Friday, May 30, 2014

Cuti Pertengahan Tahun 2014

28 Mei 2014 - bermulanya cuti persekolahan Pertengahan Tahun/ Penggal 2/ Semester 1 selama 2 minggu bagi tahun 2014. Saat yang amat menyeronokkan bagi para pelajar terutama yang tinggal di asrama.

Masih terasa baru cuti Penggal 1 pada akhir bulan Mac lalu. Pejam celik dah 2 bulan berlalu.

Namun, Solehah yang berada di MRSM Kota Putra, Besut telah pun mula bercuti seminggu lalu. Lebih awal hampir seminggu berbanding sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Akan tetapi cutinya masih lagi dalam jangkamasa 2 minggu di mana akan berakhir pada 08 Jun (Ahad) nanti. Kami tidak pasti apakah lain-lain MRSM pun begitu... Cuma pelik juga kenapa tidak menuruti jadual cuti KPM kerana lebih memudahkan ibu bapa membuat perancangan keluarga secara bersama.

Cuti selama 2 minggu perlu diisi dengan sebaiknya. Mana-mana yang ada kerja sekolah kenalah dipastikan ianya disiapkan lebih awal. Jika tidak merana jiwa dan kelam kabut dibuatnya... Itulah pengalaman kami.

Di samping itu, perlu juga dibawa anak-anak berjalan-jalan makan angin. Ikut kemampuan dan kelapangan yang ada. Tidak perlu jauh-jauh, di sekitar kita pun banyak tempat-tempat yang menarik yang tidak pernah/ sudah lama kita tidak menjejakkan kaki seperti pantai, muzium, zoo, tempat perkelahan, taman bunga dan bermacam-macam lagi. Seronok apabila dapat bersama ahli keluarga - lebih-lebih lagi bagi ibu bapa yang sentiasa sibuk dan anak-anak yang tinggal berjauhan.

Bagi kami, adalah beberapa perancangan untuk anak-anak. Awal-awal cuti lagi, Zoo Negara yang letaknya beberapa langkah dari rumah menjadi pilihan Imran bersama sepupu-sepupunya. Beberapa sehari selepasnya kami sibuk dengan Majlis Kesyukuran Keluarga. Malah setiap hujung minggu pula ada sahaja undangan perkahwinan di sekitar Lembah Kelang.

Seminggu selepasnya pula kami akan ke Bachok, Kelantan bagi menghadiri undangan perkahwinan di sana. Insya ALLAH akan berjalan-jalan ke satu dua tempat menarik sebelum bergerak pulang ke kampung halaman orang tua di Terengganu. Seterusnya ke Besut pula untuk menghantar Solehah pulang ke asrama.

Termasuk sama di dalam diari musim cuti adalah permintaan Imran untuk berkunjung ke perpustakaan dan juga ke kedai buku bagi mendapatkan beberapa buah buku kesukaannya yang baru diterbitkan. Selebihnya bergantung kepada kelapangan masa.

Melihat kepada kepelbagaian agenda masa cuti, Inshaa ALLAH cuti sekolah selama 2 minggu pasti tidak terasa berlalu begitu sahaja.

Friday, May 16, 2014

Mencerap Cakerawala @ Teluk Kemang

Balai Cerap Teluk Kemang letaknya di hadapan Klana Beach Resort Port Dickson (KBRPD), di sebuah tanjung yang mempunyai pandangan ufuk barat yang luas, berkeluasan kira-kira 3 ekar menghadap Selat Melaka. Ianya diuruskan secara bersama antara Jabatan Mufti Negeri Sembilan (MAINS) dan Universiti Malaya.

Balai Cerap berlatarkan suasana petang
Balai cerap ini mula beroperasi sekitar tahun 1970an dan amat terkenal sebagai lokasi utama menentukan puasa Ramadhan dan tibanya Eidil Fitri setiap tahun. Itu rutin tahunan. Akan tetapi fungsi balai cerap ini lebih luas lagi yakni melakukan pemerhatian, kajian dan merekodkan setiap perkara berkaitan dunia astronomi/ falak yang berlaku setiap hari.

