ke-3, dikenali Easter Sunday. Begitulah pegangan mereka.

Yang pasti kebenarannya amat jauh menyimpang dari keterangan dalam Al-Quran dan Hadith RasuluLlah SAW. Sesungguhnya Allah SWT dengan rahmatNya telah menyelamat dan mengangkat Nabi Isa AS ke langit. Yang terbunuh di palang salib dikatakan Yahuza, pembelot di kalangan pengikut Nabi Isa AS. Hebatnya kekuasaan Allah SWT sehingga dikaburkan mata musuh-musuhNya.

Berbalik kepada Bunny dan telur serta coklat. Menurut Cikgu Mystica, Bunny dan telur melambangkan permulaan kepada kehidupan yang baru. Coklat pula, katanya tiada sebarang maksud, sekadar alat untuk menceriakan sambutan. Tambahan pula ianya diminati oleh semua orang, dari kanak-kanak sehinggalah orang dewasa. Dikatakan pada malamnya, para ibu bapa akan menyembunyikan Bunny dan telur coklat ini di merata tempat di dalam rumah. Pagi keesokan harinya, anak-anak akan berlari ke sana sini mencari Bunny dan telur tersebut.

Begitulah adanya. Nampaknya Bunny dan telur tiadalah apa-apa, sekadar untuk bersuka ria. Iddin, Nisah, Leah dan Imran turut menumpang gembira tetapi tak adalah sehingga sorokkan di mana-mana. Cukuplah apa yang mereka dapat di sekolah. Asalkan ianya Halal cukup.

Thursday, March 20, 2008

Salam Maulidur Rasul (SAW)

Selawat serta salam untuk junjungan mulia, RasuluLlah SAW dan ahli keluarganya serta para sahabatnya.
Hari ini, 12 Rabiul Awwal, ulangtahun keputeraan junjungan mulia, Nabi Muhammad SAW. Baginda dilahirkan pada hari Khamis Tahun Gajah bersamaan 23 April 571 Masihi di Kota Mekah. Kebetulan hari ini juga hari Khamis.
Ya Allah jadikan daku dan ahli keluargaku serta umat Islam seluruhnya sebenar-benar umat Muhammad SAW. Padukanlah kecintaan kami pada baginda dengan kecintaan yang sejati. Amiin.
Secebis kisah menggambarkan betapa tinggi kecintaan baginda pada umatnya. Tilikilah akan diri kita, setinggi manakah pula kecintaan kita pada baginda.

~~~~~~~~

Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap. Pagi itu, Rasulullah dengan suara terbatas memberikan khutbah,

"Wahai umatku, kita semua ada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya. Maka taati dan bertakwalah kepada-Nya. Ku wariskan dua perkara pada kalian, Al-Qur'an dan sunnahku. Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-sama aku."

Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu. Abu Bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Umar dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya. Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba.

"Rasulullah akan meninggalkan kita semua," keluh hati semua sahabat kala itu.

Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia. Tanda-tanda itu semakin kuat, tatkala Ali dan Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar. Di saat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu.

Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup. Sedang di dalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya.

Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam.

"Bolehkah saya masuk?" tanyanya.

Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk,

"Maafkanlah, ayahku sedang demam," kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.

Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah,

"Siapakah itu wahai anakku?"

"Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya," tutur Fatimah lembut.
Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.

"Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malaikatul maut," kata Rasulullah.

Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya. Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.

"Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?" Tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah.

"Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata Jibril.

Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan.

"Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" Tanya Jibril lagi.

"Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?"

"Jangan khawatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: 'Ku haramkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya," kata Jibril.

Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan ruh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang.

"Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini." Perlahan Rasulullah mengaduh.

Fatimah terpejam, Ali yang disampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.

"Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?" Tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu.

"Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril.

Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahankan lagi.

"Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku."

Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya

"Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku", peliharalah shalat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu."

Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.

