Thursday, December 30, 2010

NZ 04 : @ Te Anau

Te Anau adalah kawasan singgahan pelancong (tourist resort). Penduduknya tidak ramai, sekitar 4,000 orang sahaja. Namun ketika musim panas, kepadatannya meningkat sehingga 10,000 orang. Lake Te Anau, Glowworm Caves dan Lake Manoupori adalah antara tarikan utamanya. Te Anau adalah hentian utama sebelum memasuki Fiordland National Park di mana terdapatnya Milford Sound dan Doubtful Sound yang terkenal.

Milford Sound

Tumpuan utama kami adalah ke Milford Sound (Maori : Piopiotahi), kira-kira 120 km (2 ½ jam) ke utara Te Anau.

Milford Sound adalah fiord yang terhasil dari aliran glasier dari banjaran gunung Fiordland yang membentuk kawasan takungan air yang bersambungan dengan Tasman Sea. Gunung-ganang batu tercacak tajam dari permukaan air serta air terjun mengalir turun ke air . Fenomena alam ciptaan Allah SWT yang amat mengkagumkan. Maha Suci Allah.

Untuk melihat persekitaran Milford Sound, perkhidmatan cruise disediakan oleh beberapa pengusaha, antaranya Real Journey, Mitre Peak dan Southern Discoveries. Pilihan kami adalah Real Journey dengan pakej Fiordland Twin Pack termasuk kunjungan ke Te Anau Glowworm Caves.

Dikelilingi bunga lupin dan sungai di Cascade River

Kami keluar awal untuk mengejar jadual perjalanan cruise yang bermula jam 9:00 pagi. Jika terlewat kami terpaksa menunggu jadual berikut, sekaligus berebut dengan ribuan pelancong berkumpulan yang mulai membanjiri Milford Sound Terminal.

Di sepanjang perjalanan melalui Milford Road, kami dihidangkan dengan pemandangan yang kontra dalam keadaan hujan renyai-renyai, adakalanya lebat. Awal perjalanan adalah padang-padang rumput seumpama di Victoria, Australia; diikuti payungan pepohonan alpine yang redup menghijau. Seterusnya banjaran gunung batu menyayup tinggi, sebahagiannya dilitupi salji di puncaknya. Aliran air mengalir turun melalui alur-alur glasier/salji yang sedia terbentuk, menghasilkan air terjun.

Laluan jalan ke Milford Sound berliku-liku, ada ketikanya amat mengerunkan melalui tepian cerun. Kami juga perlu melalui Homer Tunnel menembusi gunung batu sejauh 1.38 meter yang siap dibina pada tahun 1953, sehingga kini masih kekal seperti dahulu.

Di Milford Sound, hujan masih lagi turun. Milford Monarch, kapal cruise yang kami naiki bergerak perlahan menyusuri tepian tasik. Komentar yang diberikan oleh kapten kapal banyak membantu untuk mengenali setiap keunikan yang terbentuk di sekitarnya. Antara tarikannya adalah Mitre Peak (1,682 m), dikatakan gunung timbul dari laut yang tertinggi di dunia; The Lion, gunung batu seakan singa setinggi 1,301 m dan Stirling Falls setinggi 155 m.

Walaupun hujan dan kabus membantasi pandangan, namun keindahan persekitarannya masih lagi menyerlah. Pada satu ketika, kami berkesempatan melihat secara dekat singa laut bersantaian di atas bongkahan batu serta berenang-renang di sekitarnya. Difahamkan pada ketika tertentu, ikan lumba-lumba juga galak berlompatan di permukaan air.

Di Stirling Falls, kapal merapat ke arah air terjun yang menjunam turun. Airnya memercik masuk ke dek atas yang terbuka. Peluang yang tidak dilepaskan, bergambar sambil bermain air penuh teruja bagaikan histeria. Anak-anaklah yang paling seronok, basah kuyup dibuatnya.

Seronok disimbahi air terjun di Stirling Falls

Di perjalanan pulang ke Te Anau, kami berhenti di beberapa lokasi tarikan pelancong. Paling lama kami menyinggah di Cascade Creek.

Air sungainya tidak dalam tetapi deras mengalir di atas batu-batu hijau (greenstone). Di sekitarnya pula ditumbuhi pokok-pokok bunga liar dikenali sebagai lupin yang berwarna ungu seakan lavender, terhampar luas bagaikan taman. Persekitaran yang amat tenang dan ceria.

Te Anau Glowworm Caves

Menghampiri jam 6:00 petang, kami menaiki cruise meredah Lake Te Anau menuju ke Te Anau Glowworm Caves, kira-kira 20 minit dari jeti Real Journey Visitor Centre. Setibanya di Glowworm Centre, rombongan kami seramai hampir 50 orang dipecahkan kepada 4 kumpulan. Setiap kumpulan dipandu arah oleh seorang pemandu pelancong.

Te Anau Glowworm Caves yang terletak di sebelah barat Lake Te Anau masih baru usianya, sekitar 12,000 tahun. Namun batuan limestonenya telah pun berusia lebih 13 juta tahun lamanya.

Glowworm adalah sejenis larva yang hidup di gua gelap, menghasilkan cahaya bagi memerangkap serangga sebagai makanannya. Dianggarkan hampir 70 fishing line bercahaya sepanjang 20-150mm dibina oleh glowworm berjuntaian dari sarangnya di bumbung gua. Lagi banyak larva, maka lagi banyaklah persekitaran berkelipan di bumbung gua, bagaikan taburan bintang-bintang di langit nan gulita. Teringat akan kunang-kunang (firefly) yang banyak terdapat di Malaysia, lebih-lebih lagi di Kuala Selangor yang terkenal dengan tarikan pelancongannya.

Sebelum memasuki gua, paling penting diingatkan agar jangan bercakap dan dilarang mengambil gambar terutama ketika di Glowworm Groto. Glowworm amat sensitif kepada bunyi dan cahaya.

Foto hiasan - Suasana di Glowworm Grotto

Menyusuri laluan di dalam gua, kami ditunjukkan dengan beberapa pembentukan batuan, antaranya tomo (lubang udara membulat di bumbung gua), cathedral (rekahan batu bumbung setinggi 25m), air terjun, kolam dan anjung . Dinding dan bumbungnya juga agak unik, hairannya tiada sebarang stalagmite dan stalactite yang kelihatan. Mungkin ada tetapi di penjuru lain. Di kebanyakan tempat, jelas kelihatan cahaya berkelipan di bumbung gua menandakan glowworm sedang bersarang di situ.

Di penghujung gua adalah tarikan utama pelancong, grotto yang gelap gelita, dipenuhi ribuan glowworm berkelipan di bumbungnya. Di bawahnya adalah kolam yang tenang airnya . Setiap pengunjung perlu menaiki bot kecil, dibawa meredah kegelapan sambil memerhatikan cahaya berkelipan di atas kepala. Pemandangan yang amat indah, sekelumit daripada keindahan ciptaanNya. SubhanaLlah.

Bagi kami, maklumat yang diberikan, samada ketika sesi penerangan dan sesi penjelajahan mahupun ketika sesi soal jawab amat berguna sekali. Malah satu soalan cepumas dari Imran kepada pemandu pelancong juga amat menarik untuk direnungi ,

"What a different between firefly and glowworm?"


NZ 03 : Queenstown – Te Anau

Queenstown

Check out dari Abba Garden Motel, kami menyinggah di Marine Parade yang terletak di tengah Bandar Queenstown. Berjalan-jalan di sekitarnya sambil berehat dan bermain air di pinggiran Queenstown Bay.

Menghadap kearah teluk, berhadapan Steamer Wharf, gerai-gerai barangan seni berderetan mengamit pengunjung mendatanginya. Tiada apa yang ingin dibeli, sekadar menghayati keindahan dan keunikan seni setiap barangan yang dipamirkan.

Pemandangan di Queenstown Bay

Tumpuan kami adalah ke Underwater World untuk melihat hidupan laut. Anggapan kami ianya seumpama underwater world yang pernah kami kunjungi sebelum ini, rupa-rupanya hanya sebuah bilik seluas master bed room, terletak di bahagian bawah jeti yang dilengkapi 6 tetingkap yang dipasang gentian kaca tebal telus pandang ke dalam air. Padanlah dengan bayaran masuknya yang murah, AUD 10/keluarga .

Ikan-ikan kelihatan berenang-renang di sekitarnya termasuk itik-itik yang menyelam laju ke dasarnya. Ketika diberi makan di tepi tingkap, berebut-rebut ikan menyambarnya. Itulah tarikannya.

Seterusnya kami bergerak ke Queenstown Mall. Di kiri kanannya adalah kedai-kedai dengan gabungan konsep lama dan baru. Untuk mendapatkan makanan halal, menyelerakan dan mudah, biasanya kami berusaha mencari kedai Turkish Kebab. Lazimnya papan tandanya berwarna merah putih, warna bendera Turki. AlhamduliLlah kami temuinya di deretan kedai di Quenstown Mall. Kami bertolak meninggalkan Queenstown ke Arrowtown kira-kira jam 2:30 petang. Perjalanan yang mengambil masa kira-kira 20-30 minit sahaja.

Arrowtown

Arrowtown adalah sebuah bandar bersejarah yang mula dibuka pada 1862 ketika zaman penemuan emas (gold rush era), menyaksikan gerombolan orang Cina (sinonim dengan emas) dibawa masuk untuk mengusahakannya. Sekaligus membentuk penempatan Cina di sekitarnya. Catatan sejarahnya terdapat di District Museum di tengah Bandar Arrowroot. Bagi yang berminat mencuba kegiatan mendulang emas, peralatannya boleh diperolehi dari muzium.

