Wednesday, April 25, 2012

Catatan Madinah : Ziarah

Lazimnya terdapat 2 bentuk ziarah dilakukan - ziarah dalaman dan ziarah luaran. Bagi pakej umrah dan ziarah, selalunya diatur oleh syarikat pengendali.

ZIARAH DALAMAN

Ziarah Dalaman lebih tertumpu kepada Masjid Nabawi dan juga kawasan sekitarnya.

Masjid Nabawi

"Kunjungan ke Masjid Nabawi boleh dilakukan sendiri oleh para jemaah. Datanglah awal untuk bermunajat di Raudhah, salah satu taman syurga yang amat mustajab doa. Seterusnya ziarahi maqam RasuluLlah SAW dan 2 sahabatnya yang mulia; Abu Bakar asSiddiq dan Umar alKhattab. Usah lupa memberi salam kepada RasuluLlah SAW dan para sahabat". Itulah pesan kenalan yang pernah menjejakkan kaki ke Masjid Nabawi.

Bersebelahannya pula adalah ruangan Suffah, mihrab-mihrab yang masyhur, maqam Jibril dan lain-lain tempat yang menarik. Ada ketikanya kami berjalan-jalan di dalam Masjid Nabawi dan juga mengelilingi masjid sambil melihat dan merenung keagungan sejarah Islam di zaman RasuluLlah SAW dan selepas kewafatan baginda.

Dari luar masjid, akan kelihatan kubah hijau bersebelahan menara di bahagian hadapan masjid. Itulah penanda kedudukan maqam RasuluLlah SAW. Bagi jemaah wanita, ziarah di dalam masjid sehingga Raudhah sahaja, tidak termasuk maqam.

Anak-anak teringin sekali melihat payung-payung terbuka dan tertutup. Waktunya ketika syuruk dan sebelum matahari tenggelam. Kata Imran yang meminati pelbagai spesis haiwan,"Macam praying mantis (mentadak)".

Keindahan persekitaran masjid ketika waktu dinihari dan malam hari amat cantik dan mempesonakan. 10 menara pencakar langitnya bergemerlapan sinarnya, dilatari simbahan cahaya masjid dan persekitarannya. Suasana aman dan tenang mendamaikan jiwa.

Perkuburan al-Baqi'e

Di sebelah kiri masjid adalah Perkuburan al-Baqi'e yang dilingkungi tembok. Di sinilah bersemadinya kira-kira 10,000 orang ahli keluarga RasuluLlah SAW dan para sahabat r/ahm.

Di suatu petang kami menyusuri tepi tembok dengan harapan terdapat ruang untuk melihat persekitaran dalamannya. AlhamduliLlah terdapat tembok berpagar, jelas kelihatan batu-batu nesan kecil di merata-rata sudut. Amat simple sekali tanpa batasan kubur seperti di Malaysia. Demikianlah yang disarankan oleh RasuluLlah SAW.

Sekitar Masjid Nabawi

Di sekeliling Masjid Nabawi kini giat dibangunkan hotel-hotel penginapan baru berserta ruang niaga di bawahnya. Satu langkah tersusun oleh kerajaan Arab Saudi bagi menampung kehadiran jemaah yang semakin meningkat setiap tahun.

Ramai juga yang membeli belah di sekitar Madinah. Sempat juga kami menjenguk beberapa kedai di sekitarnya terutama di laluan Bin Dawood. Tumpuan utama kami adalah kedai buku dan cenderamata.

Ketemu juga akhirnya buku The Sealed Nectar (Ar-Raheequl Makhtum) versi bergambar keluaran Dar-us-Salam. Buku ini memenangi Hadiah Utama pertandingan Biography of The Prophet SAW yang dianjurkan oleh The Muslim World League. Banyak terjemahannya dalam pelbagai bahasa tetapi buku ini dirasakan lebih mudah untuk difahami.

ZIARAH LUARAN

Pada hari ke-3, bersama ahli rombongan Al-Fajr Travel, kami dibawa menziarahi beberapa tempat di sekitar Madinah dengan diketuai oleh Ustaz Abdullah dan Ustaz Hasan. Penerangan berkonsepkan kuliah agama yang disampaikan amat menarik hati.