Para pengunjung amat dialu-alukan untuk berkunjung ke balai cerap ini. Buat masa ini ianya hanya dibuka di sebelah malam. Sedikit bayaran dikenakan untuk pelawat luar. Manakala bagi penginap di KBRPD ianya boleh disekalikan dengan pakej penginapan.

Di balai cerap ini terdapat Galeri Astronomi, Bank Data Astronomi, Mini Teater dan Anjung Tinjau cum Pusat Sumber yang dilengkapi 2 binokular bagi melihat kawasan sekitar serta bahagian menara yang dikhususkan kepada aktiviti pencerapan angkasa.

Bagi kami, tarikan utama ke balai cerap ini adalah kerja-kerja yang dilakukan di bahagian menara (Bilik Operasi) yang dilingkungi kubah berdiameter 5 meter. Di sini terdapatnya sebuah teleskop gergasi bersaiz 24 inci yang dilekatkan kepada sebatang tiang konkrit besar yang dipasak terus ke tanah - dipercayai sangat kukuh dan teguh.

Menariknya, tiang ini berdiri sendiri, langsung tidak bersentuhan dengan bangunan balai cerap. Tujuannya mengelak daripada turut terkesan sekiranya sebarang kemungkinan terjadi pada struktur bangunan. Malah bangunan 6 tingkat (hingga menara) ini tidak disediakan lif bagi menghindarkan gangguan gegaran kepada pengoperasian teleskop. Jadi, kuatkan semangat dan perlahan-perlahan menapak naik. Insya ALLAH sampai juga akhirnya.

Tentang teleskop - ianya ditempah  khas dari Syarikat Optical Guidance System (OGS) di New York di mana ia mampu mencerap anak bulan sehingga 0 darjah. Malah kebanyakan planet, bintang dan fenomena alam angkasa dapat dicerap dengan baik. Pergerakan kubah dan teleskop pula dikawal oleh sistem komputer yang setaraf dengan KITT PEAK National Observatory Lab di Amerika Syarikat.

Teleskop yang berharga sekitar RM1.8 juta ini difahamkan tercanggih di Asia Tenggara dan terbesar di Malaysia (nota: di hampir setiap negeri ada balai cerap tersendiri).

Di Bilik Operasi, setiap pengunjung berpeluang melihat bulan, planet, bintang dan lain-lain fenomena alam menggunakan teleskop gergasi ini. Itu pun bergantung kepada suasana alam sekitar. Jika awan tebal menyelubungi alam, pasti tiada apa yang dapat dilihat. Lebih parah lagi jika cuaca kurang baik, terpaksalah kubah yang terbuka ditutup.

Keadaan bulan yang mulai dilitupi awan
AlhamduliLlah, rombongan kami sempat berada di Bilik Operasi ini. Akan tetapi hanya beberapa orang terawal sahaja yang bertuah dapat melihat permukaan bulan yang dipenuhi kawah-kawah (kesan jatuhan komet dan mateor). Selebihnya hampa kerana bulan dilindungi awan walaupun lebih setengah jam menunggu.

Namun kehampaan sedikit terubat apabila satu-satunya petugas astronomi, En. Muzammil mula memberi penerangan sambil menayangkan gambar-gambar astrofotografi yang telah diambil; antaranya bulan, beberapa buah planet, milkway, star trails dan nebula

Pada suatu ketika, kami diam tidak terkata apabila En. Muzammil menimbulkan persoalan; di manakah kita berbanding keluasan galaksi yang dizoom-in sehingga timbul galaksi bima sakti... Dan di mana pula langit pertama ciptaan ALLAH SWT? SubhanaLlah... betapa kerdilnya diri di sisi ALLAH SWT.

Sebahagian koleksi menarik di galeri
Jika ditanyakan kepada kami, kami amat mengalu-alukan kunjungan ke balai cerap ini. Banyak hal berkaitan astronomi/ falak dapat dipelajari dan diselami. Sesuatu ilmu yang dianggap susah dan kompleks, sebenarnya amat mudah difahami kiranya didedahkan secara santai dan bermaklumat. Malah menarik hati untuk mengetahuinya secara lebih terperinci. Sememangnya ilmu ALLAH SWT itu tiada penghujungnya.

