Monday, January 28, 2008

Tetamu Dari Adelaide - Kak Ros

Hujung minggu baru-baru ini kami menerima tetamu yang tidak disangka-sangka, Kak Rosita (Kak Ros) dan anaknya, Anugerah @ Aurrolni (Ron). Mereka datang ke Melbourne kerana mengunjungi keluarga Najeeb dan Luqman di Thomastown.

Keluarga Kak Ros dan Bapak Uka mula dikenali sewaktu Laili mengikuti sub-speciality course di Adelaide pada akhir tahun lepas. Mereka berasal dari Indonesia dan kini telah berstatus warganegara Australia. Mereka dah lebih 20 tahun tinggal di bumi kangaroo ini sejak Pak Uka ditugaskan menguruskan kerja-kerja pemasangan kereta nasional Australia, Holden.

Pada petang Jumaat sewaktu kami berkunjung ke rumah Dr. Mariana di Clayton, Laili menerima panggilan telefon dari Kak Ros dan meminta datang menjemputnya di Thomastown. Tambahan pula dikatakan kawannya ada rumah untuk disewa. Din dan Gee yang turut serta ke rumah Dr. Mariana dan sedang mencari-cari rumah sewa di sana nampaknya berminat dan bersama-sama mereka ke sana.

Mereka tiba di rumah kami agak lewat, kira-kira jam 11:30 malam. Mereka sempat menjamu selera tetapi ala kadar sahaja, sop tulang dan roti. Kak Ros cepat mesra orangnya. Katanya, rasa bagaikan mimpi dapat berjumpa kami sekeluarga setelah agak lama berpisah. Pelbagai topik dan perkara yang diperbualkan, kebanyakannya berkisar tentang corak hidup di Melbourne dan Adelaide yang amat jauh bezanya. Menurut Kak Ros, orang Melbourne agak kasar dan persekitarannya agak menyesakkan berbanding di Adelaide yang agak peramah dan sopan orangnya dengan suasananya yang agak tenang. Memang diakui kerana kami sendiri pernah mengalaminya.

Dalam rancak berbual tidak disedari waktu dah pun melewati jam 01:00 pagi. Walaupun masih banyak perkara yang nak dibualkan tetapi masa tidak mengizinkan kerana pagi esok mereka perlu bangun awal untuk menaiki bas pulang ke Adelaide.

Pagi Sabtu, selepas sarapan pagi, kira-kira jam 06:30 pagi, kami menghantar mereka ke stesyen bas di Spencer St di tengah-tengah Melbourne City. Kami sendiri sebenarnya agak asing dengan jalan-jalan di City, sekadar berpandukan kepada Melway (peta jalan). Perjalanan kami lancar dengan jalan yang agak lenggang kerana hari hari cuti, memudahkan kami menyusurinya tanpa bimbang tersalah memilih laluan (lane). AlhamduliLlah kami tiba kira-kira jam 07:10 pagi, 20 minit sebelum bas dijadualkan bertolak.

Terima kasih Kak Ros dan Ron kerana sudi datang. Sampaikan salam untuk Pak Uka. Insya Allah ketemu lagi kita di lain ketika.

Monday, January 21, 2008

Majlis Perpisahan Untuk Keluarga Aznan

Para tamu bergambar kenang-kenangan bersama keluarga Aznan


“Nan, bila nak balik ke Malaysia”

“Belum tentu lagi, tunggu tarikh Viva dulu baru tahu bila”


Begitulah jawapan dari Aznan. Begitulah juga nadanya jika ditanyakan pada Su. Malah telah berkali-kali soalan seumpamanya diterima hampir setiap hari, mungkin naik jelak Aznan dan Su dibuatnya…8). Apa nak buat, masing-masing prihatin dan terasa sayu untuk berpisah dengan mereka yang amat baik kepada semua. Bagi keluarga kami, Aznanlah orang pertama yang kami hubungi sebelum datang ke Melbourne setelah mendapat namanya dari En. Fuad MSD walaupun kami langsung tidak mengenalinya. Beliau jugalah yang menjemput kami di lapangan terbang bersama-sama Khairuddin serta menguruskan tempat tinggal sementara di rumah Khairuddin.

Kami sekeluarga bergambar bersama Aznan sekeluarga
Kami, warga Dandenong telah lama merancang untuk mengadakan majlis perpisahan tersebut khusus untuk komuniti Dandenong walaupun beberapa majlis seumpamanya telah kerap kali diadakan oleh komuniti pelajar Malaysia lain. Setelah mendapat tahu tarikh penerbangan pulangnya, kami telah mengadakan perbincangan mengenainya pada minggu lepas di rumah Abang Nordin dan petang Sabtu (19/01/2008) menjadi kenyataan.