Dikhabarkan, Arrowtown lebih menarik dikunjungi ketika musim luruh (Mac – Mei) ketika dedaunan pokok bertukar warna kekuningan dan berguguran jatuh ke bumi. Suasana pudar yang sesuai dengan nostalgia sejarahnya.

Shotover River

Bersantaian di Shotover River

Perjalanan seterusnya ke Te Anau di mana kami bermusafir selama 3 hari 2 malam. Setibanya di Arthurs Point, kami berhenti di Shotover River.

Pemandangannya indah sekali. Aliran sungai mengalir deras melalui celahan jurang batu yang tinggi (canyons) dengan jambatan menyayup tinggi menghubungkan laluan di atasnya. Bagi yang berminat merasai pengalaman menaiki bot laju, Shotover Jet menyediakan perkhidmatannya.

Tidak lama di Shotover River, kami terus menuju ke Te Anau. Perjalanan melalui jalan yang lenggang dengan pemandangan banjaran gunung di kiri kanan jalan amat membosankan. Fenomena alam yang cantik tetapi amat tipikal mengundang rasa mengantuk. Bersyukurlah kami dapat bergilir memandu.

Te Anau Holiday Park

AlhamduliLlah perjalanan hampir 2 ½ jam, menghampiri jam 7:00 malam, kami selamat tiba di Te Anau Top 10 Holiday Park yang terletak menghadap Lake Te Anau yang tidak kurang cantiknya, difahamkan tasik yang terbesar di South Island, New Zealaland.

Motel yang kami tinggal di Top 10 Holiday Park dibina berderet 4 buah. Selebihnya adalah kabin dan juga tapak untuk caravan dan campervan yang perlu berkongsi bilik air, tandas, dapur dan lain-lain kemudahan.

Wednesday, December 29, 2010

NZ 02 : @ Queenstown

Queenstown terletak di selatan Southland, South Island. Penduduknya dianggarkan kira-kira 12,000 orang. Ianya terkenal sebagai kawasan pelancongan dan dikunjungi sepanjang tahun dengan kepelbagaian tarikan seperti keindahan tasik, aktiviti musim sejuk dan kegiatan lasak.

Kiwi Birdlife Park

Kunjungan pertama kami di Queenstown adalah ke Kiwi Birdlife Park, Brecon St, tidak jauh dari motel. Taman burungnya tidak berapa luas, hanya 8 ekar diusahakan secara persendirian oleh keluarga Wilson. Berjalan-jalan di bawah payungan pepohonan menghijau dari satu hentian ke satu hentian seterusnya terasa begitu nyaman sekali. Penat pun kurang terasa.

Tumpuan pertama kami adalah Live Conservation Show (30 minit) sambil diberikan penerangan penuh maklumat oleh petugasnya. Bermula dengan burung lorikeet, diikuti haiwan natif New Zealand, antaranya kiwi, possum, ferret dan tuatara. Pertama kali kami melihat tuatara yang seakan-akan biawak/iguana tetapi mempunyai ekor dan belakang seumpama buaya.

Tidak sangka pula kiwi adalah sejenis burung yang hanya keluar di malam hari sahaja dan amat sensitif kepada cahaya. Ingatkan sama seperti burung-burung lain walaupun ia tidak dapat terbang seperti penguin. Bagi yang berminat melihat kiwi diberi makan, terdapat beberapa sesi yang disediakan di dalam Kiwi House yang gelap, hanya diterangi cahaya suram lampu merah.

Menyusuri laluan yang disediakan, para pengunjung berpeluang melihat pelbagai jenis burung natif lain di setiap sangkar. Juga persekitaran Early Maori Hunting Village dan Native Garden Trail. Menariknya setiap pengunjung diberikan alat audio yang mengandungi informasi setiap exhibit bernombor yang ada.

Skyline

Kunjungan kami seterusnya adalah ke Skyline yang terletak bersebelahan Kiwi Birdlife Park. Untuk naik ke puncak curam setinggi 450 meter, kami perlu menaiki kereta kabel, dikenali sebagai gondola. Seterusnya menaiki chairlift menuju ke Luge Centre untuk menguji kemahiran memandu kereta menuruni cerun berliku-liku sejauh 800 meter, kembali ke tempat permulaan chairlift. Pengalaman yang amat menyeronokkan bagi anak-anak.

Pemandangan Lake Wakatipu yang dilingkungi Bandar Queenstown dan gunung-ganang di sekitarnya amat mempesonakan. Begitu juga pemandangan banjaran gunung The Remarkables, Coronet Peak, Cecil Peak dan Walter Peak. Maha Suci Allah. Betapa besar dan agungnya kekuasaan Allah SWT.

Glenorchy

Di sebelah petangnya pula kami ke Glenorchy, hilir/kepala kepada Lake Wakatipu. Lagenda Maori mengatakan, kepala gergasi Matau terletak di Glenorchy.

Dari Queenstown, jaraknya kira-kira 45 km menyusuri pesisir Lake Wakatipu. Kami menyinggah di Wilson Bay dan juga beberapa look out untuk menghayati keindahannya sambil merakamkan foto kenang-kenangan. Air tasik yang sedikit beralun di permulaan perjalanan di Queenstown bertukar tenang, setenang-tenangnya apabila semakin menghampiri hilirnya. Imbasan gugusan gunung, pepohonan dan pulau jelas kelihatan di permukaan tasik.

Di setiap gunungnya pula kelihatan alur-alur, laluan glasier/salji yang mencair ketika musimnya. Di sebahagian gunung pula kelihatan salji memutih di puncaknya, diselubungi kabus di sekitarnya.

Pekan Glenorchy kecil sahaja. Dianggarkan penduduknya sekitar 200 orang sahaja. Kebanyakan rekabentuk rumah dan kedainya berkonsep lama. Umumnya Glenorchy terkenal sebagai tumpuan pelancung yang meminati kegiatan lasak seperti meredah hutan, mendaki gunung, mengenderai kuda, memandu bot laju, terjun udara, memancing dan juga kegiatan di musim sejuk.

Tuesday, December 21, 2010

NZ 01 : Melbourne - Queenstown

Menaiki JetStar, kami berlepas dari Melbourne Airport pada pagi Khamis, 16/12/2010 sekitar jam 9:45 pagi, tertangguh hampir sejam dari jadual asal. AlhamduliLlah, penerbangan selama 3 jam bergerak lancar dan mendarat dengan selamatnya di Queenstown Airport, South Island. Tidak disangka-sangka, ketibaan JetStar disambut dengan pancutan air, simbolik menggantikan bunga manggar. Rupa-rupanya ia adalah pendaratan pertama JetStar di Queenstown Airport.

Pemandangan dari Abba Garden Motel

Untuk makluman, perbezaan waktu di New Zealand di ketika Daylight Saving Time ini adalah 2 jam di hadapan Melbourne (5 jam di hadapan Malaysia). Waktu siang di Queenstown kini lebih panjang dari malam. Matahari terbit kira-kira jam 5:30 pagi dan terbenam sekitar jam 9:30 malam. Ini menjadikan waktu Isyaknya agak lewat, menghampiri jam 12:00 tengah malam. Syukurlah kami ini bermusafir, dapatlah kami solat jamak taqdim Maghrib dan Isyak sebelum masuk tidur untuk bangun awal di keesokan harinya. Setinggi-tinggi pujian untuk Allah SWT.

Dari Queenstown Airport, menaiki kereta sewa, Toyota Previa (seumpama Tarago/Estima) kami menyusuri Lake Wakatipu yang amat cantik pemandangannya. Tasik sepanjang 80 km ini adalah tasik terpanjang di dunia. Airnya tenang sekali, jelas kelihatan bayangan gugusan gunung batu yang melatarinya. Fakta menarik, pasang surut air di tasik ini sebanyak 12 cm (5") berlaku setiap 5 minit sekali.

Mengikut lagenda Maori, etnik asli bumi kiwi; tasik berbentuk huruf 'S' terbentuk setelah gergasi jahat, Matau dibakar ketika tidur mengiring. Kesannya, salji di pergunungan telah mencair menghasilkan tasik ini.

Lake Wakatipu

Dari pemerhatian kami, bahasa Maori masih lagi dikekalkan terutama pada nama tempat, samada berdiri sendiri atau pun disekalikan dengan nama baru. Adakala sebutannya agak melucukan, apatah lagi jika mengikut sebutan Melayu. Lake Wakatipu adalah salah satu daripadanya.

Melewati tengah Bandar Queenstown, kami terus menuju ke Abba Garden Motel yang diinapi selama 3 hari 2 malam. Motel 2 bilik yang simple tetapi selesa yang turut dilengkapi dapur untuk memasak.

Fresh Choice Supermarket pula terletak berdekatan dengan motel. Di sinilah kami berbelanja barangan dapur dan di sini jugalah kami tersua dengan Linda, pekerja supermarket rakyat Malaysia yang beria-ia menolong kami memilih ayam halal cap Brinks.

Hari pertama di Queenstown, kami tidak ke mana-mana. Hanya berada di motel, melepaskan kepenatan selama berhari-hari mengemas dan membersihkan rumah sewa di Dandenong sebelum menamatkan sewaannya, sehari sebelum berlepas ke New Zealand.

Salam New Zealand

New Zealand terletak di selatan Australia, terdiri daripada 2 pulau utama iaitu South Island dan North Island.

Menurut rakan-rakan yang pernah berkunjung ke sana dan pemerhatian kami melalui media massa, dikhabarkan New Zealand adalah antara negara yang tercantik di dunia. Impian kami, sebelum menamatkan perantauan kami di bumi kangaroo, Australia; moga kami berpeluang mengunjungi bumi kiwi ini.