Jika ingin lihat beberapa keping foto yang sempat diambil, bolehlah selak Album Foto Kami di kiri blog atau klik di sini untuk terus akses ke album.

Insya ALLAH kami akan datang lagi di lain ketika bersama ahli keluarga yang lain. Moga dipermudahkan. Ameen.

Wednesday, May 14, 2014

Santai @ Klana Beach Resort PD

Klana Beach Resort PD
Hujung minggu yang tidak dijangka. Laili mendapat khabar perlu menghadiri bengkel selama 2 hari 1 malam di Klana Beach Resort Port Dickson @ Teluk Kemang. AlhamduliLlah, rezeki bagi kami (termasuk Imran) kerana dapat turut serta berjalan makan angin di tempat orang.

Jarak antara Ulu Kelang ke Teluk Kemang sekitar 106 km - jarak yang disukai oleh Imran kerana dapat tunaikan solat jamak.

Klana Beach Resort Port Dickson (KBRPD) ini sebenarnya di bawah pengurusan MAINS Hotel Sdn Bhd, anak syarikat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS). Sekaligus diisytiharkan sebagai Syariah Compliant. Ianya beroperasi di Kompleks Baitul Hilal yang menghadap Selat Melaka, yang pastinya terdapat jaluran pantai di hadapan dan bersebelahannya antaranya Pantai Cahaya dan Pantai Purnama.

Balai Cerap Teluk Kemang
Manakala di hadapan resort pula terdapat sebuah tanjung yang menempatkan sebuah bangunan 6 tingkat. Inilah Balai Cerap Teluk Kemang yang terkenal lebih 30 tahun lalu sebagai tapak melihat anak bulan Ramadhan dan Syawal yang merekodkan kenampakan anak bulan paling tinggi dalam sejarah Malaysia. 

Balai cerap ini dibuka kepada umum. Buat masa ini hanya di sebelah malam sahaja. Sedikit bayaran dikenakan untuk pelawat luar, manakala bagi yang bermalam di KBRPD ianya boleh disekalikan dengan pakej penginapan. 

Di balai cerap ini terdapat Galeri Astronomi, Bank Data Astronomi, Mini Teater dan Anjung Tinjau cum Pusat Sumber yang dilengkapi 2 binokular bagi melihat kawasan sekitar. Paling menarik adalah Bilik Operasi berkubah yang dilengkapi dengan teleskop gergasi untuk mencerap fenomena alam angkasa. Para pengunjung berpeluang menggunakannya.

Insya ALLAH, al-kisah balai cerap ini akan disentuh lebih eksklusif di dalam entri berikutnya.

Berbalik kepada KBRPD. 

Berhadapan resort dan di sebelah kirinya  kini sedang giat dilakukan pembangunan baru. Kami tidak pasti untuk apa - mungkin tambahan tempat meletak kenderaan atau kolam renang tertutup atau pun apa-apa sahaja untuk kemudahan pengunjung. Tunggu dan lihat sahaja.

Kerlipan bintang di lobi
Melangkah masuk ke lobi, kami terpesona dengan silingnya yang berkerlipan bintik-bintik ungu, ibarat taburan bintang di cakerawala. Manakala di hampir setiap sudut dinding di setiap tingkat resort dihiasi foto-foto berasaskan astronomi berserta catatan sejarah gambar dirakam. 

Di bilik pula, sejadah telah tersedia, tidak perlu diminta. Ada baiknya jika disediakan 2 helai untuk tujuan solat berjemaah. Walaupun ianya perkara kecil tetapi lebih menepati kehendak syariah. Di samping itu, ada baiknya juga jika Al-Quran terjemahan turut disediakan - secara tidak langsung mengalakkan penginap untuk membaca Al-Quran. Dan siapa tahu, mungkin ianya boleh menjadi bahan dakwah kepada non-Muslim.

