Tuesday, April 11, 2017

Cuti2 Malaysia > Melaka

Ini pula kisah kunjungan kami ke Bandaraya Melaka Bersejarah.

Telah lama kami menyimpan impian untuk melancong ke Melaka terutama di tengah Bandaraya Melaka. Kali terakhir kami berjalan-jalan menghayati kesan tinggalan sejarah silam hampir 40 tahun lalu. Satu jarak waktu yang agak lama. Jodoh pun masih belum ditemukan...Ya lah ketika zaman sekolah rendah lagi. Itu pun bersama rombongan sekolah. Terlalu banyak perubahannya.

Di pertengahan cuti sekolah Penggal 1 (18/03~26/03/2017) baru-baru ini, kami bertiga; ibu ayah dan si bongsu Imran berkesempatan turun ke Melaka. Tambahan pula Imran juga amat meminati sejarah tanah air. Apatah lagi Melaka yang penuh dengan pelbagai kisah yang perlu diambil iktibar.

Oleh kerana pengkisahannya agak panjang, maka ianya telah dipecahkan kepada 3 bahagian yang perlu dibaca mulai dengan Bhg 01 hingga ke Bhg 03. Setiap tempat yang dikunjungi disentuh secara umum sahaja. Untuk lebih terperinci, bolehlah dirujuk ke laman-laman pelancongan yang berkaitan dengannya.

Moga ada manafaatnya.

Cuti2 Malaysia > Melaka - Bhg 01


Kami tiba di Melaka sekitar jam 10:00 pagi.

Kubu St. John... Tinggalan Penjajah Portugis dan Belanda
Singgahan pertama kami adalah di Kubu St. John di puncak Bukit Senjuang - sebahagiannya menghadap ke arah Selat Melaka.

Kubu ini asalnya sebuah gereja kecil Portugis yang dibina semula sebagai kubu pertahanan oleh Belanda pada abad ke-18. Menariknya kebanyakan meriam di kubu menghadap ke arah daratan kerana dikatakan sebahagian besar serangan bermula dari arah tersebut. 

Landskap di sekitarnya juga menarik perhatian kami, salah satunya pokok-pokok saga yang menebarkan biji saga kemerahan yang menjadi inspirasi terhasilnya nama kereta pertama Malaysia - Proton Saga. Kami kutip sebahagian bijinya untuk koleksi peribadi kami.

The Stadthuys.. Tinggalan Penjajah Belanda
Seterusnya kami bergerak ke tengah Bandar Raya Melaka dan meletakkan kereta di Jalan Hang Jebat - sebahagian daripada Jonker Street. Mematuhi peraturan MBMB, 6 Kupon Letak Kereta diatur rapi sehingga jam 5:15 petang.

Di laluan ini terdapat kedai-kedai lama dengan jualan barangan lama. Juga terdapat Muzium Budaya Cheng Ho dan mural lukisan besar di dinding bangunan.

Tumpuan pertama kami adalah Pusat Maklumat untuk mendapatkan helaian peta lokasi bagi memudahkan pencarian tempat-tempat yang ingin dikunjungi. Tu dia... di lingkungan Jalan Kota-Jalan Istana sahaja deretan tinggalan sejarah berbentuk muzium, galeri dan bangunan dalam suatu kawasan saling bersebelahan dan berdekatan. Sehari suntuk pun masih tak mampu nak habiskan. Pilihlah mana yang perlu didahulukan, simpan selebihnya untuk kunjungan seterusnya... Itulah yang mampu kami lakukan...

Menara Jam
Pokok Melaka
Singgahan utama, pastinya bangunan merah The Stadthuys yang terletak di hadapan Pusat Maklumat.  Bangunan kompleks 2 tingkat yang besar dengan 30 meter lebar ini dibina oleh Belanda pada tahun 1650 sebagai kediaman rasmi Gabenor dan Timbalan Gabenor. Juga ditempatkan Pejabat Setiausaha, bilik sembahyang, ruang makan, rumah tetamu, rumah hamba, rumah Ketua Merchant, penjara, pejabat perdagangan dan gudang. 

Bangunan ini asalnya berwarna putih, kemudian dicat merah salmon oleh British setelah kuasa penjajah beralih tangan. Bersebelahannya adalah Gereja Christ dan di hadapannya pula Menara Jam. Kedua-duanya juga berwarna merah salmon.

Kini The Stadthuys menempatkan Muzium Sejarah dan Etnografi, Muzium Sastera, Muzium Pemerintahan Demokrasi dan Galeri Yang Dipertua Negeri. Semuanya tidak sempat kami singgahi. Inshaa ALLAH di lain kali..