AlhamduliLlah, ianya menjadi kenyataan. Kini kami sedang berada di New Zealand. Hari ini adalah hari ke-6 dan sekarang kami di Dunedin, salah sebuah bandar di timur Southland, South Island.

Mengikut perancangan, penerokaan kami di bumi New Zealand telah pun bermula di Queenstown yang terletak di selatan South Island dan Insya Allah akan berakhir di Auckland, North Island. Perjalanan selama 16 hari, dari 16/12/2010 hingga 01/01/2011 di mana kami akan kembali ke Melbourne.

Dikesempatan yang ada, Insya Allah alkisah perjalanan kami ini akan dikemaskini secara beransur-ansur, bergantung kepada kemudahan internet yang disediakan.

Moga segalanya dipermudahkan oleh Allah SWT. Ameen.

Monday, December 13, 2010

Penghantaran Barangan

Minggu lalu amat memenatkan. Badan terasa sakit-sakit dan adakala amat lesu sekali. Tidur pun tidak menentu.

Suasana di dalam rumah ibarat tongkang pecah. Barang-barang bersepahan di merata tempat. Di bilik tidur, di laluan tengah rumah, di dapur apatah lagi di ruang tamu. Kotak-kotak menimbun di merata penjuru. Ada yang siap terisi dan ada yang terlompong menunggu diisi. Bunyi kotak diselotep tanpa henti seolah-olah satu irama tersendiri.

Demikianlah keadaannya dalam usaha menyiapkan pengkotakan (ada ke istilah ni) barangan yang ingin dibawa pulang ke tanah air.

Untuk tujuan penghantaran barangan ini, kami menempah sebuah kontena dengan dikongsi bersama 5 orang lagi rakan. Perkhidmatan dari pintu ke pintu (door to door) menjadi pilihan bersama bagi memudahkan urusan dan menjimatkan masa.

Rumah kami menjadi lokasi pengumpulan dan kutipan. Bayangkanlah barangan untuk sebuah kontena berukuran 20 kaki dilonggokkan di ruang tamu rumah kami. Kata Imran, "ini bukan lagi living room tetapi box room".

Pada pagi Jumaat, lori pengangkut memulakan operasi. Dengan dibantu oleh beberapa orang rakan sekampung, Kg Dandy; tidak sampai pun 1 ½ jam, semuanya selesai. AlhamduliLlah, setiap barangan dapat dimasukkan. Bimbang juga kot-kot terpaksa dibuat kutipan susulan. Berbanyak terima kasih pada semua.

Melihat semua barang telah pun dinaikkan ke lori, terasa lega di hati. Hilang rasa penat selama berhari-hari mengerjakannya. Namun kebah penat hanya seketika, kini kami berhempas pulas pula mengemas dan membersihkan rumah sebelum menyerahkannya kepada empunya rumah, Tas & Kristy pada hari Rabu ini, 15/12/2010.

Difahamkan perjalanan kapal ke Port Klang mengambil masa antara 3-4 minggu untuk tiba di destinasinya. Itupun bergantung kepada jadual perjalanannya. Insya Allah kami akan bertolak pulang ke tanah air pada 11/01/2011 nanti. Harapan kami, moga kami sampai lebih dahulu. Rumah di Hulu Klang perlu disiapkan kerana ianya bakal menjadi pusat punggahan kesemua barangan tersebut.

Moga segalanya berjalan lancar dan dipermudahkan olehNya. Ameen.

Saturday, December 11, 2010

1st Dan Tae Kwon Do

Izzuddin telah menyertai Tae Kwon Do sejak bersekolah di Malaysia lagi. Setibanya di Melbourne hampir 3 ½ tahun lalu, Iddin menyertai kelab OTC (Olympic Tae Kwon Do Club) cabang Dandenong di bawah kendalian Master Mohameddi. Di bawah asuhan dan disiplin yang diterapkan, Iddin akhirnya berjaya memperolehi tali pinggang hitam kira-kira 6 bulan lalu, mengakhiri koleksi tali pinggang berwarna (putih, kuning, biru, merah & hitam).

Di dalam TKD, tali pinggang hitam bukannya tahap tertinggi dan penamat, sebaliknya sebagai tanda berjaya mengharungi rintangan dan tekanan asas dalam menuntut ilmu bela diri. Dengan kata lain, ianya permulaan kepada perjuangan yang lebih besar. Kekuatan dalaman dan disiplin diri memainkan peranan yang penting.

Pada petang Khamis yang lalu (9/12/2010), bertempat di Menzies Community Hall, Iddin telah menjalani ujian kenaikan tali pinggang hitam, 1st Dan – tahap pertama dalam kategori Black Belt. Bersamanya adalah Izzati Wafir yang turut menjalani ujian yang sama. Hanya mereka berdua sahaja walaupun terdapat beberapa rakan seperguruan berada di tahap yang sama.

Tekanan ketika ujian amat berbeza sekali berbanding dengan siri-siri ujian sebelum ini. Beberapa peringkat ujian berlainan perlu dilalui dengan teknik dan kepakaran yang mantap berserta kawalan emosi yang bijak. AlhamduliLlah, segalanya dapat dilaluinya dengan baik dan memuaskan.

TAHNIAH Izzuddin. TAHNIAH Izzati. Nama mereka tertera pada tali pinggang hitam yang diperolehi dengan satu calit, tanda 1st Dan. Bagi Izzuddin, kejayaan ini juga sebagai hadiah ulang tahun kelahirannya yang ke-14 pada keesokan harinya (10/12/2010).

Kini kami sedang menunggu sijil perakuan yang bakal dikeluarkan oleh WTF (World Tae Kwon Do Federation) Australia. Dan yang paling ditunggu-tunggu adalah kad perakuan / keahlian yang akan dikeluarkan oleh WTF Korea. Dengan kad ini memudahkan Izzuddin menyambung sesi latihannya ketika pulang ke tanah air nanti.

Happy Belated Birthday Iddin

Tanggal 10-Disember-2010 adalah ulangtahun kelahiran anak sulung kami, Muhammad Izzuddin yang ke- 14. Happy Belated Birthday Iddin.

Usia 14 tahun adalah usia remaja yang penuh ranjau dan pancaroba. Persekitaran moden yang dilatari pelbagai warna kehidupan menuntut penghakiman akal yang bijaksana dan saksama. Kiranya tersilap pertimbangan, natijahnya amat mengesankan.

Justeru itu nilai iman amat penting sebagai landasan pemutus dalam membuat keputusan. Insya Allah selamat di dunia dan di akhirat. Itulah harapan kami sebagai ibu dan ayah serta pedoman bagi adik-adik yang juga sedang menginjak usia mereka.

Sememangnya tidak menjadi amalan kami untuk mengadakan majlis sambutan. Jika ada pun hanya secara kecil-kecilan bersama ahli keluarga mahupun rakan-rakan sebaya. Itupun bergantung kepada keadaan. Bagi anak-anak, mereka amat memahaminya.

Cukuplah dengan sekeping kad ucapan dengan coretan yang disaluti harapan, impian dan doa dari setiap ahli keluarga. Moga-moga kita berbahagia selamanya.

Untuk anak-anak, biasanya ada hadiah untuk mereka. Mahal atau murah adalah subjektif. Bergantung kepada sejauh mana keperluan dan faedahnya. Bagi Iddin yang amat meminati sukan bolasepak, hadiahnya kali ini amat bermakna sekali untuknya. Impiannya yang sekian lama terpendam terkabul sudah. Kasut bola kini menjadi miliknya. Terbayang keseronokan pada wajahnya.

Kami sentiasa mengingatkan anak-anak, "Setiap kegembiraan dan keseronokan sebenarnya satu anugerah dan rahmat dari Allah SWT. Sewajarnyalah kita mengsyukurinya dengan lebih mendekatkan diri kepadaNya. Jadilah anak-anak yang soleh dan solehah".

Moga harapan menjadi kenyataan. Ameen.

Monday, December 6, 2010

Majlis Perpisahan

Semalam, bertempat di Telford Picnic Area, Braeside Park yang terletak bersebelahan Lower Dandenong Rd telah diadakan Majlis Suai Kenal dan Perpisahan, khusus untuk warga South Eastern Families Community (SEFC).

Di setiap majlis sebelum ini, kami selalunya menjadi antara penggeraknya, namun kali ini kami sekeluarga antara yang diraikan. Dengan kata lain sebagai tetamu jemputan di kalangan keluarga yang akan berangkat pulang ke tanah air dalam masa terdekat ini. Insya Allah, kami dijadualkan meninggalkan bumi Melbourne/ Australia pada awal tahun hadapan.

Persekitaran Telford Picnic Area dirasakan damai sekali, terlindung dari kesibukan jalan dan bandar di sekelilingnya. Para pengunjung mulai memenuhi setiap penjuru kawasan seawal pagi lagi. Berkelompok di sana-sini, di mana –mana tempat yang teduh. Pepohonannya menghijau melatari hampir keseluruhan kawasan. Tiupan angin yang lembut terasa begitu nyaman.

Keadaan cuaca sedikit panas, suhunya melebihi 30 darjah Celcius. Mungkin kerana itulah masing-masing keluar mencari tempat yang redup dan berangin.

Lokasi pilihan penganjur amat strategik. Bangku kayu dipenuhi pelbagai juadah. BBQ bersebelahannya pula berkepulan asap dengan lamb chop dan ayam mencetuskan aroma yang membangkitkan selera. Itulah antara hidangan istimewa untuk semua.

Majlis bermula dengan tazkirah ringkas yang disampaikan oleh Ustaz Zamri dari Kg VicNorth. Intipatinya berkisar peri pentingnya memupuk dan meneguhkan ukhwah Islamiah yang sedia terjalin di perantauan, berterusan selamanya. Banyak manafaatnya sebagai bekalan ke dunia nan kekal abadi nanti.