"Ummatii, ummatii, ummatiii" - "Umatku, umatku, umatku"

Dan berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu. Kini, mampukah kita mencintai sepertinya? Allahumma sholli 'ala Muhammad wa baarik wa salim 'alaihi. Betapa cintanya Rasulullah kepada kita. Sehinggakan di saat ajal mendatang, kecintaan baginda masih tiada tepinya.

Saturday, March 15, 2008

Tetamu Dari Malaysia - Keluarga Azura

Azura berdiri antara bapanya, berkemeja putih dan bapa saudaranya serta ibunya, berbaju hitam
Malam semalam, Jumaat malam Sabtu (14/03/2008), kami amat berbesar hati menerima kunjungan keluarga Azura-Tengku Rasydan. Bapa dan ibunya serta bapa saudaranya, Uncle Zakaria sudi datang memenuhi jemputan kami. Malangnya Auntie Hasnah, isteri Uncle Zakaria tidak dapat turut serta kerana demam. Mereka di sini dah hampir seminggu dan dijangka pulang minggu hadapan. Mereka datang menziarahi Azura dan Rasydan sambil melancong.

Kedua ibubapa Azura, yang mesra dengan panggilan Uncle dan Auntie amat ramah sekali. Begitu juga Uncle Zakaria. Banyak hal diperbualkan. Isu pilihanraya dan sokongan pengundi yang beralih arah kepada Barisan Rakyat antara isu hangat yang diperkatakan. Kata mereka sebagai pengajaran kepada pemerintah yang tidak memberi perhatian kepada rakyat.

Mereka juga mengimbau kisah-kisah lama mereka. Kisah kehidupan mereka ketika di United Kingdom, kisah kerja sebelum bersara dan macam-macam lagi. Rupa-rupanya bapa Azura berasal dari Batu 14, Hulu Langat dan pernah bekerja di Durian Mas, nama lama untuk Bandar Al-Muktafibillah Shah (AMBS) di Dungun, Terengganu. Berkebetulan, Laili juga pernah berkerja di kedua-dua tempat tersebut. Kira-kira 1 ½ tahun di Klinik Kesihatan AMBS, sekitar tahun 1995. Manakala lebih 7 tahun berulang alik ke Klinik Kesihatan Batu 14, salah sebuah klinik HUKM yang terlibat dalam pengajian peringkat Master.

Kedua ibu bapa Azura kini tinggal di Bukit Antarabangsa. Tak disangka-sangka mereka amat kenal dengan keluarga bapa saudara Laili, Acik Shuib-Acik Noriah yang juga tinggal di Bukit Antarabangsa. Terasa kecil pulak dunia ni. Sama-sama tinggal di Ampang, Selangor tapi berkenalan di Dandenong, Australia. Begitulah aturan dariNya. Pasti menjadi topik hangat apabila mereka bersua Acik Shuib-Acik Noriah di tanah air nanti. Usah lupa, sampaikan salam ingatan mesra dari kami sekeluarga.

Sambil berbual mereka dijamu dengan nasi beriani gam berlaukkan tumis petai dan masak lemak nenas-ikan kurau kering. Azura turut bawakan sotong tumis dan juadah sampingan, bubur jagung. Menjelang jam 10:00 malam, mereka mohon beredar dengan harapan berjumpa lagi di lain kesempatan. Insya Allah. Sampaikan salam kami pada Auntie Hasnah yang tak sempat ditemui.

Friday, March 14, 2008

Tetamu Dari Adelaide - Ana Hassan

Hari Isnin (10/03/2008), tak disangka-sangka kami dikunjungi oleh Rohana Hassan (Ana), rakan karib Laili sejak sama-sama belajar di MRSM Kota Bharu lagi. Kini Ana di tahun akhir pengajian peringkat PhD-nya (Pharmaceutical) di Adelaide. Di Adelaide, Ana tinggal bersama rakan-rakan setelah suaminya, Dr. Mustafa dan anak-anak kembali ke tanah air pada akhir tahun lepas.

Laili mendapat khabar Ana akan datang “jalan-jalan berubah angin” ke Melbourne sehari sebelumnya dengan menaiki bas. Jadi pagi Isnin, Laili menjemputnya di stesyen bas di City. Kebetulan hari tersebut cuti Hari Pekerja di Victoria. Jalannya tidaklah sibuk.