Di sebelah kanan resort terdapat tangga untuk turun ke pantai. Jadi sewajarnya bersedialah dengan pakaian mandi yang selayaknya. Setelah siap, usah lupa membasuh kaki sebelum melangkah masuk ke resort melalui tangga bersebelahan kafeteria. Laluan lobi tidak dibenarkan.

Imran sendirian bermain pasir di Pantai Purnama
Di sebelah kiri resort juga terdapat pantai iaitu Pantai Purnama. Laluan turun bertangga belum dibina. Jika berkeinginan, ada baiknya menaiki kereta - tidak sampai pun 1 km jaraknya. Pantainya landai dan riak ombaknya kecil sahaja - sesuai untuk bermandi-manda. 

Hampir sejam Imran bermain air sambil mengorek pasir. Tanpa teman sebaya tiada keseronokan dan kemeriahan yang dirasai. Kasihan Imran. Akhirnya balik ke bilik menghadap TV dan Ipad. Insya ALLAH lain kali kami datang lagi bersama ahli keluarga lain.

Berada di KBRPD, soal makan tiada masalah. Di sepanjang jalan Teluk Kemang-Port Dickson, banyak sekali terdapat gerai, warung, restoran dan medan selera. Dari sarapan pagi sehinggalah makan malam. Apatah lagi bagi peminat asam pedas, masakan tradisi nogori tidak susah untuk mencarinya. Atau pun boleh sahaja membuat pesanan di resort, cuma harganya pasti lebih mahal.

Sebahagian daripada foto di KBRPD dan sekitarnya terdapat di Album Foto Kami atau klik di sini untuk capaian terus ke album.

Kami bertolak pulang selepas menunaikan solat di Masjid Kariah Teluk Kemang. AlhamduliLlah, di bawah peliharaanNYA, kami selamat tiba di Ulu Kelang sekitar jam 4 petang.

Friday, May 9, 2014

Ramadhan > Menghitung Hari

Mengikut taqwim Islam, kini adalah bulan Rejab. Selepas itu Syaaban. Diikuti dengan Ramadhan al-Mubarak. Bermakna tak sampai pun 2 bulan lagi untuk kita kembali berada di bulan nan mulia. Bulan yang amat dinanti-nantikan oleh mereka yang mengimpikan limpahan rahmat, barakah dan pahala daripada ALLAH SWT, pemilik alam semesta yang kita tumpangi ini.

Bagaimana dengan kita? Bersediakan kita untuk menyambut kehadiran Ramadhan? Tidak inginkah kita agar Ramadhan tahun ini menjadi Ramadhan yang terbaik dalam sejarah hidup kita?

Sebagai permulaan, marilah kita berdoa kepada ALLAH SWT moga dipanjangkan usia kita sehingga bertemu Ramadhan pada tahun ini.

Seterusnya marilah kita bersedia dengan ilmu pengetahuan berkaitan
Ramadhan. Kitab-buku-makalah dan apa sahaja bahan bacaan berkenaan Ramadhan kita kumpul/beli dan baca kembali. Renungi secara saksama, bagaimanakah bentuk Ramadhan yang ingin kita corakkan agar selari dengan kehendak Illahi dan bagai yang diamalkan oleh junjungan mulia, RasuluLlah SAW, para sahabat dan para salafusoleh.

Perlu difahami, Ramadhan bukan sekadar berpuasa di siang hari sahaja tetapi lebih daripada itu. Selama sebulan, sehari semalam sentiasa dilimpahi pelbagai anugerah yang berlipat ganda yang tidak terperi banyaknya selagi kita beriman dan beramal penuh tulus ikhlas kepadaNYA.

Ayuhlah sama-sama kita berazam dan bertekad agar Ramadhan tahun ini dapat kita laksanakan sebaik mungkin, jauh mengatasi Ramadhan-Ramadhan yang telah kita laluli di tahun-tahun sebelumnya.

Monday, May 5, 2014

Berlabuhnya Tirai Pesta Buku 2014

Semalam berakhir sudah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kali ke-33 di PWTC yang berlangsung selama 11 hari bermula 24 April lalu.