Masjid Quba'

Inilah masjid pertama yang dibina oleh RasuluLlah SAW setibanya di Madinah ketika berhijrah dari Mekah. RasuluLlah SAW sering menziarahi masjid ini untuk bersolat, biasanya pada hari Sabtu.

RasuluLlah SAW bersabda,"Barangsiapa yang bersuci di rumahnya, kemudian mendatangi Masjid Quba' lalu solat di sana, maka baginya pahala umrah" (Riwayat Ibn Majah)

Itulah yang kami lakukan - solat sunat tahiyatul masjid dan solat sunat dhuha.

Masjid dengan 4 menara di atasnya dibina dengan dataran tengahnya terbuka (ditutup ketika panas dan hujan).

Kebun Kurma

Singgahan seterusnya adalah Kebun Kurma Al-Barokah dan pusat jualannya. Kedainya meriah sekali dengan pelbagai jenis kurma, kismis, kacang, manisan dan seumpamanya. Para pelayannya juga kebanyakan warga Indonesia. Lebih mudahlah untuk berurusan.

Akhirnya kebun kurma dan ruang santai sambil minum teh yang disediakan di tepi kedai langsung tidak dijenguk. Hampir semuanya tenggelam dengan belian masing-masing sebagai bekalan untuk dibawa pulang ke tanah air.

Jabal Uhud

Terletak kira-kira 4 km dari Masjid Nabawi. Di sinilah berlakunya Perang Uhud iaitu pada bulan Syawal tahun 3H.

Bukit Uhud berwarna kemerahan melambangkan pertumpahan darah dengan 70 syuhada' telah disemadikan di sini. Bapa saudara baginda, Saidina Hamzah Abdul Mutalib antara yang mati syahid.

Berhadapannya terdapat bukit kecil yang rendah, dikenali Jabal Rumat di mana ditempatkan pasukan pemanah di mana sebahagiannya engkar akan perintah RasuluLlah SAW agar tetap di sana. Dahulu dibinakan masjid di atasnya, kini telah dirobohkan.

Masjid Qiblatain (Dua Kiblat)

Masjid ini mempunyai 2 menara dan 2 kubah. Di masjid ini pada tahun 2H, Allah SWT menurunkan ayat memerintahkan RasuluLlah SAW menukar arah kiblat dari Baitul Maqdis ke Masjidil Haram.

Difahamkan RasuluLlah SAW bersama para sahabat sedang bersolat Zohor, di rakaat ke-3 baginda bergerak diikuti makmum menghadap ke arah kiblat baru.

Kami hanya dibawa melalui hadapan masjid sahaja. Begitu juga dengan Masjid Tujuh. Menurut Ustaz Abdullah, keistimewaan masjid-masjid ini hanya pada sejarah, tidak seumpama Masjid Quba' yang disarankan bersolat di dalamnya.

Masjid Tujuh (Al-Fatah)

Di tapak masjid inilah berlakunya Perang Khandak (Parit) yang juga dikenali sebagai Perang Ahzab iaitu pada tahun 4H.

Demikianlah misi ziarah kami ketika di bumi Madinah.

Tuesday, April 24, 2012

Catatan Madinah : Masjid Nabawi 2

Masih lagi kisah di Masjid Nabawi.

Pintu-pintu masuk ke Masjid Nabawi terlalu banyak, tidak terkira. Pernah diberitahu angkanya tetapi dah lupa...8)

Sekitar Raudhah

Dari hotel penginapan Elyas Silver, bersama Imran selalunya kami memasuki BabusSalam ataupun pintu berdekatannya, Babul Siddiq atau Babul Rahmah. Lokasi tumpuan kami adalah di sebelah kiri Raudhah ataupun di belakangnya. Nak masuk ke Raudhah memang tiada ruang lagi.