Ramalan cuaca beberapa hari lalu meramalkan hari tersebut agak panas dengan suhu sekitar 31 darjah Celcius. Jadi masanya telah diubah dari jam 02:00 petang kepada 05:00 petang. Akan tetapi pada hari berkenaan cuacanya agak membimbangkan. Dari pagi kelihatan mendung sahaja dan menjelang petang hujan turun renyai-renyai. AlhamduliLlah, ianya tidak berlarutan dan majlis dapat dilangsungkan dengan selesa, tambahan pula suhunya tidak berapa panas.

Persediaan majlis telah dilakukan sejak hari sebelumnya lagi. Seekor biri-biri (lamb) dipotong lamb chop ditempah oleh Lajiman-Mohd Noor-Rasydan di Marmara Halal Meat. Isi ayam untuk sate diuruskan oleh Laili dan petangnya dipotong oleh Azura sebelum diperap dengan rempah sate. Suharti pula menyediakan ikan bakar bersalut tempoyak. Pagi Sabtu, mereka berkumpul di rumah Lajiman untuk menguruskan perapan lamb chop dan mencucuk sate serta memasak kari.

Menjelang jam 05:00 petang, meja juadah mulai dipenuhi pelbagai makanan yang amat menyelerakan seperti kari biri-biri, roti panjang, nasi himpit, nasi goreng, rojak buah, karipap, puding jagung, agar-agar, buah-buahan dan pelbagai lagi. Warga Dandenong serta para jemputan mulai memenuhi ruang belakang rumah Lajiman. Antara jemputannya adalah keluarga Badrul, Khaizuran, Naza, Kak Aida, Shaharuddin, jiran Lajiman Muslim Turki, Dr. Nahar dan Kak Yati Nordin serta Dr. Ali MSD. Tak terkecuali jemputan istimewa, Sdr Aznan dan Su sekeluarga.

Pada masa yang sama BBQ lamb chop dan sate serta ikan bakar mula berasap mengeluarkan aroma yang menarik selera sehinggakan setiap kali diletakkan ke dalam talam terus berpindah masuk ke pinggan. Menariknya anak-anak perempuan pun tidak ketinggalan membantu membakarnya.

Anak-anak lelaki dengan agendanya tersendiri, berkejar ke padang sekolah yang terletak tak jauh dari rumah Lajiman untuk bermain kriket. Ibu bapa dan para jemputan kelihatan begitu santai dan seronok sekali sambil menjamu selera. Suara bualan sesekali diiringi gelak tawa kedengaran di sana-sini. Anak-anak kecil berlari mengejar bola dan ada yang jatuh tertiarap tapi bangun kembali.

Kemeriahannya amat terasa sehingga tidak sedar masa bergerak amat pantas sekali. Di akhir majlis, Sdr Aznan dan Su telah dijemput untuk menyampaikan sepatah dua kata salam perpisahan dan amanat untuk rakan-rakan di Dandenong - moga hubungan sesama warga Malaysia dapat terus diperkukuhkan dengan perjumpaan dan pertemuan yang kerap. Insya Allah ianya akan diusahakan. Sebelum beredar, sesi bergambar bersama hadirin telah diadakan sebagai kenang-kenangan.

Terima kasih Aznan dan Su sekeluarga. Terima kasih semua warga Dandenong. Terima kasih pada semua yang hadir. Jumpa lagi.

Seminggu Sibuk & Din-Gee Di Rumah Kami

Sepanjang minggu ini kami sekeluarga agak sibuk. Setiap hari bersilih ganti terasa begitu cepat sekali, sedar-sedar dah hujung minggu. Malam yang sedia pendek terasa lebih singkat masanya kerana tidur pun agak lewat, biasanya melewati jam 12:00 malam. Bukan sahaja kami yang tidur lewat tetapi anak-anak juga sehingga perlu dipaksa untuk tidur. Semuanya kerana seronok menerima tetamu bermalam di rumah kami.

Dah hampir seminggu kenalan lama semasa di MIMOS Berhad, Shaharuddin (Din) dan orang rumahnya, Azizah (Gee) – juga ex-MIMOS berserta 4 orang anak perempuan mereka berada di rumah kami sejak mereka tiba pada 14hb. lalu. Din telah 2 tahun bertukar kerja sebagai pensyarah di USIM (Uni Sains Islam Malaysia, sebelum ini dikenali KUIM). Mereka datang ke Melbourne kerana Din melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD di La Trobe University yang terletak di Kingsbury, kira-kira 40 km daripada rumah kami.

Kami menjemput mereka di Melbourne Airport pada pagi Isnin,14hb tersebut bersama-sama dengan Abang Nordin yang memandu Toyota Taragonya khusus untuk mengangkut beg-beg dan kotak-kotak yang dibawa (Terima kasih Abg Nordin). Hari tersebut mereka tak ke mana-mana, hanya berehat di rumah, melepaskan lelah dan penat dalam penerbangan. Anak-anak nampaknya agak pemalu, sekadar pandang memandang sahaja, namun petangnya masing-masing dah bermain bersama. Begitulah tingkah anak-anak cepat mesra walaupun tidak pernah bersua.