Bersebelahan Muzium Etnografi, terdapat kelompok pepohonan berdaun halus dan berbuah seakan cermai merendang segar. Itulah Pokok Melaka di mana negeri Melaka dikatakan beroleh nama.

Cuti2 Malaysia > Melaka - Bhg 02

Beredar dari The Stadthuys, kami bertiga terus menuju ke Jalan Kota yang menempatkan deretan muzium, galeri dan bangunan tinggalan penjajah. Kami perlu membuat pilihan mana tempat yang ingin dikunjungi kerana tidak mungkin mampu dilawati kesemuanya sekaligus. Jalan Kota ini ditutup kepada kenderaan bermotor tetapi disediakan kereta kuda dan beca roda tiga berirama dengan bayaran tertentu.

Sorotan Sejarah Seni Bina di Malaysia
Pilihan pertama kami di Jalan Kota adalah Muzium Seni Bina Malaysia yang mengenengahkan keunikan dan kepelbagaian warisan seni bina tanah air. Menariknya bangunan yang menempatkan muzium ini juga warisan seni bina penjajahan Belanda sekitar tahun 1700an.

Terdapat 7 galeri utama yang mempamerkan urutan perkembangan seni bina di Malaysia yang merangkumi elemen sejarah, kepercayaan, tipologi, motif ukiran, teknologi semasa dan bahan-bahan serta peralatan pembinaan.

Stesen Keretapi Tanah Melayu
Banyak koleksi menarik yang ditonjolkan seperti Panel Dinding Berukir, Model Rumah Tradisional, Rumah Kedai Cina, Pintu Berukir dan Sampel Spesies Kayu. Ralit kami dek terpesona dengan setiap exhibit yang disusun rapi mengikut urutannya.

Bersebelahan Muzium Seni Bina adalah anak tangga ke puncak Bukit St. Paul, diikuti Muzium Islam Melaka, Muzium UMNO, Muzium Rakyat, Muzium Dunia Melayu dan Dunia Islam dan banyak lagi.

Porta de Santiago.. Tinggalan Portugis
Semuanya itu tidak kami singgahi kerana tumpuan kami seterusnya adalah ke Kota A'Famosa. Asalnya ia adalah sebuah kubu pertahanan Portugis yang dibina pada tahun 1511 dan akhirnya dirobohkan oleh British sebelum dihentikan. Hanya pintu gerbang sahaja yang tinggal, dikenali sebagai Porta de Santiago.

Bersebelahannya adalah Bukit St. Paul di mana terdapatnya tinggalan Gereja St. Paul yang dijadikan kubur golongan bangsawan Belanda. St. Francis Xavier yang terdapat patungnya di hadapan gereja ini adalah salah seorang daripadanya.

Untuk sampai ke puncak Bukit St. Paul, kami perlu menapak puluhan anak tangga. Aduhai... dalam keletihan terasa mengah juga dibuatnya.

Berhadapan A'Famosa, terdapatnya Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan. Pelbagai bahan sejarah yang membawa kepada kemerdekaan negara dipamerkan, antaranya dokumen, gambar, peta, perjanjian, teks ucapan, pita rakaman, minit-minit mesyuarat, majalah, keratan akhbar dan bahan-bahan artifak yang berkaitan.

Sambutan Kemerdekaan Peringkat Negeri
Bangunan memorial ini dibuka pada 31 Ogos 1985. Ianya dibina pada tahun 1911. Ketika penjajahan British, bangunan  ini digunakan untuk kegiatan sosial oleh golongan atasan dan pegawai-pegawai kerajaan. Setelah merdeka, bangunan yang dikenali sebagai Kelab Melaka ini dibuka kepada orang ramai sebelum dijadikan memorial.

Bersebelahan memorial adalah Muzium Kesultanan Melaka yang dibina dalam bentuk replika Istana Melayu ketika pemerintahan Sultan Mansur Shah dari tahun 1456 hingga 1477.

Replika Istana Kesultanan Melayu Melaka
Muzium ini dapat memberi gambaran jelas suasana di dalam istana termasuk ruang-ruang khusus seperti Balairong Seri, Balai Beradu serta Adat Istiadat di zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Terdapat juga diorama kisah Hang Tuah dan Hang Jebat, pelbagai jenis senjata, barangan tembikar dan juga pakaian kebesaran.

Menariknya... keseluruhan bangunan muzium ini diperbuat daripada kayu keras manakala atapnya dari kepingan kayu belian. Pembinaannya pula bercirikan seni pertukangan Rumah Melayu Melaka di mana sendi bangunan diperkuatkan dengan pasak sahaja.