Inilah ruangan yang paling padat ketika waktu solat. Langkah bahu/ paha dan terhentak kepala lutut adalah perkara biasa. Namun saya menyukai ruang ini kerana meyakini inilah juga sebahagian daripada masjid di zaman RasuluLlah SAW. Duduk dan bersolat bersama bayangan para sahabat baginda yang amat disayanginya. Auranya lebih terasa.

Apabila penuh, ruangan ini selalunya ditutup dengan lingkungan tabir putih dan hanya BabusSalam dan Babul Baqi' sahaja dibuka.

Ruangan Lain

Adakalanya kami memasuki pintu utama di belakang masjid iaitu Babul Fahd. Sekadar bersolat di ruangan belakang. Jauh dari ruangan padat di hadapan. Memandang ke kiri dan ke kanan, nun saujana mata memandang. Betapa luasnya ruangan solat di bahagian belakang.

Ketika solat Zohor dan Asar ianya agak lenggang. Hairannya ketika solat, para jemaah di belakang tidak bergerak memenuhi saf-saf di hadapan. Mereka membina saf-saf sendiri, berkelompok di sana sini. Mungkin jaraknya yang jauh, khuatir terlepas rakaat bersama imam.

Sesekali kami bersolat di dataran sahaja, biasanya ketika solat Maghrib dan Isyak. Ada ketikanya Imran tampak begitu mengantuk, selepas Maghrib terus tertidur. Jadi ruangan solat di dataran lebih selesa dan tidak menganggu jemaah lain. Udaranya pula nyaman sekali.

Bagi jemaah wanita, ruangan yang dikhaskan terletak di bahagian belakang masjid. Terdapat 3 arah utama untuk memasuknya iaitu dari kanan, kiri dan belakang masjid.

Datang Awal

Biasanya kami mendatangi masjid kira-kira 1-2 jam awal sebelum masuk waktu solat. Untuk waktu Subuh, azan pertama akan dikumandangkan sejam sebelum masuk waktu. Ada masa untuk kami bersolat sunat dan membaca Al-Quran.

Imran yang lancar bacaan Qurannya; dengan suara kanak-kanak dan sedikit kuat sering menarik perhatian para jemaah, terutama di kalangan warga Turki. Mungkin sejarah penjajahan minda oleh bapa sekular, Kamal Antartuk menjadikan mereka terharu. Selalunya ada buah tangan untuk Imran samada duit, kurma ataupun manisan. Terima kasih...8)

Solat Jenazah

Hampir setiap waktu, selepas solat fardhu akan ada solat jenazah. Seusai salam, muazzin akan mengumumkannya. Bilik jenazah hanya bersebelahan mihrab imam, jadi masa menunggunya tidak lama. Tidak seumpama di Masjidil Haram.

Selalu terdetik di hati, alangkah bertuahnya mereka yang meninggal dunia di bumi Madinah. Teringat akan sabda RasuluLlah SAW,"Barangsiapa yang mampu mati di Madinah, matilah kerana aku akan memberi syafaatku untuk sesiapa yang mati di Madinah".

Teringat akan penulis Travelog Haji, Prof. Dr. Hj. Muhd Kamil Ibrahim, bekas pensyarah UiTM bersama keluarga sanggup berhijrah ke Madinah semata-mata ingin berjiran dengan RasuluLlah SAW. Mati di Madinah adalah antara impian mereka. Betapa murninya.

Pemeriksaan Keselamatan

Di setiap pintu masuk masjid, pasti ada 2 orang pengawal yang mengawasi jemaah yang masuk.

Bagi jemaah wanita, pengawasannya agak ketat. Beg yang dibawa lazimnya akan diseluk. Kamera, telefon bimbit dan marker pen adalah antara barangan terlarang. Jadi pandai-pandailah sembunyikan jika ingin dibawa masuk, jika tidak akan dirampas atau solatlah di dataran sahaja.

Bagi jemaah lelaki lain pula halnya. Pemeriksaan hanya dilakukan sekali sekala sahaja. Melainkan beg besar dibawa masuk. Setakat beg selempang dan beg selipar biasanya tidak diendahkan. Jemaah yang merakamkan foto di dalam masjid adalah lumrah. Malah selamba sahaja dilakukan di Raudhah dan hadapan maqam RasuluLlah SAW walaupun dilarang oleh pengawal bertugas.