Hari-hari seterusnya agak sibuk bergerak ke sana-sini membantu Din dan Gee menguruskan urusan mereka. Hari Selasa ke Commonwealth Bank untuk membuka akaun dan mendaftar talian telefon bimbit dan wireless internet di kedai telefon di Monash Uni. Kebetulan hari tersebut adalah hari terakhir tawaran separuh harga untuk wireless internet.

Hari Rabu kami ke Kingsbury kerana ada temujanji pemeriksaan rumah dengan realestate agent. Kesempatan yang ada, kami meninjau beberapa buah rumah yang diiklankan untuk disewa yang diperolehi melalui internet dan juga brosur dari Barry Plant, salah satu agen hartanah. Sempat kami singgah mengambil kereta Mitsubishi Nimbus kami yang siap dibaiki di Derby St dan singgah di rumah Ustaz Razak di Regent Rd, Preston untuk solat Zohor dan Asar (Terima kasih Ustaz Razak dan isteri, Gee).

Hari Khamis, kami, kedua-dua keluarga ke Kingsbury lagi untuk pemeriksaan rumah dan juga ke La Trobe Uni untuk mendaftar dengan dibantu oleh Nizam, pensyarah USIM yang telah setahun di La Trobe. Kami sempat singgah di rumah pasangan anak dua, Azizi dan Fadzlina, pensyarah UiTM dan rumah Hamdan dan Fariza (kedua-duanya orang Terengganu), juga pensyarah UiTM yang baru tiba kira-kira sebulan lalu bersama-sama 4 orang anaknya. Menurut Nizam, di sekitar La Trobe terdapat hampir 10 keluarga - tak sangka begitu ramai tapi rakan-rakan di surburb lain tak mengetahuinya. Insya Allah selepas ini kami akan sentiasa berhubungan.

Hari Jumaat kami berkunjung ke rumah Aznan dan Su di Suzanne St yang akan pulang ke Malaysia pada 02/02/2008 sambil membantu mengangkat barang-barang yang hendak dihantar pulang ke tanah air. Hari Sabtu, Din dan Gee ke Kingsbury kerana ada pemeriksaan rumah. Manakala kami di Dandenong sibuk menguruskan majlis perpisahan untuk keluarga Aznan yang diadakan pada petangnya di rumah Lajiman.

Hari Ahad, kami berkumpul di rumah Aznan membantu sekadar termampu membersihkan rumah dan persekitarannya bersama rakan-rakan dari Clayton dan Dandenong. Rumah perlu dikosongkan dan lantainya perlu dimop (jika tiada carpet) atau divacuum (jika sebaliknya). Sawang perlu dibuang dan tingkap perlu dilap bersih. Rumput perlu dipotong pendek, begitu juga pokok-pokok di sekitar rumah perlu ditrim dengan kemas. Yang terakhir adalah garaj yang menjadi tempat simpanan barangan juga perlu dikosong dan dikemaskan. Itulah prosedurnya sebelum menyerahkan kunci rumah kepada agen.

Tengaharinya kami menjemput semuanya ke rumah kami untuk makan tengahari dan petangnya selepas menyambung kerja di rumah Aznan dijamu dengan bubur kacang. Begitulah, jika saling membantu, kerja yang berat pun terasa ringan dan kerja yang banyak pun terasa sedikit. Barangan yang sedia ditempah dan tiada penempahnya tapi masih elok diangkut pulang ke rumah, bukan sahaja untuk kami tetapi juga untuk keluarga Din-Gee yang sedang mencari rumah sewa.

Saturday, January 12, 2008

Minum Petang Keluarga Dandenong - 03

Keluarga Dandenong bertemu lagi. Petang ini (kira-kira jam 06:00) kami berkumpul di rumah Abg Nordin dan Kak Siti yang terletak di persimpangan Cleeland Street dan Oswald Street, kira-kira 700 m sahaja dari rumah kami. Keluarga Wafir tidak dapat datang kerana meraikan abang dan kakak ipar mereka yang datang dari Malaysia. Perjumpaan kali ini turut disertai oleh Badrul dan isteri dari Noble Park, bersebelahan Dandenong.

Perjumpaan kami dimulai dengan perbincangan persiapan untuk mengadakan majlis perpisahan untuk keluarga Aznan yang akan pulang ke tanah air pada 01hb. Februari nanti. Hasil perbincangan, telah ditetapkan majlis berkenaan akan diadakan pada hari Sabtu minggu hadapan (19/01/2008) mulai jam 02:00 petang bertempat di rumah Lajiman di Bedwell Avenue. Menu utamanya adalah BBQ Lamb (Biri-biri), Sosej dan Sate Ayam. Menu sampingan seperti nasi goreng, karipap dan lain-lain juadah turut disediakan sumbangan peribadi keluarga yang berminat. Beberapa keluarga Malaysia yang tinggal berdekatan Insya Allah akan turut sama dijemput, antaranya keluarga Kak Fatimah dan keluarga Kak Aida yang telah lama tinggal di sekitar Dandenong ini serta kenalan dari Noble Park dan Ringwood.

Seterusnya kami menjamu selera sambil beramah mesra. Kumpulan bapa bersila simpuh di ruang tamu termasuk Aznan yang djemput selepas tamat perbincangan. Kumpulan ibu pula mengelilingi meja makan di dapur. Anak-anak pula ada yang sedang bermain di laman rumah atau bermain playstation di bilik. Hidangannya amat istimewa, antaranya roti cecah stew, meehoon goreng, kueh mueh dan buah-buahan. Di dapur kedengaran suara anak-anak dan ibu-ibu menyanyi girang lagu Happy Birthday untuk Awaddah (anak Abg Nordin) dan Suraya (isteri Lajiman) dan anaknya, Syakirah.

Riuh rendah kedengaran suara anak-anak menjerit dan ketawa di sana sini. Sesekali kedengaran juga gelak ketawa di kalangan ibu dan bapa apabila timbul sesuatu yang melucukan. Pelbagai isu semasa dibualkan terutama isu-isu menarik di tanah air. Kemesraan yang sedia terjalin lebih terasa apabila sesekali dapat berkumpul seperti ini terutama anak-anak. Tanpa disedari masa berjalan begitu cepat, sedar-sedar mentari petang telah terbenam menandakan telahpun melewati waktu Maghrib (kira-kira jam 09:00).

Terima kasih Abg Nordin dan Kak Siti. Terima kasih kepada semua. Insya Allah kita berjumpa lagi di minggu hadapan.

Friday, January 11, 2008

Kelebihan Muharram

Muharram adalah bulan pertama dalam Taqwim Islam (Hijrah). Muharram asasnya bermaksud 'diharamkan' atau 'dipantang', yakni terdapat larangan Allah SWT pada melakukan peperangan mahupun pertumpahan darah. Akan tetapi larangan ini akhirnya dimansuhkan olehNya melalui ayat 91 dari Surah Al-Baqarah. Sejak itu, umat Islam bebas melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa ikatan.

Imam Salih dalam khutbah Jumaatnya di Masjid Emir Sultan, Dandenong hari ini menyentuh akan bulan Muharram ini. Bulan ini telah dinamakan sebagai bulan Allah oleh RasuluLlah SAW. Sesungguhnya baginda SAW tidak menyandarkan Allah SWT kepada sesuatu melainkan kemuliaan dan kelebihannya berbanding yang lain sebagaimana dinamakan Baitullah yang merujuk kepada Kaabah.

Dari Abu Hurairah r.a., bersabda RasuluLlah SAW, mafhumnya :

“Seutama-utama puasa selepas Ramadhan adalah puasa dalam bulan Allah al-Muharram, dan seutama-utama solat selepas solat yang wajib ialah solat malam”

Keutamaan berpuasa di bulan Muharram amat ditekankan oleh RasuluLlah SAW sehingga meletakkannya selepas kewajiban puasa di bulan Ramadhan. Akan tetapi dari segi hari, kita sedia maklum puasa enam hari di bulan Syawal dan puasa hari Arafah lebih diutamakan.

Seterusnya Imam Salih menyentuh tentang Hari Asyura iaitu tanggal 10 Muharram. Sebelum disyariatkan kewajiban berpuasa di bulan Ramadhan, RasuluLlah SAW telah menyeru umatnya berpuasa pada hari Asyura setelah didapati orang Yahudi melakukannya atas dasar hari kemenangan Nabi Musa AS dan pengikutnya ke atas Firaun. Setelah diwahyukan kewajiban berpuasa Ramadhan, maka berpuasa pada hari Asyura adalah sunat yang amat digalakkan.

RasuluLlah SAW bersabda, mafhumnya :

“Dan puasa hari ‘Asyura, aku mengharapkan agar Allah menghapuskan dosa setahun sebelumnya” (HR Muslim)

Dengan keutamaan pada bulan Muharram ini, umat Islam amat digalakkan agar berusaha mempertingkatkan amalan dengan harapan mendapat keredhaan Allah SWT semata-mata. Semoga ganjaran yang dijanjikan akan menjadi milik kita sebagai bekalan dalam perjalanan menemui Allah SWT. Amiin.