Apabila mereka berdua berjumpa, tau-tau ajalah… tak cukup masa untuk bercakap. Macam-macam cerita, berita dan alkisah yang dibualkan. Hal keluarga, perit-jerih belajar dan khabar berita rakan-rakan lama pasti tidak lekang diperkatakan.

Walaupun hari tersebut Hari Pekerja, Monash Uni tidak terlibat cuti. Laili ada urusan di Uni. Manakala Ropidi pula ada janji dengan Dr. Ramli di Springvale. Ana pula berhajat nak ke DFO Shopping Centre di Moorabbin, mencari buah tangan kegemaran kaum hawa…8). Elok le… boleh lah Ana layan diri dalam suasana kami tak berkesempatan nak bagi layanan sebagai tetamu.

Petangnya Laili menjemputnya di DFO. Kemudian ke Frankston, memenuhi jemputan makan di rumah Norhaini. Ana dijadualkan menaiki bas pulang ke Adelaide pada jam 08:00 malam. Petangnya Laili menghantarnya ke stesyen bas.

Menurut Ana, beliau akan pulang ke tanah air (urusan kerja) pada awal bulan April nanti. Usah lupa, sampaikan salam kami pada keluarga di Malaysia. Insya Allah ketemu lagi di lain ketika.

Monday, March 10, 2008

PRU12 - TAHNIAH Rakyat Malaysia

Munajat Tok Guru menjelang pilihanraya meruntun perasaan

Tanggal 08 Mac 2008 telah mengukir pahit manis dalam sejarah pilihanraya di Malaysia. Barisan Nasional (BN) bagaikan dilanda ‘tsunami’ pada PRU ke 12 ini. BN hanya mampu memenangi 140 kerusi Parlimen sahaja daripada 222 kerusi yang dipertandingkan. Itupun hampir 60 kerusi dari Sabah dan Sarawak. Selebihnya (82 kerusi) dikuasai oleh Barisan Rakyat (PAS, PKR dan DAP). Sekaligus menafikan majoriti dua pertiga BN.

Lebih parah lagi 5 negeri berjaya ditawan oleh Barisan Rakyat (BR) – Kelantan (kekal sejak 1990), Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor. Malah Wilayah Persekutuan KL juga menerima nasib yang sama, hanya kerusi Parlimen Setiawangsa dimenangi oleh BN dari 10 kerusi. Diberitakan keputusan PRU ke 12 ini adalah rekod terburuk untuk BN.

Lebih tragis lagi, 4 menteri penuh dan 10 timbalan menteri telah kecundang. Samy Vellu di kerusi tradisinya Sungai Siput, Zainuddin Maidin di Sungai Petani, Aziz Shamsuddin di Shah Alam dan Shahrizat Abdul Jalil di Lembah Pantai. M. Kayveas, Presiden PPP; Awang Adek, bakal MB Kelantan dan G. Palanivel, Timbalan Presiden MIC; antara timbalan menteri yang kecundang. Pemangku Presiden Gerakan, Koh Tsu Koon, bekas KM Pulau Pinang juga kecundang sebelum sempat merasai jawatan kabinet.

Keputusan ini kami ketahui melalui internet kira-kira jam 06:00 pagi (09hb) waktu di Melbourne atau jam 03:00 pagi di Malaysia. Seakan-akan tidak percaya. Ingatkan sekadar kekal di Kelantan dan beberapa kejutan di peringkat Parlimen dan DUN. Apa pun setinggi-tinggi TAHNIAH kepada RAKYAT MALAYSIA. Kalian telah membuat keputusan yang amat bijak, sekaligus menggembirakan kami di perantauan.