Cuti2 Malaysia > Melaka - Bhg 03

Singgahan kami seterusnya adalah Muzium Setem Melaka yang mula beroperasi pada tahun 2007, hasil kerjasama dengan Pos Malaysia.

1611 - Surat Pertama Dari Melaka
Ketika kunjungan kami, langsung tidak kelihatan pengunjung lain. Sememangnya hanya peminat dan pengemar setem sahaja yang akan singgah di muzium ini. Hanya mereka yang memahaminya akan terasa seronok dan teruja.

Tidak Sempat Terbit
Sejak kanak-kanak, saya adalah peminat setem tetapi hanya setem keluaran Malaysia sahaja. Suatu ketika, rumah kami dimasuki pencuri, koleksi setem yang disayangi habis dilarikan. Pencuri pun tahu nilainya. Apa nak dikata...

Dengan kunjungan ke Muzium Setem ini sekurang-kurangnya terubat juga hati apabila dapat meneliti setiap keping setem yang dipamerkan. Di dalam menyelusuri sejarah setem dunia dan tanah air, tertarik kami dengan setem Malayan Union yang tidak sempat dikeluarkan dan juga koleksi setem mengikut negeri.

Sebahagian Binaan Kubu Bastion Middleburg
Seterusnya kami masuk ke Bangunan Warisan di mana terdapatnya Galeri Warisan Kota Melaka yang mengisahkan tentang penemuan tapak Kota Melaka yang melingkungi Melaka yang dibina menggunakan batuan laterit.

Terdapat lakaran lukisan di zaman Portugis dan Belanda, juga perobohan yang dilakukan oleh British. Malah ada pandangan mengatakan binaan kota tersebut asalnya telah dibina di Zaman Kesultanan Melayu Melaka tetapi telah diubahsuai oleh penjajah. Allahu a'lam. Tapak Kota Lama ini dapat dilihat di sebelah Bangunan Warisan ini.

Dari penyelidikan arkeologi yang dilakukan, maka telah ditemui kubu Belanda yang dibina sekitar tahun 1660an, dikenali sebagai Bastion Middleburg di tepi Sungai Melaka. Sebahagian daripada kubu ini telah dibina semula di tapak asalnya yakni di belakang Pusat Maklumat, tidak jauh dari The Stadthuys.

Muzium Samudera... Replika Flor de La Mar
Menjengah jam 4:30 petang, kami singgah pula di Muzium Samudera. Menurut petugas, kami hanya ada masa setengah jam sahaja. Masa yang amat suntuk. Tiada pilihan, usahakan sebaik mungkin untuk dapatkan sebanyak mungkin maklumat.

Muzium ini terdiri daripada 2 fasa. Fasa I bertempat di replika kapal Portugis Flor de La Mar dan Fasa II pula bersebelahannya. Kedua-duanya memaparkan sejarah kelautan Melaka dan perkembangan perdagangan dari zaman Kesultanan Melayu Melaka hingga ke zaman Kolonial Portugis, Belanda, British dan Jepun.

Banyak koleksi menarik yang dipamer dan dikongsikan; antaranya Bilik Kapten, Bilik Peta, Bilik Tahanan, lukisan, matawang, model kapal dan artifak berkaitan maritim dan perdagangan di Melaka.

Tertarik Imran Dengan Koleksi Model Kapal
Bagi pengunjung yang mempunyai masa, boleh sahaja menggunakan khidmat Audio Tour yang disediakan.

Menghampiri jam 5:00 petang, ketika pintu keluar di Muzium Samudera Fasa II ditutup sebelah, kami melangkah keluar penuh kepuasan. AlhamduliILLAH... berjaya juga menghabiskannya.

River Cruise... Mudik Di Sg. Melaka
Sebenarnya masih banyak tempat di tengah Bandaraya Melaka yang tidak sempat kami kunjungi. Salah satunya adalah pengalaman menyusuri Sungai Melaka dengan menaiki River Cruise. Lebih menarik lagi jika dapat menaikinya di sebelah malam kerana pemandangan bercahaya di sekitarnya.

Akan tetapi Imran tidak berminat. Katanya air sungainya amat kotor, busuk dan meloyakan. Itulah hakikatnya yang amat memalukan terutama kepada pelancong luar. Kerajaan Melaka wajar mengambil tindakan drastik untuk mengatasinya.