Seterusnya dijemput setiap keluarga yang bakal pulang ke tanah air menyampaikan sepatah dua kata salam perpisahan. Bila disebut dan dihitung, rupa-rupanya ramai yang akan pulang, lebih 10 keluarga; antaranya keluarga kami, Lajiman, Hilmi, Azrin, Dr. Norhana, Dr. Salmah, Dr. Radziah dan Dr. Harlina. Itupun tidak semua yang dapat hadir kerana mempunyai urusan yang tidak dapat dielakkan.

Bagi yang baru datang belajar ke Melbourne, khususnya tinggal di dalam lingkungan SEFC pula hanya dua tiga keluarga sahaja. Sememangnya itulah realitinya kini. Difahamkan, penghantaran pelajar ke Australia telah dikurangkan dan tumpuannya kini ke negara-negara Asia dan juga Eropah.

Selepas solat Zohor berjemaah, para hadirin beransur-ansur meninggalkan Telford Picnic Area.

Kepada pihak penganjur dan warga SEFC, berbanyak-banyak terima kasih kerana mengadakan majlis untuk kami. Bagai yang dilafazkan dalam sesi ucapan, kami sekeluarga memohon ampun maaf kiranya ada salah dan silap, halalkan makan dan minum dan jika berhutang, sila tuntut untuk kami langsaikan sebelum dipersoalkan di akhirat kelak.

Juga, setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala-galanya yang tidak terungkap oleh kami. Sesungguhnya perkenalan, persahabatan dan persaudaraan yang terjalin amat besar nilainya, moga segalanya diredhai oleh Allah SWT. Ameen.

Moga dipanjangkan usia dan dipermudahkan segala urusan kita, di dunia dan di akhirat. Jumpa lagi.

Friday, December 3, 2010

Musim Buah

Setiap buah-buahan mempunyai musimnya yang tersendiri. Ada yang berbuah sepanjang tahun dan ada yang berbuah hanya sekali-dua dalam setahun. Tidak kira di pelusuk bumi mana pokoknya tumbuh. Segalanya telah ditetapkan oleh Allah SWT sejak azali lagi dengan hikmah dan rahmat yang hanya Dia Yang Maha Mengetahui. Sebagai hambaNya, sewajarnya kita sentiasa bersyukur atas kurniaanNya.

Mengakhiri musim bunga, menjelma pula musim panas menyaksikan beberapa buahan tempatan Australia mula mendominasi pasaran. Buahan berbiji keras (dipanggil Stone Fruits) 4 serangkai; nectarine, peach, apricot dan plum adalah antara yang banyak dijual. Kami sekeluarga kurang menggemarinya kerana rasanya tidak kena dengan selera khatulistiwa.

Di samping itu, buah ceri, antara buah yang kami sukai telah pun bermula musimnya. Harga di pasaran kini antaranya AUD 6 – AUD 13 sekilogram, bergantung kepada jenis dan kualitinya.

Bagi yang ingin merasai sendiri pengalaman memetik ceri di pokok, beberapa ladang ceri di sekitar Melbourne telah pun dibuka. Cherry Haven di Wandin, Blue Hill di Olinda dan Red Hill di Mornington Peninsula adalah antara ladang ceri yang mulai dikunjungi ramai.

Musim memetik ceri tidak lama, kira-kira sebulan sahaja dan akan berakhir di pertengahan Januari setiap tahun. Menariknya tentang memetik ceri ini adalah para pengunjung boleh memakan sebanyak mungkin tanpa bayaran tambahan, cuma yang dibawa keluar sahaja perlu dibayar.

Hampir setiap tahun kami mengunjunginya. Untuk tahun ini belum pasti lagi...

Buah mangga juga kini sedang rancak dijual. Ianya telah bermula sejak 2 bulan lalu, ketika navel orange telah pun tiba di penghujung musim. Di saat lambakan mangga melimpah di pasaran, harganya jatuh sehingga AUD 3/kotak. Di sepanjang musim mangga, sempatlah kami memakan sepuas-puasnya.

Pada ketika yang sama, buah loquat di belakang rumah sewa kami juga meranum masaknya. Walaupun buahnya tidaklah sebanyak tahun lepas tetapi cukup untuk kami berkongsi makan bersama-sama rakan-rakan yang berdekatan. Juga turut sama dirasai oleh emak-abah serta keluarga Eusni Rahayu dari Sydney yang berkunjung ke rumah kami pada akhir bulan lepas.

Dalam kemewahan pelbagai jenis buahan, rindu kami pada buahan tempatan di Malaysia tidak kunjung padam. Durian, rambutan, manggis dan nangka amat mudah ditemui di Australia tetapi harganya amat mahal. Tidak mengapalah... tidak lama kami akan pulang ke tanah air. Insya Allah di saat itu dapatlah kami memakan semahunya...8)


Tuesday, November 30, 2010

Pilihanraya Victoria 2010

Di Australia, Pilihanraya Persekutuan (Parlimen Australia) dan Pilihanraya Negeri (Parlimen Negeri) tidak dijalankan secara serentak sepertimana di Malaysia.

Karikatur Ted Baillieu (kiri) dan John Brumby (kanan) oleh Mark Knight

Pada bulan Ogos lalu, Pilihanraya Persekutuan telah dilangsungkan melibatkan 150 kerusi parlimen menjadi rebutan di seluruh negara termasuk 36 kerusi di Victoria, negeri di mana kami tinggal sekarang.

Kemenangan besar Labor Party menumbangkan Coalition Party beberapa tahun lalu menjadi igauan ngeri pada pilihanraya kali ini apabila Labor Party tidak mampu menubuhkan kerajaan jika tidak mendapat sokongan bersyarat dari ahli parlimen bebas.

Pada hari Sabtu lalu (27/11/2010), Pilihanraya Negeri pula dilangsungkan di Victoria. Mengikut kiraan kerusi yang dipertandingkan (88 kerusi), Labor Party yang menguasai kerajaan negeri hampir 11 tahun lamanya telah kecundang kepada Coalition Party, 43-45. Semalam keputusannya telah disahkan, sekaligus tampuk Ketua Menteri (Premier) bertukar tangan dari John Brumby kepada Ted Baillieu.

Begitulah senario semasa politik di Victoria, khususnya di Melbourne. Ianya ibarat roda. Adakala di atas, adakala di bawah. Kata orang, tiada apa mustahilnya dalam politik.

Di Australia, prestasi sesebuah kerajaan bergantung kepada keberkesanan pemerintah menangani isu-isu semasa yang berkait rapat dengan kepentingan umum.

Di Victoria, kegagalan Kerajaan Brumby melakukan perubahan bagai yang dijanjikan akhirnya membuatkan rakyat marah. Ketidakcekapan sistem pengangkutan awam, kelembapan pengurusan kesihatan, peningkatan kes jenayah dan kenaikan kos sara hidup antara isu-isu yang memakan diri.

Kini bergantung pula kepada sejauh mana Kerajaan Baillieu berupaya melakukan perubahan. Tunggu dan lihat...

Secara peribadi, saya berpendapat pertukaran kerajaan adalah sesuatu yang positif. Apatah lagi jika ianya melibatkan kebajikan rakyat dan kepentingan bersama. Kiranya peluang yang diberi tidak dapat dilaksanakan, maka tunggulah pilihanraya berikutnya untuk dijatuhkan hukumannya oleh rakyat.

Thursday, November 25, 2010

Pulang Ke Tanah Air

Pagi ini abah dan emak berangkat pulang ke tanah air. Penerbangan Air Asia yang dinaiki berlepas sekitar jam 11:05 pagi dan dijangka tiba di LCCT kira-kira jam 4:30 petang. Moga penerbangan mereka selamat di bawah lindungan Allah SWT. Ameen.

Hampir 3 bulan abah dan emak berada di Australia. Suatu jangka waktu yang agak lama, lebih-lebih lagi bagi insan yang telah pun berusia.

Di saat Ramadhan berbaki 10 hari, mereka tiba di Melbourne, seterusnya berhari raya bersama Eusni Rahayu sekeluarga di Sydney. Dua bulan di sana, mereka bertandang pula ke Melbourne, tinggal bersama kami selama hampir 3 minggu sehinggalah hari ini.

Meminjam kata-kata Abah, "Segalanya adalah ketentuan Illahi. Betapa indahnya perjalanan yang diaturNya. Ianya suatu ni'mat yang sewajarnya disyukuri".

Abah menyambung,"Kita perlu ingat bahawa perjalanan sebenarnya adalah menuju akhirat. Maka setiap orang wajib menyediakan bekalan untuk ke sana". Satu peringatan yang kerap diulangi oleh Abah setiap pagi ketika menyampaikan tazkirah ringkas selepas solat Subuh.

Abah juga sentiasa mengingatkan agar sentiasa menjaga solat terutama kepada cucu-cucunya. Solatlah yang akan membahagiakan diri kita di dunia dan di akhirat kelak. Di samping itu jadikanlah amalan membaca Al-Quran sebagai rutin harian dan berusahalah menghafalnya sebanyak mungkin.

Itulah yang menjadi amalan harian Abah dan Emak. Selang masa terluang terisi dengan membaca dan menghafal Al-Quran serta berzikir kepadaNya.

Ketika bertolak ke Melbourne Airport, anak-anak masih belum ke sekolah. Masing-masing dirundung sayu, sedih untuk berpisah. Seorang demi seorang diciumi dan dipeluk oleh Atuk dan Nenek. Imranlah yang kelihatan paling sugul. Pesannya,"Bila kita orang balik Malaysia nanti, Atuk dengan Nenek datang ambil kat airport, ya". Insya Allah, 1 ½ bulan lagi tidak lama.