CERIA... Hentian R & B (Rehat dan Baca) di Aras 4
Sambutannya amat memberangsangkan. Setiap hari ada pertambahan pengunjung. Lonjakan berganda dapat dilihat pada hari cuti - Hari Pekerja dan hujung minggu. Pada pagi hari ke-9 ianya telah mencecah 2 juta pengunjung. Peningkatan drastik berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Secara umum dapat disimpulkan bahawa generasi baru rakyat Malaysia kini telah pun berubah. Minat mereka kepada buku amat terserlah. Tidak hairanlah bilangan penerbit buku juga semakin bertambah.

Dahulu kita merasa amat malu bila dikatakan rakyat Malaysia hanya membaca 2 halaman buku setahun. Itu kajian UPM pada tahun 1983. Manakala kajian PNM 13 tahun selepasnya (1996) lebih menggembirakan iaitu 2 buah buku setahun. Melihatkan kepada situasi terkini, pasti statistiknya menunjukkan angka yang lebih membanggakan.

Dalam keghairahan para peminat buku berkampung di PWTC, kami juga tidak terkecuali. Cuma kali ini saya seorang sahaja yang pergi 'memborong'. Izzuddin pula sekadar berjalan-jalan bersama teman-temannya mencari sebuah dua buku pengajian.

Sebahagian buku pilihan PBAKL 2014
Berjalan singgah di hampir setiap booth sambil menyelit di celah-celah khalayak pengunjung tidak sedar masa begitu cepat berlalu. Sehari suntuk di PWTC pun belum terasa puasnya.  Tambahan pula dikelilingi longgokan buku yang meruntun jiwa, rasa ingin borong semuanya. Demikianlah jika diri terlalu obses dengan buku.

Sabar... tenangkan fikiran, waraskan pertimbangan, wajarkan pilihan. Dalam berjaga-jaga pun hampir RM500 'terbang'. Itu pun Laili dan anak-anak tidak ikut serta. Tak mengapalah, untuk buku dan ilmu pengetahuan tiada ruginya. Walaupun duit 'lebur', yang penting hati terhibur.

Secara umumnya, diskaun yang diberikan amat menarik sekali. Purata potongan sekitar 20%. Lebih-lebih lagi oleh para penerbit buku. Malah ada penerbit yang menawarkan sehingga 40% - 50% untuk semua genre buku terbitan mereka. Namun, sebaliknya ada juga penerbit besar yang 'sedikit kedekut', diskaunnya hanya 10% sahaja, mengalahkan pengedar dan penjual buku biasa yang mampu memberi diskaun 15% - 20%. Apa-apa pun terserah kepada pembeli sendiri. Jika inginkan yang terbaik, kenalah penatkan diri dahulu untuk membuat perbandingan harga sebelum mampu tersenyum puas.

Bersama Prof Kamil dan Pn Roza - Terima kasih
Dalam terkejar-kejar mencari 'habuan', sempat saya beramah mesra dengan 2 penulis suami-isteri yang begitu komited dengan dakwah santai lewat buku-buku mereka iaitu Prof. Dr. Hj. Muhd Kamil Ibrahim (MKI) dan Pn. Hjh. Raudzah Roslan (Roza). Kedua-dua buku terbaru mereka baru diterbitkan iaitu Bersamamu Di Firdaus dan Rumah Kecil Di Jabal Uhud.

Di samping itu tercapai juga hajat di hati untuk memiliki siri Kitab Fikah Mazhab Syafie dan beberapa buku keluaran Galeri Ilmu, Karangkraf, Telaga Biru, PSN, PTS, AsSohwah dan al-Ameen.

Ikutkan hati masih banyak buku yang ingin dibawa pulang tetapi bersabar sahajalah. Usah diikutkan nafsu. Habiskan dahulu buku-buku yang telah dibeli. Apatah lagi masih banyak buku-buku yang dibeli pada beberapa pesta buku sebelum ini yang masih belum dibaca lagi.

Apa nak buat... dah gila buku... pantang tengok nak selalu... 8)