Waqaf Al-Quran

Ianya sering dilakukan oleh para jemaah. Seringkali dikirimkan oleh ahli keluarga, saudara mara dan rakan taulan sebelum bertolak ke Tanah Suci. Jika tidak dikirimkan pun amat baik sekali untuk beramal jariah bagi pihak ahli keluarga yang lain.

Cuma perlu diingatkan hanya Mushaf Madinah yang dikeluarkan oleh kilang percetakan Raja Fahd sahaja diterima oleh pihak masjid. Biasanya terdapat 2 saiz iaitu besar dan sederhana. Saiz besar, kulitnya berwarna biru dengan tali penanda dalam juga biru berharga SR100/mushaf. Manakala saiz sederhana, kulitnya hijau dengan tali penanda berwarna kuning berharga SR50/mushaf. Kedua-duanya terdapat cop mohor di muka surat terakhir mushaf.

Mushaf selain Mushaf Madinah akan dikeluarkan dari rak-rak Al-Quran oleh para petugas masjid dan dihantar ke masjid-masjid di luar Masjid Nabawi ataupun ke negara-negara umat Islam lain.

Kami sendiri pun awalnya terbeli mushaf berkulit hijau tetapi talinya berwarna biru, berharga SR20/mushaf yang dijual di pintu masuk. Sebaiknya dibeli di kedai-kedai buku. Bertanyalah pada penjual yang rata-rata mampu berbahasa Melayu atau mutawwif yang mengiringi jemaah.

Air Zam-Zam

Di Masjid Nabawi, air zam-zam disediakan di merata tempat, samada di dalam tangki di dataran ataupun deretan tong-tong di dalam masjid, berserta cawan plastik pakai buang. Terima kasih Ya Allah. Inilah antara ni'mat kurniaanMu yang amat disyukuri. Peluang keemasan yang tidak sewajarnya terlepas begitu sahaja.

RasuluLlah SAW bersabda,"Sebaik-baik air di muka bumi adalah air zam-zam. Padanya ada zat makanan dan penyembuh daripada setiap penyakit. Ia memberi faedah mengikut niat meminumnya".

Setiap kali meneguknya, disunatkan berdoa memohon pada Allah SWT akan ilmu yang bermanafaat, rezeki yang luas lagi barakah dan penawar bagi setiap penyakit. Itulah yang diajarkan oleh RasuluLlah SAW.

Tempat Selipar/Kasut

Lazimnya para jemaah akan membawa masuk selipar/ sandal/ kasut bersama mereka dan diletakkan berhampiran tempat solat yang dipilih. Terdapat banyak rak disediakan di luar pintu masuk dan juga di dalam masjid (rak putih bernombor). Cuma ingat lokasi ataupun nombor rak sahaja.

Namun ramai juga para jemaah yang membawa masuk sehingga ke ruang solat, samada diletakkan di kaki tiang ataupun di hadapan saf. Tiada siapa yang melarang. Sebaiknya dimasukkan ke dalam beg khas untuk selipar, lebih kemas dan tidak berbau. Kelebihannya mudah untuk keluar dari mana-mana pintu dan sentiasa di bawah pengawasan.

Insya Allah dalam entri berikutnya akan berkisar tentang ziarah kami di bumi bertuah Madinah. Jika berkesempatan, koleksi foto akan turut dimasukkan ke Album Foto Kami.

Wednesday, April 18, 2012

Catatan Madinah : Masjid Nabawi 1

Melewati hotel penginapan, beberapa menara Masjid Nabawi jelas kelihatan. Tinggi sayup menyapu awan. Sekaligus mengundang rasa rindu dan teruja untuk bertamu di masjid Nabi Muhammad SAW yang penuh barakah.

RasuluLlah SAW bersabda,"Solat di masjidku ini lebih utama daripada seribu solat di masjid-masjid lain kecuali Masjidil Haram" (Riwayat Bukhari).