Masjid Selat Melaka
Misi terakhir kami sebelum bergerak pulang ke Kuala Lumpur adalah menyinggah di pulau buatan, Pulau Melaka di mana terletaknya Masjid Selat Melaka yang juga dikenali sebagai Masjid Terapung. Ianya telah siap dibina pada Ogos, 2006 di tepian Selat Melaka, selat yang terpanjang dan paling sibuk di dunia.

Ketika kami tiba sekitar jam 5:30 petang, kelihatan serombongan pelancong luar dari China sedang keluar masuk dari masjid. AlhamdulILLAH... disediakan jubah dan tudung untuk mereka demi menjaga kehormatan dan kesopanan ketika di rumah ALLAH.

Melewati jam 6:00 petang, kami beredar meninggalkan Bandar Raya Melaka Bersejarah pulang ke Puchong. AlhamdulILLAH... tercapai sudah impian kami. Inshaa ALLAH kami akan berkunjung lagi di lain ketika untuk meneroka banyak lagi tinggalan sejarah yang tidak sempat kami kunjungi.

Thursday, April 6, 2017

Cuti2 Malaysia > Muzium Negeri Terengganu

Muzium Negeri Terengganu letaknya di Bukit Losong, Kuala Terengganu - tidak jauh dari Taman Tamadun Islam. Ianya meliputi kawasan seluas 23.33 hektar, dikatakan muzium terbesar di Asia Tenggara.

Imran.. Tercapai Satu Impian...!
Bangunan utama muzium, terdiri daripada 4 blok utama berkonsepkan rekabentuk istana lama Terengganu. Terdapat juga Muzium Maritim, 5 buah rumah tradisional, 2 buah perahu besar berserta landskap yang menyejukkan pandangan.

Beberapa tahun lalu kami sekeluarga pernah berkunjung ke muzium ini tetapi tidak berkesempatan menghabiskannya kerana kesuntukan masa. Sejak itu anak bongsu kami, Imran selalu menyatakan hasratnya untuk datang lagi. Ianya berlalu begitu sahaja walaupun impiannya tidak pernah padam.

AlhamdulILLAH.. pada hujung minggu baru-baru ini (01/04/2017), berdua bersama Imran; kami berkesempatan singgah untuk kali keduanya dengan misi menerokai keseluruhan sudut muzium yang ada. Seawal jam 9:00 pagi kami telah pun terpacak di hadapan pintu masuk muzium. Kamilah pengunjung terawal. Tiket masuknya RM5.00 untuk dewasa dan RM2.00 kanak-kanak. Tambahan RM3.00 untuk kamera.

Melangkah masuk ke ruang pameran, sejarah pertama yang ditatap adalah tentang Muzium Negeri Terengganu sendiri. Seterusnya bolehlah bergerak ke sana sini untuk menyelami setiap rakaman dan rentetan sejarah kehidupan manusia serta yang bersangkutan dengannya khususnya berkaitan negeri Terengganu Darul Iman.

Pelbagai Jenis Ukiran Kayu
Terdapat beberapa galeri yang ditempatkan di blok utama muzium; antaranya Galeri Tekstil, Galeri Kraf, Galeri Diraja, Galeri Sejarah, Galeri Petroleum, Galeri Islam dan Galeri Ilmu Kejadian.

Galeri Tekstil, pastinya berkaitan kain dan pakaian seperti proses pembuatan, perkembangan dan jenis-jenis tekstil seperti songket, batik, cindai, gerus dan telepuk. Juga pakaian tradisional harian, perkahwinan dan upacara-upacara tertentu.

Di Galeri Kraf pula memaparkan kehalusan seni kraftangan seperti anyaman tikar, barangan tembaga, ukiran kayu dan emas-perak. Terdapat juga senjata lama seperti keris, sundang, tekpi, sewar, badik dan lawi ayam yang mencerminkan kemahiran dan kehebatan 'pandai besi'.

Koleksi gambar dan barangan Sultan-sultan Terengganu termasuk alat-alat kebesaran DiRaja, hadiah-hadiah dan pelbagai jenis pingat/bintang boleh dilihat di Galeri DiRaja. Galeri Sejarah pula mengisahkan perkembangan tamadun manusia dari zaman prasejarah hinggalah proto sejarah yang dibuktikan dengan penemuan arkeologi. Pelbagai rentetan sejarah di Terengganu juga terdapat di sini, kebanyakannya dirakamkan melalui gambar/foto.

Galeri Petroleum jelas memaparkan sejarah industri minyak dan gas di Malaysia, khususnya di Terengganu; antara sumber ekonomi terpenting. Medan Minyak Dulang yang mula beroperasi pada Mac, 1991 adalah medan minyak pertama yang ditemui di perairan Terengganu.