Banyak peristiwa penting yang berlaku dirujukkan kepada tanggal 10 Muharram ini, antaranya :-

>> Allah SWT menciptakan alam
>> Allah SWT menurunkan rahmat
>> Allah SWT menjadikan 'Arasy
>> Allah menjadikan Luh Mahfuz
>> Allah menjadikan Malaikat Jibril
>> Nabi Adam bertaubat kepada Allah SWT
>> Nabi Idris diangkat ke langit
>> Nabi Nuh diselamatkan dari banjir besar
>> Nabi Ibrahim diselamatkan dari pembakaran Raja Namrud
>> Nabi Musa menerima kitab Taurat daripada Allah SWT
>> Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara
>> Nabi Yaakob dipulihkan penglihatannya oleh Allah SWT
>> Nabi Ayub disembuhkan dari penyakit kulit yang “menjijikkan” manusia
>> Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus
>> Nabi Musa dan pengikutnya terselamat dari Firaun dan tenteranya
>> Nabi Daud diampuni Allah SWT akan kesalahannya
>> Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar
>> Nabi Isa diangkatkan ke langit

Wednesday, January 9, 2008

Salam Maal Hijrah 1429 H

Segala puji-pujian kepada Allah SWT. Selawat dan salam untuk RasuluLlah SAW dan keluarga serta para sahabatnya.

Terbenamnya mentari di ufuk barat pada tanggal 30 Zulhijjah, bermakna berlalu sudah tahun 1428 Hijrah. Kini menjengah pula tahun baru 1429 Hijrah.

Marilah kita merenungi setiap langkah dan tingkah kita sepanjang tahun lepas. Apakah kita benar-benar melaksanakan kewajipan kita sebagai hamba Allah atau sebaliknya? Apakah kita benar-benar menjadikan RasuluLlah SAW sebagai contoh ikutan kita atau sebaliknya? Apakah kita benar-benar maklumi apakah larangan Allah dan apakah pula suruhanNya?

Marilah kita tanamkan azam dan tekad untuk berhijrah kepada kehidupan yang lebih bersyariat sesuai dengan tuntutan Allah dan juga janji kita kepadaNya. Islam adalah agama yang syumul dan sewajarnya dihayati sepenuhnya. Moga hari ini lebih baik daripada semalam dan esok hari terlebih baik daripada hari ini. Begitulah seterusnya.

Ya Allah, permudahkanlah segala urusan kami, ampunilah kami dan tuntunlah kami agar sentiasa berada di landasan yang diredhai olehMu.

Ya Allah, Hindarilah kami daripada segala kemungkaran dan daripada mereka yang mengajak kearah kejahatan. Amin… Amin…. Amin… Ya Rabbal’alamin.

Salam Maal Hijrah untuk semua.

Sunday, January 6, 2008

Tetamu Dari Malaysia - 05

Wan (duduk tengah) bersama Radin dan Bahiah di sebelah kanannya serta Laili dan anak-anak

“Wan tak tahu ke mana dia orang bawa, Wan ikut aja". "Tak sangka sampai ke sini pula”

Itulah bicara ibu kepada Bahiah, mertua Radin yang datang bertamu ke rumah kami petang semalam. Beliau datang bersama Radin dan Bahiah tanpa Lukman dan Imran yang ditinggalkan di rumah kerana kurang sihat. Beliau lebih suka membahasakan dirinya Wan dan amat mudah mesra dengan sesiapa yang ditemuinya hatta kanak-kanak sekalipun. Itulah kelebihan seorang yang berusia seperti Wan yang telah mempunyai 21 orang cucu.

Kami mula mengenali Wan ketika berkunjung ke rumah Anang di Wellington Road pada hari raya Eid Adha lalu. Selepas itu sekali lagi di rumah Khairuddin-Azliza di Steward Road pada hujung minggu lepas. Dah hampir sebulan Wan berada di sini dan dijadualkan akan pulang ke Malaysia sehari dua lagi. Katanya, “Pucuk ubi banyak yang tak dipetik, semak samun dah meninggi tak ditebas” dengan loghat nogorinya.

Wan bersama Hanisah, Solehah dan Imran
Setiap kali bersua, Wan yang amat peramah sering menyuarakan kerisauannya atas jemputan makan di merata tempat sehingga berat badannya dah naik 10 kg. Lauk-pauk yang dihidangkan amat menyelerakan terutama daging dan ayam. Wan dinasihatkan agar kurangkan makan lauk seumpamanya dan lebihkan makan sayur.
Maka, hidangan kami semalam sedikit berlainan; ikan goreng, ikan asam pedas berserta sayur campur. Sop tulang pun ada, khusus untuk anak-anak dan jika ada yang tak makan ikan. Amat berselera sekali Wan makan tak terkecuali sop daging turut diratah tanpa menghiraukan rungutannya sebelum ini. Sempat kami bergurau, “Tak apalah Wan, balik Malaysia nanti bolehlah turunkan berat badan”.