Moga dipanjangkan usia dan dipermudahkan segala urusan. Ameen.

Tuesday, November 23, 2010

Tetamu Sydney : Keluarga Eusni Rahayu

Jarak waktu 1 hari 2 malam mempunyai persepsi yang berbeza. Bagi yang sedang menunggu atau pun melaluinya dalam penderitaan, dirasakan amat lama.

Lain pula halnya bagi yang melaluinya penuh keseronokan, dirasakan amat singkat dan cepat sekali. Demikianlah yang dialami oleh kami sekeluarga terutama bagi anak-anak.

Selama 1 hari 2 malam, Eusni Rahayu (adik Laili) sekeluarga dari Sydney bertamu di rumah kami. Turut serta adalah mertuanya, Atuk Sahuddin dan Opah Robiah.

Suasana rumah begitu ceria sekali. Anak-anak kami; Izzuddin, Hanisah, Solehah dan Imran amat seronok dapat berjumpa sepupu-sepupu mereka yang sebaya; Ainul Farhah, Aiin Farhani, Arif Farhan dan Adam Khaliq. Abah dan emak pula dapat bertemu besan, anak menantu dan cucu-cucu mereka.

Mereka tiba di Dandenong pada petang Sabtu baru-baru ini. Anak-anak bersorak riang, hilang segala kepenatan di jalanan. Terus sahaja mereka berkejar ke halaman belakang, mendirikan khemah besar yang dibawa bersama. Itulah tempat bermalam mereka anak beranak selama 2 malam, juga disertai sama oleh anak-anak kami. Bilik yang disediakan di dalam rumah hanya sebagai tempat bertukar pakaian dan bermain/berkumpul sesama mereka.

Bagi anak-anak, setiap detik yang dilalui amat berharga sekali. Kemana-mana sahaja bagaikan belangkas. Bermain, menonton, menghadap komputer, makan dan tidur mereka bersama.
Ketika ibu ayah berserta opah/nenek dan atuk ‘menjenguk’ Melbourne City, mereka lebih suka tinggal di rumah. Di sana-sini kedengaran gurau senda, usik mengusik dan hilai ketawa.

Biarkanlah, asalkan mereka bahagia dan dapat memanafaatkan masa yang ada.

Keceriaan anak-anak bertukar muram di pagi Isnin. Anak-anak kami perlu berangkat ke sekolah. Salam bersalaman serta lambaian perpisahan bagaikan sembilu. Kepiluan menyelubungi setiap wajah.

Selepas bersolat jamak Zohor-Asar, Eus sekeluarga mula bertolak ke Eden, persinggahan mereka untuk bermalam sebelum meneruskan perjalanan ke Sydney pada keesokan harinya. Moga selamat dan sentiasa dilindungi Allah di jalanan sehingga tiba di rumah mereka di Carlton.

Insya Allah, ketemu lagi pada bulan April tahun hadapan, ketika mereka sekeluarga pulang ke tanah air. Kembali bersama seumpama 4 tahun yang lalu.

Sunday, November 21, 2010

Makan-makan Selamat Tinggal

5 sekawan dari bidang kerjaya serumpun; Dr. Norhana, Dr. Salmah, Dr. Radziah, Dr. Harlina dan Dr. Noorlaili bakal meninggalkan bumi Melbourne pada awal tahun hadapan.

Keluarga Dr. Norhana, Dr. Radziah dan Dr. Salmah akan berlepas pulang ke tanah air masing-masing pada bulan Januari dan Februari, 2011 setelah setahun mengikuti latihan lanjutan di Monash University. Keluarga Dr. Harlina pula akan tamat kontrak kerjanya dalam bulan Februari nanti. Manakala Laili pula, sedia maklum, bakal menamatkan pengajian peringkat kedoktorannya dalam masa terdekat.

Sejak lebih sebulan lalu, mereka berlima telah sepakat untuk mengadakan majlis makan-makan bersama bagi meraikan rakan kenalan di sekitar Melbourne. AlhamduliLlah ianya telah pun menjadi kenyataan pada pagi Sabtu baru-baru ini bertempat di Karkarook Park, Fairchild Rd, Heatherton.

Majlisnya bermula seawal jam 10:00 pagi dan berakhir sekitar jam 3:00 petang. Juadah istimewanya adalah Nasi Arab berlaukkan daging biri-biri dan ayam yang ditempah khas dari Bro. Abu Shariff. Manakala Daging Masak Masalla pula disediakan oleh Abah dan Iddin dari daging korban oleh Norhayati dan Aida. Terima kasih. Moga dirahmati Allah SWT. Ameen.

Lokasi pilihan di taman amat strategik dan menarik sekali. Tempat berteduhnya luas, berbentuk pepatung (dragonfly) menghadap tasik berserta kemudahan tandas memudahkan lagi segala urusan. Terima kasih kepada Radziah dan Kak Hana yang datang awal bagi memastikan ianya menjadi milik kami.

AlhamduliLlah, cuacanya juga amat baik, panas nyaman sepanjang hari. Sambutan dari rakan-rakan juga menggalakkan, hinggakan di ketika semua barangan telah pun dikemaskan, masih ada yang bertandang. Terima kasih tidak terhingga kepada semua terutama warga Kg. Dandy dan rakan-rakan South Eastern.

Mohon maaf atas segala salah dan silap kami selama berkampung di Melbourne, khususnya di South Eastern, terlebih lagi bersama komuniti Kg. Dandy. Insya Allah ianya bakal dikenang sepanjang hayat dikandung badan. Terima kasih atas segala pertolongan, kerjasama dan kebaikan kalian semua. Moga persahabatan dan persaudaraan yang sedia terjalin terus kekal selamanya. Ameen.

Saturday, November 20, 2010

Hujung Minggu Di Wilson Prom

[Insya Allah lain-lain foto akan menyusul kemudian]
Seminggu nan lalu, kami sekeluarga, termasuk Abah dan Emak telah berkunjung ke penghujung tanah besar benua Australia, Wilson Promontory National Park yang terletak di West Gippsland, Victoria.
Kami bertolak pada petang Jumaat, selepas anak-anak pulang dari sekolah. AlhamduliLlah tiba di Acasia St, Sandy Point ketika matahari mula terbenam di ufuk barat. Di sinilah kami menginap selama 2 malam. Kami sekeluarga berkongsi rumah bersama Ustaz Zain-Saliza sekeluarga, manakala Kak Norhana sekeluarga pula berkongsi rumah dengan Azidah.
Sandy Point
Hari Sabtu, cuacanya agak kurang baik. Hujan renyai-renyai, adakala lebat. Begitulah keadaannya dari pagi sehinggalah ke malam.
Paginya kami ke Sandy Point Beach yang terletak berdekatan dengan rumah penginapan. Pantai yang terkenal dengan aktiviti luncur air. Bangunan Surfing Club tersergam megah menghadap laut.
Anak-anaklah yang paling teruja. Mereka memohon izin untuk mandi tetapi terpaksa ditangguhkan kerana tujuan utama kami adalah ke Wilson Prom. Mereka sekadar bermain pasir di tepi pantai yang melandai, terhampar luas hingga ke gigi air. Pemandangan sekitarnya amat indah sekali.
Wilson Prom
Seusai makan tengahari dan solat jamak, tiga buah kereta bergerak menuju ke Wilson Prom yang terletak kira-kira 50km dari Sandy Point.
Ketika kunjungan kami pada tahun lepas, bayaran masuknya adalah $35/kereta tetapi kali ini tiada bayaran dikenakan (percuma). Tidak pasti pula samada ianya mengikut musim atau sememangnya telah pun dihapuskan. Apa-apa pun AlhamduliLlah.
Memasuki Wilson Prom, kereta mula diperlahankan sambil masing-masing memerhatikan persekitarannya dengan penuh minat. Difahamkan, daratan yang berbentuk tanjung ini pernah bersambung dengan daratan Tasmania beberapa ratus ribu tahun lalu. Suatu fakta yang amat menakjubkan. Betapa besarnya kekuasaan Allah SWT. Allahu Akbar.
Kesan-kesan kebakaran dahsyat hutan 2 tahun lepas, Black Saturday masih jelas kelihatan pada pepohonan yang masih hitam batangnya. Hairannya, kenapa sehingga kini pokok-pokok tersebut seolah-olah hidup segan mati tak mahu? Bagi yang beriman dan tidak buta mata hatinya, pasti ada hikmah di sebaliknya. Demikianlah peringatan Allah SWT dalam Al-Quran bagi yang ingin berfikir.
Di samping itu, kami juga bernasib baik kerana beberapa kali terserempak dengan emu, kangaroo dan echidna di tepian jalan.
Kami singgah seketika di Information Centre di Tidal River, seterusnya menyusuri Ring Road, meninjau kawasan perkhemahan yang disediakan. Kami berhenti di Squeaky Beach untuk merasai pengalaman pasir berbunyi setiap kali dipijak. Sayangnya pasir basah dek hujan menyebabkan ianya menjadi padat. Emm, tiada rezeki nampaknya. Ombaknya agak kuat, bergulung-gulung ditiup angin dan menghempas batuan di tepian pantai.
Anak-anak tidak menghiraukan semuanya itu. Bagi mereka, bermain air lebih diutamakan. Walaupun sejuk ditimpa hujan berserta tiupan angin pantai, langsung tidak diambil peduli. Sejuknya mula terasa apabila masing-masing mula diajak beredar pulang.
Di Wilson Prom sebenarnya banyak lokasi dan aktiviti yang boleh dilakukan, lebih-lebih lagi bagi yang menggemari kegiatan lasak. Banyak laluan hutan, laluan pantai dan laluan mendaki yang disediakan. Pantai-pantainya juga banyak. Apatah lagi bagi pencinta alam semulajadi. Bagi kami, semuanya tidak sempat kami terokai, memadailah kami mengenalinya sepintas lalu.
Bertolak Pulang
Pagi Ahad, kami ke Sandy Point Beach lagi. Kali ini anak-anak dibenarkan turun ke laut. Airnya sedang surut dan amat sejuk sekali. Tidak sanggup rasanya untuk berendam. Anak-anak pun lebih banyak bermain pasir di pantai sahaja.
Tengaharinya, kami bertolak pulang ke Dandenong melalui laluan pantai; Inverloch-Wonthaggi. Kami singgah di Eagle Nest Beach yang mempunyai 2 pantai yang berbeza; pasir landai dan batuan, antaranya tersergam struktur batu seakan-akan sarang helang.
Di Wonthaggi, kami berhenti makan dan solat jamak di taman bersebelahan jalan utama, seterusnya singgah seketika di Kilcunda Beach. AlhamduliLlah, kami tiba di rumah sebelum waktu Maghrib. Penatnya amat terasa, sehingga ke pagi esoknya masih lagi belum hilang.