Azizan Abdul Razak menerima watikah perlantikan Menteri Besar Kedah

TAHNIAH kepada yang menang terutama Barisan Rakyat. Gelombang revolusi rakyat nampaknya benar-benar terserlah. Pelbagai analisa dan ulasan kekalahan BN dan kemenangan BR diperkatakan. Antaranya amarah rakyat akan kenaikan harga minyak, tol, utiliti dan barangan harian. Keangkuhan dan sikap ego kerajaan serta pemimpin-pemimpinnya juga dianggap sebagai penyebabnya. Pendekatan setiap parti BR dilihat lebih profesional dengan tawaran yang lebih menyenangkan mampu mengubah persepsi masyarakat.

Menariknya beberapa pasangan anak beranak, menantu dan adik beradik telah memenangi kerusi Parlimen. Lim Kit Siang (DAP) dan anaknya Lim Guan Eng (DAP). Karpal Singh (DAP) dan anaknya, Gobind Singh Deo (DAP). Dr. Wan Azizah (PKR) dan anaknya Nurul Izzah (PKR). Tidak ketinggalan Abdullah Ahmad Badawi (BN) serta menantunya, Khairi Jamaluddin (BN). Pasangan adik beradik pula Shahrir Abdul Samad (BN) dan adiknya Khalid Abdul Samad (PAS).

Pak Lah melafazkan ikrar baru sebagai Perdana Menteri di hadapan YDP Agong, Tuanku Mizan
Masyarakat Cina dan India nampaknya benar-benar berubah angin. MCA, Gerakan dan MIC seolah-olah tidak relevan lagi. Cuma rasa amat terkilan dan pelik kenapa Terengganu seakan-akan hanya dilanda ombak kecil sahaja, masih kekal di tangan BN. Hanya 8 kerusi DUN dan 1 kerusi Parlimen (Marang) sahaja dimenangi. Secara peribadi, dipercayai pihak BN berjaya menggunakan pengundi luar seperti strategi pada PRU ke 11 dahulu. Peliknya peratusan keluar mengundinya agak besar, hampir 90% berbanding negeri-negeri lain, sekitar 78% sahaja. Lebih pelik lagi, dalam suasana negeri-negeri di sekitar mengalami momentum perubahan yang ketara, terlalu kecil impaknya di Terengganu. Begitu juga di Perlis yang pemimpinnya sedang bercakaran. Sedangkan angin perubahan mampu menembusi Johor yang “pure” BN.

Walaupun terkilan dengan Terengganu dan Perlis tetapi gembira dengan Selangor. DUN Hulu Kelang kini di tangan PAS (Shaari Sungib) dan Parlimen Gombak dikuasai PKR (Azmin Ali). Keangkuhan bekas MB, Khir Toyo untuk mencipta sejarah Pembangkang Sifar akhirnya memakan diri. Tak disangka dirinya kini bergelar pembangkang. Apa kata dikotakan hasrat beliau, pelawa kesemua wakil BN masuk pakatan BR, maka jadilah Pembangkang Sifar.

Pesan kami kepada para tok wakil (Parlimen dan DUN), bersyukurlah padaNya atas kurniaan kemenangan itu. Ianya adalah satu amanah yang amat berat dan akan disoal di akhirat kelak. Ingati pesan Tok Guru Nik Abdul Aziz, usah berdendam dan lupakan sengketa pilihanraya. Berkhidmatlah seikhlasnya untuk rakyat kerana Allah SWT.

Saturday, March 8, 2008

Tetamu Dari Adelaide - Keluarga Fahmi-Zarah

Baru-baru ini (Sabtu, 01/03/2008), kami dikunjungi kenalan dari Adelaide, Fahmi dan isterinya, Zarah berserta anak perempuan mereka, Balqis. Mereka datang ke Melbourne kerana Zarah menghadiri kursus di sini. Zarah kini melanjutkan pengajian di peringkat PhD di University of South Australia.

Bergambar di hadapan rumah sebelum mereka berangkat pulang
Terasa begitu seronok sekali setelah lama tidak bersua. Kali terakhir kami berjumpa kira-kira 5 bulan lalu ketika kami sekeluarga bercuti di Adelaide. Kami mengenali mereka ketika Laili dan anak-anak belajar di sana lebih setahun yang lalu. Ketika itu pelajar lepasan ijazah (post graduate) di Adelaide tak berapa ramai, lebih-lebih lagi yang berkeluarga. Merekalah kawan, merekalah saudara, mereka jugalah keluarga. Susah senang dikongsi bersama. Jadi hubungan sesama mereka amat rapat dan terasa akan keakrabannya.

Sesi kursus Zarah pada hari Jumaat. Hari Sabtu mereka free. Kesempatan yang ada, dengan kereta yang disewa mereka bershopping sakan di DFO Murrabbin, pusat membeli-belah yang terkenal murahnya (ya ke?). Petangnya, kira-kira jam 06:00 petang mereka sampai di rumah kami berpandukan Melway sebagai penunjuk jalan.

Setelah berjumpa, rasa terubat segala kerinduan. Pelbagai cerita diperbualkan. Kisah lama masih segar di ingatan, cerita baru tidak dilupakan. Sesekali terbayang akan kehidupan di Adelaide yang tampak lebih aman dan bersopan berbanding di Melbourne. Balqis sendiri pun amat seronok dapat berjumpa dengan Hanisah, Solehah dan Imran.

Mereka tidak lama di rumah kami. Sempat mereka menjamu selera, nasi beriani gam dihidangkan. Sebelum malam menjengah, mereka perlu bertolak pulang ke hotel penginapan.
Pagi keesokan harinya mereka berangkat pulang ke Adelaide. Usah lupa, sampaikan salam ingatan mesra untuk rakan-rakan di sana. Insya Allah ketemu kita di lain kesempatan.

Saturday, March 1, 2008

Menapak di Melbourne Zoo

Zoo dan kanak-kanak cukup sinonim. Di mana ada zoo, maka di situlah kanak-kanak tertumpu. Begitu juga Izzuddin, Hanisah, Solehah dan Imran. Melbourne Zoo yang terletak lebih 40 km dari rumah menuju ke arah City sememangnya menjadi idaman mereka. Telah lama mereka meminta untuk ke sana tetapi kerap kali tertangguh. Akhirnya hari Sabtu, 2 minggu lepas (16/02/2008), hasrat mereka tertunai juga. Jelas terpacar rona keseronokan di wajah mereka.
Koleksi foto di zoo boleh dilihat di bahagian Album Foto Kami di sebelah kiri blog atau klik di sini.

Dari segi sejarah, Melbourne Zoo dikatakan zoo tertua di Australia dan ketiga tertua di dunia. Ianya mula dibuka pada tahun 1862 di Royal Park dengan beberapa ekor monyet dan haiwan tempatan. Pembangunannya mula rancak setelah Albert le Souef dilantik sebagai Zoo Director pada tahun 1870. Singa, harimau, beruang dan banyak lagi haiwan mula dibawa masuk secara berperingkat-peringkat dari seluruh dunia. Alfred Dunbavin Butcher juga membuat perubahan yang amat bermakna sepanjang 40 tahun berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengarah dari tahun 1962 – 1987. Pembangunan zoo berterusan sehingga kini, terbaru “Stories From The Seas” sedang dibina bagi menempatkan hidupan laut. Hingga kini terdapat lebih 3,000 haiwan dipelihara di Melbourne Zoo yang berkonsepkan zoo moden.
Waktu melawat Melbourne Zoo dibuka mulai jam 09:00 pagi hingga jam 05:00 petang. Untuk hari tertentu di musim panas ini, adakala dibuka sehingga jam 09:30 malam dengan persembahan Zoo Twilights. Kami bertolak sedikit lewat, hampir jam 10:30 pagi dan tiba kira-kira jam 11:30 pagi. Cuacanya agak baik, tak berapa panas. Kami masuk melalui pintu belakang zoo (Rail Gate Entrance) di Poplar Rd, berhadapan Railway Station.

Tiketnya agak mahal, family ticket $58.40 - sama harga untuk masuk ke Healesville Sanctuary dan Werribee Open Range Zoo. Teringat akan Zoo Negara di Hulu Kelang, jika harga tiket seumpama itu pasti ramai yang akan membantah. Harga sekarang pun ramai yang dah mengeluh, kononnya mahal. Tak hairanlah prasarana dan kebajikan haiwan di Zoo Negara kurang memuaskan.