Kira-kira sejam mereka berada di rumah kami sebelum memohon diri untuk pulang kerana ada urusan keluarga yang perlu disegerakan. Mengikut kata Wan, Insya Allah beliau akan datang lagi ke Melbourne pada masa akan datang. Terima kasih Wan kerana sudi datang dan Insya Allah ketemu lagi di lain ketika, jika tidak di sini, mungkin di Tampin, Negeri Sembilan.

Saturday, January 5, 2008

Harga Minyak Naik Lagi...

Dilaporkan harga minyak mentah di pasaran dunia telah melonjak tinggi, buat pertama kali mencecah USD 100 setong pada hari Rabu, sekaligus harga petrol dan diesel juga naik mendadak. Penangan kenaikan harga “timah hitam” ini bukan sahaja dirasai di Australia tetapi di seluruh dunia. Difahamkan, puncanya adalah kekurangan stok ekoran keganasan di Nigeria, pengeluar minyak terbesar di Afrika serta pergolakan politik di Pakistan selepas pembunuhan Benazir Bhutto beberapa hari lalu.

Di Australia, harga minyak (petrol dan diesel) berubah setiap hari (mulai tengahari sehingga tengahari berikutnya) mengikut harga pasaran minyak mentah dunia, tiada penetapan harga seperti di Malaysia. Malah harganya berbeza antara satu stesyen minyak dengan satu stesyen minyak lain walaupun di atas jenama (brand) yang sama seperti BP, Shell, Caltex, United dll dan di satu kawasan yang sama. Dengan kata lain, setiap stesyen minyak saling bersaing antara satu sama lain dalam menetapkan harga dengan pelbagai strategi pemasaran yang tersendiri.

Dalam seminggu akan ada satu hari di mana harganya paling rendah dan ianya menjadi tumpuan utama pemandu kenderaan untuk mengisi minyak. Mengikut trend sekarang, waktu termurah adalah mulai tengahari Selasa sehingga tengahari keesokan harinya. Selepas itu harga akan naik sedikit demi sedikit sehingga mencecah harga tertinggi pada hujung minggu sebelum turun kembali pada hari Isnin. Untuk mengenalpasti stesyen terdekat yang menjual minyak termurah, kita boleh dapatkan melalui internet yang disertakan sekali alamat dan peta lokasinya.

Stesyen minyak berjenama utama seperti Shell dan Caltex menawarkan potongan harga 4 sen bagi setiap liter yang dibeli dengan syarat menunjukkan docket yang terdapat pada slip pembelian AUD 30.00 ke atas di pasaraya tertentu. Docket ini boleh digunakan dalam masa sebulan dari tarikh pembelian. Tambahan potongan harga 2 sen atau 4 sen diberikan lagi kiranya membuat pembelian sekurang-kurangnya AUD 5.00 di kedai stesyen minyak yang menawarkannya. Bagi kami, stesyen minyak seumpamanyalah yang menjadi pilihan dan diisi seminggu sekali ketika harga yang termurah. Docket ini selalu kami perolehi kerana setiap minggu sekurang-kurangnya sekali kami berbelanja barangan keperluan harian di pasaraya-pasaraya tersebut seperti Coles dan Safeway.

Setiap stesyen minyak akan memaparkan harga harian dalam kiraan sen di papan harga gergasi yang terletak di hadapan premis mereka. Terserah kepada pembeli untuk membuat pilihan. Purata harga minyak harian sebelum ini adalah sekitar 136 sen seliter (@ AUD 1.36). Pada waktu harga termurah ianya boleh merudum sehingga 117 sen seliter dan harga termahal melonjak sehingga 148 sen seliter. Dengan kenaikan harga minyak mentah dunia ini, NRMA Motoring and Services menjangkakan harganya akan melewati 150 sen seliter dalam masa seminggu. Kemungkinan ini ada asasnya kerana sehari dua ini harga minyak agak tinggi sehingga mencecah purata 146 sen seliter.

Inilah yang menjadi trauma pengguna kenderaan di Australia (juga di Victoria) kerana majoriti kenderaan persendirian yang digunakan adalah kereta berbanding motorsikal yang agak susah untuk ditemui. Cara yang paling murah adalah berjalan kaki atau menaiki basikal bagi yang tempat kerjanya berdekatan. Bagi yang tempat kerjanya agak jauh, car pool atau menaiki keretapi/ tram mungkin menjadi pilihan. Untuk lebih jimat, kurangkan perjalanan di luar, tambahan pula sekarang musim panas di mana adakala suhunya melebihi 40 darjah Celcius.

Masyarakat Australia juga agak demanding, apatah lagi selepas kemenangan besar Parti Buruh pimpinan PM Kevin Rudd baru-baru ini yang dilabelkan lebih “penyayang”. Kesan kenaikan minyak ini memungkinkan permintaan pekerja untuk mendapatkan elaun yang lebih dari kerajaan. Justeru itu telah kedengaran gesaan kepada syarikat-syarikat pembekal minyak agar dapat menyerap segala kos kenaikan tersebut dengan mengekalkan trend harga sekarang apatah lagi mereka dikatakan telah mengaut keuntungan besar sebelum Krismas dahulu.