Thursday, November 18, 2010

Eid Adha

Eid Adha telah pun 2 hari berlalu. Di Australia, khususnya di Melbourne, Victoria, tarikh 10-Zulhijjah jatuh pada hari Selasa, 16/11/2010. Hari bekerja dan hari persekolahan di sini. Tiada cuti umum, terserah pada individu sendiri untuk mengatur cuti mereka.

Sehari sebelumnya, Izzuddin dan Hanisah yang bersekolah di Dandenong High School telah memaklumkan kepada pihak sekolah akan ketidakhadirannya. Solehah dan Imran di Dandenong North Primary School pula bersekolah seperti biasa kerana perlu mengikuti program berenang yang sedia diatur.

Malam Raya

Seusai solat Maghrib berjemaah pada malam raya, hati digamit kesayuan mendengar alunan takbir yang dilafazkan oleh Abah. Teringat akan keluarga di Terengganu, terutama Cik (panggilan untuk ibu) dan Ayah. Terbayang juga akan keseronokan berhari raya dan berkorban di kampung halaman. Telah 4 tahun kami beraya Eid Adha dan Eid Fitr di perantauan.

Kemeriahan Eid Adha di Terengganu melebihi kemeriahan Eid Fitr. Namun ianya tidak setara dengan kemeriahan ketika di zaman kanak-kanak dahulu. Kini kemeriahan seumpamanya semakin menghilang di telan zaman. Tidak kira Eid Adha mahupun Eid Fitr.

Solat Raya

Pagi Raya, bersama Laili, emak, abah, Iddin dan Nisah, kami ke Narre Warren North Public Hall untuk bertakbir dan menunaikan solat sunat Eid Adha bersama-sama etnik Melayu di Victoria, dianjurkan oleh Khairat Melayu Islam Victoria (KMIV).

Solat rayanya agak lewat, kira-kira jam 10:30 pagi. Kehadiran saudara sebangsa tidak ramai, sekitar 1/3 sahaja daripada solat Eid Fitr yang diadakan di Mt. Waverley lalu. Mungkin kerana hari bekerja dan mungkin juga disebabkan keseronokan Eid Adha tidak setanding dengan kegembiraan Eid Fitr. Allahu a’lam.

Seronok sekali dapat bersua muka dengan orang-orang lama, antaranya Haji Saleem, Haji Abdul Rahman, Sdr Abas, Hajjah Tini, Kak Mimi dan ramai lagi. Bolehlah dianggap sebagai pertemuan perpisahan sebelum kami berangkat pulang ke tanah air di awal tahun hadapan. Ampun maaf atas segala salah silap kami. Moga masyarakat Melayu Islam di Victoria berjaya menongkah arus globalisasi yang amat membimbangkan terutama kepada generasi mudanya. Ameen.

Intipati khutbah atas tajuk Pengorbanan Kepada Ibu Bapa amat menarik untuk direnungi. Sebagai seorang anak, tanggungjawab terhadap ibu bapa usah sekali-kali diabaikan. Laksanakanlah dengan penuh keikhlasan semata-mata untuk mendapat keredhaan Illahi. Insafilah akan perngorbanan mereka (terutama ibu) yang tiada tandingannya.

Jamuan Raya

Sekembalinya dari bersolat Raya, kami menyinggah di rumah Ustaz Zain-Saliza. Emak dan Abah adalah jemputan istimewa mereka, kami pun dapatlah merasa. Terima kasih Zain dan Ja.

Di sebelah petangnya, selepas anak-anak pulang dari sekolah, ahli keluarga Kg Dandy memenuhi jemputan dari Sdr Mokhtar-Yasmin @ Selbourn Ave, Mulgrave. Kami tiba sedikit lewat, setelah selesai bersolat Asar di rumah. Terima kasih tuan rumah.

Monday, November 15, 2010

Happy Belated Birthday Solehah

Kelmarin, Sabtu, 13/11/2010 adalah hari ulang tahun ke-10 kelahiran anak ketiga kami, Nur Solehah. Happy Belated Birthday Solehah.
Bagi setiap anak-anak, biasanya kami sambut secara ringkas sahaja, bersama-sama dengan ahli keluarga. Kad ucapan dan hadiah seadanya tanpa berbelanja besar. Cukup sekadar untuk saling mengingati dan menggembirakan anak-anak yang menyambutnya. AlhamduliLlah, setiap dari mereka amat memahaminya.

Sesekali diraikan bersama rakan-rakan sebaya mereka ataupun diadakan majlis bersama dengan anak-anak yang menyambut kelahiran dalam lingkungan hari/minggu atau bulan yang sama.

Kali ini sedikit berbeza. Ketika tarikh hari lahir Solehah, kami sekeluarga (termasuk Atuk dan Nenek) berserta keluarga Kak Hana, keluarga Ustaz Zain-Saliza dan Azidah, kami berada di Wilson Promontory National Park. Berjalan makan angin sambil menikmati keindahan alam ciptaan Allah SWT.

Tiada sambutan hari lahir khusus untuk Solehah. Ketika mengejutkannya bangun bersolat Subuh, tiba-tiba terpancul dari mulutnya, “Eh, today is my birthday”.

Happy Birthday Solehah. Emm, inilah hadiah hari jadi untuk Solehah, kita sambut bersama-sama di Wilson Prom. Juga untuk Atuk”. Terus sahaja Solehah bangun dalam keadaan ceria. Sebenarnya hadiah idamannya telah pun diserahkan kepadanya sehari sebelumnya.

Sayangnya kad ucapan untuknya terlupa untuk dibawa bersama. Apabila dimaklumkan padanya, selamba sahaja jawabnya, “It’s OK, ayah”.

Happy Belated Birthday Nur Solehah. Moga menjadi anak yang solehah. Ameen.

Thursday, November 11, 2010

Sentuhan Menceriakan

Hari ini cuaca agak panas. Suhunya dalam lingkungan 30C. Masa yang sesuai untuk bersantai di luar rumah.

Ketika saya pulang dari menghantar anak ke sekolah dan berurusan di pejabat pos, didapati abah dan emak sedang sibuk di laman belakang. Rupa-rupanya mereka tengah rancak menebas rumput, mencantas reranting dan dedahan pokok serta menebang pepohonan yang kurang berguna di sekitar pokok loquat dan bersebelahan kebun sayur yang sekangkang kera.

Emm... pemandangan yang amat berbeza dari sebelumnya. Segala yang menyemak pandangan telahpun hilang berganti persekitaran yang kemas, ceria dan menyenangkan. Sememangnya mereka berdua tidak senang duduk diam, ada sahaja kerja yang ingin dilakukan. Apatah lagi setelah cuaca tidak lagi sejuk. Selepas ini pun pasti ada lagi sudut dan ceruk yang akan dikerjakan.

Terima kasih Abah. Terima kasih Emak.

Bertahun-tahun kami tinggal di sini, tidak banyak perubahan yang kami lakukan. Lebih-lebih lagi ketika musim sejuk, amat jarang kami turun ke belakang. Lagilah tidak terbela persekitarannya. Nampaknya menunggu abah dan emak datang barulah ada perubahannya. Entahlah.... memang kami tak boleh diharap...8)

Anak-anak yang pulang dari sekolah pada petangnya pun turut meluahkan keseronokan mereka. Jika tuan rumah melihatnya pasti mereka juga merasa gembira.

Wednesday, November 10, 2010

Berkunjung ke Rhododendron Garden

National Rhododendron Garden adalah antara taman bunga yang menjadi tumpuan utama di Dandenong, lebih-lebih lagi ketika musim bunga seumpama sekarang. Keluasannya kira-kira 103 ekar (40 hektar) dengan lebih 30,000 pokok bunga rhododendron dan azalea mendominasi sebahagian besar kawasan taman. Protea, daffodil, cherry, magnolia dan hydrangea adalah antara lain-lain jenis bunga yang terdapat di sini.

Rhododendron Garden ini letaknya di Olinda, bersebelahan dengan Mt. Dandenong. Dari rumah kami hanya mengambil masa kira-kira 30 minit perjalanan melalui Belgrave-Monbulk-Olinda.

Pada petang Ahad baru-baru ini (7/11/2010) kami sekeluarga bersama-sama abah dan emak telah meluangkan masa bersiar-siar di taman bunga tersebut. Kami bertuah kerana tiada bayaran masuk dikenakan (percuma).

Menjengah di pintu masuknya, pandangan kami dihidangkan dengan persekitaran menghijau dengan bungaan berwarna-warni di merata ceruk. Melewati setiap pepohonan dengan jambakan bunga yang berbagai bentuk, warna dan jenis membuatkan diri begitu teruja sekali untuk menyentuh, menghidu dan yang pasti mengabdikan fotonya. Bagi penggemar bunga, keindahannya ibarat syurga bunga.