Dinisbahkan bukan hanya ibadah solat sahaja diganjari seumpamanya tetapi lain-lain ibadah seperti beriktikaf, membaca Al-Quran, bersalawat, berzikir, bersedekah dan apa sahaja kebaikan pun mendapat fadhilat sepertinya. Moga-moga. Ameen.

Alangkah bertuahnya. Mana mungkin diperolehi ganjaran seumpamanya di tempat lain selain di Masjidil Haram dan di Masjid Nabawi. Tidak hairanlah berduyun-duyun pengunjung mendatangi Madinah dan Mekah sepanjang tahun.

Sejarah Masjid Nabawi

Masjid Nabawi dibina oleh RasuluLlah SAW di mana unta yang dinaiki baginda berhenti ketika tiba di Madinah. Keluasan asalnya kira-kira 1,060 meter persegi sahaja. Diperluaskan lagi oleh Rasulullah SAW, diikuti oleh para Khulafa ar-Rasyidin, khalifah Kerajaan Islam dan pemimpin Islam.

Terkini luas masjid sahaja mencapai hampir 93,000 meter persegi. Dilengkapi pula dengan dataran solat berjubin serta kemudahan tandas, bilik mandi dan tempat wuduk menjadikan luas keseluruhannya sekitar 400,327 meter persegi.

Binaan bangunan Masjid Nabawi amat indah dan menakjubkan. Di malam hari cahaya lampu menyimbahi alam sekitar dengan struktur masjid jelas kelihatan. Di siang hari pula bukaan payung-payung meredupkan persekitaran. Sayap payung mengepak tika matahari mulai bersinar dan mengucup tika matahari hampir terbenam. Fenomena yang amat cantik.

Selama ini kami hanya melihat Masjid Nabawi melalui foto dan juga dokumentari sahaja. SubhanaLlah, kini ianya benar-benar di hadapan mata. Lebih menyeronokkan lagi, kami antara jemaah yang turut mendatanginya di setiap waktu azan dikumandangkan. Allahu Akbar... suatu ni'mat yang tidak terucap dek kata-kata.. Terima kasih Ya Allah kerana mengizinkan kami sampai di masjid kekasihMu ini.

Raudhah

Ketika di Masjid Nabawi, tumpuan utama para jemaah adalah di suatu ruangan berpermaidani hijau (kawasan lain berpermaidani merah) yang diselangi tiang-tiang bersalut marmar putih dengan lampu-lampu kendil mewah bergantungan. Itulah Raudah (salah sebuah taman syurga). Luasnya kira-kira 330 meter persegi sahaja. Letaknya antara maqam RasuluLlah SAW (asalnya rumah baginda SAW bersama Saidatina Aisyah) dan mimbarnya, tempat baginda SAW berkhutbah.

Sabda RasuluLlah SAW,"Apa yang ada antara rumahku dan mimbarku adalah Raudhah (sebuah taman) dari taman-taman syurga" (Riwayat Bukhari)

Ketika memasuki Masjid Nabawi, sambil memimpin tangan anak bongsu, Imran; mata saya melilau mencari di mana dia tempat yang dinamakan Raudhah. Sememangnya saya tidak tahu di mana lokasinya walaupun pernah melihat fotonya.

Malu sendiri dibuatnya kerana tanpa disangka-sangka, beberapa meter dari tempat yang sering kami bersolat itulah Raudhah. Patutlah tampak lebih ekslusif dari sekitarnya dan bersesak-sesak jemaah di dalamnya.

Bagi jemaah lelaki, ianya dibuka sepanjang masa. Sukar sekali untuk memasuki Raudhah ketika waktu puncak iaitu sebelum dan selepas solat fardhu. Kerap kali saya mencuba tetapi hampa. Tidak tahan dihimpit oleh jemaah yang lebih kuat dan sasa badannya.

