Monday, March 30, 2009

Suai Kenal Southeastern Group

Tengahari semalam (Ahad, 29/03/2009), komuniti rakyat Malaysia yang tinggal di tenggara Melbourne (Southeastern Group) berkumpul lagi untuk Majlis Suai Kenal keluarga baru. Kali ini diadakan di Bald Hill Park, Clarinda - tempat yang sama untuk majlis seumpamanya pada akhir tahun lepas.

Hanisah, Solehah dan Azizah bersila simpuh menghadap hidangan
Mengikut agendanya, majlis bermula seawal jam 11:00 pagi. Kami sekeluarga bersama Dr. Siti Aminah serta anaknya, Azizah datang agak lewat sedikit, menunggu Izzuddin tamat ujian tali pinggang Tae Kwon Do-nya pada jam 12:30 tengahari.

AlhamduliLlah masih tidak terlalu lewat. Ketika sampai masing-masing sedang sibuk makan-makan sambil beramah mesra bersama rakan-taulan. Seronok dapat bersua muka dan bertanya khabar sesama kami terutama rakan-rakan luar dari Dandenong seperti Clayton dan sekitarnya.
Majlis diserikan lagi dengan kehadiran Dr. Nasir, pegawai attache menggantikan Dr. Mohammed Ali di MSD serta penyertaan sama orang-orang tua (ibu bapa) kepada beberapa keluarga, antaranya ibu bapa Haidar dan Dr. Zamri.

Sebahagian kaum ibu yang hadir ketika sesi tazkirah
Sedikit terkilan, masih ramai keluarga Southeastern yang tidak datang. Mungkin tidak mendapat makluman mengenainya dan mungkin juga ada urusan yang tidak dapat dielakkan. Banyak kemungkinannya. Cuma diharapkan, di lain ketika ianya mendapat sambutan yang lebih hebat dengan perancangan yang lebih teliti dan teratur.

Juadah utamanya amat istimewa sekali, BBQ lamb dan nasi minyak, sumbangan Cikgu Din-Marlina sempena aqiqah anak kedua mereka, Maisarah yang lahir beberapa bulan lalu. Terima kasih. Moga dirahmati Allah sentiasa.

Juadah sampingan hasil sumbangan hampir setiap keluarga juga banyak memenuhi meja dan bangku taman. Walaupun makan berulang kali, lebihannya masih banyak. AlhamduliLlah tidak membazir, boleh dibungkus untuk bekalan makan malam.

Ustazah Hidayah menyampaikan tazkirah
Sebelum mengerjakan solat berjemaah, para hadirin berpeluang mengikuti tazkirah ringkas yang disampaikan oleh Ustazah Hidayah, seorang Peguam Syariah (difahamkan kini pensyarah di UiTM) yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat PhD di La Trobe Unviersity. Pengisiannya menarik sekali, betapa perlunya toleransi suami dan isteri di rantauan apabila isteri belajar. Keutamaannya perlu dihalusi dan disepakati bersama, terlebih lagi dalam soal pendidikan anak-anak. Hanya keredhaan Allah yang diharapkan. Ameen.

Tak sangka pula selama ini Ustazah mengikuti blog ini, dapat promosi percuma pula apabila ditimbulkan dalam ceramahnya. Segan ada, malu pun ada. Apa-apa pun berbanyak terima kasih Ustazah.

Mewakili keluarga baru; Dr. Zamri, Dr. Aziz dan Deen
Agenda kemuncaknya adalah pengenalan diri keluarga baru Southeastern Group. Terdapat hampir 10 keluarga baru memperkenalkan diri. Tak semuanya dapat diingat dan kebanyakannya tinggal di Clayton, Clayton South dan Mulgrave; antaranya keluarga Dr. Zamri, Dr. Faizal, Dr. Aziz, Deen, Shaiful, Yan dan Halimahton.

Majlis diakhiri dengan sesi bergambar kesemua yang hadir. Insya Allah, bertemu lagi kita di lain ketika.

Sunday, March 29, 2009

Izzuddin - Tae Kwon Do Grading

Bagi ahli pertubuhan seni bela diri (martial arts), saat-saat ujian kenaikan bengkung/ tali pinggang (grading) adalah sesuatu yang amat dinanti-nantikan. Saat penuh debaran dalam membuktikan latihan yang dijalani selama ini benar-benar dapat dilakukan sebaik mungkin. Sekaligus dapat meningkatkan semangat dan keyakinan diri.

Izzuddin yang mengikuti latihan Tae Kwon Do tiga kali seminggu di bawah kendalian Master Mohamed, jurulatih dari Olympic Tae Kwon Do Centre (OTC) tidak terkecuali. Pagi ini bertempat di Masjid Emir Sultan, Dandenong North, grading bagi lebih 30 orang para pelatih diadakan dengan diadili oleh Master Jemal Hasan, pemegang 7th Dan Black Belt, juga Presiden OTC. Turut bersama Izzuddin adalah Imran Wafir dan kakaknya, Izzati Wafir.

Izzuddin, pemegang Yelow Belt 3 melakukan ujian untuk meningkat ke Blue Belt 1 dan Izzati dari Blue Belt 1 kepada Blue 2. Manakala bagi Imran pula yang baru menyertainya beberapa bulan lalu, ini adalah ujian pertama baginya untuk kenaikan dari White Belt kepada Yellow 1.

Ujian dilakukan mengikut tahap tali pinggang, bermula dari White Belt, diikuti Yellow Belt 1, Yellow 2, Yellow 3, Blue 1, Blue 2, Red 1 dan Red 2.
Untuk Red 2, di samping ujian pattern, pelatih juga disyaratkan memecahkan 2 keping papan menggunakan kaki dalam 2 gerakan yang berbeza mengikut arahan pengadil sebelum dianugerahkan Black Belt. Hanya seorang pelatih sahaja yang terlibat, Hasan anak kepada Imam Salih, imam Masjid Emir Sultan. Tahniah kerana melakukannya dengan baik dan berjaya mendapat tali pinggang yang diidamkan. Sesuatu yang menyemarakkan semangat para pelatih lain.

Oleh kerana masa yang agak suntuk dan bilangan pelatih yang ramai, hanya ujian asas dan pattern sahaja yang dapat diambil kira. Ujian sparring antara pasangan tidak dapat dilakukan. Elok juga kerana kebetulan Izzuddin mengalami kecederaan lutut dan peha dalam beberapa latihan sebelumnya. Dibimbangi ianya berulang kembali kerana ujian sparring memerlukan stamina dan kekuatan kaki untuk melakukan gerakan dan serangan. Tambahan pula biasanya pihak lawan lebih agresif ketika ujian daripada ketika latihan.

Ujian yang dilalui oleh Izzuddin dapat dilakukan dengan baik sekali sehingga mendapat pujian Master Jemal dan Master Mohamed. Kini Izzuddin adalah pemegang Blue Belt 1. Begitu juga dengan Izzati yang berjaya mendapat Blue Belt 2 dan juga Imran yang naik ke Yellow Belt 1. Tahniah Izzuddin. Tahniah Izzati. Tahniah Imran. Masih jauh lagi laluan untuk Black Belt tetapi tidak mustahil dapat dilakukan dengan keazaman dan disiplin yang tinggi. Teruskan.