Satu persatu kandang dan kawasan haiwan kami lewati. Pelbagai jenis haiwan kelihatan selesa dalam habitat masing-masing (realitinya mungkin mereka rasa terkongkong). Emu, kangaroo, wombat, platypus, gajah, zirafah, singa, orang utan, gorila, panda, monyet, burung, kupu-kupu dan pelbagai lagi haiwan masing-masing dengan “dunia” tersendiri. Sesekali kami bergambar berlatar belakangkan mereka, juga gambar haiwan itu sendiri. Anak-anak nampaknya begitu seronok sekali. Banyak soalnya itu dan ini. Mereka berkejaran mengejar rama-rama dan kupu-kupu di Taman Kupu-kupu. Juga mengintai dan mengagah haiwan di kandang.
Kawasan zoo agak luas, mungkin seluas Zoo Negara. Seingat kami, tidak kelihatan langsung zoo train yang membawa pengunjung, semuanya berjalan kaki sahaja. Mungkin ada tetapi bergantung kepada permohonan berkumpulan. Juga tiada sesi persembahan haiwan, cuma sesi penerangan sewaktu makan mereka sahaja. Difahamkan untuk memberi kehidupan lebih natural kepada haiwan, bukan sekadar untuk tontonan dan hiburan. Menariknya, setiap haiwan disediakan kawasan yang agak luas, berkonsepkan persekitaran semulajadinya terutama haiwan tropika seperti gajah, zirafah, singa, orang utan, kuda belang dll.

Memasuki kawasan gajah, kami terperanjat membaca tanda arahnya dalam bahasa Melayu, “Kampung Gajah Ke arah Ini”. Papan tandanya pula hampir semuanya dalam dwi-bahasa, bahasa Melayu dan Inggeris. Begitu juga di kawasan orang utan dan kupu-kupu yang terletak bersebelahannya. Mungkinkah kerana gajah dan orang utan tersebut didatangkan dari Malaysia, Thailand dan juga Indonesia?
Terdapat 5 ekor gajah. Mek Kapah dan Bong Su dibawa dari Malaysia sekitar tahun 1974 dan 3 ekor lagi dari Thailand. Manakala orang utan pula dari Borneo, dipercayai dari kawasan Orang Utan Sanctuary di Sabah. Mungkin juga pembiayaan dan program berkaitannya turut dinaungi oleh kerajaan negara-negara berkenaan. Malah deretan kedai makan di situ hampir semuanya dengan senarai makanan Indonesia.

Secara umumnya, jika dilihat pada tumpuan para pengunjung, gajah dan orang utan mempunyai daya tarikan yang utama. Di samping kawasan habitatnya yang luas dan menarik, personaliti haiwan yang unik itu sendiri menarik perhatian mereka. Malah persekitaran baru yang mula dibuka pada March 2003 untuk gajah, dikenali sebagai Trail of the Elephants mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Di samping kandang haiwan, pihak zoo juga menyediakan banyak kawasan rehat berpadang yang luas. Kami singgah makan bekal yang dibawa berdekatan kedai cenderamata pintu masuk utama, sempatlah dibeli beberapa cenderamata sebagai kenang-kenangan. Terdapat 4 kedai cenderamata di dalam zoo, di Main Entrance, Rail Gate Entrance, Japanese Garden dan Elephants Barn.

Selepas makan, anak-anak berkejar ke Historical Carousel yang terletak bersebelahannya, menaiki kuda merry-go-round, $3 seorang. Tak sangka pula Imran takut naik. Carousel ini hanya dibuka pada cuti hujung minggu, cuti umum dan cuti sekolah sahaja. Itupun dari 11:30 pagi hingga 02:00 petang sahaja.

Kami keluar dari zoo kira-kira jam 03:30 petang, terus pulang ke Dandenong kerana petangnya ada jemputan Minum Petang di rumah Sdr Wafir-Suharti. Naik kereta sahaja Imran terus berdengkur tidur di kerusinya, dituruti oleh abang dan kakak-kakaknya. Penat betul nampaknya mereka… 8)