SubhanaLlah (Maha Suci Allah). Itulah yang selayaknya dilafazkan. Segala keindahan adalah ciptaanNya. Itupun hanyalah sekelumit sahaja jika dibandingkan keindahan bungaan di syurga nan hakiki. Pasti keindahan taman-taman syurga sebenar tidak terperi dan tiada tergambar oleh akal manusia yang amat lemah. Di dalam Al-Quran sering diungkapkan oleh Allah SWT akan keindahannya walaupun tidak menyeluruh, cukup untuk menyemai rasa rindu untuk menjadi ahli syurga.

Kini musim bunga telah pun di penghujung musim. Banyak kedapatan bunga-bunga yang mulai layu dan juga kering di tampuk. Sebahagiannya pula hanya tinggal tangkainya sahaja. Namun secara umum, seri keindahannya masih menyerlah.

Penerokaan kami bermula dengan Cherry Lawn, berehat seketika berhadapan Karume Bowl untuk makan tengahari dan bersolat Zohor sebelum menapak pula ke Magnolia Lawn, sehinggalah tiba di pinggiran kolam berdekatan Lyrebird Track. Tidak terlarat lagi untuk berjalan, kami berjalan balik ke pintu masuk untuk menaiki bas percuma untuk menyusuri laluan di sekitar taman.

Rupa-rupanya itulah perjalanan terakhir bas (jam 4:00 petang) untuk hari tersebut. AlhamduliLlah, berkesempatan juga kami mengelilingi taman selama 20 minit sambil menghayati setiap keindahan yang dijaga begitu rapi.

Dalam perjalanan pulang ke rumah, anak-anak terlena kepenatan. Malamnya pun masing-masing tidur awal. Penatnya hanya Allah SWT yang tahu.

Monday, November 8, 2010

Selamat Hari Jadi Abah

Hari ini adalah hari jadi abah, Hj. Tauhid. Kini abah dan emak (mertua) ada bersama kami di Dandenong. Selamat Ulang Tahun Kelahiran untuk Abah.
Sebelum bertolak ke sekolah pagi tadi, anak-anak bergilir-gilir mengucapkan Happy Birthday Atuk. Disambut dengan senyuman mesra dan ucapan terima kasih oleh Atuk.
Dalam diam Atuk melafazkan AlhamduliLlah, kesyukuran tiada batasannya dipulangkan kepada yang selayaknya, Allah SWT yang telah melanjutkan usianya melepasi 70 tahun serta dikurniakan keluarga yang sentiasa dilimpahi rasa kasih dan sayang yang sentiasa mekar sepanjang zaman.
Sekembalinya dari sekolah, Junior Master Chef, Izzuddin masuk ke dapur untuk menunaikan janjinya pada Atuk di sebelah paginya - bikinan kek hasil tangannya sendiri - Orange Patty Cake.
Dengan dibantu oleh Solehah, adunan diuli penuh teliti dan dijadikan seumpama muffin sebelum dimasukkan ke dalam oven. Setelah masak, hasilnya amat menggembirakan.
Menurut Atuk dan Nenek, rasanya amat sedap sekali, malah lebih sedap dari kek yang dijual di kedai-kedai kek.
"Kalau macam ni Nenek nak tempahlah dengan Iddin untuk Majlis Perkahwinan Pak Su Kim (Nasrul Hakim) pada bulan April nanti". Emm.. nampaknya ada tugasan untuk Iddin di tanah air nanti.
Selamat Hari Jadi Atuk/Abah. Moga sentiasa dirahmati dan diredhai oleh Allah SWT. Ameen.

Minum Petang @ Bedwell Ave

Bertemu dan berpisah adalah aturan kehidupan. Bagi perantau yang mencari ilmu di bumi Australia ini, dihantar pula oleh majikan, sampai ketikanya perlu kembali ke tanah air. Begitu juga kami sekeluarga.

Di Dandenong, kami sekeluarga berserta keluarga Lajiman-Suraya adalah antara yang akan pulang ke tanah air dalam masa terdekat. Keluarga Lajiman dijadualkan berangkat pulang pada 18/12/2010 nanti, diikuti keluarga kami pada awal tahun hadapan.

Petang kelmarin (Sabtu), berkongsi majlis bersama-sama keluarga mereka, kami menjemput rakan-rakan sekampung, Kg Dandy serta kenalan seangkatan dari South Eastern, Bundoora dan Pascoe Vale bertandang ke rumah Lajiman-Suraya @ Bedwell Ave, Dandenong.

Majlis perpisahan tersebut diadakan khusus sebagai penghargaan kepada rakan-rakan yang telah banyak membantu, dari asalnya tidak pernah kenal mengenali, akhirnya akrab bagaikan adik beradik. Moga ikatan persaudaraan dan persahabatan yang sedia terjalin tidak terputus begitu sahaja, malah berpanjangan selamanya. Insya Allah. Ameen.
Sebahagian foto terdapat di Album Foto Kami.

Seawal jam 3:00 petang, laman belakang rumah mula dikunjungi para tamu. Lebih meriah lagi, setiap keluarga membawa buah tangan masing-masing untuk dikongsi bersama. Keempat-empat meja yang disediakan semuanya dipenuhi pelbagai juadah yang amat menyelerakan. Demikianlah adat-adat timur yang tetap segar diamalkan walaupun jauh di perantauan. Terima kasih kepada semua.

Pada ketika yang sama, kepulan asap dari BBQ berserta aroma bau lamb chop, ayam bakar dan sosej menjadi tarikan utama setiap orang. Setiap kali ianya dialihkan ke talam, setiap kali itulah dikerumuni, bagaikan semut dengan gula.

Melihatkan kemesraan rakan taulan, benar-benar melahirkan kesyahduan di hati. Betapa pada suatu hari nanti perpisahan bakal dilalui. Begitulah lumrahnya. Bukan hanya sebagai perantau di negara orang tetapi juga sebagai pedagang di muka bumi Allah SWT ini. Sesuatu yang perlu diinsafi.

Melewati jam 5:00 petang, para tamu mula meminta diri untuk pulang.

Kepada semua, berbanyak-banyak terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan di atas segala-galanya. Jika ingin dinukilkan setiap satu jasa baik kalian, rasanya tidak sepadan. Hanya kepada Allah SWT diharapkan pembalasanNya.

Begitu juga, mohon dimaafkan atas segala salah silap kami sekeluarga (juga mewakili keluarga Lajiman-Suraya). Moga antara kita semua tiada sebarang dosa yang bakal dituntut di hari pengadilanNya nanti. Ameen.

Wednesday, November 3, 2010

Melbourne Cup Day

Hari Berjudi

Semalam adalah cuti umum di Victoria. Melbourne Cup Day. Hari pesta untuk penggemar lumba kuda yang terulung di Victoria. Hari yang pastinya amat ditunggu-tunggu oleh kaki judi lumba kuda. Bukan sahaja kaki judi di kaki-kaki lima tetapi menular sehingga ke peringkat antarabangsa.

Ketika kuda-kuda lumba sedang rancak berpecutan, majoriti rakyatnya tertumpu ke gelanggang perlumbaan dengan degupan jantung penuh mengharap. Bukan hanya di Melbourne tetapi di seluruh Australia. Tidak hairanlah ianya dikenali sebagai “the race that stops the nation”.

Biarkanlah Luncai terjun dengan labu-labunya. Sebagai hamba Allah yang dikurniakan kelebihan iman dan Islam, untuk kita batasannya amat jelas.

Bertukar Baton

Pagi semalam, abah dan emak (mertua) selamat tiba di Melbourne menaiki Tiger Airways. Mereka berdua dari rumah Eusni di Sydney.

Sebenarnya seminggu sebelum Hari Raya dahulu, mereka telah datang ke Melbourne. Beberapa hari sebelum Hari Raya mereka berangkat ke Sydney, beraya di sana, seterusnya tinggal di sana hampir 2 bulan, sehinggalah semalam.

Insya Allah hampir sebulan tinggal di rumah kami, barulah mereka berangkat pulang ke tanah air di akhir November nanti.

Pagi semalam juga Fahimey (suami Eusni) tiba di Melbourne Airport dari Malaysia, bersama ibu-bapanya, Atuk Sahuddin dan Opah Rabiah.
Mereka sekadar transit sebelum berlepas ke Sydney sejam selepasnya menaiki Tiger Airways. Ibarat bertukar baton pula. Berserta emak dan abah, sempatlah kami berjumpa mereka.

Sunday, October 31, 2010

Garage Sale

Garage Sale, adakalanya juga dikenali sebagai Yard Sale adalah merujuk kepada aktiviti jualan barangan terpakai atau tidak diperlukan lagi tetapi masih boleh digunakan yang dilakukan di halaman rumah atau di garaj bersebelahan. Kebiasaannya harga yang ditawarkan amat murah, adakalanya boleh diperolehi secara percuma sahaja.

Di Australia, khususnya di Melbourne dan di persekitaran Dandenong sendiri, aktiviti seumpamanya adalah amat lumrah di setiap hujung minggu, Sabtu dan Ahad.

Ketika di Adelaide dahulu dan juga di peringkat awal kami menetap di Melbourne, garage sale adalah tumpuan utama kami untuk mendapatkan barangan keperluan rumah. Dalam banyak keadaan, anak-anaklah yang paling untung - buku-buku, alat mainan dan aksesori semasa sentiasa diperolehi mereka.

Semalam (Sabtu) tiba giliran kami pula untuk mengadakan garage sale bertempat di laman hadapan rumah kami. Berkongsi bersama dengan Kak Norhana. Sofa dan meja makan antara barangan besarnya. Lain-lainnya adalah baju-baju, alatan dapur, kasut-kasut dan banyak lagi. Ianya dibuka dari jam 8:00 pagi sehingga 3:00 petang.