Pilihan saya, datang sekitar jam 9:00 pagi ketika ramai jemaah telah kembali ke rumah/hotel. Beberapa kali saya mendatanginya, AlhamduliLlah dipermudahkanNya untuk bersolat dan bermunajat. Cuma tidak boleh berlama-lamaan kerana ada pengawal yang menjaganya. Kerap kedengaran suara "Hajj-hajj-hajj" meminta jemaah mengungsi keluar. Pandai-pandailah untuk mengelak seperti beralih tempat solat, memilih sudut-sudut jauh dari pandangan dan juga memanjangkan sujud untuk berdoa kepadaNya.

Manakala bagi jemaah wanita pula, mereka dibenarkan berkunjung ke Raudhah 3 kali sehari sahaja - pagi (mulai jam 9:00), petang (jam 3:00) dan malam (jam 11:00). Lazimnya mereka dikumpulkan mengikut benua/kawasan. Selalunya jemaah Nusantara antara kumpulan terakhir. Apakan daya, itulah aturannya. Sewajarnya waktu menunggu digunakan untuk mendekatkan diri kepadaNya.

Maqam RasuluLlah SAW

Tarikan lain adalah maqam RasuluLlah SAW dan 2 sahabat rapat baginda; Saidina Abu Bakar as Siddiq dan Saidina Umar al Khattab. Ianya terletak di sebelah kiri Raudhah dan lebih mudah untuk diziarahi. Biasanya dikerumuni ramai seusai solat fardhu. Ketika mengunjunginya, usah lupa ucapkan salam pada baginda dan para sahabat.

Sabda RasuluLlah SAW,"Barangsiapa yang menziarahiku di saat hidup dan setelah matiku, maka seakan-akan ia menziarahiku ketika hidupku".

Dengan kata lain, amat tidak beradab @ biadab sekali jika tidak menziarahi maqam baginda SAW, apatah lagi dengan akuan RasuluLlah SAW seperti di atas.

Sebelum meninggalkan bumi Madinah, amat disarankan untuk melakukan Ziarah Wida' ke maqam baginda bagi mengucapkan salam perpisahan. Tersentuh hati ini mengenangkan entah bila akan ketemu lagi baginda yang amat disayangi. Selamat Tinggal Ya RasuluLlah.

Mihrab-Mimbar-Suffah

Di dalam Raudhah juga terdapat Mihrab Nabi, di mana RasuluLlah SAW mengimami solat jemaah bersama para sahabat. Kini telah tidak digunakan setelah bahagian hadapan Raudhah diperluaskan sehingga dibina mihrab baru dikenali sebagai Mihrab Uthman. Inilah mihrab solat sekarang. Terdapat beberapa mihrab lagi iaitu Mihrab Tahajjud RasuluLlah SAW, Mihrab Fathimah AzZahra dan Mihrab Hanafi/Sulaiman.

Mimbar Nabi terletak di sebelah kanan Mihrab Nabi di dalam Raudhah. Mimbar asal telah terbakar dan kini dibina mimbar baru di tempat yang sama. Baginda SAW mengatakan bahawa mimbarnya terletak di atas taman dari taman-taman syurga.

Tiang-tiang bermarmar putih di dalam Raudhah mempunyai nama dan sejarahnya tersendiri, antaranya Tiang Aisyah, Tiang Taubat, Tiang Ali, Tiang Tahajjud, Tiang Jibril, Tiang Wufud dan sebagainya.

Di bahagian belakang maqam terletaknya sebuah pentas kecil, dikenali sebagai Suffah. Di zaman RasuluLlah SAW, suffah adalah tempat berteduh bagi para musafir, fakir miskin dan para penuntut ilmu. Abu Hurairah r/anhu adalah antara penghuni suffah.

Babus Salam adalah pintu tumpuan para jemaah, laluan utama melintasi hadapan Raudhah, maqam RasuluLlah SAW, mihrab Uthman dan maqam Jibril yang bersambungan dengan Babul Baqi' yang menghadap Perkuburan Jannatul Baqi'.

Demikianlah sepintas lalu bahagian dalaman Masjid Nabawi terutama di ruangan hadapannya. Sebenarnya banyak lagi yang ingin diceritakan, rasanya cukup setakat ini. Jika ada pun akan disentuh secara lalu dalam entri seterusnya.

