Mengikut taqwim Islam, kini adalah bulan Rejab. Selepas itu Syaaban. Diikuti dengan Ramadhan al-Mubarak. Bermakna tak sampai pun 2 bulan lagi untuk kita kembali berada di bulan nan mulia. Bulan yang amat dinanti-nantikan oleh mereka yang mengimpikan limpahan rahmat, barakah dan pahala daripada ALLAH SWT, pemilik alam semesta yang kita tumpangi ini.
Bagaimana dengan kita? Bersediakan kita untuk menyambut kehadiran Ramadhan? Tidak inginkah kita agar Ramadhan tahun ini menjadi Ramadhan yang terbaik dalam sejarah hidup kita?
Sebagai permulaan, marilah kita berdoa kepada ALLAH SWT moga dipanjangkan usia kita sehingga bertemu Ramadhan pada tahun ini.
Seterusnya marilah kita bersedia dengan ilmu pengetahuan berkaitan
Ramadhan. Kitab-buku-makalah dan apa sahaja bahan bacaan berkenaan Ramadhan kita kumpul/beli dan baca kembali. Renungi secara saksama, bagaimanakah bentuk Ramadhan yang ingin kita corakkan agar selari dengan kehendak Illahi dan bagai yang diamalkan oleh junjungan mulia, RasuluLlah SAW, para sahabat dan para salafusoleh.
Perlu difahami, Ramadhan bukan sekadar berpuasa di siang hari sahaja tetapi lebih daripada itu. Selama sebulan, sehari semalam sentiasa dilimpahi pelbagai anugerah yang berlipat ganda yang tidak terperi banyaknya selagi kita beriman dan beramal penuh tulus ikhlas kepadaNYA.
Ayuhlah sama-sama kita berazam dan bertekad agar Ramadhan tahun ini dapat kita laksanakan sebaik mungkin, jauh mengatasi Ramadhan-Ramadhan yang telah kita laluli di tahun-tahun sebelumnya.
No comments:
Post a Comment