Wednesday, April 18, 2012

Catatan Madinah : Masjid Nabawi 1

Melewati hotel penginapan, beberapa menara Masjid Nabawi jelas kelihatan. Tinggi sayup menyapu awan. Sekaligus mengundang rasa rindu dan teruja untuk bertamu di masjid Nabi Muhammad SAW yang penuh barakah.

RasuluLlah SAW bersabda,"Solat di masjidku ini lebih utama daripada seribu solat di masjid-masjid lain kecuali Masjidil Haram" (Riwayat Bukhari).

Dinisbahkan bukan hanya ibadah solat sahaja diganjari seumpamanya tetapi lain-lain ibadah seperti beriktikaf, membaca Al-Quran, bersalawat, berzikir, bersedekah dan apa sahaja kebaikan pun mendapat fadhilat sepertinya. Moga-moga. Ameen.

Alangkah bertuahnya. Mana mungkin diperolehi ganjaran seumpamanya di tempat lain selain di Masjidil Haram dan di Masjid Nabawi. Tidak hairanlah berduyun-duyun pengunjung mendatangi Madinah dan Mekah sepanjang tahun.

Sejarah Masjid Nabawi

Masjid Nabawi dibina oleh RasuluLlah SAW di mana unta yang dinaiki baginda berhenti ketika tiba di Madinah. Keluasan asalnya kira-kira 1,060 meter persegi sahaja. Diperluaskan lagi oleh Rasulullah SAW, diikuti oleh para Khulafa ar-Rasyidin, khalifah Kerajaan Islam dan pemimpin Islam.

Terkini luas masjid sahaja mencapai hampir 93,000 meter persegi. Dilengkapi pula dengan dataran solat berjubin serta kemudahan tandas, bilik mandi dan tempat wuduk menjadikan luas keseluruhannya sekitar 400,327 meter persegi.

Binaan bangunan Masjid Nabawi amat indah dan menakjubkan. Di malam hari cahaya lampu menyimbahi alam sekitar dengan struktur masjid jelas kelihatan. Di siang hari pula bukaan payung-payung meredupkan persekitaran. Sayap payung mengepak tika matahari mulai bersinar dan mengucup tika matahari hampir terbenam. Fenomena yang amat cantik.

Selama ini kami hanya melihat Masjid Nabawi melalui foto dan juga dokumentari sahaja. SubhanaLlah, kini ianya benar-benar di hadapan mata. Lebih menyeronokkan lagi, kami antara jemaah yang turut mendatanginya di setiap waktu azan dikumandangkan. Allahu Akbar... suatu ni'mat yang tidak terucap dek kata-kata.. Terima kasih Ya Allah kerana mengizinkan kami sampai di masjid kekasihMu ini.

Raudhah

Ketika di Masjid Nabawi, tumpuan utama para jemaah adalah di suatu ruangan berpermaidani hijau (kawasan lain berpermaidani merah) yang diselangi tiang-tiang bersalut marmar putih dengan lampu-lampu kendil mewah bergantungan. Itulah Raudah (salah sebuah taman syurga). Luasnya kira-kira 330 meter persegi sahaja. Letaknya antara maqam RasuluLlah SAW (asalnya rumah baginda SAW bersama Saidatina Aisyah) dan mimbarnya, tempat baginda SAW berkhutbah.

Sabda RasuluLlah SAW,"Apa yang ada antara rumahku dan mimbarku adalah Raudhah (sebuah taman) dari taman-taman syurga" (Riwayat Bukhari)

Ketika memasuki Masjid Nabawi, sambil memimpin tangan anak bongsu, Imran; mata saya melilau mencari di mana dia tempat yang dinamakan Raudhah. Sememangnya saya tidak tahu di mana lokasinya walaupun pernah melihat fotonya.

Malu sendiri dibuatnya kerana tanpa disangka-sangka, beberapa meter dari tempat yang sering kami bersolat itulah Raudhah. Patutlah tampak lebih ekslusif dari sekitarnya dan bersesak-sesak jemaah di dalamnya.

Bagi jemaah lelaki, ianya dibuka sepanjang masa. Sukar sekali untuk memasuki Raudhah ketika waktu puncak iaitu sebelum dan selepas solat fardhu. Kerap kali saya mencuba tetapi hampa. Tidak tahan dihimpit oleh jemaah yang lebih kuat dan sasa badannya.