Sebelum bersurai, Master Jemal menyampaikan amanatnya kepada ibu bapa dan para pelatih. Anak-anak perlu dididik dan didisiplinkan sedari awal dengan tegas tanpa dimanjakan walaupun mereka memberontak. Dan anak-anak perlu faham apa yang dilakukan oleh ibu bapa adalah untuk kebaikan mereka di kemudian hari agar menjadi insan yang berdisiplin dan berkeyakinan diri. Nasihat yang amat baik sekali.

Grading seterusnya dijangkakan pada bulan Jun 2009 bertempat di pusat latihan utama OTC di Fawkner, berdekatan Melbourne CBD. Jauh tidak menjadi halangan asalkan ada kemahuan. Insya Allah moga dipermudahkan olehNya.

Saturday, March 28, 2009

Islam di Dandenong

Australia adalah multicultural country. Ini diakui sendiri oleh para pemimpin negaranya. Sebahagian besar dari rakyat Australia termasuk Perdana Menteri, Kevin Rudd sendiri adalah berketurunan “pendatang”. Malah sejak sekian lama sehinggalah kini bumi Australia menjadi antara pilihan utama pendatang untuk bermastautin dan menukar kewarganegaraan mereka. Sebilangan besarnya pula beragama Islam.

Australia sejak dahulu mengamalkan dasar keterbukaan dalam menerima pendatang termasuklah pelarian perang dari negara-negara yang sedang bergolak, antaranya Lebanon, Afghanistan, Bosnia, Albania, Sudan dan Somalia di mana majoritinya beragama Islam. Begitu juga dari kalangan warga Muslim Turki yang melarikan diri dari dasar sekular yang menekan kebebasan beragama di zaman Shah Iran. Kedapatan juga etnik Melayu-Islam dari Singapura yang merasa terhimpit di negara sendiri. Tidak terkecuali di kalangan Melayu-Islam dari Malaysia dan Indonesia turut sama “melarikan diri” ke Australia. New South Wales dan Victoria adalah antara negeri-negeri di Australia yang menjadi tumpuan utama umat Islam ini.

Masih utuh. Masjid di Bourke, New South Wales, dibina sejak kurun ke-19
Dari segi sejarah, penghijrahan umat Islam ke bumi Australia bermula seawal kurun ke-17 lagi dimulai oleh pedagang-pedagang Macassan dan Bugis dari Sulawesi, Indonesia yang berurusan dengan warga pribumi, Indigenous. Pada tahun 1860an pula, para pemandu unta dari Afghanistan pula dibawa masuk untuk menerokai kawasan gurun di tengah Australia. Salah satu keretapi menghubungkan Adelaide dan Darwin dinamakan The Ghans sempena nama mereka. Lain-lain kelompok Islam yang dibawa masuk adalah etnik Melayu di sekitar tahun 1870an sebagai penyelam mutiara, Muslim Albania dari tahun 1920 hingga 1930, warga Turki sekitar tahun 1980an dan ramai lagi.

Di Greater Dandenong, Victoria (di mana kami tinggal), difahamkan kini terdapat hampir 12,000 orang umat Islam, majoritinya berketurunan Turki, Afghanistan dan Sudan. Dan kebanyakannya tinggal di sekitar Dandenong Central dan North serta sebilangannya di Noble Park yang berjiranan dengan Dandenong North. Majoritinya amat teguh dalam beragama tanpa mengira mazhab yang diikuti walaupun umumnya masyarakat berketurunan Turki dengan Mazhab Hanafi lebih banyak mendominasi masjid-masjid.

Di sekitar Dandenong ini, terdapat kira-kira 6 buah masjid/ pusat islam, antaranya Masjid Emir Sultan di Dandenong North; berdekatan rumah kami, Masjid Dandenong di Dandenong South, Masjid Afghan di Doveton, United Islamic Centre di Noble Park, Masjid Springvale dan Al Furqan Islamic Centre di Springvale South. Setiap kali solat Jumaat dan Hari Raya, jemaahnya penuh, adakala melimpah hingga ke luar bangunan. Sesetengah masjid kini dalam proses pembinaan semula atau pembesaran, antaranya Masjid Emir Sultan yang sedang rancak dibina baru dan pada masa yang sama bertungkus lumus mencari dana pembangunan.

Majlis penerangan kesyumulan Islam
Menariknya kebanyakan bangunan masjid ini berasal dari gereja-gereja yang ketandusan “jemaah” dibeli oleh komuniti Muslim untuk dijadikan tempat ibadah umat Islam. Ianya hidup dan diamarahkan setiap kali solat waktu dan juga untuk pelbagai kegiatan keagamaan dan kemasyarakatan seperti kuliah agama, kelas pengajian untuk dewasa dan kanak-kanak serta sambutan perayaan.

Wanita bertudung dan berjubah di Dandenong adalah pemandangan yang terlalu lumrah, amat mudah ditemui. Situasi yang amat menyejukkan hati. Di negara asing yang lebih dominan dengan agama Kristian seperti Australia ini, lebih-lebih lagi di Dandenong, pemandangan seumpamanya bagaikan satu rahmat yang tiada tandingnya. Dalam erti kata lain, umat Islam bebas mengamalkan kepercayaan dan suruhan agama dalam kehidupan harian tanpa larangan, malah dihormati. Mereka diterima sebagai sebahagian daripada anggota masyarakat Dandenong.

Ini terbukti dengan penerimaan Senior Constable Maha Sukkar sebagai salah seorang anggota polis wanita di Dandenong Police, lengkap bertudung, dikatakan yang pertama di Australia. Malah seperti yang dimaklumkan dalam entri sebelum ini, Datuk Bandar Greater Dandenong sekarang juga seorang Muslim, Mayor Pinar Yesil.

Langkah-langkah pengembangan agama Islam berjalan lancar tetapi tidak sehebat penyebaran agama Kristian yang dijalankan oleh para “pendakyahnya” dari rumah ke rumah. Diakui, para mubaligh Islam tidak boleh malah tidak dibenarkan melakukan seumpamanya tetapi saluran intelektual seperti dialog antara agama, forum dan tauladan harian dipergunakan sebaik mungkin.

Dalam Islam, ketentuan hukum halal haram perlu dijaga, salah satunya dalam soal pemakanan. Di Dandenong, pusat jualan daging halal amat banyak, adakala sukar untuk dibuat pilihan. Marmara, Minaret, Satray, Al Ameen, Bahar, Al Nour, Noble Park Poultry dan SAV Halal Butchery adalah antara yang terkenal. Begitu juga kedai-kedai makanan siap seperti kebab, satay dan pizza juga banyak pilihannya. Tidak termasuk kedai-kedai perniagaan barangan biasa seperti kedai runcit, kedai elektrik, bengkel kenderaan, ejen perumahan dan lain-lain perusahaan yang diusahakan oleh orang Islam, kebanyakannya dari Turki, Afghanistan, Sudan dan Sri Lanka.

Begitulah sepintas lalu suasana Islam di Dandenong. Dengan komuniti Islam yang ramai, berdekatan dengan masjid, persekitaran yang harmoni dan sumber makanan halal mudah diperolehi, menjadi antara faktor utama kenapa Dandenong menjadi pilihan kami untuk tinggal.