Tunggu dan lihat sahajalah apakah perkembangan seterusnya ataupun tunggu sahaja harga minyak mentah kembali menjunam jatuh.

Thursday, January 3, 2008

Anak-anak Bermain Kriket

Semalam cuacanya agak baik, tak berapa panas, hujan pun tak turun dan angin pula sepoi-sepoi bahasa, amat sesuai untuk kegiatan luar. Dan inilah yang ditunggu-tunggu oleh Iddin lebih-lebih lagi bagi mengisi masa di waktu cuti sekolah yang panjang ini.
Sejak 2,3 hari lepas, setelah mendapat khabar cuaca hari ini cerah dengan suhu sekitar 25 darjah Celcius, tanpa lengah mohon kebenaran untuk keluar bermain kriket. Maka persetujuan bersama diambil dengan rakan-rakan Malaysia untuk berjumpa di padang sekolah mereka (Dandenong North Primary School) jam 09:00 pagi. Kebenaran ibu bapa mereka perlu diperolehi terlebih dahulu. AlhamduliLlah semuanya tiada masalah kecuali Ashraf, anak Lajiman yang telah ada rancangan awal untuk ke pantai bersama keluarganya.

Yang terawal sampai adalah anak-anak Wafir, Mad dan kakaknya, Izzati yang dihantar oleh ibunya. Diikuti oleh Iddin bersama-sama Faiz, anak Aznan dan Najwan, anak Abg Nordin yang sedikit terlewat bangun tidur. Seterusnya turut sama disertai oleh anak-anak Mohd Noor, Amir dan Mizi menjadikan 7 orang semuanya sebelum Ika, anak Aznan turut datang sejam selepas mereka mula bermain. Masing-masing membawa bekal air botol untuk menyegarkan tekak ketika dahaga. Biskut dan kueh-mueh dihantar oleh Abg Nordin dan Su Aznan untuk mengalas perut bagi yang belum sempat makan di rumah.

Riuh-rendah padang sekolah dengan jeritan dan gelak ketawa mereka apabila wicket jatuh terkena bola, mengejar bola yang dipukul jauh dan tak sempat ditangkap dengan pelbagai lagak dan gaya, adakala melucukan mereka. Betapa seronoknya mereka bermain, berlari ke sana sini, melempar dan mengejar bola tanpa henti, mengubah posisi bersilih ganti tanpa menyedari masa berlalu begitu cepat sekali. Janji berhenti jam 11:00 pagi berlanjutan hingga melewati jam 12:00 tengahari.

Mereka berhenti setelah terasa kepenatan dan perut pula mula berkeroncong. Berarak mereka berjalan ke rumah Aznan sebagai tempat berkumpul melepaskan lelah sambil merancang untuk bermain lagi petang nanti. Begitu bersemangat sekali mereka, apatah lagi inilah peluang untuk bersama tak sepatutnya dilepaskan begitu sahaja. Kata sepakat diambil dengan kebenaran ibu bapa masing-masing untuk bermain lagi petangnya selepas waktu solat Asar di padang Oasis, di seberang jalan rumah kami di Heatherton Road.

Petangnya, hampir jam 06:30 petang mereka berjumpa di padang bersama set kriket. Najwan tak datang, menurut Faiz, tak dapat kebenaran ibunya tapi Ashraf turut serta setelah dimaklumkan oleh Iddin akan permainan yang dirancangkan itu. Yang lain-lain semuanya datang. Suara jerit pekik dan ketawa seronok mereka bergema di tengah padang. Akan tetapi mereka main tak lama, kira-kira jam 07:30 petang mereka dah berhenti, mungkin dah ada janji dengan ibu bapa mereka untuk pulang ke rumah sebelum jam 08:00 petang.
Mungkin akan ada lagi rancangan mereka selepas ini. Tunggu sahajalah.

Wednesday, January 2, 2008

Fenomena Musim Panas

Cuaca hari ini agak baik, panas dengan suhu sekitar 30 darjah Celcius. Semalam agak panas sehingga mencapai suhu 42 darjah Celcius. Begitu juga kelmarin. Beberapa hari sebelumnya pun panas dengan suhu antara 35 – 40 darjah Celcius. Ketika panas, bahangnya amat terasa lebih-lebih lagi apabila berada di luar. Malah di dalam rumah pun amat terasa dengan hawa panas yang terpengap sehingga mencapai suhu 33 darjah Celcius. Tidur malam pun berkipas. Selama ini kami hanya menggunakan kipas untuk mendapatkan suasana yang lebih selesa tetapi sehari dua ini terpaksa hidupkan air cond.