Malangnya, hanya sedikit sahaja barangan yang terjual. Para penyinggahnya juga tidak ramai. Kaum wanita hanya beberapa orang sahaja. Ahli keluarga berserta anak-anak pula langsung tidak kelihatan. Kebanyakan pengunjung adalah lelaki dewasa dengan tumpuan carian mereka pada peralatan berkebun, pertukangan, barangan elektrik dan seumpamanya.

Mungkin kerana keadaan cuaca yang kurang baik; hujan dan mendung dengan persekitaran yang sejuk, suhunya di bawah 20C. Mungkin juga kerana promosinya kurang bersungguh, sekadar signage di sekitar rumah sahaja dengan kedudukan rumah kami di hadapan jalan utama yang tiada hentian di tepi jalan.

Tidak mengapalah.

Kami bercadang akan mengadakan garage sale kali kedua di awal Disember nanti. Insya Allah ketika itu promosinya akan dilakukan lebih meluas lagi termasuk mengiklankannya di akhbar komuniti setempat dan juga disediakan signage yang lebih menarik perhatian di lokasi-lokasi yang lebih strategik. Diharapkan juga moga cuaca di musim panas ketika itu banyak membantu.

Apa-apa pun, sekurang-kurangnya ia menjadi satu pengalaman yang berharga untuk kami sekeluarga ketika di perantauan.

Friday, October 29, 2010

Menghitung Hari

Hari demi hari silih berganti. Semalam telah pun berlalu, hari ini terus berjalan, Insya Allah esok bakal ditempuhi. Begitu cepat masa berlalu.

Kini kami sedang menghitung hari-hari untuk pulang ke tanah air. Insya Allah perancangan kami adalah pada 11 Januari 2011 nanti. Ditolak hari ini, masih ada 74 hari lagi, tidak sampai pun 2 ½ bulan lagi untuk kami meninggalkan bumi Australia ini.

Kami merancang untuk keluar dari rumah sewa yang telah didiami hampir 3 ½ tahun ini di pertengahan bulan Disember ini. Manakala pungutan barangan untuk dibawa pulang menaiki kapal dijadualkan pada 9 Disember. Insya Allah kami menggunakan kontena, berkongsi bersama-sama beberapa orang rakan yang juga akan pulang ke tanah air dalam masa terdekat ini.

Ini bermakna hanya tinggal kira-kira 40 hari lagi untuk kami uruskan kerja-kerja pembungkusan, pelupusan barangan yang tinggal dan pembersihan rumah sebelum diserahkan kembali kepada tuan rumah. Segalanya kelihatan mudah sahaja tetapi amat memenatkan. Apakan daya, semuanya perlu dilakukan sebaik mungkin.

Melihat sekeliling, masih banyak urusan yang belum selesai. Barang-barang berselerak di sana-sini. Sebilangannya telah pun dimasukkan ke dalam kotak, manakala sebahagiannya lagi masih digunakan lagi. Entah bila nak dikemaskan...

Manakala barangan yang tidak ingin dibawa pulang telah pun/ sedang diagih-agihkan kepada rakan-rakan sekampung samada secara percuma atau dijual dengan ‘harga kawan’. Mana-mana yang masih tinggal dikumpulkan untuk dijual melalui Garage Sale yang dijadualkan esok hari di halaman hadapan rumah kami. Selebihnya akan diadakan Garage Sale kali kedua pada awal Disember nanti, seterusnya dilupuskan jika masih berbaki. Harap-harap adalah pembelinya, cukuplah sebagai modal membeli kotak-kotak untuk pembungkusan.

Barangan kecil tidaklah merisaukan kami, mudah untuk dilupuskan tetapi barangan besar dan pukal seperti katil, tilam, set meja makan, sofa dan kereta amat membebankan sekiranya tidak terjual. Apa-apa pun kami amat berterima kasih kepada beberapa rakan yang telah pun membeli beberapa barangan besar seperti peti sejuk, mesin basuh, katil bujang dan televisyen.

Sebelum berangkat pulang, kami merancang untuk melancung ke New Zealand terlebih dahulu, suatu impian yang telah lama diidamkan. Kata orang, alang-alang dah dekat, baik diambil kesempatan. Insya Allah kami akan ke sana selama 2 minggu pada akhir bulan Disember nanti. Sekembalinya kami ke Melbourne, kami akan menumpang di rumah Dr. Asmadi di Keysborough sehingga tarikh penerbangan pulang nanti.

Wednesday, October 27, 2010

Minum Petang @ Heatherton

Pagi Ahad, selepas menghantar keluarga Cik Shuib ke Melbourne Airport, kami terus bergegas ke Dandenong Plaza dan Marmara Halal Butcher. Berbelanja sedikit sebanyak keperluan majlis minum petang ahli keluarga Kg Dandy di rumah kami pada sebelah petangnya.
Majlis 3 dalam 1 – makan/minum sambil berBBQ dan memilih barangan yang ingin kami lupuskan. Bolehlah dianggap sebagai majlis bersama terakhir di rumah sewa kami yang telah pun hampir 3 ½ tahun kami diami sebelum kami dijadualkan keluar pada 15/12/2010 nanti.
Cuaca di sebelah petangnya amat baik sekali. Matahari bersinar terang. AlhamduliLlah.
Melewati jam 5:00 petang, laman belakang mula dipenuhi rakan-rakan sekampung. Meja panjang yang disediakan dipenuhi pelbagai juadah ringan yang dibawa mereka. Kepulan asap BBQ menyelubungi kawasan sekitar. Aroma baunya membangkitkan selera. Lamb chop, ayam dan sosej menjadi rebutan. Begitulah lazimnya.
Turut sama diadakan sambutan ringkas hari jadi anak-anak, ibu dan bapa yang dilahirkan pada bulan Oktober. Happy Birthday, moga sentiasa dirahmati Allah SWT. Ameen.
Sisipan sebahagian foto terdapat di Album Foto Kami (Minum Petang @ Heatherton).
Terbayang kegembiraan apabila dapat berjumpa sambil bertukar-tukar cerita dan khabar berita. Tidak kira ibu bapa mahupun anak-anak. Masing-masing dengan kelompok tersendiri.
Dalam keasyikan berinteraksi sesama sendiri, tanpa disedari rasa sejuk mula mencengkam kulit. Cahaya matahari pula mula menghilang. Petanda bahawa malam akan menjengah. Masing-masing bersalaman sambil melafazkan salam perpisahan untuk pulang ke rumah.
Terima kasih kepada semua kerana sudi datang. Terima kasih atas segalanya.

Tuesday, October 26, 2010

Berangkat Pulang

Kelmarin, Cik Shuib sekeluarga berlepas pulang ke tanah air. AlhamduliLlah mereka selamat tiba di LCCT kira-kira jam 4:00 petangnya.
Selama seminggu di Melbourne, mereka berkesempatan melancung ke Phillip Island, Great Ocean Road, Port Campbell, Brighton Beach dan Melbourne City. Tidak terkecuali berjalan-jalan di Dandenong, antaranya ke Lysterfield Park, Narre Warren, Dandenong Market, Dandenong Plaza dan kedai-kedai di sekitarnya.
Pasti banyak pengalaman dan pengetahuan yang dapat diambil pengajaran dan dihadami. Lain padang lain belalangnya. Lain lokasi lain pula situasinya. Demikianlah lumrahnya...
Dari pemerhatian kami; mereka amat kagum dengan keunikan, keindahan dan keteguhan seni reka setiap struktur binaan yang diketengahkan. Dari sekecil-kecil arca di tepi jalan sehinggalah bangunan yang tersergam megah di tengah-tengah kota metropolitan. Betapa sesuatu yang bernilai seni mendapat pengiktirafan sewajarnya dari pihak kerajaan dan komuniti setempat. Amat berbeza dari suasana penerimaan masyarakat di Malaysia.
Mereka juga diuji dengan cuaca panas dan sejuk yang tidak menentu. Ketika turun di Melbourne Airport seminggu lalu, cuacanya amat sejuk dengan suhu kira-kira 7C. Beberapa hari selepasnya, suhunya meningkat sehingga 30C. Ada harinya pula penurunan suhunya sedikit mendadak dari 29C kepada 18C, hanya berselisih sehari sahaja. Begitulah fenomena cuaca di Melbourne sekarang.
Ketika senggang masa yang ada, kami kerap bersembang tentang nilai-nilai hidup dan hala tuju setiap insan yang dipertanggungjawabkan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Dalam usaha meraih redhaNya, tanpa sedar ramai yang tersilap langkah. Ada yang terbabas dan ada yang terkhilaf. Pertelingkahan menjadi medan pilihan, sedangkan musyawarah dikesampingkan. Amat menyedihkan...
Sepanjang mereka berada di rumah kami, terasa begitu seronok sekali. Imranlah yang paling teruja. Atuk Shuib sentiasa didampinginya. Balik dari sekolah, Atuk Shuib yang dicarinya. Mengaji Iqra’, Atuk Shuiblah guru pilihannya. Ketika istirehat, Atuk Shuib juga tempat bermanjanya. Atuk Shuiblah tempat melepaskan rindunya pada Atuk Tauhid yang kini berada di Sydney, di rumah sepupu sebaya Imran, Adam Khaliq.
Kepada Cik Shuib, Cik Noriah, Roselina dan Adib Firdaus, diharapkan mereka bergembira selama berada di Melbourne. Mohon maaf atas setiap kekurangan dan layanan yang tidak seberapa. Sampaikan salam kami pada keluarga dan sanak saudara yang ditemui ketika di tanah air.