Ditambah pula dengan kedudukan sekolah rendah dan menengah yang berdekatan, kedai Asian Groceries, pusat-pusat membeli belah, perpustakaan awam dan pelbagai kemudahan lagi menjadi faktor pelengkap dalam membuat pilihan. Tidak syak lagi pilihan kami dirasakan amat tepat sekali, lebih-lebih lagi bagi yang berkeluarga seperti kami.

Thursday, March 26, 2009

Dandenong Harmoni

Berjalan-jalan di sekitar Dandenong terasa begitu harmoni sekali. Di mana-mana sahaja mudah ditemui penduduknya yang pelbagai bangsa, keturunan, warna kulit dan agama. Lebih ceria lagi dengan pelbagai fesyen yang dipakai menggambarkan asal usul, budaya dan kepercayaan masing-masing. Kepelbagaian ini secara tidak langsung membentuk kemajmukan masyarakatnya. Malah dirasakan lebih majmuk daripada suasana di tanah air.

Semuanya ini tidak menghairankan kerana The City of Greater Dandenong yang berkeluasan kira-kira 130 km persegi dan terletak hampir 30 km ke tenggara Melbourne ini adalah salah satu kawasan Majlis Perbandaran Tempatan di Victoria yang menjadi tumpuan utama para pendatang dari luar Australia. Sebahagian besar daripadanya telahpun diiktiraf sebagai warga negara Australia.

Penduduk Greater Dandenong kini melebihi 126,000 orang, dengan lebih 55% daripadanya adalah kelahiran luar negara dari hampir 160 tempat yang berbeza, antaranya dari Turki, Afghanistan, Vietnam, China, India, Sri Lanka dan negara-negara Afrika. Sebahagian besarnya adalah pelarian perang seperti dari Afghanistan, Vietnam dan Sudan.

Cr Pinar Yesil, Datuk Bandar Greater Dandenong

Lokasi penempatan “penduduk luar” ini biasanya berkelompok setempat mengikut negara asal sehingga mampu membentuk bandar (town) mereka sendiri. Contohnya komuniti Vietnam lebih tertumpu di Springvale, bandarnya kini ibarat Vietnamese Town. Masyarakat Turki dan Afghanistan pula lebih ramai tertumpu di Dandenong Central dan North (di mana kami tinggal kini) serta di Noble Park.

Agama anutan utama penduduknya pula adalah Kristian (63%) dari lebih 17 aliran kepercayaan seperti Catholic, Anglican, Baptist dan Orthodox. Majoritinya dari kalangan penduduk tempatan sendiri. Penganut Buddha pula sekitar 15%, kebanyakannya berasal daripada China, Vietnam dan Cambodia.

Manakala agama Islam pula dianuti hampir 12,000 orang, terutama dari keturunan Turki, Afghanistan dan Sudan. Di Greater Dandenong ini sendiri, jika tak silap, terdapat 6 buah Masjid/ Pusat Islam kesemuanya, salah satunya Masjid Emir Sultan (Turkish) yang terletak kira-kira 700 meter dari rumah kami. Malah salah seorang dari 11 orang Ahli Majlis Perbandaran (councilor) yang dipilih melalui pilihanraya adalah seorang wanita Muslim berketurunan Turki, Pinar Yesil yang kini dilantik sebagai Datuk Bandar (Mayor) Greater Dandenong.

Kegiatan ekonomi di Bandar Dandenong umumnya sekitar 70% dikuasai oleh penduduk tempatan sendiri seperti di Dandenong Market mahupun Dandenong Plaza, juga kedai-kedai di sekitarnya. Selebihnya diusahakan oleh lain-lain bangsa dan keturunan seperti Turki, Afghanistan, China, India, Vietnam dan Sudan. Penyertaan penduduk luar ini bukan sahaja sebagai pengusaha tetapi ramai yang terlibat dalam sektor-sektor pekerjaan awam dan swasta, sebahagiannya menjawat jawatan tinggi.

Kepelbagaian budaya di Dandenong menjadi asset penting dan diperakui sendiri oleh pihak majlis. Sekurang-kurangnya tiga kawasan telah dijadikan pusat sehenti budaya iaitu Little India, Afghans Bazaar dan Turkish Corner, setiap satu mengenengahkan kebudayaan tersendiri berserta pusat-pusat jualan barangan tradisional.

Di sekolah rendah mahupun menengah serta pusat-pusat pengajiannya, bilangan pelajar selain berkulit putih kelihatan setara, bergaul rapat bagaikan saudara, saling berlumba mengejar jaya. Gelak ketawa bagaikan tiada sempadannya.

Sesekali keharmonian ini tergugat juga dengan lagak ganas sesetengah pendatang luar ini terutama dari kalangan anak-anak muda. Mungkin terbawa-bawa dengan sikap kasar akibat penderitaan di negara asal. Natijahnya boleh menimbulkan persengketaan dengan penduduk tempatan yang adakalanya berdarah panas.

Namun perpaduan dan kesatuan sentiasa diutamakan, sehinggakan pihak Majlis Perbandaran sendiri mempunyai Multicultural Unit, begitu juga dalam pasukan polis setempat, tidak terkecuali di sekolah-sekolah ada guru khusus untuknya.

Thursday, March 19, 2009

Multicultural Day

Di Australia, para penduduknya adalah majmuk; bercampur-campur asal-usul, keturunan dan agamanya. Sebahagian besar daripadanya telah diakui sebagai warga negara Australia.
Saban tahun ketika sambutan Australia Day (26 Januari), ribuan “pendatang” telah dianugerahkan sijil kerakyatan ini. Kesannya, secara tidak langsung membentuk kepelbagaian kebudayaan, kehidupan dan persekitaran. Dan tarikh 21 Mac setiap tahun pula telah diiktiraf sebagai Harmony Day sebagai perlambangan dan ingatan akan kesatuan dan perpaduan rakyat yang pelbagai ini.

Di Dandenong North Primary School (DNPS), sekolah Hanisah dan Solehah; para pelajarnya juga sama. Dianggarkan separuh daripadanya berasal daripada negara-negara selain Australia dengan majoritinya dari Afghanistan, Turki, China, Afrika dan India-Sri Lanka. Keharmoniannya jelas kelihatan dalam pergaulan para pelajar setiap hari yang juga turut sama dirasai oleh para ibu bapa. Inilah antara keunikan yang terserlah di sekolah ini.

Malah pihak sekolah sendiri telah menjadikan tema “Multicultural Australia” sebagai salah satu bidang pembelajaran para pelajar Grade 3 dan Grade 4 untuk Penggal I ini.
Sebagai penutupnya, pada hari ini (Khamis, 19/03/2009), “Multicultural Australia Day” telah dilangsungkan di dewan sekolah. Para pelajar dari kedua-dua gred diminta datang ke sekolah berpakaian kebangsaan/ tradisional atau warna bendera negara asal masing-masing. Makanan tradisional mereka juga turut dibawa untuk dikongsi bersama rakan sekelas.

Untuk acara pertunjukan di dewan yang bermula jam 11:45 pagi, para penjaga digalak hadir untuk menontonnya di samping memberikan sokongan moral pada anak-anak. Peluang yang tidak seharusnya dilepaskan.

Solehah yang kini di Grade 3 tidak terkecuali. Malangnya beliau malu untuk berpakaian baju kurung ataupun seumpamanya. Dipilihnya untuk berpakaian biasa dengan warna merah, putih dan biru serta bertudung kuning pinang masak, mewakili warna-warna bendera Malaysia. Terkilan juga di hati tapi tidak mengapalah. Itu pilihannya. Kueh yang dibawa pula adalah kueh bakar (Terima kasih Suraya tolong buatkan. Apa nak buat, ibunya sekarang kat Malaysia).

Di dalam dewan, kiri-kanannya dipenuhi oleh para pelajar dengan pakaian yang berbagai fesyen, gaya dan warna, diawasi guru-guru kelas yang kebanyakannya berpakaian santai Aussie. Turut serta para ibu bapa yang turut sama memeriahkannya.

Pelajar dari Malaysia dari Grade 3 dan 4 hanya ada 5 orang. Hanya Solehah seorang dari Grade 3, selebihnya dari Grade 4; Imran, Tarmizi, Raquib dan Azizahnya. Semuanya berpakaian biasa sahaja seperti Solehah kecuali Azizah, cantik berpakaian baju kurung. OKlah.. sekurang-kurangnya ada wakil dari Malaysia berpakaian kebangsaan.

Lain-lain pelajar, sebahagiannya berpakaian biasa dan sebahagian lagi menyerlah dengan pakaian tradisional/ kebangsaan dari pelbagai negara asal mereka. Dipercayai, kebanyakan mereka ini telahpun berstatus PR mahupun warga negara Australia, terutama dari Afghanistan, Turki dan India tetapi mereka masih mengekalkan budaya mereka terutama dalam berpakaian tradisional. Malah dalam kehidupan seharian pun mereka masih tetap memakainya. Kuatnya ikatan budaya mereka walaupun budaya sekitarnya amat kontra sekali.

Berbalik ke dewan. Setiap pelajar diminta berjalan memperagakan pakaian masing-masing dalam dua pusingan. Pusingan pertama, mengikut kelas dan pusingan kedua mengikut negara. Bagi yang berpakaian tradisional, mereka nampaknya begitu berbangga sekali lebih-lebih lagi ketika berjalan bersama rakan-rakan senegara.
Majlis diakhiri dengan tarian India dari para pelajar India yang lengkap berpakaian tradisional mereka.

Bagi para pelajar, guru-guru dan ibu bapa, sambutan Multicultural Australia Day ini bagaikan satu kaedah pembelajaran tidak langsung dalam mengenali susur budaya dan cara hidup masyarakat lain selain dari apa yang sedia diketahui.
Ada manafaatnya.

Monday, March 16, 2009

Jalan-jalan Ke Mornington Peninsula

Mornington Peninsula terletak di tenggara Melbourne dan ke selatan dari Dandenong. Ianya terkenal dengan pantai-pantai yang mengunjur cantik di sepanjang pesisirannya; di sebelah barat menghadap Port Philip Bay, selatannya menghala ke Bass Strait, di sebelah timurnya pula bersebelahan Western Port Bay yang melingkungi French Island dan Phillip Island.
Mornington Peninsula juga masyhur dengan pelbagai taman yang amat menarik, ladang buahan serta barangan antik yang amat tinggi nilai harganya.

Hujung minggu baru-baru ini (Sabtu, 14/03/2009), kami empat beranak (termasuk Izzuddin, Hanisah dan Solehah), bersama-sama keluarga Dr. Maimumah (Kak Mai) serta Dr. Ruziaton (Kak Ruzi) berkesempatan mengunjungi beberapa tempat menarik di Mornington Peninsula. Suami Kak Mai, Abang Aziz serta 5 anak lelakinya serta iparnya tiba hampir seminggu lalu, “sambil menyelam, sambil minum air”, datang mengunjungi Kak Mai sambil melancong.
Koleksi foto boleh diakses di ruangan Album Foto Kami (kiri web) atau klik di sini.

Kami bertolak dari rumah sekitar jam 09:30 pagi melalui Dandenong-Frankston Hwy dan Nepean Hwy menuju ke Mornington Information Centre. Dari rumah, cuacanya mendung dan langit cerah sahaja. Melepasi Frankston, hujan lebat mulai turun sehinggalah tiba di I-centre, hujan mulai renyai-renyai. I-centre sememangnya menjadi kunjungan utama kami setiap kali melancong ke sesuatu tempat, hentian pertama untuk mendapatkan maklumat dan pandangan dari petugas akan tempat menarik di sekitarnya.

Tyabb Packing House Antiques

Memandangkan hujan masih turun, tempat bertutup menjadi pilihan awal sebelum melangkah ke tempat yang lebih terbuka. Tumpuan pertama adalah Tyabb Packing House Antiques Complex yang terletak kira-kira 15km dari I-Centre melalui Mornington-Tyabb Rd. Menurut Kak Mai, barangan antik amat diminati oleh Abang Aziz.

Di bangunan yang besar ibarat gudang ini terdapat kira-kira 20 kedai pelbagai barangan antik, terletak bersebelahan antara satu sama lain. Hampir tiada sempadan antaranya, seolah-olah muzium yang padat barangan antiknya.
Menurut brosur, Packing House ini merupakan koleksi terbesar di Australia seumpamanya. Jam, kamera, perabut, pakaian, pinggan-mangkuk, buku, komik kartun, lukisan adalah antara yang dipamir dan terbuka untuk jualan. Harganya, wow… puluhan, ratusan dan ribuan Dollar adalah biasa. Itulah nilai barangan berstatus antik. Tidak menghairankan.

Rain, Hayne & Shine Farmyard

Menjelang tengahari, kami bertolak ke Rain, Hayne & Shine Farmyard di Balnarring. Ladang ternak ini dikenali dengan pelbagai haiwan jinak yang dibenarkan untuk disuakan makanan dengan tangan dan boleh dibelai serta didukung. Sesuatu yang menarik minat anak-anak Kak Mai. Setibanya di sana, hujan masih renyai-renyai turun dan hanya sebuah kereta pelawat sahaja kelihatan.

Turun sahaja dari kereta, kami semua terkejut disambut mesra dan manja oleh 2 ekor anjing, haiwan peliharaan yang paling digemari oleh Aussie. Kami didekati dan dihidu, sesuatu yang amat menakutkan terutama anak-anak. Akhirnya semuanya naik semula ke kereta, tidak jadi untuk masuk. Seluar aku sendiri pun terdapat kesan basah hidung binatang mughalazah tersebut. Kena samaklah jawabnya.

The Enchanted Maze Garden

Dari Farmyard, kami ke Arthurs Seat, mendaki bukit yang berliku dan curam jalannya menuju ke The Enchanted Maze Garden. Kami singgah seketika di Lookout untuk menghayati keindahan alam terbentang luas dari atas bukit menghadap Port Phillip Bay. Pemandangan menarik tetapi kurang jelas, kelam diliputi kabus tebal memutih.

Maze Garden yang luas, dikelilingi pepohonan rimbun yang diukir ibarat tembok tinggi berpintu gerbang kehijauan. Bayaran masuknya $45.00 untuk keluarga 2 anak. Tambahan anak $5.00 seorang.