Pilihan saya, datang sekitar jam 9:00 pagi ketika ramai jemaah telah kembali ke rumah/hotel. Beberapa kali saya mendatanginya, AlhamduliLlah dipermudahkanNya untuk bersolat dan bermunajat. Cuma tidak boleh berlama-lamaan kerana ada pengawal yang menjaganya. Kerap kedengaran suara "Hajj-hajj-hajj" meminta jemaah mengungsi keluar. Pandai-pandailah untuk mengelak seperti beralih tempat solat, memilih sudut-sudut jauh dari pandangan dan juga memanjangkan sujud untuk berdoa kepadaNya.

Manakala bagi jemaah wanita pula, mereka dibenarkan berkunjung ke Raudhah 3 kali sehari sahaja - pagi (mulai jam 9:00), petang (jam 3:00) dan malam (jam 11:00). Lazimnya mereka dikumpulkan mengikut benua/kawasan. Selalunya jemaah Nusantara antara kumpulan terakhir. Apakan daya, itulah aturannya. Sewajarnya waktu menunggu digunakan untuk mendekatkan diri kepadaNya.

Maqam RasuluLlah SAW

Tarikan lain adalah maqam RasuluLlah SAW dan 2 sahabat rapat baginda; Saidina Abu Bakar as Siddiq dan Saidina Umar al Khattab. Ianya terletak di sebelah kiri Raudhah dan lebih mudah untuk diziarahi. Biasanya dikerumuni ramai seusai solat fardhu. Ketika mengunjunginya, usah lupa ucapkan salam pada baginda dan para sahabat.

Sabda RasuluLlah SAW,"Barangsiapa yang menziarahiku di saat hidup dan setelah matiku, maka seakan-akan ia menziarahiku ketika hidupku".

Dengan kata lain, amat tidak beradab @ biadab sekali jika tidak menziarahi maqam baginda SAW, apatah lagi dengan akuan RasuluLlah SAW seperti di atas.

Sebelum meninggalkan bumi Madinah, amat disarankan untuk melakukan Ziarah Wida' ke maqam baginda bagi mengucapkan salam perpisahan. Tersentuh hati ini mengenangkan entah bila akan ketemu lagi baginda yang amat disayangi. Selamat Tinggal Ya RasuluLlah.

Mihrab-Mimbar-Suffah

Di dalam Raudhah juga terdapat Mihrab Nabi, di mana RasuluLlah SAW mengimami solat jemaah bersama para sahabat. Kini telah tidak digunakan setelah bahagian hadapan Raudhah diperluaskan sehingga dibina mihrab baru dikenali sebagai Mihrab Uthman. Inilah mihrab solat sekarang. Terdapat beberapa mihrab lagi iaitu Mihrab Tahajjud RasuluLlah SAW, Mihrab Fathimah AzZahra dan Mihrab Hanafi/Sulaiman.

Mimbar Nabi terletak di sebelah kanan Mihrab Nabi di dalam Raudhah. Mimbar asal telah terbakar dan kini dibina mimbar baru di tempat yang sama. Baginda SAW mengatakan bahawa mimbarnya terletak di atas taman dari taman-taman syurga.

Tiang-tiang bermarmar putih di dalam Raudhah mempunyai nama dan sejarahnya tersendiri, antaranya Tiang Aisyah, Tiang Taubat, Tiang Ali, Tiang Tahajjud, Tiang Jibril, Tiang Wufud dan sebagainya.

Di bahagian belakang maqam terletaknya sebuah pentas kecil, dikenali sebagai Suffah. Di zaman RasuluLlah SAW, suffah adalah tempat berteduh bagi para musafir, fakir miskin dan para penuntut ilmu. Abu Hurairah r/anhu adalah antara penghuni suffah.

Babus Salam adalah pintu tumpuan para jemaah, laluan utama melintasi hadapan Raudhah, maqam RasuluLlah SAW, mihrab Uthman dan maqam Jibril yang bersambungan dengan Babul Baqi' yang menghadap Perkuburan Jannatul Baqi'.

Demikianlah sepintas lalu bahagian dalaman Masjid Nabawi terutama di ruangan hadapannya. Sebenarnya banyak lagi yang ingin diceritakan, rasanya cukup setakat ini. Jika ada pun akan disentuh secara lalu dalam entri seterusnya.

No comments: