Klana Beach Resort PD |
Jarak antara Ulu Kelang ke Teluk Kemang sekitar 106 km - jarak yang disukai oleh Imran kerana dapat tunaikan solat jamak.
Klana Beach Resort Port Dickson (KBRPD) ini sebenarnya di bawah pengurusan MAINS Hotel Sdn Bhd, anak syarikat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS). Sekaligus diisytiharkan sebagai Syariah Compliant. Ianya beroperasi di Kompleks Baitul Hilal yang menghadap Selat Melaka, yang pastinya terdapat jaluran pantai di hadapan dan bersebelahannya antaranya Pantai Cahaya dan Pantai Purnama.
Balai Cerap Teluk Kemang |
Balai cerap ini dibuka kepada umum. Buat masa ini hanya di sebelah malam sahaja. Sedikit bayaran dikenakan untuk pelawat luar, manakala bagi yang bermalam
di KBRPD ianya boleh disekalikan dengan pakej penginapan.
Di balai cerap ini terdapat Galeri Astronomi, Bank Data Astronomi, Mini Teater dan Anjung Tinjau cum Pusat Sumber yang dilengkapi 2 binokular bagi melihat kawasan sekitar. Paling menarik adalah Bilik Operasi berkubah yang dilengkapi dengan teleskop gergasi untuk mencerap fenomena alam angkasa. Para pengunjung berpeluang menggunakannya.
Insya ALLAH, al-kisah balai cerap ini akan disentuh lebih eksklusif di dalam entri berikutnya.
Berbalik kepada KBRPD.
Berhadapan resort dan di sebelah kirinya kini sedang giat dilakukan pembangunan baru. Kami tidak pasti untuk apa - mungkin tambahan tempat meletak kenderaan atau kolam renang tertutup atau pun apa-apa sahaja untuk kemudahan pengunjung. Tunggu dan lihat sahaja.
Kerlipan bintang di lobi |
Melangkah masuk ke lobi, kami terpesona dengan silingnya yang berkerlipan bintik-bintik ungu, ibarat taburan bintang di cakerawala. Manakala di hampir setiap sudut dinding di setiap tingkat resort dihiasi foto-foto berasaskan astronomi berserta catatan sejarah gambar dirakam.
Di bilik pula, sejadah telah tersedia, tidak perlu diminta. Ada baiknya jika disediakan 2 helai untuk tujuan solat berjemaah. Walaupun ianya perkara kecil tetapi lebih menepati kehendak syariah. Di samping itu, ada baiknya juga jika Al-Quran terjemahan turut disediakan - secara tidak langsung mengalakkan penginap untuk membaca Al-Quran. Dan siapa tahu, mungkin ianya boleh menjadi bahan dakwah kepada non-Muslim.
Di sebelah kanan resort terdapat tangga untuk turun ke pantai. Jadi sewajarnya bersedialah dengan pakaian mandi yang selayaknya. Setelah siap, usah lupa membasuh kaki sebelum melangkah masuk ke resort melalui tangga bersebelahan kafeteria. Laluan lobi tidak dibenarkan.
Imran sendirian bermain pasir di Pantai Purnama |
Di sebelah kiri resort juga terdapat pantai iaitu Pantai Purnama. Laluan turun bertangga belum dibina. Jika berkeinginan, ada baiknya menaiki kereta - tidak sampai pun 1 km jaraknya. Pantainya landai dan riak ombaknya kecil sahaja - sesuai untuk bermandi-manda.
Hampir sejam Imran bermain air sambil mengorek pasir. Tanpa teman sebaya tiada keseronokan dan kemeriahan yang dirasai. Kasihan Imran. Akhirnya balik ke bilik menghadap TV dan Ipad. Insya ALLAH lain kali kami datang lagi bersama ahli keluarga lain.
Berada di KBRPD, soal makan tiada masalah. Di sepanjang jalan Teluk Kemang-Port Dickson, banyak sekali terdapat gerai, warung, restoran dan medan selera. Dari sarapan pagi sehinggalah makan malam. Apatah lagi bagi peminat asam pedas, masakan tradisi nogori tidak susah untuk mencarinya. Atau pun boleh sahaja membuat pesanan di resort, cuma harganya pasti lebih mahal.
Sebahagian daripada foto di KBRPD dan sekitarnya terdapat di Album Foto Kami atau klik di sini untuk capaian terus ke album.
Sebahagian daripada foto di KBRPD dan sekitarnya terdapat di Album Foto Kami atau klik di sini untuk capaian terus ke album.
Kami bertolak pulang selepas menunaikan solat di Masjid Kariah Teluk Kemang. AlhamduliLlah, di bawah peliharaanNYA, kami selamat tiba di Ulu Kelang sekitar jam 4 petang.
No comments:
Post a Comment