Lokasi pertama yang dikunjungi adalah Hedge Maze. Berjalan dan berlari melalui setiap lorong berpetak-petak yang terletak di celah-celah pepohonan Conifer yang merimbun setinggi lebih 7 meter. Anak-anak begitu seronok sekali berlari-lari dan berkejaran ke sana-sini. Apa yang terjadi? Masing-masing sesat, termasuk yang dewasa tidak dapat mencari jalan keluar. Riuh rendah seketika dengan laungan “sana” dan “sini”. Akhirnya ketemu juga jalan keluarnya oleh anak-anak. Kami dipandu keluar dengan selamat.

Di samping Hedge Maze, terdapat juga Turf Maze, Children Maze, Blue Gum Gallery Maze dan paling menarik Maize Maze yang hanya dibuka ketika musim luruh sahaja. Oleh kerana kesuntukan masa, Maize Maze yang berbentuk dinosaur tidak sempat kami terokai. Begitu juga dengan Blue Gum Gallery Maze.
Di setiap maze yang dilawati, anak-anaklah paling seronok berlari ke sana-sini. Berbeza dengan yang dewasa, berjalan sambil menghayati keindahan dan keunikannya. Adakala singgah bergambar berlatar belakangkan pepohonan dan bungaan yang mekar berkembang.

Taman-taman di sekitarnya begitu menarik sekali dengan pelbagai konsep dan ukirannya yang tersendiri, antaranya Weeping Cherry, Bosquet, Grey, Platter, Conifer, Fairy, Cottage, Pottage, Japanese dan Parterre. Di hujung taman yang mencuram pula terdapat empangan kecil yang tenang airnya.

Bersebelahan taman pula terdapat beberapa permainan menguji kepintaran berbentuk puzzle menggunakan barangan rutin seperti tayar, tali dan bongkah kayu dan batu. Reban binatang ternakan kecil juga terdapat berdekatannya, dengan biri-biri, kambing, ayam dan itik mendiaminya, ditaja oleh Rain, Hayne & Shine Farmyard. Tidak disangka pula, tidak dapat masuk ke Farmyard di Balnaring tetapi bertemu di sini. Haiwan jinak yang boleh ditepuk dan dibelai. Peluang yang tidak dilepaskan oleh anak-anak Kak Mai terutama si bongsu, Azhar.

Rosebud Beach
Keluar dari Maze Garden, kami terus ke Rosebud Beach, bersebelahan Yatch Club untuk makan tengah hari dan solat Zohor. Anak-anak pula tiada apa yang diidamkan selain masuk ke air teluk yang cetek airnya. Selepas makan dan solat sahaja, masing-masing berkejaran turun. Anak-anak Kak Mai paling teruja dengan air laut. Dengan hanya berseluar pendek tanpa baju, mereka terjun ke air. Iddin pun turut sama, dituruti oleh Hanisah dan Solehah yang hanya bermain di gigi air tetapi tetap basah lecun pakaiannya.

Begitulah anak-anak apabila bertemu air, tidak kira laut mahupun kolam. Sememangnya telah dijangka dan persalinan juga telah dibawa. Sejuknya tidak dihiraukan sehingga menggeletar tubuh dibuatnya. Tambahan pula hujan renyai-renyai sesekali masih turun berserta tiupan angin pantai.
Kami bertolak pulang sekitar jam 04:45 petang melalui Moorooduc Hwy dan Dandenong-Frankston Hwy dan tiba di rumah kira-kira jam 05:30 petang. Anak-anak di kereta tidur kepenatan.

Thursday, March 12, 2009

Dandenong High School

Inilah sekolah menengah Izzuddin, Dandenong High School. Lokasinya hanya bersebelahan dengan sekolah rendah, Dandenong North Primary School (DNPS), sekolah lamanya pada tahun lepas.

DHS adalah antara sekolah kerajaan yang terbesar di Melbourne, dengan moto Faber Quisque Fortunae (Setiap Insan Adalah Pembentuk Nasibnya Sendiri) mula beroperasi pada tahun 1919. Para pelajarnya adalah dari Year 7 sehinggalah Year 12.

Mulai dari awal tahun 2007, melalui Victoria Schools Plan, DHS telah digabungkan dengan dua lagi sekolah menengah di Dandenong iaitu Cleeland Secondary School (CSS), terletak bersebelahannya; dan Doveton Secondary College (DSC), lokasinya terpisah jauh; membentuk sekolah baru dengan mengekalkan nama Dandenong High School.

Pada akhir tahun 2008, kampus DSC dengan rasminya ditutup. Manakala kampus CSS masih dikekalkan kerana tapaknya telah digabungkan ke dalam DHS yang baru.

Bangunan sekolah baru ini sedang dalam proses pembinaan dengan tumpuan utama kini di tapak DHS. Tujuh buah Student Learning Centre (SLS) yang mampu memuatkan 300 pelajar sedang dibina secara berperingkat-peringkat mengikut fasa. Setiap SLC ini menempatkan kelas-kelas utama berserta tenaga pengajar mengikut rumah masing-masing (terdapat 7 rumah semuanya).

SLC 1 telahpun siap dan dua minggu lepas, ibu bapa telah dijemput mengikuti lawatan singkat ke sana. Bangunan 2 tingkatnya berkonsepkan Open Learning System dengan hanya terdapat beberapa kelas sahaja, selebihnya ruangan terbuka serba guna seolah-olah berada dalam persekitaran rumah dan taman. Begitu juga dengan SLC yang lain.
Suasana yang amat berbeza dari yang pernah ditemui di sekolah-sekolah mahupun di pusat-pusat pengajian tinggi. Adakala terasa ianya seakan hanya indah di khayalan, sukar untuk dilaksanakan. Namun ianya bukan suatu yang mustahil. Malah ianya lebih mesra alam dan menjimatkan kos operasi dengan penggunaan tenaga solar, air takungan, pengudaraan dan pencahayaan semulajadi serta lampu kesan pengerakan. Begitu juga dengan pembentukan lamannya.

Pembangunan kesemua SLC ini dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun 2009 ini. Manakala bangunan Performing Arts, Auditorium dan Physical Education Centre serta kompleks sukan akan dibina menggantikan kampus CSS sekarang. Seterusnya pembinaan semula Library Resource Centre, Laboratories, ICT Building, Administration Building dan Science and Food Technology Centre akan dilaksanakan dalam fasa selepasnya. Keseluruhan projek dijangka siap sepenuhnya di pertengahan tahun 2011. Ia dijangka akan menampung seramai 2100 pelajar, 200 tenaga pengajar dan 40 bukan tenaga pengajar.

Mengikuti perkembangan pembangunan sekolah membuatkan hati kita turut teruja, apatah lagi dengan idea pembangunan dan pembelajarannya yang kreatif dan tersendiri. Projek pembangunan semula yang menelan belanja $40 juta ini diharapkan dapat memberi pengalaman dan suasana pembelajaran yang menyeronokkan, sekaligus membentuk kecemerlangan para pelajarnya.

Amat diharapkan ianya dapat sama dirasai dan dialami oleh Izzuddin dan adiknya, Hanisah yang akan menjejakkan kaki ke alam persekolahan menengahnya mulai tahun hadapan. Sesuatu yang baik sewajarya diikuti dan dikagumi, manakala yang sebaliknya, harus pandai mengelaknya tanpa mengugat proses pembelajaran yang telah dirangka.

Monday, March 9, 2009

Izzuddin - Renang di Sekolah

Muhammad Izzuddin (Iddin), anak sulung kami kini telahpun menjejakkan kaki ke alam sekolah menengah, Year 7 di Dandenong High School (DHS). Lokasinya bersebelahan Dandenong North Primary School (DNPS), sekolah lamanya dahulu, juga sekolah Hanisah dan Solehah sekarang.

Iddin dengan reben pencapaian dalam renang
Di DHS ini, para pelajarnya dibahagikan mengikut rumah masing-masing, bukan sahaja untuk tujuan sukan tetapi ibarat keluarga dalam sekolah. Setiap rumah mempunyai kawasannya tersendiri, tempat tumpuan setiap ahli rumah setiap hari. Terdapat 7 buah rumah semuanya, dinamakan sempena nama flora dengan warnanya tersendiri; iaitu Darwinia, Banksia, Eucalyptus, Callistemon, Hakea, Fern dan Gravellia. Callistemon adalah rumah Iddin.

Hampir tiga minggu yang lepas (19/02/2008), sekolah Iddin telah menganjurkan temasya Sukan Renang Peringkat Sekolah bertempat di Noble Park Swimming Pool. Penyertaan para pelajar amat menggalakkan dengan masing-masing berpakaian mewakili warna rumah mereka. Kain rentang setiap rumah pula bergantungan menceriakan lagi persekitaran. Ditambah pula dengan semangat rumah semakin memeriahkan lagi temasya sukan air yang dilangsungkan. Di samping acara renang, terdapat juga acara sampingan lain, antaranya polo air dan bola tampar turut sama dipertandingkan.

Untuk acara renang, beberapa kategori telah ditetapkan antaranya gaya bebas, kuak belakang, kuak dada, kupu-kupu dan juga medley. Iddin tidak ketinggalan menyertai salah satu daripada kategorinya iaitu kuak dada, satu acara lonjakan dada dan kuakan kaki yang memerlukan stamina yang lebih. Menariknya Iddin mempunyai nama jolokan (nickname) Spiderman. Puncanya baju renang yang dipakai mempunyai karektor Spiderman di bahagian hadapannya. Ada baiknya agar mudah dikenali.

Iddin sememangnya mempunyai semangat dan komitmen yang tinggi dalam apa yang dilakukan. Dengan saingan sengit dari peserta lain, Iddin berjaya merangkul tempat kedua, sekaligus dapat menyumbangkan mata untuk Callistemon. Secara keseluruhan tempat pertama diungguli oleh Darwinia, diikuti oleh Banksia dan Eucalyptus. Callistemon di tempat ke-4.

Satu permulaan yang baik untuk Iddin untuk menyerlah dan dikagumi dalam kelompok rumah yang diwakili. Semoga Iddin sentiasa mampu melakukan yang terbaik, termasuk juga dalam pengajian; demi masa hadapan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Good Luck.

Sunday, March 8, 2009

Gempa Bumi Melanda Melbourne

Gempa bumi, suatu bencana alam yang amat menggerunkan. Rumah dan bangunan boleh runtuh, bumi boleh merekah dan lebih menakutkan lagi banyak nyawa boleh melayang. Begitulah senario yang mungkin berlaku kiranya dilanda gempa bumi yang kuat. Tidak hairanlah, sedikit gegaran gempa pun boleh menyebabkan ramai yang panik. Dibimbangi ada kesinambungan yang lebih kuat berlaku. Tambahan pula tragedi kebakaran besar, Black Saturday yang berlaku sebulan lalu masih lagi segar di ingatan. Apakah akan ada bencana lain pula yang akan melanda?
Itulah yang dirasai dan ditakuti oleh penduduk Melbourne dan sekitarnya pada hari Jumaat malam Sabtu, 2 hari yang lepas (06/03/2009). Gegaran dengan 4.6 skala Richter yang berlaku dalam lingkungan jam 09:00 malam itu dikatakan yang terkuat sejak 36 tahun lalu berlaku di Melbourne. Malah diberitakan di Korumburra, South Gippsland, sebanyak 5 gegaran dikesan di sebelah pagi Sabtunya, yang terkuat pada jam 03:00 pagi.
Ianya turut dirasai oleh kami di Dandenong. Ketika kejadian, kami berempat beranak sedang menjamu pizza di meja kecil di tengah ruang tamu, meraikan ulang tahun kelahiran Hanisah. Hampir jam 09:00 malam, tiba-tiba terasa rumah bergegar dari arah hadapan rumah, bagaikan dilanda sesuatu yang kuat. Dinding dan atap pun turut bergegar.
Gelak tawa anak-anak tiba-tiba terhenti dek terperanjat. Ianya berlanjutan kira-kira 10 saat. Amat menghairankan. Ingatkan angin berpusar yang melanda tapi tiada langsung kedengaran angin bertiup sebelum dan selepasnya.
Terpinga-pinga kami tanpa diketahui puncanya. Keesokan harinya baru diketahui, rupa-rupanya gempa bumi yang melanda. Terkedu kami seketika. Buat pertama kalinya kami merasai bagaimana gegaran gempa bumi.
AlhamduliLlah, tiada sebarang perkara buruk berlaku. Ya Allah, hindari dan selamatkanlah kami sekeluarga dari segala mara bahaya dan bencana. Ameen.
Menurut pakar Geosains Australia, gempa seumpamanya adalah normal disebabkan oleh kitaran seismik (seismic cycle). Puncanya dari pergerakan dan tekanan terhadap lapisan dalaman Indian Australian plate di mana benua Australia terletak, biasanya berlaku setiap 2 hingga 3 tahun sekali dengan gegaran kecil sahaja.
Gempa bumi yang terbesar direkodkan di Australia melanda Meeberrie, Western Australia pada tahun 1941 dengan bacaan 7.1 skala Richter.

Sambutan Hari Lahir dan Perpisahan

Petang semalam, Sabtu (07/03/2009), rakan-rakan Dandenong dan Noble Park berkumpul di rumah Lajiman-Suraya untuk sama-sama meraikan sambutan trio-hari lahir; Ashraf Lajiman, Hanisah Ropidi dan Ikram Badrul. Pada masa yang sama meraikan keluarga Nazar-Norhayati yang akan berangkat pulang ke tanah air pada sebelah malamnya.

Hanisah, Ashraf dan Ikram sedang memotong kek
Sambutan yang sederhana tetapi mewah dengan hidangan juadah yang pelbagai. Untuk anak-anak bertiga, 2 kek disediakan. Itulah yang menjadi rebutan utama terutama kanak-kanak apabila tiba saat dipotong. Juadah lain tidak kurang sedapnya. Lontong, nasi impit, mee kari, nasi goreng, kek pisang, honey joy dan macam-macam lagi.

Majlis bermula dengan ucapan ringkas bagi menerangkan tujuan majlis. Harapan kami pada anak-anak semua terutama yang meraikan ulang tahun kelahiran agar menjadi anak-anak yang soleh dan solehah yang berjasa kepada ibu bapa di kemudian hari. Wajah-wajah nan ceria ketika kanak-kanak, moga dipanjangkan usia, berterusan ceria sehingga dewasa dan berjaya dalam kehidupan di dunia, terlebih lagi di akhirat. Ameen.

Sebahagian tetamu yang hadir
Diikuti ucapan perpisahan dari Nazar mewakili keluarganya. Masing-masing mengharapkan agar perpisahan ini hanya sekadar jauh di mata namun sentiasa dekat di hati. Kemesraan tautan hati yang tersemai selama ini amat diimpikan agar berlanjutan selamanya dengan saling berhubungan sesama sendiri. Dengan keupayaan prasarana teknologi maklumat dan komunikasi serta kehidupan berinternet, segalanya amat memudahkan.

Apabila dapat berkumpul seumpamanya, terserlah rona wajah penuh kepuasan tidak kira tua mahupun muda, ibu bapa terlebih lagi anak-anak. Sekelompok di sana, sekelompok di sini. Kemudian berubah tempat dengan kelompok lain pula. Suasana yang penuh ceria dan mesra, seronok dapat bersua muka, bertanyakan khabar berita sambil menjamah juadah demi juadah yang menyelarakan. Anak-anak pun sama, dengan kelompok mereka masing-masing samada di luar rumah mahupun mengadap permainan komputer dan televisyen di ruang tamu.
Foto berkaitan boleh diakses di ruangan Album Foto Kami (kiri web) atau klik di sini.

Yasmin, Suraya, Norhayati dan Farhana bergambar sebelum berpisah
Menjelang Maghrib, sebahagiannya beredar pulang ke rumah. Manakala sebahagian lagi menunggu sehingga selepas solat Maghrib untuk melambaikan tangan perpisahan untuk keluarga Nazar.
Urusan pendaftaran masuk di lapangan terbang berjalan lancar, berkebetulan masih belum ramai yang berbaris. Turut menghantar, keluarga Lajiman dan juga Yasmin bersama ibu dan anaknya.
Melewati jam 10:30 malam, masing-masing berpelukan, penuh kesayuan. Begitulah lumrahnya apabila tiba saat berpisah. Insya Allah bertemu lagi di lain ketika.

Friday, March 6, 2009

Happy Birthday Hanisah

Hanisah dengan kad ucapan pilihan sendiri, Hannah Montana, bersama Izzuddin dan Solehah
Hari ini (06/03/2009), genap usia Nur Hanisah, anak kedua kami 11 tahun. Happy Birthday Hanisah. Sambutan ulang tahun kelahirannya diadakan secara ringkas di sebelah malamnya. Tiada ibu di sisi. Juga tiada adik bongsu, Imran bersama. Mereka sekarang di Malaysia.
Walaupun mereka jauh di tanah air, ucapan selamat tidak dilupakan. Malam sebelumnya, melalui komunikasi internet (Skype), ibu dan Imran menyanyikan lagu Happy Birthday, khusus untuk Hanisah. Begitulah sebagai tanda kasih sayang seorang ibu dan juga sesama adik beradik.

Selepas solat Maghrib, berkumpul kami empat beranak; Izzuddin, Hanisah, Solehah serta ayah. Kami bersama-sama menyanyikan lagu Happy Birthday, penuh kegembiraan dengan diselang-seli gelak ketawa dan cerita-cerita yang melucukan.

Tiada lilin untuk ditiup dan tiada kek untuk dipotong, namun keceriaan masih terserlah. Sebagai gantinya, Paradise Pizza menjadi santapan kami sekeluarga. Sesuatu yang telah dipersetujui bersama, pizza menjadi pilihan kerana semua orang menyukainya berbanding kek yang tidak pernah habis dimakan.

Petang esok, Insya Allah sambutan Hari Lahir Ashraf, anak Lajiman-Suraya akan diadakan di rumah mereka. Sambutan Hari Lahir untuk Hanisah turut sama diraikan. Dikelilingi rakan-rakan sebaya dan kenalan, suasananya pasti lebih meriah lagi.

Thursday, March 5, 2009

Hujan Rahmat Di Awal Musim Luruh

Cuaca beberapa hari ini mendung dengan hujan kerap turun terutama di sebelah malam. Suhunya pula antara 14 - 20 darjah Celcius. Sejuk terasa sehingga ke tulang dan kaki pun terasa kebas-kebas. Hari-hari berikutnya pun diramalkan kekal dengan hujan masih berlarutan turun dengan suhu maksimum di bawah 25 darjah Celcius. Seolah-olah menggambarkan inilah permulaan musim luruh yang bermula di bulan Mac ini.
Anggota CFA (Country Fire Authority) merai kedatangan hujan rahmat
Satu suasana yang amat menggembirakan setelah berminggu-minggu semua orang berada dalam trauma akibat tragedi kebakaran dahsyat (inferno), dikenali Black Saturday yang melanda Victoria pada 07hb Februari lalu. Tambahan pula telah sekian lama bumi tidak ditimpa hujan. Saban hari hanyalah panas kering yang membimbangkan.
Ianya diterima penuh kesyukuran terutama oleh para penyelamat yang terpaksa bertungkus-lumus dan sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga setiap masa akibat kebakaran hutan (bushfire) di sesetengah tempat masih lagi berlarutan. Terlebih lagi para penduduk di kawasan-kawasan berkenaan. Sehingga kini seramai 210 orang telah disahkan terkorban dan 37 orang lagi dilaporkan hilang.
Kini keadaan di Yarra Valley di utara Melbourne, terutama di Warburton dan Healesville di mana lebih 86,000 hektar kawasan terbakar, dikatakan keadaannya terkawal sepenuhnya. Tiga lagi kawasan berisiko tinggi iaitu berhampiran Eildon, Bunyip dan Wilson Promontory di Gippsland dipercayai masih lagi terbakar tetapi mempunyai harapan padam sepenuhnya kiranya hujan turun seperti yang diramalkan.
Malah pada hari Isnin baru-baru ini (02/03/2009), semua pengguna telefon bimbit dan emel jabatan mendapat kejutan, mesej amaran dari Polis Victoria (VicPolice),
Extreme weather in Vic expected Mon night & Tues. High wind & fire risk.
Listen to Local ABC Radio for emergency updates.
AlhamduliLlah tiada apa yang berlaku walaupun angin yang bertiup agak kencang, dilaporkan sekitar 120km/jam. Sebaliknya hujan yang dikirimkan Allah untuk meredakan suasana. Begitulah ketentuan dariNya.
Turunnya hujan turut sama menyegarkan persekitaran, sekaligus dinikmati sama oleh pepohonan dan haiwan yang telah sekian lama ketandusan air. Itulah rahmat dari Allah. Apakah kita sebagai hambaNya masih mahu mendustai keagunganNya? SubhanaLlah. Moga kita semua terpelihara dari segala musibah. Ameen.

Tuesday, March 3, 2009

Buah-buahan Di Belakang Rumah

Di sekeliling rumah kami, terutama di laman belakang rumah, di samping tanaman sayuran, terdapat juga beberapa pokok buah-buahan. Buah “kuning” (tidak diketahui namanya), buah plum, buah tiin dan juga buah lemon. Kesemuanya berbuah secara bermusim, tidak sepanjang tahun. Biasanya ketika musim bunga (September - November) dan juga di penghujung musim panas (Februari) atau awal musim luruh (Mac).