Friday, April 13, 2012

Catatan Madinah : Perjalanan

Perancangan kami sekeluarga untuk berkunjung ziarah ke Kota RasuluLlah SAW, Madinah al-Munawwarah telah pun lama dibuat. Jika tidak silap, sejak setengah tahun lepas. Dalam mencari-cari agensi pengendali ziarah dan umrah, akhirnya kami memilih Al-Fajr Travel & Tours setelah dicadangkan oleh abah-emak yang pernah mengikuti pakej umrah Al-Fajr kira-kira 2 tahun sebelumnya.

Kami menaiki Penerbangan Malaysia terus ke Lapangan Terbang Madinah dengan pakej RM 4,990/orang selama 11 hari/13 malam. Terdapat penerbangan pilihan pergi-balik transit di Pakistan dengan kadar sekitar RM 4,300/orang tetapi kami bimbang anak-anak tidak tahan letih sepanjang penerbangan.

Beberapa sesi kursus umrah di hujung minggu kami ikuti samada di masjid berdekatan ataupun di premis Al-Fajr di Selayang. Sedikit sebanyak menambah ilmu kami akan kaedah perlaksanaan ibadah umrah dan larangan semasa berihram, yang juga satu kewajiban dalam ibadah haji yang bakal kami laksanakan pada tahun ini. Insya Allah.

Berkumpul di KLIA

Mengikut jadual asal, penerbangan kami ke Madinah adalah pada 30-Mac, 2012 jam 01:35 pagi. Sehari sebelum hari berlepas, kami dimaklumkan penerbangannya ditunda kepada jam 10:45 pagi hari yang sama. Para jemaah diminta berkumpul di hadapan Kaunter K seawal jam 7:00 pagi untuk sesi taklimat dan penyerahan tiket serta pasport.

Kami sekeluarga bersama emak-abah dan Hadi bertolak awal ke Masjid KLIA untuk bersolat Subuh sebelum terus ke KLIA. Terima kasih kepada ipar dan biras; Bakhtiar, Nita-Redzuan dan Fahimey yang menghantar kami.

Ketika taklimat, kami dimaklumkan oleh kakitangan Al-Fajr bahawa tiada mutawwif atau wakil Al-Fajr yang akan mengetuai kami kerana katanya tidak dibenarkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi. Hanya dilantik seorang jemaah sebagai ketua dan setibanya di Madinah dan Mekah, kami akan diuruskan oleh petugas yang dilantik oleh Al-Fajr. Sesuatu yang amat tidak menggembirakan. Dikhuatiri timbul masalah yang tidak dapat ditangani oleh para jemaah atau petugas yang dilantik. Malah itulah yang terjadi ketika di dua Tanah Suci tersebut.

Penerbangan ke Madinah

Penerbangan selama hampir 9 jam ke Madinah lancar. Kesemua penumpang, sekitar 450 orang adalah jemaah Umrah dan Ziarah dari pelbagai syarikat umrah. Rupa-rupanya hampir semua penerbangan umrah-ziarah adalah secara tempahan khas oleh syarikat tertentu yang diagih-agihkan tempat duduknya kepada agensi yang mengendalikan pakej berkenaan.

Menariknya, kesemua pramugari bertugas dimestikan bertudung, berkemeja lengan panjang dan seluar panjang. Secara kasarnya mereka telah menutup aurat tetapi hakikatnya sekadar menutup urat bukannya aurat. Tudungnya pendek, manakala seluarnya sendat dan kemejanya pula ketat dan singkat. Apakah ini yang dikatakan oleh para ulama' iaitu 'berpakaian tetapi telanjang'? NauzubiLlahi minzalik. Malah diperhatikan sebahagian pramugari tampak segan dan kerap menarik-narik hujung baju dan seluar.

Inilah yang perlu diambil perhatian oleh pihak pengurusan MAS, apatah lagi untuk penerbangan ke dua Tanah Suci terutama di musim haji. Apalah salahnya jika dilabuhkan tudung atau dipakai jaket luar berserta bawah baju menutupi pinggul dan seluarnya longgar. Pasti pramugari akan merasa lebih selesa dan terjaga maruah diri mereka. Penumpang pun serupa.