Penemuan Tempayan di Hulu Terengganu
Pelbagai artifak bersejarah berkaitan kedatangan Islam ke Tanah Melayu, terutamanya ke Terengganu boleh dilihat di Galeri Islam seperti barangan tembaga, tembikar, kain bertulis, kitab-kitab dan gambar makam. Gambar masjid dengan pelbagai rekabentuk juga dipamerkan untuk tatapan pengunjung.

Galeri terakhir di blok utama adalah Galeri Ilmu Kejadian - ibarat 'zoo kaku' di dalam muzium. Pelbagai jenis flora, fauna dan batu batan terdapat di sini. Sebahagian besar haiwannya adalah haiwan sebenar yang telah diawetkan dengan mengekalkan penampilan luaran haiwan-haiwan berkenaan.

Juga terdapat galeri kecil tentang fosil dinosour yang ditemui di Gunung Gagau, Hulu Terengganu (2014) dan Sudut Penyu. Tidak kurang menariknya lukisan-lukisan menggambarkan adat dan budaya silam Terengganu seperti permainan bola cetong, menampi padi dan lukisan batik.

Pandangan Muka B
Bagi kami, exhibit yang paling menarik hati adalah Batu Bersurat Terengganu yang asli, dipamerkan di pintu masuk utama muzium. Difahamkan antara bukti terawal kedatangan Islam ke Terengganu.

Habis sepagi kami di Kompleks Utama Muzium. Sebelah petangnya pula kami berjalan-jalan di sekitar muzium. Kawasan terbuka tanpa sebarang bayaran. Sepatutnya kami 'merayau' di luar muzium dahulu di waktu pagi kerana di sebelah petangnya awan mendung berarak menimbulkan gusar di hati... kot-kot turun pula hujan..!

Terdapat 2 galeri maritim iaitu Galeri Pelayaran dan Perdagangan serta Galeri Perikanan dan Taman Laut. Galeri pertama mengimbau kembali sejarah pembinaan perahu-perahu besar, antaranya Perahu Besar Kemajuan dan Perahu Besar Sabar yang membawa kepada pembukaan jalan-jalan perdagangan serantau. Dikisahkan juga tentang Panglima Awang yang berani meredah samudera demi membuktikan Melayu Boleh..!

Di Galeri kedua pula berkaitan usaha-usaha penangkapan ikan dan suasana kehidupan para nelayan. Kami tidak berpeluang masuk ke ruang pameran dalaman kerana tidak dibuka. Di bahagian luarnya terdapat pelbagai jenis perahu dan sampan yang digunakan oleh para nelayan seperti Perahu Jalur, Jokong, Kajangan, Kolek, Payang, Bedar, Sekoci dan banyak lagi.

Rumah Bujang Berserambi (Tele)
Di ruangan luar muzium juga terdapat 5 buah Rumah Tradisional Terengganu iaitu Rumah Limas Bungkus (Istana Tengku Long), Rumah Tele, Rumah Limas Belanda, Rumah Bujang Berpeleh dan Rumah Berserambi Selansar. Semuanya ini benar-benar mengamit kenangan ketika kanak-kanak dahulu. Dahulu pernah saya melihatnya di sekitar kampung tetapi kini tiada lagi... Hilang lenyap ditelan kemodenan.

Terdapat juga kepala keretapi dan gerabak, keluaran tahun 1961 dan juga kenderaan rasmi Sultan Terengganu dan Menteri Besar terdahulu.

Ternyata Imran amat berpuas hati. Banyak perkara yang dipelajarinya. Banyak maklumat dan pengetahuan yang dicedok. Banyak pertanyaan yang diajukan. Sedaya mungkin cuba diterangkan agar mudah difahami.

Pengayuh Beca...
Sekitar jam 3:00 petang kami mula beransur keluar menuju kereta. Elok-elok sahaja hujan turun dengan lebatnya. AlhamdulILLAH... tertunai sudah impian kami terutama Imran yang amat meminati elemen sejarah tanah air.

Petang hari sebelumnya kami juga sempat berjalan-jalan di Kampung Cina @ Chinatown yang masih kekal seperti dahulu tetapi diperindahkan dengan pelbagai lukisan mural dan juga ikon tradisi seperti beca roda tiga, vespa, tong surat merah dan pondok telefon merah.

Imran telah meletakkan harapan di suatu hari nanti untuk berkunjung ke tempat-tempat bersejarah lain di Terengganu; antaranya Bukit Puteri, Istana Maziah, Memorial Batu Bersurat, Kota Duyong dan Muzium Daerah Kemaman.