Buah-buahan ini (kecuali lemon) amat disukai burung. Ketika masak kami terpaksa berebut dengan burung-burung, siapa dahulu dia dapat. Anak-anak dan orang rumah pula tidak menyukainya, kenalah aku memakannya atau bahagi-bahagikan kepada rakan-rakan lain yang menyukainya.

Buah kuning ini tidak diketahui namanya. Pokoknya merimbun dengan daun berbentuk bujur tirus. Tempoh berbunga dan berbuahnya sekejap sahaja, hanya sebulan dua menjelang akhir musim bunga.
Buahnya berbentuk bulat kecil seakan buah kundang, bergugusan pada satu-satu tangkai dengan bulu-bulu halus membalutinya. Masaknya berwarna kuning, manis rasanya. Selepas masak, jika tidak dipetik, sekejap sahaja dah pun kering di tangkainya. Bijinya pula berwarna coklat dan licin.

Ini adalah buah tiin yang biasa dibeli oleh para jemaah haji/umrah ketika pulang dari Mekah tetapi dalam bentuk kering. Ia juga dikenali sebagai buah fig.
Inilah rupanya ketika masih segar. Pokoknya besar tetapi renek sahaja. Daunnya seakan daun pokok ketapang tetapi agak kesat dan berbulu halus. Awal berbunga ketika musim panas (Disember - Februari), berputik sebulan dua sebelum masak di penghujung musim panas dan di awal musim luruh. Ketika masak, kulitnya menguning dan merekah di bahagian bawah. Isinya berbentuk pulpa dengan biji-biji kecil kehitaman. Rasanya manis sekali. Sekarang ini sedang rancak masaknya tetapi tidak serentak, ada masa untuk makan sepuas-puasnya.

Ini pula adalah buah plum. Pokoknya tidak tinggi tetapi merimbun daunnya. Ketika masak ianya berwarna merah pekat dan rasanya pahit sedikit. Buahnya kecil sahaja, tidak seperti buah plum yang biasa didapati di pasaraya.
Pokok seumpamanya juga terdapat di hadapan rumah kami tetapi buahnya lebih kecil, dari jenis yang berbeza. Jangkamasa berbunga dan berbuah lebih panjang sedikit daripada “buah kuning” di atas. Berbunga ketika musim bunga dan berbuah ketika awal musim panas.
Buah lemon terletak bersebelahan pokok tiin. Bolehlah dikatakan berbuah sepanjang tahun tetapi hanya lebat ketika musim panas. Rasanya masam dan tidak ramai yang menyukainya walaupun untuk dibuat air minuman. Apa yang dilakukan, kami gunakan untuk membasuh pinggan-mangkuk dan periuk-belanga dengan memerahkannya ke dalam cecair pencuci.

Lain-lain buah seperti anggur, nectarine, peach, apricot, peach, tembikai, ceri dan strawberi (sekadar beberapa nama) berbuah mengikut musimnya tersendiri. Maaf, yang ni tiada kat rumah kami. Kiranya teringin, pergi sahaja ke Dandenong Market, bermacam pilihan boleh dicari. Lebih-lebih lagi ketika kemuncak musim ianya berbuah, dijual lelong sahaja.

Sunday, March 1, 2009

Berkebun Sayur

Pokok labu berbunga kuning melata di tanah

Di belakang rumah kami, di hujung laman, terdapat tanah kebun sekangkang kera. Bolehlah ditanam serba sedikit tanaman sayur. Sengang masa yang ada di waktu petang dan di hujung minggu biasanya digunakan oleh orang rumah, Laili untuk menanam dan membelai setiap tanaman yang ada.

Sebenarnya kami langsung tak berpengalaman dan berpengetahuan dalam hal berkebun sayur ni. Apatah lagi dengan keadaan cuaca yang tidak menentu dan mempunyai 4 musim ini. Ketika di Malaysia tidak pernah diambil tahu kecuali di zaman sekolah rendah dahulu. Lebih-lebih lagi aku, setakat menyiram bolehlah tapi untuk menjaganya tidak reti. Terkadang tidak pasti samada ianya rumpai yang menumpang ataupun sayuran yang ditanam, dek tak kenal apa pokoknya...8)

Capsicum (kiri) dan terung (kanan) segar di dalam pasu

Apa yang dilakukan belajar dari pemerhatian. Tanah kebun kami, bermasalah sedikit. Tanahnya agak keras dengan akar-akar pokok berselirat di bawah lapisan tanah. Kenalah ditaburkan dengan tanah gembur lain (potting mix) yang dibeli di kedai. Sebahagian sayuran elok sahaja membesar di atas tanah seperti kesom dan labu, manakala sebahagian lagi seakan tidak bermaya, kenalah dipindahkan ke pasu, antaranya cili, terung, capsicum dan tomato. AlhamduliLlah hidup segar ia.
Begitu juga dedahan terus kepada cahaya matahari. Sesetengah sayuran mampu bertahan tetapi sesetengahnya perlu diletakkan di tempat yang teduh. Capsicum dan salad antara yang menjadi layu (melayu) di bawah panahan matahari tetapi tidak bagi cili. Yang penting proses fotosintesis mampu dilakukan dengan baik.

Tomato dan cili lebat berbuah
Di kebun kami (jika boleh dipanggil kebun), terdapat beberapa jenis sayuran yang ditanam. Terung, timun, tomato, cili, capsicum, kesum, pudina, daun bawang, serai, labu dan salad adalah antara sayurannya. Ada yang hidup segar dan berbuah tapi ada yang seakan hidup segan mati tak mahu. AlhamduliLlah, hampir semua sayuran telahpun dapat dirasai hasilnya. Cuma pokok labu sahaja, menjalar ke sana sini dengan kuntuman bunga kuning bersilih ganti, akan tetapi putik buah tidak pernah keluar. Agaknya pokok jantan.
Di Victoria, air adalah antara masalah utama sehingga dikenakan kawalan dalam penggunaannya termasuk untuk tujuan menyiram. Penggunaan air lebihan (grey water) seperti air basuhan pakaian dan mandian amat disarankan. Itulah yang kami lakukan.

Tomato dan timun, sebahagian dari hasil kebun
Ketika panas melampau baru-baru ini, suhu melebihi 40 darjah Celcius, hampir semua pokok menghadapi masalah kekeringan termasuk sayuran di tanah yang terdedah terus kepada cahaya matahari. Pokok kesom antara yang paling teruk. Dedaunannya terbakar kering. Kini baru kelihatan tunas baru keluar. Pokok cili pun serupa, buahnya pula terbakar. Pokok lain hanya sedikit sahaja menerima kesan terbakar, sekadar beberapa helai daun sahaja. Kini masing-masing dalam proses pemulihan.

Ketika Laili tiada untuk tempoh 3 bulan ini, kenalah aku berikan lebih perhatian pada sayuran ini. Sesekali ada rakan yang datang menjenguk, menolong setakat terdaya. Diharapkan dengan cuaca musim luruh yang lebih segar ini, sayuran ini akan turut segar.