Tiba di Madinah

Kami selamat mendarat di Lapangan Terbang Madinah sekitar jam 3:00 petang waktu Arab Saudi (jarak masa 5 jam kebelakang dari waktu Malaysia). Rakan-rakan yang pernah turun di Madinah pernah berpesan, setibanya di Madinah tunaikanlah solat dahulu kerana urusan imigresennya memakan masa lama. Itulah yang kami lakukan.

Justify FullAlhamduliLlah sempat kami tunaikan dahulu solat jamak qasar Zohor-Asar sambil melafazkan kesyukuran dapat bertamu di bumi kesayangan RasuluLlah SAW di mana jasad baginda, ahli keluarga dan para sahabat disemadikan. Tanpa disedari, lahir perasaan sebak mengenangkannya.

Sekilas pandang, Lapangan Terbang Madinah tampak kecil sahaja dengan ruangan pemeriksaan imigresen dan kastam yang juga sempit. Malah ruang solatnya dhaif sekali - sekadar bilik kecil beralaskan permaidani kasar. Tempat berwuduknya pula di sinki tandas bersebelahan. Terkilan hati melihatnya, sedangkan Madinah adalah antara tumpuan utama umat Islam seluruh dunia.

Rupa-rupanya projek menaiktaraf kepada lapangan terbang bertaraf dunia sedang giat dijalankan dan Insya Allah projek 3 fasa pembangunan ini akan siap sepenuhnya pada tahun 2019 nanti dengan keupayaan menampung 12 juta penumpang setahun. AlhamduliLlah. Tak perasan pula kami lokasinya...

Ketika mengambil barang di ruangan bagasi dan selepas pemeriksaan kastam, hati-hati dengan para pekerja Bangladesh (berpakaian coklat) yang aktif bergerak meminta upah menolak troli. Usah dilayan, dapatkan troli sendiri atau gunakan beg bertayar. Dalam kelam kabut, kami terkena juga... apa boleh buat, niat sedekah sahajalah...8)

Selama 4 hari 3 malam di Madinah, rombongan kami seramai 47 orang dari Al-Fajr Travel & Tours menginap di Elyas Silver Hotel yang terletak kira-kira 500 meter dari Masjid Nabawi.

Rutin harian kami sekeluarga sama sahaja - meraih sedaya mungkin fadhilat sekali beribadah (solat) di Masjid Nabawi menyamai seribu kali beribadah (solat) di masjid-masjid biasa.

Insya Allah perihal Masjid Nabawi akan disentuh di dalam entri berikutnya.

Kembali Dari Mekah dan Madinah

AlhamduliLlah, malam kelmarin kami sekeluarga selamat kembali dari dua Tanah Suci; Mekah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawwarah. Selama hampir 2 minggu kami berada di sana - menunaikan ibadah umrah dan ziarah ke bumi anbiya'.

Penatnya amat terasa. Ditambah pula dengan demam, batuk dan selesema. Kata orang perkara biasa. Namun ni'mat dan seronoknya menjadi tetamu Allah SWT masih segar di ingatan. Rindu untuk ke sana lagi. Moga-moga dipermudahkan olehNya. Ameen.

Kami sekeluarga (tidak termasuk anak sulung, Izzuddin yang tidak mendapat perlepasan sekolah) berserta emak-abah-adik Laili dan 4 orang emak saudara berlepas ke Madinah pada pagi 30-Mac lalu.

Selepas 4 hari di sana, kami bertolak ke Mekah untuk mengerjakan umrah dan ziarah di sana. Kami berlepas pulang ke tanah air dari Jeddah pada pagi 11-April setelah tersadai kira-kira 7 jam di lapangan terbang akibat penerbangan tertunda.

Insya Allah dalam entri seterusnya akan dicatatkan secara ringkas pengalaman kami ketika di 2 Tanah Haram tersebut.