Dengan cuaca seumpamanya, biasanya dinasihatkan kegiatan luar perlu dikurangkan terutama di kalangan kanak-kanak. Berkebetulan sekarang cuti sekolah, jadi anak-anak lebih banyak masanya di rumah. Kelas Tae Kwon Do yang diikuti oleh Iddin pun terpaksa dibatalkan dengan pesan oleh Master, di lain ketika jika suhunya menjangkau 40 darjah Celcius, secara automatik kelasnya batal. Akan tetapi melalui siaran televisyen, lain pula ceritanya, pantai-pantai dikunjungi ramai termasuk kanak-kanak untuk berjemur dan mandi-manda seolah-olah satu pesta pula.

Begitulah suasana di musim panas, sesuai dengan musimnya. Akan tetapi adakala cuacanya boleh berubah secara tiba-tiba dari panas kepada sejuk. Hujan turun sepanjang hari, adakala agak lebat selama beberapa hari dengan suhu sekitar 15 darjah Celcius sedangkan musim panasnya dah hampir sebulan. Itulah yang kami alami pada minggu lepas sewaktu ke Great Ocean Road.

Tidak menghairankan, malah sedia dimaklumi dengan cuaca yang tidak menentu sehingga dikatakan “4 musim dalam satu hari”. Ini kerana adakala boleh ditemui sejuk terasa sehingga ke tulang di sebelah pagi, berpeluh panas di tengahari, tiba-tiba hujan turun di sebelah petang dan nyaman suhunya di sebelah malam. Pernah disarankan oleh kawan, jangan lupa bawa sweater atau wind-breaker walaupun nampak cuaca cerah dan panas di sebelah paginya.

Waktu siang di musim panas ini lebih panjang dari waktu malamnya, hampir 15 jam berbanding malamnya kira-kira 9 jam sahaja. Matahari keluar kira-kira jam 06:00 pagi dan terbenam kira-kira jam 08:30 petang. Waktu Zohor agak panjang, sekitar 4 jam bermula kira-kira jam 01:15 petang sehingga jam 05:30 petang. Begitu juga waktu Asarnya sekitar 3 jam. Waktu Maghribnya hanya 2 jam sehingga jam 10:30 malam. Menunggu waktu Isyak yang agak lewat, adakala kecundang dahulu terutama anak-anak, selepas solat Maghrib sahaja dah mencari bantal.

Pepohonan masih menghijau daunnya, begitu juga rerumput masih menghijau dan memanjang setiap hari. Tetapi adakala rumputnya seolah-olah dah nak mati, warna kekuningan jelas kelihatan terutama di laman rumah dan di padang-padang yang luas terbentang. Ianya berlaku kira-kira sebulan lepas setelah panas terik sejak beberapa minggu sebelumnya, ingatkan berterusan sehingga tiba musim gugur (autumn) tetapi datang hujan ia kembali menghijau. Bunga-bungaan pun masih banyak yang berkembang tetapi tidaklah semeriah musim bunga (spring).

Di musim panas ini, masing-masing kelihatan berpakaian seakan-akan tak cukup kain terutama ketika santai seperti ke pasar, shopping complex dll. Yang lelaki ramai memakai seluar pendek dengan baju T dan ada juga hanya singlet sahaja. Yang wanitanya pula dengan skirt atau hanya memakai seluar pendek dan ada berbaju tanpa lengan. Adakala malu mata melihat suasana seumpamanya di merata tempat. Apa nak buat, ini negara orang dengan majoriti non-muslim, sedangkan kat Malaysia sendiri pun apa kurangnya tetapi mungkin lebih terkawal tambahan pula mereka yang berpakaian sopan masih ramai.

Kepada yang minat melancung, musim ini adalah disarankan untuk berjalan dan berkunjung ke tempat-tempat yang menarik. Umumnya cuacanya agak baik sepanjang hari dengan hujan yang jarang-jarang turun dikatakan boleh melancarkan segala perancangan. Tambahan pula waktu siangnya yang panjang, dan bagi Muslim pula waktu Zohor pun agak panjang, sempat pulang ke rumah untuk solat terutama ketika berjalan-jalan di kawasan yang berdekatan.

Begitulah secara ringkas fenomena musim panas di Melbourne sekarang.

Tuesday, January 1, 2008

Selamat Tahun Baru 2008


Selamat datang 2008. Moga azam dan tekad baru bakal membuahkan kejayaan dan kebahagian hidup di dunia dan akhirat. Jua, moga tahun ini lebih baik daripada tahun lalu.

Selamat tinggal 2007. Yang tinggal hanyalah kenangan dan sejarah kehidupan yang pasti takkan kembali lagi. Renungilah apa yang telah berlaku sebagai panduan untuk melangkah di sepanjang jalan 2008 yang belum pasti likunya.

Ya Allah, golongkanlah kami di kalangan mereka yang mendapat keredhaanMu dan hindarkanlah kami daripada mereka yang dimurkai olehMu. Ameen.